Sunday, February 28, 2016

TEKANAN EMOSI PESAKIT KANSER : BAGAIMANA MENGHADAPINYA



Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),Fellow GO (S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
President Malaysian Gynaecological Cancer Society 

PENDAHULUAN

Kanser adalah dikategorikan sebagai penyakit kronik yang menakutkan dan mempunyai kesan fizikal dan psikologi yang serius jika tidak ditangani dengan betul. Contoh penyakit kronik lain adalah penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya. Sebenarnya tanggapan bahawa penyakit kanser adalah hukuman mati kepada pengidapnya semakin kurang relevan kerana penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit datang dan dirawat pada peringkat awal. Malahan banyak lagi penyakit-penyakit kronik lain yang lebih memudaratkan.Penyakit kencing manis umpamanya tidak kurang bebannya jika tidak dikawal dengan baik kerana kencing manis boleh menyebabkan komplikasi kepada hampir semua organ badan dan pengidapnya boleh menderita seumur hidup. Begitu juga penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit buah pinggang kronik yang telah membunuh berjuta-juta orang manusia setiap tahun, pengidap penyakit-penyakit ini perlu dirawat untuk selama lamanya.Seperti yang saya sebutkan tadi, pada hari ini pesakit kanser yang dirawat boleh sembuh sepenuhnya dan boleh menjalani kehidupan seperti orang lain yang normal. Malahan ramai bekas pesakit kanser yang bukan sahaja sembuh tetapi masih boleh terus menyumbang kepada kemajuan negara, kepada kebajikan dan kebaikan orang lain. Jangan jadikan mengidap kanser ini sesuatu petanda yang anda tidak mempunyai masa depan.

BAGAIMANA MENGHADAPI TEKANAN PSIKOLOGI AKIBAT DARI MENGHIDAP KANSER

Menjalani rawatan kanser tidak bermakna anda mesti melupakan keseronokan hidup. Anda masih boleh berjenaka, bergaul rapat dengan keluarga dan rakan-rakan, mengadakan hubungan seksual, melakukan aktiviti harian dan meneruskan hobi anda. Jika anda merasa ceria dan memenuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah, anda tidak akan terlalu memikirkan masalah penyakit anda dan ini adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan anda.

Kebiasaannya, anda akan merasa bingung dan tidak tentu arah setelah mengetahui tentang penyakit dan rawatan anda. Ada harinya anda merasa yakin, penuh harapan dan boleh mengawal diri. Pada hari-hari yang lain, anda akan berperasaan sangat negatif. Anda mungkin merasa takut untuk menghadapi penyakit dan merasa tidak berdaya, takut akan kematian atau apa yang berlaku di kemudian hari. Anda mungkin merasa bimbang tentang perubahan yang akan berlaku dalam hidup anda, masalah kewangan atau samada keluarga anda boleh menghadapi situasi ini. Walaupun anda seorang yang selalunya penuh keyakinan, anda mungkin tidak dapat mengelak berperasaan muram jika terus memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku.

Walaupun anda boleh cuba menyingkirkan perasaan-perasaan yang negatif dengan cara tidak memikirkannya, adalah lebih baik jika anda belajar untuk menerimanya dan membuatkan mereka yang rapat dengan anda menerimanya juga. Jika anda berjaya menangani masalah-masalah emosi ini, anda akan mempunyai lebih keyakinan diri dan mampu membuat keputusan-keputusan penting.  Sikap yang terbuka dan positif akan membuatkan anda lebih kuat dan yakin untuk menghadapi rawatan dan menahan kesan-kesan sampingannya.

Salah satu kaedah yang penting untuk menjaga diri anda dan melawan tekanan perasaan ialah dengan membenarkan orang lain membantu anda.

