MD,MOG (UKM),FGO (S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Madu
asli yang dihasilkan oleh lebah mengandungi lebih 200 jenis kompoun,
mengandungi terutamanya gula (75% gula ringkas iaitu glukos dan fruktos, 10-15%
disakarida iaitu sukros, maltos dan lain-lain), air, enzim, vitamin (B6,
riboflavin, niacin, thiamin dan lain2), mineral, kompoun fenolik (flavonoid,
asid fenolik), pigmen dan lain-lain. Madu juga diketahui mengandungi ciri-ciri
antioksidan dan antikeradangan. Ciri-ciri ini adalah daripada kandungan kompoun
fenolik yang terdapat di dalamnya. Kualiti sesuatu jenis madu bergantung kepada
kandungan asid fenolik dan dikatakan kandungan kompoun asid fenolik paling
tinggi di dalam madu manuka, madu monofloral daripada New Zealand, madu tualang
dan madu buckwheat monofloral. Kandungan fenolik di dalam madu berbeza daripada
86 hingga 1141 mg/kg. Kaedah pengukur kandungan fenolik ini juga perlu
dipersoalkan kerana jika kaedah yang digunakan tidak betul, maka ia boleh
memberi gambaran yang salah tentang isi kandungan fenolik. Contohnya jika
pengkaji menggunakan kaedah Folin-Ciocalteau untuk mengukur fenolik, bacaan
yang diberikan nanti adalah lebih tinggi daripada nilai sebenar
(”overestimated”). Isu yang paling bersar adalah biovailabiliti madu ini
apabila diambil oleh manusia, maksudnya berapakah kandungan fenolik yang akan
dapat masuk ke dalam aliran darah apabila manusia meminum madu tulin. Kajian ke
atas bioavailabiliti ini masih terhad, tetapi ada kajian ke atas madu buckwheat
yang menunjukkan kandunagn fenolik di dalam plasma meningkat selepas 2 jam
mengambil madu (dos 1.5 gm/kg madu) dan bertahan untuk selama 6 jam. (1, 2).
Madu
dikaitkan dengan pelbagai kebaikan untuk kesihatan dan di dalam rencana ini
saya hanya akan menumpukan tentang salah satu khasiat madu yang didakwa dapat
menjadi penawar penyakit kanser. Kejadian kanser adalah proses yang sangat
kompleks, saya telah menulis tajuk ini panjang lebar di dalam rencara
terdahulu. Kanser terjadi akibat daripada kelainan genetik dan interaksi dengan
faktor-faktor luar yang menjadi ko faktor. Akibat daripada kelainan genetik ini
juga menyebabkan berlaku kelainan metabilisma tisu sehingga menjadi punca
transformasi sel yang normal kepada sel-sel kanser. Kelainan genetik dan
epigenetik boleh berlaku akibat daripada proses semulajadi yang berlaku secara
spontan dan juga akibat daripada pendedahan ke atas karsinogen melibatkan gen
perencat kanser serta onkogen. Kejadian kanser juga ada dikaitkan dengan proses
keradangan yang berlaku serta penglibatan radikal bebas. Melalui pemahaman
inilah wujudnya andaian bahawa sifat antioksidan dan antikeradangan yang ada di
dalam madu mungkin mempunyai kesan positif terhadap kanser.
CIRI-CIRI ANTIKANSER DI DALAM MADU
Terdapat
beberapa ciri yang membuatkan sesuatu bahan menjadi antikanser. Di antara
ciri-ciri tersebut adalah antiproliferatif (anti pembiakan sel), apoptotik
(mematikan sel), merencat faktor tumbesaran (growth factors inhibition),
antikeradangan dan lain-lain lagi. Madu telah menjalani kajian dari semua aspek
ini walaupun semua kajian-kajian tersebut adalah kajian makmal. Berikut adalah
beberapa fakta mengenai hasil kajian terhadap madu dan potensinya sebagai
antikanser.
