Thursday, February 18, 2016

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU, MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS, PERPADUAN KAUM DAN KEMAJUAN NEGARA


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
DSDK.,SDK.,AMK.,BCK
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM 

PENDAHULUAN



Bahasa digunakan untuk dua tujuan utama iaitu berkomunikasi dan memahami ilmu. Mengikut pendapat pakar bahasa, sesuatu ilmu lebih mudah difahami jika ianya diajar dan dipelajari dengan menggunakan bahasa ibunda ataupun “lingua franca”. Bahasa adalah sesuatu yang dekat dengan budaya. Jika kita bercakap dalam bahasa ibunda, kita akan lebih mudah untuk mencernakan ilmu. Ilmu itu tersimpan dalam minda, dan satu-satunya cara untuk menterjemahkannya dalam bentuk yang orang lain mampu faham adalah dengan bahasa yang kita sudah terbiasa dan luas kosa kata.

Di negara kita Malaysia, majoriti rakyatnya berbangsa melayu dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan semenjak kecil. Bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain di Malaysia wajib mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu kerana bahasa ini adalah bahasa kebangsaan yang termaktud di dalam perlembagaan. Rata-rata, majoriti bangsa lain selain dari melayu dapat memahami Bahasa Melayu kerana inilah bahasa yang telah digunakan sebagai alat perpaduan semenjak kita merdeka dahulu.


MENGAPA BAHASA MELAYU PERLU DIMARTABATKAN SEBAGAI BAHASA ILMU DAN BAHASA KOMUNIKASI DI MALAYSIA


Kajian menunjukkan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah dihadam jika diajarkan dalam bahasa ibunda dan gedung khazanah Bahasa Melayu sebenarnya cukup kaya dan mampu menjadi medium penyebaran maklumat dan ilmu. Bahasa Melayu dipertuturkan oleh lebih 300 juta umat manusia di dunia dan merupakan bahasa kelima paling banyak digunakan di dunia pada hari ini. Bahasa Melayu, seperti diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan. Ini kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri. Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DEP), Datuk Dr.Awang Sariyan pernah berkata bahawa usaha memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua peringkat warganegara Malaysia.

Memandangkan Bahasa Melayu dikuasai dan digunakan oleh majoriti rakyat Malaysia dan pada waktu yang sama ianya juga merupakan bahasa kebangsaan, maka amat wajar bahasa ini dijadikan bahasa pengantar kepada matapelajaran di sekolah. Ini bukan sahaja kerana untuk lebih mudah memahami pelajaran tetapi pada waktu yang sama ianya juga untuk tujuan perpaduan kaum.

Tambahan pula, guru-guru yang sedia ada pada hari ini sudah terlatih untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi tujuan mengajar kerana sistem pendidikan yang telah mereka lalui sekian lama dan juga kerana penguasaan mereka yang baik disebabkan oleh majoriti dari mereka adalah daripada kalangan rakyat yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi. Buku-buku di dalam matapelajaran Sains dan Matematik juga semuanya sudah ada di dalam Bahasa Melayu semenjak dari darjah 1 hinggalah ke tingkatan 5. Bukan sedikit usaha yang telah dilakukan untuk menghasilkan buku-buku ini.Kesimpulannya kita mempunyai alasan yang cukup untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran matematik dan sains di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kenyataan ini juga diperkukuhkan oleh hasil kajian yang dibuat ke atas hasil perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris) selama 10 tahun  tahun semenjak tahun 2003. Di dalam kajian tersebut di dapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan 4% penguasaan bahasa asing dan sebaliknya mengurangkan minat murid-murid untuk mempelajari subjek matematik dan sains. Jelas sekali bahawa kita mendapat terlalu sedikit manfaat dari aspek penguasaan Bahasa Inggeris tetapi mengorbankan perkara lain yang lebih penting iaitu minat pelajar terhadap matapelajaran Sains dan Matematik. Kita mungkin boleh katakan yang kajian ini tidak tepat ataupun membuat andaian bahawa mungkin ini disebabkan oleh faktor teknik mengajar dan juga sukatan pelajaran. Tetapi hasil kajian ini sebenarnya sangat konsisten dengan pendapat ramai sarjana-sarjana bahasa bahawa di samping teknik pengajaran, faktor bahasa memainkan peranan yang sangat besar di dalam menarik minat murid-murid di dalam mempelajari sesuatu ilmu. Apatah lagi matematik dan sains yang merupakan bidang ilmu yang memerlukan daya imaginasi dan kefahaman yang tinggi untuk menguasainya. Bayangkan bagaimanakah agaknya kesan keatas anak2 yang menggunakan satu bahasa di rumah semenjak kecil , tiba2 diajar matapelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa asing yang lain oleh guru yang juga tidak fasih dan kurang berkemampuan untuk mengajar di dalam bahasa tersebut. Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 semasa perlaksanaan PPSMI ditunjukkan di dalam jadual 1 di bawah (kenyataan akhbar Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin di dalam portal Kementerian Pelajaran).  


