Friday, June 22, 2018

SEJARAH RINGKAS BAHASA SAINS DUNIA DAN PENGAJARAN DARIPADANYA




Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa utama sains selepas awal tahun 1900 an. Ketika awal tahun 1900 dan sebelumnya, jika ditanya para-para ilmuan ketika itu, apakah bahawa utama sains pada tahun 2000, mereka tidak akan menjawab bahasa Inggeris. Bahasa German dan Perancis (terutama German) mendahului bahasa Inggeris sebagai bahasa sains yang utama ketika itu dimana pembentangan dan penulisan sains didominasikan oleh bahasa German. Bahasa Latin mempunyai sejarah yang lebih lama di mana bahasa ini dipercayai menjadi bahasa utama sains semenjak akhir abad ke 14 sehinggalah pertengahan abad ke 17. Banyak istilah-istilah sains dan perubatan yang digunakan pada hari ini adalah diambil daripada bahasa Latin, Greek, Perancis dan German. Contoh perkataan Oksigen adalah daripada bahasa Greek, manakala Hidrogen adalah daripada bahasa Perancis. Dipercayai ahli sains Galileo Galilei merupakan orang pertama menulis rencana sains yang paling banyak di dalam bahasa ibundanya iaitu Bahasa Itali yang kemudian diterjemahkan kepada bahasa Latin yang pada ketika itu adalah bahasa sains utama ketika itu. Dengan penterjemahan tersebut, lebih ramai ahli sains boleh membacanya.

Pertukaran bahasa utama sains daripada German kepada Inggeris dipercayai bermula selepas perang dunia pertama (1914-18) apabila ahli sains Belgian/Belgium, Perancis dan British memboikot ahli sains German dan Austria. Mereka dihalang daripada menghadiri konferen dan menulis di dalam jurnal sains. Pada ketika itu juga gelombang kebencian terhadap German berlaku di Amerika walaupun ramai yang bertutur bahasa German di Amerika pada ketika itu. Akhirnya bahasa German menerima nasib yang sama di Amerika dan bahasa Inggeris Amerika mula mendominasi (selepas 1923). Semenjak itu Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama sains digunakan di dalam berkomunikasi, pembentangan dan penulisan.

Pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah bahasa utama sains ini adalah tidak ada satu bahasa yang mendominasi sains semenjak dahulu dan selama-lamanya. Bahasa Greek, Latin, Perancis, German dan kemudian Inggeris (British/Amerika) bertukar tangan menjadi bahasa utama sains. Tidak dapat dinafikan bahawa pada ketika ini, Bahasa Inggeris adalah bahasa utama sains di dunia tetapi persoalannya untuk berapa lamakah status ini akan kekal? Mungkinkah akan berlaku peristiwa peralehan yang baru menggantikan Bahasa Inggeris kepada bahasa lain? Adakah kepada bahasa Cina? Jepun? Korea? ataupun tidak mustahil kepada Bahasa Melayu. Mungkin tempoh masanya masih panjang tetapi sama sekali tidak mustahil. Maka apabila kita sudah dikurniakan satu bahasa ibunda yang istimewa ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan martabatnya bukan sahaja di negara kita, tetapi juga di rantau ini serta seluruh dunia. Bahasa Melayu diakui sebagai salah satu bahasa yang sangat istimewa, digunakan oleh lebih 300 juta umat manusia dan bahasa kelima paling ramai penggunanya di seluruh dunia. Tidakkah kita mahu bahasa melayu ini menjadi bahasa utama sains satu hari nanti? Ini tidak mustahil untuk dicapai dan kita perlu bermula daripada sekarang. Di sebaliknya jika kita mengambil ringan dan tidak kesah, bahasa melayu boleh terpinggir dan tidak dapat menyaingi bahasa-bahasa lain. Yang lebih malang adalah jika bahasa melayu tidak digunakan sebagai bahasa komunikasi sesama kita dan kita bakal hilang identiti bangsa yang sangat kita banggakan ini. Jadikan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia.


DDr Rushdan Noor
22hb Jun 2018


Sumber maklumat: Prof Michael Gordin, Professor of Modern and Contemporary, Princeton University

Wednesday, June 20, 2018

MAKAN ORGAN DALAM : MANFAAT ATAU MUDARAT


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Kementerian Kesihatan Malaysia


Daging yang selalu dimakan oleh anda adalah bahagian otot sehingga apabila pakar pemakanan bercakap tentang daging dan nilai nutriennya, mereka sebenarnya merujuk kepada daging yang diambil daripada bahagian otot haiwan. Di samping bahagian otot, kita juga gemar memakan organ dalam haiwan seperti hati dan paru-paru. Terdapat banyak lagi organ dalam yang dimakan oleh manusia seperti perut, limpa, jantung, buah pinggang, lidah,otak dan ada juga yang memakan buah zakar. Apakah sebenarnya manfaat dan mudarat memakan organ-organ dalam ini? Orang awam seringkali dinasihati supaya tidak mengambil organ dalam kerana kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi. Rencana pendek ini akan mengupas mengenai apakah manfaat dan mudarat mengambil organ-organ dalam ini.

