Tuesday, August 22, 2017

MATLAMAT RAWATAN KANSER


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md.Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Terdapat sekurang-kurangnya 5 jenis rawatan kanser konvensional iaitu pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon dan targeted therapy. Kadangkala pesakit perlu dirawat dengan lebih daripada satu jenis rawatan.


Secara umumnya kaedah rawatan kanser terbahagi kepada 2 jenis utama iaitu:

(1) RAWATAN SISTEMIK (“systemic therapy”)
(2) RAWATAN SETEMPAT (“localized/regional treatment”).


Rawatan sistemik adalah kaedah rawatan yang diberikan untuk menghapuskan kanser di seluruh badan, contohnya rawatan kemoterapi, terapi hormon dan targeted therapy. Ianya diberikan dalam bentuk suntikan ataupun makan. Rawatan sistemik juga boleh memberi kesan positif ke atas kanser yg bersifat setempat. Rawatan setempat pula adalah untuk menghapuskan kanser di tempat-tempat tertentu contohnya melalui pembedahan mengeluarkan organ yang terlibat ataupun memberi rawatan radioterapi kepada kawasan tertentu. Rawatan setempat tidak merawat kanser yg terletak jauh dpd kawasan yg dirawat. Kanser yang berbeza memerlukan rawatan yang berbeza kerana ada kanser yang lebih berkesan dirawat dengan kemoterapi dan ada yang lebih berkesan dirawat dengan radioterapi. Tidak kurang juga pesakit yang memerlukan lebih daripada satu jenis rawatan.


Terdapat tiga matlamat utama rawatan kanser iaitu:
(1) MENYEMBUHKAN  kanser,
(2) MEMANJANGKAN HAYAT dan
(3) MEMPERBAIKI MUTU KEHIDUPAN.


Seseorang pesakit dikatakan sembuh apabila selepas selesai menjalani rawatan, kesemua sel-sel kanser telah dapat dihapuskan dan beliau bebas daripada kanser untuk sekurang-kurangnya 10 tahun. Bebas daripada kanser bermaksud tidak ada tanda-tanda kanser itu berulang melalui pemeriksaan dan ujian2 (darah dan pengimejan) yang dilakukan oleh pakar kanser. Matlamat kedua adalah memanjangkan hayat pesakit jika kanser tersebut tidak dapat disembuhkan sepenuhnya. Panjangnya jangkahayat juga dikenali sebagai “survival”. Banyak istilah-istilah yang digunakan oleh pakar kanser untuk mengukur survival seseorang pesakit kanser contohnya “overall survival” (OR) iaitu jangkahayat keseluruhan pesakit yakni jangkamasa daripada dikesan menghidap kanser sehinggalah beliau meninggal dunia. Lebih panjang OR, maka lebih berkesan rawatan kanser tersebut. Adakalanya pakar kanser mengukur berapa peratuskah pesakit yang masih hidup untuk jangkamasa 5 tahun, ataupun “’5 years survival rate”. Contohnya apabila pakar kanser mengatakan "5 years survival rate" adalah 60% ianya bermaksud selepas 5 tahun hanya 60% sahaja pesakit yang masih hidup. Banyak lagi istilah-istilah yang digunakan oleh pakar kanser bagi merujuk kepada keberkesanan rawatan dan istilah2 ini juga penting untuk tujuan penyelidikan bagi membandingkan satu kaedah rawatan dengan kaedah rawatan yang lain ataupun membandingkan ubat2 baru dengan ubat2 yang standard.


Satu lagi matlamat rawatan kanser yang tidak kurang pentingnya adalah untuk mengekalkan/meningkatkan kualiti kehidupan yang baik dan ini dapat dilakukan samada dengan merawat gejala-gejala (ubat sakit, kembong perut, sukar bernafas dll) ataupun dengan menggunakan kaedah2 rawatan kanser yang saya sebutkan di atas. Contohnya ada pesakit yang menghidap kanser peringkat akhir sehingga pakar kanser menganggap kanser tersebut tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, maka apa sahaja bentuk rawatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan gejala. Contohnya  jika pesakit mengalami kanser pangkal rahim yang merebak ke tulang belakang sehingga beliau mengalami kesakitan dan lumpuh, maka pakar kanser mungkin akan mengesyorkan rawatan radioterapi ke atas tulang belakang, pada ketika ini matlamat utama rawatan yg diberikan adalah untuk mengurangkan sakit dan dgn harapan agar kanser tersebut tidak merebak dengan lebih cepat. Ada juga rawatan mengurangkan gejala dengan kemoterapi untuk tujuan yang sama. Kadangkala rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan gejala ini dapat juga memanjangkan hayat pesakit, walaupun kanser itu tidak dapat disembuhkan. Mutu kehidupan juga merangkumi emosi dan psikologi pesakit kanser; pasangan dan ahli keluarga pesakit sangat besar peranannya di dalam memberi kelegaan dari aspek emosi dan psikologi pesakit.