Jadual 1 : Hasil pemantauan pencapaian PPSMI oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 (http://www.moe.gov.my/v/mbmmbi-view?id=566&)


Pencapaian gred matapelajaran sains dan matematik yang dipaparkan di dalam Jadual 1 itu mungkin tidak menunjukkan gambaran yang sebenar memandangkan markah gred yang ditetapkan mungkin lebih rendah berdasarkan kepada graf pencapaian keseluruhan murid-murid. Dikatakan markah lulus juga terpaksa diturunkan dengan banyak disebabkan oleh faktor yang sama.

Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran seperti di Jadual 1 di atas, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 telah menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007. Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.Sebenarnya hasil kajian di atas sebenarnya tidak langsung mengejutkan pakar-pakar akademik melalui pemerhatian di sepanjang tempoh perlaksanaan PPSMI, hasil kajian ini sudah dijangkakan.  

Berdasarkan kepada hakikat bahawa sesuatu ilmu itu paling mudah difahami dan dikuasai jika diajar di dalam bahasa ibunda, maka jika dijadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan teknik pengajaran diperbaiki, maka kita akan mempunyai anak-anak yang sudah kukuh asas pengajian ilmu Sains dan Matematik di peringkat bawah bagi menyediakan diri mereka untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Penguasaan asas ilmu yang lemah di peringkat bawah akan mengakibatkan kesannya merebak ke peringkat yang lebih tinggi apabila anak2 ini melanjutkan pelajaran mereka. Pada waktu yang sama, negara dapat menjimatkan belanja menukar sistem pembelajaran dan melatih guru-guru Sains dan Matematik yang bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga melibatkan kesemua institusi-institusi pendidikan yang menghasilkan mereka.

Seperti kata ramai pakar-pakar pendidikan, pendidikan yang tak berasaskan bahasa ibunda hanya menjadikan kita 'pengguna ilmu', habis belajar muntahkan balik ilmu di alam pekerjaan, tetapi tak mampu menjadi 'pengeluar ilmu' kerana kesukaran untuk mengembangkan kefahaman ilmu lantaran kekangan menukarkan kefahaman dalam minda kepada bahasa asing (neo-kolonialisme). Maka langkah kerajaan memansuhkan PPSMI pada tahun 2012 dan menggantikan dengan program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memantapkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebenarnya adalah langkah yang betul.


BAHASA INGGERIS ADALAH BAHASA ANTARABANGSA


Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan bahasa yang digunakan oleh banyak negara-negara untuk berkomunikasi dan untuk tujuan ekonomi dan kemajuan teknologi. Fakta ini tidak dapat kita nafikan tetapi menguasai Bahasa Inggeris untuk tujuan berkomunikasi memerlukan kaedah lain yang lebih berkesan dan bukan dengan cara menggunakan bahasa ini untuk mempelajari Sains dan Matematik. Untuk menguasai Bahasa Inggeris, latihan bertutur, menulis dan berkomunikasi perlu diamalkan semenjak awal. Jika di rumah anak-anak ini tidak biasa dengan amalan ini, maka pihak sekolah dan sistem pendidikan kita perlu menyediakan kaedah terbaik bagaimana mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi. Di antaranya adalah dengan meningkatkan jumlah masa pengajaran Bahasa Inggeris, meningkatkan kemahiran guru-guru Bahasa Inggeris, melaksanakan kempen Bahasa Inggeris dan memperbaiki teknik pembelajaran supaya ianya lebih berkesan dan lebih menarik minat murid-murid. Jadi sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah kita perlu mempunyai program memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan bahasa perpaduan, pada waktu yang sama meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi ke dua paling penting. Di samping membuat persediaan kepada murid-murid ini untuk melangkah ke sistem pendidikan yang lebih tinggi dan cabaran global yang lebih luas. Hasil dari sistem pendidikan yang seumpama ini, Malaysia akan berupaya menghasilkan cendikiawan-cendikiawan yang mantap ilmunya hasil dari menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu dan pada waktu yang sama mempunyak kemampuan berkomunikasi di dalam bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris dengan  baik. Menggunakan Bahasa Inggeris untuk tujuan meningkatkan ekonomi dan kemajuan teknologi sebenarnya bukanlah isu yang besar kerana jika ianya dapat dilakukan di negara-negara lain seperti Jepun, Korea dan negara-negara Eropah, mengapa ianya tidak dapat dilakukan di Malaysia. Negara-negara lain yang ingin melakukan perniagaan dan mengembangkan teknologi mereka ke negara kita bukan atas dasar sejauh mana fasihnya kita berBahasa Inggeris, tetapi melihat adakah negara kita ini negara yang dapat memberi keuntungan, ini mungkin didasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, potensi ekonomi masa depan, kestabilan politik, keamanan dan juga kesediaan negara ini untuk melakukan hubungan perniagaan. Jikapun tidak dapat fasih berBahasa Inggeris, kita masih mempunyai kaedah berkomunikasi dengan menggunakan penterjemah seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.  Tambahan pula rata-rata rakyat dan pemimpin negara kita kebanyakannya boleh bertutur dan memahami Bahasa Inggeris, mungkin lebih baik dari negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, hatta lebih baik dari negara Jepun, China dan Korea.


PENGGUNAAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR SAINS DAN MATEMATIK TIDAK MENJEJASKAN KEMAMPUAN RAKYAT MALAYSIA UNTUK MENCAPAI TAHAP ANTARABANGSA


Negara Jepun, Korea, China dan negara-negara Eropah sudah membuktikan bahawa tanpa Bahasa Inggeris, mereka mampu mencapai kemajuan di dalam semua bidang. Malah ada bidang-bidang tertentu seperti perubatan, sains dan teknologi , negara-negara ini mempunyai pencapaian yang lebih tinggi dan dicontohi pula oleh negara-negara yang berlatar-belakangkan Bahasa Inggeris. Walau pun memang benar bahawa negara-negara ini sedang giat mempelajari Bahasa Inggeris dan menyedari kepentingan bahasa antarabangsa ini, mereka tidak sekali-kali mengenepikan kepentingan bahasa ibunda mereka untuk dijadikan bahasa ilmu di negara mereka. Mereka menterjemahkan banyak buku-buku Bahasa Inggeris dan bahasa lain ke dalam bahasa ibunda mereka untuk dimanfaatkan oleh rakyat mereka sehingga menjadikan rakyat mereka suka membaca dan berilmu. Mereka mempelajari Bahasa Inggeris untuk tujuan berkomunikasi dan untuk membuat pembentangan di peringkat antarabangsa. Walaupun pertuturan dan pembentangan mereka tidak fasih dan sukar difahami, tetapi kelemahan ini tenggelam apabila orang lain termasuk dari negara-negara Barat kagum dan terpesona dengan pencapaian yang sangat tinggi di dalam bidang perubatan, sains dan teknologi mereka. Mereka juga banyak menyumbangkan hasil kajian di dalam buku dan journal-journal antarabangsa, ini dapat dilakukan samada menggunakan bahasa mereka ataupun menggunakan khidmat penterjemah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain.

Berbalik kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah dan menengah di negara kita, sebenarnya ianya sudah dilaksanakan semenjak sekian lama. Pada suatu masa dahulu, kita menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, tetapi semenjak tahun 1970, semua sekolah-sekolah telah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dari darjah 1. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar untuk Sains dan Matematik ini telah dipraktikkan dari darjah 1 hingga tingkatan 5. Apabila anak-anak ini tamat tingkatan 5 dan memasuki prauniversiti dan seterusnya universiti, maka penggunaan Bahasa Inggeris telah diperbanyakkan dan terdapat bidang2 tertentu seperi perubatan yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sistem ini berjalan dengan lancar dan tidak ada rungutan dari ibubapa dan pelajar2. Anak-anak yang pada awalnya menggunakan Bahasa Melayu tidak menghadapi masalah untuk bertukar kepada Bahasa Inggeris di peringkat pengajian yang lebih tinggi kerana penggunaan istilah-istilah Sains dan Matematik yang digunakan semasa peringkat sekolah tidak jauh berbeza. Jikapun ada perbezaan, anak-anak ini tidak menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dan mampu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu ketika peringkat yang lebih tinggi. Sistem ini telah diamalkan sekian lama sehinggalah pada tahun 2002 apabila PPSMI diperkenalkan. Maksudnya sebelum PPSMI, sudah 30 tahun negara kita menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah dan dari sistem ini juga lahirnya ramai pakar-pakar di dalam pelbagai bidang yang terkenal bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Apa yang sewajarnya dilakukan adalah mengekalkan sistem ini dan pada waktu yang sama memberi pendedahan yang lebih kepada murid-murid dengan istilah-istilah Sains dan Teknologi, mungkin dengan penggunaan istilah-istilah yang tidak jauh berbeza dari istilah asal atau dengan menyerap elemen Sains dan Teknologi ke dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Jika Bahasa Melayu diletakkan pada kedudukannya, tidak mustahil ianya boleh menjadi bahasa yang dapat menandingi bahasa-bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris. Kemampuan Bahasa Melayu untuk pergi lebih jauh pernah diutarakan oleh tokoh-tokoh besar negara kita seperti Professor diraja Ungku Aziz dan yang terbaru adalah kenyataan dari Saintis ulung bertaraf dunia iaitu Professor Wan Ramli Daud yang mengatakan “sebenarnya tidak perlu Bahasa Inggeris untuk menghasilkan sains bertaraf dunia”. Beliau yang merupakan pensyarah di fakulti kejuruteraan dan alam bina UKM berkata “Ia juga satu mitos dengan mengatakan anda perlukan Bahasa Inggeris untuk belajar dan menghasilkan sains yang baik kerana di UKM, penyelidikan dan kertas kami ditulis dalam Bahasa Melayu”. Prof Wan Ramli dan 2 saintis Malaysia yang lain dinamakan sebagai antara 72 minda saintifik paling berpengaruh 2015 oleh agensi pengindeksan akademik terkenal dunia Thomson-Reuters, yang berpengkalan di New York. Untuk tujuan penggunaan di peringkat antarabangsa, hasil kajian Prof Wan Ramli yang asalnya ditulis di dalam Bahasa Melayu telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan inilah sebenarnya apa yang dilakukan oleh ahli-ahli sains di Korea, Jepun dan lain-lain negara maju yang tidak berlatarbelakangnya Bahasa Inggeris. Jika Prof Wan Ramli telah dapat membuktikan yang ianya boleh, mengapa ramai rakyat Malaysia yang taksub dengan Bahasa Inggeris beranggapan disebaliknya.


PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA, BAHASA KEBANGSAAN DAN SEKOLAH VERNAKULAR


Perpaduan antara kaum hanya dapat dikecapi jika rakyat dari berbilang kaum bersatu, saling faham memahami dan bekerjasama. Kaedah yang paling berkesan supaya ini dapat dicapai adalah dengan mempunyai satu bahasa komunikasi utama yang digunakan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain. Bahasa adalah alat perpaduan, maka untuk mencapai perpaduan kaum, perlu ada percampuran dan penggunaan sistem pelajaran yang seragam dengan bahasa komunikasi yang sama. Langkah yang paling baik untuk mencapai matlamat ini adalah dengan mengadakan satu sistem sekolah yang tunggal supaya semua pelajar dari bangsa yang berbeza dapat duduk sebumbung di bawah sistem pendidikan yang sama. Sistem ini juga hendaklah tidak menghalang kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda mereka dan bebas mengamalkan amalan agama mereka. Jika ini sukar dicapai disebabkan oleh faktor politik, maka matlamat perpaduan kaum masih boleh dicapai dengan kaedah menyeragamkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di semua sekolah-sekolah tetapi memberi kelonggaran penggunaan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa ilmu untuk matapelajaran Sains dan Matematik.

Memandangkan Bahasa Melayu itu bahasa yang paling utama/resmi dan dijadikan bahasa perpaduan, maka buku rujukan dan peperiksaan hendaklah dijalankan di dalam Bahasa Melayu. Di setiap sekolah-sekolah vernakular ini perlu menitikberatkan aspek memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, di samping membuka peluang yang lebih luas kepada murid-murid dari bangsa lain untuk turut belajar di sekolah tersebut. Pada waktu yang sama, sekolah-sekolah kebangsaan pula perlu lebih terbuka dengan menyediakan peluang mempelajari bahasa-bahasa lain selain dari Bahasa Melayu di sekolah. Peluang mempelajari bahasa lain ini bukan sahaja terhad kepada pelajar bukan melayu, tetapi pelajar melayu sendiri patut mempelajari bahasa Cina dan Tamil untuk tujuan perpaduan kaum.Untuk menarik lebih ramai murid-murid dari bangsa lain belajar di sekolah kebangsaan, maka mutu sistem pelajarannya hendaklah diperbaiki sehingga ianya menjadi pilihan utama pelajar2 dari semua golongan. Apabila sebuah sekolah kebangsaan menyediakan peluang yang sama untuk belajar bahasa lain, mutu pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermutu, maka secara automatiknya lama kelamaan sekolah kebangsaan ini akan menjadi tumpuan semua golongan. Akhirnya sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan akan menjadi satu entiti yang setanding dan sama, sehingga ibubapa dari mana-mana golongan etnik tidak keberatan untuk menghantar anak2 mereka belajar di mana-mana sekolah tersebut. Ini mungkin memakan masa yang panjang tetapi ianya boleh dilakukan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas oleh pihak pengubal polisi dan kerajaan demi untuk melihat perpaduan kaum yang lebih baik dan sistem pendidikan yang cemerlang. Usaha ini dapat dicapai tanpa perlu mengorbankan kepentingan bahasa kebangsaan dan meletakkannya pada kedudukan yang sepatutnya mengikut perlembagaan negara kita.