MANFAAT ORGAN DALAM

Umumnya, organ dalam menyediakan banyak jenis vitamin dan nutrient di antaranya adalah vitamin B, zat besi, fosforus, tembaga, magnesium, vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.

HATI

Hati mungkin organ dalam yang menyediakan paling banyak nutrient. Di samping sumber protin yang berkualiti, ia adalah sumber vitamin A yang tinggi untuk kesihatan mata dan juga mempunyai sifat antikeradangan. Hati juga mengandungi asid folik, viamin B5, B12, zat besi, kromium, tembaga, selenium dan zink. Di dalam 85 gram daging lembu mengandungi 31,714 IU vitamin A iaitu lebih daripada 700% keperluan vitamin A dalam sehari. Kuantiti yang sama juga membekalkan lebih kurang 80% keperluan zat besi untuk lelaki dan 40% keperluan harian untuk wanita.

Satu ratus gram hati lembu membekalkan 190 kalori tenaga dan 24.7 gram protein yang lengkap. Walau bagaimanapun di dalam 100 gram hati ini juga mengandungi 396 mg kolesterol yang sudah melebihi keperluan harian anda. Pertubuhan jantung Amerika mengesyorkan pengambilan kolesterol kurang daripada 300 mg sehari. Ini jauh lebih tinggi daripada kandungan kolesterol di dalam 100 gm daging otot lembu iaitu sebanyak 90 mg ataupun 30% daripada keperluan harian.

BUAH PINGGANG

Buah pinggang kaya dengan protein dan mengandungi asid lemak omega 3. Setiap 100 gram buah pinggang menyediakan 159 kalori tenaga. Buah pinggang juga mengandungi vitamin B12 dan asis folik yang penting untuk pembinaan darah. Seperti juga hati, buah pinggang juga membekalkan zat besi dan fosforus. Walaupun kandungan lemak yang tidak tinggi, buah pinggang mengandungi kolesterol yang tinggi.

OTAK

Otak mengandungi protein dan juga nutrient-nutrien lain termasuk asid lemak omega 3. Setiap 100 gram otak mengandungi lebih kurang 12 gram protein dan hamper 1 gram asid lemak omega 3 yang dikenali sebagai asid docosahexaenoic (DHA). Di antara vitamin yang terkandung di dalam otak adalah vitamin B5 dan B12.

Di samping nilai nutrisi yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kebimbangan apabila anda memakan otak. Otak lembu boleh dijangkiti oleh penyebab keradangan otak yang dikenali sebagai penyakit Creutzfeldt-Jakob yang juga dikenali sebagai penyakit lembu gila (“mad cow disease”). Faktor ini boleh menjangkiti orang yang memakan otak.  Otak juga mengandungi kolesterol yang tinggi, satu hidangan 100 gram otak mengandungi 3401 mg kolesterol ataupun 10 kali lebih tinggi daripada keperluan harian.

JANTUNG

Jantung mengandungi tinggi asid folik, zat besi, zink dan selenium. Ia juga mengandungi vitamin B2, B6 dan B12, sekumpulan vitamin B yang tergolong di dalam vitamin B complex. Daging jantung juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai coenzyme Q10. Setiap 100 gram daging jantung mengandungi lebih kurang 125 kalori tenaga, 20 gram protein, 5 gram lemak dan 210 mg kolesterol.

PARU-PARU

Seperti mana organ-organ yang lain, paru-paru mengandungi kandungan vitamin B12, zat besi dan selenium yang tinggi. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi 150% keperluan vitamin B12 dan 100% keperluan zat besi sehari. Selain daripada itu paru-paru juga mengandungi vitamin C, fosforus, niacin dan riboflavin. Setiap 100 gram paru-paru mengandungi lebih kurang 100 kalori, 18.3 gram protein, 2.8 gram lemak dan 220 mg kolesterol.

