Saturday, August 27, 2016

NANOKNIFE DAN RAWATAN KANSER

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG (UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah

PENDAHULUAN

Kanser adalah salah satu penyakit kronik yang paling ditakuti oleh manusia. Kadar kejadian penyakit kanser meningkat setiap tahun dan kematian akibat kanser adalah lebih tinggi di negara-negara kurang maju disebabkan oleh pengesanan yang lewat dan kaedah rawatan yang belum sempurna. Di negara-negara maju, walaupun kadar penyakit kansernya tinggi, disebabkan oleh kaedah pengesanan yang lebih awal dan rawatan yang lebih berkesan, kadar kematian akibat kanser di negara-negara ini lebih rendah. Mengikut ramalan lapuran kanser dunia, kadar kejadian kanser di negara-negara yang kurang maju akan menunjukkan peningkatan di mana pada tahun 2008, 56% jumlah kanser junia adalah dikesan dari negara-negara kurang maju, tetapi pada tahun 2050, peratusan ini dianggarkan meningkat kepada 61%.

KANSER DAN RAWATAN KANSER

Kanser adalah penyakit kronik yang disebabkan oleh pelbagai faktor. Dikatakan terdapat lebih 200 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia pada hari ini. Hampir setiap sel dari setiap organ badan manusia boleh bertukar menjadi kanser jika ianya terdedah kepada punca kanser. Setiap jenis kanser mempunyai ciri-ciri yang berbeza bukan sahaja dari segi sifat kanser itu merebak tetapi juga berbeza dari segi sejauh mana ganasnya kanser tersebut. Faktor yang menjadi penyebab terjadinya kanser dinamakan karsinogen. Karsinogen boleh wujud di dalam pelbagai bentuk seperti bahan kimia tertentu, organisma seperti virus dan bakteria, radiasi dan ada juga yang mengaitkannya dengan keradangan kronik. Apa yang karsinogen ini lakukan adalah menyebabkan berlakunya mutase ataupun kelainan kepada bahan genetic yang terdapat di dalam sel-sel yang diserang. Bahan genetic tersebut penting untuk mengawal pembahagian sel dan apabila ianya rosak, proses pembahagian sel menjadi tidak terkawal dan lama kelamaan sel-sel tersebut akan bertukar menjadi sel kanser. Kelainan genetic ini boleh juga diturunkan kepada anak-anak tetapi hanya 10-15% daripada kanser yang dihidapi oleh manusia disebabkan oleh faktor keturunan ini. Selebihnya, kanser disebabkan oleh faktor luaran ataupun dalaman yang boleh menyerang sesiapa sahaja walaupun seseorang itu tidak mempunyai faktor keturunan yang disebutkan tadi.

Seperti yang disebutkan tadi, terdapat banyak jenis kanser yang mempunyai sifat yang berbeza dan perlu dirawat dengan kaedah yang berbeza. Melalui kaedah perubatan moden rawatan kanser terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, rawatan hormone, rawatan “targeted therapy” dan rawatan imun (immunotherapy). Kanser yang berbeza memerlukan kaedah rawatan yang berbeza, malahan jika rawatan kemoterapi digunakan, jenis agen antikanser yang akan dipilih juga mungkin berbeza. Jenis rawatan yang akan dipilih bergantung kepada beberapa faktor iaitu jenis kanser, peringkat kanser dan juga tahap keganasan kanser tersebut. Jenis rawatan kanser juga bergantung kepada kekuatan badan pesakit dan juga samada pesakit sudah pernah menerima rawatan sebelum ini.

Apabila menentukan jenis rawatan kanser, pakar kanser akan terlebih dahulu menentukan jenis, peringkat dan juga sejauh mana kanser tersebut sudah merebak. Kanser boleh merebak ke seluruh badan dan kadangkala kanser itu terlalu kecil untuk dikesan dengan kaedah pengesanan yang ada pada hari ini. Jadi kanser boleh wujud di dalam dua keadaan, iaitu 1. Setempat (“localized disease”) dan 2. Sudah merebak ke merata tempat (“systemic disease”). Apabila kanser tersebut berada di satu tempat sahaja, ianya dikatakan setempat ataupun localized dan rawatan kanser seumpama ini boleh dilakukan melalui semua kaedah rawatan yang dinyatakan. Kebanyakan kanser setempat akan ditangani dengan kaedah pembedahan ataupun rawatan radioterapi. Apabila kanser sudah merebak di banyak tempat, kemungkinan besar rawatan pembedahan dan radioterapi tidak boleh dilakukan ataupun tidak mampu untuk merawat kerana terlalu banyak bahagian badan yang terlibat. Di dalam keadaan ini, pesakit perlu menerima rawatan sistemik ataupun rawatan yang boleh dibawah ke seluruh badan dan dapat mematikan sel-sel kanser di mana sahaja ianya berada. Di antara kaedah rawatan sistemik yang paling kerap digunakan adalah rawatan kemoterapi. Lain-lain bentuk rawatan sistemik untuk merawat kanser adalah rawatan hormone, rawatan "targeted therapy" dan rawatan baru yang sedang dikaji iaitu rawatan imun ataupun immunotherapy. Di samping itu pembaca juga perlu faham bahawa kanser yang berbeza mempunyai tindakbalas yang berbeza ke atas rawatan kanser yang berbeza. Ada kanser yang lebih berkesan dirawat dengan rawatan kemoterapi daripada radioterapi ataupun pembedahan. Ada juga kanser yang lebih berkesan dirawat dengan kaedah pembedahan daripada rawatan kemoterapi dan seterusnya.

Seperti yang dinyatakan tadi, bukan satu perkara yang mudah untuk mengesan kanser yang sudah merebak ke merata tempat lebih-lebih lagi jika ianya masih kecil. Jadi untuk tujuan merawat kanser yang sudah merebak ke bahagian lain badan, di samping rawatan setempat  dengan pembedahan ataupun radioterapi, Pakar kanser juga perlu memberi rawatan sistemik seperti kemoterapi. Rawatan sistemik yang diberikan kepada pesakit seumpama ini dinamakan kemoterapi adjuvant. Pemberian kemoterapi ini akan merawat kanser-kanser yang sudah merebak samada yang boleh dikesan ataupun tidak, dengan rawatan ini maka kadar kejadian semula kanser akan dapat dikurangkan dan kemungkinan untuk sembuh akan dapat ditingkatkan.

BAGAIMANA MENGUJI KEBERKESANAN RAWATAN KANSER

Kaedah menentukan keberkesanan rawatan kanser tidak banyak berbeza dengan kaedah menguji keberkesanan kaedah rawatan-rawatan lain yang mempunyai fasa pra-klinikal, fasa 1, fasa 2, fasa 3 dan fasa 4. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam apakah fasa-fasa ini sila rujuk tulisan saya yang terdahulu di pautan ini. Untuk menguji keberkesanan kaedah rawatan kanser, di samping melalui fasa-fasa yang disebutkan tadi, penyelidik bukan sahaja perlu menentukan keberkesanan  kaedah rawatan tersebut tetapi juga perlu mengkaji samada dengan rawatan tersebut, kadar kejadian semula kanser dapat dikurangkan dan jangkahayat pesakit dapat dipanjangkan. Memang sudah diketahui umum bahawa kanser boleh datang kembali walaupun kanser asal sudah dibuang keseluruhannya. Tidak guna mempunyai kaedah rawatan kanser yang hanya berkesan membuang ataupun mematikan sel-sel kanser pada masa rawatan sahaja tetapi tidak dapat mengurangkan kadar kejadian semula dan memanjangkan hayat pesakit. Pendek kata, kajian keberkesanan rawatan kanser adalah lebih mendalam dan jangkamasa kajian tentu sekali lebih panjang.

NANOKNIFE ATAUPUN “IRREVERSIBLE ELECTROPORATION (IRE)”

Dengan perkembangan teknologi sains perubatan yang semakin pesat, terdapat banyak kajian dan percubaan telah dilakukan untuk mencari kaedah rawatan kanser yang terbaik. Ahli sains mengkaji bagaimana supaya kanser yang masih belum merebak dapat dikeluarkan keseluruhannya tanpa memudaratkan pesakit. Mereka juga tidak berhenti mencari kaedah rawatan sistemik yang dapat membunuh sel-sel kanser dengan berkesan di samping dapat meminimakan kesan sampingan kepada sel-sel normal pesakit.

Apabila kanser masih berada di satu tempat dan belum merebak, ianya boleh dirawat dengan pembedahan ataupun rawatan radioterapi. Rawatan setempat yang berkesan akan dapat mengurangkan kadar kejadian semula kanser dan memanjangkan hayat pesakit. Sehingga ke hari ini terdapat beberapa kaedah alternative yang telah dikaji oleh ahli sains untuk merawat kanser setempat selain dari pembedahan dan radioterapi seperti “radiofrequency ablation”, “microwave ablation”, dan “cryoablation”. Walaupun kaedah-kaedah ini berkesan tetapi ianya masih belum dapat dijadikan pilihan yang lebih baik dari kaedah konvensional kerana kelemahannya memerlukan tenaga haba dan menyebabkan kematian sel-sel yang normal, di samping proses pemulihan yang perlahan. Salah satu lagi kaedah yang sedang dikaji sebagai kaedah rawatan kanser setempat dinamakan kaedah Nanoknife. Dengan rawatan pembedahan dan radioterapi ataupun kaedah-kaedah alternative yang disebutkan tadi, ada setengah kanser yang sukar dihapuskan sepenuhnya disebabkan oleh kedudukannya yang dekat dengan organ penting dan merbahaya. Apa yang agak istimewa tentang Nanoknife adalah  ianya tidak menggunakan tenaga haba (“thermal energy”) dari arus elektrik, tetapi menggunakan tenaga elektrik yang diberikan secara khusus sehingga menyebabkan sel kanser yang disasarkan mati secara semulajadi ataupun dikenali sebagai apoptosis (melalui pembentukan liang ataupun rongga kecil pada selaput sel kanser) tanpa memberi kesan negatif kepada sel-sel di sekeliling, matrik ektraselular, saluran darah dan lain-lain struktur berdekatan, di samping membenarkan tisu normal pulih dengan cepat.

Perkataan “nano” di dalam nama “Nanoknife” merujuk kepada saiz lubang yang dihasilkan pada dinding sel-sel apabila dikenakan medan elektrik yang kuat. Proses penghasilan liang-liang ini dikenali sebagai “Electroporation”. Apabila liang-liang ini dihasilkan, maka ia meningkatkan keporosan sel dan akibatnya boleh menganggu proses homeostasis di dalam sel. Proses ini boleh berlaku secara kekal ataupun sementara. Apabila ianya berlaku secara sementara ia dikenali sebagai “reversible electroporation” dan jika ianya kekal (jika aliran elektrik lebih tinggi dikenakan) dan menyebabkan kematian sel, ianya dikenali sebagai “irreversible electroporation”.  Kaedah Electroporation telah digunakan semenjak 30 tahun yang lalu tetapi pada awalnya menggunakan kaedah reversible electroporation  untuk  banyak kegunaan perubatan seperti memindahkan gen ke dalam sel untuk merawat gen (electrochemotherapy) dan memasukkan ubat antikanser ke dalam sel (electrochemotherapy).

