Tuesday, August 22, 2017

MENGAPA KANSER BOLEH BERULANG




Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Salah satu daripada ciri-ciri penyakit kanser adalah keupayaannya untuk berulang ataupun “relapse” walaupun ianya sudah dihapuskan sepenuhnya pada peringkat awal. Sebab itulah mencegah kanser itu lebih baik daripada merawat. Sehingga hari ini Pakar Kanser sukar untuk menjangkakan kemungkinan boleh berlakunya kanser berulang dengan tepat kerana banyak faktor yang menentukan keberangkalian kanser berulang. Pakar kanser hanya mampu untuk membuat perkiraan kasar tentang kemungkinan kanser berulang berdasarkan kepada ciri-ciri kanser dan diri pesakit kanser.
Kadar penyembuhan kanser bergantung kepada banyak perkara di antaranya adalah jenis kanser, peringkat kanser, rawatan yang diberikan dan juga faktor-faktor dalaman pesakit itu sendiri. Apabila pesakit selesai menjalani rawatan kanser, mereka akan menjalani ujian untuk menentukan keberkesanan rawatan. Jenis-jenis ujian ini bergantung kepada jenis kanser, di antaranya adalah ujian darah mengukur “tumour markers”dan ujian pengimejan seperti CT scan, MRI, PET scan dan lain-lain. Kadangkala kanser yang dihidapi oleh pesakit dapat diukur saiznya dan ini juga boleh digunakan untuk menilai keberkesanan rawatan. Apabila rawatan diberikan, Pakar Kanser ingin supaya semua sel-sel kanser dapat dihapuskan. Apabila semua sel-sel kanser dapat dihapuskan, seseorang pesakit kanser dikatakan mencapai “complete response”. Terdapat juga pesakit yang tidak semua sel-sel kansernya dapat dihapuskan, mereka dikatakan mencapai “partial response”. Jika kanser tidak menunjukkan sebarang pengurangan, keadaan ini dinamakan “stable disease” dan ada juga yang walaupun diberikan rawatan kanser, kanser mereka terus membesar dan merebak, keadaan ini dinamakan “disease progression”. Pesakit yang mengalami “disease progression” mempunyai kadar penyembuhan yang rendah dan kadar kematian yang tinggi.
Jika kanser adalah daripada jenis yang kurang ganas, berada pada peringkat awal dan rawatan yang diberikan adalah tepat, maka kanser yang dihidapi itu boleh dihapuskan sepenuhnya. Walau bagaimanapun Pakar Kanser sedar bahawa menghapuskan semua kanser bukanlah satu-satunya matlamat utama kerana walaupun sudah dihapuskan sepenuhnya, kanser itu masih berkemungkinan untuk berulang. Jarak masa daripada masa kanser dihapuskan sepenuhnya sehingga kanser itu datang semula dikenali sebagai “disease free interval (DFI)”, pakar kanser mensasarkan DFI yang panjang dan pesakit dianggap sembuh jika DFI boleh mencapai sekurang-kurangnya 10 tahun. Dua tahun pertama adalah paling kritikal sebab jika kanser tersebut berulang, 80% daripadanya berlaku ketika 2 tahun pertama.
Di antara punca-punca mengapa kanser boleh berulang adalah kerana:
1. Kanser tersebut daripada jenis yang ganas
2. Kanser dikesan lambat dan berada pada peringkat yang lewat
3. Lambat mendapatkan rawatan kanser. Terdapat pesakit yang mendapatkan rawatan kanser daripada pengamal2 perubatan alternatif sehingga lambat mendapatkan rawatan kanser oleh pakar kanser
4. Kaedah rawatan yang diberikan tidak tepat ataupun dos yang tidak mencukupi. Inilah kepakaran yang ada kepada pakar kanser berbanding dengan doktor-doktor yang tidak terlatih di dalam rawatan kanser.
5. Rawatan yang tersekat-sekat disebabkan oleh factor pesakit yang tidak dapat meneruskan rawatan ataupun mengalami kesan sampingan yang serius sehingga jadual rawatan terpaksa dipinda. Pendek kata apa sahaja yang boleh mengganggu perjalanan rawatan kanser boleh menyumbang kepada kurangnya keberkesanan merawat kanser.
6. Pesakit tidak meneruskan rawatan ataupun menghilangkan diri untuk jangkamasa yang panjang semasa diberikan rawatan. Ada pesakit yang beraleh kepada rawatan alternatif kerana ingin mencuba cara rawatan yang lain. Ini boleh menyebabkan pesakit mengalami kerintangan ubat kemo (“chemoresistant”).
7. Pesakit yang mengalami kekurangan zat makanan dan mineral sehingga menyebabkan rawatan tertangguh. Pesakit yang berpantang secara melampau, kurang mengambil air dan mengalami masalah penghadaman boleh mengalami masalah ini.
8. Pesakit mengambil ubat-ubatan lain tanpa pengetahuan pakar kanser di mana ubat-ubatan itu boleh mengurangkan keberkesanan rawatan moden yang diberikan. Ubat-ubatan itu mungkin boleh berinteraksi dengan ubat kemoterapi ataupun terapi hormone yang diberikan. Ubat2 ini termasuk ubat2 herba dan tradisional. Tambahan pula pada hari ini, ubat2 ini telah dimasukkan dengan pelbagai jenis bahan2 lain termasuk racun berjadual.
9. Pakar kanser percaya bahawa mengambil antioksidan dalam bentuk suplemen boleh menjadi serampang dua mata semasa rawatan kanser kerana badan manusia memerlukan keseimbangan di antara antioksidan dan radikal bebas. Radikal bebas mempunyai manfaat jika kandungannya sederhana kerana ia boleh menghapuskan sel-sel rosak dan sel-sel yang tidak normal termasuk sel-sel kanser. Apabila antioksidan diambil, ia akan meneutralisasikan/menyahaktifkan radikal bebas dan ini memberi kesan negative terhadap peranannya untuk menghapuskan sel-sel yang tidak normal. Pakar kanser tidak mengesyorkan pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen oleh pesakit kanser terutama ketika rawatan diberikan ataupun jika kanser tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
10. Pakar kanser percaya pesakit yang berfikiran positif, bermotivasi tinggi, melakukan senaman secara tetap dan mendapatkan berat badan yang ideal mempunyai kesan ke atas tahap ketahanan badan, mengurangkan stress dan ini dapat meningkatkan kekuatan badan melawan kanser dan mungkin boleh membantu mengurangkan kadar kejadian kanser berulang.
11. Kegemukan boleh meningkatkan kadar kejadian kanser berulang ke atas pesakit-pesakit kanser tertentu terutama kanser-kanser yang diransang oleh hormon. Walaupun hasil kajian berbeza2, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan terdapat kaitan di antara kegemukan dengan kadar kematian kanser yang lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, usus besar dan kanser prostat.
12. Pesakit kanser yang mengalami masalah kelemahan system pertahanan badan (immunodeficiency) contohnya yang mengalami AIDs, mengambil ubat perencat system imun (immunosuppressive drug) lebih sukar dirawat dan kadar penyembuhan serta kejadian kanser berulang yang lebih tinggi. Ini juga mungkin dikaitkan dengan kecenderungan pesakit2 ini untuk menghidap kanser daripada jenis yang agresif.
13. Pendedahan kepada punca kanser yang berterusan. Kecuali jika punca kanser itu diketahui, terdapat banyak jenis kanser yang tidak diketahui punca sebenarnya jadi pesakit tidak ada kaedah bagaimana untuk menghindarkan diri daripada punca tersebut. Mungkin juga kelainan baka dan protin yang mengawal pembiakan sel berlaku secara berulangkali.
Walaupun tidak dapat disahkan kebenarannya, faktor psikologi pesakit mempunyai peranan di dalam meningkatkan keberkesanan rawatan dan kekuatan untuk melawan kanser. Pesakit yang mempunyai kekuatan mental yang kuat, positif dan tidak terlalu tertekan (termasuk yang mendapat sokongan baik daripada ahli keluarga) dapat melawan kanser dengan lebih berkesan berbanding dengan pesakit yang lemah semangat, berputus asa dan di dalam keadaan tekanan perasaan yang serius.
Ramai juga yang mengalami kanser berulang tanpa dikesan puncanya yang sebenar. Menangani faktor-faktor di atas dapat mengurangkan kadar kanser berulang tetapi tidak ada jaminan 100% yang ianya akan berkesan sepenuhnya sebab itu penyakit kanser lebih baik dicegah daripada dirawat. Penyelidikan masih dijalankan oleh ahli-ahli sains di dalam mencari kaedah pencegahan dan rawatan kanser yang lebih berkesan.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

No comments:

Post a Comment