BAGAIMANA MELETAKKAN BAHASA KEBANGSAAN DI KEDUDUKAN YANG SEPATUTNYA


Hari ini rakyat Malaysia dan ramai pemimpin-pemimpin negara kita menghadapi krisis keyakinan yang serius terhadap keupayaan bahasa melayu yang menjadi bahasa kebangsaan ataupun bahasa resmi termaktub di dalam perlembagaan negara kita. Kedudukan bahasa melayu semakin hari semakin membimbangkan. Disebabkan oleh tanggapan bahawa Bahasa Inggeris adalah segala-galanya, maka kita dapati Bahasa Inggeris dijadikan keperluan utama di dalam banyak aspek kehidupan manusia di Malaysia termasuk peluang mendapatkan pekerjaan. Masyarakat kita lebih berbangga jika menggunakan Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu, hatta ketika berkomunikasi dengan bangsa sendiri.Sebenarnya jika dikaji dengan lebih mendalam, kita akan dapati keperluan menggunakan Bahasa Melayu adalah lebih besar di dalam negara kita kerana bahasa ini digunakan oleh majoriti rakyat Malaysia. Apabila majoriti pelanggan menggunakan Bahasa Melayu, maka sepatutnya Bahasa Melayu ini dijadikan syarat utama kepada majikan untuk mencari pekerja. Contohnya di dalam bidang kedoktoran, mana mungkin bahasa melayu dipersalahkan jika ada pegawai-pegawai perubatan tertekan dan meletakkan jawatan sedangkan majoriti pesakit-pesakit di dalam wad yang memerlukan rawatan menggunakan bahasa melayu untuk berkomunikasi. Tentu para doktor yang rata-rata fasih berbahasa melayu lebih senang menjalankan tugas mereka. Dakwaan-dakwaan palsu seperti inilah yang menjatuhkan martabat bahasa melayu dan memberi persepsi negatif kepada orang ramai. Ramai penulis lebih suka menulis kelebihan bahasa inggeris dari bahasa melayu dan jika ada berita-berita yang merendahkan bahasa melayu, maka berita itulah yang akan disensasikan. Saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai isu bahasa di dalam pendidikan di negara kita, sila klik di sini. Professor Dr. Wan Ramli Wan Daud yang merupakan di antara Saintis Malaysia bertaraf dunia ada menulis mengenai isu bahasa melayu di dalam penguasaan ilmu Sains dan teknologi. Sila klik di sini untuk membaca rencana beliau.


Pada hari ini, walaupun jelas bahasa melayu itu lebih penting di dalam semua aspek kehidupan rakyat negara kita samada pendidikan, perniagaan, perhubungan dan lain-lain bidang, ianya tidak ditonjolkan. Bahasa melayu juga  adalah bahasa perpaduan yang boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Sebaliknya apa yang ditonjol-tonjolkan adalah kononnya  penguasaan Bahasa Inggeris lebih penting bagi memudahkan untuk berbincang dan berhubungan dengan orang luar negara bagi mengembangkan urusan perniagaan ataupun lain-lain urusan ke peringkat antarabangsa. Hakikatnya orang luar negara tidak melihat sejauhmana fasihnya kita berbahasa Inggeris untuk menjalinkan hubungan perniagaan tetapi faktor-faktor lain seperti kekukuhan ekonomi, kestabilan politik, keamanan, sumber semulajadi dan lain-lain faktor yang tidak ada kaitan dengan bahasa yang digunakan. Terlalu banyak contoh negara-negara asing yang maju tanpa memerlukan bahasa Inggeris di dalam sistem pendidikan dan hidup mereka. Mereka masih mampu mengekalkan martabat bahasa ibunda mereka dan maju di dalam semua bidang, samada pendidikan, teknologi dan ekonomi.  

Kerajaan patut menggubal dasar yang dapat mengubah persepsi ini dengan menguatkuasakan akta2 dan peraturan2 seperti kewajipan menggunakan Bahasa Melayu semasa mesyuarat, pengiklanan, surat menyurat, pekeliling, lapuran, surat perjanjian, temuduga dan kewajipan menguasai Bahasa Melayu dengan baik sebelum dapat mendaftarkan perniagaan serta memohon pekerjaan. Malah ianya juga boleh dijadikan syarat untuk kenaikan pangkat. Penekanan juga perlu diberikan di dalam amalan menggunakan bahasa melayu yang tulin dan tidak menggunakan bahasa rojak sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Professor Diraja Ungku Aziz bahawa “bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu, sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak, seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita”. Apabila persepsi ini berubah dan rakyat nampak kepentingan menguasai Bahasa Melayu di dalam kehidupan mereka, maka mereka akan dengan sendirinya berusaha untuk meningkatkan keupayaan menguasai bahasa ini, tidak kira dari apa sahaja latarbelakang bangsa mereka. Hari ini walaupun ada peraturan yang menghendaki bahasa melayu digunakan di majlis-majlis resmi, mahkamah dan lain-lain, tetapi rata-rata pegawai-pegawai yang terlibat lebih suka menggunakan bahasa inggeris ataupun bahasa rojak.