Pakar kanser akan membuat pertimbangan di antara manfaat dan mudarat sebelum sesuatu kaedah rawatan itu disyorkan kepada pesakit. Jika pada pandangan mereka dengan memberi rawatan akan menyebabkan pesakit lebih menderita, maka rawatan tersebut tidak akan disyorkan. Inilah sebabnya pesakit kanser perlu dirujuk dan dirawat oleh pakar kanser yang terlatih.

MENGAPA KANSER BOLEH BERULANG




Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Salah satu daripada ciri-ciri penyakit kanser adalah keupayaannya untuk berulang ataupun “relapse” walaupun ianya sudah dihapuskan sepenuhnya pada peringkat awal. Sebab itulah mencegah kanser itu lebih baik daripada merawat. Sehingga hari ini Pakar Kanser sukar untuk menjangkakan kemungkinan boleh berlakunya kanser berulang dengan tepat kerana banyak faktor yang menentukan keberangkalian kanser berulang. Pakar kanser hanya mampu untuk membuat perkiraan kasar tentang kemungkinan kanser berulang berdasarkan kepada ciri-ciri kanser dan diri pesakit kanser.
Kadar penyembuhan kanser bergantung kepada banyak perkara di antaranya adalah jenis kanser, peringkat kanser, rawatan yang diberikan dan juga faktor-faktor dalaman pesakit itu sendiri. Apabila pesakit selesai menjalani rawatan kanser, mereka akan menjalani ujian untuk menentukan keberkesanan rawatan. Jenis-jenis ujian ini bergantung kepada jenis kanser, di antaranya adalah ujian darah mengukur “tumour markers”dan ujian pengimejan seperti CT scan, MRI, PET scan dan lain-lain. Kadangkala kanser yang dihidapi oleh pesakit dapat diukur saiznya dan ini juga boleh digunakan untuk menilai keberkesanan rawatan. Apabila rawatan diberikan, Pakar Kanser ingin supaya semua sel-sel kanser dapat dihapuskan. Apabila semua sel-sel kanser dapat dihapuskan, seseorang pesakit kanser dikatakan mencapai “complete response”. Terdapat juga pesakit yang tidak semua sel-sel kansernya dapat dihapuskan, mereka dikatakan mencapai “partial response”. Jika kanser tidak menunjukkan sebarang pengurangan, keadaan ini dinamakan “stable disease” dan ada juga yang walaupun diberikan rawatan kanser, kanser mereka terus membesar dan merebak, keadaan ini dinamakan “disease progression”. Pesakit yang mengalami “disease progression” mempunyai kadar penyembuhan yang rendah dan kadar kematian yang tinggi.
Jika kanser adalah daripada jenis yang kurang ganas, berada pada peringkat awal dan rawatan yang diberikan adalah tepat, maka kanser yang dihidapi itu boleh dihapuskan sepenuhnya. Walau bagaimanapun Pakar Kanser sedar bahawa menghapuskan semua kanser bukanlah satu-satunya matlamat utama kerana walaupun sudah dihapuskan sepenuhnya, kanser itu masih berkemungkinan untuk berulang. Jarak masa daripada masa kanser dihapuskan sepenuhnya sehingga kanser itu datang semula dikenali sebagai “disease free interval (DFI)”, pakar kanser mensasarkan DFI yang panjang dan pesakit dianggap sembuh jika DFI boleh mencapai sekurang-kurangnya 10 tahun. Dua tahun pertama adalah paling kritikal sebab jika kanser tersebut berulang, 80% daripadanya berlaku ketika 2 tahun pertama.
Di antara punca-punca mengapa kanser boleh berulang adalah kerana:
1. Kanser tersebut daripada jenis yang ganas
2. Kanser dikesan lambat dan berada pada peringkat yang lewat
3. Lambat mendapatkan rawatan kanser. Terdapat pesakit yang mendapatkan rawatan kanser daripada pengamal2 perubatan alternatif sehingga lambat mendapatkan rawatan kanser oleh pakar kanser
4. Kaedah rawatan yang diberikan tidak tepat ataupun dos yang tidak mencukupi. Inilah kepakaran yang ada kepada pakar kanser berbanding dengan doktor-doktor yang tidak terlatih di dalam rawatan kanser.
5. Rawatan yang tersekat-sekat disebabkan oleh factor pesakit yang tidak dapat meneruskan rawatan ataupun mengalami kesan sampingan yang serius sehingga jadual rawatan terpaksa dipinda. Pendek kata apa sahaja yang boleh mengganggu perjalanan rawatan kanser boleh menyumbang kepada kurangnya keberkesanan merawat kanser.
