Monday, August 13, 2018

RISIKO KESIHATAN PEROKOK PASIF




Perokok pasif ataupun tak sengaja (involuntary) adalah individu yang terdedah kepada asap yang dilepaskan daripada penghisap rokok, curut, paip dan lain-lain. Asap yang keluar ini juga dikenali sebagai “second-hand tobacco smoke” ataupun “environmental tobacco smoke”. Perokok pasif akan menyedut masuk bahan-bahan yang terkandung di dalam asap rokok tersebut. Kesan masalah kesihatan dan risiko menghidap penyakit ke atas perokok aktif memang telah diketahui melalui beribu-ribu kajian. Kajian ke atas kesan perokok pasif juga dijalankan tetapi tidak sebanyak perokok aktif.

Untuk tujuan mengetahui kesan sampingan perokok pasif, satu Systematic Reviews ke atas 16 meta-analisis yang merangkumi 130 kajian kohot, 159 kajian “case- control” dan 161 kajian “cross sectional” melibatkan 25 jenis penyakit dan masalah kesihatan telah dijalankan. Kajian-kajian ini disiarkan di dalam jurnal daripada tahun 1998 hingga 2014. Analisis ini termasuk juga kesan kesihatan keatas kanak-kanak.

Penganalisis mendapati bahawa perokok pasif mempunyai risiko kesihatan dan menghidap pelbagai jenis penyakit. Mereka mendapati perokok pasif mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami sekurang-kurangnya 11 masalah kesihatan iaitu:

1.   Menyakit jangkitan otak meningococcal ke atas kanak (OR 2.18)
2.   Meningkat risiko menjadi pembawa jangkitan bakteria (S.Pneumonia) pada tekak (pharyngeal) kanak-kanak (OR 1.66)
3.   Pembawa jangkitan bakteria tekak N. Meningitides kanak-kanak (OR 1.68)
4.   Alahan makanan (“food allergy”) (OR 1.43)
5.   Jangkitan bahagian bawah paru-paru (“Lower respiratory infections”) bayi berusia sehingga 1 tahun (OR 1.42)
6.   Serangan asthma kanak-kanak (“childhood asthma”) (OR 1.32)
7.   Kanser paru-paru (OR 1.27)
8.   Kanser serviks (OR 1.73)
9.   Resdong (“allergic rhinitis”)
10.                Alahan kulit (“allergic dermatitis”)
11.                Angin Ahmar (OR 1.25)

Perokok pasif juga didapati mempunyai risiko yang sedikit lebih tinggi untuk menghidap penyakit Crohn’s, kanser pancreas, penyakit invasive pneumococcal dan penyakit jangkitan Hemofilus influenze jenis B.

Lebih 45% kaum lelaki di Malaysia merokok, bayangkan apakah kesan tabiat ini ke atas kesihatan diri mereka sendiri dan juga ke atas orang lain di sekeliling mereka. Inilah sebabnya kerajaan sangat mengambil berat akan tabiat merokok kerana mudarat yang dibawa olehnya adalah terlalu banyak.

Rujukan:

Cao S, Yang C, Gan Y, Lu Z. The Health Effects of Passive Smoking: An Overview of systematic reviews based on Observational Epidemiological Evidence. PLos One, 2015; 10(10):e0139907.

http://www.who.int/tobacco/research/secondhand_smoke/en/






Friday, August 10, 2018

MENCARI TITIK PERTEMUAN: LGBT 2.0

Pada awalnya saya takut untuk menulis isu ini, tetapi seperti biasa saya tidak dapat mengawal tangan saya yang gatal untuk menulis isu semasa. Saya tahu tulisan ini tidak akan disekat oleh fb sebab status saya jarang diviralkan, selalunya hanya berlegar dalam kalangan sahabat-sahabat fb dan juga pengikut fb saya. Anggaplah ini satu pendapat peribadi saya dan anda boleh setuju dan boleh tidak bersetuju.
Dalil daripada Al-Quran dan Hadith memang jelas terhadap hukum mengamalkan seks songsang dan juga transgender yang juga dikenali sebagai kelainan orientasi seks. Terdapat 85 ayat dalam 12 surah di dalam Quran yang menyebut tentang kisah Nabi Luth dan laknat terhadap kaumnya. Manakala terdapat 7 hadith sahih yang mengesahkan hukum haram dan berdosa besar melakukan seks luar tabii dan juga perlakuan transgender (lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki) (1,2). Jadi bagi umat Islam yang menggunakan Al-Quran dan hadith sebagai sumber hukum, maka inilah hukum yang menjadi pegangan kita. Golongan yang menafikan perkara ini adalah mereka-mereka yang tidak meletakkan Quran dan Hadith sebagai sumber hukum, samada tidak yakin dengan keduanya ataupun hanya berpandukan Quran dan mengenepikan hadith.

