Monday, April 30, 2018

KERJAYA MENJUAL VITAMIN DAN SUPLEMEN: SATU PANDANGAN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Kementerian Kesihatan Malaysia

Pada umumnya pakar-pakar perubatan yang tidak berkepentingan bersetuju bahawa kebanyakan orang TIDAK perlu mengambil vitamin dan suplemen ataupun makanan tambahan. Hanya sebilangan kecil sahaja yang perlu seperti seseorang yang kekurangan darah, disyorkan mengambil suplemen zat besi, seorang wanita yang putus haid elok mengambil suplemen kalsium ataupun vitamin D dan wanita-wanita yang merancang untuk hamil elok mengambil asid folik 3 bulan sebelum hamil dan semasa hamil. Begitulah juga individu2 yang menghadapi masalah kekurangan zat makanan, kekurangan hormon tiroksin, hormon estrogen dan lain-lain kekurangan yang disahkan, mereka ini akan disyorkan mengambil apa yang terkurang untuk memulihkan kesihatan. Yang sepatutnya mengesyorkan pengambilan suplemen ini adalah doktor ataupun pakar pemakanan yang merawat, bukan oleh individu itu sendiri. Pendek kata, bilangan individu yang perlu mengambil suplemen adalah kecil sebenarnya jika dinisbahkan dengan jumlah penduduk keseluruhannya. Orang yang sihat boleh mendapatkan semua keperluan nutrien daripada makanan dan minuman, malahan masyarakat kita sekarang menghadapi masalah terlebih makan sehingga menjadi negara yang paling gemuk di Asia.

Masyarakat kita telah dipengaruhi dan terjebak di dalam dunia perniagaan yang sangat besar iaitu menjual vitamin dan suplemen. Perniagaan ini sangat besar kerana semua manusia ingin SIHAT dan HIDUP LEBIH LAMA. Manusia takut kepada SAKIT, TUA dan MATI. Apabila ada produk yang didakwa boleh mencegah penyakit, memperlahankan proses penuaan dan memanjangkan hayat, maka menjual produk seumpama ini akan menjadi satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Dengan promosi yang hebat dan strategi perniagaan yang bijak, ramai orang terpengaruh dan tidak hairanlah mengapa permintaan produk ini sangat tinggi dan pasarannya sangat luas. Persoalannya adakah produk-produk vitamin dan suplemen ini benar2 diperlukan oleh manusia? Ahli-ahli sains dan pengkaji-pengkaji yang TIDAK BERKEPENTINGAN melakukan banyak kajian dan pencarian maklumat, setakat ini apa yang mereka temui adalah BERITA BURUK kepada industri perniagaan suplemen. Bukan sahaja vitamin/suplemen ini tidak diperlukan oleh kebanyakan orang, tetapi terdapat bukti yang pengambilannya boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan. Saya syorkan anda menonton video yang saya kepilkan di bawah untuk mendengar salah satu daripada banyak lagi pendapat pakar-pakar mengenai amalan mengambil vitamin dan suplemen.

Akibat daripada persepsi yang diwujudkan oleh syarikat-syarikat pengeluar suplemen dan dibantu oleh pakar-pakar yang mewakili mereka, ramai yang menganggap mengambil suplemen adalah keperluan semua orang. PERSEPSI SALAH ini telah meresap ke dalam minda ahli masyarakat dan ini dimanifestasikan oleh perkembangan yang pesat perniagaan vitamin dan suplemen melibatkan berbilion-bilion dolar Amerika, di seluruh dunia. Inilah akibatnya apabila kesihatan dijadikan alat perniagaan (sama seperti apabila agama dijadi alat perniagaan). Salah satu impaknya adalah pembaziran wang yang besar oleh pengguna, sedangkan wang itu lebih baik disalurkan kepada sesuatu yang lebih bermanfaat seperti pendidikan, pelaburan dan amalan kesihatan yang terbukti berkesan.

Amalan mengambil suplemen daripada sudut pengguna telah dibincangkan di atas, bagaimana pula daripada sudut penjual suplemen. Sememangnya menjual vitamin/suplemen boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan dan satu kerjaya untuk menyara hidup. Walau bagaimanapun, pendapatan yang diperolehi ini sebenarnya diambil daripada pengguna yang kemungkinan besarnya tidak mendapat manfaat daripada produk yang dijual. Sebagai penjual suplemen, anda perlu meyakinkan pembeli supaya membeli produk vitamin/suplemen anda dan di dalam melakukannya saya khuatir anda akan melakukan dakwaan keterlaluan ("overclaim") serta janji-janji palsu. Jadi memilih kerjaya menjual suplemen ini sangat besar tanggungjawab dan risikonya. Ianya jauh sekali berbeza dengan menjual makanan kerana pembeli makanan mengharapkan rasa sedap dan kenyang. Sedap dan kenyang adalah sesuatu yang mudah untuk dinilai dan kebanyakan pelanggan akan mendapat apa yang mereka beli. Sedangkan ramai pembeli produk suplemen tidak mendapat apa yang mereka harapkan (walaupun mereka tidak tahu). Bagaimana pula jika mereka mengalami kesan sampingan?. Jika ini berlaku apakah pula status pendapatan yang diperolehi ini? Agaknya neraca timbangan dosa pahala penjual produk suplemen ini lebih besar berbanding dengan perniagaan yang lain. Wallahuaklam. 