6. Pesakit tidak meneruskan rawatan ataupun menghilangkan diri untuk jangkamasa yang panjang semasa diberikan rawatan. Ada pesakit yang beraleh kepada rawatan alternatif kerana ingin mencuba cara rawatan yang lain. Ini boleh menyebabkan pesakit mengalami kerintangan ubat kemo (“chemoresistant”).
7. Pesakit yang mengalami kekurangan zat makanan dan mineral sehingga menyebabkan rawatan tertangguh. Pesakit yang berpantang secara melampau, kurang mengambil air dan mengalami masalah penghadaman boleh mengalami masalah ini.
8. Pesakit mengambil ubat-ubatan lain tanpa pengetahuan pakar kanser di mana ubat-ubatan itu boleh mengurangkan keberkesanan rawatan moden yang diberikan. Ubat-ubatan itu mungkin boleh berinteraksi dengan ubat kemoterapi ataupun terapi hormone yang diberikan. Ubat2 ini termasuk ubat2 herba dan tradisional. Tambahan pula pada hari ini, ubat2 ini telah dimasukkan dengan pelbagai jenis bahan2 lain termasuk racun berjadual.
9. Pakar kanser percaya bahawa mengambil antioksidan dalam bentuk suplemen boleh menjadi serampang dua mata semasa rawatan kanser kerana badan manusia memerlukan keseimbangan di antara antioksidan dan radikal bebas. Radikal bebas mempunyai manfaat jika kandungannya sederhana kerana ia boleh menghapuskan sel-sel rosak dan sel-sel yang tidak normal termasuk sel-sel kanser. Apabila antioksidan diambil, ia akan meneutralisasikan/menyahaktifkan radikal bebas dan ini memberi kesan negative terhadap peranannya untuk menghapuskan sel-sel yang tidak normal. Pakar kanser tidak mengesyorkan pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen oleh pesakit kanser terutama ketika rawatan diberikan ataupun jika kanser tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
10. Pakar kanser percaya pesakit yang berfikiran positif, bermotivasi tinggi, melakukan senaman secara tetap dan mendapatkan berat badan yang ideal mempunyai kesan ke atas tahap ketahanan badan, mengurangkan stress dan ini dapat meningkatkan kekuatan badan melawan kanser dan mungkin boleh membantu mengurangkan kadar kejadian kanser berulang.
11. Kegemukan boleh meningkatkan kadar kejadian kanser berulang ke atas pesakit-pesakit kanser tertentu terutama kanser-kanser yang diransang oleh hormon. Walaupun hasil kajian berbeza2, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan terdapat kaitan di antara kegemukan dengan kadar kematian kanser yang lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, usus besar dan kanser prostat.
12. Pesakit kanser yang mengalami masalah kelemahan system pertahanan badan (immunodeficiency) contohnya yang mengalami AIDs, mengambil ubat perencat system imun (immunosuppressive drug) lebih sukar dirawat dan kadar penyembuhan serta kejadian kanser berulang yang lebih tinggi. Ini juga mungkin dikaitkan dengan kecenderungan pesakit2 ini untuk menghidap kanser daripada jenis yang agresif.
13. Pendedahan kepada punca kanser yang berterusan. Kecuali jika punca kanser itu diketahui, terdapat banyak jenis kanser yang tidak diketahui punca sebenarnya jadi pesakit tidak ada kaedah bagaimana untuk menghindarkan diri daripada punca tersebut. Mungkin juga kelainan baka dan protin yang mengawal pembiakan sel berlaku secara berulangkali.
Walaupun tidak dapat disahkan kebenarannya, faktor psikologi pesakit mempunyai peranan di dalam meningkatkan keberkesanan rawatan dan kekuatan untuk melawan kanser. Pesakit yang mempunyai kekuatan mental yang kuat, positif dan tidak terlalu tertekan (termasuk yang mendapat sokongan baik daripada ahli keluarga) dapat melawan kanser dengan lebih berkesan berbanding dengan pesakit yang lemah semangat, berputus asa dan di dalam keadaan tekanan perasaan yang serius.
Ramai juga yang mengalami kanser berulang tanpa dikesan puncanya yang sebenar. Menangani faktor-faktor di atas dapat mengurangkan kadar kanser berulang tetapi tidak ada jaminan 100% yang ianya akan berkesan sepenuhnya sebab itu penyakit kanser lebih baik dicegah daripada dirawat. Penyelidikan masih dijalankan oleh ahli-ahli sains di dalam mencari kaedah pencegahan dan rawatan kanser yang lebih berkesan.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