Di dalam polimik yang sedang kita alami sekarang ini , sedang berlaku pertembungan antara 2 kumpulan yang berbalas pendapat dalam bentuk tulisan di media sosial khususnya facebook. Ada juga yang diulang-siar dalam akhbar. Saya percaya ada juga kumpulan ketiga yang hanya memerhati dan seringkali bertukar arah apabila membaca hujah ataupun tulisan daripada kedua-dua belah pihak. Saya membaca hampir kesemua tulisan-tulisan wakil di kedua-dua belah pihak khususnya yang menjadi viral di dalam media sosial dan ada di antaranya telah disekat oleh facebook. Ini sangat mendukacitakan kerana tindakan ini tidak sepatutnya berlaku di dalam alaf baru yang sepatutnya memberi peluang semua pihak untuk bersuara dan memberikan pendapat. Saya juga menonton video dan rencana tulisan wartawan mengenai kenyataan oleh Datin Paduka Marina untuk mengetahui apakah maksud yang hendak disampaikan kerana saya percaya bahawa polimik ini bertitik-tolak daripada temubual beliau.

Apabila membaca semua pendapat-pendapat dan menonton video tersebut, saya cuba mencari persamaan dan perbezaan. Saya ingin tegaskan bahawa perbandingan ini hanya tertumpu kepada tulisan penulis-penulis yang beragama Islam yang menjadi viral, termasuk dalam kalangan doktor dan professor. Ia tidak dibuat berdasarkan perbuatan, tulisan atau ucapan yang dilakukan pada masa lampau.

Saya dapati terdapat banyak persamaan pendapat di antara kedua-duanya. Persamaan-persamaan berikut adalah:
1. Golongan yang mengalami kelainan orientasi seksual ini ataupun singkatannya LGBT memang ujud. 


2. Golongan ini adalah manusia yang mengalami masalah, maksudnya mereka adalah golongan yang perlu dibantu untuk dipulihkan.

3. Mereka patut dilayan sebagaimana warganegara Malaysia yang lain, mereka menikmati hak-hak sebagai warga negara termasuk hak untuk belajar, bekerja, menerima rawatan dan lain-lain. Mereka tidak boleh dizalimi dan dianiayai.

4. Apabila mereka menjadi pesakit, mereka akan dirawat sepertimana pesakit-pesakit yang lain dengan adil tanpa ada diskriminasi tidak kira apa latar belakang mereka, tanpa mengambilkira orientasi seksual mereka. 

5. Amalan seksual yang berlaku akibat daripada kelainan orientasi seks ini adalah menyalahi hukum Islam.

6. Kedua-dua belah pihak tidak menafikan bahawa aktiviti seksual di luar tabii ini menyumbang kepada kes jangkitan HIV.

7. Langkah pencegahan dan program memulihkan mereka perlu dilakukan. Pendekatan yang diambil hendaklah dengan cara yang berhemah, lembut dan profesional. Kaedah yang keras, menghina dan kasar adalah bertentangan dengan apa yang diajar oleh agama dan juga budaya kita.

Saya cuba mencari perbezaan di antara kedua-dua kumpulan ini tetapi jika berdasarkan kepada tulisan dan pengucapan mereka yang telah disiarkan, saya tidak menemui perbezaan yang besar. Kesimpulan yang saya buat ini bukan andaian tetapi berdasarkan kepada maksud tulisan dan pengucapan kedua-dua belah pihak. Saya percaya, perbezaan itu ujud (cth: tafsiran perkataan "mengiktiraf" dan "mempromosi" LGBT) tetapi tidak dizahirkan pada masa ini, jadi saya tidak mahu komen, takut tersilap dan memfitnah. Tidak ada mana-mana pihak yang menuntut supaya golongan LGBT dilayan seperti mana negara Barat termasuk membenarkan perkahwingan sejenis dan seumpamanya. Begitu juga tidak ada pihak yang menuntut supaya semua golongan LBGT ini dicari, ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang hanya berdasarkan kepada naluri seks mereka yang songsang itu. Apa yang berlaku sebenarnya mungkin salah faham ketika menafsirkan maksud pengucapan dan tulisan masing-masing sedangkan pada hakikatnya kedua-dua belah pihak ingin menyampaikan pendapat yang sama. Berkemungkinan berlakunya salah faham ini adalah disebabkan oleh menerima maklumat daripada orang tengah ataupun gaya bahasa yang digunakan di dalam ayat yang ditulis.

Saya berharap episod LGBT 2.0 ini akan berakhir dengan baik seperti juga dengan LGBT 1.0 yang lalu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr. Mujahid telah menjelaskan pendirian beliau. Pada kali ini beliau masih lagi kekal dengan pendirian yang sama selari dengan nilai-nilai budaya masyarakat kita dan hakikat bahawa Islam adalah agama resmi negara Malaysia. Islam tidak mengiktiraf golongan yang mempromosi perlakuan dosa besar secara terang terangan (3,4). Saya percaya kerajaan melalui Jakim tidak akan duduk diam di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan saya difahamkan Jakim (semenjak kerajaan terdahulu) mempunyai pelan tindakan ke atas golongan yang mengalami masalah kelainan orientasi seks ini melalui aktiviti temuseru (outreach) untuk menarik golongan ini mengikuti program ‘llaj Wa Syifa’(rawatan dan pemulihan), di bawah Pelan Strategik Jakim 2015-2019 (5). Semoga lebih banyak program-program pencegahan dan pemulihan akan dijalankan di masa hadapan. Maaf dipinta jika ada isi kandungan tulisan ini menyinggung perasaan mana-mana pihak.