Penggunaan Nanoknife untuk membunuh sel kanser melalui kaedah “irreversible electroporation” mula dilapurkan kejayaan penggunaanya ke atas manusia lebih kurang 6 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2010 oleh Pech et al.(1) Alat ini menggunakan generator yang mampu mengalirkan aliran elektrik secara denyutan (pulses) yang mengubah potensi transmembrane pada selaput sel dan mengakibatkan gangguan kepada lapisan lemak dan mengwujudkan liang-liang bersaiz nano pada selaput sel. Ini mengakibatkan selaput sel menjadi poros dan kemudiannya sel-sel ini akan mati. Hasilnya adalah kematian sel-sel yang disasarkan melalui proses apoptosis (sama seperti kematian sel badan secara semulajadi) dan meninggalkan sempadan yang jelas di antara kawasan sel yang mati dengan sel-sel yang hidup. Apabila sel-sel ini dimatikan melalui proses apoptosis, di samping kesan minima ke atas matrik sel dan sel-sel normal di sekelilingnya, proses penyembuhan ataupun pemulihan boleh berlaku dengan lebih cepat selepas rawatan, dikatakan proses pemulihan itu mula berlaku seawal 24 jam selepas rawatan berbanding dengan kaedah penghapusan lain menggunakan tenaga haba. Satu lagi ciri-ciri Nanoknife berbanding dengan kaedah penggunaan tenaga haba yang lain adalah kesannya tidak dipengaruhi oleh pengurangan haba (“cooling effect”) ataupun penyejukan yang diakibatkan oleh aliran darah di kawasan yang dirawat. Jika kanser tersebut mempunyai saluran darah yang banyak ataupun berdekatan dengan salur darah besar, walaupun berlaku proses penyejukan, keberkesanan Nanoknife tidak terjejas, berbeza dengan kaedah lain yang disebutkan. Jadi Nanoknife dapat menghapuskan sel-sel kanser walaupun di kawasan yang mempunyia banyak salur darah. Kesan memusnahkan sel kanser oleh Nanoknife juga dapat dilihat melalui pemerhatian real time sebelum, semasa dan selepas rawatan dilakukan.

Mesin Nanoknife yang pertama digunakan ke atas manusia dilapurkan oleh Bertacchini et al pada tahun 2007 (2). FDA telah meluluskan penggunaan Nanoknife untuk tujuan rawatan pada bulan Oktober 2011. Untuk sasaran isipadu kanser yang bersaiz 50 – 70 cm padu, generator perlu menghasilkan denyutan arus elektrik sehingga 3000 volt dan arus elektrik sehingga 50 A. Mesin Nanoknife ini mengandungi dua komponen utama iaitu satu Generator dan “electrode probes”. Electrode probe berbentuk jarum sepanjang 15cm dan dimasukkan ke kawasan di mana terletakkan kanser yang hendak dirawat. Bilangan probe yang hendak digunakan bergantung kepada saiz kanser yang hendak dimusnahkan. Probe ini dapat dimasukkan melalui panduan ultrasound ataupun CT scan, jadi ianya adalah salah satu kaedah prosedur “minimally invasive”. Untuk meminimakan berlakunya gangguan denyutan jantung akibat aliran elektrik dari alat ini, aliran elektrik dari generator perlu disinkronikan dengan ketika masa refrektori kitaran jantung menggunakan alat ECG synchronizer. Jika ini tidak dilakukan, medan elektrik yang dihasilkan boleh mengganggu aliran elektrik pada jantung dan menyebabkan “arrhythmia” ataupun denyutan jantung yang tidak menentu. Jangkamasa rawatan adalah singkat iaitu hanya beberapa minit sahaja. Disebabkan rawatan ini memerlukan pesakit tidak bergerak, pesakit perlu diberi bius umum dan ubat perencat pengecutan otot (muscle relaxant). Penambahbaikan alat ini dilakukan dari masa kesemasa dan mungkin satu hari nanti pesakit tidak perlu dibius ataupun diberikan ubat perencat pengecutan otot (muscle relaxant).

Menyediakan rawatan Nanoknife memerlukan kepakaran dan perancangan teliti kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mengenalpasti tempat dan saiz kawasan yang hendak dirawat, di samping memerlukan pengiraan matematik yang kompleks mengukur arus elektrik yang hendak digunakan sehingga berkesan mematikan sel-sel kanser. Jika sasaran tidak tepat dan medan elektrik yang dikenakan tidak mencukupi, ada kemungkinan proses mematikan sel-sel yang disasarkan tidak dapat berlaku sepenuhnya. Di samping itu keberkesanan aplikasi kaedah ini terutamanya medan elektrik yang dihasilkan sangat bergantung kepada konduktiviti di sekeliling, kehadiran logam contohnya stent di dalam saluran pundi hempedu akan menyebabkan taburan tenaga elektrik yang tidak serata. Zon pemusnahan juga boleh menjadi tidak sekata dengan kehadiran air kencing di pundi kencing kerana air kencing boleh memberi konduktiviti arus elektrik yang tinggi. Rawatan ini selalunya diberikan oleh Pakar Radiologi yang terlatih dikenali “Interventional Radiologist” bersama dengan Pakar Onkologi. Jadi keberkesanan rawatan dengan menggunakan kaedah Nanoknife ini bergantung kepada banyak faktor.

KAJIAN DAN APLIKASI NANOKNIFE

Seperti yang dinyatakan tadi, Nanoknife adalah satu kaedah merawat kanser setempat yang dikategorikan sebagai rawatan ablative setempat (“local ablative therapy”) iaitu memusnahkan kanser yang belum merebak ke tempat lain. Ia tidak boleh digunakan untuk merawat kanser yang sudah merebak ke banyak tempat. Potensi Nanoknife untuk menjadi kaedah merawat kanser setempat adalah besar berdasarkan kepada hasil kajian dan juga aplikasi awal pakar kanser. Walau bagaimanapun, persoalannya adakah rawatan ini berkesan mengurangkan kadar kejadian kanser dan memanjangkan hayat pesakit? Perlu juga diingatkan bahawa walaupun rawatan Nanoknife ini telah diberikan, pesakit masih memerlukan rawatan lain seperti kemoterapi ataupun radioterapi bergantung kepada jenis kanser yang .
  1. Rawatan Kanser Hepar (Hati). Kajian praklinikal ke atas arnab menunjukkan bahawa Nanoknife dapat memusnahkan kanser hati tanpa komplikasi (3). Kajian klinikal ke atas pesakit telah dijalankan tetapi bilangan pesakit adalah terhad dan kajian retrospektif menunjukkan bahawa Nanoknife dapat merawat kanser hati walaupun terletak berdekatan dengan vena hepatic major yang sukar dirawat dengan kaedah konvensional. Walaupun ianya berkesan memusnahkan kanser tetapi selepas 12 bulan, hampir 60% mendapat kanser semula, kadar kejadian kanser datang semula bergantung kepada saiz tumour, kanser yang bersaiz melebihi 4 cm mempunyai kadar kejadian semula yang tinggi.
  2. Rawatan Kanser Pankreas. Kajian prospektif ke atas 27 pesakit yang mengalami kanser pancreas setempat tetapi tidak dapat dirawat dengan pembedahan telah dilakukan, terdapat satu kematian tetapi baki pesakit tidak mendapat komplikasi serius selepas rawatan. Banyak lagi kajian yang melibatkan kanser pancreas yang tidak dapat dirawat dengan kaedah konvensional menunjukkan keberkesanan kaedah rawatan ini walaupun pesakit-pesakit ini juga memerlukan rawatan kemoterapi dan/atau radioterapi. Walaupun bilangan pesakit yang terlibat masih kecil tetapi ada petanda awal bahawa kaedah rawatan dengan Nanoknife ini dapat memanjangkan hayat pesakit 7 bulan lebih panjang dari menggunakan kaedah konvensional.(4)
  3. Rawatan Kanser Paru-Paru. Rawatan mengeluarkan kanser paru-paru pada bahagian mediastinum berdekatan dengan jantung adalah berisiko tinggi jika menggunakan kaedah konvensional. Kaedah konvensional juga berpotensi merosakkan tisu paru-paru, saluran pernafasan dan jantung. Bilangan kes kanser paru-paru yang dirawat dengan Nanoknife adalah terlalu terhad dan ianya hanyalah “case reports” dan hasilnya sukar untuk dibuat kesimpulan walaupun berjaya dilakukan ke atas sekumpulan kecil pesakit tanpa mengalami komplikasi.
  4. Rawatan Kanser Buah Pinggang. Kajian hanya terhad ke atas haiwan iaitu kajian praklinikal. Belum ada aplikasi Nanoknife ke atas manusia yang menghidap kanser buah pinggang.
  5. Kanser Usus. Kajian ke atas haiwan menunjukkan Nanoknife dapat memusnahkan kanser yang terletak di sekeliling usus tanpa kecederaan serius ke atas dinding usus.
  6. Kanser Otak. Kajian ke atas haiwan iaitu kucing dan anjing menunjukkan potensi Nanoknife untuk merawat kanser otak.
  7. Kanser Payudara. Sel kanser dari manusia dipindahkan ke atas tikus betina dan menunjukkan potensi Nanoknife untuk merawat kanser payudara setempat satu hari nanti.
  8. Kanser Serviks. Kajian makmal ke atas sel-sel kanser serviks dilakukan dan menunjukkan hasil yang positif kerana kaedah Nanoknife dapat mematikan sel kanser.
  9. Kanser Prostat. Kajian haiwan dengan mengenakan Nanoknife ke atas prostat anjing yang normal mendapati ianya mampu memusnahkan prostat tanpa mencederakan struktur-struktur di sekelilingnya seperti uretra dan saluran darah. Nanoknife juga digunakan ke atas sel-sel kanser prostate di dalam makmal dan ahli sains dapat mengenalpasti kekuatan aliran elektrik yang diperlukan untuk mematikan sel-sel kanser prostat.
  10. Sarkoma. Nanoknife hanya digunakan ke atas tikus di dalam kajian makmal.Nanoknife didapati dapat mematikan sel-sel kanser jenis sarcoma yang dipindahkan kepada tikus.







KESAN SAMPINGAN NANOKNIFE

Berbanding dengan kaedah “local ablative therapy” yang lain, Nanoknife bolehlah dikatakan mempunyai kadar kesan sampingan yang lebih kecil jika dilakukan oleh pakar yang terlatih. Kajian sistemik menunjukkan bahawa kadar komplikasi yang dikaitkan secara langsung dengan Nanoknife adalah 13% dengan kadar kematian 2% (6). Kesan sampingan yang paling kerap direkodkan adalah radang pancreas (pancreatitis), pneumothorax (angin di dalam rongga dada), darah beku pada bahagian suntikan probe, sakit perut, kebocoran hempedu, kebocoran pancreas, luka pada duodenum dan darah beku dalam saluran vena. Jika prosedur ini dilakukan oleh doktor yang kurang berkemahiran, rawatan yang diberikan mungkin tidak lengkap dan kanser tidak dapat dimusnahkan keseluruhannya.

