Sunday, June 11, 2017

MADU DAN RAWATAN KANSER

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG (UKM),FGO (S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia



Madu asli yang dihasilkan oleh lebah mengandungi lebih 200 jenis kompoun, mengandungi terutamanya gula (75% gula ringkas iaitu glukos dan fruktos, 10-15% disakarida iaitu sukros, maltos dan lain-lain), air, enzim, vitamin (B6, riboflavin, niacin, thiamin dan lain2), mineral, kompoun fenolik (flavonoid, asid fenolik), pigmen dan lain-lain. Madu juga diketahui mengandungi ciri-ciri antioksidan dan antikeradangan. Ciri-ciri ini adalah daripada kandungan kompoun fenolik yang terdapat di dalamnya. Kualiti sesuatu jenis madu bergantung kepada kandungan asid fenolik dan dikatakan kandungan kompoun asid fenolik paling tinggi di dalam madu manuka, madu monofloral daripada New Zealand, madu tualang dan madu buckwheat monofloral. Kandungan fenolik di dalam madu berbeza daripada 86 hingga 1141 mg/kg. Kaedah pengukur kandungan fenolik ini juga perlu dipersoalkan kerana jika kaedah yang digunakan tidak betul, maka ia boleh memberi gambaran yang salah tentang isi kandungan fenolik. Contohnya jika pengkaji menggunakan kaedah Folin-Ciocalteau untuk mengukur fenolik, bacaan yang diberikan nanti adalah lebih tinggi daripada nilai sebenar (”overestimated”). Isu yang paling bersar adalah biovailabiliti madu ini apabila diambil oleh manusia, maksudnya berapakah kandungan fenolik yang akan dapat masuk ke dalam aliran darah apabila manusia meminum madu tulin. Kajian ke atas bioavailabiliti ini masih terhad, tetapi ada kajian ke atas madu buckwheat yang menunjukkan kandunagn fenolik di dalam plasma meningkat selepas 2 jam mengambil madu (dos 1.5 gm/kg madu) dan bertahan untuk selama 6 jam. (1, 2).




Madu dikaitkan dengan pelbagai kebaikan untuk kesihatan dan di dalam rencana ini saya hanya akan menumpukan tentang salah satu khasiat madu yang didakwa dapat menjadi penawar penyakit kanser. Kejadian kanser adalah proses yang sangat kompleks, saya telah menulis tajuk ini panjang lebar di dalam rencara terdahulu. Kanser terjadi akibat daripada kelainan genetik dan interaksi dengan faktor-faktor luar yang menjadi ko faktor. Akibat daripada kelainan genetik ini juga menyebabkan berlaku kelainan metabilisma tisu sehingga menjadi punca transformasi sel yang normal kepada sel-sel kanser. Kelainan genetik dan epigenetik boleh berlaku akibat daripada proses semulajadi yang berlaku secara spontan dan juga akibat daripada pendedahan ke atas karsinogen melibatkan gen perencat kanser serta onkogen. Kejadian kanser juga ada dikaitkan dengan proses keradangan yang berlaku serta penglibatan radikal bebas. Melalui pemahaman inilah wujudnya andaian bahawa sifat antioksidan dan antikeradangan yang ada di dalam madu mungkin mempunyai kesan positif terhadap kanser.

CIRI-CIRI ANTIKANSER DI DALAM MADU

Terdapat beberapa ciri yang membuatkan sesuatu bahan menjadi antikanser. Di antara ciri-ciri tersebut adalah antiproliferatif (anti pembiakan sel), apoptotik (mematikan sel), merencat faktor tumbesaran (growth factors inhibition), antikeradangan dan lain-lain lagi. Madu telah menjalani kajian dari semua aspek ini walaupun semua kajian-kajian tersebut adalah kajian makmal. Berikut adalah beberapa fakta mengenai hasil kajian terhadap madu dan potensinya sebagai antikanser.

