Monday, February 22, 2016

BAGAIMANA MELETAKKAN BAHASA MELAYU DI KEDUDUKAN YANG SELAYAKNYA

Rencana ini dipetik dari perbincangan yang panjang dari rencana tulisan saya mengenai memartabatkan bahasa melayu dan memperkukuhkan bahasa inggeris.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hari ini rakyat Malaysia dan ramai pemimpin-pemimpin negara kita menghadapi krisis keyakinan yang serius terhadap keupayaan bahasa melayu yang menjadi bahasa kebangsaan ataupun bahasa resmi termaktub di dalam perlembagaan negara kita. Kedudukan bahasa melayu semakin hari semakin membimbangkan. Disebabkan oleh tanggapan bahawa Bahasa Inggeris adalah segala-galanya, maka kita dapati Bahasa Inggeris dijadikan keperluan utama di dalam banyak aspek kehidupan manusia di Malaysia termasuk peluang mendapatkan pekerjaan. Masyarakat kita lebih berbangga jika menggunakan Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu, hatta ketika berkomunikasi dengan bangsa sendiri.Sebenarnya jika dikaji dengan lebih mendalam, kita akan dapati keperluan menggunakan Bahasa Melayu adalah lebih besar di dalam negara kita kerana bahasa ini digunakan oleh majoriti rakyat Malaysia. Apabila majoriti pelanggan menggunakan Bahasa Melayu, maka sepatutnya Bahasa Melayu ini dijadikan syarat utama kepada majikan untuk mencari pekerja. Contohnya di dalam bidang kedoktoran, mana mungkin bahasa melayu dipersalahkan jika ada pegawai-pegawai perubatan tertekan dan meletakkan jawatan sedangkan majoriti pesakit-pesakit di dalam wad yang memerlukan rawatan menggunakan bahasa melayu untuk berkomunikasi. Tentu para doktor yang rata-rata fasih berbahasa melayu lebih senang menjalankan tugas mereka. Dakwaan-dakwaan palsu seperti inilah yang menjatuhkan martabat bahasa melayu dan memberi persepsi negatif kepada orang ramai. Ramai penulis lebih suka menulis kelebihan bahasa inggeris dari bahasa melayu dan jika ada berita-berita yang merendahkan bahasa melayu, maka berita itulah yang akan disensasikan. Saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai isu bahasa di dalam pendidikan di negara kita, sila klik di sini. Professor Dr. Wan Ramli Wan Daud yang merupakan di antara Saintis Malaysia bertaraf dunia ada menulis mengenai isu bahasa melayu di dalam penguasaan ilmu Sains dan teknologi. Sila klik di sini untuk membaca rencana beliau.

Pada hari ini, walaupun jelas bahasa melayu itu lebih penting di dalam semua aspek kehidupan rakyat negara kita samada pendidikan, perniagaan, perhubungan dan lain-lain bidang, ianya tidak ditonjolkan. Bahasa melayu juga  adalah bahasa perpaduan yang boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Sebaliknya apa yang ditonjol-tonjolkan adalah kononnya  penguasaan Bahasa Inggeris lebih penting bagi memudahkan untuk berbincang dan berhubungan dengan orang luar negara bagi mengembangkan urusan perniagaan ataupun lain-lain urusan ke peringkat antarabangsa. Hakikatnya orang luar negara tidak melihat sejauhmana fasihnya kita berbahasa Inggeris untuk menjalinkan hubungan perniagaan tetapi faktor-faktor lain seperti kekukuhan ekonomi, kestabilan politik, keamanan, sumber semulajadi dan lain-lain faktor yang tidak ada kaitan dengan bahasa yang digunakan. Terlalu banyak contoh negara-negara asing yang maju tanpa memerlukan bahasa Inggeris di dalam sistem pendidikan dan hidup mereka. Mereka masih mampu mengekalkan martabat bahasa ibunda mereka dan maju di dalam semua bidang, samada pendidikan, teknologi dan ekonomi.  

Kerajaan patut menggubal polisi yang dapat mengubah persepsi ini dengan menguatkuasakan akta-akta dan peraturan-peraturan seperti kewajipan menggunakan Bahasa Melayu semasa mesyuarat, pengiklanan, surat menyurat, pekeliling, lapuran, surat perjanjian, temuduga dan kewajipan menguasai Bahasa Melayu dengan baik sebelum dapat mendaftarkan perniagaan serta memohon pekerjaan. Malah ianya juga boleh dijadikan syarat untuk kenaikan pangkat. Penekanan juga perlu diberikan di dalam amalan menggunakan bahasa melayu yang tulin dan tidak menggunakan bahasa rojak sepertimana yang pernah dinyatakan oleh Professor Diraja Ungku Aziz bahawa “bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu, sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak, seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita”. Apabila persepsi ini berubah dan rakyat nampak kepentingan menguasai Bahasa Melayu di dalam kehidupan mereka, maka mereka akan dengan sendirinya berusaha untuk meningkatkan keupayaan menguasai bahasa ini, tidak kira dari apa sahaja latarbelakang bangsa mereka. Hari ini walaupun ada peraturan yang menghendaki bahasa melayu digunakan di majlis-majlis resmi, mahkamah dan lain-lain, tetapi rata-rata pegawai-pegawai yang terlibat lebih suka menggunakan bahasa inggeris ataupun bahasa rojak.


