Saturday, April 29, 2017

KE MANA ARAH PERJALANAN HUFFAZ DI NEGARA KITA ?



Program Tahfiz Darul Quran (1) mungkin pilihan terbaik kepada ibubapa yang ingin menghantar anak2 mereka ke institusi yang menyediakan program tahfiz yang sistematik dan terancang. Saya sempat membuat pencarian maklumat mengenai Insititusi Darul Quran ini yang merupakan program di bawah JAKIM di mana kampusnya terletak di Kuala Kubu Baru. Saya kongsi beberapa maklumat mengenai program tahfiz Darul Quran semoga boleh menjadi panduan kepada ibubapa di samping untuk simpanan diri saya sendiri.

Sejarah penubuhan Darul Quran (asalnya dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat) ini adalah panjang semenjak tahun 1966 yang diilhamkan oleh Almarhum Tunku Abd Rahman (baca sejarah di rujukan 2). Kini Maahad Tahfiz Darul Quran terletak di Kuala Kubu Bharu.

Terdapat sekurang2nya 4 program utama yang disediakan oleh Darul Quran:

1. PERSIJILAN TAHFIZ AL-QURAN (DQ-UIA), kolaborasi Darul Quran (DQ) dengan Universiti Islam Antarabangsa. Pelajar-pelajar lulusan SPM dan setaraf yang memenuhi syarat kelulusan yang ditetapkan boleh memasuki program ini selama 18 bulan untuk menjadi Huffaz sebelum melanjutkan pelajaran di dalam bidang2 Profesional lain seperti Sains, Perubatan, Kejuruteraan dll di UIA. (3)

2. DIPLOMA TAHFIZ AL-QURAN, program 3 tahun (menghafal 30 juzuk Al-Quran) di samping matapelajaran pilihan yang lain. Program ini ditawarkan kepada lulusan SPM dan setaraf dengan memenuhi syarat lulus minima yang ditetapkan serta lulus temuduga (4).

3. IJAZAH SARJANA MUDA PENGAJIAN QURAN DAN SUNNAH. Pemegang Diploma Tahfiz Al-Quran dari Darul Quran boleh memohon melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), melalui UPU . Program yang memakan masa 4 tahun (5)

4. SIJIL TAHFIZ MALAYSIA. Darul Quran mengeluarkan Sijil Tahfiz Malaysia kepada sesiapa yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran daripada mana2 Maahad Tahfiz samada kerajaan ataupun swasta. Pemohon perlu lulus ujian yang disediakan oleh Darul Quran dan berusia tidak kurang daripada 15 tahun. Pusat2 Tahfiz ini hendaklah yang telah berdaftar dengan Majlis Agama Islam. Dengan memiliki sijil tahfiz ini, Huffaz2 ini akan berpeluang melanjutkan pelajaran mereka.

Darul Quran juga menyediakan program tahfiz kepada orang kurang upaya. Walaupun dikatakan paling terancang, mengikut kajian yang dijalankan oleh Abdulsyahid Ridzzuan dan Dr. Tengku Intan Zarina, Darul Quran boleh menjadi lebih baik daripada yang ada pada hari ini, mereka juga mencadangkan beberapa penambahbaikan di dalam kertas kajian mereka (6).

Konsep Pusat Tahfiz Darul Quran ini boleh menjadi model yang terbaik dan rujukan kepada pusat2 tahfiz yang lain. Ia sepatutnya menjadi pusat rujukan dan tumpuan semua produk2 keluaran pusat2 tahfiz yang sedia ada samada dimiliki oleh kerajaan ataupun swasta. Sehingga hari ini Huffaz2 yang dihasilkan daripada maahad2 tahfiz lain yang banyak jumlahnya di negara kita sebenarnya mempunyai perjalanan yang masih panjang. Jika perancangan teliti tidak dilakukan, mereka akan terbiar begitu sahaja tanpa arah tujuan masa depan.

