Friday, May 12, 2017

KEMATIAN, PENYAKIT DAN TEMBAKAU





Di sepanjang sejarah kemanusiaan, manusia mengalami banyak episod serangan wabak penyakit berjangkit dan dengan adanya teknologi perubatan sains, sedikit sebanyak ianya dapat dikawal. Kebersihan, imunisasi, jaring/kelambu nyamuk dan agen antimicrobial adalah diantara ikhtiar yang  membuahkan hasil dalam mengurangkan kadar kematian akibat daripada penyakit taun, cirit-birit  disenteri, penyakit cacar, campak, HIV, tibi dan banyak lagi penyakit berjangkit.  Kejayaan yang sama diperlukan bagi mengawal penyakit tidak berjangkit yang menyerang seluruh dunia pada hari ini. Penyakit tidak berjangkit ini telah mendominasi masalah kesihatan di negara-negara berpendapatan tinggi pada masa lampau tetapi pada hari ini ianya telah menjadi beban besar kepada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah. Penyakit-penyakit ini adalah kanser paru-paru, chronic obstructive pulmonary disease, penyakit jantung  dan lain-lain masalah yang dikaitkan dengan merokok.

Lapuran terbaru daripada The Lancet menggunakan data daripada Kajian Beban Penyakit Global (Global Burden  of Disease Study) telah membantu menambah maklumat mengenai kesan merokok terhadap manusia di dunia terutamanya daripada aspek anggaran kadar kematian  dan juga kecacatan yang diakibatkan oleh merokok. Lapuran ini sangat membimbangkan. Di dalam tahun 2015 , merokok menyumbang lebih daripada 10% daripada punca kematian manusia di dunia, membunuh lebih daripada 6 juta manusia dengan kehilangan global hampir 150 juta “disability-adjusted life-years” (DALY). 1 DALY  bermaksud kehilangan 1 tahun hidup yang sihat. Kadar merokok dan akibat daripadanya telah menurun  di kebanyakan negara-negara yang kaya, sebaliknya masa depan kematian akibat daripada merokok di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah adalah semakin besar. Di dunia pada hari ini, seorang daripada setiap 4 orang lelaki dan sejumlah 933 juta orang adalah perokok, 80% daripada perokok tinggal di negara-negara yang berpendapatan sederhana dan rendah. Separuh daripada ini ataupun setengah billion orang dijangka akan mati pada usia lebih muda (kematian pramatang) akibat daripada merokok melainkan jika mereka berhenti merokok. Walaupun kadar prevalen merokok menunjukkan pengurangan di negara yang berpendapatan sederhana dan rendah, termasuk negara-negara yang paling tinggi kadar merokok seperti di China dan India, beban akibat merokok tetap meningkat disebabkan oleh peningkatan bilangan penduduk dunia menyebabkan jumlah perokok (ukuran kuantitiatif) juga meningkat.

Tanggungjawab menangani bencana kesihatan global ini jatuh kepada bahu syarikat tembakau antarabangsa, yang jelas memikul tanggungjawab ke atas hidup manusia berkaitan dengan tabiat merokok. Contohnya lihatlah lapuran tahunan terkini daripada British American Tobacco (BAT) yang membentangkan pertumbuhan pasaran dan keuntungan 5 syarikat tembakau antarabangsa yang menguasai 55 negara dunia. Di dalam tahun 2016, BAT menjual 665 bilion rokok, menjana keuntungan sebanyak 5.2 bilion pound sterling ( RM 29 bilion ringgit Malaysia), menunjukkan peningkatan pendapatan di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyatakan sokongan terhadap garispanduan polisi kawalan tembakau yang berkesan seperti cukai, mengharamkan iklan tembakau, polisi kawasan larangan merokok dan  melindungi tajaan syarikat tembakau terhadap kepentingan tertentu, walau bagaimanapun di kebanyakan negara, melaksanakan garispanduan ini masih terlalu jauh. Sepertimana yang berlaku di Negara-negara yang kaya, prosedur undang-undang kawalan tembakau selalunya tersekat serta lambat, ancaman yang tidak benar akibat daripada langkah kawalan, keterlibatan syarikat tembakau di dalam  aktiviti social, ancaman tindakan undang-undang daripada syarikat tembakau dan di beberapa buah negara, ekonomi mereka bergantung kepada pertumbuhan perniagaan tembakau dan akhir sekali wujudnya konflik kepentingan.

Kegagalan mengurangkan beban merokok di sesebuah Negara adalah petanda beberapa kelemahan, di antaranya adalah gagal menyedari kesan merokok ke atas kesihatan dan gagal melaksanakan polisi kawalan merokok yang diwar-warkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Hari ini, wabak merokok telah diekspot daripada negara-negara kaya kepada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah, terlepas daripada  radar, dan negara-negara ini tidak mampu untuk menangani beban ini disebabkan oleh keutamaan yang berbeza, kekurangan sumber manusia dan kewangan. Kadar kematian akibat merokok akan meningkat di seluruh dunia sehingga kawalan tembakau dijadikan sebagai keutamaan di dalam menentukan kemajuan, pelaburan dan penyelidikan.


Penterjemah : Dato' Dr.Mohd Rushdan

Terjemahan daripada tulisan John Britton, Death, disease and tobacco. The Lancet. Volume 389, No. 10082, p1861–1862, 13 May 2017  

http://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736%2817%2930867-X/fulltext#.WRWiIzOI4d8.facebook

Wednesday, May 10, 2017

BUAH DURIAN : MITOS DAN REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah


Durian adalah pokok buah yang tergolong di dalam keluarga Durio. Perkataan durian adalah berasal daripada kulit buahnya yang berduri. Terdapat lebih kurang 30  spesis pokok durian. Cuma durian daripada spesis Durio zibethinus yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa, manakala spesis-spesis lain hanya terdapat di tempat ianya tumbuh. Buah durian juga dikenali sebagai raja segala buah kerana saiznya yang besar berduri dan mempunyai bau yang sangat kuat. Buahnya boleh membesar sehingga 1 kaki panjang dengan garisan pusat 6 inci, dengan berat di antara 1-3 kg.



FAKTA NUTRISI BUAH DURIAN

Jadual di bawah adalah fakta nutrisi yang boleh diperolehi daripada 100 gm buah durian.



JUMLAH BERAT
100 gm
Peratusan daripada keperluan sehari (%)*
Jumlah kalori
147
7.3%
Jumlah lemak
5 gm
7%
Kolesterol
0 mg
0%
Sodium
2 mg
0%
Potasium
436 mg
12%
Jumlah Karbohidrat
27 gm
9%
Serat
3.8 gm
15%
Protin
1.5 gm
3%
Vitamin A
0%
Vitamin C
32%
Kalsium
0%
Besi
2%
Vitamin B6
15%
Vitamin B12
0%
Magnesium
7%



*Berdasarkan kepada keperluan 2000 kalori diet sehari. Keperluan kalori sehari berbeza-beza mengikut aktiviti dan keperluan badan.



Memandangkan buah durian adalah buah yang sangat terkenal dan digemari oleh ramai orang terutama orang  Asia, maka terdapat banyak pendapat yang disebarkan oleh orang ramai, ada yang benar dan ada yang tidak benar.

FAKTA YANG BENAR MENGENAI DURIAN

1.   DURIAN BOLEH MENINGKATKAN BERAT BADAN. Buah durian mempunyai kalori yang tinggi. Sebiji durian yang purata beratnya 1 kg mempunyai jumlah  kalori hampir 1400 kalori, jadi mengambil sebiji buah durian sudah meliputi 70% daripada sejumlah 2000 kalori sehari yang disyorkan kepada seorang dewasa. Seulas buah durian mempunyai berat lebih kurang 40 gram ataupun 59 kalori.

2.   DURIAN KAYA DENGAN NUTRIN. Durian kaya dengan potassium, serat, vitamin C dan vitamin B kompleks. Dengan ciri-ciri ini , ia mungkin dapat membantu memperbaiki kekuatan otot, memperbaiki tekanan darah, pergerakan usus dan kesihatan kulit. Ia juga boleh menyokong system saraf dan imun serta meningkatkan penghasilan sel-sel darah merah. Ia juga mengandungi asid amino tryptophan yang juga dikenali sebagai “pil tidur semulajadi” yang mungkin dapat membantu tidur.Berbanding dengan buah pisang, 100 gm durian mengandungi 436 mg potasium berbanding dengan 358 mg di dalam buah pisang. Jadi buah durian mengandungi lebih potasium berbanding dengan buah pisang.

3.   PESAKIT DIABETES MESTI MENGHADKAN PENGAMBILAN DURIAN. Disebabkan durian mempunyai kandungan gula yang tinggi yakni gula ringkas  seperti sukros, fruktos dan glukos (Indek Glisemik yang tinggi), buah ini  memang tidak sesuai diambil oleh pesakit diabetes, kecuali jika diambil dalam kuantiti yang sedikit.

4. DURIAN BOLEH MEMBERI TENAGA SEGERA. Disebabkan oleh kandungan karbohidrat yang tinggi dalam bentuk gula ringkas, ia memang boleh menjadi sumber tenaga segera. Kandungan potassium yang tinggi juga dapat mengurangkan keletihan dan melegakan tekanan mental serta kerisauan.

MITOS MENGENAI DURIAN
Berikut adalah kepercayaan yang salah ataupun mitos mengenai durian.

    1. DURIAN MENGANDUNGI KOLESTEROL YANG TINGGI. Jika dilihat di   dalam jadual fakta nutrin buah durian jelas menunjukkan bahawa sebenarnya TIDAK ADA kolesterol di dalam buah durian. Durian mengandungi lemak monotidak  tepu (monounsaturated fats) yang dapat membantu menurunkan kolesterol tidak baik iaitu LDL.

     2. DURIAN ADALAH PANAS DAN PERLU DIAMBIL DENGAN BUAH MANGGIS YANG SEJUK. Tidak ada istilah buah sejuk dan panas di dalam perubatan moden. Ianya tidak disokong oleh kajian saintifik. Tabiat mengambil buah durian bersama dengan manggis mungkin disebabkan oleh kedua-dua pokok durian dan manggis mempunyai musim buah yang sama.

     3. MEMAKAN DURIAN MENINGKATKAN NAFSU/TENAGA SEK (LIBIDO). Tidak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan bahawa durian meningkatkan tenaga seks.

      4.  MENGAMBIL DURIAN BERSAMA DENGAN BEER BOLEH MEMBUNUH. Tidak ada  bukti kajian saintifik yang menyokong dakwaan. Meminum alcohol sudah sememangnya memudaratkan, tetapi mengambil alcohol bersama dengan buah durian tidak menambah kemudaratan alcohol jika durian tidak diambil berlebihan. Pengambilan durian dan alkohol yang berlebihan boleh menyebabkan kembong perut dan rasa tidak selesa di bahagian perut sebab organ hati perlu bekerja lebih kuat untuk menjalankan metabolism ke atas lemak dan gula yang terkandung di dalam alcohol dan durian.

Kesimpulannya buah durian memang mempunyai nilai nutrisi yang tinggi, jika diambil secara sederhana boleh menjadi sumber tenaga, mineral dan vitamin yang baik. Ia juga mengandungi lemak monotidaktepu yang lebih baik daripada lemak tepu. Mengambil sebanyak 2-3 ulas sekali makan adalah memadai tetapi disebabkan oleh ketagihan dan obses, orang ramai seringkali memakan buah durian secara berlebihan. Pengambilan durian yang berlebihan tentu tidak baik untuk kesihatan badan.