Monday, January 13, 2020

BENARKAH GULA MERANSANG SEL KANSER ?

BENARKAH GULA MERANSANG SEL KANSER ?


Saya seringkali terjumpa dengan banyak perbincangan dalam kalangan masyarakat dan pesakit kanser yang mengaitkan gula dengan ransangan sel kanser. Disebabkan kepercayaan ini maka ramai yang mendakwa tidak mengambil gula di dalam minuman ataupun makanan supaya dapat mencegah serta merawat kanser ataupun supaya kanser tidak berulang. Terlebih dahulu saya akan katakan bahawa kepercayaan ini adalah TIDAK BENAR. Berikut adalah beberapa maklumat yang penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

1. Gula adalah karbohidrat. Karbohidrat adalah makronutrin yang terdapat di dalam banyak bahan makanan, buah2an dan sayur2an. Karbohidrat terdiri daripada karbohidrat ringkas dan kompleks. Ianya dibina oleh unit asas yang terdiri daripada glukos, fruktos dan galaktos. Kebanyakan karbohidrat kompleks yang anda makan seperti nasi, roti, capati, pasta, ubi kentang, buah, sayuran dan lain-lain akan dihadamkan di dalam usus dan dipecahkan kepada karbohidrat ringkas sehingga menjadi unit-unit asas di atas sebelum diserap ke dalam aliran darah. Kebanyakan bahan makanan yang tersebut diatas akan dipecahkan kepada glukos dan fruktos yang juga dikenali sebagai gula ringkas. Karbohidrat kompleks tidak mempunyai rasa, tetapi apabila dipecahkan kepada unit2 yang lebih kecil ia akan memberi rasa manis.

2. Perbezaan di antara gula putih dan karbohidrat kompleks (nasi, roti, pasta dll) adalah daripada segi saiz molekulnya, gula pasir adalah hasil ekstrak air tebu yang telah dijadikan karbohidrat ringkas dinamakan sukros (gabungan glukos dan fruktos). Hanya gula ringkas sahaja yang boleh menyerap masuk ke dalam aliran darah. Manakala karbohidrat kompleks perlu dipecahkan dahulu kepada gula ringkas di dalam usus sebelum masuk ke dalam aliran darah. Jadi proses kemasukan gula ke dalam darah lebih cepat (indek glisemik yg lebih tinggi) jika mengambil gula pasir berbanding dengan karbohidrat kompleks . Walau bagaimanapun hasil akhir kedua2nya adalah SAMA (gula pasir: glukos dan fruktos, nasi &roti: glukos). Maksudnya samada anda mengambil gula pasir, nasi, capati, pasta, kentang, buah, sayur dan lain-lain karbohidrat, semuanya tetap akan menghasilkan gula ringkas yang hampir sama..

3. Glukos diperlukan oleh sel-sel normal dan sel-sel kanser untuk bekalan tenaga. Tetapi disebabkan sel-sel kanser membiak lebih cepat, keperluan glukosnya lebih tinggi. Walau bagaimanapun dengan menghadkan pengambilan glukos, badan tidak mempunyai mekanisma untuk memilih sel-sel yang tertentu untuk diberikan glukos, maka kesan pengurangan glukos akan juga dihadapi oleh sel-sel yang normal.

4. Apabila anda tidak mengambil gula, badan akan memecah lemak dan protin untuk mendapatkan tenaga dan keton dihasilkan sehingga anda boleh mengalami ketosis, keadaan ketosis yang berpanjangan boleh menyebabkan kesan negatif kepada tubuh badan termasuk ketidakseimbangan mineral badan, kerapuhan tulang, batu karang, gangguan fungsi buah pinggang dan lain-lain. Badan anda akan menghasilkan gula daripada protin dan lemak melalui proses yang dinamakan Glukoneogenesis di hati (majoriti) dan buah pinggang. Ini adalah proses semulajadi badan anda bagi memastikan glukos sentiasa ada sebagai sumber tenaga.

5. Daripada fakta-fakta di atas, jelas bahawa mana mungkin anda boleh menghalang badan daripada dimasuki gula kerana gula itu sebenarnya terdapat di mana-mana. Malahan badan anda sendiri boleh menukar protin dan lemak kepada gula. Gula bukan sahaja terhad kepada gula putih tetapi hampir semua makanan yang anda makan termasuk buah2an dan sayuran ditukarkan kepada gula ringkas apabila dipecahkan di dalam usus. Gula diperlukan oleh semua sel-sel di dlm badan anda supaya anda dapat bergerak, melihat, bernafas, berfikir dan lain-lain lagi. Jika anda cuba untuk mengurangkan gula secara keterlaluan di dalam badan anda, maka anda perlu bersedia untuk menghadapi komplikasi yang serius melibatkan banyak bahagian badan.

6. Tidak ada kajian kukuh yang menunjukkan bahawa menghadkan pengambilan gula boleh merawat kanser ataupun mencegah kanser berulang. Malahan ada kajian ahli sains terbaru yang mendapati terdapat kanser2 tertentu lebih memerlukan lemak sebagai sumber tenaga dan bukannya gula. Kanser tersebut adalah leukemia dan kanser prostat. Penemuan ini memberi bukti yang lebih kukuh bahawa kepercayaan gula meransang sel kanser adalah palsu.

7. Hubungan gula dan kanser adalah secara tidak langsung. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kegemukan dan kegemukan dikaitkan dengan 13 jenis kanser iaitu kanser payudara, kanser rahim, kanser buah pinggang, kanser hati, kanser ovari dan lain-lain. Jadi pokok pangkalnya kurangkan pengambilan gula untuk tujuan mendapat berat badan yang ideal.
Hentikan penyebaran maklumat yang tidak benar supaya masyarakat khususnya pesakit-pesakit kanser tidak keliru. Mengamalkan diet yang keterlaluan boleh memudaratkan pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kerana pada ketika ini badan mereka memerlukan nutrin yang mencukupi untuk berjuang melawan kanser. Akibat daripada kepercayaan yang salah, rawatan mereka boleh terjejas dan ini boleh memberi kesan kepada peluang mereka untuk sembuh. Nutrin yang mencukupi juga diperlukan oleh badan pesakit selepas rawatan untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

Bacaan lanjut: https://dribnusina.blogspot.my/…/adakah-gula-menyebabkan-ka… https://en.wikipedia.org/wiki/Gluconeogenesis http://scienceblog.cancerresearchuk.org/…/sugar-and-cancer…/ https://dribnusina.blogspot.my/…/terapi-metabolik-dan-diet-…

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
3hb Mach 2018