RUJUKAN



2. https://muslim.or.id/27432-kaum-gay-inilah-wahyu-allah-taal…


3.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/446350/

 mujahid-nafi-iktiraf-golongan-lgbt
4.https://www.youtube.com/watch?v=L-_tBME6-JQ



5. http://www.islam.gov.my/…/Hadis-hadis_Sahih_Berkaitan_Perla…


6. https://muslim.or.id/27432-kaum-gay-inilah-wahyu-allah-taal…



https://youtu.be/EdtS8VkOaUA

UNDANG-UNDANG LGBT DI MALAYSIA


The non-Muslim transsexual individuals can be charged with indecent behaviour which includes cross-dressing, under Section 21 of the Minor Offences Act 1955.20 Under this section, they can be fined RM 25 to RM 50. As the term “indecent behaviour’ has not been defined in the Act, it is up to the discretion of the police to determine what constitutes “indecent” behaviour. If the transsexual people caught by the police are Muslims, they can be sent to the Islamic Religious Affairs Department to be charged under Section 28, Syariah Criminal Offences Act 1997, for immoral behaviour, and are liable to a fine not exceeding RM 1000 or to imprisonment not exceeding one year, or both, at the Shariah Court for offences against the Islamic law. The Islamic religious authority, like the police, can also carry out raids among the Muslim community to identify wrongdoings against Islam.

Sunday, August 5, 2018

KEMANA KITA? LUAHAN RASA RAKYAT BIASA

Perpecahan dalam kalangan umat Islam yang berlaku pada hari ini bukan lagi rahsia. Sebagai orang awam, maaf jika saya katakan bahawa salah satu punca perpecahan ini adalah disebabkan oleh percakaran sesama sendiri dalam isu-isu berkaitan dengan agama. Perpecahan disebabkan perbezaan politik juga ada sumbangannya tetapi di dalam rencana yang saya tulis ini, saya akan memfokuskan kepada isu agama yang tentu sekali berkait rapat dengan pejuang-pejuang agama yang kita cintai ini. Saya tidak bermaksud memperlekehkan peranan mereka di dalam menyebarkan dakwah dan meningkatkan kefahaman Islam tetapi ada kesan sampingan yang tidak boleh diketepikan. Ucapan dan tulisan agamawan mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada pengikut dan orang awam seperti kami, terutama di era kecanggihan teknologi maklumat dan penyebaran berita pada hari ini. Saya tahu bahawa kenyataan saya ini mungkin akan mengguris perasaan ramai agamawan, tetapi inilah cara saya untuk meluahkan perasaan dan memberi pandangan. Semoga ianya diterima dengan positif.

Saya ingin menekankan bahawa tulisan ini adalah luahan perasaan daripada seorang rakyat biasa yang beragama Islam. Saya bukan mewakili golongan elit ataupun mana-mana gerakan Islam, tetapi hanyalah rakyat bawahan yang suara serta kedudukannya tidak cukup kuat untuk melakukan perubahan. Sudah cukup lama saya memerhati perkembangan ini dan saya bimbang jika tidak ada langkah yang berkesan diambil untuk menyelesaikannya. Semoga tulisan ini ada sumbangannya walaupun sekecil mata pena.

Di dalam Negara kita terdapat banyak gerakan Islam yang bergerak di atas platform yang berbeza, ada di dalam bentuk NGO dan ada yang menggunakan pendekatan kuasa politik. Tidak kurang juga yang bergerak bersendirian dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan. Pada saya, kesemua prinsip yang digunakan oleh gerakan Islam ini adalah baik dan mempunyai matlamat yang sama. Masing-masing ada sumbangan mereka yang tidak boleh diperkecilkan oleh sesiapa.

Saya dapati agamawan yang menerajui semua gerakan Islam ataupun wadah-wadah perjuangan yang lain mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang setanding. Maka sepatutnya tidak ada pertikaian daripada aspek aqidah dan kefahaman Islam mereka, baik yang bergerak di atas platfom NGO mahupun parti politik, samada di dalam kerajaan mahupun pembangkang. Jadi yang membezakan mereka adalah pendekatan di dalam perjuangan. Saya percaya idea-idea yang mereka gunakan untuk memilih pendekatan-pendekatan ini juga adalah daripada rujukan yang berwibawa dan dengan hujah-hujah yang tersendiri. Pada pendapat saya kepelbagaian di dalam pendekatan ini adalah sesuatu yang positif dan sepatutnya dianggap sebagai satu rahmah. Saya boleh membuat analogi mudah membandingkan kepelbagaian ini dengan ubat kemoterapi untuk merawat penyakit kanser. Kami pakar kanser menggunakan lebih daripada satu jenis ubat kemoterapi yang bertindak dengan cara berbeza dan tindakan berbeza ini memberi kesan sinergistik (kuat-menguatkan) yang lebih berkesan untuk mematikan sel-sel kanser.

