Monday, July 30, 2018

UBAT ORIGINAL DAN UBAT GENERIK


Apabila sesuatu syarikat mengeluarkan ubat yang pertama di pasaran, maka ubat tersebut dikatakan ubat ORIGINAL ataupun ubat "INOVATOR". Syarikat tersebut akan mendapat hak intelektual ataupun paten selama 20 tahun. Jangkamasa 20 tahun itu bermula daripada masa penemuan ubat. Memandangkan ubat ini perlu menjalani kajian praklinikal, kajian klinikal peringkat 1, 2 dan 3 yang kadangkala mengambil masa 10-15 tahun, maka baki tempoh paten sesuatu ubat di pasaran sebenarnya hanya 5-10 tahun sahaja.

Ubat GENERIK adalah ubat yang dihasilkan oleh syarikat lain setelah ubat original tamat tempoh patennya. Ubat generik akan menamakan ubat mereka dengan nama lain tetapi bahan aktif di dalamnya adalah sama. Syarikat yang mengeluarkan ubat generik ini perlu memastikan bahawa kegunaan, dos, kaedah pemberian, kesan sampingan dan ciri farmakologinya adalah sama dengan ubat original. Jadi ubat generik sepatutnya mempunyai keberkesanan dan ciri keselamatan yang sama dengan ubat original. FDA membenarkan syarikat pengeluar ubat generik menambah bahan tidak aktif seperti pewarna, pengawet dan pemampat. Ubat generik boleh kelihatan berbeza daripada segi bentuk dan warna tetapi bahan aktif di dalamnya adalah sama.

Syarikat yang mengeluarkan ubat original mempunyai cabaran yang jauh lebih besar kerana perlu menjalankan kajian klinikal peringkat 1, 2 dan 3 yang melibatkan ramai orang serta memakan masa bertahun-tahun. Sedangkan syarikat yang mengeluarkan ubat generik hanya perlu menjalankan kajian BIOEQUIVALENT ke atas beberapa puluh orang sukarelawan. Kajian bioequivalent adalah dengan memberi sukarelawan ubat tersebut dan mengukur kandungan bahan aktif di dalam darah mereka. Kandungan bahan aktif di dalam darah ini akan dibandingkan dengan ubat original. Syarikat yang mengeluarkan ubat generik perlu membuktikan bahawa ciri farmakologi ubat generik yang mereka hasilkan adalah sama seperti ubat original. Memandangkan kandungan bahan aktif dan ciri farmakologi bahan aktif di dalam ubat generik adalah sama dengan ubat original, maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa keberkesanan dan kesan sampingannya juga sama.

Ubat generik lebih murah (sehingga 70% lebih murah) daripada ubat original sebab proses penghasilannya lebih mudah dan ubat ini tidak perlu menjalani kajian seperti mana ubat original yang memakan belanja berjuta-juta ringgit. Contoh ubat original untuk merawat diabetes adalah Glucophage, manakala ubat generik pula adalah metformin.

DDr Rushdan Noor 
30hb Julai 2018




Tuesday, July 24, 2018

BENARKAH HERBA YARSAGUMBA ITU HEBAT ?

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor 


Yarsagumba ataupun nama saintifiknya Ophiocordyceps sinensis sedang heboh diperkatakan. Ianya ditemui di negara Nepal, di tanah tinggi melebihi 10,000 kaki di banjaran Himalaya. Yarsagumba adalah sejenis kulat yang menyerang kepompong serangga dikenali sebagai "entomogenous fungus". Dikenali sebagai Yarsagumba di negara Nepal, India dan Butan. Uniknya herba ini adalah ianya terhasil melalui infestasi kulat ke atas kepompong ulat yang bakal menjadi serangga. Ulat mati dan kulat itu mengisi kepompong dan memanjang. Ia adalah gabungan kulat,kepompong dan saki baki ulat, mungkin inilah agaknya mengapa sebatian kimia di dalamnya agak unik. Saya sempat membaca beberapa kajian dan rencana mengenainya. Jadi pandangan yang saya tulis ini bolehlah dianggap sebagai pendapat peribadi, anda boleh bersetuju ataupun sebaliknya. 

Yarsagumba memang mengandungi banyak sebatian kimia, terlalu banyak. Disebabkan terlalu banyak sebatian kimia, maka tentulah ahli sains akan menemui manfaat yang bermacam2 apabila kajian dilakukan ke atasnya. Di antara kajian yang dilakukan adalah berkenaan dengan kesan antikeradangan, antipembiakan sel, antioksidan, mengurangkan gula darah, kesan imunomodulator, kesan ke atas sistem pernafasan, kesan melindungi buah pinggang, memperbaiki denyutan jantung, perlindungan hati, menurunkan kolesterol, menaikkan nafsu sek/libido dan lain-lain.