SELAMAT HARI PEKERJA 2018

DDr Rushdan Noor
1 hb Mei 2018


Sunday, April 15, 2018

PENJAGAAN PRA-KEHAMILAN (PRE-PREGNANCY CARE)

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi



Penjagaan Pra-Kehamilan adalah penjagaan kesihatan sebelum seseorang wanita itu hamil. Penjagaan pra-kehamilan merujuk kepada penjagaan kesihatan yang diberikan kepada semua wanita yang berkemampuan untuk hamil samada sedang berusaha untuk hamil dalam masa terdekat ataupun tidak. Perkhidmatan pra-kehamilan juga perlu melibatkan suami. Program penjagaan kesihatan ini akan terlebih dahulu mengenalpasti wanita yang berisiko mengalami masalah kesihatan ketika hamil samada ke atas diri mereka ataupun anak yang dikandung. Selepas mengenalpasti individu-individu ini, mereka akan disyorkan untuk menjalani kaunseling, rawatan perubatan, pendidikan dan juga panduan tingkahlaku sebelum mereka hamil. Penjagaan prakehamilan yang baik akan menjamin proses kehamilan dan kelahiran yang lebih selamat dan ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu. Banyak kes-kes kematian ibu di negara kita disebabkan oleh kelemahan di peringkat penjagaan pra-kehamilan.

Penjagaan pra-kehamilan ini dipercayai mula diperkenalkan oleh Chamberlain di dalam tahun 1980 an. Pada asalnya penjagaan pra-kehamilan ini disasarkan ke atas wanita yang pernah mengalami masalah kehamilan yang lalu, walau bagaimanapun pada hari ini program ini dikembangkan kepada semua wanita-wanita di dalam lingkungan usia reproduktif yakni yang berkemampuan untuk hamil. Mensasarkan hanya kepada wanita-wanita yang mempunyai risiko-risiko kehamilan sahaja akan menyebabkan manfaat penjagaan prakehamilan ini tidak dapat dikecapi oleh hampir 50% wanita-wanita lain. Ini disebabkan proses kehamilan sukar diramal kerana ramai dalam kalangan wanita yang tidak mengalami masalah kehamilan terdahulu boleh mengalami komplikasi kehamilan di masa hadapan.

Penjagaan pra-kehamilan merangkumi saringan risiko, kaunseling,pendidikan dan juga rawatan ataupun intervensi ke atas wanita yang berhajat untuk hamil ataupun yang berkemungkinan mengalami kehamilan tidak terancang. Penjagaan antenatal iaitu ketika seseorang itu sudah hamil dikira peringkat yang lewat kerana pada ketika itu kehamilan sudah berlaku dan anak sudah wujud di dalam kandungan. Tambahan pula pada ketika awal kehamilan, bayi di dalam kandungan sangat berisiko untuk mengalami kecacatan jika kesihatan ibu tidak berada di dalam keadaan yang optima. Wanita-wanita yang sihat juga dapat manfaat daripada penjagaan pra-kehamilan kerana ada amalan-amalan tertentu yang boleh mengurangkan risiko kecacatan bayi contohnya mengambil asid folik sebelum hamil dapat mengurangkan kadar kecacatan bayi yang dikenali sebagai “neural tube defects”.

Jadual 1 di bawah menunjukkan organ-organ yang terbentuk mengikut usia kandungan, perhatikan bahawa pada 12 minggu pertama, banyak organ-organ penting di dalam badan bayi yang sedang berkembang. Pada peringkat perkembangan awal inilah, organ-organ ini lebih mudah terkesan dengan sebarang masalah kesihatan yang dialami oleh ibu ataupun apa-apa bahan yang diambil oleh ibu yang boleh berpindah kepada bayi. Umumnya selepas 11 minggu usia kandungan, hampir semua organ-organ penting seorang bayi akan terbentuk dengan lengkap dan selepas tempoh ini, bayi ini dianggap lebih selamat jika terdedah kepada bahan-bahan ataupun factor-faktor yang boleh merosakkan organ-organ.

Jadual 1 : Usia bayi di dalam kandungan dan proses pembentukan organ-organ penting  di dalam kandungan



Terdapat lebih daripada 10 komponen penjagaan pra-kehamilan dan setiap komponen telah menjalani penilaian tentang tahap kekuatan bukti dan kesahihan yang dilakukan oleh badan berkuasa yang berautoriti contohnya oleh panel jawatankuasa yang dicadangkan oleh Centers for Disease  Control (CDC). Berikut adalah 4 matlamat yang hendak dicapai melalui penjagaan pra-kehamilan:


Matlamat 1: Meningkatkan pengetahuan, memperbaiki sikat dan tingkahlaku wanita dan lelaki berkaitan dengan kesihatan pra-kehamilan.

Matlamat 2: Memastikan semua wanita yang berada pada usia reproduktif (15-50 tahun) menerima penjagaan pra-kehamilan sehingga mereka dapat membuat keputusan samada untuk hamil ataupun tidak dan jika mereka hamil, kehamilan mereka adalah selamat.

Matlamat 3: Mengurangkan risiko kesihatan berdasarkan kepada sejarah komplikasi kehamilan yang lalu melalui intervensi ataupun penjagaan sebelum kehamilan akan datang. Dengan intervensi awal ini, risiko untuk mengalami komplikasi yang sama ketika kehamilan akan datang dapat dicegah ataupun diminimakan.

Matlamat 4 : Mengoptimakan kesihatan ibu sebelum hamil bagi memastikan ibu dan anak yang bakal dilahirkan adalah sihat dan selamat. Ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi.

Banyak kajian telah dilakukan dan menunjukkan bahawa penjagaan pra-kehamilan memainkan peranan penting di dalam mengurangkan komplikasi kehamilan dan memperbaiki mutu kesihatan ibu dan anak yang akan dilahirkan. Contoh yang paling baik adalah kesan penjagaan pra-kehamilan ke atas wanita yang menghidap diabetes. Kajian telah menunjukkan bahawa insiden kecacatan major dan keguguran seseorang ibu yang menghidap diabetes dapat dikurangkan apabila penyakit diabetes dikawal dengan sempurna sebelum hamil. Jadual di bawah menunjukkan dua keadaan di mana penyakit diabetes dikawal dengan baik dan satu lagi tidak dikawal dengan baik. Perhatikan bahawa komplikasi kehamilan jauh lebih tinggi jika diabetes tidak dikawal dengan baik sebelum seseorang wanita itu hamil.

Jadual 2: Perbandingan di antara pesakit diabetes yang mendapatkan penjagaan prakehamilan yang sempurna berbanding dengan wanita yang tidak mengawal penyakit diabetesnya dengan baik sebelum hamil.


Diabetes dikawal dengan baik
Diabetes yang tidak dikawal dengan baik
Tahap HBA1c (%)
7.3
8.4
Komplikasi kehamilan (%)
24%
47%
Sakit tidak cukup bulan (%)
16%
37%
Kecacatan bayi (%)
1.5%
8.5%
Kematian bayi (%)
1%
6.4%

Di negara kita memang terdapat program saringan pra-kehamilan dan perkhidmatan klinik pra-kehamilan samada di peringkat Klinik Kesihatan ataupun Hospital. Petugas akan melakukan saringan dan akan merujuk kes-kes tertentu yang memerlukan penjagaan khusus. Petugas-petugas ini akan menggunakan borang soal selidik untuk menyaring wanita-wanita yang layak dan jika wanita ini dikesan mempunyai risiko maka mereka akan dirujuk untuk menghadiri Klinik Prakehamilan. Terdapat juga perkhidmatan saringan dan Klinik Pra-kehamilan yang dijalankan serentak supaya wanita-wanita ini tidak berlu berulang alik. Tidak kira apakah kaedah yang diamalkan, setiap wanita yang telah disaring dan telah dirujuk hendaklah hadir ke Klinik Pra-kehamilan jika mereka ingin mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini. Walaupun wanita tersebut belum merancang untuk hamil, kehadiran mereka ke klinik pra-kehamilan akan membuka mata mereka betapa pentingnya penjagaan prakehamilan jika satu hari nanti mereka merancang untuk hamil.

KOMPONEN PENJAGAAN PRA KEHAMILAN

Semua wanita dan juga pasangan mereka akan digalakkan supaya membuat perancangan tentang masa depan mereka daripada aspek kehamilan dan bilangan anak. Mereka juga perlu merancang jarak masa di antara kehamilan dan juga jenis merancang keluarga yang akan diamalkan.

Wanita yang mengalami masalah kegemukan ataupun obesiti sangat disyorkan supaya dapat menurunkan berat badan sebelum hamil. Mereka digalakkan supaya mendapatkan berat badan yang unggul melalui langkah penjagaan pemakanan dan juga senaman. Manakala wanita-wanita yang berat badan terlalu rendah (BMI  ≤ 19.8 kg/m2  ) juga mempunyai risiko jika mereka hamil, jadi golongan ini  perlu meningkatkan berat badan mereka.

Status pemakanan dan nutrisi wanita-wanita perlu dinilai dan jika terdapat bukti yang wanita ini mengalami masalah kekurangan zat makanan, ianya perlu dipulihkan sebelum mereka hamil. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar pemakanan ataupun pakar perubatan.

Semua wanita yang berhajat untuk hamil disyorkan untuk mengambil asid Folik sebanyak 400 mikrogram setiap hari, 3 bulan sebelum hamil.

Status imunisasi mereka perlu dikemaskini contohnya imunisasi tetanus-diphtheria-pertussis, campak dan rubella perlu diambil mengikut jadual. Semua wanita yang berisiko tinggi kepada jangkitan Hepatitis B perlu mendapatkan imunisasi Hepatitis B sebelum hamil untuk mengurangkan risiko transmisi jangkitan kepada anak di dalam kandungan. Jika mereka belum lagi kebal kepada jangkitan rubella, suntikan vaksin rubella perlu diberikan. Setelah suntikan vaksin Rubella diberikan, wanita ini tidak boleh hamil sekurang-kurangnya selama 3 bulan.

Bahaya merokok dan mengambil alcohol akan ditekankan semasa sesi kaunseling dan pendidikan. Jika wanita ini mempunyai risiko dijangkiti penyakit bawaan seks, mereka perlu menjalani kaunseling, khidmat nasihat dan jika perlu akan dirujuk kepada pakar untuk rawatan.

Semua wanita dan suami mereka digalakkan untuk mengetahui status samada mereka dijangkiti oleh virus HIV ataupun tidak, terutama jika salah seorang ataupun kedua-duanya mempunyai faktor yang berisiko tinggi. Wanita yang sudah dijangkiti virus HIV tidak digalakkan untuk hamil dan perlu mengamalkan kaedah merancang keluarga yang sesuai dan selamat. Jika mereka masih ingin untuk hamil, mereka ini akan diberi kaunseling dan rawatan yang perlu bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas bayi di dalam kandungan. Wanita-wanita juga perlu disaring untuk penyakit-penyakit bawaan seks yang lain seperti jangkitan Clamydia dan Syphilis.