Malangnya ramai dalam kalangan umat Islam termasuk yang mendokongi perjuangan Islam sendiri tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan kelebihan yang ada pada perbezaan pendekatan ini. Saya tidak pasti punca sebenar ujudnya keadaan ini tetapi mungkin ianya disebabkan oleh ketaksuban kepada sesuatu pendapat dan kumpulan sehingga walaupun perbezaan itu bersifat khilafiah dan bukan perkara pokok, ia menjadi isu besar dan umat Islam bercakaran sesama sendiri akibat daripadanya. Walaupun ramai yang mempunyai akhlak yang terpuji dan berjuang dengan ikhlas, tetapi ada segelintir daripada mereka yang mempunyai masalah akhlak dan keegoan yang terlalu tinggi. Bak kata pepatah “sebab nila setitik, rosak susu sebelanga”. Golongan ini seringkali menangani perbezaan dengan cara yang penuh emosi dan tidak professional. Jika tidak berjaya memainkan sentimen agama, sentimen perkauman diselitkan bersama untuk mencapai matlamat mereka.

Perbezaan pendapat dihebahkan di dalam media sosial dengan pendekatan yang gelojoh dan kurang professional. Di antara contoh pendekatan yang saya maksudkan itu adalah mencari kesilapan perkataan ataupun ucapan agamawan lain dan mewar-warkan perbezaan pendapat di dalam media sosial dengan tujuan untuk mengatakan si-Pengucap ini salah dan jahil ataupun pendekatannya tidak betul. Sanggup menggunakan keratan video yang sangat singkat demi untuk meyakinkan pengikut dan orang awam, sedangkan baki ucapan yang jauh lebih panjang tidak dikongsi dan dianalisa. Ada juga yang menggunakan “screenshot” kenyataan akhbar untuk menulis hujah membantah dan kemudian disiarkan untuk tatapan orang awam, sedangkan kenyataan penuh tidak diteliti. Ini memberi kesan ke atas orang awam terutama pengikut-pengikut yang akan terikut-ikut dengan rentak guru mereka. Pengikut agamawan yang diserang pula tidak akan duduk diam. Maka berlakulah perang label melabel, tuduh menuduh dan memperlekehkan di antara satu sama lain. Asalnya isu yang kecil menjadi isu besar yang tersebar luas di seluruh negara, maka fitnah berleluasa di mana-mana, diviralkan oleh alat komunikasi moden era ini. Saya sangat sedih membaca komen-komen pengguna media sosial yang tidak beradab yang menyusuli status tulisan ramai yang bergelar agamawan. Alangkah malunya jika ini dibaca oleh rakan-rakan bukan Islam. Fenomena ini tidak menguntungkan sesiapa pun melainkan golongan yang ingin melihat orang Islam lebih berpecah.

Di dalam era pasca PRU14 ini, di mana berlakunya perubahan besar di dalam pemerintahan, ketegangan dalam kalangan agamawan dan gerakan Islam ini memberi peluang kepada pihak lain yang ingin mengambil kesempatan, iaitu pihak ketiga yang mempunyai agenda sendiri. Perjuangan golongan ini bukan untuk agama dan mereka menggunakan kesempatan ini untuk menjarakkan lagi kerenggangan hubungan dengan sengaja mengujudkan isu-isu tambahan yang boleh menyemarakkan lagi api pertelingkahan. Ini mungkin hanya telahan saya sahaja tetapi mungkin agenda golongan ketiga ini ada kena mengena dengan wang dan kuasa.

Persoalannya sekarang adakah apa-apa yang boleh dilakukan untuk menyatukan umat Islam supaya semua memfokuskan kepada agenda yang sama. Mungkin ada yang mengatakan perkara ini bukan baru, sudah lama berlaku dan memang susah untuk diselesaikan. Pada saya ini adalah kenyataan orang yang sudah berputus asa sedangkan semua tahu bahawa dengan kuasa Allah, tidak ada perkara yang mustahil dilakukan. Sekurang-kurangnya penyatuan ini dapat dimulakan dengan kesedaran bahawa setiap umat Islam samada agamawan ataupun orang awam mengiktiraf kalimah tauhid yang sama. Di samping itu, semua agamawan dan gerakan Islam perlu bekerjasama, berfikiran positif dan berbaik sangka di antara satu sama. Menggunakan perbezaan pendekatan untuk menghasilkan satu perjuangan yang sinergistik. Bersaing daripada segi idea siapa yang lebih baik dan bukan siapa yang lebih islamik. Apabila berjuang untuk tujuan menunjukkan diri lebih islamik daripada orang lain, maka inilah yang boleh menjadi bunga-bunga ketaksuban dan benih kepada extremisma. Meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan itu melalui meja perbincangan ataupun secara peribadi yakni melalui cara yang lebih berhemah dan professional. Saya berpendapat fokus memperbaiki akhlak tidak hanya tertumpu kepada orang awam seperti saya dan pengikut tetapi juga ke atas pendokong-pendokong dakwah Islam itu sendiri. Semua agamawan dan bakal pendakwah juga perlu didedahkan tentang adab berbeza pendapat di dalam hal-hal cabang dan ijtihadi. Orang awam seperti saya juga perlu diberi pendidikan tentang perkara yang sama dan belajar bagaimana memilih pakar rujuk yang betul serta menolak mereka-mereka yang tidak berakhlak untuk dijadikan sumber rujukan.