Wednesday, August 16, 2017

PRINSIP RAWATAN KANSER



PRINSIP RAWATAN KANSER


Kemajuan teknologi rawatan kanser moden telah menyebabkan banyak jenis kanser yang dihidapi oleh manusia hari ini dapat dipulihkan. Merawat penyakit kanser memerlukan kepakaran tinggi kerana kanser adalah penyakit yang sangat kompleks dan tidak boleh dipandang ringan. Kanser yg berbeza memerlukan kaedah rawatan yg berbeza. Malahan adakalanya kanser yg dari jenis yg sama perlu dirawat dgn pendekatan yg berbeza ke atas org yg berbeza. Seorang yg berbeza walaupun menghidap kanser yg sama akan melalui fasa kehidupan dan tindakbalas yg berbeza. Inilah sebabnya penyakit kanser perlu dirawat oleh pakar kanser. Terdapat 7 langkah/peringkat yg perlu dilalui oleh seseorang pesakit kanser:

1. PENGESAHAN KANSER. Ini adalah peringkat yang paling penting. Hampir semua jenis kanser wajib disahkan melalui ujian biopsi/cubitan tisu dan pemeriksaan patologi oleh pakar patologi. Kepakaran di dlm bidang patologi juga terdiri dari beberapa cabang pengkhususan,contohnya jika kanser itu adalah kanser wanita, pakar patologi yg paling mahir dinamakan Gynae Pathologist. Kanser TIDAK boleh disahkan melalui ujian darah dan pengimejan. Ujian2 ini hanya membantu. Terdapat ramai org awam yg menyangka mereka menghidap kanser apabila mereka bertemu dgn pengamal perubatan alternatif utk mengesahkan kanser sedangkan mereka tidak melalui proses pengesahan yg betul. Jika mereka tidak melalui proses pengesahan spt yg disebutkan di atas, mereka bukan pesakit kanser.

2. MENENTUKAN PERINGKAT KANSER. Setelah kanser disahkan pesakit perlu menjalani ujian menentukan peringkat kanser. Pd umumnya peringkat kanser terbahagi kpd peringkat 1,2,3 dan 4. Di antara kaedah2 menentukan peringkat adalah ujian pengimejan (Ultrasound/CT scan/MRI/Pet scan dll) dan pembedahan. Ada juga kanser yg perlu ujian makmal patologi utk menentukan peringkat. Ujian darah juga dilakukan utk menentukan kesan kanser itu ke atas fungsi organ badan (darah, hati dan buah pinggang). Ujian darah utk tumour markers dilakukan utk mengesan bahan yg dihasilkan oleh kanser utk dijadikan petunjuk kpd tindakbalas kanser ke atas rawatan.

3. MENENTUKAN MATLAMAT RAWATAN KANSER. Melalui maklumat di atas, pakar kanser akan menentukan apakah matlamat rawatan yg hendak diberikan samada utk menyembuhkan kanser ("curative") ataupun hanya utk tujuan mengurangkan gejala ataupun rawatan paliatif. Selalunya kanser yg berada pd peringkat 4 tidak akan dpt dipulihkan sepenuhnya jadi matlamat rawatannya adalah rawatan paliatif.