KESIMPULAN

Kanser adalah penyakit kronik yang memerlukan kepakaran tinggi untuk merawatnya. Sehingga ke hari ini kaedah rawatan kanser konvensional terdiri dari beberapa jenis seperti pembedahan, radioterapi, kemoterapi, hormonal terapi dan targeted terapi. Terdapat lebih 200 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia dan setiap kanser mempunyai ciri-ciri dan kaedah rawatan yang mungkin berbeza. Kaedah rawatan bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser dan sejauh mana kanser tersebut telah merebak. Kanser yang masih belum merebak dapat dirawat dengan kaedah pembedahan ataupun rawatan radioterapi, manakala kanser yang sudah merebak ke banyak tempat memerlukan rawatan sistemik seperti kemoterapi, terapi hormone ataupun terapi targeted. Kanser yang masih belum merebak ke merata tempat dinamakan kanser setempat. Kanser setempat boleh juga dimusnahkan dengan kaedah-kaedah lain selain dari pembedahan dan radioterapi. Kaedah-kaedah memusnahkan kanser setempat ini dapat dilakukan dengan kaedah menggunakan tenaga haba samada haba yang panas ataupun menggunakan sejukbeku. Kaedah menggunakan tenaga haba ini mempunyai kekurangannya iaitu ia menyebabkan kecederaan ke atas sel-sel dan tisu-tisu di sekeliling di samping proses penyembuhan ataupun pemulihan yang perlahan. Kaedah yang terbaru dikategorikan sebagai rawatan setempat kanser adalah Irreversible Electroporation ataupun dikenali sebagai Nanoknife. Setakat ini dua jenis kanser yang sering dikaitkan dengan rawatan Nanoknife adalah kanser Hepar (hati) dan Kanser Pancreas, walaupun ianya boleh juga digunakan ke atas sebarang jenis kanser. Nanoknife menggunakan kaedah medan elektrik kuat yang menyebabkan wujudnya liang-liang kecil bersaiz nano di selaput sel kanser sehingga sel-sel ini boleh mati. Kelebihan Nanoknife adalah kemampuan menyebabkan kematian sel kanser secara apoptosis (semulajadi) tanpa kecederaan ataupun kematian sel-sel serta tisu-tisu berdekatan, di samping proses pemulihan yang lebih cepat. Jangka masa rawatan menggunakan Nanoknife ini juga singkat dan kesannya dapat dilihat secepat 24 jam selepas rawatan dilakukan. Di sebabkan oleh kaedah ini masih dianggap baru, maka aplikasinya hanya terhad ke atas kanser setempat yang sukar ataupun tidak dapat dirawat dengan kaedah rawatan konvensional. Di samping itu, di dalam banyak keadaan kaedah ini perlu digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti kemoterapi ataupun radioterapi untuk meningkatkan keberkesanan. Bukti-bukti keberkesanannya terutama dari aspek jangkahayat pula masih lagi belum mencukupi kerana belum ada kajian prospektif control trial yang besar dilakukan ke atas manusia. Setakat ini bukti keberkesanannya hanya berasaskan kepada kajian ke atas haiwan, aplikasi ke atas beberapa orang pesakit (“case reports”) dan kajian-kajian yang menggunakan bilangan sampel yang kecil. Di samping itu, protokol rawatan menggunakan Nanoknife ini memerlukan ketelitian dan kepakaran tinggi bagi menentukan kekuatan medan elektrik yang perlu digunakan, bilangan probe yang perlu digunakan, merancang sasaran untuk dirawat, jangkamasa rawatan dan juga pemantauan pesakit. Potensi penggunaan Nanoknife sebagai alternatif kepada kaedah-kaedah konvensional merawat kanser setempat (yang belum merebak) adalah besar dan kita berharap kaedah rawatan ini dapat diperbaiki serta lebih banyak kajian-kajian dilakukan untuk melihat kesan kaedah ini di dalam mengurangkan kadar kejadian kanser berulang dan memanjangkan hayat pesakit. Sehingga rencana ini ditulis, Nanoknife masih dianggap kaedah yang sedang dikaji dan digunakan ke atas pesakit yang tidak boleh dirawat dengan kaedah konvensional. Ianya juga tidak dapat merawat kanser yang sudah merebak ke merata tempat. Jadi Nanoknife belum lagi dapat menggantikan kaedah rawatan kanser konvensional sebagai rawatan standard (pilihan pertama).

RUJUKAN

1.Pech M, Janitzky A, Wendler JJ, et al. Irreversible electroporation of renal cell carcinoma: a first in man phase 1 clinical study. Cardiovasc Intervent Radio, 2011;34:132-8.
2.Bertacchini C, Margotti PM, Bergamini E, et al. Design of an irreversible electroporation system for clinical use. Technol Cancer Res Treat, 2007;6:313-20
3. Lee EW, Wong D, Tafti BA, et al.Irreversible electroporation in eradication of rabbit VX2 liver tumour. J Vasc Interv Radiol, 2012;23:833-40
4. Martin End RC McFarland, Ellis S, et al. Irreversible electroporation in locally advanced pancreatic cancer: potential improved overall survival. Ann Surg Oncol, 2013;20(Suppl.3):S443-9
5.S. J. E. Rombouts, J. A. Vogel, H. C. van Santvoort et al., “Systematic review of innovative ablative therapies for the treatment of locally advanced pancreatic cancer,” British Journal of Surgery, vol. 102, no. 3, pp. 182–193, 2015.
6. Jourabchi N, Beroukhim K, Tafti BA, et al. Review Article. Irreversible electroporation (Nanoknife) in cancer treatment. Gastrointest Interv, 2014;3:8-18.
7. Silk M, Tahour D, Srimathveeravalli G, et al. The state of Irreversible Electroporation in Interventional Oncology. Semin Intervent Radiol, 2014;31:111-117
8. Paiella S, Salvia R, Ramera M, et al. Review Article. Local Ablative Strategies for Ductal Pancreatic Cancer (Radiofrequency Ablation, Irreversible Electroporation): A Review. Gastroenterology Research and Practice, Volume 2016 (2016), Article ID 4508376, 10 pages http://dx.doi.org/10.1155/2016/4508376

https://en.wikipedia.org/wiki/Irreversible_electroporation

VIDEO MENGENAI NANOKNIFE



RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL BAHAN DI DALAM RENCANA INI UNTUK APA SAHAJA TUJUAN TANPA MENDAPAT KEBENARAN DARI PENULIS.

Monday, August 22, 2016

LAETRILE - VITAMIN B17 DAN ANTI-KANSER: MITOS ATAU REALITI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
DSDK.,SDK.,AMK.,BCK
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G, Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah.

SEJARAH LAETRILE

Dakwaan Laetrile ataupun Amygdalin ataupun ada yang memanggilnya vitamin B17 dengan rawatan kanser bukanlah perkara baru. Dikatakan bahawa kompoun ini ditemui semenjak tahun 1830. Pertama kalinya digunakan di Rusia sebagai bahan antikanser. Rekod pertama penggunaan bahan ini di Amerika Syarikat adalah pada tahun 1920 an. Pada tahun 1920an, Dr. Ernst T.Krebs Sr (Ahli Kimia) mengemukakan teori bagaimana Amygdalin boleh membunuh sel kanser. Teori beliau tidak konsisten dengan fakta biokimia dan semenjak itu telah menjalani pengubahsuaian sekurang-kurangnya  dua kali oleh anak beliau yang bernama Ernst T.Kreb Jr. Dr.Ernst T. Krebs Sr pada mulanya menggunakan ekstrak biji aprikot yang diberikan secara makan untuk tujuan ubat tetapi beliau dapati ianya terlalu toksik kepada manusia kerana ia mengandungi Amygdalin yang boleh ditukarkan oleh bakteria di dalam usus kepada sianida. Kemudiannya anak beliau telah mendakwa berjaya menghasilkan satu bentuk amygdalin yang kurang toksik dikenali sebagai Laetrile. Penyelidikan yang besar telah dilakukan oleh ahli sains kanser untuk menguji samada Laetrile dapat merawat kanser. Banyak kajian ke atas haiwan dalam tahun 1970an menunjukkan tidak ada unsur antikanser daripada Laetrile, walaupun bahan ini digunakan oleh lebih 70,000 orang di Amerika pada tahun 1978, samada secara bersendirian ataupun bersama dengan rawatan metabolik. Semakan ke atas rekod perubatan pesakit yang didakwa menggunakan Laetrile untuk merawat kanser mereka mendapati tidak ada cukup bukti keberkesanan Laetrile. Hampir semua pesakit pernah menerima rawatan konvensional kanser semasa mencuba Laetrile. Malahan terdapat banyak kes keracunan sianida yang dilapurkan di dalam terbitan jurnal yang dikaitkan dengan pengambilan laetrile. Rencana ini akan menerangkan dengan jelas tentang hakikat laetrile ataupun Amygdalin ini dari perspektif perubatan moden.

APAKAH LAETRILE, AMYGDALIN DAN VITAMIN B17

Perkataan Laetrile adalah daripada kombinasi dua perkataan iaitu “laevorotatory dan mandelonitrile”. Ianya adalah bahan kimia yang ditulinkan daripada kompaun yang dikenali sebagai amygdalin. Amygdalin pula adalah kompoun yang ditemui di dalam biji apricot,almond/badam dan buah plum. Ianya juga boleh ditemui di dalam tumbuhan lain seperti kacang lima (lima beans), semanggi dan sekoi. Jadi Amygdalin adalah kompoun asal yang diperolehi dari tumbuhan yang juga dikenali sebagai cyanogenic glucoside iaitu bahan yang mengandungi sejenis gula dan boleh dimetabolismakan kepada sianida (asid hidrosianida). Seperti yang dinyatakan di atas, perkataan Laetrile sebenarnya dicipta oleh anak kepada Dr.Ernst T. Krebs yang mendakwa dapat menghasilkan bentuk Amygdalin yang kurang toksik. Di dalam amygdalin asli, 2 molekul glukos digabungkan dengan kompoun mandelonitrile, manakala kompoun yang dihasilkan oleh Dr.Ernst T.Krebs Junior hanya mengandungi satu molekul gula (dinamakan Laetrile). Di samping itu ikatan kimia gula tersebut berbeza di antara amygdalin asal dan laetrile. Walau bagaimanapun, hakikatnya ahli sains telah mendapati bahawa label Laetrile yang digunakan di dalam produk yang dipasarkan hari ini dan diberikan kepada pesakit sebenarnya adalah Amygdalin. Pada hari ini terdapat dua jenis Laetrile iaitu yang dipatenkan, satu dihasilkan di Amerika Syarikat yang mempunyai nama kimia mandelonitrile-beta-glucuronide (semi-sintetik) dan satu lagi Laetrile yang dihasilkan di Mexico dengan nama kimia mandelonitrile beta-D-gentiobioside yang dihasilkan dari biji aprikot yang dihancurkan. Mandelonitrile dimetabolismakan kepada sianida ( dalam bentuk asid hidrosianida) dan inilah yang didakwa mengandungi ciri-ciri antikanser utama, walaupun terdapat dua lagi bahan hasil pemecahan amygdalin (prunasin dan benzaldehyde) yang juga mungkin mempunyai ciri-ciri antikanser.

Perkataan Vitamin B17 pula adalah nama yang diberikan oleh Krebs Jr pada tahun 1970 ke atas sekumpulan kompoun yang terdiri dari amygdalin dan juga bahan-bahan kimia yang dihasilkan daripadanya. Beliau mendakwa Laetriles ataupun amygdalin mewakili vitamin baru yang berkurangan di dalam badan pesakit kanser. Rupa-rupanya nama vitamin digunakan untuk tujuan mengelak dari tindakan kawalan FDA kerana jika bahan-bahan yang menggunakan nama vitamin digunakan, pihak FDA tidak mengenakan undang-undang ketat berbanding dengan jika digunakan perkataan ubat. Walau bagaimanapun Amygdalin tidak memenuhi ciri-ciri vitamin dan tidak ada bukti bahawa ianya diperlukan untuk fungsi badan yang normal seperti vitamin-vitamin yang lain.