Apabila membaca tulisan ini, mungkin ramai yang berkata bahawa saya hanya pandai menulis, jadi “keyboard warrior”, cakap dan tulis memang senang, tapi mana jalan penyelesaiannya? Sejujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana matlamat yang saya nyatakan di atas dapat dicapai kerana saya bukan pakar di dalam bidang berkenaan. Tambahan pula seperti yang saya katakan, tulisan ini adalah tulisan seorang rakyat biasa yang menulis hanya untuk melontarkan pendapat. Walau bagaimanapun, saya percaya pasti ada jalannya, ia memerlukan masa dan komitmen daripada semua pihak. Kita sedang menanti satu kepemimpinan agama yang boleh menjadi juara di dalam menyatukan semua agamawan dan institusi agama di bawah satu payung pentadbiran yang paling dihormati. Mensasarkan kesempurnaan sebagai matlamat memang amat sukar dicapai, tetapi sekurang-kurangnya kita bergerak menggunakan landasan yang lebih baik.

Para agamawan yang ada pada hari ini tentu lebih arif tentang sejarah kejatuhan empayar dan negara Islam di masa lampau di mana perselisihan seumpama inilah yang menjadi salah satu puncanya. Tidakkah sejarah yang berlaku itu tidak cukup kuat untuk mendorong anda supaya melakukan sesuatu agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Anda memikul tanggungjawab yang sangat besar kepada umat Islam hari ini dan akan datang.

DDr Rushdan Noor
15hb Julai 2018
https://www.facebook.com/rushdan.noor

MENCARI SEMPADAN ANTARA BULI DAN BIMBING

MENCARI SEMPADAN ANTARA BULI DAN BIMBING

Sesiapa pun tidak menafikan kesan negatif akibat daripada budaya membuli dan betapa pentingnya ianya dibenteras. Fenomena membuli ini berlaku di mana-mana dan di semua peringkat masyarakat. Ianya berlaku di dalam mana-mana komuniti pelajar dan pekerja, di bandar dan di desa. Contohnya hasil kajian ke atas pelajar sekolah rendah luar bandar (FELDA) di negeri Perlis/Kedah, menunjukkan berlakunya kejadian buli dalam kalangan 37.3% murid-murid sekolah(1). Apa yang membezakan adalah kadar ianya berlaku. Untuk mengukur kadar berlakunya buli, perlu kajian yang betul dan telus, bukan dengan membuat soal selidik yang mudah dan berat sebelah. Definisi buli itu perlu jelas dan memenuhi kriteria yang betul.

Mengesahkan berlakunya kejadian buli juga perlu mengambil-kira konteks di mana dan siapa yang terlibat. Maklumat perlu diperolehi daripada kedua-dua pihak. Jika anda membaca maksud MEMBULI dan menggunakannya secara literal, saya percaya hampir semua orang pernah dibuli dan pernah menjadi Pembuli di dalam hidupnya. Umumnya kita tidak mengatakan seorang ibu/bapa dan guru membuli anak/anak murid mereka semasa mendidik dan menghukum, walaupun ada tindakan mereka itu boleh tergolong di dalam makna membuli. Begitu juga Jurulatih sukan, semasa melatih pemain2nya, ada unsur-unsur tekanan fizikal dan mental yang berat dikenakan, tetapi tidak dikatakan membuli. Mungkin contoh paling baik adalah latihan ketenteraan, pelatih tentera dilatih untuk mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang sangat tinggi. Kita tidak menuduh Komandan mereka membuli walaupun tekanan perasaan dan fizikal yang dialami oleh pelatih2 ini sudah memenuhi kriteria dibuli, jeritan dan herdikan Komandan adalah makanan harian mereka.

Menjadi seorang doktor memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Perlu bersedia bila-bila masa untuk menyelamatkan pesakit. Perlu sentiasa peka dan tidak boleh lalai walau seminit semasa menjalankan tugas, lebih-lebih lagi ketika bertugas di dalam panggilan. Kesilapan dan kelalaian akan membawa padah kepada pesakit sehingga boleh menjadi punca kematian. Tidak hairan mengapa ada Institusi Pengajian Tinggi yang memasukkan latihan ala ketenteraan kepada pelajar2 perubatan. Walaupun mereka tidak menjalani latihan berat seperti seorang tentera tetapi salah satu matlamatnya adalah untuk ketahanan, kepantasan berfikir dan emosi yang stabil. Kita tidak menuduh institusi ini mendera pelajar2nya. Begitu juga dengan doktor2 pelatih yang menjalani latihan di hospital2 di mana mereka didedahkan dengan keadaan sebenar kehidupan seorang doktor. Tempoh latihan ini perlu mereka lalui dengan cabaran2 yang sebenar supaya apabila mereka tamat tempoh latihan, mereka akan menjadi seorang doktor yang cekap, mampu membuat keputusan yang tepat dan mempunyai ketahanan emosi yang tinggi. Semasa mengharungi kehidupan sebenar sebagai doktor yang berdaftar, mereka perlu berhadapan dengan berbagai tugasan yang lebih mencabar, di samping perlu menangani pelbagai kerenah dan tekanan daripada pesakit serta ahli keluarga mereka.