4. MENENTUKAN KAEDAH RAWATAN TERBAIK. Selepas melakukan 3 perkara di atas, pakar kanser akan berbincang dgn pakar2 lain utk menentukan kaedah rawatan yg terbaik. Terdapat 5 jenis rawatan kanser yg boleh diberikan iaitu rawatan pembedahan, rawatan kemoterapi, rawatan radioterapi, rawatan hormon, rawatan targeted terapi dan kombinasi rawatan2 yg tersebut. Jadi perbincangan tentang rawatan terbaik yg hendak disyorkan bukan sahaja ditentukan oleh pakar kanser yg merawat tetapi juga pakar2 lain yg mempunyai kepakaran khusus seperti pakar radioterapi (Radiation oncologist), pakar kemoterapi (Medical oncologist) dan kadangngkala pakar perubatan paliatif (Palliative care Physician).

5. KAUNSELING. Pakar Kanser akan memanggil pesakit dan keluarga utk menyampaikan berita dan maklumat lengkap mengenai kanser yg dihidapi. Sesi kaunseling akan dijalankan dan peskit akan terlibat di dalam menentukan kaedah rawatan yg terbaik. Pada peringkat ini keputusan muktamat mengenai kaedah rawatan akan ditentukan dan tarikh utk memulakan rawatan akan diberikan.

6. MEMULAKAN RAWATAN. Setelah selesai 5 langkah di atas dan pesakit telah diterangkan tentang rawatan yg hendak diberikan barulah rawatan kanser dimulakan. Jika pembedahan digunakan utk merawat, maka spesimen yg dibedah keluar akan dihantar ke makmal patologi utk tujuan pemeriksaan terperinci oleh pakar patologi. Maklumat ini kemudian akan dimaklumkan kpd pakar kanser dan pakar kanser akan menentukan samada rawatan pembedahan tadi sudah mencukupi. Ada dlm kalangan pesakit didapati mempunyai risiko yg lebih tinggi utk mendapat kanser berulang dan mereka ini akan disyorkan utk rawatan lanjut samada radioterapi, kemoterapi, terapi hormon ataupun terapi targeted. Rawatan tambahan ini dikenali sebagai rawatan adjuvan.

7. LAWATAN SUSULAN DAN PEMANTAUAN. Lawatan susulan adalah sgt penting lebih2 lagi utk 2 tahun pertama kerana 80% daripada kes kanser berulang berlaku ketika 2 tahun pertama selepas rawatan. Semasa rawatan dan selepas selesai rawatan kanser, pesakit akan menjalani rawatan susulan, diberi tarikh temujanji dan pada setiap lawatan susulan mereka akan dipantau untuk mengesan jika berlaku kanser berulang. Kanser yg berbeza akan menjalani pemeriksaan dan penyiasatan yg berbeza semasa lawatan susulan. Pesakit akan dipantau utk selama sekurang2nya 10 tahun sebelum dpt disahkan sembuh sepenuhnya dpd kanser.

Begitulah terperincinya kaedah pengesahan dan merawat kanser. Tidak ada jalan singkat sebelum pakar kanser membuat keputusan utk memilih kaedah rawatan yg terbaik kpd pesakit.Pakar kanser juga terdiri daripada banyak pengkhususan bergantung kepada jenis kanser yang dirawat, Pakar Kanser Ginekologi tidak boleh merawat penyakit kanser usus dan begitu juga sebaliknya. Rawatannya pula melibatkan kerjasama ataupun "teamwork" yang melibatkan banyak kepakaran lain. Keberkesanan rawatan kanser bukan sahaja ditentukan oleh tanda2 hilangnya kanser tersebut, tetapi juga selama mana pesakit itu bebas daripada kanser dan jangkahayat mereka. Rawatan kanser dianggap kurang berkesan jika tempoh bebas daripada kanser itu singkat ataupun kanser itu tidak dpt dihapuskan sepenuhnya. Pesakit yg berbeza akan memberi tindakbalas berbeza walaupun menghidap jenis kanser yg sama. Jadi mereka tidak boleh membanding2kan rawatan kanser mereka dgn pesakit lain.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md. Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah