Friday, April 14, 2017

ULAM RAJA BOLEH RAWAT KANSER: FAKTA ATAU AUTA



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

Masyarakat kita mudah terpengaruh dengan berita-berita kuasa penyembuh yang diwar-warkan oleh orang lain tanpa mengambilkira sumber dan juga kelayakan individu yang membuat dakwaan tersebut. Mereka juga sangat mudah menjadi teruja jika ada yang mendakwa  penyakit serius seperti kanser dapat dirawat dengan mengambil produk tumbuh-tumbuhan. Terdapat banyak dakwaan yang boleh anda baca samada di dalam akhbar ataupun di media sosial mengaitkan ulam raja dengan kanser. Saya telah membuat semakan mengenai perkara ini dan berikut adalah kesimpulan yang dapat saya rumuskan mengenai ulam raja dan  rawatan kanser. 

Ulam raja adalah sejenis tumbuhan yang daunnya digunakan oleh masyarakat kita sebagai ulam yang dimakan bersama dengan sambal. Nama saintifik ulam raja adalah Cosmos caudatus. Ia sangat mudah ditanam dan pokoknya boleh tumbuh sehingga ketinggian 2-3 meter. Lihat gambar di bawah untuk mengetahui mengenai rupa ulam raja dan bijinya. Ulam raja boleh ditanam dengan menanam anak pokok ataupun biji yang berbentuk panjang bewarna kelabu gelap.
 
Belum ada kajian yang menunjukkan ulam raja ataupun Cosmos caudatus dapat merawat kanser. Apa yang berlaku sebenarnya  adalah kekeliruan masyarakat di antara ulam raja dengan sejenis lagi pokok yang nampak sama dengannya iaitu pokok Artemisia Annua. Jadi sumber maklumat yang mengatakan ulam raja boleh merawat kanser ini mungkin datangnya daripada individu-individu tertentu yang terbaca mengenai pokok Artemisia Annua dan menyangka yang ianya pokok ulam raja. Kedua-dua pokok ini nampak serupa tetapi ciri-ciri kimianya berbeza. Salah satu ektraks pokok Artemisia annua adalah bahan kimia yang dikenali sebagai Artemisinin. Artemisinin menjalani ujian makmal (menggunakan ekstrak, bukan mentah) dan ke atas haiwan menunjukkan ada ciri-ciri antipembiakan sel tetapi kajiannya hanya peringkat praklinikal dan ianya diberikan melalui suntikan bukan makan. Jika nak makan ulam raja untuk sumber serat memang baik. Kajian makmal juga menunjukkan ulam raja mengandungi antioksidan yang tinggi, dipercayai ada antikeradangan, membantu mengawal gula darah, membunuh kuman dan menurunkan tekanan darah. Tetapi kajian-kajian ini adalah kajian awal, kebanyakannya adalah kajian ke atas haiwan dan bukan pengesahan. Pesakit masih perlu mengambil ubat yang diberikan oleh doktor dan mengamalkan gaya hidup sihat. Jika anda hendak mengamalkan makan ulam raja, anda boleh menanamnya sendiri dan ini akan dapat mengurangkan perbelanjaan di samping memastikan ulam ini segar dan bebas daripada racun. Ulam raja tidak boleh dikaitkan dengan rawatan penyakit kanser kerana ini adalah fakta yang TIDAK BENAR kerana kesilapan ramai penulis dan masyarakat yang menganggap ulam raja adalah pokok Artemisia annua. Jikapun benar ianya adalah pokok Artemisia, kajian mengaitkan pokok ini dengan rawatan kanser adalah masih terlalu awal (kajian praklinikal) dan hanya tertumpu kepada satu bahan kimia yang diambil daripada ekstrak pokok tersebut. Rajah di bawah adalah perbezaan di antara kedua-dua jenis pokok ini.








RUJUKAN

Cheng SH, Barakatun Nisak MY, Anthony J. Potential medicial benefits of Cosmos caudatus (Ulam Raja): A scoping review. J Res Med Sci, 2015;20(10):1000-1006


Lai H, Sasaki T, Singh NP. Targeted treatment of cancer with artemisinin and artemisinin-tagged iron-carrying compounds. Expert Opin Ther Targets, 2005 Oct;9(5):995-1007.

https://www.mskcc.org/cancer-care/integrative-medicine/herbs/artemisia-annua

https://en.wikipedia.org/wiki/Artemisia_annua

http://www.who.int/malaria/position_statement_herbal_remedy_artemisia_annua_l.pdf

No comments:

Post a Comment