Saya tidak menafikan tentang ujudnya kejadian buli yang sebenar dalam kalangan doktor2 pelatih. Saya cuma bimbang jika perkataan buli ini terlalu mudah digunakan ke atas sesiapa sahaja tanpa melihat konteks ianya berlaku, bimbang akan ramai dalam kalangan doktor yang melatih terpalit dengan tuduhan Pembuli. Tindakan mendisiplin dianggap membuli. Ini boleh mengakibatkan tekanan kepada satu pihak dan persepsi negatif oleh masyarakat sehingga boleh menjejaskan program latihan. Kita perlu mengekalkan hubungan yang baik dan berfikiran positif di antara doktor pelatih dan doktor yang melatih. Saya percaya majoriti doktor2 pelatih adalah baik, malahan ada di antara mereka sangat cemerlang di dalam menjalankan tugas. Pada waktu yang sama majoriti doktor-doktor senior/pakar juga mempunyai kelayakan dan kemahiran yang tinggi, mereka ikhlas untuk membimbing dan yang paling penting adalah semuanya demi untuk keselamatan pesakit. Mereka banyak menyumbang kepada latihan doktor-doktor pelatih walaupun secara sukarela dan dilakukan dalam kesibukan menjalankan tugas hakiki.

Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud kejadian buli boleh diabaikan, sebarang kejadian buli sebenar terutama yang melampau tidak kira daripada mana-mana kategori tidak boleh dipandang ringan dan mangsa mesti melapurkan, tambahan pula Menteri Kesihatan kita sendiri telah memberi jaminan dan bersedia untuk menerima aduan secara terus. Saya berharap agar pihak kementerian juga sudi mendengar suara daripada semua pihak agar masalah buli ini dapat dilihat dengan kacamata yang lebih luas sehingga kita dapat mencari punca kejadian dan jalan penyelesaiannya.

DDr Rushdan Noor
1hb Ogos 2018


Pautan rujukan
1. http://journalarticle.ukm.my/10087/1/180-779-1-PB.pdf)
2. http://eprints.utm.my/id/eprint/5853/1/78069.pdf

MAQASID SYARIAH: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU


Sebagai orang awam, kita patut mengetahui beberapa istilah yang sering digunakan oleh agamawan di dalam media sosial ataupun majlis perbincangan. Saya selalu terjumpa dengan perkataan Maqasid Syariah. Disebabkan perkataan ini seringkali digunakan, maka rasa rugi kalau saya terlepas daripada mengetahui tentangnya. Saya pun membuat pembacaan dan bertanya kepada ahlinya. Saya memberanikan diri untuk berkongsi maklumat mengenai maksud Maqasid Syariah supaya walaupun tidak mendalami, sekurang-kurangnya kita tidak terasa asing dengan perkataan ini. Jika saya salah, tolong perbetulkan.

Syariah adalah aturan hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk kemaslahatan umat manusia. Ia adalah peraturan yang telah ditetapkan Allah kepada manusia, samada berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah, mahupun hubungan manusia sesama manusia. Rujukan kepada hukum adalah bersumberkan Quran, Sunnah dan Ijmak Ulamak. Setiap syariah yang ditetapkan itu pasti ada matlamatnya iaitu untuk kebaikan umat dan mencegah kemudaratan.

Maqasid Syariah pula adalah TUJUAN AKHIR syariah tersebut. Maqasid Syariah boleh diumpamakan seperti “BUAH” yang dipetik hasil daripada perlaksanaan syariah (Al-Raysuniy). Apabila menanam pokok, ada peraturan dan teknik penjagaan yang betul untuk menghasilkan pokok yang subur supaya buah yang dihasilkan ranum dan sedap.

Ulamak berpendapat bahawa Maqasid Syariah tidak dianggap dalil perundangan Islam, namun ia adalah pendekatan untuk lebih mendalami dalil yang kuat dan fakta yang sahih.

Imam Al Ghazali menggariskan 5 Maqasid Syariah iaitu:
1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)


Kita ambil contoh mudah iaitu salah satu syariat Islam adalah mengeluarkan zakat. Apakah Maqasid Syariah amalan Zakat? Terdapat 10 matlamat amalan zakat termasuk membersihkan harta, membersihkan jiwa pemberi dan penerima, mencegah hasad dengki, meningkatkan ekonomi dan lain-lain. Matlamat inilah Maqasid Syariah. Tetapi untuk mencapai Maqasid Syariah ini kita memerlukan kaedah perlaksanaan yang cekap dan selari dengan syariah. Perlaksanaan terbaik (mengutip dan membahagikan zakat) akan membuahkan hasil terbaik. Perlaksanaan memerlukan buah fikiran, komitmen dan kerjasama golongan ulamak,pemerintah dan cendikiawan di dalam menghasilkan pelan tindakan yang terbaik. Pelan tindakan yang terbaik sahaja tidak cukup jika tidak ada komitmen yang jitu daripada golongan perlaksana.Jadi memang mudah untuk menetapkan Maqasid Syariah tetapi sangat sukar untuk mencapainya kerana ujudnya kelemahan semasa proses perlaksanaan.

Pendek kata Maqasid Syariah melibatkan semua aspek kehidupan daripada sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya. Saya tertarik dengan salah satu contoh kecil yang relevan di dalam masyarakat kita iaitu memakai tudung untuk menutup aurat. Memakai tudung itu adalah perlaksanaan, manakala Maqasih Syariahnya adalah kesopanan dan kepatuhan kepada hukum Allah. Tetapi jika pemakainya tidak bersopan, tidak tercapailah Maqasih Syariah. Begitu juga wanita yang tidak memakai tudung tetapi sopan juga tidak mencapai Maqasih Syariah kerana di dalam perlaksanaan, syariah tidak dipatuhi.

Perbincangan tentang Maqasid Syariah tentulah sangat panjang dan hanya layak diberikan oleh ilmuan-ilmuan Islam kerana sifatnya yang sangat luas merangkumi keseluruhan hidup manusia. Ianya dianggap perbincangan tahap tinggi dalam Islam dan memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap hukum (tekstual dan kontekstual). Orang awam seperti kita tidak layak untuk memberi pendapat apabila timbul isu-isu kontroversi mengenai Maqasid Syariah. Biarlah isu-isu ini dibincangkan oleh golongan yang berkelayakan seperti mufti, ulamak dan ahli akademik.

Untuk mencapai Maqasid Syariah ini kita memerlukan ulamak yang serba boleh, berpengetahuan luas bukan sahaja tentang hukum hakam agama, tetapi juga ilmu keduniaan supaya kedua-duanya dapat diasimilasikan dengan sempurna. Inilah kelemahan yang dihadapi oleh Islam hari ini, kita masih ketandusan golongan ilmuan serba boleh seperti ini. Walau bagaimanapun ini boleh diatasi dengan kaedah kolaborasi yakni membawa kepakaran-kepakaran ini kepada satu meja perbincangan yang sama. Di dalam perlaksanaan mencapai Maqasih Shariah, satu lagi golongan yang penting dan tidak boleh disisihkan adalah pemimpin (umarak) kerana mereka memegang kuasa pemerintahan.

Menurut A.Prof Dr.Ruzman daripada Akademik Pengajian Islam, UM, tidak semua Maqasid Shariah itu dapat ditemui, maksudnya kita tidak tahu mengapa Allah menetapkan sesuatu Syariah, tidak tercapai akal manusia untuk mencarinya. Di dalam keadaan ini, kita hanya perlu meletakkan keabdian dan kepatuhan kepadaNya.

Disebabkan oleh masyarakat yang semakin kompleks dan teknologi berkembang dengan pesat, maka perlaksanaan untuk mencapai Maqasid Syariah juga berubah-ubah mengikut masa dan menjadi lebih kompleks berbanding dengan masa lampau. Pendek kata ianya bersifat dinamik walaupun prinsipnya sama. Kaedah perlaksanaan inilah yang seringkali menjadi perdebatan sehingga kadangkala menyebabkan berlakunya pertelingkahan. Dengan kompleksiti masyarakat dan kepesatan ilmu ini maka kita sebenarnya memerlukan golongan agama yang lebih tinggi darjat keilmuan dan kebijaksanaannya.

Saya sampaikan kebimbangan Prof Emeritus Dato' Dr. Mahmood Zuhdi dengan apa yang berlaku hari ini iaitu sudahlah kita ketandusan ulamak yang serba boleh, ulamak-ulamak yang ada pada hari ini pula sedang berbalah sesama sendiri sehingga berlaku perpecahan. Punca perpecahan yang paling ketara adalah kegagalan untuk menangani perbezaan pendapat. Apa yang malang sekali adalah perpecahan ini disebabkan oleh berbalah mengenai isu-isu ranting sehingga isu-isu pokok tertinggal ke belakang. Jika ini berterusan, maka jauhlah lagi perjalanan kita untuk mencapai Maqasid Syariah seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali itu.

Prof Zuhdi juga menekankan mengenai betapa pentingnya perpaduan umat Islam sehingga beliau mencadangkan satu lagi Maqasid Syariah iaitu Memelihara Hubungan. Perpecahan boleh menyebabkan kita gagal mencapai Maqasid Syariah. Akibat perpecahan, sebuah tamadun boleh runtuh. Katanya, akibat perpecahan juga, majoriti menjadi minoriti kerana sudah terpecah kepada banyak kumpulan sehingga akhirnya golongan yang benar-benar minoriti boleh menguasai golongan yang asalnya majoriti.Jika kita masih lagi bersikap tidak kisah dan tidak mengambil berat isu perpecahan ini, maka bersedialah umat Islam untuk menghadapi masa depan yang gelap.

Rushdan Noor
5hb Ogos 2018

Saturday, August 4, 2018

BAGAIMANA MENAPIS FAKTA PERUBATAN DI DALAM MEDIA SOSIAL DAN MENJADI PENGGUNA YANG BIJAK



Terlalu banyak maklumat produk kesihatan dan amalan perubatan di dalam media social sehingga ramai pengguna keliru. Salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh orang awam adalah mudah percaya dengan maklumat perubatan yang disiarkan di dalam media sosial. Jadi salah satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh anda adalah keupayaan untuk menapis maklumat supaya tidak tersilap mempercayai fakta yang tidak benar ataupun pseudosains/pseudoperubatan. Saya akan berkongsi dengan anda tip-tip bagaimana anda boleh membezakan di antara maklumat yang boleh dipercayai dan maklumat yang meragukan:

1. Apabila anda ternampak satu tajuk rencana yang menarik, lihat laman web rencana itu disiarkan (tulisan kecil di bawah tajuk). Jika nama laman web itu meragukan, maka anda perlu berhati-hati. Contohnya laman web itu menggunakan nama yang berkaitan dengan tanaman tetapi rencananya mengenai sakit jantung, nama laman web/blog yang tidak ada kena mengena dengan isu kandungan rencana. Banyak laman-laman web dan blog ini hanya ujud untuk tujuan perniagaan dan menarik orang untuk mengunjunginya. Jika anda tidak pasti, anda boleh pergi ke laman web tersebut dan baca rencana sepenuhnya. JANGAN BACA TAJUK SAHAJA. Kadangkala anda ditarik ke laman web itu hanya oleh tajuk sensasi yang tidak ada kaitan dengan isi rencana.

