Saturday, August 27, 2016

NANOKNIFE DAN RAWATAN KANSER

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG (UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah

PENDAHULUAN

Kanser adalah salah satu penyakit kronik yang paling ditakuti oleh manusia. Kadar kejadian penyakit kanser meningkat setiap tahun dan kematian akibat kanser adalah lebih tinggi di negara-negara kurang maju disebabkan oleh pengesanan yang lewat dan kaedah rawatan yang belum sempurna. Di negara-negara maju, walaupun kadar penyakit kansernya tinggi, disebabkan oleh kaedah pengesanan yang lebih awal dan rawatan yang lebih berkesan, kadar kematian akibat kanser di negara-negara ini lebih rendah. Mengikut ramalan lapuran kanser dunia, kadar kejadian kanser di negara-negara yang kurang maju akan menunjukkan peningkatan di mana pada tahun 2008, 56% jumlah kanser junia adalah dikesan dari negara-negara kurang maju, tetapi pada tahun 2050, peratusan ini dianggarkan meningkat kepada 61%.

KANSER DAN RAWATAN KANSER

Kanser adalah penyakit kronik yang disebabkan oleh pelbagai faktor. Dikatakan terdapat lebih 200 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia pada hari ini. Hampir setiap sel dari setiap organ badan manusia boleh bertukar menjadi kanser jika ianya terdedah kepada punca kanser. Setiap jenis kanser mempunyai ciri-ciri yang berbeza bukan sahaja dari segi sifat kanser itu merebak tetapi juga berbeza dari segi sejauh mana ganasnya kanser tersebut. Faktor yang menjadi penyebab terjadinya kanser dinamakan karsinogen. Karsinogen boleh wujud di dalam pelbagai bentuk seperti bahan kimia tertentu, organisma seperti virus dan bakteria, radiasi dan ada juga yang mengaitkannya dengan keradangan kronik. Apa yang karsinogen ini lakukan adalah menyebabkan berlakunya mutase ataupun kelainan kepada bahan genetic yang terdapat di dalam sel-sel yang diserang. Bahan genetic tersebut penting untuk mengawal pembahagian sel dan apabila ianya rosak, proses pembahagian sel menjadi tidak terkawal dan lama kelamaan sel-sel tersebut akan bertukar menjadi sel kanser. Kelainan genetic ini boleh juga diturunkan kepada anak-anak tetapi hanya 10-15% daripada kanser yang dihidapi oleh manusia disebabkan oleh faktor keturunan ini. Selebihnya, kanser disebabkan oleh faktor luaran ataupun dalaman yang boleh menyerang sesiapa sahaja walaupun seseorang itu tidak mempunyai faktor keturunan yang disebutkan tadi.

Seperti yang disebutkan tadi, terdapat banyak jenis kanser yang mempunyai sifat yang berbeza dan perlu dirawat dengan kaedah yang berbeza. Melalui kaedah perubatan moden rawatan kanser terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, rawatan hormone, rawatan “targeted therapy” dan rawatan imun (immunotherapy). Kanser yang berbeza memerlukan kaedah rawatan yang berbeza, malahan jika rawatan kemoterapi digunakan, jenis agen antikanser yang akan dipilih juga mungkin berbeza. Jenis rawatan yang akan dipilih bergantung kepada beberapa faktor iaitu jenis kanser, peringkat kanser dan juga tahap keganasan kanser tersebut. Jenis rawatan kanser juga bergantung kepada kekuatan badan pesakit dan juga samada pesakit sudah pernah menerima rawatan sebelum ini.