Masalah-masalah perubatan seperti diabetes, penyakit kelenjar tiroid, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain perlu dirawat dengan sempurna sebelum hamil. Terdapat juga penyakit-penyakit yang menyebabkan wanita ini tidak boleh hamil kerana risiko kematian yang tinggi. Setiap wanita perlu diterangkan tentang betapa pentingnya untuk mengawal gula darah sebelum hamil. Mereka perlu memastikan tahap HBA1c mereka adalah normal sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum mencuba untuk hamil bagi mengurangkan risiko kecacatan bayi. Jika diabetes mereka tidak dikawal dengan baik, mereka patut terlebih dahulu mengamalkan perancang keluarga. Wanita yang mengalami penyakit sawan perlu memastikan penyakit mereka dikawal dengan baik sebelum hamil kerana kehamilan boleh meningkatkan serangan sawan, sawan ketika hamil boleh memudaratkan anak serta ibu dan terdapat ubat-ubat anti-sawan yang boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan. Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi perlu mengambil perhatian bahawa jika mereka hamil, mereka boleh mengalami masalah berganda dan terdapat ubat-ubat darah tinggi yang tidak boleh diambil ketika hamil seperti ACE inhibitors dan Angiotensin-receptor blockers. Wanita yang mengalami Rheumatoid Arthritis boleh mengalami serangan yang lebih kerap semasa hamil dan terdapat ubat-ubat yang tidak boleh diambil seperti methotrexate dan leflunomide. Wanita yang mengalami penyakit buah pinggang perlu memastikan penyakit mereka itu dikawal dengan baik kerana penyakit ini mungkin boleh menjadi lebih serius ketika hamil, ini akan memudaratkan ibu dan anak. Pesakit buah pinggang juga selalu mengalami tekanan darah tinggi, ubat untuk merawat tekanan darah tinggi perlu ditukarkan kepada ubat yang lebih selamat jika mereka hamil. Penyakit jantung adalah salah satu masalah perubatan yang utama dalam kalangan wanita yang hamil di negara kita. Pesakit jantung wajib menghadiri klinik pra-kehamilan supaya status penyakit mereka dapat dinilai dan pakar jantung dapat memberi nasihat sewajarnya sebelum mereka mengambil keputusan untuk hamil. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung yang jika dialami ketika hamil boleh membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu, di dalam keadaan ini, pakar jantung mungkin akan menasihati wanita ini supaya tidak hamil. Di antara penyakit jantung yang membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu hamil adalah Primary Pulmonary Hypertension, Cardiomyopathy, Eisemenger’s syndrome dan beberapa jenis lagi. Pesakit Asma boleh mendapat serangan asma yang lebih kerap ketika hamil dan mereka perlu memastikan rawatan asma mereka sudah terkawal sebelum hamil. Jika penyakit asma mereka tidak dikawal dengan baik, wanita-wanita ini perlu mengamalkan perancang keluarga yang berkesan supaya mereka tidak hamil di dalam keadaan penyakit yang belum stabil.

Wanita yang mengalami masalah psikitri seperti kemurungan dan psikosis perlu memastikan penyakit yang mereka alami ini dikawal dengan baik sebelum hamil. Masalah kemurungan yang dialami oleh wanita diketahui boleh membawa kesan negative ke atas kehamilan termasuk meningkatnya risiko kelahiran tidak cukup bulan. Pesakit-pesakit psikosis seperti bipolar disease dan schizophrenia pula adalah penyakit psikiatri yang serius dan pesakit-pesakit ini mungkin akan mengalami gejala yang lebih kerap apabila hamil terutamanya jika mereka tidak mengambil ubat dengan tetap. Kaedah perancang keluarga yang sesuai perlu disyorkan kepada wanita-wanita ini. Wanita yang mengalami masalah psikiatri yang serius ini memerlukan sokongan pihak suami dan suami perlu terlibat di dalam proses penjagaan pra-kehamilan.

Sejarah yang lalu boleh juga menjadi petunjuk kepada kemungkinan wanita ini boleh membawa baka ataupun gene yang menyebabkan kecacatan anak. Sejarah generasi yang lalu perlu diambil dan  jika memang terdapat kecenderungan untuk menyebabkan kecacatan anak melalui keturunan, maka wanita ini perlu terlebih dahulu dirujuk kepada kaunselor genetic sebelum hamil.

Terdapat ubat-ubat yang boleh menyebabkan kecacatan bayi, jadi penjagaan pra-kehamilan dapat menyediakan peluang mendapatkan kaunseling dan nasihat mengenai ubat-ubat ini supaya ianya boleh ditukarkan kepada ubat-ubat yang lebih selamat diamalkan ketika hamil. Jika wanita ini sedang mengamalkan pengambilan suplemen ataupun herba-herba, maka mereka disyorkan untuk berhenti mengambilnya sebelum hamil kerana kebanyakan suplemen dan herba-herba ini tidak diketahui kandungannya.

Terdapat keadaan-keadaan di mana masalah kehamilan dan kelahiran boleh berulang jika wanita itu hamil semula. Wanita yang menjalani pembedahan caesarean section semasa kehamilan yang lalu perlu mendapat nasihat mengenai jarakmasa yang sesuai sebelum boleh hamil semula. Di samping itu doktor juga boleh menasihati wanita ini tentang kaedah kelahiran yang akan datang. Terdapat juga wanita yang menghadapi masalah kelahiran tidak cukup bulan dan diketahui puncanya, maka jika punca ini tidak dirawat sebelum mereka hamil, risiko kelahiran tidak cukup bulan akan dapat dikurangkan. Begitu juga wanita-wanita yang mengalami keguguran yang berulangkali sebanyak lebih daripada 2 kali, mereka perlu menjalani pemeriksaan dan penyiasatan untuk mengenalpasti punca keguguran tersebut. Jika punca keguguran ini dapat dikesan dan dirawat sebelum mereka hamil, maka mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menimang cahaya mata pada kehamilan yang akan datang.

Terdapat juga golongan-golongan tertentu yang memerlukan perhatian khusus sebelum mereka berusaha untuk hamil. Wanita yang mengalami kecacatan ataupun ketidakupayaan seperti kecacatan tulang pelvis, kehilangan anggotan badan dan lain-lain perlu mendapat kaunseling dan nasihat terlebih dahulu supaya mereka dapat menyediakan diri di peringkat yang lebih awal sebelum hamil. Mereka juga akan mendapat maklumat mengenai apakah masalah dan komplikasi yang bakal dihadapi jika mereka hamil. Terdapat juga pesakit kanser yang berhajat untuk hamil. Ini adalah pesakit kanser yang sudah sembuh daripada rawatan. Mereka perlu diberikan maklumat berkenaan dengan kesan rawatan ke atas organ peranakan dan juga benih. Ada rawatan kanser yang menyebabkan mereka sukar hamil ataupun putus haid pada usia yang lebih muda. Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit kanser yang mudah untuk hamil tetapi kehamilan yang berlaku terlalu awal akan mendedahkan wanita ini kepada risiko kehamilan termasuk anak yang tidak cukup bulan dan terencat tumbesaran.

Penjagaan pra-kehamilan juga merangkumi pendidikan ke atas suami kerana ada tabiat-tabiat suami boleh mempengaruhi kesihatan isteri dan anak seperti merokok, melakukan aktiviti seks rambang sehingga dijangkiti penyakit bawaan seks, suami yang menghidap penyakit AIDs dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan status kesihatan mental suami yang boleh memberi impak ke atas keluarga keseluruhannya. Maka penjagaan pra-kehamilan dianggap tidak lengkap jika hanya menumpukan perhatian kepada kaum wanita semata-mata.