KEKELIRUAN LAETRILE DAN ANTI KANSER

Pada awalnya, Laetrile didakwa dapat membunuh sel-sel kanser melalui tindakan enzim beta-glucosidase (enzim ini terdapat di dalam sel yang normal dan juga sel kanser). Enzim ini memisahkan molekul gula di dalam amygdalin dan molekul gula yang dinamakan mandelonitrile dibebaskan. Mandelonitrile ini dikatakan dimetabolismakan menjadi sianida dan membunuh sel-sel di sekitarnya. Dr.Kreb mendakwa bahawa kanser sel mengandungi lebih banyak enzyme beta-glucosidase dari sel-sel normal. Di samping itu, kanser sel tidak mempunyai enzim penawar (rhodanese) keracunan sianida seperti sel-sel normal, akibatnya sel-sel kanser akan mati dan sel-sel normal dilindungi. Walau bagaimanapun kajian saintis mendapati sebenarnya hanya terdapat sedikit enzim glucosidase di dalam tisu, malahan kandungan penawar keracunan sianida (rhodanese) adalah sama di dalam sel kanser dan sel normal. Pada tahun 1955, apabila mendapati teori mereka dapat disangkal oleh ahli sains, Dr.Krebs dan Krebs Jr telah mengubahsuai teori untuk mempertahankan teori mereka dengan mengatakan sebenarnya sel kanser mempunyai lebihan enzim beta-glucuronidase dan bukannya beta-glucosidase, malangnya teori tersebut juga dapat disangkal oleh ahli sains kerana kajian menunjukkan bahawa kandungan beta-glucuronidase di dalam sel kanser dan sel normal adalah juga sama banyak. Di samping itu, enzim glucuronidase tidak berkesan ke atas Amygdalin kerana gulanya diikat dengan ikatan glucoside. Glucuronidase hanya berkesan ke atas Laetrile ciptaan Kreb Jr. kerana gulanya diikat dengan ikatan glucuronide. Pada tahun 1970 Kreb Jr menukar teori mereka mengenai Laetrile sebagai antikanser dengan mendakwa bahawa kanser adalah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin dan ianya dapat dicegah dengan Laetrile. Beliau menamakan laetrile sebagai vitamin B17 dan mendakwa inilah vitamin yang  bertanggungjawab mencegah kanser. Rupa-rupanya langkah menggunakan nama vitamin B17 ini digunakan untuk tujuan lain iaitu untuk mengabui pihak FDA seperti yang diterangkan di atas kerana jika sesuatu bahan itu diberi dengan nama vitamin, maka ianya termasuk di dalam kategori “dietary supplement” yang tidak memerlukan kelulusan FDA. Kesimpulannya terdapat terlalu banyak keraguan yang timbul dari dakwaan Laetrile dan ciri-ciri anti-kanser semenjak awal lagi dan ini menyebabkan wujud keraguan yang serius ke atas orang yang menemui Laetrile. Sehingga hari ini teori yang dikemukakan oleh Dr.Kreb tidak pernah dibuktikan samada di dalam ujian makmal mahupun ke atas haiwan. Walaupun ada kajian makmal ataupun in-vitro dilakukan menunjukkan terdapat kemungkinan kesan positif sebagai antikanser, ianya adalah kajian kecil fasa pra-klinikal yang belum dibuktikan bermanfaat kepada pesakit kanser. Tambahan pula, mekanisma bagaimana sel-sel kanser itu dimatikan tidak dapat dijelaskan dan dibuktikan dengan konklusif.

KAJIAN KE ATAS LAETRILE DAN ANTI-KANSER

Walaupun kepada ahli sains moden, dakwaan laetrile sebagai antikanser adalah sesuatu yang sangat meragukan, namun ada dalam kalangan ahli sains yang melakukan kajian untuk mengkaji keberkesanan bahan ini disebabkan terdapat banyak dakwaan anekdotal ataupun testimoni termasuk dakwaan penduduk di sebuah perkampungan di Pakistan yang hidup panjang kononnya disebabkan mengamal pengambilan sumber amygdalin yang tinggi. Laetrile boleh diberikan secara pil, suntikan intravena ataupun suntikan di dalam otot. Selalunya ianya diberikan dalam bentuk suntikan intravena dan diikuti dengan rawatan seterusnya (maintenance therapy) dengan ubat makan. Kajian dijalankan lebih 20 tahun, semenjak pertengahan tahun 1950 an untuk melihat bukti keberkesanan laetrile sebagai antikanser. Ujian keatas haiwan dilakukan pertama kalinya dalam tahun 1950 an dan kajian ini pula adalah kajian perbandingan secara tertutup (blinded trial) di antara haiwan yang menghidap kanser, di dalam semua kajian yang dijalankan didapati laetrile tidak menunjukkan kesan antikanser. Jikapun ada kajian yang mendakwa menunjukkan hasil yang positif, kajian tersebut mempunyai kelemahan kerana tidak dilakukan “blinded trial” di samping metodologi yang meragukan. Kajian ke atas manusia pernah dilakukan semenjak tahun 1981 tetapi keputusan kajian itu tidak menunjukkan bahawa laetrile dapat merawat kanser. Banyak testimoni dan lapuran anecdotal ditemui mengenai laetrile, malah pihak FDA dan National Cancer Institutes pernah bersama-sama membuat penyiasatan ke atas 12 sejarah klinikal yang dihantar oleh Dr.Ernesto Contreras, ketua Klinik Laetrile di Tijuana, Mexico. Melalui semakan dan penyiasatan, mereka dapati terdapat banyak kelemahan dan isu yang sangat meragukan seperti diagnosa kanser yang tidak lengkap atau diagnisa tidak disahkan dengan ujian histopatologi, rawatan susulan yang singkat, kaedah menentukan keberkesanan yang tidak objektif dan kebanyakan pesakit telah menerima rawatan konvensional bersama dengan Laetrile. Pada tahun 1978, National Cancer Institute telah melakukan semakan yang lebih besar melibatkan rekod-rekod kes melalui kajian soal-selidik ke atas semua pengamal-pengamal perubatan di Amerika yang berjumlah lebih 450,000 orang. Dipercayai dianggarkan seramai 75,000 orang Amerika mengambil Laetrile pada ketika itu,tetapi melalui maklumbalas yang diterima, hanya 93 kesan positif yang diterima. Daripada angka tersebut 26 kes tidak mempunyai cukup maklumat untuk dibuat penilaian lanjut. Daripada baki 67 kes, ahli panel mendapati tidak terdapat bukti keberkesanan laetrile dan 6 kes lagi mungkin ada kesan positif. Ahli panel berpendapat tidak ada cukup bukti kukuh laetrile dapat merawat kanser.

Berdasarkan kepada hasil semakan 6 kes yang ada kesan positif yang disebutkan tadi, National cancer institute juga telah mengambil initiatif untuk melakukan ujian klinikal ke atas pesakit kanser secara prospektif untuk melihat samada ada ataupun tidak kesan antikanser dan juga kajian toksikologi. Kajian ini adalah kajian fasa 1 yang kecil. Enam pesakit kanser yang sudah tidak boleh dirawat (incurable cancer) telah dipilih dan diberikan suntikan intravenous amygdalin diikuti dengan ubat makan amygdalin. Lima dari enam pesakit tidak mengalami kesan toksik. Seorang pesakit mengalami keracunan sianida kerana memakan biji almond mentah semasa diberikan rawatan amygdalin. Kajian keberkesanan juga dilakukan (kajian fasa 2) ke atas 178 pesakit yang sama (kanser terminal dan sudah tidak ada rawatan diberikan tetapi masih aktif), mereka diberikan laetrile (suntikan selama 21 hari diikuti dengan ubat makan) , rawatan vitamin A,C dan E, B kompleks dan mineral di samping menjalani rawatan kalori rendah diet (tidak mengambil telur, daging, kafein, alcohol, produk tepung). Kebanyakan pesakit-pesakit ini mengalami kanser payudara, kanser usus besar dan kanser paru-paru. Selepas 3 bulan, 90% pesakit mengalami kanser yang merebak ke tempat lain. Selepas 8 bulan, 80% pesakit meninggal dunia. Keputusan ini sama sahaja dengan kumpulan pesakit yang tidak menerima sebarang rawatan. Pengkaji menulis bahawa hasil dari kajian ini, tidak ada langsung bukti keberkesanan dari segi penyembuhan, pengurangan, pengstabilan kanser, pengurangan gejala-gejala akibat kanser ataupun memanjangkan tempoh hayat.

Satu lapuran semakan dan penilaian besar melibatkan 200 rujukan oleh Cochrane database systematic review telah membuat kesimpulan bahawa dakwaan bahawa laetrile ataupun amygladin mempunyai manfaat kepada pesakit kanser tidak disokong oleh data klinikal yang kukuh. Terdapat risiko kesan sampingan yang membimbangkan daripada keracunan sianida selepas pengambilan laetrile ataupun amygladin terutama jika diambil secara makan. Pertimbangan risiko dan manfaat ke atas laetrile ataupun amygdalin sebagai rawatan kanser adalah jelas negative (risiko lebih dari manfaat).

Disebabkan oleh kekurangan bukti keberkesanan Laetrile keatas rawatan kanser, maka ianya tidak sesuai digunakan untuk kajian fasa 3 kerana ini akan dianggap tidak beretika kerana kegagalan di dalam kajian fasa 1 dan 2. Dengan fakta ini juga boleh disimpulkan bahawa hingga ke hari ini belum ada bukti klinikal yang kukuh bahawa Laetrile memberi manfaat kepada pesakit kanser.

KESAN TOKSIK LAETRILE

Dos ataupun kuantiti untuk mengambil laetrile pula tidak diketahui kerana tidak ada bukti keberkesanan dan kadar dos yang optima yang perlu diambil walaupun 1 pil laetrile mengandungi 500 mg kompoun. Ada yang mengesyorkan ambil 1 pil sehari dan tingkatkan hingga 6 biji sehari. Di samping tidak diketahui dos, dos di mana kesan sampingan boleh berlaku juga tidak diketahui dengan jelas. Terdapat kes keracunan mengakibatkan kematian keatas bayi yang berusia 11 bulan mengambil 500mg Laetrile sebab ibubapa bayi tersebut menganggap tidak merbahaya mengambil “vitamin”. Terdapat juga budak-budak dan orang dewasa yang mengalami keracunan sianida walaupun mengambil laetrile pada dos yang disyorkan.Terdapat kes kematian dilapurkan akibat keracunan sianida ke atas wanita yang mengamalkan 1 gram laetrile dan biji aprikot yang dihancurkan. Biji aprikot boleh meransang transformasi laetrile kepada sianida. Keracunan sianida hanya boleh berlaku jika laetrile diambil di dalam bentuk makan kerana enzim beta-glucosidase yang dihasilkan oleh bakteria di dalam usus akan memecahkan amygdalin kepada sianida. Laetrile yang diberikan dalam bentuk suntikan intravena akan dikeluarkan kesemuanya di dalam air kencing tanpa menghasilkan sianida (ini adalah salah satu fakta yang boleh digunakan untuk membuktikan bahawa laetrile tidak mempunyai apa2 kesan ke atas badan). Di antara kesan sampingan pengambilan laetrile adalah gejala dan tanda-tanda keracunan sianida seperti loya, muntah, sakit kepala, pening, kerosakan saraf & otot, kerosakan hati, tekanan darah yang tidak normal, demam, keliru, koma dan mati. Kesan sampingan ini lebih sering berlaku jika diambil di dalam bentuk makan dan ianya boleh menjadi lebih serius jika diambil bersamanya biji badam mentah, memakan beberapa jenis buah dan sayuran seperti buah peach, bean sprouts, daun saderi dan karot. Kesan sampingan laetrile juga lebih serius jika diambil bersama dengan dos yang tinggi vitamin C.