APAKAH YANG BOLEH ANDA LAKUKAN UNTUK MEMULIHKAN KESTABILAN EMOSI ANDA
  1. Berfikiran positif adalah satu sikap yang akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penyakit kanser. Sesungguhnya kematian itu adalah kepastian, tidak ada sesiapa yang terkecuali dan sesiapa pun tidak tahu bagaimana caranya mereka akan mati. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan pemberian tuhan dan menganggap ini adalah satu ujian dan jika berupaya menghadapi ujian ini, ganjarannya tak ternilai malah lebih besar dari apa-apa saja ganjaran di dunia ini.
  2. Luahkan perasaan anda. Kebanyakan orang akan merasa lega, kurang takut dan tidak kesunyian setelah mereka meluahkan perasaan mereka. Cuba berkongsi perasaan anda dengan mereka yang mengambil berat tentang diri anda. Berbincanglah dengan keluarga, rakan-rakan, pesakit-pesakit kanser yang lain atau doktor keluarga anda bila anda merasa bersedia untuk berbuat demikian.
  3. Keluarga atau rakan-rakan anda mungkin akan merasa kekok untuk bercakap dengan anda atau menawarkan bantuan mereka. Mereka bimbang akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan anda, dan dengan itu memilih untuk berdiam diri. Hanya anda sahaja yang boleh memberitahu mereka apa yang anda mahu atau perlukan. Mungkin sukar bagi anda untuk meminta bantuan dari mereka, tetapi dengan membenarkan mereka membantu anda, anda sebenarnya membantu mereka juga.
  4. Sertai kumpulan sokongan. Berkongsi pengalaman dan berbincang dengan orang yang sedang atau telah melalui pengalaman atau kebimbangan yang sama semasa menjalani rawatan kanser mungkin boleh membantu anda menjadi lebih tabah. Anda boleh berkongsi melalui perjumpaan dan juga melalui media sosial. Terdapat banyak kumpulan sokongan yang diwujudkan di media-media sosial yang diasaskan oleh bekas pesakit kanser sendiri. Tidak ada orang lain yang lebih memahami perasaan yang dialami oleh pesakit kanser melainkan mereka-mereka yang telah mengalaminya. Salah satu kumpulan sokongan yang ditubuhkan untuk tujuan ini adalah Cancer Survivors Malaysia (CSM). Saya menggalakkan anda untuk bersama kumpulan ini.
  5. Dapatkan rujukan kepada pakar psikologi untuk membantu menghadapi masalah emosi anda jika anda rasakan perlu. Dengan cara ini anda boleh meluahkan perasaan anda kepada seorang yang professional, terutama jika anda mendapati sukar untuk meluahkannya kepada orang lain.
  6. Pelajari cara-cara untuk merehatkan diri. Contohnya: mendengar muzik atau membayangkan perkara-perkara indah dalam kehidupan anda. Teknik-teknik ini boleh dicuba sebelum, semasa atau selepas kemoterapi. Anda juga boleh mencubanya dalam kehidupan seharian.
  7. Kaedah yang terakhir tetapi paling penting adalah melalui mendekatkan diri dengan Tuhan. Bagi anda yang berugama Islam, banyakkan berdoa, membaca al-quran, sembahyang hajat dan memuhasahab diri. Kehidupan di dunia ini cuma hanya sedetik waktu dari kehidupan sebenar di akhirat yang tiada penghujungnya. Penuhilah amalan-amalan yang baik, rajin bersedekah dan membantu orang susah. Inilah masa yang terbaik untuk mengenal diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan mengubah apa saja ketentuanNya.

SUMBANGAN YANG BOLEH DIBERIKAN OLEH ORANG YANG MENJADI PENJAGA PESAKIT KANSER.

Sekiranya anda yang membaca buku ini adalah salah seorang yang menjadi penjaga kepada pesakit kanser maka saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana anda adalah di antara manusia-manusia mulia yang sabar dan gigih membantu orang yang anda kasihi. Sumbangan anda tidak ternilai harganya. Sumbangan keluarga terdekat terhadap perawatan dan penjagaan pesakit kanser adalah tersangat penting kerana pesakit kanser ini memerlukan bukan saja sokongan fizikal tetapi lebih-lebih lagi sokongan emosi dan mental. Di dalam memberi sokongan kepada pesakit kanser, anda perlu mempunyai pengetahuan bagaimana mengendalikan pesakit ini terutamanya dari aspek sokongan moral dan emosi. Anda boleh membuat kesilapan menambah penderitaan emosi pesakit jika perbuatan dan perkataan anda tidak sesuai. Jadi anda perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dengan pesakit kanser.

Berikut adalah beberapa tip untuk anda amalkan supaya dapat mengurangkan beban penyakit kanser yang dihadapi oleh orang tersayang.