KESIMPULAN

Penjagaan pra-kehamilan adalah salah satu komponen penjagaan kesihatan yang sangat penting bagi memastikan seseorang wanita yang merancang untuk hamil berada di dalam keadaan kesihatan yang optima apabila mereka hamil kelak. Komplikasi kehamilan dan kelahiran sangat bergantung kepada status kesihatan wanita sebelum hamil. Wanita yang tidak sihat sebelum hamil bakal menghadapi masalah ketika hamil dan ketika melahirkan anak. Kajian telah membuktikan bahawa penjagaan pra-kehamilan yang optima akan mengurangkan risiko kepada ibu dan anak ketika hamil. Penjagaan pra-kehamilan merangkumi kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental kerana kedua-duanya sangat penting serta boleh menentukan samada kehamilan berjalan dengan baik sehingga kedua-dua ibu dan anak yang dilahirkan akan berada di dalam keadaan yang sihat.

RUJUKAN

1.      Cefalo RC, Moos MK. Preconceptional health care: A practical guide. St.Louis:Mosby,1995
2.      Allaire AD, Cefalo RC. Preconceptional health care model. European J of O&G and Reprod Bio. 1998;78:163-168
3.      Jack BW, Atrash H, Bickmore T, Johnson K. The future of preconception care. A Clinical Perspective. Women’s Health Issues .2008;18S:S19-S25
4.      Jack BW, Atrash H, Coonrod DV, et al. The clinical content of preconception care: an overview and preparation of this supplement. Americal J of O&G, Dec 2008; S266-S278.
5.      Miodovnik M, Rosenn B, Combs CA, Khoury J, Siddiqi TA. Pre-conception management of insulin-dependent diabetes: improvement of pregnancy outcome. Obstet Gynecol;1991; 77:846-849.



TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI DAN DISIARKAN DI DALAM APA BENTUK PENYIARAN TANPA KEBENARAN PENULIS.









Friday, April 13, 2018

PEMAKANAN KETIKA HAMIL


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Hospital Sultanah Bahiyah


Setiap makhluk di dunia ini memerlukan makanan untuk hidup. Di dalam istilah sains, perkataan nutrisi sering digunakan, apakah ertinya nutrisi. Nutrisi adalah pengambilan dan penggunaan bahan makanan (Practise of consuming and utilizing foods). Sains nutrisi (nutritional science) adalah kajian mengenai bagaimana badan memecahkan makanan dan bagaimana badan bertindakbalas terhadap makanan yang dipecahkan ini termasuk apakah yang berlaku kepada elemen-elemen yang terdapat di dalam makanan ini apabila ianya masuk ke aliran darah dan bertindak di sel-sel. Ini termasuk peranan bahan-bahan nutrisi tadi ke atas metabolisma dan proses fisiologi badan seseorang manusia. Makanan yang kita ambil perlu mengandungi bahan-bahan nutrisi yang seimbang seperti karbohidrat, protin, lemak, vitamin, mineral dan air. Setiap unsur-unsur ini mempunyai peranan yang sangat khusus ke atas badan kita Ada di antaranya boleh dihasilkan oleh badan dan ada juga yang hanya boleh diperolehi daripada makanan. Kita perlu mengambil makanan untuk membesar dengan sempurna, untuk fungsi sistem pembiakan yang normal, makanan juga perlu untuk memberi tenaga fizikal dan juga tenaga minda kita.  Sebahagian daripada unsur-unsur nutrisi di dalam makanan kita sangat perlu untuk tujuan fungsi organ yang normal. Tidak kurang pentingnya adalah makanan yang kita makan perlu untuk memberi kekuatan kepada badan melawan penyakit dan mencegah dari menghidap penyakit berjangkit, penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, kanser dan lain-lain. Secara amnya, bahan makanan yang kita makan terdiri dari 2 kategori utama sumber nutrien, iaitu makronutrien (karbohidrat,lemak,protin) dan mikronutrien (bahan mineral dan vitamin). Makanan yang kita ambil hendaklah mempunyai keseimbangan dari segi kandungan makronutrien dan mikronutrien supaya sistem badan dapat berfungsi dengan normal.

Pemakanan yang sihat memainkan peranan yang sangat penting ke atas kesihatan ibu hamil. Prinsip pemakanan bagi wanita yang hamil adalah sama seperti yang disebutkan di atas. Ketika trimester kedua dan ketiga kehamilan, keperluan kalori setiap hari meningkat bagi menampung tumbesaran bayi di dalam kandungan. Makanan yang dimakan oleh si-ibu adalah sumber utama bahan nutrin kepada anak di dalam kandungan. Walau bagaimanapun, ianya bukan bermakna seseorang wanita itu perlu menggandakan kuantiti makanan kerana ini boleh menyebabkan masalah kegemukan yang lebih memudharatkan. Secara purata, seseorang ibu hamil hanya perlu mengambil tambahan sebanyak 300-400 kalori berbanding dengan sebelum mereka hamil (bersamaan dengan segelas susu skim dan separuh sandwich). Sebagai garispanduan, jumlah kalori yang perlu diambil oleh ibu hamil pada trimester pertama, kedua dan ketiga adalah 1,800, 2,200 dan 2,400 kalori sehari.  Ibu hamil juga perlu mengambil tambahan mikronutrien untuk mengekalkan fungsi badan yang normal. Sila rujuk jadual   di bawah   untuk mengetahui mengenai mikronutrien-mikronutrien utama yang diperlukan oleh wanita hamil dan bayi di dalam kandungan.

Bahan nutrin (mikronutrin) utama untuk ibu hamil dan bayi di dalam kandungan (sumber rujukan : ACOG)

NUTRIN
(keperluan harian)
MANFAAT KEPADA IBU DAN BAYI DI DALAM KANDUNGAN
SUMBER TERBAIK
Kalsium
(1,000 mg)
Membantu membina tulang dan gigi yang sihat
Susu,keju, yogurt, sardin
Zat besi (27mg)
Membantu pembentukan dan fungsi sel darah merah supaya di dalam menyediakan oksigen kepada bayi di dalam kandungan
Daging merah, kacang peas, bijirin, jus prun
Vitamin A
(770 ug)
Membentuk kulit dan mata yang sihat. Membantu pertumbuhan tulang
Karot, sayur hijau pekat, kentang
Vitamin C
(85 mg)
Membantu kesihatan gusi, gigi dan tulang. Membantu badan menyerap zat besi
Buah limau, brokoli, tomato, strawberi
Vitamin D (200-400 IU)
Membantu membina tulang dan gigi bayi
Sinaran matahari, susu, ikan salmon
Vitamin B6
(1.9 mg)
Membantu membina sel darah merah. Membantu badan menggunakan protin, lemak dan karbohidrat.
Daging lembu,hati,pisang,bijirin (cereals)
Vitamin
B12 (2.6ug)
Mempertahankan sistem saraf dan diperlukan untuk pembentukan sel darah merah.
Hati, daging,ikan, ayam, susu
Folat (600 ug)
Diperlukan untuk menghasilkan darah dan protin. Membantu enzim untuk berfungsi.
Sayur hijau, hati, jus limau, kacang


Sebenarnya, waktu yang paling baik di dalam penjagaan makanan adalah sebelum seseorang wanita itu menjadi hamil. Apabila seseorang wanita itu hamil dengan keadaan pemakanan yang sudah sempurna, kehamilannya akan lebih mudah dan berjalan dengan lebih baik. Di kebanyakan negara maju, perkhidmatan penjagaan pra-kehamilan (pre-pregnancy care) adalah sangat dititikberatkan, di mana wanita-wanita yang merancang untuk hamil akan dijemput untuk menghadiri sesi pemeriksaan dan kaunseling bagaimana membuat persediaan dari segi fizikal dan mental untuk hamil. Klinik-klinik pra-kehamilan ini juga sudah mula ujud di negara kita. Di waktu yang sama, wanita-wanita yang mengalami masalah kesihatan yang serius akan menjalani pemeriksaan dan kaunseling bagi menentukan samada mereka selamat untuk hamil. Ada di kalangan wanita ini yang tidak dibenarkan untuk hamil disebabkan risiko kehamilan itu sangat tinggi. Melalui klinik pra-kehamilan ini, kita dapat memastikan hanya wanita-wanita yang bersedia dan sihat sahaja dapat hamil , maka dengan ini risiko kehamilan serta kematian ibu dan anak dapat dikurangkan.

Setiap wanita hamil perlu mengambil cukup buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Sayuran dan buah-buahan yang mempunyai warna cerah (kuning,merah) mengandungi banyak vitamin dan mikronutrin yang berkhasiat. Sayuran dan buah-buahan juga dapat memudahkan proses pembuangan air besar yang sering dihadapi oleh wanita hamil. Sayuran-sayuran dan buah-buahan ini hendaklah bersih, segar dan tidak disediakan dengan tambahan minyak, gula dan garam yang banyak. Di samping buah-buahan dan sayuran, sumber makanan dari bijirin seperti nasi, gandum, roti dan pasta juga merupakan makanan yang menyihatkan. Sumber-sumber micronutrin boleh juga didapati dari pil-pil sumplemen. Adalah digalakkan setiap wanita mengambil suplemen Asid Folik sebanyak 400microgram setiap hari semenjak sebelum hamil sehinggalah trimester pertama kehamilan bagi mengurangkan risiko kecacatan anak yang dikenali sebagai neural tube defect. Pada waktu yang sama, pengambilan pil-pil suplemen atau makanan tambahan lain secara sewenang-wenangnya tidak juga digalakkan kerana ada sebahagian dari bahan-bahan mineral dan vitamin ini boleh memudaratkan seperti pengambilan vitamin A yang berlebihan boleh menyebabkan kecacatan anak di dalam kandungan.  Sila dapatkan nasihat Pakar Obstetriks jika berhajat mengambil sebarang suplemen. Kehamilan diketahui menyebabkan seseorang wanita itu kehilangan kalsium dan vitamin D. Pengambilan kalsium di dalam bentuk susu adalah digalakkan semasa hamil. Ambil susu rendah lemak, 2 gelas setiap hari bagi menampung kehilangan mineral kalsium. Pertubuhan O&G Amerika (ACOG) mengesyorkan pengambilan vitamin D sebanyak 10 microgram sehari terutama oleh wanita-wanita hamil yang berisiko  tinggi untuk kekurangan vitamin D (wanita Asia,Afrika, wanita yang kurang terdedah dengan cahaya matahari, wanita yang mempunyai BMI>30).  Di samping mikronutrien, seorang wanita hamil juga memerlukan cukup makronutrien seperti karbohidrat, lemak dan protin. Sumber makronutrien ini boleh didapati daripada daging samada daging haiwan ataupun ikan. Sumber protin juga boleh didapati dari bijirin dan tauhu. Elakkan mengambil sumber protin yang mengandungi tinggi kandungan lemak dan elakkan memasak dengan menggunakan banyak minyak, garam dan gula. Salah satu sumber protin yang sangat baik adalah telur yang mempunyai protein berkualiti tinggi. Telur juga murah serta mempunyai 18 jenis vitamin dan mineral. Salah satu bahan nutrin yang terkandung di dalam telur adalah kolin (choline), kolin dikatakan penting untuk pertumbuhan otak anak.