Apabila menentukan jenis rawatan kanser, pakar kanser akan terlebih dahulu menentukan jenis, peringkat dan juga sejauh mana kanser tersebut sudah merebak. Kanser boleh merebak ke seluruh badan dan kadangkala kanser itu terlalu kecil untuk dikesan dengan kaedah pengesanan yang ada pada hari ini. Jadi kanser boleh wujud di dalam dua keadaan, iaitu 1. Setempat (“localized disease”) dan 2. Sudah merebak ke merata tempat (“systemic disease”). Apabila kanser tersebut berada di satu tempat sahaja, ianya dikatakan setempat ataupun localized dan rawatan kanser seumpama ini boleh dilakukan melalui semua kaedah rawatan yang dinyatakan. Kebanyakan kanser setempat akan ditangani dengan kaedah pembedahan ataupun rawatan radioterapi. Apabila kanser sudah merebak di banyak tempat, kemungkinan besar rawatan pembedahan dan radioterapi tidak boleh dilakukan ataupun tidak mampu untuk merawat kerana terlalu banyak bahagian badan yang terlibat. Di dalam keadaan ini, pesakit perlu menerima rawatan sistemik ataupun rawatan yang boleh dibawah ke seluruh badan dan dapat mematikan sel-sel kanser di mana sahaja ianya berada. Di antara kaedah rawatan sistemik yang paling kerap digunakan adalah rawatan kemoterapi. Lain-lain bentuk rawatan sistemik untuk merawat kanser adalah rawatan hormone, rawatan "targeted therapy" dan rawatan baru yang sedang dikaji iaitu rawatan imun ataupun immunotherapy. Di samping itu pembaca juga perlu faham bahawa kanser yang berbeza mempunyai tindakbalas yang berbeza ke atas rawatan kanser yang berbeza. Ada kanser yang lebih berkesan dirawat dengan rawatan kemoterapi daripada radioterapi ataupun pembedahan. Ada juga kanser yang lebih berkesan dirawat dengan kaedah pembedahan daripada rawatan kemoterapi dan seterusnya.

Seperti yang dinyatakan tadi, bukan satu perkara yang mudah untuk mengesan kanser yang sudah merebak ke merata tempat lebih-lebih lagi jika ianya masih kecil. Jadi untuk tujuan merawat kanser yang sudah merebak ke bahagian lain badan, di samping rawatan setempat  dengan pembedahan ataupun radioterapi, Pakar kanser juga perlu memberi rawatan sistemik seperti kemoterapi. Rawatan sistemik yang diberikan kepada pesakit seumpama ini dinamakan kemoterapi adjuvant. Pemberian kemoterapi ini akan merawat kanser-kanser yang sudah merebak samada yang boleh dikesan ataupun tidak, dengan rawatan ini maka kadar kejadian semula kanser akan dapat dikurangkan dan kemungkinan untuk sembuh akan dapat ditingkatkan.

BAGAIMANA MENGUJI KEBERKESANAN RAWATAN KANSER

Kaedah menentukan keberkesanan rawatan kanser tidak banyak berbeza dengan kaedah menguji keberkesanan kaedah rawatan-rawatan lain yang mempunyai fasa pra-klinikal, fasa 1, fasa 2, fasa 3 dan fasa 4. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam apakah fasa-fasa ini sila rujuk tulisan saya yang terdahulu di pautan ini. Untuk menguji keberkesanan kaedah rawatan kanser, di samping melalui fasa-fasa yang disebutkan tadi, penyelidik bukan sahaja perlu menentukan keberkesanan  kaedah rawatan tersebut tetapi juga perlu mengkaji samada dengan rawatan tersebut, kadar kejadian semula kanser dapat dikurangkan dan jangkahayat pesakit dapat dipanjangkan. Memang sudah diketahui umum bahawa kanser boleh datang kembali walaupun kanser asal sudah dibuang keseluruhannya. Tidak guna mempunyai kaedah rawatan kanser yang hanya berkesan membuang ataupun mematikan sel-sel kanser pada masa rawatan sahaja tetapi tidak dapat mengurangkan kadar kejadian semula dan memanjangkan hayat pesakit. Pendek kata, kajian keberkesanan rawatan kanser adalah lebih mendalam dan jangkamasa kajian tentu sekali lebih panjang.

NANOKNIFE ATAUPUN “IRREVERSIBLE ELECTROPORATION (IRE)”

Dengan perkembangan teknologi sains perubatan yang semakin pesat, terdapat banyak kajian dan percubaan telah dilakukan untuk mencari kaedah rawatan kanser yang terbaik. Ahli sains mengkaji bagaimana supaya kanser yang masih belum merebak dapat dikeluarkan keseluruhannya tanpa memudaratkan pesakit. Mereka juga tidak berhenti mencari kaedah rawatan sistemik yang dapat membunuh sel-sel kanser dengan berkesan di samping dapat meminimakan kesan sampingan kepada sel-sel normal pesakit.