1.   SOKONGAN MENTAL DAN EMOSI

  1. Pesakit sedang mengalami tekanan emosi. Bersabar terhadap karenah mereka terutamanya perubahan ‘mood’ mereka.
  2. Berikan semangat dan harapan.
  3. Jangan singkirkan mereka dari aktiviti sosial anda. Galakkan mereka melibatkan diri dan lakukannya bersama-sama.
  4. Sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan dan luahan perasaan mereka pada bila-bila masa.
  5. Jangan menjauhkan diri atau mengelakkan diri dari menyentuh mereka. Ingat bahawa kanser tidak boleh berjangkit, sentuhan kasih sayang boleh menjadi ubat yang mujarab untuk menghilangkan keresahan dan tekanan perasaan. Selalu memeluk mereka kerana pelukan mempunyai nilai penyembuhan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
  6. Temani mereka semasa menjalani rawatan jika dibenarkan.
  7. Temani mereka semasa perbincangan mengenai penyakit atau rawatan.
  8. Temani mereka dan ikuti aktiviti-aktiviti kumpulan sokongan.
2.   SOKONGAN FIZIKAL

  1. Tawarkan diri untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk mereka
  2. Temani mereka semasa makan. Ini boleh meningkatkan selera makan mereka.
  3. Hubungi doktor jika pesakit tidak minum selama 24 jam atau tidak mengambil apa-apa makanan selama dua hingga tiga hari.
  4. Bantu mereka untuk datang berjumpa dengan doktor seperti meluangkan masa menghantar mereka ke hospital.
3.  LAIN-LAIN SOKONGAN

a. Jangan mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mereka. Kasihanilah mereka dan jadikan musibah ini untuk mengeratkan lagi hubungan anda dengan mereka supaya anda tidak rasa menyesal selepas pemergian mereka sebaliknya anda berasa puas dan inilah balasan yang anda terima di dunia ini. Balasan untuk anda di akhirat tentu tak ternilai besarnya.
b. Berdoalah supaya penyakit kanser orang tersayang dapat sembuh dan jika ditakdirkan tidak dapat disembuhkan maka berdoalah supaya mereka diberi kekuatan untuk sabar dan menerima ketentuan Tuhan dengan redha.

