Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa
bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa utama sains selepas awal tahun 1900 an.
Ketika awal tahun 1900 dan sebelumnya, jika ditanya para-para ilmuan ketika
itu, apakah bahawa utama sains pada tahun 2000, mereka tidak akan menjawab
bahasa Inggeris. Bahasa German dan Perancis (terutama German) mendahului bahasa
Inggeris sebagai bahasa sains yang utama ketika itu dimana pembentangan dan
penulisan sains didominasikan oleh bahasa German. Bahasa Latin mempunyai
sejarah yang lebih lama di mana bahasa ini dipercayai menjadi bahasa utama
sains semenjak akhir abad ke 14 sehinggalah pertengahan abad ke 17. Banyak
istilah-istilah sains dan perubatan yang digunakan pada hari ini adalah diambil
daripada bahasa Latin, Greek, Perancis dan German. Contoh perkataan Oksigen
adalah daripada bahasa Greek, manakala Hidrogen adalah daripada bahasa Perancis.
Dipercayai ahli sains Galileo Galilei merupakan orang pertama menulis rencana
sains yang paling banyak di dalam bahasa ibundanya iaitu Bahasa Itali yang
kemudian diterjemahkan kepada bahasa Latin yang pada ketika itu adalah bahasa
sains utama ketika itu. Dengan penterjemahan tersebut, lebih ramai ahli sains
boleh membacanya.
Pertukaran bahasa utama sains daripada
German kepada Inggeris dipercayai bermula selepas perang dunia pertama
(1914-18) apabila ahli sains Belgian/Belgium, Perancis dan British memboikot
ahli sains German dan Austria. Mereka dihalang daripada menghadiri konferen dan
menulis di dalam jurnal sains. Pada ketika itu juga gelombang kebencian
terhadap German berlaku di Amerika walaupun ramai yang bertutur bahasa German
di Amerika pada ketika itu. Akhirnya bahasa German menerima nasib yang sama di
Amerika dan bahasa Inggeris Amerika mula mendominasi (selepas 1923). Semenjak
itu Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama sains digunakan di dalam berkomunikasi,
pembentangan dan penulisan.
Pengajaran yang boleh diambil daripada
sejarah bahasa utama sains ini adalah tidak ada satu bahasa yang mendominasi
sains semenjak dahulu dan selama-lamanya. Bahasa Greek, Latin, Perancis, German
dan kemudian Inggeris (British/Amerika) bertukar tangan menjadi bahasa utama
sains. Tidak dapat dinafikan bahawa pada ketika ini, Bahasa Inggeris adalah
bahasa utama sains di dunia tetapi persoalannya untuk berapa lamakah status ini
akan kekal? Mungkinkah akan berlaku peristiwa peralehan yang baru menggantikan
Bahasa Inggeris kepada bahasa lain? Adakah kepada bahasa Cina? Jepun? Korea? ataupun
tidak mustahil kepada Bahasa Melayu. Mungkin tempoh masanya masih panjang
tetapi sama sekali tidak mustahil. Maka apabila kita sudah dikurniakan satu
bahasa ibunda yang istimewa ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk
meningkatkan martabatnya bukan sahaja di negara kita, tetapi juga di rantau ini
serta seluruh dunia. Bahasa Melayu diakui sebagai salah satu bahasa yang sangat
istimewa, digunakan oleh lebih 300 juta umat manusia dan bahasa kelima paling
ramai penggunanya di seluruh dunia. Tidakkah kita mahu bahasa melayu ini menjadi
bahasa utama sains satu hari nanti? Ini tidak mustahil untuk dicapai dan kita
perlu bermula daripada sekarang. Di sebaliknya jika kita mengambil ringan dan
tidak kesah, bahasa melayu boleh terpinggir dan tidak dapat menyaingi
bahasa-bahasa lain. Yang lebih malang adalah jika bahasa melayu tidak digunakan
sebagai bahasa komunikasi sesama kita dan kita bakal hilang identiti bangsa
yang sangat kita banggakan ini. Jadikan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan
bahasa perpaduan rakyat Malaysia.
DDr Rushdan Noor
22hb Jun 2018
No comments:
Post a Comment