Apabila kanser masih berada di satu tempat dan belum merebak, ianya boleh dirawat dengan pembedahan ataupun rawatan radioterapi. Rawatan setempat yang berkesan akan dapat mengurangkan kadar kejadian semula kanser dan memanjangkan hayat pesakit. Sehingga ke hari ini terdapat beberapa kaedah alternative yang telah dikaji oleh ahli sains untuk merawat kanser setempat selain dari pembedahan dan radioterapi seperti “radiofrequency ablation”, “microwave ablation”, dan “cryoablation”. Walaupun kaedah-kaedah ini berkesan tetapi ianya masih belum dapat dijadikan pilihan yang lebih baik dari kaedah konvensional kerana kelemahannya memerlukan tenaga haba dan menyebabkan kematian sel-sel yang normal, di samping proses pemulihan yang perlahan. Salah satu lagi kaedah yang sedang dikaji sebagai kaedah rawatan kanser setempat dinamakan kaedah Nanoknife. Dengan rawatan pembedahan dan radioterapi ataupun kaedah-kaedah alternative yang disebutkan tadi, ada setengah kanser yang sukar dihapuskan sepenuhnya disebabkan oleh kedudukannya yang dekat dengan organ penting dan merbahaya. Apa yang agak istimewa tentang Nanoknife adalah  ianya tidak menggunakan tenaga haba (“thermal energy”) dari arus elektrik, tetapi menggunakan tenaga elektrik yang diberikan secara khusus sehingga menyebabkan sel kanser yang disasarkan mati secara semulajadi ataupun dikenali sebagai apoptosis (melalui pembentukan liang ataupun rongga kecil pada selaput sel kanser) tanpa memberi kesan negatif kepada sel-sel di sekeliling, matrik ektraselular, saluran darah dan lain-lain struktur berdekatan, di samping membenarkan tisu normal pulih dengan cepat.

Perkataan “nano” di dalam nama “Nanoknife” merujuk kepada saiz lubang yang dihasilkan pada dinding sel-sel apabila dikenakan medan elektrik yang kuat. Proses penghasilan liang-liang ini dikenali sebagai “Electroporation”. Apabila liang-liang ini dihasilkan, maka ia meningkatkan keporosan sel dan akibatnya boleh menganggu proses homeostasis di dalam sel. Proses ini boleh berlaku secara kekal ataupun sementara. Apabila ianya berlaku secara sementara ia dikenali sebagai “reversible electroporation” dan jika ianya kekal (jika aliran elektrik lebih tinggi dikenakan) dan menyebabkan kematian sel, ianya dikenali sebagai “irreversible electroporation”.  Kaedah Electroporation telah digunakan semenjak 30 tahun yang lalu tetapi pada awalnya menggunakan kaedah reversible electroporation  untuk  banyak kegunaan perubatan seperti memindahkan gen ke dalam sel untuk merawat gen (electrochemotherapy) dan memasukkan ubat antikanser ke dalam sel (electrochemotherapy).

Penggunaan Nanoknife untuk membunuh sel kanser melalui kaedah “irreversible electroporation” mula dilapurkan kejayaan penggunaanya ke atas manusia lebih kurang 6 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2010 oleh Pech et al.(1) Alat ini menggunakan generator yang mampu mengalirkan aliran elektrik secara denyutan (pulses) yang mengubah potensi transmembrane pada selaput sel dan mengakibatkan gangguan kepada lapisan lemak dan mengwujudkan liang-liang bersaiz nano pada selaput sel. Ini mengakibatkan selaput sel menjadi poros dan kemudiannya sel-sel ini akan mati. Hasilnya adalah kematian sel-sel yang disasarkan melalui proses apoptosis (sama seperti kematian sel badan secara semulajadi) dan meninggalkan sempadan yang jelas di antara kawasan sel yang mati dengan sel-sel yang hidup. Apabila sel-sel ini dimatikan melalui proses apoptosis, di samping kesan minima ke atas matrik sel dan sel-sel normal di sekelilingnya, proses penyembuhan ataupun pemulihan boleh berlaku dengan lebih cepat selepas rawatan, dikatakan proses pemulihan itu mula berlaku seawal 24 jam selepas rawatan berbanding dengan kaedah penghapusan lain menggunakan tenaga haba. Satu lagi ciri-ciri Nanoknife berbanding dengan kaedah penggunaan tenaga haba yang lain adalah kesannya tidak dipengaruhi oleh pengurangan haba (“cooling effect”) ataupun penyejukan yang diakibatkan oleh aliran darah di kawasan yang dirawat. Jika kanser tersebut mempunyai saluran darah yang banyak ataupun berdekatan dengan salur darah besar, walaupun berlaku proses penyejukan, keberkesanan Nanoknife tidak terjejas, berbeza dengan kaedah lain yang disebutkan. Jadi Nanoknife dapat menghapuskan sel-sel kanser walaupun di kawasan yang mempunyia banyak salur darah. Kesan memusnahkan sel kanser oleh Nanoknife juga dapat dilihat melalui pemerhatian real time sebelum, semasa dan selepas rawatan dilakukan.

Mesin Nanoknife yang pertama digunakan ke atas manusia dilapurkan oleh Bertacchini et al pada tahun 2007 (2). FDA telah meluluskan penggunaan Nanoknife untuk tujuan rawatan pada bulan Oktober 2011. Untuk sasaran isipadu kanser yang bersaiz 50 – 70 cm padu, generator perlu menghasilkan denyutan arus elektrik sehingga 3000 volt dan arus elektrik sehingga 50 A. Mesin Nanoknife ini mengandungi dua komponen utama iaitu satu Generator dan “electrode probes”. Electrode probe berbentuk jarum sepanjang 15cm dan dimasukkan ke kawasan di mana terletakkan kanser yang hendak dirawat. Bilangan probe yang hendak digunakan bergantung kepada saiz kanser yang hendak dimusnahkan. Probe ini dapat dimasukkan melalui panduan ultrasound ataupun CT scan, jadi ianya adalah salah satu kaedah prosedur “minimally invasive”. Untuk meminimakan berlakunya gangguan denyutan jantung akibat aliran elektrik dari alat ini, aliran elektrik dari generator perlu disinkronikan dengan ketika masa refrektori kitaran jantung menggunakan alat ECG synchronizer. Jika ini tidak dilakukan, medan elektrik yang dihasilkan boleh mengganggu aliran elektrik pada jantung dan menyebabkan “arrhythmia” ataupun denyutan jantung yang tidak menentu. Jangkamasa rawatan adalah singkat iaitu hanya beberapa minit sahaja. Disebabkan rawatan ini memerlukan pesakit tidak bergerak, pesakit perlu diberi bius umum dan ubat perencat pengecutan otot (muscle relaxant). Penambahbaikan alat ini dilakukan dari masa kesemasa dan mungkin satu hari nanti pesakit tidak perlu dibius ataupun diberikan ubat perencat pengecutan otot (muscle relaxant).

Menyediakan rawatan Nanoknife memerlukan kepakaran dan perancangan teliti kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mengenalpasti tempat dan saiz kawasan yang hendak dirawat, di samping memerlukan pengiraan matematik yang kompleks mengukur arus elektrik yang hendak digunakan sehingga berkesan mematikan sel-sel kanser. Jika sasaran tidak tepat dan medan elektrik yang dikenakan tidak mencukupi, ada kemungkinan proses mematikan sel-sel yang disasarkan tidak dapat berlaku sepenuhnya. Di samping itu keberkesanan aplikasi kaedah ini terutamanya medan elektrik yang dihasilkan sangat bergantung kepada konduktiviti di sekeliling, kehadiran logam contohnya stent di dalam saluran pundi hempedu akan menyebabkan taburan tenaga elektrik yang tidak serata. Zon pemusnahan juga boleh menjadi tidak sekata dengan kehadiran air kencing di pundi kencing kerana air kencing boleh memberi konduktiviti arus elektrik yang tinggi. Rawatan ini selalunya diberikan oleh Pakar Radiologi yang terlatih dikenali “Interventional Radiologist” bersama dengan Pakar Onkologi. Jadi keberkesanan rawatan dengan menggunakan kaedah Nanoknife ini bergantung kepada banyak faktor.