Kita ingin melihat objektif Program Tahfiz ini dapat dicapai seperti mana yang digariskan di dalam Objektif penubuhan Darul Quran (7) iaitu untuk menghasilkan Huffaz (Hafiz dan Hafizah), Qurra (mahir bacaan dan Qiraat) dan Du'at (Pendakwah). Pendakwah tidak semestinya di dalam kerjaya bidang agama, tetapi juga bidang2 ilmu keduniaan. Mungkin satu hari nanti kita akan melihat munculnya ilmuan2 hebat yang serba boleh di dalam bidang ilmu keduniaan dan ilmu akhirat seperti Ibnu Sina, al Farabi, Ibnu Rusyd dan lain2.

RUJUKAN

1. http://www.darulquran.gov.my
2. http://www.darulquran.gov.my/index.php…
3. http://www.darulquran.gov.my/index.php…
4. http://www.darulquran.gov.my/index.php…
5. http://fpqs.usim.edu.my/pro…/ijazah-pertama/quran-dan-sunnah
6. http://www.academia.edu/…/PERSEPSI_PELAJAR_TERHADAP_SISTEM_…
7. http://www.darulquran.gov.my/index.php…
8. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp…

9. http://rozaimiramle.blogspot.my/2012/10/benarkah-penghafal-al-quran-boleh-beri.html

Dato Dr.Mohd Rushdan Md Noor

SIKAP CEPAT MENGHUKUM DAN CARA MENANGANINYA



Terlalu cepat menghukum ataupun “prejudging” adalah penyakit hati yang sedang melanda masyarakat kita. Sikap prejudis dan buruk sangka (su’udzon) menyerang semua peringkat masyarakat tidak kira kedudukan dan pangkat, hatta dalam kalangan agamawan dan pendakwah sekalipun. Hanya dengan melihat gerak badan, pakaian, pertuturan malahan mimik muka sahaja pun, kita sudah menghukum dan melabel seseorang. Dengan hanya mendengar sedutan pendek ucapan dan membaca tajuk berita sahaja kita sudah membuat kesimpulan. Jikapun sikap ini tidak ditonjolkan secara fizikal, di dalam hati sudah siap terpahat prasangka buruk. Banyak hukuman dan label yang diberikan antaranya “bodoh”, “sombong”, “jahat”, “kurang iman”, “singkat otak”, “tidak matang” dan yang lebih parah lagi “kafir”, “murtad”, “sesat” dan “ahli neraka”.

Ahli Sains percaya bahawa sikap prasangka sebenarnya boleh terjadi secara semulajadi, sikap yang tertanam di dalam diri seseorang terhadap orang lain yang berbeza contohnya daripada segi kepercayaan, rupa fizikal, warna kulit, bangsa dan juga gaya hidup. Kajian terhadap kanak-kanak berusia 3 tahun menunjukkan bahawa apabila mereka dibiasakan dengan memakan bijirin, kanak2 ini akan lebih cenderung kepada invididu yang mempunyai citarasa yang sama, sebaliknya akan menjauhkan diri daripada individu yang gemar mengambil makanan yang berbeza. Sikap prejudis ini rupa-rupanya boleh pula diturunkan kepada  generasi seterusnya melalui proses sosialisasi jika ianya tidak dikawal. Kesan sikap prejudis ini semakin mudah dilihat apabila berlaku persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad samada dalam aspek politik, ekonomi, social dan sebagainya. Walau bagaimanapun sikap cepat menghukum dan prasangka ini sebenarnya boleh dihapuskan jika kita mempunyai prinsip hidup yang betul.

Mari sama-sama kita cuba amalkan 6 tip ataupun panduan untuk MENCEGAH  diri daripada menjadi seorang yang cepat menghukum dan buruk sangka kepada orang lain.

1. Cuba dekati orang berkenaan dan mengenalinya dengan lebih dekat. Letakkan diri kita di kedudukan beliau. Apabila kita mengenali seseorang dengan lebih dekat, kita akan faham mengenai tabiat dan sikap sebenar yang ada pada dirinya.

2. Melihat seseorang daripada sudut POSITIF dan bukan negatif. Pendek kata, kita berbaik sangka dgn orang berkenaan. Setiap orang mempunyai latarbelakang dan perjalanan hidup yang berbeza daripada kita. Kita tidak boleh menghukum orang lain berdasarkan kepada latarbelakang, kepercayaan dan perjalanan hidup kita. Contohnya kita sedang melihat seorang wanita yang berhijab dan pada waktu yang sama melakukan perkara haram. Di dalam fikiran kita, kita hanya nampak sikap negatifnya dan memperlekehkannya dengan berkata “apalah dia berhijab tapi melakukan perkara haram”. Sedangkan mungkin pada saat tersebut dia baru sahaja memulakan langkah berhijrah dgn berhijab tetapi masih cuba berusaha membuang tabiat buruk yang lain. Kita hanya bertemu dengannya pada satu titik masa dan kita tidak tahu perjalanan serta ranjau hidup yang telah beliau lalui.

3. Nilai diri sendiri dahulu sebelum cuba menilai dan menghukum orang lain. Orang yang nampak tidak baik pada hari ini tidak semestinya akan berterusan begitu. Mereka boleh menjadi lebih baik daripada kita di masa hadapan. Jika kita merasakan diri ini hebat ataupun mulia pada hari ini, tidak siapapun yang mampu (kecuali Allah) menjangka apakah kesudahan hidup kita, apatah lagi kedudukan kita di akhirat kelak, neraka ataupun syurga. Sibukkan diri dengan aktiviti yang boleh memperbaiki diri sendiri daripada sibuk menilai dan menghukum orang lain. 

4. Tanamkan sikap obses mencari kebenaran dan tidak mudah terpengaruh dengan satu dua petikan ucapan, tajuk rencana dan tulisan pendek. Obses dalam mencari fakta yang tepat. Dengar keseluruhan ucapan dan nilai kredibiliti penulis serta rujukan. 

5. Menghukum seseorang berdasarkan kumpulan yang didokongnya adalah tidak adil dan terburu-buru. Lihatlah  seseorang itu pada asas individunya dan bukan kumpulannya, lebih-lebih lagi jika kumpulan itu adalah daripada bangsa dan agama yang sama. Ada juga yang menghukum seseorang hanya dengan menilai keluarganya ataupun orang yang dekat dengannya. Jangan sekali-kali menghukum ataupun menilai seseorang berdasarkan inferen yang salah. Pada waktu yang sama, menghukum kumpulan berdasarkan kepada sikap ahlinya juga adalah salah.

6. Bersihkan diri dengan ibadat dan kerja amal. Kepada orang Islam, banyak hadith yang menjelaskan bahaya buruk sangka (su’udzon) dan panduan oleh nabi junjungan kita. Dari Abu Hurairah , Nabi  bersabda: “Jauhilah oleh kalian berprasangka (kecurigaan), karena sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dustanya pembicaraan.” (HR. Bukhari dan Muslim). Malahan Allah menyamakan sikap buruk sangka seperti memakan daging saudaranya sendiri (Al-Hujurat:12).

Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah DA

Friday, April 14, 2017

ULAM RAJA BOLEH RAWAT KANSER: FAKTA ATAU AUTA



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

Masyarakat kita mudah terpengaruh dengan berita-berita kuasa penyembuh yang diwar-warkan oleh orang lain tanpa mengambilkira sumber dan juga kelayakan individu yang membuat dakwaan tersebut. Mereka juga sangat mudah menjadi teruja jika ada yang mendakwa  penyakit serius seperti kanser dapat dirawat dengan mengambil produk tumbuh-tumbuhan. Terdapat banyak dakwaan yang boleh anda baca samada di dalam akhbar ataupun di media sosial mengaitkan ulam raja dengan kanser. Saya telah membuat semakan mengenai perkara ini dan berikut adalah kesimpulan yang dapat saya rumuskan mengenai ulam raja dan  rawatan kanser. 

Ulam raja adalah sejenis tumbuhan yang daunnya digunakan oleh masyarakat kita sebagai ulam yang dimakan bersama dengan sambal. Nama saintifik ulam raja adalah Cosmos caudatus. Ia sangat mudah ditanam dan pokoknya boleh tumbuh sehingga ketinggian 2-3 meter. Lihat gambar di bawah untuk mengetahui mengenai rupa ulam raja dan bijinya. Ulam raja boleh ditanam dengan menanam anak pokok ataupun biji yang berbentuk panjang bewarna kelabu gelap.
 
Belum ada kajian yang menunjukkan ulam raja ataupun Cosmos caudatus dapat merawat kanser. Apa yang berlaku sebenarnya  adalah kekeliruan masyarakat di antara ulam raja dengan sejenis lagi pokok yang nampak sama dengannya iaitu pokok Artemisia Annua. Jadi sumber maklumat yang mengatakan ulam raja boleh merawat kanser ini mungkin datangnya daripada individu-individu tertentu yang terbaca mengenai pokok Artemisia Annua dan menyangka yang ianya pokok ulam raja. Kedua-dua pokok ini nampak serupa tetapi ciri-ciri kimianya berbeza. Salah satu ektraks pokok Artemisia annua adalah bahan kimia yang dikenali sebagai Artemisinin. Artemisinin menjalani ujian makmal (menggunakan ekstrak, bukan mentah) dan ke atas haiwan menunjukkan ada ciri-ciri antipembiakan sel tetapi kajiannya hanya peringkat praklinikal dan ianya diberikan melalui suntikan bukan makan. Jika nak makan ulam raja untuk sumber serat memang baik. Kajian makmal juga menunjukkan ulam raja mengandungi antioksidan yang tinggi, dipercayai ada antikeradangan, membantu mengawal gula darah, membunuh kuman dan menurunkan tekanan darah. Tetapi kajian-kajian ini adalah kajian awal, kebanyakannya adalah kajian ke atas haiwan dan bukan pengesahan. Pesakit masih perlu mengambil ubat yang diberikan oleh doktor dan mengamalkan gaya hidup sihat. Jika anda hendak mengamalkan makan ulam raja, anda boleh menanamnya sendiri dan ini akan dapat mengurangkan perbelanjaan di samping memastikan ulam ini segar dan bebas daripada racun. Ulam raja tidak boleh dikaitkan dengan rawatan penyakit kanser kerana ini adalah fakta yang TIDAK BENAR kerana kesilapan ramai penulis dan masyarakat yang menganggap ulam raja adalah pokok Artemisia annua. Jikapun benar ianya adalah pokok Artemisia, kajian mengaitkan pokok ini dengan rawatan kanser adalah masih terlalu awal (kajian praklinikal) dan hanya tertumpu kepada satu bahan kimia yang diambil daripada ekstrak pokok tersebut. Rajah di bawah adalah perbezaan di antara kedua-dua jenis pokok ini.








RUJUKAN

Cheng SH, Barakatun Nisak MY, Anthony J. Potential medicial benefits of Cosmos caudatus (Ulam Raja): A scoping review. J Res Med Sci, 2015;20(10):1000-1006


Lai H, Sasaki T, Singh NP. Targeted treatment of cancer with artemisinin and artemisinin-tagged iron-carrying compounds. Expert Opin Ther Targets, 2005 Oct;9(5):995-1007.

https://www.mskcc.org/cancer-care/integrative-medicine/herbs/artemisia-annua

https://en.wikipedia.org/wiki/Artemisia_annua

http://www.who.int/malaria/position_statement_herbal_remedy_artemisia_annua_l.pdf