CIRI-CIRI ANTIPROLIFERATIF (ANTI PEMBIAKAN SEL)
Kajian-kajian
tentang ciri antiproliferatif madu ini adalah kajian makmal ke atas lapisan
sel-sel kanser di dalam makmal, terdapat kajian ke atas lapisan sel kanser
pundi kencing, usus besar dan juga melanoma. Ciri-ciri antiproliferatif ini di
dapati ada di dalam madu. Madu manuka yang tulin digunakan untuk menguji kesan
ini terhadap lapisan sel kanser payudara, melanoma dan kolon tikus. Madu
tualang juga telah didapati menunjukkan ciri-ciri antiproliferatif lapisan sel
kanser mulut, kanser payudara, kanser pangkal rahim, leukemia dan sel tulang
(osterosarcoma). Ramai ahli sains percaya ciri-ciri antiproliferatif ini adalah
daripada kandungan fenolik di dalam madu. Satu lagi jenis madu yang menjalani
ujian makmal ini adalah madu gelam ke atas lapisan sel kanser usus besar. Madu
tualang didapati mengandungi kandungan fenolik
dan flavonoid yang lebih tinggi daripada madu gelam. Kajian-kajian juga
menunjukkan tindakbalas yang berbeza daripada jenis madu yang berbeza serta
jenis lapisan sel-sel kanser. Kebanyakan kajian tidak memberi maklumat
terperinci dari segi jumlah lapisan sel-sel kanser yang digunakan. Kandungan
gula di dalam madu juga menentukan kesan madu sebagai antiproliferatif sebab
gula diperlukan oleh sel kanser dan pada waktu yang sama dipercayai mempunyai
kesan antimutagenik (mencegah mutasi gen). Kesan antimutagenik ini dikesan paling
tinggi oleh madu Buckwheat. Kesan antimutagenik lebih kepada mencegah
berlakunya transformasi sel berbanding dengan kesan antiproliferatif yang lebih
kepada menghentikan pembiakan sel.
Terdapat
juga kajian yang mengambil ekstrak daripada madu untuk melihat kesan
antiproliferatif madu, contohnya mengambil Chrysin salah satu kompoun fenolik. Kesan
toksik chrysin ditemui ke atas lapisan sel kanser melanoma. Kesan-kesan
cytotoxic Chrysin ke atas lapisan sel kanser payudara, prostat, servik, hati,
paru-paru dan pankreas juga ditemui. Chrysin juga dikesan mempunyai ciri-ciri
apoptotik ke atas sel kanser hati, usus besar, prostat, payudara dan paru-paru.
(3,4). Satu lagi kompoun fenolik yang digunakan untuk kajian ini adalah
quercetin ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, kanser serviks, ovari dan
payudara. Apa yang menarik adalah ujian2 menggunakan kompoun ini secara
bersendirian memerlukan kepekatan yang lebih tinggi jika dibandingkan
kandungannya di dalam madu asli. Ini membawa kepada andaian bahawa di dalam
madu asli tersebut terdapat bahan-bahan antiproliferatif lain yang bekerjasama
bagi menghasilkan kesan yang lebih besar. Bahan-bahan lain ini masih tidak
dapat diketahui oleh ahli sains.
CIRI MERENCAT FAKTOR TUMBESARAN
Di
samping kesan antiproliferatif, kesan ke atas faktor tumbesaran (growth
faktor) juga dikaji. Setiap kanser
mempunyai faktor tumbesarannya sendiri yang jika diransang akan meningkatkan
saiz kanser dan jika direncat boleh mengecil dan menghapuskan sel-sel kanser.