KAJIAN DAN APLIKASI NANOKNIFE

Seperti yang dinyatakan tadi, Nanoknife adalah satu kaedah merawat kanser setempat yang dikategorikan sebagai rawatan ablative setempat (“local ablative therapy”) iaitu memusnahkan kanser yang belum merebak ke tempat lain. Ia tidak boleh digunakan untuk merawat kanser yang sudah merebak ke banyak tempat. Potensi Nanoknife untuk menjadi kaedah merawat kanser setempat adalah besar berdasarkan kepada hasil kajian dan juga aplikasi awal pakar kanser. Walau bagaimanapun, persoalannya adakah rawatan ini berkesan mengurangkan kadar kejadian kanser dan memanjangkan hayat pesakit? Perlu juga diingatkan bahawa walaupun rawatan Nanoknife ini telah diberikan, pesakit masih memerlukan rawatan lain seperti kemoterapi ataupun radioterapi bergantung kepada jenis kanser yang .
  1. Rawatan Kanser Hepar (Hati). Kajian praklinikal ke atas arnab menunjukkan bahawa Nanoknife dapat memusnahkan kanser hati tanpa komplikasi (3). Kajian klinikal ke atas pesakit telah dijalankan tetapi bilangan pesakit adalah terhad dan kajian retrospektif menunjukkan bahawa Nanoknife dapat merawat kanser hati walaupun terletak berdekatan dengan vena hepatic major yang sukar dirawat dengan kaedah konvensional. Walaupun ianya berkesan memusnahkan kanser tetapi selepas 12 bulan, hampir 60% mendapat kanser semula, kadar kejadian kanser datang semula bergantung kepada saiz tumour, kanser yang bersaiz melebihi 4 cm mempunyai kadar kejadian semula yang tinggi.
  2. Rawatan Kanser Pankreas. Kajian prospektif ke atas 27 pesakit yang mengalami kanser pancreas setempat tetapi tidak dapat dirawat dengan pembedahan telah dilakukan, terdapat satu kematian tetapi baki pesakit tidak mendapat komplikasi serius selepas rawatan. Banyak lagi kajian yang melibatkan kanser pancreas yang tidak dapat dirawat dengan kaedah konvensional menunjukkan keberkesanan kaedah rawatan ini walaupun pesakit-pesakit ini juga memerlukan rawatan kemoterapi dan/atau radioterapi. Walaupun bilangan pesakit yang terlibat masih kecil tetapi ada petanda awal bahawa kaedah rawatan dengan Nanoknife ini dapat memanjangkan hayat pesakit 7 bulan lebih panjang dari menggunakan kaedah konvensional.(4)
  3. Rawatan Kanser Paru-Paru. Rawatan mengeluarkan kanser paru-paru pada bahagian mediastinum berdekatan dengan jantung adalah berisiko tinggi jika menggunakan kaedah konvensional. Kaedah konvensional juga berpotensi merosakkan tisu paru-paru, saluran pernafasan dan jantung. Bilangan kes kanser paru-paru yang dirawat dengan Nanoknife adalah terlalu terhad dan ianya hanyalah “case reports” dan hasilnya sukar untuk dibuat kesimpulan walaupun berjaya dilakukan ke atas sekumpulan kecil pesakit tanpa mengalami komplikasi.
  4. Rawatan Kanser Buah Pinggang. Kajian hanya terhad ke atas haiwan iaitu kajian praklinikal. Belum ada aplikasi Nanoknife ke atas manusia yang menghidap kanser buah pinggang.
  5. Kanser Usus. Kajian ke atas haiwan menunjukkan Nanoknife dapat memusnahkan kanser yang terletak di sekeliling usus tanpa kecederaan serius ke atas dinding usus.
  6. Kanser Otak. Kajian ke atas haiwan iaitu kucing dan anjing menunjukkan potensi Nanoknife untuk merawat kanser otak.
  7. Kanser Payudara. Sel kanser dari manusia dipindahkan ke atas tikus betina dan menunjukkan potensi Nanoknife untuk merawat kanser payudara setempat satu hari nanti.
  8. Kanser Serviks. Kajian makmal ke atas sel-sel kanser serviks dilakukan dan menunjukkan hasil yang positif kerana kaedah Nanoknife dapat mematikan sel kanser.
  9. Kanser Prostat. Kajian haiwan dengan mengenakan Nanoknife ke atas prostat anjing yang normal mendapati ianya mampu memusnahkan prostat tanpa mencederakan struktur-struktur di sekelilingnya seperti uretra dan saluran darah. Nanoknife juga digunakan ke atas sel-sel kanser prostate di dalam makmal dan ahli sains dapat mengenalpasti kekuatan aliran elektrik yang diperlukan untuk mematikan sel-sel kanser prostat.
  10. Sarkoma. Nanoknife hanya digunakan ke atas tikus di dalam kajian makmal.Nanoknife didapati dapat mematikan sel-sel kanser jenis sarcoma yang dipindahkan kepada tikus.