2. Semasa membaca rencana itu dapatkan IDENTITI PENULIS yang menulis. Nama mereka selalunya diletakkan di bahagian atas ataupun bawah rencana. Selalunya saya akan mencari biodata penulis tersebut, ada penulis yang mempunyai latarbelakang akademik yang baik, tetapi lebih ramai yang tidak mempunyai kelayakan untuk menulis tentang perubatan. Ada juga penulis blog ataupun admin laman web yang mempunyai perniagaannya sendiri seperti menjual suplemen, produk kesihatan, makanan dan lain-lain. Jika rencana itu ada kaitan dengan produk yang hendak mereka pasarkan maka terdapat ”conflict of interest”. Anda perlu berhati-hati dengan rencana ini. Saya cadangkan supaya anda menolak rencana dan dapatkan penulis yang tidak berkepentingan.

3. Jika penulis blog ataupun admin laman web mengambil rencana daripada sumber yang lain, maka anda dapatkan identiti siapakah PENULIS ASAL serta RUJUKAN rencana tersebut. Jika anda tidak tahu siapa penulisnya samada beliau menggunakan nama samaran ataupun anda gagal untuk mengesan identitinya, maka rencana itu perlu diragui. Anda boleh baca, tetapi jangan percaya bulat-bulat.

4. Jika di dalam rencana itu disertakan nama penulis asal yang mempunyai gelaran Dr ataupun Professor, maka anda perlu sahkan dahulu identiti dan gelarannya. Hari ini banyak gelaran boleh dibeli. Anda boleh menyelidik identiti penulis (taip nama penulis di atas google search dan anda akan ketemui jawapannya), samada beliau termasuk di dalam golongan pengamal perubatan konvensional (moden) ataupun pengamal perubatan alternatif/naturopathy. Jika penulis tergolong di dalam golongan kedua, maka saya menasihati anda supaya berhati-hati lebih-lebih lagi jika mereka menulis mengenai kaedah mencegah dan merawat penyakit. Kepada orang ramai yang tidak mempunyai asas pengetahuan mengenai perubatan, jalan yang lebih selamat adalah menolak rencana itu. Pengamal Perubatan alternatif akan menulis di dalam biodata mereka sebagai Pakar Naturopathy (Naturopathist), Herbalist, Homeopathist, Chiropractist, Acupuncturist dan lain-lain. Mereka ini TIDAK termasuk di dalam golongan pengamal perubatan konvensional. Jadi mereka mempunyai kefahaman tentang penyakit dan amalan yang berbeza dengan pegamal perubatan moden.

5. Berhati-hati mengambil maklumat daripada sesiapa sahaja termasuk seorang doktor yang berdaftar jika beliau terlibat di dalam perniagaan menjual produk kesihatan alternatif, suplemen dan juga kaedah-kaedah rawatan yang bukan tergolong di dalam kaedah rawatan konvensional. Tidak dapat dinafikan terdapat doktor yang mencari pendapatan tambahan melalui kaedah yang tidak beretika dan melanggar peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya percaya tidak ramai doktor yang tergolong di dalam kategori ini.

6. Jika anda berpuashati dengan penulis rencana dan isi rencana, anda yakin dengan laman web ataupun blog yang menyiarkannya, maka anda boleh menganggap rencana itu berwibawa. Kemudian barulah anda boleh ”like” ataupun”share” rencana tersebut utk berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat yang lain.

Jika anda mengamalkan 6 langkah yang disebutkan di atas, saya yakin sedikit sebanyak anda sudah menjadi seorang yang teliti dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu.

Kaedah ini nampaknya seperti sukar dipraktikkan, tetapi percayalah apabila amalan ini menjadi tabiat rutin anda, anda akan dapati ianya mudah dilakukan. Pada waktu yang sama, tidak semua pengamal perubatan alternatif /naturopathy menulis fakta yang salah, ada yang benar tetapi apabila dicampuradukkan fakta benar dan tidak benar, maka orang awam seperti anda tentu tidak berkemampuan untuk menapis. Pilihlah pakar rujuk yang berlatarbelakangkan perubatan konvensional/moden dan tidak ada kepentingan ke atas perniagaan produk-produk kesihatan ataupun rawatan alternatif. Rawatan alternatif ada peranan tetapi peranan itu ditentukan oleh pengamal perubatan moden.

Apabila anda sudah dapat menguasai ilmu menapis fakta perubatan ini, anda sudah tergolong di dalam golongan PENGGUNA YANG BIJAK. Anda akan dapat menjimatkan wang kerana tidak membeli produk-produk ataupun amalan perubatan yang belum terbukti berkesan dan tidak selari dengan disiplin ilmu sains perubatan moden.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbasters Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor
www.faktasains.com