PANDUAN BERCAKAP DENGAN PESAKIT KANSER

Berhati-berhati apabila mengeluarkan perkataan kepada pesakit kanser. Ini adalah panduan kepada orang yang dekat dengan pesakit kanser samada pasangan, saudara mara ataupun sahabat baik. Ada perkataan yang pada pendangan kita sesuai tetapi tidak sesuai dikeluarkan.Fakta-fakta ini diperolehi hasil dari soal-selidik pakar-pakar kanser dan psikologi terhadap pesakit kanser. Berikut adalah 10 ayat yang TIDAK PATUT dan SEPATUTNYA keluar dari mulut anda sebagai pasangan ataupun orang yang dekat dengan pesakit kanser:
1.    TIDAK PATUT: ”Saya tidak boleh berhenti menangis dan seringkali terbangun tidur memikirkan tentang awak”.
SEPATUTNYA: ”Saya merasa sedih kerana anda perlu melalui semua ini. Jangan ragu-ragu untuk menangis depan saya, bercakap dengan saya ataupun awak boleh saja tidak mahu bercakap dengan saya
2.    TIDAK PATUT: ” Bersyukur kerana kanser yang anda hidapi bukan jenis yang itu (jenis kanser lain yang lebih serius)”.
SEPATUTNYA: ”Beritahu saya mengenai kanser yang anda hidapi, jika awak sudi. Saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pengalaman yang awak lalui
3.    TIDAK PATUT : ” Adakah awak merokok” seolah2 mencari punca penyebab kanser.
SEPATUTNYA: ”Saya simpati kerana awak menghidap penyakit ini
4.   TIDAK PATUT: ” Kawan saya mengidap penyakit kanser yang sama, saya akan ceritakan kepada awak semua berkenaan dengannya”. Seolah anda menjadi wakil menceritakan pengalaman orang lain.
SEPATUTNYA: ”Sahabat saya juga mengalami penyakit kanser yang sama, adakah awak ingin menghubunginya untuk berkongsi,?”
5.   TIDAK PATUT:”Jika ada apa-apa yang boleh saya bantu, beritahu saya”. Menambah beban pesakit berfikir apakah bantuan yang diperlukan.
SEPATUTNYA: ”Saya bercadang untuk masak bubur hujung minggu ini, boleh saya bawakan juga untuk awak? Ataupun awak ada makanan lain yang saya boleh dapatkannya?". Anda membuat cadangan dan keputusan yang spesifik.
6.   TIDAK PATUT:”Saya faham perasaan awak”. Bagaimana  mungkin orang lain memahami perasaan perasaan pesakit kanser, perasaan seseorang pesakit tidak akan sama.
SEPATUTNYA: ”Saya tak dapat nak bayangkan bagaimana perasaan awak”. Kenyataan ini akan membuka peluang kepada pesakit untuk bercerita dan meluah perasaan.
7.  TIDAK PATUT: ”Saya ada dengar pakar kanser sudah boleh menyembuhkan penyakit kanser ini dengan rawatan......” Jangan memandai membuat kenyataan yang anda sendiri tidak pasti dan pesakit hanya menganggap ianya untuk menenangkan mereka.
SEPATUTNYA: Tanyakan soalan : "Adakah awak merasa sesuai dengan rawatan yang diberikan? Ada ke ubat ataupun teknik rawatan baru yang boleh membantu?
8.   TIDAK PATUT:  Tidak berkata apa2 ataupun SENYAP MEMBISU. Pesakit akan menganggap anda tidak memperdulikannya ataupun tidak kisah.
SEPATUTNYA: Jika anda tidak tahu apa yang hendak diucapkan, nyatakan kepadanya ” Saya tidak pasti apa yang perlu saya katakan tetapi saya bersedia mendengar, ataupun apa sahaja yang boleh membantu awak
9.   TIDAK PATUT: ” Segalanya akan berjalan dengan baik”. Perkataan ini tidak akan memberi apa-apa kesan kerana pesakit tahu anda hanya ingin membuatnya rasa lega sedangkan anda sendiri tidak pasti.
SEPATUTNYA: ”Saya sentiasa bersedia untuk membantu awak dan akan bersama awak untuk mengharunginya”.
10. TIDAK PATUT (selepas tamat rawatan) :”Tahniah, awak sudah selesai rawatan kemoterapi/radioterapi” ataupun " Lega sudah selesai kemoterapi/radioterapi". Fokus sebenar pesakit adalah samada kansernya sembuh atau tidak dan bukan tamatnya rawatan.Perasaan risau dan takut akan berterusan walaupun rawatan sudah tamat. Kadang-kandang kegembiraan yang anda luahkan itu mungkin dianggap lega kerana beban anda sudah dibuang. Simpan perasaan lega sebab itu kepada diri anda sendiri.
SEPATUTNYA: Tanya soalan terbuka ”Bagaimana perasaan awak sekarang, selepas rawatan kemoterapi?” Anda memberi kebebasan kepada pesakit untuk menentukan respon mengikut kehendak mereka.

APA KATA AHLI UGAMA BERKENAAN DENGAN PENYAKIT KANSER

Bagi orang-orang yang berugama Islam , adalah menjadi kewajipan untuk menjadikan quran, hadis dan ulamak sebagai sumber rujukan di dalam mencari jalan penyelesaian ke atas apa saja bentuk musibah. Bab ini akan memperkatakan sedikit mengenai pandangan ugama berkenaan dengan penyakit termasuk penyakit kanser. Isi kandungan bab ini adalah sumbangan dari Tuan Guru Hj. Md Noor Md Saad.

Di dalam Islam, orang yang sakit  adalah dikasihi oleh Allah s.w.t. Ada tersebut di dalam hadith kira-kira bermaksud ” Apabila Allah mengasihi seseorang, diujinya dengan berbagai-bagai ujian untuk mendengar rayuannya”. Seseorang yang sakit , Allah akan gugurkan dosa-dosa kecilnya seperti gugurnya daun-daun kayu yang kering dari pokok. Orang-orang yang sakit luar biasa, Allah jauhkan daripada fitnah kubur dan memasukkan mereka ke dalam syurga tanpa hisab dengan syarat ia hendaklah bersabar dan menerima ujian Allah itu dengan penuh kerelaan hati.

Allah akan menguji orang-orang yang beriman mengikut tahap keimanannya. Contoh yang paling baik adalah kisah Nabi Ayub yang diuji dengan berbagai-bagai musibah dari kemusnahan harta benda, kemudian kematian 3 orang anak lelakinya dan seterusnya penyakit kulit yang sangat dahsyat ke atas dirinya sendiri sehingga terpaksa tinggal berasing di dalam gua di padang pasir. Oleh kerana baginda bersabar, akhirnya penyakit tersebut itu sembuh dan sihat seperti sediakala dan Allah menjanjikan baginda syurga di akhirat kelak.

Anda mestilah menilai penyakit yang anda hidapi dengan cara positif, ada kalanya anda terasa yang penyakit anda terlalu berat tetapi sebenarnya ada lagi orang lain yang mengalami penyakit yang lebih berat hingga tiada penawar untuk menyembuhkannya.

Islam menkategorikan penyakit kepada 3 jenis :
1. Penyakit yang nyata dan terang seperti penyakit kanser, penyakit kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. Penyakit di dalam kategori ini hendaklah diubati dengan kaedah rawatan moden terbaik seperti ubat-ubatan moden, pembedahan dan lain-lain.
2. Penyakit yang tidak nyata yakni yang tak dapat dikesan oleh apa saja kaedah moden. Setelah segala ikhtiar tidak berhasil mencari punca penyakit ini maka  hendaklah diubatinya dengan cara berdoa dan berjampi seperti yang dikehendaki oleh syarak berlandaskan al-quran dan sunnah. Penghidap penyakit ini juga digalakkan untuk bersedekah seperti sabda nabi yang bermaksud ” Peliharalah hartamu dengan membayar zakat dan ubatilah penyakitmu dengan bersedekah”.
3. Penyakit kerana qada Allah kepada hambanya yang tidak menunaikan tanggungjawab kepada Allah. Ubat untuk penyakit kategori ini adalah dengan memuhasabah diri, mencari kesilapan dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Terdapat banyak doa-doa yang boleh diamalkan. Di antara doa-doa yang disyorkan oleh para ulamak adalah dengan membaca ayat 82, surah Yasin. Ayat ini hendaklah dibaca sebanyak 100 kali sebaik-baiknya selepas sembahyang tahjud, kemudian ditiup ke dalam air dan air ini kemudiannya disapu di bahagian badan yang berpenyakit. Walau bagaimanapun, hendaklah diingat bahawa doa sahaja tidak mencukupi kalau tidak disertakan dengan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

Rujukan :  
1.Buku Kanser Wanita: Pencegahan dan Rawatan karangan Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor , terbitan Utusan Publication and Distributors Sdn Bhd.
2.http://www.prevention.com/sex/cancer-support

Monday, February 22, 2016

BAGAIMANA MELETAKKAN BAHASA MELAYU DI KEDUDUKAN YANG SELAYAKNYA

Rencana ini dipetik dari perbincangan yang panjang dari rencana tulisan saya mengenai memartabatkan bahasa melayu dan memperkukuhkan bahasa inggeris.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hari ini rakyat Malaysia dan ramai pemimpin-pemimpin negara kita menghadapi krisis keyakinan yang serius terhadap keupayaan bahasa melayu yang menjadi bahasa kebangsaan ataupun bahasa resmi termaktub di dalam perlembagaan negara kita. Kedudukan bahasa melayu semakin hari semakin membimbangkan. Disebabkan oleh tanggapan bahawa Bahasa Inggeris adalah segala-galanya, maka kita dapati Bahasa Inggeris dijadikan keperluan utama di dalam banyak aspek kehidupan manusia di Malaysia termasuk peluang mendapatkan pekerjaan. Masyarakat kita lebih berbangga jika menggunakan Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu, hatta ketika berkomunikasi dengan bangsa sendiri.Sebenarnya jika dikaji dengan lebih mendalam, kita akan dapati keperluan menggunakan Bahasa Melayu adalah lebih besar di dalam negara kita kerana bahasa ini digunakan oleh majoriti rakyat Malaysia. Apabila majoriti pelanggan menggunakan Bahasa Melayu, maka sepatutnya Bahasa Melayu ini dijadikan syarat utama kepada majikan untuk mencari pekerja. Contohnya di dalam bidang kedoktoran, mana mungkin bahasa melayu dipersalahkan jika ada pegawai-pegawai perubatan tertekan dan meletakkan jawatan sedangkan majoriti pesakit-pesakit di dalam wad yang memerlukan rawatan menggunakan bahasa melayu untuk berkomunikasi. Tentu para doktor yang rata-rata fasih berbahasa melayu lebih senang menjalankan tugas mereka. Dakwaan-dakwaan palsu seperti inilah yang menjatuhkan martabat bahasa melayu dan memberi persepsi negatif kepada orang ramai. Ramai penulis lebih suka menulis kelebihan bahasa inggeris dari bahasa melayu dan jika ada berita-berita yang merendahkan bahasa melayu, maka berita itulah yang akan disensasikan. Saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai isu bahasa di dalam pendidikan di negara kita, sila klik di sini. Professor Dr. Wan Ramli Wan Daud yang merupakan di antara Saintis Malaysia bertaraf dunia ada menulis mengenai isu bahasa melayu di dalam penguasaan ilmu Sains dan teknologi. Sila klik di sini untuk membaca rencana beliau.