KESAN SAMPINGAN NANOKNIFE

Berbanding dengan kaedah “local ablative therapy” yang lain, Nanoknife bolehlah dikatakan mempunyai kadar kesan sampingan yang lebih kecil jika dilakukan oleh pakar yang terlatih. Kajian sistemik menunjukkan bahawa kadar komplikasi yang dikaitkan secara langsung dengan Nanoknife adalah 13% dengan kadar kematian 2% (6). Kesan sampingan yang paling kerap direkodkan adalah radang pancreas (pancreatitis), pneumothorax (angin di dalam rongga dada), darah beku pada bahagian suntikan probe, sakit perut, kebocoran hempedu, kebocoran pancreas, luka pada duodenum dan darah beku dalam saluran vena. Jika prosedur ini dilakukan oleh doktor yang kurang berkemahiran, rawatan yang diberikan mungkin tidak lengkap dan kanser tidak dapat dimusnahkan keseluruhannya.

KESIMPULAN

Kanser adalah penyakit kronik yang memerlukan kepakaran tinggi untuk merawatnya. Sehingga ke hari ini kaedah rawatan kanser konvensional terdiri dari beberapa jenis seperti pembedahan, radioterapi, kemoterapi, hormonal terapi dan targeted terapi. Terdapat lebih 200 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia dan setiap kanser mempunyai ciri-ciri dan kaedah rawatan yang mungkin berbeza. Kaedah rawatan bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser dan sejauh mana kanser tersebut telah merebak. Kanser yang masih belum merebak dapat dirawat dengan kaedah pembedahan ataupun rawatan radioterapi, manakala kanser yang sudah merebak ke banyak tempat memerlukan rawatan sistemik seperti kemoterapi, terapi hormone ataupun terapi targeted. Kanser yang masih belum merebak ke merata tempat dinamakan kanser setempat. Kanser setempat boleh juga dimusnahkan dengan kaedah-kaedah lain selain dari pembedahan dan radioterapi. Kaedah-kaedah memusnahkan kanser setempat ini dapat dilakukan dengan kaedah menggunakan tenaga haba samada haba yang panas ataupun menggunakan sejukbeku. Kaedah menggunakan tenaga haba ini mempunyai kekurangannya iaitu ia menyebabkan kecederaan ke atas sel-sel dan tisu-tisu di sekeliling di samping proses penyembuhan ataupun pemulihan yang perlahan. Kaedah yang terbaru dikategorikan sebagai rawatan setempat kanser adalah Irreversible Electroporation ataupun dikenali sebagai Nanoknife. Setakat ini dua jenis kanser yang sering dikaitkan dengan rawatan Nanoknife adalah kanser Hepar (hati) dan Kanser Pancreas, walaupun ianya boleh juga digunakan ke atas sebarang jenis kanser. Nanoknife menggunakan kaedah medan elektrik kuat yang menyebabkan wujudnya liang-liang kecil bersaiz nano di selaput sel kanser sehingga sel-sel ini boleh mati. Kelebihan Nanoknife adalah kemampuan menyebabkan kematian sel kanser secara apoptosis (semulajadi) tanpa kecederaan ataupun kematian sel-sel serta tisu-tisu berdekatan, di samping proses pemulihan yang lebih cepat. Jangka masa rawatan menggunakan Nanoknife ini juga singkat dan kesannya dapat dilihat secepat 24 jam selepas rawatan dilakukan. Di sebabkan oleh kaedah ini masih dianggap baru, maka aplikasinya hanya terhad ke atas kanser setempat yang sukar ataupun tidak dapat dirawat dengan kaedah rawatan konvensional. Di samping itu, di dalam banyak keadaan kaedah ini perlu digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti kemoterapi ataupun radioterapi untuk meningkatkan keberkesanan. Bukti-bukti keberkesanannya terutama dari aspek jangkahayat pula masih lagi belum mencukupi kerana belum ada kajian prospektif control trial yang besar dilakukan ke atas manusia. Setakat ini bukti keberkesanannya hanya berasaskan kepada kajian ke atas haiwan, aplikasi ke atas beberapa orang pesakit (“case reports”) dan kajian-kajian yang menggunakan bilangan sampel yang kecil. Di samping itu, protokol rawatan menggunakan Nanoknife ini memerlukan ketelitian dan kepakaran tinggi bagi menentukan kekuatan medan elektrik yang perlu digunakan, bilangan probe yang perlu digunakan, merancang sasaran untuk dirawat, jangkamasa rawatan dan juga pemantauan pesakit. Potensi penggunaan Nanoknife sebagai alternatif kepada kaedah-kaedah konvensional merawat kanser setempat (yang belum merebak) adalah besar dan kita berharap kaedah rawatan ini dapat diperbaiki serta lebih banyak kajian-kajian dilakukan untuk melihat kesan kaedah ini di dalam mengurangkan kadar kejadian kanser berulang dan memanjangkan hayat pesakit. Sehingga rencana ini ditulis, Nanoknife masih dianggap kaedah yang sedang dikaji dan digunakan ke atas pesakit yang tidak boleh dirawat dengan kaedah konvensional. Ianya juga tidak dapat merawat kanser yang sudah merebak ke merata tempat. Jadi Nanoknife belum lagi dapat menggantikan kaedah rawatan kanser konvensional sebagai rawatan standard (pilihan pertama).

RUJUKAN

1.Pech M, Janitzky A, Wendler JJ, et al. Irreversible electroporation of renal cell carcinoma: a first in man phase 1 clinical study. Cardiovasc Intervent Radio, 2011;34:132-8.
2.Bertacchini C, Margotti PM, Bergamini E, et al. Design of an irreversible electroporation system for clinical use. Technol Cancer Res Treat, 2007;6:313-20
3. Lee EW, Wong D, Tafti BA, et al.Irreversible electroporation in eradication of rabbit VX2 liver tumour. J Vasc Interv Radiol, 2012;23:833-40
4. Martin End RC McFarland, Ellis S, et al. Irreversible electroporation in locally advanced pancreatic cancer: potential improved overall survival. Ann Surg Oncol, 2013;20(Suppl.3):S443-9
5.S. J. E. Rombouts, J. A. Vogel, H. C. van Santvoort et al., “Systematic review of innovative ablative therapies for the treatment of locally advanced pancreatic cancer,” British Journal of Surgery, vol. 102, no. 3, pp. 182–193, 2015.
6. Jourabchi N, Beroukhim K, Tafti BA, et al. Review Article. Irreversible electroporation (Nanoknife) in cancer treatment. Gastrointest Interv, 2014;3:8-18.
7. Silk M, Tahour D, Srimathveeravalli G, et al. The state of Irreversible Electroporation in Interventional Oncology. Semin Intervent Radiol, 2014;31:111-117
8. Paiella S, Salvia R, Ramera M, et al. Review Article. Local Ablative Strategies for Ductal Pancreatic Cancer (Radiofrequency Ablation, Irreversible Electroporation): A Review. Gastroenterology Research and Practice, Volume 2016 (2016), Article ID 4508376, 10 pages http://dx.doi.org/10.1155/2016/4508376

https://en.wikipedia.org/wiki/Irreversible_electroporation

VIDEO MENGENAI NANOKNIFE



RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL BAHAN DI DALAM RENCANA INI UNTUK APA SAHAJA TUJUAN TANPA MENDAPAT KEBENARAN DARI PENULIS.

No comments:

Post a Comment