Menjadikan kewajipan menguasai Bahasa Melayu dari segi penulisan dan pertuturan untuk memohon memasuki pusat pengajian juga perlu ditekankan kepentingannya. Menjadikan wajib lulus (penulisan dan lisan) Bahasa Melayu di semua pengajian tidak kira apa bidang sekali pun melalui ujian bahasa sebelum dipilih untuk menghadiri temuduga contohnya adalah salah satu dari banyak lagi kaedah-kaedah memartabatkan bahasa melayu. Kerajaan juga patut meningkatkan kempen penggunaan bahasa kebangsaan dengan menjalankan aktiviti mempromosi penggunaan bahasa melayu dan kempen mencegah amalan bahasa rojak dalam kalangan rakyat. Pemimpin patut menjadi contoh kepada rakyat dengan menggunakan bahasa melayu dengan baik, contoh  pemimpin yang mempunyai penguasaan bahasa melayu yang baik adalah seperti Datuk seri Rais Yatim, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Lee Lam Thye dan beberapa orang lagi pemimpin. Di dalam kita memperjuangkan bahasa melayu di negara ini, ketepikan pendirian politik, samada kerajaan mahupun pembangkang hendaklah meletakkan agenda memartabatkan bahasa melayu ini sebagai agenda terpenting perjuangan parti. Ini akan dapat meningkatkan imej dan memulihkan persepsi masyarakat Malaysia kepada Bahasa Melayu, sehingga masyarakat kita semuanya akan beranggapan bahawa kalau tidak cekap berbahasa Melayu susah untuk masuk universiti dan susah untuk mendapatkan pekerjaan.


Penterjemahan buku-buku ilmu ke dalam Bahasa Melayu sangat penting dan ini perlu dipertingkatkan sebagaimana yang dilakukan oleh negara Jepun, Korea dan lain-lain negara maju. Dengan kemahiran berbahasa Melayu di dalam pengajaran Sains dan Matematik, maka kita akan dapat menghasilkan lebih ramai penterjemah-penterjemah yang berkemahiran tinggi. Mungkin satu masa lagi pengajian peringkat yang lebih tinggi sehingga kepada doktor falsafah (pHD) tidak lagi memerlukan rujukan buku-buku berbahasa Inggeris kerana negara kita sudah mempunyai cukup buku-buku rujukan berbahasa Melayu. Pada ketika itu sistem pendidikan kita boleh menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat sehingga ke peringkat pengajian tertinggi. Institusi-institusi pengajian tinggi juga dapat mengambil peluang menaikkan martabat bahasa melayu dengan menawarkan insentif ataupun peluang kenaikan pangkat kepada pensyarah-pensyarah yang dapat menghasilkan bahan akademik di dalam bahasa melayu.

Banyak lagi kaedah yang boleh difikirkan untuk meletakkan martabat bahasa melayu ke kedudukan yang sepatutnya. Apa yang saya nyatakan di atas hanya sebahagian darinya. Pokoknya seperti kata pepatah melayu " mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih".

KESAN NEGATIF PERLAKSANAAN PPSMI

Rakyat Malaysia terutamanya masyarakat melayu yang menjadi majoriti penduduk Malaysia akan menghadapi waktu yang sukar di dalam konflik kepentingan bahasa komunikasi dan bahasa ilmu. Penguasaan ilmu akan menjadi lebih sukar dan mereka akan terpinggir apabila tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam bidang Sains dan Matematik. Ibubapa akan menjadi keliru dengan sistem yang berubah-ubah sehingga mungkin akan kehilangan keyakinan terhadap sistem pendidikan yang ada. Mereka mungkin perlu mengeluarkan belanja yang lebih untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan bahasa dan matapelajaran Sains dan Matematik.

Guru-guru adalah golongan yang amat terkesan kerana perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan bahasa lain di dalam pengajaran Sains dan Matematik. Walaupun mereka telah biasa dengan PPSMI selama 10 tahun tetapi kajian telah menunjukkan bahawa guru-guru yang ada masih mempunyai masalah penguasaan Bahasa Inggeris untuk menyampaikan ilmu mereka. Malah salah satu sebab mengapa PPSMI dihentikan adalah seperti yang disebut oleh mantan TPM, Tan Sri Muhyiddin Yasssin “ keputusan memansuhkan PPSMI ini mengambil kira masalah guru-guru yang tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik sehingga menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran menunjukkan hampir 60,000 guru kedua-dua subjek itu mempunyai daya penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah”. Sila rujuk Jadual 1 untuk mengetahui hasil pemantauan pencapaian PPSMI pada tahun 2008.

Kos untuk menjalankan program PPSMI akan menelan belanja yang tinggi kerana persediaan dan prasarana yang diperlukan menelan kos yang pasti sangat tinggi. Kerajaan perlu memikirkan kaedah untuk meningkatkan kemahiran guru-guru semenjak dari di Pusat latihan perguruan sehinggalah ke sekolah-sekolah. Bengkel, kursus dan latihan perlu dipertingkatkan. Tidak kurang juga prasarana dan alat pembelajaran yang perlu disediakan. Dikatakan bahawa kos perlaksanaan PPSMI dari tahun 2003 hingga 2012 memakan belanja sebanyak RM5 billion.

Di samping pemantauan Kementerian Pelajaran terhadap pencapaian PPSMI pada tahun 2008, beberapa kajian lain telah dijalankan untuk menilai keberkesanan perlaksanaan PPSMI pada tahun 2002 hingga 2012 dan mengikut Prof Emeritus Dato’ Isahak Haron yang menjalankan kajian  terhadap pelajar tingkatan dua yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, terdapat 87% pelajar menghadapi kesukaran mempelajari matapelajaran sains dan 84% pelajar mempunyai kesukaran di dalam matapelajaran matematik.  Kajian ini dilakukan ke atas murid-murid yang sudah melalui 7 generasi perelaksanaan PPSMI. Adakah kita ingin berdepan dengan kegagalan untuk kali kedua, dan ke arah manakah langkah kita seterusnya selepas ini? Ibubapa, guru-guru dan murid-murid akan berdepan dengan tekanan dan kekeliruan untuk sekian kali.

Program PPSMI akan pasti lebih meminggirkan Bahasa Melayu di persada kehidupan rakyat Malaysia dan inilah hakikat yang tidak boleh dinafikan walaupun ramai pejuang-pejuang PPSMI tidak bersetuju. Kerana inilah yang berlaku kepada negara-negara yang menggunakan bahasa lain sebagai bahasa ilmu untuk rakyat mereka dari peringkat awal persekolahan. Apatah lagi negara kita yang masih banyak kekurangan dari segi persediaan fizikal dan mental rakyat-rakyatnya untuk beralih dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris di dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah. Negara Singapura contohnya menggunakan polisi bilingual semenjak lebih 30 tahun dan beberapa kajian telah dibuat untuk melihat kesan menggunakan bahasa kedua sebagai bahasa pengantar di Singapura. Menurut lapuran Kementerian Pendidikan Singapura, kajian ke atas murid-murid berbangsa Cina di peringkat darjah satu telah menunjukkan bahawa peratusan penggunaan bahasa Cina di rumah telah menurun dari 67.9% pada tahun 1980 kepada 43.6% pada tahun 2004, manakala penggunaan Bahasa Inggeris telah meningkat dari 9.3% kepada 47.3% pada tempoh yang sama. Dikatakan jika trend ini berterusan, maka Bahasa Inggeris akan menjadi bahasa ibunda baru rakyat Singapura berbangsa Cina dan pada waktu yang sama, bahasa Cina akan menjadi bahasa asing yang dipelajari di sekolah di dalam jangkamasa 10 hingga 20 tahun akan datang. Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew sendiri yang merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem pendidikan ini sendiri pernah menyatakan kebimbangannya “ after 30 years of bilingual education, the pendulum has swung too much in the direction of English, leaving younger Singaporean unable to speak their mother tongue language”. Kejayaan Singapura di dalam semua bidang pada hari ini bukan semata-mata disebabkan oleh penguasaan Bahasa Inggeris, malah peranannya tidak sebesar yang disangkakan, tetapi adalah hasil kepimpinan yang cemerlang, sikap rakyat yang berdaya saing, faktor ekonomi, faktor bilangan penduduk serta saiz negara yang kecil dan satu lagi adalah faktor mengimport kepakaran luar untuk masuk ke Singapura yang menyumbang kepada kemajuan negara ini.


KESIMPULAN


Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang sangat bernilai kerana bukan sahaja ianya menjadi alat untuk mendapat ilmu secara lebih baik oleh rakyat Malaysia tetapi juga adalah senjata yang sangat berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling tepat untuk digunakan sebagai bahasa pengantar pelajaran matematik dan sains sekurang-kurangnya di peringkat sekolah rendah dan menengah kerana pada ketika inilah anak-anak Malaysia perlu untuk mendapat asas yang kukuh di dalam kedua-dua bidang ilmu sebelum melangkah ke pengajian yang lebih tinggi.

Kemampuan Bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan kerana ianya digunakan oleh lebih 300 juta orang di seluruh dunia dan merupakan bahasa ke 5 paling utama di dunia. Rakyat Malaysia sendiri yang tidak yakin kerana persepsi dan kerana terpengaruh dengan fahaman kolonialisme. Jika kerajaan kita melaksanakan cadangan-cadangan yang telah dinyatakan di dalam rencana ini, satu hari nanti Bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang diutamakan oleh setiap orang dan institusi di Malaysia dan tidak wujud lagi persepsi negatif sebaliknya kita akan dapat melihat bagaimana orang berkata “ kalau tidak cekap berbahasa Melayu, sukar untuk mencapai kejayaan akademik dan sukar mencari kerja”. Bahasa melayu dikenali sebagai salah satu bahasa yang sangat mudah dikuasai, maka ciri-ciri ini dan lain-lain yang dinyatakan di atas sudah tentu menjadikannya satu bahasa yang boleh pergi lebih jauh dan mempunyai masa depan yang sangat baik sebagai bahasa antarabangsa.