CIRI-CIRI ANTIPROLIFERATIF (ANTI PEMBIAKAN SEL)

Kajian-kajian tentang ciri antiproliferatif madu ini adalah kajian makmal ke atas lapisan sel-sel kanser di dalam makmal, terdapat kajian ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, usus besar dan juga melanoma. Ciri-ciri antiproliferatif ini di dapati ada di dalam madu. Madu manuka yang tulin digunakan untuk menguji kesan ini terhadap lapisan sel kanser payudara, melanoma dan kolon tikus. Madu tualang juga telah didapati menunjukkan ciri-ciri antiproliferatif lapisan sel kanser mulut, kanser payudara, kanser pangkal rahim, leukemia dan sel tulang (osterosarcoma). Ramai ahli sains percaya ciri-ciri antiproliferatif ini adalah daripada kandungan fenolik di dalam madu. Satu lagi jenis madu yang menjalani ujian makmal ini adalah madu gelam ke atas lapisan sel kanser usus besar. Madu tualang didapati mengandungi kandungan fenolik  dan flavonoid yang lebih tinggi daripada madu gelam. Kajian-kajian juga menunjukkan tindakbalas yang berbeza daripada jenis madu yang berbeza serta jenis lapisan sel-sel kanser. Kebanyakan kajian tidak memberi maklumat terperinci dari segi jumlah lapisan sel-sel kanser yang digunakan. Kandungan gula di dalam madu juga menentukan kesan madu sebagai antiproliferatif sebab gula diperlukan oleh sel kanser dan pada waktu yang sama dipercayai mempunyai kesan antimutagenik (mencegah mutasi gen). Kesan antimutagenik ini dikesan paling tinggi oleh madu Buckwheat. Kesan antimutagenik lebih kepada mencegah berlakunya transformasi sel berbanding dengan kesan antiproliferatif yang lebih kepada menghentikan pembiakan sel.

Terdapat juga kajian yang mengambil ekstrak daripada madu untuk melihat kesan antiproliferatif madu, contohnya mengambil Chrysin salah satu kompoun fenolik. Kesan toksik chrysin ditemui ke atas lapisan sel kanser melanoma. Kesan-kesan cytotoxic Chrysin ke atas lapisan sel kanser payudara, prostat, servik, hati, paru-paru dan pankreas juga ditemui. Chrysin juga dikesan mempunyai ciri-ciri apoptotik ke atas sel kanser hati, usus besar, prostat, payudara dan paru-paru. (3,4). Satu lagi kompoun fenolik yang digunakan untuk kajian ini adalah quercetin ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, kanser serviks, ovari dan payudara. Apa yang menarik adalah ujian2 menggunakan kompoun ini secara bersendirian memerlukan kepekatan yang lebih tinggi jika dibandingkan kandungannya di dalam madu asli. Ini membawa kepada andaian bahawa di dalam madu asli tersebut terdapat bahan-bahan antiproliferatif lain yang bekerjasama bagi menghasilkan kesan yang lebih besar. Bahan-bahan lain ini masih tidak dapat diketahui oleh ahli sains.

CIRI MERENCAT FAKTOR TUMBESARAN

Di samping kesan antiproliferatif, kesan ke atas faktor tumbesaran (growth faktor)  juga dikaji. Setiap kanser mempunyai faktor tumbesarannya sendiri yang jika diransang akan meningkatkan saiz kanser dan jika direncat boleh mengecil dan menghapuskan sel-sel kanser. Walaupun terdapat kajian kesan madu ke atas faktor tumbesaran yang dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser payudara dan kanser usus besar, keputusan daripada kajian2 ini masih belum mencukupi untuk mengatakan madu mempunyai kesan ke atas faktor tumbesaran.(5,6,7)

CIRI APOPTOTIK (MEMBUNUH SEL)

Kesan apoptotik adalah kesan mematikan sel. Kajian mengenai kesan madu di dalam mematikan sel pernah dilakukan ke atas lapisan sel kanser leukemia menggunakan madu Spanish. Kajian ini menunjukkan kesan positif apoptotik pada kepekaran tertentu madu ini. (8)

Madu juga didapati mempunyai kesan mematikan sel-sel kanser yang dihidapi oleh haiwan. Kajian ke atas kanser yang diperolehi daripada tikus dilakukan, suntikan terus ke atas kanser dilakukan menggunakan 0.1 ml, 20% madu selama 3 minggu. Kajian ini menunjukkan memang ada kesan apoptotik ke atas kanser yang dihidapi oleh tikus ini apabila disuntik dan diberi makan madu yang berkenaan. Kajian ini adalah ke atas haiwan dan tidak dilakukan perbandingan dengan madu tiruan ataupun campuran gula.Madu manuka telah menunjukkan kesan apoptotik ke atas lapisan sel kanser payudara dan melanoma.(9, 10).