Walaupun terdapat kajian kesan madu ke atas faktor tumbesaran yang dilakukan di
dalam makmal ke atas lapisan sel kanser payudara dan kanser usus besar,
keputusan daripada kajian2 ini masih belum mencukupi untuk mengatakan madu
mempunyai kesan ke atas faktor tumbesaran.(5,6,7)
CIRI APOPTOTIK (MEMBUNUH SEL)
Kesan
apoptotik adalah kesan mematikan sel. Kajian mengenai kesan madu di dalam
mematikan sel pernah dilakukan ke atas lapisan sel kanser leukemia menggunakan
madu Spanish. Kajian ini menunjukkan kesan positif apoptotik pada kepekaran
tertentu madu ini. (8)
Madu
juga didapati mempunyai kesan mematikan sel-sel kanser yang dihidapi oleh
haiwan. Kajian ke atas kanser yang diperolehi daripada tikus dilakukan,
suntikan terus ke atas kanser dilakukan menggunakan 0.1 ml, 20% madu selama 3
minggu. Kajian ini menunjukkan memang ada kesan apoptotik ke atas kanser yang
dihidapi oleh tikus ini apabila disuntik dan diberi makan madu yang berkenaan.
Kajian ini adalah ke atas haiwan dan tidak dilakukan perbandingan dengan madu
tiruan ataupun campuran gula.Madu manuka telah menunjukkan kesan apoptotik ke
atas lapisan sel kanser payudara dan melanoma.(9, 10).
Kajian
terhadap madu tualang pernah dilakukan ke atas lapisan sel-sel kanser payudara
dan servik juga menunjukkan kesan antikanser (11). Kajian terhadap madu gelam
dilakukan ke atas lapisan sel kanser usus besar juga menunjukkan kesan yang
sama (12).
CIRI ANTI-KERADANGAN (ANTI-INFLAMATORI)
Keradangan
ataupun inflamatori adalah tindak balas biologi ke atas kecederaan. Keradangan
mempercepatkan proses penyembuhan luka dan memainkan peranan penting di dalam
proses kejadian penyakit. Keradangan boleh menjadi bermanfaat dan jika
berlebihan boleh memudaratkan. Sejenis bahan dikenali sebagai cytokines
dihasilkan oleh sel-sel inflamatori yang boleh meransang pembentukan saluran
darah baru (angiogenesis) serta pembiakan stroma. Manakala kerosakan akibat
daripada radikal bebas ke atas tisu badan boleh meransang kerosakan gen sel-sel
badan. Proses ini dengan disusuli dengan proses lanjutan yang kompleks boleh
menyebabkan transformasi sel normal kepada sel kanser. Kaitan di antara
keradangan dan kejadian kanser memang diketahui oleh ahli sains apabila
mendapati banyak jenis kanser berlaku ditempat yang ada berlaku keradangan
kronik. Salah satu jenis cytokines adalah intereukin yang dikesan mempunyai
ciri-ciri tumorigenik (ransang ketumbuhan) dan proantiogenik (ransang saluran
darah baru). Kajian makmal ke atas madu tulis menunjukkan bahawa ia mempunyai
kesan merencat penghasilan interleukin menggunakan lapisan sel kanser usus
besar manusia. (13). Walau bagaimanapun
kesan ini tidak dihasilkan oleh fenolik. Ahli sains tidak dapat memastikan
apakah bahan yang bertanggungjawab, berkemungkinan daripada modulasi sistem
imun menghasilkan radikal bebas. Terdapat juga bukti kajian ke atas tikus yang
menunjukkan kesan ransangan sistem imun oleh madu. Kajian kecil ke atas 10
orang manusia dilakukan dengan memberi makan madu sebanyak 1.2 gm/kg selama 2
minggu mendapati pengambilan madu sebanyak 1.2gm/kg yang dilarutkan di dalam
250 mls air menyebabkan peningkatan bilangan sel monosit di dalam darah
sebanyak 50% dan sedikit peningkatan sel limfosit dan eosinofil. (14). Di
sebaliknya pula terdapat juga kajian yang menunjukkan madu juga mempunyai kesan
meransang keradangan iaitu ciri-ciri yang bertentangan, ini mengelirukan ahli
sains. Contohnya kajian menggunakan madu manuka, pasture dan jelly bush
menunjukkan madu-madu ini juga meransang
penghasilan interleukin dan TNF alfa apabila menggunakan madu 1%.
PENCEGAHAN KANSER
Kajian
ke atas kesan madu bagi mencegah dan meningkatkan keberkesan rawatan kanser
telah cuba dijalankan ke atas haiwan. Madu tualang dan madu manuka diberikan
kepada tikus pada dos 1gm/kg berat badan satu minggu sebelum kanser diransang
ke atas tikus tersebut. Kanser tersebut dapat dicegah dengan madu berkenaan di
mana madu manuka didapati lebih berkesan daripada madu tualang (15). Menyuntik
madu ke atas kanser pundi kencing yang dihidapi oleh tikus pernah dilakukan dan
saiz kanser ini didapati menurun selepas rawatan(9). Kajian makmal (menggunakan
lapisan sel payudara manusia) juga menunjukkan bahawa madu tualang dapat
meningkatkan keberkesanan Tamoxifen melawan kanser payudara (16). Madu
manuka juga didapati mengurangkan kesan toksi ubat antikanser paclitaxel ke
atas tikus. Di dalam kajian ini , madu manuka 50% dibri suntikan intravena. Bentuk
kajian yang sama dilakukan menggunakan campuran madu lebah (madu, royal jelly,
pollen grains) ke atas tikus yang
mengambil cyclophosphamide .Pemberian madu tulin sebanyak 500 mg/kg/hari
kepada tikus selama satu minggu mengurangkan kesan toksik ke atas buah pinggang
yang diakibatkan oleh cisplatin. Madu mengandungi antioksidan tetapi pada pandangan ahli sains, pengambilan antioksidan mempunyai kesan serampang dua mata kepada kanser kerana antioksidan boleh mengganggu keseimbangan di antara antioksidan semulajadi dan radikal bebas yang terdapat di dalam badan manusia. Walaupun radikal bebas boleh merosakkan sel-sel normal, ianya juga berperanan memusnahkan sel-sel yang tidak normal termasuk sel-sel prakanser dan sel-sel kanser. Mengambil antioksidan dari luar pada kuantiti yang banyak boleh mengubah keseimbangan tadi dan boleh memberi kesan mudarat ke atas badan.
POTENSI KEGUNAAN MADU KE ATAS
PESAKIT KANSER
Ahli sains berjaya
menemui tanda-tanda antipembiakan sel di dalam madu walaupun kajian ini
dilakukan di dalam makmal. Pendek kata potensi madu untuk dijadikan kaedah
rawatan kanser adalah munasabah di masa hadapan jika ahli-ahli sains
menjalankan kajian yang lebih lanjut. Walau bagaimanapun, setakat rencana ini
ditulis, belum ada bukti yang kukuh untuk menggunakan madu bagi tujuan merawat
aatupun mencegah kanser. Madu mungkin dapat digunakan untuk tujuan melegakan
gejala dan merawat luka akibat daripada penyakit kanser. Contohnya pesakit
kanser yang mengalami luka di bahagian belakang akibat daripada berbaring untuk
jangkamasa yang panjang. Luka ini dinamakan ”pressure sore” ataupun ”bed sore”
yang disebabkan oleh tekanan yang berpanjangan ke atas kulit belakang sehingga
bekalan darah di kawasan tersebut terjejas dan berlakulah pengelupasan kulit
dan seterusnya jangkitan. Terdapat kajian yang dilakukan ke atas 40 orang
pesakit kanser yang mengalami ”pressure sore” dan pengkaji mendapati dengan
menggunakan madu dan sapuan antibiotik ke atas luka ini, kadar penyembuhannya
lebih baik serta masalah kesakitan dapat dikurangkan. (17) Lund Nielsen dan rakan-rakan menggunakan madu manuka untuk
merawat luka akibat kanser (malignant wound) payudara, kanser leher dan kepala
dan mendapati madu yang disapukan ke atas luka tersebut mengecil sebanyak 62%
dan membersihkan luka disamping mengurangkan bau yang busuk (18). Madu membantu mempercepatkan
penyembuhan luka melalui beberapa cara iaitu menurunkan pH permukaan luka, anti
keradangan dan antibakteria. Antibakteria yang terkandung di dalam madu boleh
digunakan untuk membunuh beberapa jenis bacteria yang mengalami kerintangan
contohnya MRSA (Methicillin resistant Staphylococus aureus) (19). Bahan
antibakteria yang terdapat di dalam madu dipercayai datangnya daripada
methylglyoxal dan hydrogen peroksida.
Sakit mulut dan radang pada kulit saluran makanan
yang dinamakan mucositis sering berlaku ke atas pesakit kanser samada akibat
daripada rawatan kemoterapi ataupun radioterapi yang diberikan pada bahagian
kepala dan tekak. Kajian penggunaan madu ke atas pesakit kanser leher dan tekak
yang menerima rawatan radioterapi telah dilakukan dan kajian metaanalisis
menunjukkan madu berpotensi untuk digunakan bagi mengurangkan risiko mucositis
oleh pesakit-pesakit ini pada kadar 80% lebih rendah. (20) . Kajian menggunakan madu untuk
merawat mucositis yang dialami oleh pesakit kanser kanak-kanak juga dijalankan
di mana pesakit-pesakit ini mengaplikasikan madu asli pada lapisan kulit mulut dan lidah
kemudiannya berkumur dengan air alkaline saline 4-6 kali sehari. Kaedah yang
sama juga digunakan untuk mencegah mucositis. Kajian ini menunjukkan bahawa
madu dapat mengurangkan risiko mucositis, jangkitan bacteria, jangkitan fungus
dan memendekkan tempoh tinggal di hospital.(21)
Memandangkan madu mengandungi antioksidan, pakar
kanser agak khuatir jika ianya diberikan bersama dengan rawatan kanser samada
kemoterapi ataupun radioterapi. Antioksidan akan menyahaktifkan radikal bebas
sedangkan radikal bebas yang ada di dalam badan tidak semuanya memudaratkan
kerana ianya juga digunakan untuk menghapuskan sel-sel yang tidak normal
termasuk sel kanser. Apabila antioksidan diberikan, kesan radikal bebas ke atas
sel-sel kanser ini akan dikurangkan dan dikhuatiri ini akan mengurangkan
keberkesanan rawatan kanser. Sebab itu ramai pakar kanser tidak menggalakkan pesakit mengambil sebarang antioksidan semasa rawatan diberikan, tetapi ianya boleh diamalkan selepas selesai rawatan.Walau bagaimanapun ini hanya terhad kepada
mengambil madu di dalam bentuk makanan dan minuman. Manakala menggunakan madu
untuk tujuan setempat (topical) ke atas lapisan kulit mulut dan luka tidak akan
memberi kesan negatif ke atas rawatan kanser.
KESAN SAMPINGAN MADU
Madu
telah digunakan semenjak berkurun-kurun yang lalu sebagai sumber nutrisi dan juga
merawat luka. Setakat ini belum ada lapuran kesan sampingan yang serius dialami
oleh kebanyakan pengamal. Walau bagaimanapun memandangkan terdapat banyak jenis madu dengan kualiti yang berbeza dan ada di antaranya diproses dan tercemar maka potensi kesan sampingan boleh terjadi akibat daripada pengambilan madu yang tidak mengikut peraturan ataupun secara berlebihan. Isu berkenaan dengan kesan sampingan madu dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana tulisan saya di sini.
KESIMPULAN
Madu
sememangnya didapati mempunyai kesan manfaat ke atas manusia sebagai sumber nutrisi
dan juga digunakan untuk merawat luka serta mengurangkan keradangan. Ahli Sains
perubatan tidak menafikan tentang adanya nilai-nilai pengubatan yang terdapat
di dalam madu. Apa yang istimewa tentang madu adalah ianya mudah diperolehi,
murah, senang diambil dan setakat ini majoriti pengamal madu tidak mengalami
kesan sampingan yang serius. Walau bagaimanapun kajian ke atas madu dan
kesannya ke atas penyakit kanser masih terlalu awal. Semua kajian yang
dilakukan berkaitan antara madu dan kanser adalah kajian makmal dan kajian
haiwan. Walaupun banyak kajian yang dilakukan itu menunjukkan kesan positif
samada antiproliferatif, antikeradangan, apoptotik dan merencat ransangan
faktor tumbesaran, ianya tidak cukup untuk dijadikan alasan menggunakan madu untuk
merawat ataupun mencegah kanser ke atas manusia. Di samping itu ahli sains juga
masih tidak dapat menentukan apakah sebenarnya kompoun yang bertanggungjawab
memberi ciri-ciri tersebut walaupun ramai yang yakin ianya disebabkan oleh
fenolik. Ciri-ciri dan kualiti madu juga berbeza-beza mengikut sumber, tempat
ianya dihasilkan, cuaca, penyimpanan dan juga pembungkusan. Ahli sains juga
menghadapi masalah untuk menentukan apakah dos yang sesuai diambil dan
jangkamasa pengambilan. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dilakukan dan
potensi madu untuk digunakan sebagai bahan pengubatan adalah cerah jika ahli
sains berjaya mengesan kompoun yang paling aktif, dos yang optima dan kaedah
pemberian yang terbaik. Di samping itu ahli sains juga perlu mengkaji kesan menggunakan
madu bersama dengan kaedah rawatan kanser yang lain bagi menjamin keberkesanan
rawatan kanser. Sehingga rencana ini ditulis, rawatan kanser hendaklah diberikan
dengan kaedah rawatan kanser moden yang dikendalikan oleh pakar kanser yang
terlatih. Madu masih dianggap sumber makanan dan suplemen bagi tujuan
membekalkan tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka.
RUJUKAN
1. Porcza LM, Simms C, Chopra M. Review:
Honey and Cancer: Current Status and Future Directions. Diseases 2016, 4,
30; doi:10.3390/diseases4040030
2. Schramm D, Karim
M, Schrader H, et al. Honey with high levels of antioxidants can provide
protection in healthy human subjects. J. Agric. Food Chem. 2003;51:1732-1735
3. Kasala ER,
Bodduluru LN, Madana RM et al. Chemopreventive and therapeutic potential of
chrysin in cancer:Mechanistic perspectives. Toxicol.Lett. 2015;233:214-225
4.Ronnekleiv Kelly
S, Nukaya M, Diaz-Diaz C et al. Aryl
hydrocarbon receptor-dependent apoptotic cell death induced by the flavonoid
chrysin in human colorectal cancer cells. Cancer Lett 2016;370:91-99
5. Kaneuchi M,
Sasaki M, Tanaka Y, et al. Quercetin regulates growth of Ishikawa cells through
the suppression of EGF and cyclin D1. Int J Oncol, 2003;22:159-164
6. Wagner EF,
Nebreda AR. Signal integration by JNK and p38 MAPK pathways in cancer
development. Nat Rev Cancer 2009;9:537-549
7. Nalini N,
Aranganathan S, Kabalimurthy J. Chemopreventive efficacy of hesperetin (citrus
flavonone) against 1,2-dimethylhydrazine-induced rat colon carcinogenesis.
Toxicol Mech Methods, 2012;22:397-408
8. Samarghandian S,
Afshari JT, Davoodi S. Honey induces apoptosis in renal cell carcinoma.
Pharmacogn Mag. 2011;7:46-52
9. Swellam T,
Miyanaga N, Onozawa M, et al. Antineoplastic activity of honey in an
experimental bladder cancer implantation model: In vivo and in vitro studies.
Int J Urol. 2003;10:213-219
10. Fernandez
Cabezudo MJ, El-Kharrag R, Torab F et al. Intravenous administration of manuka
honey inhibits tumour growth and improves host survival when used in
combination with chemotherapy in a melanoma mouse model. PLoS ONE 2013;8:e55993
11. Fauzi AN,
Norazmi MN, Yaacob NS. Tualang honey induces apoptosis and disrupts the
mitochondrial membrane potential of human breast and cervical cancer cell
lines. Food Chem. Toxicol. 2011;49:871-878
12. Tahir A, Sani
NFA, Murad NA, et al. Combined ginger extract & Gelam honey modulate
Ras/ERK and P13K/AKT pathway genes in colon cancer HT29 cells. Nutr. J ,
2015;14:1-10
13. Liu JR, Ye YL,
Lin TY,et al. Effect of floral sources on the antioxidant, antimicrobial, and
anti-inflammatory activities of honeys in Taiwan. Food Chem, 2013;139:938-943
14. Al-Waili NS.
Effects of daily consumption of honey solution on hematological indices and
blood levels of minerals and enzymes in normal individuals. J.Med Food;2003:135-140
15. Othman NH,
Ahmed S, Sulaiman SA. Inhibitory effects of Malaysian tualang honey and
Australia/New Zealand Manuka honey in modulating experimental breast cancers
induced by N-methyl N nitrosourea: A comparative study. Pathology; 2016:48:S148
16. Yaacob NS,
Ismail NF. Comparison of cytotoxicity and genotixicity of 4 hydroxytamoxifen in
combination with Tualang honey in MCF-7 and MCF-10A cells. BMC Complement
Altern. Med. 2014;14:106
17. Saha A, Chattopadhyay S, Azam M, Sur PK. The role of honey in healing of bedsores in cancer patients. South Asian J Cancer, 2012;1(2):66-71).
18. Lund-Nielsen B, Adamsen L, Kolmos HJ et al. The effect of honey-coated bandages compared with silver-coated bandages on treatment of malignant wounds: Randomized study. Would Repair and Regeneration. 2011;19:664-70
19.George NM, Cutting KF. Antibacterial honey (Medihoney): in-vitro acitivity against clinical isolates of MRSA, VRE, and other multiresistant gram negative organisms including Pseudomonas aeruginosa. Wounds. 2007;19(9):231-236
20.Richard D. Evidence to support the use of honey for prevention of oral mucositis in cancer patients is limited. Evidence-based dentistry. 2012;13:74
21. Aj Jaouni SK, AL Muhayawi MS, Hussein A, et al. Research article: Effects of Honey on Oral Mucositis among Pediatric Cancer patients Undergoing Chemo/Radiotherapy Treatment at King Abdulaziz University Hospital in Jeddah, Kingdom of Saudi Arabia. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine; 2017: Article ID 5861024, 7 pages, https://doi.org/10.1155/2017/5861024
RENCANA INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI DAN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL MANA-MANA ISI KANDUNGAN RENCANA INI UNTUK TUJUAN PENYIARAN ATAUPUN TULISAN LAIN TANPA KEBENARAN PENULIS.
17. Saha A, Chattopadhyay S, Azam M, Sur PK. The role of honey in healing of bedsores in cancer patients. South Asian J Cancer, 2012;1(2):66-71).
18. Lund-Nielsen B, Adamsen L, Kolmos HJ et al. The effect of honey-coated bandages compared with silver-coated bandages on treatment of malignant wounds: Randomized study. Would Repair and Regeneration. 2011;19:664-70
19.George NM, Cutting KF. Antibacterial honey (Medihoney): in-vitro acitivity against clinical isolates of MRSA, VRE, and other multiresistant gram negative organisms including Pseudomonas aeruginosa. Wounds. 2007;19(9):231-236
20.Richard D. Evidence to support the use of honey for prevention of oral mucositis in cancer patients is limited. Evidence-based dentistry. 2012;13:74
21. Aj Jaouni SK, AL Muhayawi MS, Hussein A, et al. Research article: Effects of Honey on Oral Mucositis among Pediatric Cancer patients Undergoing Chemo/Radiotherapy Treatment at King Abdulaziz University Hospital in Jeddah, Kingdom of Saudi Arabia. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine; 2017: Article ID 5861024, 7 pages, https://doi.org/10.1155/2017/5861024
RENCANA INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI DAN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL MANA-MANA ISI KANDUNGAN RENCANA INI UNTUK TUJUAN PENYIARAN ATAUPUN TULISAN LAIN TANPA KEBENARAN PENULIS.
No comments:
Post a Comment