Menjadikan kewajipan menguasai Bahasa Melayu dari segi penulisan dan pertuturan untuk memohon memasuki pusat pengajian juga perlu ditekankan kepentingannya. Menjadikan wajib lulus (penulisan dan lisan) Bahasa Melayu di semua pengajian tidak kira apa bidang sekali pun melalui ujian bahasa sebelum dipilih untuk menghadiri temuduga contohnya adalah salah satu dari banyak lagi kaedah-kaedah memartabatkan bahasa melayu. Meletakkan syarat kepujian bahasa melayu untuk memohon pekerjaan dan disahkan jawatan. Kerajaan juga patut meningkatkan kempen penggunaan bahasa kebangsaan dengan menjalankan aktiviti mempromosi penggunaan bahasa melayu dan kempen mencegah amalan bahasa rojak dalam kalangan rakyat. Pemimpin patut menjadi contoh kepada rakyat dengan menggunakan bahasa melayu dengan baik, contoh  pemimpin yang mempunyai penguasaan bahasa melayu yang baik adalah seperti Datuk seri Rais Yatim, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Lee Lam Thye dan beberapa orang lagi pemimpin. Di dalam kita memperjuangkan bahasa melayu di negara ini, ketepikan pendirian politik, samada kerajaan mahupun pembangkang hendaklah meletakkan agenda memartabatkan bahasa melayu ini sebagai agenda terpenting perjuangan parti. Ini akan dapat meningkatkan imej dan memulihkan persepsi masyarakat Malaysia kepada Bahasa Melayu, sehingga masyarakat kita semuanya akan beranggapan bahawa kalau tidak cekap berbahasa Melayu susah untuk masuk universiti dan susah untuk mendapatkan pekerjaan.


Penterjemahan buku-buku ilmu ke dalam Bahasa Melayu sangat penting dan ini perlu dipertingkatkan sebagaimana yang dilakukan oleh negara Jepun, Korea dan lain-lain negara maju. Dengan kemahiran berbahasa Melayu di dalam pengajaran Sains dan Matematik, maka kita akan dapat menghasilkan lebih ramai penterjemah-penterjemah yang berkemahiran tinggi. Mungkin satu masa nanti pengajian peringkat yang lebih tinggi sehingga kepada doktor falsafah (pHD) tidak lagi memerlukan rujukan buku-buku berbahasa Inggeris kerana negara kita sudah mempunyai cukup buku-buku rujukan berbahasa Melayu. Pada ketika itu sistem pendidikan kita boleh menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat sehingga ke peringkat pengajian tertinggi. Institusi-institusi pengajian tinggi juga dapat mengambil peluang menaikkan martabat bahasa melayu dengan menawarkan insentif ataupun peluang kenaikan pangkat kepada pensyarah-pensyarah yang dapat menghasilkan bahan akademik dan kertas kajian yang ditulis menggunakan bahasa melayu.

Banyak lagi kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk meletakkan bahasa melayu ke martabatnya yang sepatutnya dan apa yang dinyatakan di atas hanya sebahagian daripadanya. Pembaca-pembaca dipersilakan untuk memberi cadangan kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan sebagai tambahan dari yang disebutkan di atas.

Kesimpulannya, alasan untuk memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa utama di dalam semua bidang di negara ini sudah lebih dari mencukupi. Hanya pihak pengubal polisi, ahli-ahli cendikiawan, pakar-pakar bahasa dan yang tidak kurang pentingnya adalah rakyat jelata yang perlu berusaha dan menunjukkan kesungguhan untuk meletakkan bahasa melayu di tempat yang sepatutnya. Jika ini tidak dilakukan, maka tidak hairanlah satu hari nanti Bahasa Melayu akan terpinggir sebagaimana yang dihadapi oleh Bahasa cina di negara Singapura di mana dijangkakan sedikit masa lagi Bahasa cina akan menjadi bahasa asing kepada rakyat berbangsa Cina di Singapura digantikan oleh bahasa Inggeris, sedangkan mereka adalah bangsa majoriti di negara itu sebagaimana bangsa melayu di negara ini. Bahasa adalah petunjuk bangsa, bahasa adalah jiwa bangsa,hilang bahasa maka hilanglah identiti sesatu bangsa. 

Untuk membaca pandangan saya mengenai bahasa melayu sebagai bahasa pengantar di dalam pendidikan rakyat Malaysia, sila klik pada paparan di bawah.
Memartabatkan bahasa melayu, mengukuhkan bahasa Inggeris

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Presiden Malaysian Gynaecological Cancer Society
Februari 2016   
 


No comments:

Post a Comment