Kajian terhadap madu tualang pernah dilakukan ke atas lapisan sel-sel kanser payudara dan servik juga menunjukkan kesan antikanser (11). Kajian terhadap madu gelam dilakukan ke atas lapisan sel kanser usus besar juga menunjukkan kesan yang sama (12).

CIRI ANTI-KERADANGAN (ANTI-INFLAMATORI)

Keradangan ataupun inflamatori adalah tindak balas biologi ke atas kecederaan. Keradangan mempercepatkan proses penyembuhan luka dan memainkan peranan penting di dalam proses kejadian penyakit. Keradangan boleh menjadi bermanfaat dan jika berlebihan boleh memudaratkan. Sejenis bahan dikenali sebagai cytokines dihasilkan oleh sel-sel inflamatori yang boleh meransang pembentukan saluran darah baru (angiogenesis) serta pembiakan stroma. Manakala kerosakan akibat daripada radikal bebas ke atas tisu badan boleh meransang kerosakan gen sel-sel badan. Proses ini dengan disusuli dengan proses lanjutan yang kompleks boleh menyebabkan transformasi sel normal kepada sel kanser. Kaitan di antara keradangan dan kejadian kanser memang diketahui oleh ahli sains apabila mendapati banyak jenis kanser berlaku ditempat yang ada berlaku keradangan kronik. Salah satu jenis cytokines adalah intereukin yang dikesan mempunyai ciri-ciri tumorigenik (ransang ketumbuhan) dan proantiogenik (ransang saluran darah baru). Kajian makmal ke atas madu tulis menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan merencat penghasilan interleukin menggunakan lapisan sel kanser usus besar manusia.  (13). Walau bagaimanapun kesan ini tidak dihasilkan oleh fenolik. Ahli sains tidak dapat memastikan apakah bahan yang bertanggungjawab, berkemungkinan daripada modulasi sistem imun menghasilkan radikal bebas. Terdapat juga bukti kajian ke atas tikus yang menunjukkan kesan ransangan sistem imun oleh madu. Kajian kecil ke atas 10 orang manusia dilakukan dengan memberi makan madu sebanyak 1.2 gm/kg selama 2 minggu mendapati pengambilan madu sebanyak 1.2gm/kg yang dilarutkan di dalam 250 mls air menyebabkan peningkatan bilangan sel monosit di dalam darah sebanyak 50% dan sedikit peningkatan sel limfosit dan eosinofil. (14). Di sebaliknya pula terdapat juga kajian yang menunjukkan madu juga mempunyai kesan meransang keradangan iaitu ciri-ciri yang bertentangan, ini mengelirukan ahli sains. Contohnya kajian menggunakan madu manuka, pasture dan jelly bush menunjukkan madu-madu ini juga meransang  penghasilan interleukin dan TNF alfa apabila menggunakan madu 1%.

PENCEGAHAN KANSER

Kajian ke atas kesan madu bagi mencegah dan meningkatkan keberkesan rawatan kanser telah cuba dijalankan ke atas haiwan. Madu tualang dan madu manuka diberikan kepada tikus pada dos 1gm/kg berat badan satu minggu sebelum kanser diransang ke atas tikus tersebut. Kanser tersebut dapat dicegah dengan madu berkenaan di mana madu manuka didapati lebih berkesan daripada madu tualang (15). Menyuntik madu ke atas kanser pundi kencing yang dihidapi oleh tikus pernah dilakukan dan saiz kanser ini didapati menurun selepas rawatan(9). Kajian makmal (menggunakan lapisan sel payudara manusia) juga menunjukkan bahawa madu tualang dapat meningkatkan keberkesanan Tamoxifen melawan kanser payudara (16). Madu manuka juga didapati mengurangkan kesan toksi ubat antikanser paclitaxel ke atas tikus. Di dalam kajian ini , madu manuka 50% dibri suntikan intravena. Bentuk kajian yang sama dilakukan menggunakan campuran madu lebah (madu, royal jelly, pollen grains)  ke atas tikus yang mengambil cyclophosphamide .Pemberian madu tulin sebanyak 500 mg/kg/hari kepada tikus selama satu minggu mengurangkan kesan toksik ke atas buah pinggang yang diakibatkan oleh cisplatin. Madu mengandungi antioksidan tetapi pada pandangan ahli sains, pengambilan antioksidan mempunyai kesan serampang dua mata kepada kanser kerana antioksidan boleh mengganggu keseimbangan di antara antioksidan semulajadi dan radikal bebas yang terdapat di dalam badan manusia. Walaupun radikal bebas boleh merosakkan sel-sel normal, ianya juga berperanan memusnahkan sel-sel yang tidak normal termasuk sel-sel prakanser dan sel-sel kanser. Mengambil antioksidan dari luar pada kuantiti yang banyak boleh mengubah keseimbangan tadi dan boleh memberi kesan mudarat ke atas badan.


POTENSI KEGUNAAN MADU KE ATAS PESAKIT KANSER



Ahli sains berjaya menemui tanda-tanda antipembiakan sel di dalam madu walaupun kajian ini dilakukan di dalam makmal. Pendek kata potensi madu untuk dijadikan kaedah rawatan kanser adalah munasabah di masa hadapan jika ahli-ahli sains menjalankan kajian yang lebih lanjut. Walau bagaimanapun, setakat rencana ini ditulis, belum ada bukti yang kukuh untuk menggunakan madu bagi tujuan merawat aatupun mencegah kanser. Madu mungkin dapat digunakan untuk tujuan melegakan gejala dan merawat luka akibat daripada penyakit kanser. Contohnya pesakit kanser yang mengalami luka di bahagian belakang akibat daripada berbaring untuk jangkamasa yang panjang. Luka ini dinamakan ”pressure sore” ataupun ”bed sore” yang disebabkan oleh tekanan yang berpanjangan ke atas kulit belakang sehingga bekalan darah di kawasan tersebut terjejas dan berlakulah pengelupasan kulit dan seterusnya jangkitan. Terdapat kajian yang dilakukan ke atas 40 orang pesakit kanser yang mengalami ”pressure sore” dan pengkaji mendapati dengan menggunakan madu dan sapuan antibiotik ke atas luka ini, kadar penyembuhannya lebih baik serta masalah kesakitan dapat dikurangkan. (17)  Lund Nielsen dan rakan-rakan menggunakan madu manuka untuk merawat luka akibat kanser (malignant wound) payudara, kanser leher dan kepala dan mendapati madu yang disapukan ke atas luka tersebut mengecil sebanyak 62% dan membersihkan luka disamping mengurangkan bau yang busuk (18). Madu membantu mempercepatkan penyembuhan luka melalui beberapa cara iaitu menurunkan pH permukaan luka, anti keradangan dan antibakteria. Antibakteria yang terkandung di dalam madu boleh digunakan untuk membunuh beberapa jenis bacteria yang mengalami kerintangan contohnya MRSA (Methicillin resistant Staphylococus aureus) (19). Bahan antibakteria yang terdapat di dalam madu dipercayai datangnya daripada methylglyoxal dan hydrogen peroksida.

Sakit mulut dan radang pada kulit saluran makanan yang dinamakan mucositis sering berlaku ke atas pesakit kanser samada akibat daripada rawatan kemoterapi ataupun radioterapi yang diberikan pada bahagian kepala dan tekak. Kajian penggunaan madu ke atas pesakit kanser leher dan tekak yang menerima rawatan radioterapi telah dilakukan dan kajian metaanalisis menunjukkan madu berpotensi untuk digunakan bagi mengurangkan risiko mucositis oleh pesakit-pesakit ini pada kadar 80% lebih rendah. (20) . Kajian menggunakan madu untuk merawat mucositis yang dialami oleh pesakit kanser kanak-kanak juga dijalankan di mana pesakit-pesakit ini mengaplikasikan madu asli  pada lapisan kulit mulut dan lidah kemudiannya berkumur dengan air alkaline saline 4-6 kali sehari. Kaedah yang sama juga digunakan untuk mencegah mucositis. Kajian ini menunjukkan bahawa madu dapat mengurangkan risiko mucositis, jangkitan bacteria, jangkitan fungus dan memendekkan tempoh tinggal di hospital.(21)

Memandangkan madu mengandungi antioksidan, pakar kanser agak khuatir jika ianya diberikan bersama dengan rawatan kanser samada kemoterapi ataupun radioterapi. Antioksidan akan menyahaktifkan radikal bebas sedangkan radikal bebas yang ada di dalam badan tidak semuanya memudaratkan kerana ianya juga digunakan untuk menghapuskan sel-sel yang tidak normal termasuk sel kanser. Apabila antioksidan diberikan, kesan radikal bebas ke atas sel-sel kanser ini akan dikurangkan dan dikhuatiri ini akan mengurangkan keberkesanan rawatan kanser. Sebab itu ramai pakar kanser tidak menggalakkan pesakit mengambil sebarang antioksidan semasa rawatan diberikan, tetapi ianya boleh diamalkan selepas selesai rawatan.Walau bagaimanapun ini hanya terhad kepada mengambil madu di dalam bentuk makanan dan minuman. Manakala menggunakan madu untuk tujuan setempat (topical) ke atas lapisan kulit mulut dan luka tidak akan memberi kesan negatif ke atas rawatan kanser.
 
KESAN SAMPINGAN MADU

Madu telah digunakan semenjak berkurun-kurun yang lalu sebagai sumber nutrisi dan juga merawat luka. Setakat ini belum ada lapuran kesan sampingan yang serius dialami oleh kebanyakan pengamal. Walau bagaimanapun memandangkan terdapat banyak jenis madu dengan kualiti yang berbeza dan ada di antaranya diproses dan tercemar maka  potensi kesan sampingan boleh terjadi akibat daripada pengambilan madu yang tidak mengikut peraturan ataupun secara berlebihan. Isu berkenaan dengan kesan sampingan madu dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana tulisan saya di sini.

 KESIMPULAN

Madu sememangnya didapati mempunyai kesan manfaat ke atas manusia sebagai sumber nutrisi dan juga digunakan untuk merawat luka serta mengurangkan keradangan. Ahli Sains perubatan tidak menafikan tentang adanya nilai-nilai pengubatan yang terdapat di dalam madu. Apa yang istimewa tentang madu adalah ianya mudah diperolehi, murah, senang diambil dan setakat ini majoriti pengamal madu tidak mengalami kesan sampingan yang serius. Walau bagaimanapun kajian ke atas madu dan kesannya ke atas penyakit kanser masih terlalu awal. Semua kajian yang dilakukan berkaitan antara madu dan kanser adalah kajian makmal dan kajian haiwan. Walaupun banyak kajian yang dilakukan itu menunjukkan kesan positif samada antiproliferatif, antikeradangan, apoptotik dan merencat ransangan faktor tumbesaran, ianya tidak cukup untuk dijadikan alasan menggunakan madu untuk merawat ataupun mencegah kanser ke atas manusia. Di samping itu ahli sains juga masih tidak dapat menentukan apakah sebenarnya kompoun yang bertanggungjawab memberi ciri-ciri tersebut walaupun ramai yang yakin ianya disebabkan oleh fenolik. Ciri-ciri dan kualiti madu juga berbeza-beza mengikut sumber, tempat ianya dihasilkan, cuaca, penyimpanan dan juga pembungkusan. Ahli sains juga menghadapi masalah untuk menentukan apakah dos yang sesuai diambil dan jangkamasa pengambilan. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dilakukan dan potensi madu untuk digunakan sebagai bahan pengubatan adalah cerah jika ahli sains berjaya mengesan kompoun yang paling aktif, dos yang optima dan kaedah pemberian yang terbaik. Di samping itu ahli sains juga perlu mengkaji kesan menggunakan madu bersama dengan kaedah rawatan kanser yang lain bagi menjamin keberkesanan rawatan kanser. Sehingga rencana ini ditulis, rawatan kanser hendaklah diberikan dengan kaedah rawatan kanser moden yang dikendalikan oleh pakar kanser yang terlatih. Madu masih dianggap sumber makanan dan suplemen bagi tujuan membekalkan tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka.

 RUJUKAN

1. Porcza LM, Simms C, Chopra M. Review: Honey and Cancer: Current Status and Future Directions. Diseases 2016, 4, 30; doi:10.3390/diseases4040030
2. Schramm D, Karim M, Schrader H, et al. Honey with high levels of antioxidants can provide protection in healthy human subjects. J. Agric. Food Chem. 2003;51:1732-1735
3. Kasala ER, Bodduluru LN, Madana RM et al. Chemopreventive and therapeutic potential of chrysin in cancer:Mechanistic perspectives. Toxicol.Lett. 2015;233:214-225
4.Ronnekleiv Kelly S, Nukaya M, Diaz-Diaz C et al.  Aryl hydrocarbon receptor-dependent apoptotic cell death induced by the flavonoid chrysin in human colorectal cancer cells. Cancer Lett  2016;370:91-99
5. Kaneuchi M, Sasaki M, Tanaka Y, et al. Quercetin regulates growth of Ishikawa cells through the suppression of EGF and cyclin D1. Int J Oncol, 2003;22:159-164
6. Wagner EF, Nebreda AR. Signal integration by JNK and p38 MAPK pathways in cancer development. Nat Rev Cancer 2009;9:537-549
7. Nalini N, Aranganathan S, Kabalimurthy J. Chemopreventive efficacy of hesperetin (citrus flavonone) against 1,2-dimethylhydrazine-induced rat colon carcinogenesis. Toxicol Mech Methods, 2012;22:397-408
8. Samarghandian S, Afshari JT, Davoodi S. Honey induces apoptosis in renal cell carcinoma. Pharmacogn Mag. 2011;7:46-52
9. Swellam T, Miyanaga N, Onozawa M, et al. Antineoplastic activity of honey in an experimental bladder cancer implantation model: In vivo and in vitro studies. Int J Urol. 2003;10:213-219
10. Fernandez Cabezudo MJ, El-Kharrag R, Torab F et al. Intravenous administration of manuka honey inhibits tumour growth and improves host survival when used in combination with chemotherapy in a melanoma mouse model. PLoS ONE 2013;8:e55993
11. Fauzi AN, Norazmi MN, Yaacob NS. Tualang honey induces apoptosis and disrupts the mitochondrial membrane potential of human breast and cervical cancer cell lines. Food Chem. Toxicol. 2011;49:871-878
12. Tahir A, Sani NFA, Murad NA, et al. Combined ginger extract & Gelam honey modulate Ras/ERK and P13K/AKT pathway genes in colon cancer HT29 cells. Nutr. J , 2015;14:1-10
13. Liu JR, Ye YL, Lin TY,et al. Effect of floral sources on the antioxidant, antimicrobial, and anti-inflammatory activities of honeys in Taiwan. Food Chem, 2013;139:938-943
14. Al-Waili NS. Effects of daily consumption of honey solution on hematological indices and blood levels of minerals and enzymes in normal individuals. J.Med Food;2003:135-140
15. Othman NH, Ahmed S, Sulaiman SA. Inhibitory effects of Malaysian tualang honey and Australia/New Zealand Manuka honey in modulating experimental breast cancers induced by N-methyl N nitrosourea: A comparative study. Pathology; 2016:48:S148
16. Yaacob NS, Ismail NF. Comparison of cytotoxicity and genotixicity of 4 hydroxytamoxifen in combination with Tualang honey in MCF-7 and MCF-10A cells. BMC Complement Altern. Med. 2014;14:106
17. Saha A, Chattopadhyay S, Azam M, Sur PK. The role of honey in healing of bedsores in cancer patients. South Asian J Cancer, 2012;1(2):66-71).
18.  Lund-Nielsen B, Adamsen L, Kolmos HJ et al. The effect of honey-coated bandages compared with silver-coated bandages on treatment of malignant wounds: Randomized study. Would Repair and Regeneration. 2011;19:664-70
19.George NM, Cutting KF. Antibacterial honey (Medihoney): in-vitro acitivity against clinical isolates of MRSA, VRE, and other multiresistant gram negative organisms including Pseudomonas aeruginosa. Wounds. 2007;19(9):231-236
20.Richard D. Evidence to support the use of honey for prevention of oral mucositis in cancer patients is limited. Evidence-based dentistry. 2012;13:74
21. Aj Jaouni SK, AL Muhayawi MS, Hussein A, et al. Research article: Effects of Honey on Oral Mucositis among Pediatric Cancer patients Undergoing Chemo/Radiotherapy Treatment at King Abdulaziz University Hospital in Jeddah, Kingdom of Saudi Arabia. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine; 2017: Article ID 5861024, 7 pages, https://doi.org/10.1155/2017/5861024
   
RENCANA INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI DAN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL MANA-MANA ISI KANDUNGAN RENCANA INI UNTUK TUJUAN PENYIARAN ATAUPUN TULISAN LAIN TANPA KEBENARAN PENULIS.