Kebanyakan kajian tersebut dilakukan di dalam makmal dan ke atas haiwan. Ada juga lapuran kes ("case reports") yang disiarkan mengenai kesan ke atas pesakit yang menerima buah pinggang, jangkitan paru-paru dan ke atas pesakit yang menjalani pemindahan jantung. Kajian yang melibatkan manusia adalah kecil dan jika kajian makmal dilakukan, ahli sains mengekstrak sebatian kimia di dalamnya. Pendek kata belum ada kajian besar ke atas manusia.

Sejujurnya saya memang mengakui terdapat banyak sebatian kimia yang boleh memberi manfaat kepada manusia, tetapi saya akan merasa sangat bimbang jika mengambil Yarsagumba ini secara mentah ataupun diproses sendiri. Jika anda melihat senarai sebatian kimia yang terdapat di dalam Yarsagumba (dikepilkan), tentu anda faham mengapa saya katakan begitu. Yarsagumba adalah herba yang sangat banyak kandungan bahan kimia. Tentu sekali Yarsagumba adalah sejenis herba yang sangat menarik untuk dikaji.

Jadi sebagai seorang doktor, saya tidak akan mengesyorkan pengambilan Yarsagumba semberono tanpa ada bukti kajian yang kukuh. Di samping itu kaedah mengekstrak sebatian kimia yang aktif dan menentukan dos yang optima perlu dilakukan sebelum diuji ke atas manusia. Jika anda seorang yang sihat, maka kekalkan kesihatan anda itu dengan amalan hidup sihat dan jangan mencari "penyakit" dengan mengambil herba seumpama ini.






BENARKAH KELADI TIKUS BOLEH RAWAT KANSER


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Pokok keladi tikus ataupun nama saintifiknya Typhonium flagelliforme adalah ahli di bawah keluarga pokok Araceae. Ia boleh tumbuh sehingga ketinggian 30 cm dan mempunyai daun berbentuk tiga segi. Penduduk di Asia Tenggara, India dan China menggunakan pokok ini sebagai rawatan alternatif penyakit kanser. Ia dikatakan boleh merawat penyakit kanser payudara, paru-paru, hati, prostat, pancreas, pangkal Rahim dan leukemia. Ia juga digunakan sebagai detoksifikasi, dimakan untuk merawat batuk dan sesak nafas. Untuk menyedapkan rasa, ia dicampurkan dengan madu. Kadangkala daunnya diambil secara mentah. Rantingnya juga dikatakan mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antioksidan (1). Di dalam rencana ini saya akan menulis berkenaan adakah benar pokok keladi tikus dapat merawat kanser.



Rajah : Pokok keladi tikus

Pencarian maklumat mengenai kajian pokok keladi tikus melalui injin pencarian Pubmeb telah menemui 22 kajian yang kebanyakannya berkaitan dengan kesan ke atas sel kanser. Terdapat juga kajian mengenai kesan farmakologikal  daripada ekstrak daun keladi tikus ke atas batuk, mengeluarkan kahak dan juga asma. Kajian daripada ekstrak yang diperolehi daripada akar, ranting dan daun pokok keladi tikus juga telah dijalankan. Kajian ini adalah untuk melihat kesan sitotoksik ataupun kesan merencat pembiakan sel. Ekstrak menggunakan chloroform dan hexane didapati mempunyai kesan sitotoksik yang lemah. Ekstrak daripada akar dan ubi pokok keladi tikus juga menunjukkan kesan sitotoksik yang ringan, manakala kesan daripada daun lebih lemah. Kesan sitotoksik yang dikaji ini adalah ke atas sel leukemia (murine P388 laukaemia cells) (2).
 
Kajian mengesan sebatian kimia di dalam akar pokok keladi tikus telah menemui beberapa kompoun seperti Glucopyranosyl, Octadecadiene, coniferin, sitosterol dan daucosterol (3). Kajian kesan ekstrak keladi tikus ke atas lapisan sel kanser paru-paru, mendapati terdapat bukti perencatan sel-sel kanser daripada ekstrak yang mengandungi  phytol, hexadecenoic acid, hexadecane dan pheophorbide. Kajian mendapati kesan antipembiakan sel ini hanya dapat diperolehi jika kesemua ekstrak ini digabungkan dan tidak ada mana-mana satu sebatian kimia ini yang boleh bertindak bersendirian(4). Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak keladi tikus dapat bertindak sebagai penggalak kematian sel ataupun kesan apoptotic. Kajian ini menggunakan ekstrak daripada ubi pokok ini ke atas sel-sel leukemia di dalam tikus. Ekstrak daripada daun keladi tikus walaupun mempunyai kesan yang sama tetapi sangat lemah.(5) 
 
Setakat ini pokok keladi tikus hanya dikaji di dalam makmal dan penemuan ciri-ciri antikanser sememangnya ujud tetapi lemah. Di samping itu kajian-kajian ini masih di dalam peringkat praklinikal. Kajian-kajian yang dilakukan ini menggunakan kaedah makmal yang kompleks untuk mengekstrak sebatian kimia yang aktif daripada pokok keladi tikus dan bukan melalui proses biasa seperti yang dilakukan oleh penjual ubat. Walaupun terdapat kesan positif terhadap sel kanser, kajian yang lebih besar ke atas manusia perlu dijalankan untuk mengesahkan keberkesananya. Setakat ini kesan positif kepada manusia hanya diperolehi daripada testimoni dan lapuran kes. Pesakit-pesakit ini pula ada yang telah menerima kaedah rawatan moden dan sukar untuk mengesahkan kesan langsung daripada produk keladi tikus. Berdasarkan keputusan kajian praklinikal yang mendapati kesan antikanser yang lemah, saya merasa sangat ragu kajian praklinikal ini dapat diluluskan untuk diteruskan kepada kajian klinikal.

KESIMPULAN

Pokok keladi tikus ataupun Typhonium flagelliforme mempunyai sebatian kimia yang berpotensi digunakan untuk melegakan beberapa gejala kesihatan. Ekstrak daripada pokok ini juga didapati mempunyai kesan antipembiakan sel dan juga mengalakkan kematian sel. Kajian yang dilakukan adalah ke atas lapisan sel kanser ataupun haiwan di dalam makmal. Jadi kesan ekstrak keladi tikus hanya dikesan pada peringkat kajian praklinikal. Hanya beberapa jenis kanser sahaja yang didapati berkesan termasuk leukemia dan paru-paru. Kajian ahli sains juga mendapati bahawa ekstrak daripada ranting dan akar pokok memberi kesan yang lebih besar daripada daun pokok keladi tikus. Perlu diingat bahawa semua kajian ini tidak cukup untuk digunakan sebagai bukti keberkesanan ke atas manusia dan penghidap kanser. Tambahan pula ahli sains perlu menentukan dos dan juga kaedah pemberian yang berkesan. Mengambil keladi tikus dalam bentuk herba, jamu, rebus, kapsul dan lain-lain seperti yang diproses oleh orang awam tidak akan berkesan kerana perlu melalui halangan asid di dalam perut. Kajian lanjut perlu dilakukan iaitu kajian fasa 1, 2 dan 3 untuk mengesahkan khasiat pokok keladi tikus. Semua pesakit kanser hendaklah berjumpa dengan pakar kanser dan mendapatkan rawatan kanser daripada mereka. Sehingga hari ini pokok keladi tikus belum boleh menggantikan kaedah rawatan kanser moden untuk merawat kanser.

RUJUKAN

  1. Mohan S, Abdul AB, Wahab SIA, Al-Zubairi AS, El hassan MM, Yousif M. Antibacterial and Antioxidant Activities of Typhonium Flagelliforme (Lodd.) Blume Tuber. American Journal of Biochemistry and Biotechnology. 2008; 4 (4): 402-407
  2. Choo CY, Chan KL, Takeva K, Itokawa H. Cytotoxic activity of Thphonium flagelliforme. Phytother Res, 2001; 15(3):260-2.
  3. Huang P, Karagianis G, Materman PG, Chemical constituents from Thyphonium flagelliforme. Zhong Yao Cai, 2004; 27(3):173-5)
  4. Fatima A, Yee HF. In Silico Screening of Mutated K-Ras Inhibitors from Malaysian Typhonium flagelliforme for Non-Small cell lung cancer. Advances in Bioinformatics, 2014, http://dx.doi.org/10.1155/2014/431696).
  5. Mankaran S, Dinesh K, Deepak S, Gurmeet S. Typhonium Flagelliforme: A Multipurpose Plant. International research journal of phamarcy, 2013 DOI: 10.7897/2230-8407.04308)


Sunday, July 22, 2018

MACHIAVELLIAN MODEN

MACHIAVELLIAN MODEN

Mungkin ramai yang pernah dengar nama Niccolo Machiavelli, seorang diplomat Itali, ahli politik, ahli falsafah dan penulis yang dilahirkan pada tahun 1469. Beliau adalah seorang Atheist, tidak percaya kepada Tuhan. Setengah ahli Psikologi percaya beliau mempunyai masalah personaliti yang dikenali sebagai Narcissism dan Psikopath.
Salah sebuah buku tulisan beliau yang terkenal adalah The Prince ditulis pada tahun 1513. Buku ini adalah mengenai idea beliau untuk memperolehi kuasa politik dan mempertahankannya. Saya cuma nak kongsi beberapa idea politik beliau bukan untuk ditauladani tetapi untuk pengetahuan bersama.
Bagi Machiavelli, matlamat politik boleh menghalalkan apa sahaja cara. Demi untuk mendapat kuasa politik, beliau berpendapat dibolehkan untuk menggunakan kaedah mengekploitasi orang lain, politik wang, memanipulasi, menipu, berpura-pura, fitnah, tiada belas kasihan dan menggunakan pendekatan menakut-nakutkan lawan. Machiavelli menganggap bahawa ahli politik yang berjaya bukanlah semestinya seorang yang jujur, baik dan mesra. Ahli politik yang berjaya adalah yang mencapai matlamat kuasa dan mempertahankannya dengan apa cara sekalipun selagi ianya dilihat kuat dan berkuasa, termasuk menggunakan kekerasan dan kekejaman. Mereka tidak semestinya benar-benar baik dan jujur tetapi hendaklah kelihatan seperti orang baik dan jujur. Doktrinnya adalah matlamat menghalalkan cara (The end justifies the means). Idea Machiavelli lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan dan yang paling penting ianya bertentangan dengan ketamadunan dan ajaran agama.
Hakikatnya ideologi Machiavelli ini digunakan oleh manusia hingga ke hari ini bukan sahaja di dalam politik, tetapi juga di dalam bidang-bidang lain termasuk perniagaan. Persoalannya adakah kita ingin ideologi Machiavelli ini terus berkembang di negara kita? Menggunakan fitnah untuk menjatuhkan lawan demi kuasa politik adalah salah satu ciri-ciri seorang Machiavellian. Sebagai rakyat biasa, kita patut tahu tentang ujudnya Machiavellian moden supaya kita berhati-hati dan jangan mudah terpedaya. Kita tidak mahu ahli-ahli politik di negara kita tidak kira mewakili mana-mana parti politik menyuburkan ideologi Machiavelli.
DDr Rushdan Noor 
22hb Julai 2018

KEKEBALAN KEMOTERAPI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Setiap pesakit kanser mempunyai keunikan tersendiri. Di samping itu kanser daripada jenis yang sama kadangkala memiliki ciri-ciri yang berbeza di dalam tubuh pesakit yang berbeza. Jadi ada faktor dalaman pesakit itu sendiri dan juga sifat kanser yang menentukan samada penyakit kanser itu dapat dirawat dengan rawatan kemoterapi.
Seseorang pesakit kanser boleh mengalami kekebalan kemoterapi yakni sel-sel kanser tidak dapat dimatikan dengan ubat antikanser. Terdapat banyak sebab mengapa ini berlaku. Umumnya seseorang itu dikatakan mengalami kekebalan ubat antikanser jika tidak ada sebarang kesan pengurangan kanser semasa rawatan diberikan. Ia juga dikatakan kebal jika kanser datang kembali tidak sampai 6 bulan selesai menjalani rawatan kemoterapi).
Terdapat banyak sebab mengapa seseorang pesakit kanser mengalami kekebalan ubat antikanser, di antaranya adalah:
1. Ubat antikanser tidak dapat sampai ke lokasi kanser disebabkan oleh sistem pengangkutan yang terjejas (contoh: kurang bekalan darah) ataupun ada halangan.
2. Ubat antikanser perlu berinteraksi dengan protin tertentu di permukaan sel kanser. Ia perlu masuk ke dalam sel dan mematikan sel kanser. Jika ubat antikanser tidak dapat masuk ataupun hanya dapat masuk dalam masa yang singkat, ia tidak dapat mematikan sel kanser dengan berkesan. Untuk mematikan sel kanser, kadar kemasukan ubat antikanser ke dalam sel hendaklah lebih cepat daripada kadar pengeluaran.
3. Sel-sel kanser dapat memperbaiki kecederaan memulihkan diri mereka akibat ubat anti-kanser. Kebanyakan sel-sel kanser tidak mampu memperbaiki dirinya apabila diberikan ubat antikanser sebab itu sel-sel ini mati. Proses kematian sel dinamakan apoptosis. Sel kanser yang kebal ini mempunyai keupayaan untuk menghalang apoptosis dengan menghasilkan bahan anti-apoptotik.
4. Sel kanser boleh menghasilkan banyak salinan gene yang menghasilkan enzim untuk merencat proses metabolisma ubat antikanser sehingga bentuk aktif ubat tersebut tidak dapat dihasilkan.
5. Sel-sel kanser yang sudah terdedah kepada ubat sitotoksik boleh mengubah dirinya menjadi kebal melalui proses penyesuaian diri. Salah satu punca berlakunya keadaan ini adalah apabila rawatan kemoterapi tergendala dan pesakit berhenti menerima rawatan di tengah jalan. Ianya juga boleh berlaku jika dos dan kekerapan rawatan tidak diberikan dengan betul. Ini memberi masa kepada sel-sel kanser untuk menjadi kebal.
6. Sel-sel kanser dapat mencari jalan ataupun mekanisma melemahkan ubat sitotoksik ("drug inactivation") yang sampai kepada mereka.
Terdapat banyak lagi mekanisma bagaimana seseorang pesakit kanser boleh mengalami kekebalan ubat antikanser. Selalunya kanser pada peringkat yang lewat ataupun sudah merebak ke banyak anggota badan lebih mudah mengalami kekebalan ubat antikanser. Begitu juga jika kanser tersebut daripada jenis yang ganas.
Rawatan kemoterapi oleh pakar kanser yang terlatih juga akan dapat mengurangkan kadar kejadian kekebalan antikanser. Menggunakan lebih daripada satu jenis ubat antikanser juga adalah salah satu cara mengurangkan kadar kekebalan. Kanser yang dikesan pada peringkat awal mempunyai risiko kekebalan ubat antikanser yang lebih rendah.
Jika seseorang pesakit mengalami kekebalan ubat antikanser, pakar kanser akan mempertimbangkan untuk memberi ubat antikanser yang lain ataupun dikenali sebagai "second line chemoterapy". Banyak kajian sedang dilakukan oleh Ahli Sains untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai mekanisma kekebalan terhadap ubat antikanser dan bagaimana mengatasinya. Hari ini Ahli Sains sudah berupaya menghasilkan beberapa jenis ubat antikanser yang lebih berkesan untuk merawat pesakit yang mengalami kekebalan kemoterapi.
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
23hb Julai 2018
https://www.facebook.com/rushdan.noor

Pautan : https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10211739162302391


Friday, July 20, 2018

KETAGIH PERMAINAN VIDEO (“VIDEO GAME ADDICTION”)

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Kementerian Kesihatan Malaysia




Wabak ketagihan permainan video sedang melanda anak-anak kita di Malaysia. Kajian menunjukkan bahawa terdapat kenaikan yang ketara kadar ketagihan bermain video di Negara Asia. Pada peringkat awal, permainan video dijadikan hobi tetapi lama kelamaan bertukar menjadi ketagihan. Kebanyakan ketagihan bermain video adalah dalam kalangan lelaki di bawah usia 30 tahun. Ada kajian yang menunjukkan kadar ketagihan video game adalah 8.4% dalam kalangan lelaki dan 4.5% wanita.

Ahli psikologi mendapati bahawa bahagian otak yang terlibat dengan ketagihan bermain video adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh kokain iaitu pada bahagian “frontal cortex” yang mengawal fungsi eksekutif (“executive function’). Fungsi eksekutif bertanggungjawab di dalam beberapa kemahiran seperti memfokus, merancang, menyusun, mengawal emosi dan pemantauan diri sendiri. Kajian otak kanak-kanak yang ketagihan video game ini kelihatan seperti seseorang yang ketagih dadah walaupun tindakbalas transmitter di dalam otak mereka tidak setinggi kesan dadah. Tidak hairan mengapa kadangkala video game ini dikenali sebagai heroin digital.

Pemainan video secara sederhana mempunyai kesan yang positif ke atas otak kerana pakar psikologi berpendapat bahagian-bahagian otak yang terlibat dengan permainan ini berkembang dengan lebih pesat sehingga boleh meningkatkan keupayaan kognitif seseorang. Permainan yang sederhana juga memberi keseronokan, mengurangkan tekanan dan melatih cara berfikir yang kreatif untuk menyelesaikan masalah. Walau bagaimanapun seseorang pemain boleh menjadi ketagih dan apabila ini berlaku, kesannya adalah bertentangan dengan kesan positif yang disebutkan di atas. Walau bagaimanapun, Pakar Psikologi masih belum mengetahui tentang kesan jangkamasa panjang.