ADAKAH LAETRILE DILULUSKAN UNTUK RAWATAN KANSER

Tidak ada mana-mana institusi kanser berwibawa  dunia yang mengiktiraf Laetrile / Amygdalin /Vitamin B17 sebagai salah satu kaedah rawatan kanser yang berkesan. FDA tidak meluluskan laetrile sebagai kaedah rawatan kanser di Amerika Syarikat. FDA Commissioner Donald Kennedy pernah berkata : “ This review about Laetriles has affirmed my conviction that Laetrile is a major health fraud in the US today and that there is no evidence of its safety and effectiveness”. Kenyataan beliau ini disokong oleh banyak pertubuhan kanser dunia termasuk American Cancer Society. Australian and New Zealand Cancer Counsil juga menyokong pendapat lain-lain pertubuhan kanser mengenai laetriles dan kanser malah kerajaan Australia telah mengharamkan pengimportan biji aprikot yang mentah samada berkulit ataupun tidak ke negara mereka. Memorial Sloan Kettering Cancer Centre (MSKCC) juga membuat kenyataan yang sama bahawa sehingga hari ini belum cukup bukti untuk menggunakan Laetriles ataupun Amygdalin di dalam rawatan kanser walaupun ada beberapa kajian makmal yang menunjukkan kesan positif, kajian lanjut perlu dilakukan untuk pengesahan. MSKCC selanjutnya membuat kenyataan bahawa setakat hari ini Amygdalin dianggap toksik dan tidak sesuai digunakan untuk tujuan merawat kanser.

KESIMPULAN

Laetrile ataupun bentuk tulin Amygdalin yang diperolehi dari biji buah aprikot telah didakwa sebagai antikanser semenjak tahun 1840 an lagi. Walau bagaimanapun melalui kajian dan penilaian yang intensif, hingga ke hari ini tidak ada bukti kukuh bahawa pengambilan Laetrile ataupun Amygdalin boleh mencegah dan merawat sebarang kanser. Disebabkan tidak ada bukti keberkesanan Laetrile ataupun Amygdalin di dalam merawat kanser walaupun kajian fasa 1 dan 2 telah dilakukan, maka bahan ini tidak sesuai untuk diuji di dalam fasa 3 kajian saintifik. Kajian fasa 2 juga telah membuat rumusan bahawa tidak ada bukti keberkesanan dari segi penyembuhan, pengurangan, pengstabilan kanser, pengurangan gejala-gejala akibat kanser ataupun memanjangkan tempoh hayat pesakit. Perkataan vitamin B17 yang digunakan untuk menggantikan laetrile ataupun Amygdalin tidak mempunyai asas yang kukuh kerana Laetrile ataupun Amygdalin tidak memenuhi ciri-ciri vitamin dan ciri-ciri bahan keperluan asas untuk kesihatan badan. Jadi istilah Vitamin B17 ini bolehlah dianggap gimik ataupun helah semata-mata. Banyak badan kanser antarabangsa berpendapat bahawa pengambilan Laetrile ataupun Amygdalin ataupun Vitamin B17 membawa lebih banyak mudarat dari manfaat terutamanya jika diambil secara makan/pil. Kesan sampingan akibat dari pengambilan Laetrile adalah sama seperti kesan toksik pengambilan sianida dan kesan sampingan ini akan berganda jika rawatan Laetrile (samada jenis suntikan intravena ataupun makan) digabungkan dengan pengambilan biji buah aprikot ataupun almond/badam yang mentah. Jikapun pengamal Laetrile/Amygdalin/Vitamin B17 tidak mengalami sebarang kesan sampingan, tidak ada nilai-nilai pengubatan yang terdapat di dalam bahan-bahan ini. Di samping isu keberkesanan, tidak siapa mengetahui apakah dos optima yang perlu diambil dan apakah dos bahaya yang boleh menyebabkan keracunan. Isu yang perlu diambil kira oleh pengguna adalah kos yang perlu dibelanjakan ke atas produk ini kerana kos yang tinggi, dikatakan harga sebotol Vitamin B17 sahaja boleh mencecah RM350 untuk 90 biji untuk jenis yang kononnya asli dari Mexico dan ribuan ringgit jika ianya di dalam bentuk suntikan.

RUJUKAN

United States Food and Drug Administration: Laetrile, A Commisioner’s Decision. Washington. DC, Department of Health, Education and Welfare, Food and Drug Administration, 1978.

Dorr RT, Paxinos J: The current status of laetrile.Ann Intern Med 89;389-397, 1978

Fenselau C, Pallante S, Batzinger RP, et al. Mandelonitrile beta-glucuronide: Synthesis and characterization. Science, 1977; 198:625-627

Jee J, Yoshikawa F, Pont L, et al: Assay of amygdalin dosage forms from Mexico. J Pharm Sci, 1978;67:438-440

Kreb ET Jr: The nirtiloside (Vitamin B17):Their nature, occurrence and metabolic significance. J Appt Nutr , 1970; 22:75-86

Green DM. The vitamin fraud in cancer quackery. West J Med 1975; 122:345-348

National Cancer Institute: Chronology of National Cancer Institute studies of laetrile. Press release. National Cancer Institute. Bethesda, 1981, April 30

Laetrile: Unproven Methods of Cancer Management. CA-A-Cancer Journal For Clinicians,1991;41(3):187-192

Relman AS: Laetrilomania-again (letter). N Eng J Med, 1978;298:215-216

Ellison NM, Byar DP, Newell GR: Special report on Laetrile: The NCI Laetrile review: Results of the National Cancer Institute’s retrospective laetrile analysis. 1978; 299:549-552

Moertel CG, Fleming TR, Rubin J , et al: A clinical trial of amygdalin (Laetrile) in the treatment of human cancer. 1982; N Engl J Med, 306:201-206

Suchard JR, Wallace KL, Gerkin RD.
Acute cyanide toxicity caused by apricot kernel ingestion..Ann merg Med1998; 32:742

Rubino MJ, Davidoff F. Cyanide poisoning from apricot seeds.JAMA.124. 1979; 241:359
.
Milazzo S, Lejeune S, Ernst E. Laetrile for cancer: a systematic review of the clinical evidence.
Support Care Cancer.2007; 15, 583–595.

Moertel CG, Fleming TR, Rubin J, Kvols L, Sarna G, Koch R, Currie VE, Young CW, Jones SE,
Davignon JP. A clinical trial of amygdalin (laetrile) in the treatment of human cancer.
NEJM.1982; vol.306, no.4, 201-206

Willhite CC: Congenital malformation induced by laetrile. 1982;215:1513-1515

http://www.cancer.gov/about-cancer/treatment/cam/patient/laetrile-pdq#section/_3

http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0032851/

http://onlinelibrary.wiley.com/doi/10.3322/canjclin.22.4.245/abstract

Milazzo S, Ernst E, Lejeune S, Boehm K, Horneber M. Laetrile treatment for cancer. Cochrane Database Syst Rev. 2011;(11):CD005476.

http://www.cancer.org.au/content/cancer_control_policy/Submissions%20to%20Government/CCA%20submission%20FSANZ%20P1016%20-%20Hydrocyanic%20acid%20in%20Apricot%20Kernels%20&%20other%20Foods.pdf

https://www.mskcc.org/cancer-care/integrative-medicine/herbs/amygdalin


RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN UNTUK MENGAMBIL BAHAN DARI RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

RAWATAN OZONE DARI PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD, MOG (UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

PENDAHULUAN

Oksigen adalah molekul yang terdiri daripada 2 atom Oksigen ataupun singkatannya O2 . Semua orang tahu apakah gas Oksigen yang merupakan salah satu keperluan hidup semua haiwan. Walau bagaimanapun tidak semua orang tahu apakah Ozone, berbanding dengan Oksigen, Ozone adalah molekul yang terdiri dari tiga atom Oksigen ataupun singkatan O3 . Perkataan OZONE berasal dari perkataan Greek, “OZEIN” bermaksud bau. Gas Ozone adalah gas yang berbau dan wujud di dalam kuantiti yang sedikit di dalam udara atmosfera.  Ia ditemui dengan banyak di lapisan atas atmosfera (pada ketinggian 50 ribu hingga 100 ribu kaki dari permukaan bumi) sebagai lapisan yang melindungi hidupan di bumi dari pancaran ultra unggu. Di dalam bentuk gas, Ozone adalah toksik kepada manusia. Ia boleh turun ke bumi kerana mempunyai jisim yang lebih berat sambil membersihkan udara dari pencemaran. Ozone dikatakan kaedah semulajadi bumi membersihkan udaranya. Secara semulajadi, sinar UV dari cahaya matahari memecahkan molekul oksigen dan menyebabkan terbentuknya atom oksigen yang bebas yang teraktif, atom-atom ini akan bergabung dengan molekul oksigen dan membentuk Ozone. Ozone juga boleh dihasilkan dengan mengenakan aliran elektrik ke atas gas Oxygen. Ozone boleh membentuk hydrogen trioxide (HO3) apabila ia bergabung dengan proton atom hidrogen, kemudiannya hydrogen trioxide ini akan dipecahkan kepada bahan pengoksidan yang kuat dikenali sebagai radikal hydroxyl (OH). Gas Ozone mempunyai potensi pengoksidan yang kuat iaitu 1.5 kali lebih kuat dari klorida jika digunakan sebagai agen pembunuh kuman. Berbeza dengan Oksigen, Ozone jauh lebih larut di dalam air dan ini menyebabkan ia mudah bertindakbalas dengan bahan yang larut air ataupun biomolekul di dalam cecair biologi.


Gas Ozone mula digunakan sebagai terapi semenjak kurun ke 19 dan melalui maklumat sejarah, gas ozone pertama kali dihasilkan oleh seorang Pakar Fizik Belanda bernama Martin van Marun pada tahun 1785. Walau bagaimanapun, hanya Pakar Kimia  German bernama Christian Friedrich Schonbein yang mendemonstrasikan kewujudan dan ciri-ciri gas Ozone, beliau dianggap Bapa kepada terapi Ozone.  Kegunaan pertama Ozone adalah sebagai disinfeksi (membunuh bakteria) bilik bedah pada tahun 1856 dan kemudiannya untuk merawat air pada tahun 1860. Tentera German menggunakan ozone untuk merawat tenteranya yang tercedera semasa perang dunia pertama. Generator gas Ozone pertama untuk tujuan perubatan dicipta oleh Pakar Fizik German yang bernama Joachim Hansler dan rakannya seorang Pakar perubatan bernama Hans Wolff pada tahun 1857. Terapi Ozone pada asalnya digunakan untuk tujuan rawatan jangkitan di dalam bidang pembedahan, kulit, kosmetik dan pergigian. Kepekatan gas ozone yang digunakan adalah berbeza dari 0.05% hingga 5% (kombinasi dengan gas oksigen) bergantung kepada kegunaan dan keadaan pesakit. Terdapat tiga sistem yang berbeza bagaimana gas Ozone dihasilkan iaitu (1) Menggunakan sistem ultra unggu, menghasilkan Ozone berpekatan rendah, digunakan di dalam bidang kecantikan dan penulinan udara, (2) Sistem Cold Plasma, digunakan di dalam penulinan air dan udara dan (3) Sistem Corona Discharge, menghasilkan Ozone berpekatan tinggi, digunakan terutamanya di dalam bidang perubatan dan pergigian. Kaedah pemberian Ozone yang disyorkan adalah di dalam 3 bentuk iaitu (1) Gas Ozone, (2) Air Ozone dan (3) Minyak Ozone. Kaedah pemberian Ozone ke dalam aliran darah tidak disyorkan oleh pertubuhan perubatan Ozone Eropah kerana kemungkinan risiko embolisma udara (“air embolism”). Pengamal dan penyokong penggunaan Ozone percaya bahawa Ozone adalah pembunuh bakteria, kulat, protozoa dan virus yang berkesan.  Mereka juga mendakwa bahawa Ozone juga dapat meransang sistem imun, anti-keradangan (antiinflamatori), ubat sakit (analgesic), tindakan anti-hypoxic, memperbaiki aliran darah serta bekalan oksigen, meransang sistem neuroendokrin, mengawal metabolism badan, mengawal sistem imun dan lain-lain. Mengikut Europe based Medical Society for Ozone dan National Centre for Scientific Research di Cuba, ahli perubatan menggunakan Ozone untuk merawat penyakit-penyakit berikut iaitu abses, jerawat, AIDs, alahan, radang sendi, asma, kanser, cerebral sclerosis, gangrene, ulcer, glaucoma, Rheumatoid arthritis, hepatitis, jangkitan herpes dan zoster (kayap). Senarai penyakit yang didakwa dapat dirawat dengan ozone mungkin lebih panjang. Penulis akan meneliti dan mencari fakta-fakta yang berkaitan dengan rawatan ozone dan melihat sejauh mana benarnya dakwaan golongan-golongan yang mempelopori dan mengamalkan terapi Ozone.

BAGAIMANA TERAPI OZONE DIBERIKAN DI DALAM AMALAN PENGUBATAN

Apabila Ozone digunakan untuk tujuan rawatan perubatan, ianya dikenali sebagai Medical Ozone. Apabila disebut rawatan ataupun terapi Ozone, ia sebenarnya menggunakan campuran gas Oksigen dan gas Ozone, kandungan gas Ozone di dalam campuran ini adalah sangat kecil iaitu di antara 0.05-5% sahaja. Untuk tujuan rawatan, Ozone dihasilkan dengan mengwujudkan percikan arus elektrik di dalam tangki yang mengandungi gas Oksigen. Medical Ozone mula diperkenalkan semenjak tahun 1932  apabila air yang diozonkan untuk tujuan disinfeksi oleh doctor gigi German yang bernama Dr. E.A Fisch. Pesakit beliau yang juga seorang Pakar Perubatan telah melihat potensi Ozone untuk rawatan perubatan dan mula menggunakannya untuk merawat radang usus besar dan fistula dengan mengepam gas ozone ke dalam usus melalui reKtum. Bermula dari saat itu, Ozone telah dicuba untuk mengubati pelbagai jenis penyakit dan pelbagai bentuk Ozone digunakan untuk tujuan tersebut. Berikut adalah beberapa kaedah pemberian Ozone yang pernah diamalkan:
  1. Pemberian campuran Ozone dan Oksigen melalui suntikan ke dalam salur vena ataupun salur arteri. Digunakan untuk  merawat masalah aliran darah arteri. Disebabkan oleh kesan sampingan yang dikenali sebagai gas embolisma, kaedah ini jarang digunakan.
  2. Mengepam masuk ke dalam usus campuran Ozone dan Oksigen pada nisbah tertentu melalui rectum dengan harapan gas ini akan menyerap masuk ke dalam badan melalui usus. Kaedah ini dianggap antara yang paling selamat. Digunakan untuk merawat radang usus yang dikenali sebagai ulcerative colitis. Kegunaannya ditingkatkan kepada untuk merawat kanser, komplikasi penyakit yang berkaitan dengan HIV dan lain-lain.
  3. Suntikan ke dalam otot. Campuran gas Ozone dan Oksigen yang berkuantiti rendah (sehingga 10 ml) disuntik ke dalam otot bontot. Kaedah ini digunakan untuk merawat alahan dan juga penyakit keradangan. Terdapat juga pengamal rawatan Ozone yang menggunakan kaedah ini untuk merawat sakit belakang dengan menyuntik ozone ke dalam otot  di sebelah kiri dan kanan tulang belakang.
  4. Autohematoterapi major dan minor. Autohematoterapi minor adalah mengeluarkan sedikit darah pesakit (tidak lebih dari 10 mls) dari saluran vena kemudian darah itu dirawat dengan ozone dan oksigen, kemudiannya diberikan semula kepada pesakit melalui suntikan dalam otot. Pengamal kaedah ini mendakwa darah yang dirawat dan diberikan semula kepada pesakit boleh bertindak seperti vaksin. Autohematoterapi major pula adalah pengambilan darah vena pesakit yang lebih banyak di antara 50-100 mls dan kemudian dirawat dengan campuran Ozone dan Oksigen untuk beberapa minit, darah yang dirawat itu (dinamakan “ozonated blood”) dikembalikan kepada pesakit melalui suntikan saluran vena. Apabila Ozone dimasukkan ke dalam darah, ia akan bertindak dengan air di dalam sel darah merah dan menghasilkan  hydrogen peroksida yang mempunyai aktiviti membunuh kuman dan juga menghasilkan radikal bebas yang boleh memusnahkan selaput sel. Mekanisma bagaimana darah yang dirawat dengan gas ozone ini masih menjadi perdebatan kerana proses  melawan jangkitan bakteria adalah kompleks dan kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa pendedahan bahan ini kepada darah yang dicemari bakteria dan organisma lain tidak memberi kesan ke atas bakteria tersebut. Hanya dalam kepekatan tinggi sahaja kesan penghapusan bakteria dan lain-lain organisma ini boleh berlaku tetapi pada waktu yang sama kesan hydrogen peroksida yang tinggi ini juga akan merosakkan tisu lain di dalam badan pesakit tersebut. Kaedah autohematoterapi ini telah cuba digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti herpes, radang sendi, kanser , penyakit jantung dan jangkitan HIV. Kaedah ini mungkin kaedah rawatan ozone yang paling kerap diamalkan hari ini.
  5. Air yang diozonkan (Ozonated water). Air dirawat dengan gas Ozone (melalui pembuihan ataupun “bubbling method”) dan air ini digunakan pada bahagian luar badan untuk tujuan rawatan luka, kebakaran dan jangkitan kulit yang lambat sembuh. “Ozonated water” ini juga digunakan di dalam banyak kes bedah dan ginekologi seperti radang usus besar, ulcer duodenum, gastritis,  cirit dan vulvovaginitis.
  6. Suntikan terus ke dalam sendi (“intraarticular injection”) iaitu air yang dirawat dengan gas ozone disuntik terus ke sendi untuk tujuan merawat radang sendi,  rheumatism dan lain-lain penyakit sendi. Sering diamalkan oleh Pakar Perubatan di negeri German, Rusia dan Cuba.
  7. “Ozone bagging” iaitu kaedah menggunakan beg plastic yang diletakkan pada kawasan yang hendak dirawat. Kemudian gas campuran Ozone dan Oksigen akan dipam ke dalam beg tersebut supaya gas ini dapat masuk ke dalam badan pesakit melalui kulit. Kaedah ini digunakan untuk merawat ulcer, gangrene, jangkitan kulat, terbakar dan jangkitan kulit yang lambat sembuh.
  8. Minyak yang diozonekan (”Ozonated oil”) di mana gas ozone dicampur dengan minyak zaitun dan disapu seperti pada bahagian yang dirawat seperti penggunaan minyak urut.
  9. Campuran gas Oksigen-Gas ozone disedut (inhalational) ke dalam paru-paru. Kaedah ini adalah sangat merbahaya kerana gas ozone yang masuk ke dalam paru-paru boleh merosakkan tisu paru-paru dan mengakibatkan penyakit emphysema.
  10. Memasukkan campuran gas Oksigen dan Ozone kedalam rongga badan seperti ke dalam rongga peritoneum, rongga pleural dan juga faraj.
                                                   Suntikan dalam sendi

                                                     Ozone bagging

                                                 Autohematoterapi
                                                
TERAPI OZONE DARI PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

Sehingga ke hari ini perubatan moden konventional masih belum dapat menerima terapi ozone sebagai satu kaedah rawatan yang boleh menggantikannya. Rawatan ozone  masih dianggap salah satu kaedah rawatan komplimentari yang kontroversial dan walaupun ada pengamal-pengamal perubatan moden sendiri yang menggunakannya, ianya dianggap sebagai pendirian individu yang tidak berasaskan kepada bukti kajian saintifik yang kukuh dan ianya tidak termasuk di dalam senarai kaedah rawatan standard untuk merawat penyakit. Pakar perubatan masih tertanya-tanya bagaimana satu jenis gas yang diketahui toksik kepada manusia boleh digunakan untuk mengubati penyakit, konsep yang nampaknya paradoksikal.

Walaupun Ozone digunakan untuk tujuan merawat pelbagai jenis penyakit, keberkesanan ozone ini belum cukup meyakinkan pakar-pakar perubatan moden untuk menjadikannya sebagai kaedah rawatan utama. Ozone diketahui sebagai  pengoksidan yang paling poten di dalam alam semulajadi, tetapi mekanisma bagaimana ia bertindak sebagai bahan pengubatan masih belum diketahui dengan muktamat. Pelbagai teori dan pendapat telah diutarakan oleh pengamal dan ahli sains Ozone tetapi pandangan mereka itu tidak dapat disahkan. Di antara teori yang dikemukakan adalah merosakan selaput luar organisma pathogen, meningkatkan glikolisis sel darah merah, mengaktifkan kitaran Kreb, meningkatkan penghasilan ATP, meransang penghasilan enzim-enzim seperti glutathione peroxidase, catalase dan superoxide dismutase, penghasilan prostacyclin, pengaktifan system imun seperti penghasilan interferon, tumor necrosis factor dan interleukin 2. Banyak lagi teori yang dikemukakan oleh ahli sains Ozone dan Pengamal rawatan Ozone tapi penulis tidak berminat untuk membincangkannya dengan panjang lebar kerana apa yang lebih penting adalah samada Ozone ini berkesan merawat penyakit-penyakit yang disenaraikan. Penulis akan menumpukan kepada dua aspek penting rawatan Ozone iaitu dari segi keselamatan dan keberkesanan. Berikut adalah fakta mengenai keselamatan ("safety") dan keberkesanan ("effectiveness") penggunaan terapi ozone.