Elakkan dari mengambil sumber protein yang mentah seperti ikan, kerang, siput yang tidak dimasak dengan sempurna. Sumber protein ini hendaklah dimasak dengan sempurna kerana jika tidak dimasak dengan sempurna, ia mudah dicemari oleh bakteria dan akan memudharatkan kesihatan ibu hamil. Wanita hamil juga tidak digalakkan mengambil bahan-bahan dari ikan-ikan besar seperti ikan tongkol, tuna dan ikan yu yang diketahui mengandungi tinggi bahan logam terutama raksa. Kandungan raksa yang tinggi ini bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan ibu hamil tetapi juga bahan-bahan logam ini boleh sampai kepada bayi di dalam kandungan dan memberi kesan buruk kepada kesihatannya.  Ikan yang baik dimakan adalah ikan air tawar seperti sardin dan salmon yang mempunyai tinggi kandungan asid lemak omega 3. Asid lemak omega 3 adalah penting untuk perkembangan sistem saraf bayi.

Telur yang tidak dimasak dengan sempurna, juga boleh menjadi sumber penyakit kepada ibu hamil. Susu dan jus yang tidak dinyah kuman (unpasteurized) juga tidak digalakkan di atas alasan yang sama. Jika makanan yang tidak dimakan dan disimpan di dalam peti sejuk, sila pastikan ianya tidak terdedah di luar peti sejuk lebih dari 2 jam sebelum disediakan atau dimakan semula. Jangkitan ke atas ibu boleh menjejaskan kesihatan anak di dalam kandungan samada melalui kesan tidak langsung ataupun jangkitan itu boleh merebak dan menjangkiti bayi di dalam kandungan. Di samping memilih makanan yang baik, amalan-amalan yang dapat mengurangkan kesan negatif makanan ke atas wanita hamil adalah membasuh tangan sebelum makan, memasak makanan sehingga sempurna dan membasuh sayur serta buahan sebelum disediakan. Pendek kata, amalan pemakanan semasa hamil tidak jauh bezanya dengan amalan ketika tidak hamil yakni mendapat makanan yang seimbang, cukup kandungan air, makronutrien dan mikronutrien, di samping mengelakkan diri dari mengambil makanan yang tercemar dan mempunyai kandungan logam yang tinggi.

Semua ibu hamil dilarang untuk mengambil alkohol, merokok dan menyalahgunaan dadah. Mereka juga tidak digalakkan mengambil banyak minuman dan makanan yang mengandungi kafein. Walaupun terdapat pertikaian mengenai kesan kafein terhadap kehamilan, kebanyakan pertubuhan kesihatan menghadkan pengambilan kafein kepada 200mg sehari (satu cawan kopi atau 2 cawan teh cair). Pengambilan kafein yang terlalu tinggi pernah dikaitkan dengan risiko keguguran dan kelahiran bayi tidak cukup bulan (pra-matang).

Mengidam adalah sesuatu tabiat yang sering dihadapi oleh wanita yang hamil. Kebanyakan dari makanan yang diidamkan adalah tidak memudharatkan. Walau bagaimana pun terdapat juga ibu-ibu hamil yang mengalami pika (pica), pika adalah ketagihan atau mengidam sesuatu yang bukan bahan makanan seperti tanah liat, pasir dan lain-lain. Pika boleh memudharatkan ibu hamil kerana ia akan mengganggu pengambilan dan penyerapan makanan. Ibu-ibu hamil yang mengalami pika perlu dirujuk kepada Pakar untuk rawatan dan kaunseling.