KRITERIA-KRITERIA MENGESAN PENAGIH BERMAIN VIDEO

Pertubuhan Psikiatri Amerika (PPA) menamakan ketagihan permainan video ini sebagai “Internet Gaming Disorder (IGD)”. PPA mencadangkan sekurang-kurangnya 5 daripada 9 ciri-ciri berikut untuk memenuhi kriteria sebagai IGD:

1.KEASYIKAN MELAMPAU (“PREOCCUPATION”). Menghabiskan masa yang panjang berfikir tentang video game, walaupun semasa tidak bermain.

2.GIAN (“WITHDRAWAL”). Merasa resah gelisah dan cepat marah apabila tidak boleh bermain.

3.TOLERANSI (“TOLERANCE”). Keinginan untuk bermain lebih lama dan permainan yang lebih mencabar untuk mendapatkan keseronokan yang sama.

4.PENGURANGAN (“REDUCE”). Kesedaran yang mereka patut mengurangkan permainan, tetapi mereka tidak berupaya.

5.MENINGGALKAN AKTIVITI LAIN. Kurang melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti rekreasi yang lain. Bagi budak sekolah, tidak bersukan, tidak bersosial dan mengikuti aktiviti ko-kurikulum akibat bermain video.

6.TERUS BERMAIN WALAUPUN BERMASALAH. Mereka meneruskan permainan walaupun sedar ianya memberi kesan negative kepada hidup mereka.

7.BERBOHONG. Berbohong ataupun menafikan tentang sejauh mana terlibatnya mereka dengan permainan itu

8.MELEPASKAN DIRI. Menggunakan permainan video ini untuk mengurangkan kerisauan dan tekanan perasaan

9.RISIKO. Risiko mengalami masalah hubungan ataupun dibuang kerja ataupun kenaikan pangkat akibat bermain video. Bagi murid sekolah pula, tidak ,membuat kerja rumah dan ponteng sekolah. Mereka juga boleh mengalami kemerosotan pelajaran dan kegagalan di dalam peperiksaan.

Jika tidak boleh mengingati kriteria-kriteria ini, kaedah mudah untuk seseorang menyedari bahawa beliau sudah ketagihan adalah apabila beliau merasa gelisah jika tidak bermain, tabiat ini memberi kesan ke atas hubungan dengan orang lain ataupun kehilangan kerja ataupun masalah kerjaya. Beliau sedar bahawa tabiat ini menyebabkan lebih banyak mudarat daripada manfaat tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Jika keadaan ini dialami oleh seseorang, maka berkemungkinan besar ia sudah mengalami “Internet Gaming Disorder”.

WHO bakal memasukkan Gaming Disorder ini ke dalam ICD 11 pada tahun ini. Ini bermaksud, ketagihan bermain video ini akan menjadi salah satu masalah kesihatan mental yang diiktiraf oleh perubatan untuk didokumentasikan di dalam lapuran.

Rawatan untuk ketagihan bermain video ini sama seperti ketagihan kepada bahan-bahan yang lain. Peranan ibubapa adalah besar di dalam memantau dan juga mengawal anak-anak daripada menjadi penagih kepada permainan video. Perbincangan tentang kaedah pencegahan dan rawatan bukan di dalam skop tulisan ini.

DDr Rushdan Noor
21hb Julai 2018

https://www.facebook.com/rushdan.noor
www.faktasains.com

RUJUKAN

Bickel, W. K., et al (2014). Psychopharmacology 221, 361-387.
Ferguson, M. C., Coulson, M., & Barnett, J. (2011). Journal of Psychiatric Research, 45, 1573-1578.
Kardaras, N. (2016). It’s ‘digital heroin’: How screens turn kids into psychotic junkies. New York Post, August 27, 2016.
Loton, D. et al. (2016). International Journal of Mental Health and Addiction, 14, 565-578.
Markey, P. M., & Ferguson C. J. (2017). Moral combat: Why the war on violent video games is wrong. Benbella Books.
Palaus, M., et al (2017). Frontiers of Human Neuroscience, 11, article 248.
Stockdale, L., & Coyne, S. M. (2018). Journal of Affective Disorders, 225, 265-272.
https://www.webmd.com/…/featur…/video-game-addiction-no-fun…
http://www.myhealth.gov.my/…/online-gaming-addiction-inter…/