KESELAMATAN RAWATAN OZONE

Isu keselamatan adalah penting kerana terdapat rawatan ozone yang memerlukan penyediaan dan suntikan ke tubuh badan pesakit. Penggunaan alat tajam dan pengeluaran darah serta pemindahan darah masuk ke dalam badan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi medium untuk jangkitan penyakit seperti jangkitan bacteria, hepatitis, HIV dan lain-lain. Pengendalian yang tidak betul oleh pengamal yang tidak terlatih boleh menjadi punca jangkitan penyakit ini. Terdapat lapuran kematian akibat dari embolisma gas ke atas seorang pesakit yang dirawat untuk penyakit psoriasis (1).Jangkitan Hepatitis C dan HIV juga pernah dilapurkan selepas pesakit menerima rawatan Ozone yang diberikan dengan kaedah Ozone Autohemoterapi (2,3). Jangkitan hepatitis C juga pernah dilapurkan berlaku ke atas pesakit yang menjalani rawatan Ozone autohemoterapi dan Ozone yang disuntik ke dalam otot (4). Lain-lain kesan sampingan yang pernah dilapurkan adalah kebutaan dan stroke (angin ahmar) selepas disuntik ke tulang belakang untuk rawatan prolapse intervertebral disc. Kesan sampingan rawatan Ozone juga bergantung kepada bagaimana ianya diberikan, contohnya jika disedut ke dalam paru-paru ia boleh menyebabkan sesak nafas, kerosakan tisu paru-paru, penyakit emphysema dan kebengkakan paru-paru (pulmonary oedema) (5). Jika dipam ke dalam telinga boleh menyebabkan pecah gegendang telinga dan jika dipam ke dalam usus boleh menyebabkan komplikasi usus (6). Suntikan ozone yang diberikan kadangkala boleh menyebabkan kesakitan sehingga boleh meransang saraf vagus dan pesakit mengalami pergerakan jantung yang perlahan, tekanan darah rendah, berpeluh, tidak sedar diri dan boleh menyebabkan kematian. Ini dinyatakan sendiri oleh World Federation of Ozone Therapy (WFOT) sehingga pertubuhan ini sendiri mengesyorkan supaya Pengamal rawatan Ozone ini membuat persediaan dengan mempunyai peralatan resusitasi dan ubatan khusus sebagai persediaan sampingan semasa merawat pesakit dengan rawatan Ozone. Terdapat kes kematian akibat embolisma pulmonary (“pulmonary embolism”) selepas pesakit diberikan suntikan ozone secara intravena. Kaedah suntikan terus ke dalam salur vena dan arteri telah diarah dihentikan oleh pertubuhan rawatan Ozone antarabangsa disebabkan oleh potensi berlakunya embolisma gas dan kematian(7).Terdapat juga kebimbangan tentang kesan Ozone ke atas sel-sel dan juga DNA yang terdapat di tengah sel kerana Ozone adalah pengoksidan yang kuat dan kita ketahui pengoksidan boleh merosakkan sel dan mempercepatkan proses penuaan. Pengoksidan juga boleh merosakkan DNA dan adakah ini boleh menukarkan sel normal kepada sel kanser. Isu kebimbangan ini sebenarnya telah dinyatakan di dalam kenyataan resmi World Federation of Ozone Therapy sendiri. Di dalam kenyataan tersebut WFOT membuat kesimpulan berikut : ”Though ozone is potentially toxic and mutagenic, so far, our research data and clinical evidence have proven no risk at all” bermaksud dari segi teorinya ozone memang berpotensi sebagai bahan toksik dan boleh menyebabkan kelainan gen (mutagenik). Pada pandangan penulis, adalah sukar untuk mengesan kesan sampingan yang berkaitan dengan mutagenik ini kerana ianya berlaku di dalam dan jikapun berlaku adalah sukar untuk dibuktikan dan tidak pernah ada lapuran tidak bermakna perkara itu tidak pernah berlaku. Ozone juga boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan moden konvensional jika Pengamalnya tidak berhati-hati, terdapat kejadian tekanan darah rendah dialami oleh pesakit yang mengambil ubat darah tinggi dikenali sebagai ACE inhibitors selepas menerima darah yang telah diozonkan (ozonated blood) (7). Mungkin banyak lagi komplikasi rawatan Ozone yang tidak dilapurkan dan kita juga tidak tahu apakah kesan jangkapanjang rawatan Ozone ini kepada individu dan juga kepada alam sekitar. Kesan Ozone keatas ibu yang hamil juga tidak diketahui terutama kesan ke atas bayi yang dikandung. Pengamal Ozone memberi alasan bahawa kaedah rawatan moden konvensional pun boleh menyebabkan banyak komplikasi, bukan sahaja rawatan Ozone. Alasan tersebut boleh diterima tetapi kaedah rawatan moden konvensional telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah yang berkesan, di samping itu pengamal-pengamalnya dikehendaki melalui proses latihan dan pemantuan yang rapi sebelum dibenarkan untuk beramal sedangkan kita tidak pasti bagaimana latihan dan pemantauan ke atas pengamal rawatan Ozone dilakukan.

KONTRAINIDIKASI RAWATAN OZONE

World Federation of Ozone Therapy (WFOT) di dalam kenyataan yang mereka keluarkan pada tahun 2015 untuk menyemak keberkesanan dan kesan sampingan rawatan Ozone telah mencadangkan supaya terapi ozone tidak diberikan kepada golongan-golongan berikut:
  1. Pesakit kekurangan enzim G-6PD
  2. Pesakit yang hamil terutama di awal kehamilan kerana dikhuatiri boleh berlaku kesan mutagenic ke atas bayi di dalam kandungan
  3. Penyakit hipertiroidisma (kelebihan hormone tiroksin), trombositopenia (kekurangan sel pembeku darah), masalah pembekuan darah yang tidak terkawal (coagulation disorders) dan jantung yang tidak stabil.
  4. Lain-lain seperti penyakit autoimun, kekurangan darah, Myasthenia, intoksikasi alcohol, penyakit myocardial infaction dan alahan kepada ozone.

KEBERKESANAN RAWATAN OZONE

Isu keberkesanan rawatan Ozone adalah sangat penting kerana inilah yang menjadi titik tolak samada rawatan ozone ini bermanfaat ataupun tidak kepada manusia. Perlu diterangkan kepada pembaca bahawa rawatan gas ozone ini bukanlah sebenarnya rawatan pemberian gas ozone sahaja tetapi adalah campuran dengan gas oksigen, malah kandungan ozone di dalam campuran ini adalah terlalu rendah iaitu 0.05%-5% sahaja, manakala kandungan oksigen hendaklah melebihi 95%. Jadi persoalannya jika pun ada kesan positif daripada rawatan ozone ini bagaimanakah untuk kita katakan kesan tersebut disebabkan oleh gas Ozone ataupun oleh gas Oksigen. Di samping itu kita juga perlu mengambil pertimbangan tentang kesan placebo dan ini hanya dapat disahkan jika kajian prospektif “control trial” dapat dijalankan. Ini adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Untuk menentukan samada sesuatu kaedah pengubatan itu berkesan ataupun tidak, di dalam disiplin ilmu Perubatan moden, kajian saintifik perlu dilakukan dan kajian ini melalui beberapa fasa daripada fasa pra-klinikal, fasa 1 hinggalah fasa 4. Pembaca boleh membaca tulisan saya mengenai tajuk bagaimana membuktikan keberkesanan produk kesihatan di sini (Bagaimana menilai keberkesanan produk kesihatan ) . Memang terdapat banyak lapuran kesan positif dari pesakit yang menerima rawatan ozone tetapi dakwaan seumpama ini samada secara lisan ataupun disiarkan di dalam jurnal ataupun buku-buku dianggap sebagai testimony ataupun bukti anecdotal yang tidak boleh digunakan sebagai bukti keberkesanan yang mencukupi. Sila baca tulisan saya mengenai testimoni di link ini untuk menambah pemahaman pembaca .

Untuk tujuan mencari bukti keberkesanan rawatan Ozone ke atas penyakit-penyakit yang telah disenaraikan, saya ingin memaklumkan pembaca bahawa saya menggunakan beberapa rujukan seperti yang tersenarai di akhir rencana ini termasuk lapuran daripada Health Technology Assessment, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang pernah melakukan semakan dan kajian terperinci tentang rawatan Ozone dan lapuran tersebut boleh diperolehi di laman web ini (8) http://www.moh.gov.my/attachments/1009.pdf  .

Berikut adalah hasil semakan yang dilakukan oleh pihak HTA, KKM mengenai keberkesanan terapi ozone dan bolehkah ianya digunakan sebagai ganti rawatan Perubatan moden konvensional:
  1. Penyakit berjangkit dan jangkitan HIV. Tidak ada bukti kukuh keberkesanan rawatan ozone untuk pesakit HIV dan lain-lain penyakit berjangkit bawaan darah (”blood borne infectious disease”) kerana bukti-bukti yang ada hanya bukti anekdotal (testimoni) sahaja. Bukti yang ada pada hari ini tidak mencukupi untuk mengesyorkan rawatan ozone sebagai rawatan penyakit jangkitan HIV. Lapuran keberkesanan merawat jangkitan hepatitis A, B dan C sebagai contohnya hanya berdasarkan kepada ”non-randomized controlled study” melibatkan bilangan pesakit yang kecil.Kajian fasa 2 perbandingan kandungan darah pesakit HIV yang dirawat dengan ozone dan tidak dirawat dengan ozone mendapati tidak ada perbezaan dan ini mengesahkan bahawa rawatan ozone tidak mempunyai kesan positif ke atas virus HIV (9,10).
  2. Ischaemia ataupun kekurangan bekalan darah samada pada anggota badan, jantung ataupun otak. Tidak terdapat bukti tentang keberkesanan rawatan Ozone ke atas anggota badan yang kekurangan darah (”limb ischaemia”), stroke (angin ahmar) dan penyakit jantung koronari. Walaupun ada lapuran keberkesanan rawatan ozone ke atas kekurangan darah pada kaki dan tangan (gangren) tetapi kajian-kajian itu kecil dan bukan randomized control trial.
  3. Oftalmologi ataupun mata. Terdapat bukti pengurangan gejala penglihatan untuk sementara ke atas pesakit retinitis pigmentosa yang diberi rawatan Ozone. Rawatan Ozone ini diberikan melalui rektum. Tidak ada rawatan susulan yang panjang untuk melihat kesan jangkapanjang.
  4. Ortholaryngology (hidung, telinga dan tekak). Kajian keberkesanan rawatan Ozone yang disiarkan adalah kecil dan sukar untuk dibuat kesimpulan walaupun rawatan Ozone dikatakan dapat mengurangkan gejala jangkitan kuman di dalam telinga. Pihak HTA berpendapat bahawa tidak ada cukup bukti yang kukuh keberkesanan rawatan Ozone ke atas penyakit hidung, telinga dan tekak.
  5. Obstetrik dan Ginekologi (sakitpuan dan perbidanan). Tidak ada kajian besar dan terdapat beberapa lapuran yang tidak disiarkan (unpublished) di dalam jurnal mengaitkan rawatan Ozone dengan kadar jangkitan yang lebih kurang ke atas pesakit yang menjalani pembedahan caesarean section dan jangkitan di dalam rahim. Kajian ke atas kesuburan dan “endometritis“ adalah kecil dan tidak dapat memberi apa-apa maklumat keberkesanan. HTA berpendapat bahawa tidak ada cukup bukti bahawa rawatan Ozone mengurangkan jangiktan ke atas pesakit Obstetriks dan Ginekologi, begitu juga ke atas pesakit masalah kesuburan.
  6. Masalah Ortopedik (tulang dan sendi). Bilangan kajian klinikal mengenai keberkesanan rawatan Oksigen-Ozone ke atas masalah ortopedik sangat terhad dan pihak HTA berpendapat tidak ada sebarang kesimpulan yang boleh dibuat berkenaan dengan keberkesaan rawatan ozone untuk masalah ini. Kebanyakan kes yang dilapurkan adalah testimoni dan kajian kecil. Beberapa kajian fasa 2 sedang dijalankan bagi melihat keberkesanan rawatan ozone keatas pesakit radang sendi lutut yang diberi suntikan Ozone ke dalam sendi dan rawatan “Lumbar herniated disc” di mana Ozone disuntik ke dalam disk tulang belakang(11,12)). Sehingga ke hari ini keberkesanan rawatan Ozone belum dapat disahkan di dalam merawat masalah sakit belakang disebabkan oleh prolapse disk walaupun ada kajian retrospektif yang menyokong keberkesanan rawatan suntikan ozone kepada pesakit disc herniation, pengkaji masih mencadangkan supaya kajian prospektif yang lebih besar dijalankan (13). Terdapat kajian ke atas 98 orang pesakit sendi lutut yang dipecahkan kepada 2 kumpulan iaitu 63 orang menerima suntikan Ozone dan 35 orang menerima suntikan placebo, kajian ini menunjukkan pesakit yang menerima suntikan Ozone mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kajian ini walaubagaimanapun masih kecil dan bilangan sampel di dalam dua kumpulan tersebut tidak seimbang, American College of Rheumatology beranggapan bahawa kajian yang lebih besar perlu dijalankan untuk mendapat bukti yang lebih kukuh.
  7. Rawatan Kanser. Tidak ada bukti bahawa rawatan ozone dapat mencegah dan merawat kanser. Ini disokong oleh Pertubuhan Kanser Amerika. Ahli sains pengkaji kanser juga menafikan dakwaan pengamal rawatan ozone yang  mendakwa bahawa metabolisma anaerobik adalah penyebab kanser, sebaliknya agen yang boleh membunuh sel kanser bertindak ke atas DNA dan bukan ke atas metabolisma sel kanser.
  8. Masalah kulit. Semua bukti keberkesanan rawatan Ozone ke atas masalah kulit hanya testimoni ataupun bukti anekdotal dan tidak boleh digunakan untuk dijadikan kaedah rawatan utama.
  9. Dentistri ataupun Pergigian. Terdapat beberapa aplikasi rawatan ozone di dalam bidang pergigian kerana ozone diketahui mampu untuk membunuh organisma. Di antara potensi terapi ozone ke atas rawatan gigi adalah seperti pencegahan kerosakan gigi, mencabut gigi, mengurangkan kesakitan gigi, mengurangkan bau mulut, rawatan endodontik dan lain-lain. Ketiga bentuk Ozone digunakan untuk rawatan gigi seperti dalam bentuk gas, air dan minyak. Walau bagaimanapun kita masih lagi kekurangan bukti saintifik yang kukuh, lebih banyak kajian prospektif control trial perlu dilakukan tetapi potensi menggunakan rawatan ozone di dalam bidang pergigian memang nampak besar. Rawatan gigi dengan menggunakan ozone juga berpotensi menyebabkan pesakit tersedut gas ozone ke dalam paru-paru, jadi semasa rawatan diberikan, teknik dan arahan yang betul perlu diberikan kepada pesakit.
KESIMPULAN