Wednesday, April 4, 2018

BENARKAH TRANSFER FACTOR BOLEH MERAWAT KANSER

Ramai yang bertanya saya benarkan Transfer factor boleh merawat kanser. Berikut adalah penerangan ringkas yang merupakan pendapat peribadi saya mengenai Transfer Factor dan adakah ianya boleh digunakan untuk merawat kanser menggantikan rawatan kanser moden.
Transfer factor (TF) adalah sejenis protin yang ditemui oleh Dr.H Sherwood Lawrence, seorang pakar imunologi di University of New York pada tahun 1949. Beliau mengekstrak bahan itu daripada sel darah putih (limfosit) pesakit TB dan apa yang menarik adalah apabila bahan tersebut DISUNTIK kepada orang lain, ia bertindak seolah-olah individu tersebut telah dijangkiti TB. Jadi individu tersebut menjadi kebal kepada jangkitan TB walaupun hakikatnya tidak pernah dijangkiti oleh kuman TB. Jadi TF dianggap protin yang boleh mengubahsuai (modulasi) sistem pertahanan badan manusia. Mekanisma bagaimana TF ini berfungsi adalah kompleks untuk difahami oleh orang awam, jadi saya tidak perlu memperincikannya.
Semenjak penemuan Dr.Sherwood itu banyak kajian dilakukan untuk melihat kesan SUNTIKAN (suntikan bawah kulit dan di dalam otot) TF ke atas pesakit. Di antara penyakit-penyakit yang terlibat di dalam kajian suntikan TF ini adalah penyakit kanser, jangkitan,darah tinggi, alahan, psoriasis, kutil, “chronic fatique syndrome”, dan banyak lagi penyakit. Walau bagaimanapun kebanyakan pesakit-pesakit yang terlibat sudah menerima rawatan moden ataupun diberikan bersama. Jika penyakit kanser pula, kajian dilakukan ke atas pesakit kanser peringkat akhir, ataupun diberikan bersama ataupun kanser yang dihidapi itu sudah tidak dapat dirawat dengan kaedah rawatan moden, bukan sebagai rawatan utama penyakit kanser. Hasil kajian suntikan TF ini masih tidak meyakinkan dan banyak daripadanya adalah kajian kecil, “case reports” ataupun tidak memberi kesan yang positif. Pendek kata, SUNTIKAN TF tidak boleh menandingi keberkesanan kaedah rawatan kanser moden.
Pada tahun 1989 Dr.Wilson dan Dr.Paddock menemui satu protin di dalam awal susu ibu ataupun kolustrum yang dinamakan Colostrinin ataupun juga dikenali sebagai Proline-rich polypeptide (PRP). Colostrinin mempunyai ciri-ciri seakan-akan TF yang ditemui oleh Dr.Sherwood. Protin yang sama ini juga terkandung di dalam susu awal lembu dan protin telur. Penemuan protin seakan-akan TF di dalam awal susu ini telah diekploitasikan oleh banyak syarikat perniagaan sedangkan khasiat sebenar protin ini ke atas kesihatan manusia belum dapat disahkan walaupun terdapat banyak kajian yang dilakukan. Untuk menambah lagi tarikan ke atas produk ini, pengeluar menambah pelbagai ramuan lain di dalamnya seperti pati tumbuhan, kulat, soya dan lain-lain sehingga produk itu menjadi produk caca-merba. Tidak ada sesiapapun dapat mengesahkan bahawa TF wujud di dalam produk ini dan jika ada kesan positif adakah ianya dikaitkan dengan TF ataupun dengan bahan-bahan lain yang ditambah di dalamnya. Sama seperti produk-produk kesihatan komersial yang lain, bagi memudahkan proses kelulusan pihak penguasa ubatan, produk ini dikategorikan sebagai makanan tambahan (“dietary supplement”). Sedangkan TF yang asal ditemui oleh Dr.Sherwood pun belum terbukti berkesan mencegah dan merawat penyakit kanser, apatah lagi protin yang seakan-akan TF di dalam awal susu dan protin telur. Kajian-kajian yang dilakukan adalah kecil, ada yang hanya merupakan kajian biokemikal dan banyak di antaranya dalam bentuk “case report” serta kajian makmal. Seperkara lagi, kebanyakan kajian-kajian yang dilakukan pula BUKAN menggunakan produk-produk TF yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar makanan tambahan ini sebaliknya adalah daripada proses yang dilakukan di dalam makmal. Malahan Jurucakap daripada National Center for Complementary and Alternative Medicine, daripada bahagian National Institutes of Health (NCCAM), berkata “NCCAM has not funded any research on this therapy, nor have I heard of it before.” Memorial Sloan Kettering Cancer Centre membuat kenyataan bahawa kesan penggunaan TF di dalam rawatan kanser perlu disahkan dengan kajian yang lebih besar dan mereka bimbang tentang pencemaran TF yang diambil daripada susu lembu yang boleh membawa jangkitan otak dinamakan Bovine Spongiform Encephalopathy ataupun penyakit lembu gila.
Fenomena dakwaan produk suplemen boleh merawat kanser ini sama seperti penemuan ahli sains ke atas bahan antikanser yang diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan di dalam kajian makmal (kajian praklinikal), kemudiannya sepantas kilat wujud golongan yang mengekploitasi penemuan awal ini untuk menghasilkan produk sendiri dan mengaku dapat mengubati penyakit kanser. Apa yang menyedihkan lagi adalah terdapat ramai doktor-doktor perubatan yang menjadi jurucakap mengenai TF untuk tujuan mengaitkan hasil kajian TF dengan produk suplemen untuk tujuan melariskan jualan.
KESIMPULAN
Transfer factor adalah protin semulajadi yang asalnya ditemui di dalam sel limfosit dan banyak kajian yang dilakukan adalah menggunakan TF yang diekstrak daripada sel limfosit. TF yang asal ini pula diberikan dalam bentuk SUNTIKAN BAWAH KULIT atau SUNTIKAN DALAM OTOT. Salah satu kajian yang dilakukan adalah untuk melihat kesannya keatas penyakit kanser. Pesakit-pesakit kanser yang terlibat di dalam kajian ini pula adalah pesakit kanser yang sudah dirawat dengan kaedah rawatan moden, kanser peringkat akhir ataupun diberikan bersama dengan kaedah rawatan moden. Kualiti kajian-kajian ini pula adalah lemah disebabkan oleh bilangan sampel yang sedikit dan kajian “case reports” (testimoni). Setakat ini TIDAK ADA mana-mana Pertubuhan Kanser Antarabangsa yang mengiktiraf suntikan TF (apatah lagi yang diambil secara makan) sebagai RAWATAN UTAMA penyakit kanser dan ia tentu tidak boleh menggantikan kaedah rawatan kanser moden yang sedia ada. Manakala penemuan protin seakan-akan TF yang ditemui di dalam awal susu dan protin telur pula didapati telah dieksploitasikan sebagai produk perniagaan, sedangkan belum terdapat kajian klinikal yang meyakinkan. Orang ramai dan mungkin juga peniaga-peniaga sendiri tidak sedar bahawa mereka sendiri terkeliru di antara TF asal yang ditemui oleh Dr.Sherwood (diberi secara suntikan) dengan protin seakan-akan TF yang ditemui di dalam awal susu dan protin telur (dalam bentuk makan) sehingga mereka menggunakan hujah hasil kajian TF Dr.Sherwood dan dikaitkan dengan produk mereka, sedangkan kedua-duanya berbeza. Jadi setakat rencana ini ditulis, TF samada yang ditemui oleh Dr.Sherwood ataupun protin seakan-akan TF yang ditemui daripada awal susu dan protin telur BELUM mempunyai bukti yang kukuh untuk digunakan sebagai kaedah rawatan utama penyakit kanser. Pesakit-pesakit kanser dinasihati untuk mendapatkan rawatan kanser daripada pakar kanser yang bertauliah dan sebaik-baiknya mereka ini tidak mempunyai kepentingan di dalam mana-mana produk-produk suplemen yang ada di pasaran.
Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
5hb April 2018

RUJUKAN

https://www.youtube.com/watch?v=qq5X3s4Zwso
http://www.transferfactorresearch.com/explanation.html
htt https://en.wikipedia.org/wiki/Transfer_factor
p://www.researchednutritionals.com/information.cfm?ID=11
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/3331650

https://www.mskcc.org/…/integrative-m…/herbs/transfer-factor
dribnusina.blogspot.my/…/transfer-factors-mitos-dan-realiti…

Senarai contoh kajian-kajian berkenaan TF yang disiarkan di journal-journal:
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/8993769
 (non small cell lung ca)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/8993768

http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/3883364
 (4 patients)
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/304143

 (biochemical study, head and neck cancer)