Sunday, July 15, 2018

BEDAK TALKUM MENYEBABKAN KANSER OVARI : FAKTA ATAU AUTA


Kanser ovari adalah sejenis kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal. Ianya juga tidak mempunyai kaedah pencegahan yang berkesan seperti kanser pangkal rahim. Di samping sukar untuk dikesan, sehingga ke hari ini ahli sains belum lagi menemui punca sebenar yang bertanggungjawab menyebabkan kanser ovari, walaupun mereka mengetahui faktor risikonya. Maka kepada pakar kanser, kanser ovari adalah sejenis kanser yang misteri walaupun pengetahuan tentang jenis dan kaedah merawatnya sudah semakin baik.
Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat banyak berita mengenai kes saman terhadap syarikat yang mengeluarkan bedak talkum Johnson & Johnson. Saman ini dikaitkan dengan dakwaan bahawa bedak talkum yang dikeluarkan oleh syarikat ini boleh menyebabkan kanser ovari. Benarkah ada kaitan di antara bedak talkum dengan kanser ovari. Berikut adalah ulasan saya.
1. Bedak talkum diperbuat dari talc yang mengandungi bahan galian seperti magnesium, silikon dan oksigen. Talc mempunyai sifat menyerap air yang sangat berkesan dan dapat mengurangkan geseran.
2. Talc di dalam bentuk asalnya mengandungi asbestos. Ada juga yang berpendapat asbestos adalah bahan sampingan yang diperolehi semasa talc diambil daripada lombongnya.
3. Asbestos dikaitkan dengan beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru dan kanser pundi kencing
4. International Agency in Research of Cancer (IARC) telah mengkategorikan talc yang mengandungi asbestos sebagai mungkin karsinogenik kepada manusia (”possibly carcinogenic to humans”) jika digunakan pada kemaluan wanita. Karsinogenik adalah bahan yang boleh menyebabkan kanser.
5. Manakala pada hari ini talc yang terdapat di dalam bedak talkum Johnson & Johnson sudah TIDAK mengandungi asbestos. Asbestos hanya dikesan di dalam talc sebelum tahun 1973. IARC telah mengklasifikasikan talc tanpa asbestos sebagai BUKAN karsinogenik.
6. Sebelum tahun 1973, talc di dalam bedah talkum memang mengandungi asbestos dan pada masa tersebut bedak digunakan di bahagian kemaluan untuk tujuan mengurangkan kesan geseran dan juga bau. Ianya digunakan ke atas bayi dan juga oleh orang dewasa.
7. Penyelidik telah mendapati ada kemungkinan ujudnya kaitan di antara penggunaan bedak talkum sebelum tahun 1970 an dengan kanser ovari. Ini dikaitkan dengan kandungan asbestos di dalam bedak tersebut dan apabila ianya digunakan ke atas kemaluan dalam jangkamasa yang panjang. Adapun penggunaan bedak talkum pada bahagian lain badan adalah selamat.
8. Persoalannya, sejauh manakah kaitan bedak talkum berasbestos (bedak talkum sebelum tahun 1973) dengan kanser ovari. Terdapat beberapa bukti bahawa kaitan di antara penggunaan bedak talkum dengan kanser ovari adalah sangat lemah. Di antara bukti-bukti tersebut adalah seperti berikut:
a. Semua dakwaan mengaitkan bedak talkum dengan kanser ovari adalah berdasarkan kepada kajian-kajian epidemiologi dan kebanyakannya adalah ”case-control study” yang dilakukan secara retrospektif iaitu data-data diambil daripada pesakit-pesakit terdahulu. Maklumat diperolehi hanya berdasarkan kepada ingatan pesakit.
b. Pada pandangan pakar kanser, ”case-control study” bukanlah kaedah kajian yang tepat untuk mengaitkan di antara penggunaan bedak talkum dan kanser ovari kerana kajian seumpama ini mempunyai kelemahan daripada pelbagai sudut.
c. Kajian yang lebih berwibawa iaitu kajian prospektif yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik ke atas 121,700 orang wanita di Amerika yang bermula pada tahun 1976 (responden berusia 30-55 tahun), telah mendapati bahawa terdapat seramai 30,000 orang wanita menggunakan bedak talkum yang mengandungi asbestos. Daripada jumlah tersebut, penyelidik mendapati bahawa kadar kejadian kanser ovari dalam kalangan wanita yang menggunakan bedak talkum adalah SAMA dengan wanita-wanita yang tidak menggunakan bedak talkum.