Rawatan ozone telah lama diamalkan oleh ramai pengamal termasuk dalam kalangan pengamal perubatan moden yang konvensional sendiri. Berdasarkan kepada pencarian dan rujukan yang saya lakukan termasuk menggunakan lapuran Health Technology Assessment Kementerian Kesihatan Malaysia, hingga ke hari ini rawatan Ozone masih belum dapat menggantikan kaedah rawatan moden yang konvensional. Hampir semua dakwaan keberkesanan rawatan ozone yang dilapurkan adalah berasaskan kepada testimoni, lapuran anekdotal dan kajian ”non-randomized” dan/atau ”uncontrolled” yang kecil. Walau bagaimanapun potensi rawatan Ozone masih ada terutama jika ianya digunakan untuk rawatan setempat seperti membunuh organisma jangkitan kulit, menghilangkan organisma dari peralatan perubatan dan juga jangkitan mulut di dalam bidang pergigian. Terdapat juga potensi rawatan ozone di dalam mengurangkan kesakitan pada sendi dan sakit prolapse disc tetapi dengan syarat ianya diberikan oleh pengamal yang terlatih. Disebabkan oleh tidak ada kajian prospektif randomized control trial yang besar terhadap penggunaan rawatan Ozone ini, agak sukar untuk disahkan bahawa penyembuhan yang dialami oleh pesakit adalah kesan dari rawatan ozone ataupun gas oksigen yang terkandung di dalam campuran gas yang digunakan, kesan plasebo ataupun berkemungkinan pesakit akan sembuh tanpa menerima sebarang rawatan. Walaupun kehanyakan kaedah rawatan Ozone ini selamat diamalkan tetapi ianya sangat bergantung kepada kemahiran Pengamal dan juga bagaimana rawatan ozone itu diberikan. Rawatan di dalam bentuk suntikan terus ke dalam vena dan arteri boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk embolisma gas dan kematian. Begitu juga kaedah menghisap (inhalasi) yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru. Pemberian campuran gas ozone-oksigen melalui suntikan ataupun permindahan darah jika tidak dilakukan secara bersih boleh menjadi punca jangkitan penyakit bawaan darah seperti hepatitis A, B , C dan juga HIV. Kesan jangka panjang rawatan Ozone ke atas individu dan alam sekitar belum dapat disahkan kerana kajian dari aspek ini sukar dijalankan. Begitu juga kesan mutagenik dan kerosakan sel termasuk mempercepatkan proses penuaan juga perlu dipertimbangkan kerana sifat gas Ozone yang merupakan bahan pengoksidan yang kuat. Semua isu-isu ini belum ada jawapannya dan masa yang akan menentukan. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan dan kita menunggu keputusan kajian-kajian fasa 2 yang sedang dijalankan. Pada pandangan peribadi penulis, jika rawatan Ozone hendak dicuba, di samping mendapat nasihat dari pakar perubatan moden dahulu, untuk mengurangkan risiko kesan sampingan yang serius, penulis mencadangkan pesakit hanya memilih kaedah sapuan topikal ataupun jenis suntikan ke bahagian yang sakit. Itupun jika kaedah moden sudah dicuba tetapi gagal dan rawatan ozone ini hendaklah diberikan oleh individu yang terlatih dan mahir, terbaik kalau doktor sendiri yang memberikannya.  Rawatan ozone yang melibatkan suntikan ke dalam salur vena, salur arteri, menghisap masuk ke dalam paru-paru dan pemindahan darah hendaklah dielakkan. Penulis berharap semoga rencana ini dapat memberi sedikit maklumat berkenaan dengan rawatan ozone dan keberkesanannya, jika ada yang masih berhajat untuk mencuba, dapatkan nasihat pakar penyakit yang dihidapi dan dapatkan rawatan ozone ini daripada pengamal yang benar-benar bertauliah dan mahir. Rawatan Ozone TIDAK membawa apa-apa manfaat kepada individu yang sihat samada sebagai kaedah pencegahan ataupun untuk manfaat kesihatan yang lain. Tambahan pula Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua bentuk terapi ozon perlu mematuhi peraturan perubatan yang sedia ada kerana ianya melibatkan kaedah rawatan yang meragukan, menggunakan suntikan, ubat-ubatan dan prosedur yang berpotensi menyebabkan kemudaratan kepada orang ramai. Ini bermaksud tidak ada mana-mana premis yang boleh menyediakan rawatan ozon kepada pesakit tanpa mematuhi peraturan perubatan KKM dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang berupa  denda tidak melebihi RM200,000 ataupun tidak lebih dari 3 tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali. (22)

RUJUKAN
  1. Marchetti & Monaca, An unexpected death during oxygen-ozone therapy. Am J Forensic Med Pathol. 2000, 21(2):144-7
  2. Daschner FD. Hepatitis C and human immunodeficiency virus infection following ozone autohaemotherapy. Eur J Clin Microbiol Infect Dis, 1997; 16(8):620
  3. http://www.cam-cancer.org/The-Summaries/Other-CAM/Ozone-therapy/Is-it-safe
  4. Faustini A, Capobianchi MR, Martinelli M, Abbate I, Cappiello G, Peruci CA (2005). A cluster of Heaptitis C virus infections associated with ozone- enriched transfusion of autologous blood in Rome,Italy. Infection Control and Hospital Epidemiology (Infect Control Epidemiol), Sep; 26(9):762-7
  5. http://www.cam-cancer.org/The-Summaries/Other-CAM/Ozone-therapy/Is-it-safe
  6. Natural Standard/Harvard Medical School (2008). Ozone therapy. Available at: http://www.intelihealth.com/IH/ihtIH/WSIHW000/8513/34968/358849.html?d=dmt ContentAccessed: 20th August 2012
  7. World Federation of Ozone Therapy Review of Evidence Based Ozone Therapy, WFOT Scientific Advisory Committee, 2015, http://www.wfoot.org/wp-content/uploads/2016/01/WFOT-OZONE-2015-ENG.pdf
  8. http://www.moh.gov.my/attachments/1009.pdf  
  9. Garber G.E. Cameron DW, Hawley N. The use of ozone treated blood in the therapy of HIV infection and immune disease; a pilot study of safety and efficacy. AIDS, 1991;5:981-984
  10. http://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/Cancer/oxygen.html
  11. Intraarticular ozone therapy for pain control in osteoarthritis of the knee. [cited in 2010]. Available from: http://clinicaltrials.gov/ct2/show/NCT00832312?term=ozone+therapyandrank=2
  12. The Effect of Ozone Therapy for Lumbar Herniated Disc. [cited in 2010]. Available from: http://clinicaltrials.gov/ct2/show/NCT00566007?term=ozone+therapyandrank=1
  13. Buric J, Rigobello L, Hooper D. Five and Ten Year Follow up on Intradical Ozone Injection for disc herniation. Int J Spine Surg, 2014;8:17
  14. http://www.cam-cancer.org/The-Summaries/Other-CAM/Ozone-therapy/Is-it-safe
  15. https://en.wikipedia.org/wiki/Ozone_therapy
  16. Velio Alvaro Bocci. Review article. Scientific and Medical Aspects of Ozone Therapy. State of Art. Archieves of Medical Research, 2006;37:425-435
  17. Elvis AM, Ekta JS. Ozone therapy: A clinical review. J Nat Sci Biol Med, 2011; 2(1):66-70
  18. Saini R. Ozone therapy in dentistry: A Strategic review. J Nat Sci bio Med, 2011, 2(2): 151-153
  19. Pattanaik B, Jetwa D, Pattanaik S, et al. Ozone therapy in dentistry: A literature review. Journal of Interdisciplinary Dentistry, 2011;1(2):87-92
  20. Report Health Technology Assessment. Ozone Therapy. Health Technology Assessment Unit, Medical Development Division, Ministry of Health, MOH/P/PAK/110.06 (TR), 2005
  21. http://www.rheumatology.org/About-Us/Newsroom/Press-Releases/ID/711/Ozone-Gas-Injections-may-do-the-Trick-for-Knee-Osteoarthritis
  22.  https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1086314721512445&id=686628718147716&substory_index=0
RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. ISI KANDUNGAN RENCANA INI TIDAK BOLEH DIAMBIL, DISIARKAN DI MANA-MANA ATAUPUN DITUKARKAN KE DALAM APA-APA BENTUK TANPA KEBENARAN PENULIS.