Dato' Dr.Mohd Rushdan Md.Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Terdapat sekurang-kurangnya 5 jenis rawatan kanser
konvensional iaitu pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon
dan targeted therapy. Kadangkala pesakit perlu dirawat dengan lebih
daripada satu jenis rawatan.
Secara umumnya kaedah rawatan kanser terbahagi kepada 2 jenis utama iaitu:
(1) RAWATAN SISTEMIK (“systemic therapy”)
(2) RAWATAN SETEMPAT (“localized/regional treatment”).
Rawatan sistemik adalah kaedah rawatan yang diberikan untuk
menghapuskan kanser di seluruh badan, contohnya rawatan kemoterapi,
terapi hormon dan targeted therapy. Ianya diberikan dalam bentuk
suntikan ataupun makan. Rawatan sistemik juga boleh memberi kesan
positif ke atas kanser yg bersifat setempat. Rawatan setempat pula
adalah untuk menghapuskan kanser di tempat-tempat tertentu contohnya
melalui pembedahan mengeluarkan organ yang terlibat ataupun memberi
rawatan radioterapi kepada kawasan tertentu. Rawatan setempat tidak
merawat kanser yg terletak jauh dpd kawasan yg dirawat. Kanser yang
berbeza memerlukan rawatan yang berbeza kerana ada kanser yang lebih
berkesan dirawat dengan kemoterapi dan ada yang lebih berkesan dirawat
dengan radioterapi. Tidak kurang juga pesakit yang memerlukan lebih
daripada satu jenis rawatan.
Terdapat tiga matlamat utama rawatan kanser iaitu:
(1) MENYEMBUHKAN kanser,
(2) MEMANJANGKAN HAYAT dan
(3) MEMPERBAIKI MUTU KEHIDUPAN.
Seseorang pesakit dikatakan sembuh apabila selepas selesai
menjalani rawatan, kesemua sel-sel kanser telah dapat dihapuskan dan
beliau bebas daripada kanser untuk sekurang-kurangnya 10 tahun. Bebas
daripada kanser bermaksud tidak ada tanda-tanda kanser itu berulang
melalui pemeriksaan dan ujian2 (darah dan pengimejan) yang dilakukan
oleh pakar kanser. Matlamat kedua adalah memanjangkan hayat pesakit jika
kanser tersebut tidak dapat disembuhkan sepenuhnya. Panjangnya
jangkahayat juga dikenali sebagai “survival”. Banyak istilah-istilah
yang digunakan oleh pakar kanser untuk mengukur survival seseorang
pesakit kanser contohnya “overall survival” (OR) iaitu jangkahayat
keseluruhan pesakit yakni jangkamasa daripada dikesan menghidap kanser
sehinggalah beliau meninggal dunia. Lebih panjang OR, maka lebih
berkesan rawatan kanser tersebut. Adakalanya pakar kanser mengukur
berapa peratuskah pesakit yang masih hidup untuk jangkamasa 5 tahun,
ataupun “’5 years survival rate”. Contohnya apabila pakar kanser
mengatakan "5 years survival rate" adalah 60% ianya bermaksud selepas 5
tahun hanya 60% sahaja pesakit yang masih hidup. Banyak lagi
istilah-istilah yang digunakan oleh pakar kanser bagi merujuk kepada
keberkesanan rawatan dan istilah2 ini juga penting untuk tujuan
penyelidikan bagi membandingkan satu kaedah rawatan dengan kaedah
rawatan yang lain ataupun membandingkan ubat2 baru dengan ubat2 yang
standard.
Satu lagi matlamat rawatan kanser yang tidak kurang
pentingnya adalah untuk mengekalkan/meningkatkan kualiti kehidupan yang
baik dan ini dapat dilakukan samada dengan merawat gejala-gejala (ubat
sakit, kembong perut, sukar bernafas dll) ataupun dengan menggunakan
kaedah2 rawatan kanser yang saya sebutkan di atas. Contohnya ada pesakit
yang menghidap kanser peringkat akhir sehingga pakar kanser menganggap
kanser tersebut tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, maka apa sahaja
bentuk rawatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan gejala.
Contohnya jika pesakit mengalami kanser pangkal rahim yang merebak ke
tulang belakang sehingga beliau mengalami kesakitan dan lumpuh, maka
pakar kanser mungkin akan mengesyorkan rawatan radioterapi ke atas
tulang belakang, pada ketika ini matlamat utama rawatan yg diberikan
adalah untuk mengurangkan sakit dan dgn harapan agar kanser tersebut
tidak merebak dengan lebih cepat. Ada juga rawatan mengurangkan gejala
dengan kemoterapi untuk tujuan yang sama. Kadangkala rawatan yang
bertujuan untuk mengurangkan gejala ini dapat juga memanjangkan hayat
pesakit, walaupun kanser itu tidak dapat disembuhkan. Mutu kehidupan
juga merangkumi emosi dan psikologi pesakit kanser; pasangan dan ahli
keluarga pesakit sangat besar peranannya di dalam memberi kelegaan dari
aspek emosi dan psikologi pesakit.
Pakar kanser akan membuat pertimbangan di antara manfaat
dan mudarat sebelum sesuatu kaedah rawatan itu disyorkan kepada pesakit.
Jika pada pandangan mereka dengan memberi rawatan akan menyebabkan
pesakit lebih menderita, maka rawatan tersebut tidak akan disyorkan.
Inilah sebabnya pesakit kanser perlu dirujuk dan dirawat oleh pakar
kanser yang terlatih.
No comments:
Post a Comment