PERUT

Ramai yang suka makan perut di dalam pelbagai kaedah masakan termasuk sup, kerabu dan satay. Satu ratus gram daging perut mengandungi 94 kalori, 12 gram protein, 4 gram lemak dan 156 mg kolesterol. Perut juga mengandungi vitamin B12, vitamin K, selenium, fosforus dan zink. Nilai nutrient yang dinyatakan di sini adalah daripada bahagian perut dan bukan usus kecil haiwan.

LIDAH

Lidah juga mengandungi tinggi zat besi dan vitamin yang diperlukan untuk menambah kandungan sel darah. Ia juga mengandungi vitamin B12, choline dan zink. Setiap 100 gram daging lidah mengandungi 19.3 gram protein, 22 gram lemak dan 132 mg kolesterol.

RISIKO MEMAKAN ORGAN DALAM

Daging daripada organ dalam mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang tinggi. Mengikut cadangan Pertubuhan Jantung Amerika, seseorang individu yang perlu menurunkan kandungan kolesterolnya perlu menghadkan pengambilan lemak tepu tidak melebihi 5-6% daripada jumlah kalori di dalam satu hari. Organ dalam juga mengandungi purine, sejenis molekul yang boleh menyebabkan masalah kepada pengidap penyakit gout. Jika haiwan ini dijangkiti, mengambil toksin  ataupun racun, ianya boleh berkumpul di dalam organ dalam badan. Dikuatiri dengan memakan organ dalam ini toksin atau racun tersebut boleh memudaratkan manusia. Walau bagaimanapun kebimbangan ini hanyalah kepercayaan dan belum terbukti. Otak lembu yang mengalami penyakit Creutzfeldt-Jakob ataupun penyakit lembu gila juga boleh menjangkiti individu yang memakan organ ini. Organ dalam yang asalnya kotor seperti usus dan perut boleh menjadi sumber toksin dan bakteria jika tidak dibersih dan dimasak dengan sempurna. Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa kualiti organ dalam haiwan boleh dipengaruhi oleh cara bagaimana haiwan itu dibesarkan, apakah makanan yang diberikan serta persekitaran tempat ianya membesar. Haiwan yang tidak diberikan makanan yang sempurna serta di dalam keadaan stress menyebabkan kualiti organ dalam mereka juga rendah. Mungkin organ dalam haiwan ini mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang lebih tinggi seperti mana juga manusia yang tidak menjaga makanannya.

Kajian yang dijalankan di satu daerah di negara Uganda mendapati bahawa organ dalam mengandungi tinggi kandungan logam seperti besi, plumbum dan tembaga. Penyelidik mendapati kandungan logam-logam ini di dalam hati, pedal, perut, usus dan buah pinggang adalah melebihi daripada tahap maksimum yang dibenarkan (0.5mg/kg berat basah). Maka penyelidik berpendapat kesan negatif akibat daripada logam-logam ini boleh berlaku jika organ-organ dalam ini diambil dalam jangkamasa panjang terutama oleh golongan kanak-kanak. (1)

KESIMPULAN

Organ dalam badan mengandungi pelbagai nutrien termasuk mineral dan vitamin yang berkualiti. Ianya juga sumber protein yang berkualiti dan mengandungi antioksidan seperti koenzim Q10. Walau bagaimanapun organ dalam mengandungi tinggi kolesterol dan logam, jadi tidak sesuai diambil dalam kuantiti yang banyak untuk jangkamasa yang panjang. Kualiti organ dalam juga dipengaruhi oleh pemakanan dan bagaimana haiwan itu dibesarkan. Kaedah memasak dan ramuan-ramuan tambahan ke atas organ dalam ini juga mempengaruhi kualiti makanan ini keseluruhannya. Kesimpulannya, organ dalam boleh diambil tetapi di dalam kuantiti yang sederhana. Individu yang menghidap penyakit jantung dan penyakit yang dikaitkan dengan kandungan kolesterol darah yang tinggi perlu lebih berhati-hati. Pengguna yang bijak akan juga mengkaji latarbelakang sumber organ dalam itu diambil.

RUJUKAN

1.   Ogwok P, Bamuwamye M, Apili G, et al. Health Risk Posed by Lead, Copper and Iron via consumption organ meat in Kampala City (Uganda). Journal of Environment Pollution and Human Health, 2014 2 (3), pp 69-73. 
DOI: 10.12691/jephh-2-3-3
2.   https://www.medicalnewstoday.com/articles/319229.php
6.   https://www.livestrong.com/article/261789-beef-kidney-nutritional-facts/



