Friday, May 22, 2015

PATUTKAH HANYA DOKTOR WANITA SAHAJA YANG MENYAMBUT KELAHIRAN ?

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah



Desakan supaya hanya doktor atau petugas wanita sahaja yang dibenarkan menyambut kelahiran masih hangat diperkatakan walaupun isu ini seperti tenggelam timbul. Berbagai-bagai reaksi telah diterima dari semua pihak termasuk dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sendiri.


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana individu, institusi mahupun pertubuhan2.

Jika kita bercakap dari sudut logik akal , maka agak mudah untuk menjawab persoalan ini kerana tentu sekali doktor atau petugas wanitalah yang sepatutnya menyambut kelahiran memandangkan amalan ini melibatkan pendedahan bahagian badan wanita yang paling sensitif yang melibatkan aib serta aurat. Bahagian badan yang dianggap hanya suami sahaja yang layak untuk melihatnya walaupun sempadan aurat seseorang wanita itu sebenarnya jauh lebih luas.


Jika isu aurat dan bahagian badan menjadi faktor utama, maka bagaimana pula dengan pesakit lelaki yang bahagian badan yang sama dilihat, diperiksa dan dirawat oleh doktor atau petugas wanita? Lebih 90% jururawat adalah kaum wanita , begitu juga sebahagian pakar2 bedah dan pakar urologi adalah kaum wanita, dan mereka ini akan bertugas di mana sahaja ada pesakit lelaki, mengendalikan rawatan, memberi ubat, menukar tiub saluran kencing, melakukan pembedahan, merawat luka di kawasan kemaluan dan lain-lain lagi yang juga melibatkan organ2 sensitif kaum lelaki. Tidakkah para isteri pesakit2 lelaki ini akan juga merungut mengapa dibenarkan perkara ini berlaku kerana bahagian2 yang sensitif itu sepatutnya mereka sahaja yang layak melihatnya. Nampak seperti ada pendirian yang berat sebelah, di satu sudut bermati-matian menentang rawatan doktor/petugas berlainan jantina, tetapi pada sudut yang satu lagi, biarkan sahaja, tutup sebelah mata. Mengapa wanita2 ataupun suami2 yang bermati-matian memperjuangkan supaya kelahiran disambut oleh petugas wanita tidak juga memperjuangkan supaya pesakit lelaki yang mengalami sakit di bahagian organ peranakan dikendalikan oleh petugas lelaki?


Berbalik kepada isu menyambut kelahiran oleh doktor atau perawat wanita, maka saya berpendapat bahawa kita perlu sedar realiti yang sedang kita hadapi hari ini dan tidak mudah membandingkan apa yang ada di luar negara dengan situasi di dalam negara kita. Saya ada terbaca rencana tulisan seorang wanita yang berpeluang dirawat di  United Kingdom yang beliau dakwa lebih Islamik dari negara Malaysia. Perbandingan seumpama itu adalah seperti membandingkan apel dengan buah limau. Saya ingin memberi sedikit gambaran mengenai bilangan pakar sakitpuan ataupun pakar O&G yang terdapat di negara kita. Pada tahun 2014, kita mempunyai sejumlah lebih kurang 750 orang pakar O&G di seluruh pelusuk negara kita yang mempunyai penduduk sejumlah lebih kurang 30 juta orang. Jika dinisbahkan dengan bilangan penduduk, maka kita mempunyai nisbah pakar O&G sebanyak 5 per 100,000 penduduk wanita (jika kita mengganggap 50% adalah kaum wanita). Untuk pengetahuan,di United Kingdom dan Amerika Syarikat, nisbah pakar O&G mereka adalah 25 per 100,000 wanita, iaitu 5 kali ganda lebih ramai pakar O&G berbanding dengan Negara kita. Jika kita ingin mencapai nisbah seperti mereka, kita memerlukan sejumlah 3,750 orang Pakar O&G. Dengan kata lain, jika kita ingin mempunyai kadar bilangan Pakar O&G yang sama nisbahnya dengan kedua2 Negara tersebut, maka kita perlu menambah  seramai 3,000 orang lagi Pakar O&G. Dengan kadar penghasilan 20-30 orang pakar setiap tahun, kita memerlukan lebih 50 tahun untuk mencapai bilangan tersebut dan setara dengan negara-negara maju yg tersebut. Inilah gambaran betapa kurangnya bilangan Pakar yang ada pada hari ini. Ini baru pakar O&G, belum lagi saya mengukur bilangan pegawai perubatan dan jururawat di negara kita yang juga masih kekurangan.

Bayangkan jika ditetapkan bahawa hanya doktor wanita sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran, agaknya setiap doktor wanita O&G yang ada dinegara ini akan terpaksa tinggal terus di hospital dan tidak boleh pulang ke rumah kerana terpaksa standby ataupun mengendalikan kes-kes kelahiran ibu yang berjumlah lebih 515,205 kelahiran setahun (hospital kerajaan sahaja, 2014), dan jika digabungkan dengan kelahiran di hospital swasta, mungkin akan mencecah lebih 600,000 kelahiran setahun. Sebenarnya fakta ini belum cukup untuk menjelaskan situasi sebenar beban kerja kerana bilangan Pakar O&G yang dinyatakan di atas termasuk Pakar2 O&G lelaki yang bilangannya seimbang dengan Pakar O&G wanita. Jika ditolak bilangan Pakar O&G lelaki, maka situasi beban kerja yang perlu ditanggung oleh Pakar O&G wanita akan menjadi lebih besar. Pakar2 O&G lelaki inilah yang banyak membantu meringankan tugas pakar2 O&G wanita hari ini sehingga kualiti kehidupan mereka lebih baik, ada masa untuk keluarga, suami dan anak-anak. Pakar2 O&G lelaki ini juga ramai yg merupakan tenaga2 pengajar kepada  pelatih-pelatih O&G samada peringkat ijazah, sarjana , mahupun subkepakaran.

Perlu ditekankan bahawa kelahiran boleh dikendalikan oleh petugas bukan Pakar jika ibu tersebut bukan tergolong di dalam golongan ibu berisiko tinggi,tetapi perlu diingat bahawa ibu yang asalnya dikategorikan sebagai berisiko rendah boleh bertukar menjadi ibu berisiko tinggi lebih2 lagi jika beliau di dalam proses kelahiran. Beban tugas seorang doktor O&G bukan hanya setakat mengendalikan kelahiran tetapi juga tugas bersedia ataupun "standby" kepada mana2 kes kehamilan dan kelahiran di sepanjang masa. Di samping tugas mengendalikan kehamilan dan kelahiran, mereka juga perlu bertanggungjawab merawat pesakit2 ginekologi yang berbagai.


Untuk ruangan yang terbatas ini, saya tidak mahu menyentuh isu2 lain seperti keperluan latihan di dalam bidang O&G kepada doktor2 siswazah, dan pelajar2 perubatan dan lain-lain hujah yang telah dikemukakan di dalam banyak rencana tulisan penulis2 lain. Begitu juga isu adakah satu masa nanti petugas lelaki tidak dibenarkan untuk masuk ke bilik bersalin dan kaum lelaki tidak dibenarkan mengambil bidang perbidanan dan sakitpuan. Banyak lagi isu2 sampingan yang perlu dinilai dan dikaji, hanya masa yang akan menentukannya. Saya secara peribadi setuju bahawa kita patut bergerak ke arah menyediakan perkhidmatan yg dapat memenuhi  kehendak pelanggan/pesakit, dan salah satu darinya adalah untuk melihat satu hari nanti tuntutan kaum wanita atau suami mereka yang mahu kelahiran mereka dikendalikan oleh petugas wanita sahaja akan dapat dipenuhi. Tetapi buat masa sekarang dan mungkin jangkamasa yang masih panjang dari sekarang, kita terpaksa menerima hakikat bahawa  perkhidmatan O&G hospital kerajaan masih belum mampu untuk memenuhi kehendak tersebut. Percayalah bahawa kita sedang berusaha,  kecenderungan  kaum wanita utk menceburi bidang O&G sudah menampakkan peningkatan dan insyallah satu hari nanti kita akan dapat melayan kehendak ibu2 ini walaupun mungkin tidak sepenuhnya. Apa-apapun keselamatan ibu dan anak adalah keutamaan paling tinggi dan demi untuk itu, isu gender perlu diketepikan seketika sehingga keadaan dan kemampuan benar-benar mengizinkan.



Bacaan tambahan pandangan A.Prof Dr. Harlina mengenai isu menyambut kelahiran, sila layari Pandangan A.Prof Dr.Harlina

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.

dribnusina.com.TheDanAcademy