Di dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, kita tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa komunikasi antarabangsa. Pemantapan penguasaan Bahasa Inggeris perlu diteruskan sehingga semua rakyat Malaysia fasih menulis dan bertutur di dalam bahasa ini. Ini dapat dilakukan dengan meningkatkan keberkesanan pengajaran Bahasa Inggeris, menambah jumlah masa pembelajaran, kempen-kempen, meningkatkan mutu tenaga pengajar dan memperbaiki kaedah pengajaran Bahasa Inggeris. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu boleh digunakan di pusat pengajian tinggi jika belum ada buku-buku rujukan di dalam Bahasa Melayu. Sejarah telah menunjukkan bahawa perkara ini boleh dilakukan dan berjaya seperti mana yang berlaku semenjak tahun 1970-an sehingga tahun 2002, pelajaran sekolah rendah dan menengah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik dan apabila anak-anak ini  melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, tidak menjadi masalah besar bagi mereka untuk bertukar kepada Bahasa Inggeris. Jika sekiranya pada hari ini kita menggunakan sistem yang sama tetapi usaha yang lebih giat dijalankan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi, maka tentu sekali proses perubahan dari sistem sekolah kepada sistem di universiti akan berjalan dengan lebih lancer dan mudah.

Kesan positif dari penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa ilmu akan membawa banyak kebaikan kepada negara kita, di antaranya (1) memartabatkan Bahasa Melayu selaras dengan kehendak perlembagaan, (2) menyatupadukan rakyat Malaysia, (3) penguasaan ilmu Sains dan Matematik lebih mudah dan anak-anak mempunyai asas yang lebih kukuh di dalam matapelajaran ini, (4) hilangnya ancaman kepada tradisi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di rumah dan di tempat kerja, (5) Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ibunda rakyat Malaysia terutamanya bangsa melayu yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, (6) Lama kelamaan, dengan peningkatan penggunaan Bahasa Melayu, lebih banyak buku2 rujukan diterjemahkan maka kebergantungan kepada bahasa lain akan berkurangan dan kita menjadi masyarakat yang lebih independen, (7) kos yang tinggi untuk melaksanakan PPSMI dapat digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat seperti meningkatkan kemudahan pembelajaran, memberi insentif yang lebih baik kepada guru-guru dan juga meningkatkan bilangan guru-guru yang terlatih dan pakar di dalam bidang Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Wang ini juga lebih baik digunakan untuk membina lebih banyak sekolah-sekolah serta mengurangkan nisbah guru:murid. Usaha-usaha menterjemahkan buku-buku kepada Bahasa Melayu dapat dipertingkatkan supaya kita mempunyai cukup sumber rujukan di dalam bahasa kebangsaan, dan (8) mengurangkan tekanan dan kekeliruan ke atas ibubapa, guru-guru dan murid-murid kerana sistem pendidikan yang seragam, konsisten dan tidak menjalani perubahan yang terlalu kerap.

Hasilnya, kita dapat meningkatkan martabat Bahasa Melayu, mengekalkan budaya bangsa sendiri, mencapai perpaduan kaum dan pada waktu yang sama negara kita dapat menghasilkan ramai cendikiawan-cendikiawan di dalam semua bidang sehingga mereka dapat memanfaatkan rakyat Malaysia di dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, sains dan teknologi sehingga negara kita menjadi maju dan tidak perlu bergantung dengan bantuan negara-negara lain. Sistem pendidikan yang bersepadu dan terbaik ini juga menghasilkan individu-individu yang mempunyai daya kepimpinan yang lebih baik, penguasaan bahasa yang cemerlang dan jatidiri yang kukuh untuk menjadi pemimpin yang lebih berjaya di masa-masa hadapan. Biarlah apa yang kita kendong hari ini akan dapat kita bawa untuk dikumpulkan dengan apa yang kita kejar di hujung sana.




Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Ketua Jabatan
Pakar Perunding Kanan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Presiden Malaysian Gynaecological Cancer Society
Februari 2016  



Rencana ini ditulis berdasarkan pendapat peribadi semata-mata dan tidak mewakili mana-mana institusi samada institusi kerajaan, swasta mahupun mana-mana parti politik.



5 comments:

  1. err..saya harap ada yg dapat jawab saye..kalau dalam soalan sekolah dia tanya mengapa perlu martabatkan bahasa melayu nk jawab apa ya?

    ReplyDelete
  2. Ia membantu saya untuk menyiapkan kerja sekolah. 😊

    ReplyDelete