d. Teori yang mengatakan bedak talkum yang digunakan ke atas kemaluan akan menyebabkan asbestos naik ke organ peranakan atas sehingga ke ovari adalah meragukan. Malahan kajian daripada Gertig GM mendapati tidak terdapat perbezaan kadar kanser ovari di antara wanita yang telah menjalani "tubal ligation"(ikat tiub falopian) dengan wanita yang tidak menjalani pembedahan ini. Apabila tiub falopian diikat maka mana mungkin asbestos boleh sampai kepada ovari kerana ia perlu melalui tiub falopian terlebih dahulu.
Berdasarkan kepada 4 alasan yang saya sebutkan di atas, jelas menunjukkan bahawa kaitan di antara penggunaan bedak talkum berasbestos dengan kanser ovari adalah sangat lemah. Secara peribadi saya berpendapat IARC sepatutnya mengkaji semula pengklasan ini.
9. Pihak IARC tetap mengekalkan status bedak talkum berasbestos sebagai berpotensi menyebabkan kanser ovari, walaupun menyedari kaitannya sangat lemah. Sebenarnya banyak pihak yang mempertikaikan kaedah IARC mengkategorikan bahan penyebab kanser berdasarkan proses pengklasan yang mereka gunakan, terutama bahan seperti bedak yang sangat sukar untuk mengukur kuantiti dan pendedahan sebenar (”dose-exposure” ).
10. Dengan pendirian IARC ini, maka sesiapa yang menghidap kanser ovari dan pernah menggunakan bedak talkum sebelum tahun 1973 boleh mengambil peluang ini untuk mendakwa bahawa kanser ovari yang mereka hidapi adalah disebabkan oleh asbestos yang terkandung di dalam bedak talkum tersebut. Inilah yang berlaku ke atas syarikat Johnson & Johnson yang menjadi sasaran ramai penghidap kanser ovari sehingga syarikat ini perlu membayar pampasan berjuta-juta dolar Amerika kepada plaintif. Saman pertama dilakukan oleh serorang wanita bernama Diane Berg pada tahun 2009, diikuti dengan banyak lagi saman berikutnya. Pada hari ini jumlah saman sudah mencecah berbilion dolar Amerika. Hakim dan pihak juri mengambil keputusan untuk menyebelahi plaintif hanya berasaskan kepada kegagalan syarikat untuk memberi amaran walaupun pada pandangan pakar kanser, kaitan di antara bedak talkum dengan kanser ovari adalah sangat lemah. Nampaknya pihak plaintif berjaya menggunakan kebijaksanaan peguam untuk mempengaruhi keputusan Hakim walaupun beban pembuktian sebenarnya lebih berat kepada pihak mereka.
11. Pada pendangan Pakar kanser, keputusan Hakim ini adalah sangat memeranjatkan kerana walaupun mungkin syarikat gagal memberi amaran, sebenarnya kaitan di antara bedak talkum yang mengandungi asbestos dengan kanser ovari adalah sangat lemah dan meragukan. Adalah hampir mustahil untuk membuktikan bahawa bedak talkum tersebut adalah penyebab kanser ovari. Malahan terdapat ahli sains yang berpendirian bahawa mengaitkan bedak talkum dengan kanser ovari adalah satu mitos semata-mata. Mereka ini menganggap bahawa kanser ovari yang dihidapi oleh wanita-wanita ini adalah kebetulan semata-mata.
Kesimpulannya kaitan di antara bedak talkum berasbestos dengan kanser ovari adalah sangat lemah dan ianya hanya berasaskan kepada kajian epidemiologi dan kajian case-control. Lebih banyak bukti yang menolak kaitan ini. Walau bagaimanapun kegagalan pihak syarikat memberi amaran tentang penggunaan bedak talkum pada bahagian kemaluan dengan kanser ovari menyebabkan mereka terpaksa membayar dengan kos yang terlalu tinggi. Orang ramai tidak perlu bimbang kerana bedak talkum yang ada pada hari ini sudah tidak mengandungi asbestos. Syarikat pengeluar bedak juga telah mengeluarkan produk yang bukan berasaskan kepada talc tetapi serbuk yang dihasilkan daripada tepung jagung (”cornstarch”), sebagai pilihan kepada pengguna.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
16 hb Julai 2018
https://www.facebook.com/rushdan.noor

RUJUKAN:
…/canc…/talcum-powder-and-cancer.html

…/cancermyt…/talcum-powder-myth/


(Prospective study of talc use and ovarian cancer, Gertig DM, Hunter DJ, Cramer DW,et al. Journal of the National Cancer Institute, JNCI J Natl Cancer Inst (2000) 92 (3): 249-252. doi: 10.1093/jnci/92.3.249