Pada hari ini, walaupun jelas bahasa melayu itu lebih penting di dalam semua aspek kehidupan rakyat negara kita samada pendidikan, perniagaan, perhubungan dan lain-lain bidang, ianya tidak ditonjolkan. Bahasa melayu juga  adalah bahasa perpaduan yang boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Sebaliknya apa yang ditonjol-tonjolkan adalah kononnya  penguasaan Bahasa Inggeris lebih penting bagi memudahkan untuk berbincang dan berhubungan dengan orang luar negara bagi mengembangkan urusan perniagaan ataupun lain-lain urusan ke peringkat antarabangsa. Hakikatnya orang luar negara tidak melihat sejauhmana fasihnya kita berbahasa Inggeris untuk menjalinkan hubungan perniagaan tetapi faktor-faktor lain seperti kekukuhan ekonomi, kestabilan politik, keamanan, sumber semulajadi dan lain-lain faktor yang tidak ada kaitan dengan bahasa yang digunakan. Terlalu banyak contoh negara-negara asing yang maju tanpa memerlukan bahasa Inggeris di dalam sistem pendidikan dan hidup mereka. Mereka masih mampu mengekalkan martabat bahasa ibunda mereka dan maju di dalam semua bidang, samada pendidikan, teknologi dan ekonomi.  

Kerajaan patut menggubal polisi yang dapat mengubah persepsi ini dengan menguatkuasakan akta-akta dan peraturan-peraturan seperti kewajipan menggunakan Bahasa Melayu semasa mesyuarat, pengiklanan, surat menyurat, pekeliling, lapuran, surat perjanjian, temuduga dan kewajipan menguasai Bahasa Melayu dengan baik sebelum dapat mendaftarkan perniagaan serta memohon pekerjaan. Malah ianya juga boleh dijadikan syarat untuk kenaikan pangkat. Penekanan juga perlu diberikan di dalam amalan menggunakan bahasa melayu yang tulin dan tidak menggunakan bahasa rojak sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Professor Diraja Ungku Aziz bahawa “bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu, sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak, seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita”. Apabila persepsi ini berubah dan rakyat nampak kepentingan menguasai Bahasa Melayu di dalam kehidupan mereka, maka mereka akan dengan sendirinya berusaha untuk meningkatkan keupayaan menguasai bahasa ini, tidak kira dari apa sahaja latarbelakang bangsa mereka. Hari ini walaupun ada peraturan yang menghendaki bahasa melayu digunakan di majlis-majlis resmi, mahkamah dan lain-lain, tetapi rata-rata pegawai-pegawai yang terlibat lebih suka menggunakan bahasa inggeris ataupun bahasa rojak.