Wednesday, June 6, 2018

APAKAH PRAKANSER


Sel yang normal di dalam tubuh badan manusia boleh bertukar menjadi sel kanser apabila terdedah kepada karsinogen. Karsinogen adalah agen yang meransang sel menjadi kanser. Karsinogen merosakkan bahan baka ataupun DNA di dalam sel yang mengawal pembiakan sel. Kerosakan DNA ini dinamakan mutasi. Apabila mutasi ini berlaku kepada bahagian DNA yang mengawal pembiakan sel maka sel boleh membiak di luar kawalan dan boleh bertukar menjadi kanser. Perubahan sel normal kepada sel kanser dinamakan transformasi sel kanser, lebih tepat lagi dinamakan “malignant transformation”. Proses transformasi sel kanser ini berlaku melalui proses yang sangat kompleks dan berperingkat-peringkat, apabila terdedah kepada karsinogen dalam masa yang panjang.

Pada peringkat awal transformasi sel, sel kelihatan tidak normal di mana saiznya menjadi lebih besar, nukleus di tengah sel menjadi lebih pekat dan berbentuk ganjil. Sel-sel ini juga dinamakan “atypical cells” ataupun “dysplastic cells”. Pada waktu yang sama terdapat juga tanda-tanda kadar pembiakan sel yang tinggi di mana banyak di antara sel-sel ini kelihatan sedang membahagi. Pembahagian sel ini dinamakan mitosis. Pada peringkat awal, sel-sel yang ganjil ini masih kekal di dalam lapisan kulit ataupun selaput pada dinding organ. Sel-sel ini belum menembusi lapisan kulit dan belum berupaya untuk merebak jauh ke tempat lain. Jadi sel-sel yang ganjil ini belum mempunyai ciri-ciri sel kanser. Peringkat ini juga dikenali sebagai PRAKANSER ataupun PRAINVASIF. Ada juga yang menamakanya sebagai “CARCINOMA IN-SITU”. Prakanser TIDAK dianggap sebagai kanser. Seseorang yang mengidap Prakanser tidak dianggap sebagai pesakit kanser. Kebanyakan pesakit prakanser tidak mempunyai gejala dan peringkat ini dikesan melalui ujian saringan contohnya ujian pap smear untuk mengesan prakanser pangkal rahim. Kanser yang berbeza mempunyai nama prakanser yang berbeza, contohnya prakanser pangkal Rahim dikenali sebagai CIN (“Cervical intraepithelial neoplasm”), prakanser rahim dikenali sebagai EIN (“Ëndometrial Intraepithelial Neoplasm”), dan lain-lain lagi. Peringkat prakanser hanya boleh disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh Pakar Patologi.

Memandangkan prakanser belum lagi menjadi kanser, maka ada kemungkinan ia boleh pulih dengan sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun ADA JUGA PRAKANSER YANG BOLEH BERTUKAR MENJADI KANSER. Apa yang menjadi masalah kepada pakar kanser adalah tidak ada cara untuk mengenalpasti siapakah yang akan pulih dan siapakah yang akan menghidap kanser. Maka semua pesakit prakanser seelok-eloknya dirawat untuk tujuan mencegah daripada sel-sel itu bertukar menjadi kanser.

Proses transformasi sel yang normal menjadi sel kanser memakan masa yang lama, mungkin bertahun-tahun. Daripada sel normal menjadi sel prakanser, tempoh masanya berbeza-beza mengikut jenis organ yang terlibat, daripada beberapa bulan hingga beberapa tahun. Manakala tempoh masa perubahan daripada peringkat prakanser bertukar menjadi kanser selalunya lebih lama, contohnya prakanser pangkal rahim mengambil masa 10-15 tahun untuk menjadi kanser pangkal rahim.

Tidak semua jenis kanser mempunyai peringkat prakanser. Di antara kanser yagn mempunyai peringakat prakanser adalah kanser pangkal rahim, kanser rahim, kanser ovari, kanser payudara, kanser kulit dan lain-lain. Apabila peringkat prakanser ini dikesan, pesakit akan dirawat. Kebanyakan peringkat prakanser ini dirawat dengan kaedah pembedahan ataupun dengan kaedah memusnahkannya dengan menggunakan aliran elektrik, sinaran laser ataupun kaedah sejukbeku (“cryotherapy”). Dengan merawat peringkat prakanser, maka seseorang itu akan dapat dihindarkan daripada menghidap penyakit kanser. Jadi salah satu kaedah mencegah kanser adalah dengan mengesan dan merawat peringkat prakanser.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
6hb Jun 2018

https://www.facebook.com/rushdan.noor
Image may contain: food and text

KETAGIH AIS (PAGOPHAGIA)



Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada orang mengunyah dan menghisap kiub ais sebagai satu bentuk ketagihan. Keadaan ini dinamakan Pagophagia, ia dianggap salah satu keadaan obses.

