Wednesday, June 6, 2018

APAKAH PRAKANSER


Sel yang normal di dalam tubuh badan manusia boleh bertukar menjadi sel kanser apabila terdedah kepada karsinogen. Karsinogen adalah agen yang meransang sel menjadi kanser. Karsinogen merosakkan bahan baka ataupun DNA di dalam sel yang mengawal pembiakan sel. Kerosakan DNA ini dinamakan mutasi. Apabila mutasi ini berlaku kepada bahagian DNA yang mengawal pembiakan sel maka sel boleh membiak di luar kawalan dan boleh bertukar menjadi kanser. Perubahan sel normal kepada sel kanser dinamakan transformasi sel kanser, lebih tepat lagi dinamakan “malignant transformation”. Proses transformasi sel kanser ini berlaku melalui proses yang sangat kompleks dan berperingkat-peringkat, apabila terdedah kepada karsinogen dalam masa yang panjang.

Pada peringkat awal transformasi sel, sel kelihatan tidak normal di mana saiznya menjadi lebih besar, nukleus di tengah sel menjadi lebih pekat dan berbentuk ganjil. Sel-sel ini juga dinamakan “atypical cells” ataupun “dysplastic cells”. Pada waktu yang sama terdapat juga tanda-tanda kadar pembiakan sel yang tinggi di mana banyak di antara sel-sel ini kelihatan sedang membahagi. Pembahagian sel ini dinamakan mitosis. Pada peringkat awal, sel-sel yang ganjil ini masih kekal di dalam lapisan kulit ataupun selaput pada dinding organ. Sel-sel ini belum menembusi lapisan kulit dan belum berupaya untuk merebak jauh ke tempat lain. Jadi sel-sel yang ganjil ini belum mempunyai ciri-ciri sel kanser. Peringkat ini juga dikenali sebagai PRAKANSER ataupun PRAINVASIF. Ada juga yang menamakanya sebagai “CARCINOMA IN-SITU”. Prakanser TIDAK dianggap sebagai kanser. Seseorang yang mengidap Prakanser tidak dianggap sebagai pesakit kanser. Kebanyakan pesakit prakanser tidak mempunyai gejala dan peringkat ini dikesan melalui ujian saringan contohnya ujian pap smear untuk mengesan prakanser pangkal rahim. Kanser yang berbeza mempunyai nama prakanser yang berbeza, contohnya prakanser pangkal Rahim dikenali sebagai CIN (“Cervical intraepithelial neoplasm”), prakanser rahim dikenali sebagai EIN (“√čndometrial Intraepithelial Neoplasm”), dan lain-lain lagi. Peringkat prakanser hanya boleh disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh Pakar Patologi.

Memandangkan prakanser belum lagi menjadi kanser, maka ada kemungkinan ia boleh pulih dengan sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun ADA JUGA PRAKANSER YANG BOLEH BERTUKAR MENJADI KANSER. Apa yang menjadi masalah kepada pakar kanser adalah tidak ada cara untuk mengenalpasti siapakah yang akan pulih dan siapakah yang akan menghidap kanser. Maka semua pesakit prakanser seelok-eloknya dirawat untuk tujuan mencegah daripada sel-sel itu bertukar menjadi kanser.

Proses transformasi sel yang normal menjadi sel kanser memakan masa yang lama, mungkin bertahun-tahun. Daripada sel normal menjadi sel prakanser, tempoh masanya berbeza-beza mengikut jenis organ yang terlibat, daripada beberapa bulan hingga beberapa tahun. Manakala tempoh masa perubahan daripada peringkat prakanser bertukar menjadi kanser selalunya lebih lama, contohnya prakanser pangkal rahim mengambil masa 10-15 tahun untuk menjadi kanser pangkal rahim.

Tidak semua jenis kanser mempunyai peringkat prakanser. Di antara kanser yagn mempunyai peringakat prakanser adalah kanser pangkal rahim, kanser rahim, kanser ovari, kanser payudara, kanser kulit dan lain-lain. Apabila peringkat prakanser ini dikesan, pesakit akan dirawat. Kebanyakan peringkat prakanser ini dirawat dengan kaedah pembedahan ataupun dengan kaedah memusnahkannya dengan menggunakan aliran elektrik, sinaran laser ataupun kaedah sejukbeku (“cryotherapy”). Dengan merawat peringkat prakanser, maka seseorang itu akan dapat dihindarkan daripada menghidap penyakit kanser. Jadi salah satu kaedah mencegah kanser adalah dengan mengesan dan merawat peringkat prakanser.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
6hb Jun 2018

https://www.facebook.com/rushdan.noor
Image may contain: food and text

No comments:

Post a Comment