Menjadikan kewajipan menguasai Bahasa Melayu dari segi penulisan dan pertuturan untuk memohon memasuki pusat pengajian juga perlu ditekankan kepentingannya. Menjadikan wajib lulus (penulisan dan lisan) Bahasa Melayu di semua pengajian tidak kira apa bidang sekali pun melalui ujian bahasa sebelum dipilih untuk menghadiri temuduga contohnya adalah salah satu dari banyak lagi kaedah-kaedah memartabatkan bahasa melayu. Meletakkan syarat kepujian bahasa melayu untuk memohon pekerjaan dan disahkan jawatan. Kerajaan juga patut meningkatkan kempen penggunaan bahasa kebangsaan dengan menjalankan aktiviti mempromosi penggunaan bahasa melayu dan kempen mencegah amalan bahasa rojak dalam kalangan rakyat. Pemimpin patut menjadi contoh kepada rakyat dengan menggunakan bahasa melayu dengan baik, contoh  pemimpin yang mempunyai penguasaan bahasa melayu yang baik adalah seperti Datuk seri Rais Yatim, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Lee Lam Thye dan beberapa orang lagi pemimpin. Di dalam kita memperjuangkan bahasa melayu di negara ini, ketepikan pendirian politik, samada kerajaan mahupun pembangkang hendaklah meletakkan agenda memartabatkan bahasa melayu ini sebagai agenda terpenting perjuangan parti. Ini akan dapat meningkatkan imej dan memulihkan persepsi masyarakat Malaysia kepada Bahasa Melayu, sehingga masyarakat kita semuanya akan beranggapan bahawa kalau tidak cekap berbahasa Melayu susah untuk masuk universiti dan susah untuk mendapatkan pekerjaan.


Penterjemahan buku-buku ilmu ke dalam Bahasa Melayu sangat penting dan ini perlu dipertingkatkan sebagaimana yang dilakukan oleh negara Jepun, Korea dan lain-lain negara maju. Dengan kemahiran berbahasa Melayu di dalam pengajaran Sains dan Matematik, maka kita akan dapat menghasilkan lebih ramai penterjemah-penterjemah yang berkemahiran tinggi. Mungkin satu masa nanti pengajian peringkat yang lebih tinggi sehingga kepada doktor falsafah (pHD) tidak lagi memerlukan rujukan buku-buku berbahasa Inggeris kerana negara kita sudah mempunyai cukup buku-buku rujukan berbahasa Melayu. Pada ketika itu sistem pendidikan kita boleh menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat sehingga ke peringkat pengajian tertinggi. Institusi-institusi pengajian tinggi juga dapat mengambil peluang menaikkan martabat bahasa melayu dengan menawarkan insentif ataupun peluang kenaikan pangkat kepada pensyarah-pensyarah yang dapat menghasilkan bahan akademik dan kertas kajian yang ditulis menggunakan bahasa melayu.

Banyak lagi kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk meletakkan bahasa melayu ke martabatnya yang sepatutnya dan apa yang dinyatakan di atas hanya sebahagian daripadanya. Pembaca-pembaca dipersilakan untuk memberi cadangan kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan sebagai tambahan dari yang disebutkan di atas.

Kesimpulannya, alasan untuk memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa utama di dalam semua bidang di negara ini sudah lebih dari mencukupi. Hanya pihak pengubal polisi, ahli-ahli cendikiawan, pakar-pakar bahasa dan yang tidak kurang pentingnya adalah rakyat jelata yang perlu berusaha dan menunjukkan kesungguhan untuk meletakkan bahasa melayu di tempat yang sepatutnya. Jika ini tidak dilakukan, maka tidak hairanlah satu hari nanti Bahasa Melayu akan terpinggir sebagaimana yang dihadapi oleh Bahasa cina di negara Singapura di mana dijangkakan sedikit masa lagi Bahasa cina akan menjadi bahasa asing kepada rakyat berbangsa Cina di Singapura digantikan oleh bahasa Inggeris, sedangkan mereka adalah bangsa majoriti di negara itu sebagaimana bangsa melayu di negara ini. Bahasa adalah petunjuk bangsa, bahasa adalah jiwa bangsa,hilang bahasa maka hilanglah identiti sesatu bangsa. 

Untuk membaca pandangan saya mengenai bahasa melayu sebagai bahasa pengantar di dalam pendidikan rakyat Malaysia, sila klik pada paparan di bawah.
Memartabatkan bahasa melayu, mengukuhkan bahasa Inggeris

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Presiden Malaysian Gynaecological Cancer Society
Februari 2016