Orang yang ketagihan ais mungkin pada asalnya mempunyai alasan tertentu untuk mengunyah dan menghisap kiub ais (ice cube), di antaranya adalah:

1.   Individu yang mengalami kekurangan zat besi. Beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil cukup zat besi (8-18 mg zat besi sehari) jarang mengalami pagophagia. Orang yang kekurangan zat besi mengalami keradangan lidah dan ais dapat mengurangkan keradangan ini. Kajian juga menunjukkan bahawa apabila kekurangan zat besi dirawat, katagihan ais akan pulih.

2.   Ada orang yang berusaha mengurangkan berat badan dengan cara mengunyah ais kerana dengan melakukan perkara ini, mereka kurang mengambil lain-lain makanan.

3.   Mengunyah dan menghisap ais boleh mengurangkan gejala loya melalui kesan kesejukan manakala menghidap kiub ais mungkin boleh mengurangkan gejala muntah dan kembong perut. Ini dapat dimanfaat kan oleh pesakit kanser yang mengalami loya dan muntah akibat ubat kemoterapi. Menghisap kiub ais juga boleh membekalkan air ke dalam badan.

4.   Mengunyah dan menghisap ais juga boleh membantu mengurangkan gejala loya dan muntah yang dialami oleh wanita yang hamil. Ada juga wanita hamil yang ketagih ais semasa hamil iaitu salah satu tabiat mengidam benda2 yang pelik ataupun pica.

5.   Seseorang yang bosan dan tertekan mungkin memilih untuk mengunyah ais sebagai kaedah mengurangkan masalah psikologi tersebut. Lama kelamaan mereka akan ketagih ais ataupun mengalami pagophagia.

KESAN SAMPINGAN PAGOPHAGIA

Mengunyah dan menghisap ais tidak mempunyai apa-apa kesan negatif ke atas organ-organ badan ataupun menyebabkan apa-apa jenis penyakit serius. Walau bagaimanapun apabila ianya menjadi tabiat dan obsesi, tentu ada masalah sampingan yang boleh dialami. Terdapat sekurang-kurangnya 4 kesan sampingan akibat mengunyah dan menghisap ais:

1.   Mengunyah dan menghisap ais secara berpanjangan boleh memberi tekanan kepada gigi dan gusi anda. Ia boleh menipiskan lapisan enamel dan juga menyebabkan gigi berlubang dan pecah. Apabila anda melakukan rawatan gigi seperti “fillings” dan “crowns”, ais yang anda kunyah boleh menjejaskan rawatan gigi ini. Bahagian kiub ais yang tajam juga boleh mencederakan mulut, gusi dan lidah.

2.   Anda berisiko tersedak kiub ais masuk ke dalam paru-paru (choking)

3.   Seperti yang dinyatakan di atas, salah satu sebab seseorang itu ketagih kiub ais adalah supaya ia dapat mengurangkan pengambilan makanan. Ini jika berlaku dalam masa yang panjang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan ataupun malnutrisi.

4.   Tabiat mengunyah dan menghisap ais yang kerap dan dilakukan di mana-mana sahaja ini dianggap sebagai tabiat buruk. Mengunyah ais akan mengeluarkan bunyi yang mengganggu orang sekeliling dan kepada orang lain ianya dianggap satu tabiat yang pelik.

Mengambil air ais dalam kuantiti yang sederhana tidak memudaratkan badan. Kepercayaan bahawa meminum air ais menyebabkan pelbagai penyakit lelaki dan wanita adalah tidak benar sama sekali. Malahan ais boleh digunakan untuk mengurangkan banyak gejala-gejala seperti bengkak, kesakitan, keradangan, loya dan muntah.

RUJUKAN

1. Mack, S., “What are the Benefits of Chewing Ice Cubes?” Livestrong, October 3, 2017;
2. “Is It Bad for You to Eat Ice?” Healthline;
3. K.,N., “Does Eating Ice Help You Lose Weight?” Livestrong, October 3, 2017;
4. “Foods That Fight Nausea,” The Science of Eating;
5. Simpson, E., et al., “Pica during pregnancy in low-income women born in Mexico,” Western Journal of Medicine, July 2000, 173(1); February 28, 2018.
6. Feiereisen, S., “9 Reasons You Need To Stop Chewing Ice ASAP,” Reader’s Digest; February 28, 2018.
7. Lerner, E., “Penn research chips away at icy medical mystery”, Penn Current;
9. “Why is chewing ice bad for your teeth?” DentalPlans.com, June 23, 2014; 

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah