Monday, April 3, 2017

DURIAN BELANDA MERAWAT KANSER: FAKTA ATAU AUTA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD, MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

Saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai punca terjadinya kanser dan bagaimana pakar kanser merawat kanser di dalam bab yang lalu. Pada hari ini terlalu banyak dakwaan ubat antikanser yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyakkannya tidak diketahui asal usul dakwaan tersebut. Walaupun ada di antara dakwaan tersebut mempunyai asas tetapi kebenarannya belum lagi terbukti kerana ianya berasaskan kepada kajian awal ataupun kajian praklinikal. Sepatutnya ahli-ahli sains yang menjalankan kajian praklinikal tidak mengheboh-hebohkan hasil kajian kerana ia akan memberi kesan kepada persepsi dan salah faham sehingga ada dalam kalangan orang awam yang terus mengambilnya sebagai satu bukti kebenaran. Apa yang dikuatiri adalah jika maklumat ini diterima oleh orang yang berkepentingan untuk meraih keuntungan dan mereka akan menghasilkan sendiri produk kesihatan yang kemudiannya didakwa boleh mencegah dan merawat kanser.

Di dalam bab ini saya akan menerangkan apakah sebenarnya khasiat buah durian belanda dan adakah ianya benar-benar boleh mencegah dan merawat penyakit kanser. Sebelum membaca bab ini saya sangat menganjurkan anda untuk membaca berkenaan dengan kaedah membuktikan keberkesanan di sini dan bab mengenai testimoni supaya mendapat gambaran yang jelas bagaimana ahli sains membuktikan keberkesanan sesuatu produk kesihatan ataupun ubat-ubatan.

DURIAN BELANDA

Durian belanda juga dikenali sebagai Graviola dan dalam bahasa Inggeris dipanggil soursop. Ianya adalah buah berduri bewarna hijau yang pokoknya boleh didapati di negara Afrika, Amerika Selatan dan juga di Asia Tenggara. Mempunyai isi yang lembut bewarna putih dan rasanya masam-masam manis. Nama saintifik pokok ini adalah Annona muricata. Seperti mana buah-buahan dan tumbuhan lain, terdapat banyak bahan kimia yang terkandung di dalamnya, salah satu kompoun yang dikatakan aktif di dalam buah durian belanda adalah annonaceous acetogenins. Terdapat banyak jenis bahan kimia yang dikategorikan di bawah acetogenins ini termasuk Annonacin, Bullatacin, Isoquinolin dan lain-lain. Pada awalnya daun dan buah durian belanda ini digunakan oleh penduduk Afrika dan Amerika Selatan untuk tujuan merawat jangkitan virus serta parasit, sakit sendi dan kemurungan. Mungkin disebabkan banyak dakwaan pengubatan tentang pokok ini, maka ahli sains telah membuat kajian. Apabila ahli sains hendak menjalankan kajian terhadap sesuatu jenis tumbuhan ataupun buah-buahan, mereka akan terlebih dahulu melakukan pencarian maklumat dan setelah mendapat cukup maklumat baharulah mereka akan merancang untuk melakukan kajian. Kajian peringkat awal dinamakan kajian praklinikal yang hanya bertujuan untuk melihat adakah bukti keberkesanan ke atas sel-sel di luar badan manusia sebelum diuji ke atas manusia. Peringkat praklinikal ini pula terbahagi kepada dua iaitu peringkat menggunakan bahan mentah untuk menentukan terdapatnya kesan positif dan bahan uji yang digunakan adalah haiwan ataupun lapisan-lapisan sel kanser ("cancer cell-line") yang dilakukan di dalam makmal. Setelah mendapati ada kesan positif, ahli sains kemudiannya akan menentukan apakah bahan kimia aktif ("extracts") yang tersebut dan proses penulinan mengeluarkan bahan tersebut dilakukan. Menggunakan ekstrak tersebut, ahli sains akan melakukan ujian yang sama dan daripada situ barulah ahli sains dapat mengesan tindakbalas sel terhadap ekstrak bahan kimia tersebut serta sebarang kesan sampingan. Pada peringkat praklinikal ini, kesan ke atas manusia belum lagi diketahui jadi hasil daripada kajian praklinikal ini tidak boleh langsung digunakan sebagai alasan untuk diamalkan oleh manusia. Kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan terlebih dahulu.

KAJIAN KE ATAS DURIAN BELANDA

Kajian yang dilakukan ke atas pokok durian belanda telah dilapurkan di dalam jurnal seawal tahun 1996 tetapi sehingga hari ini hanya kajian praklinikal sahaja yang dilakukan. Kajian-kajian tersebut pula menggunakan ekstrak durian belanda dan bukannya pokok serta buah durian belanda mentah ataupun yang dijadikan serbuk ataupun jus. Di dalam kajian tersebut , lapisan sel-sel yang disimpan di dalam makmal digunakan dan bukannya ke atas manusia. Lapisan sel-sel kanser ini pula bukan mewakili semua jenis kanser, tetapi sel-sel kanser hati, usus besar dan payudara. Bilangan kajian yang dijalankan pula sangat terhad dan jika menggunakan injin pencarian Pubmed, kurang daripada 10 sahaja kertas kajian mengenai durian belanda dan kanser yang disiarkan. Kesemuanya adalah kajian praklinikal yang dijalankan di dalam makmal. Belum terdapat kajian klinikal yang ke atas manusia yang dijalankan setakat ini. Adalah sama sekali tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa terdapat terlalu banyak kajian tentang keberkesanan durian belanda ke atas penyakit kanser. Di dalam semua laman web Pertubuhan Kanser di seluruh dunia juga tidak ada yang bersetuju dengan dakwaan durian belanda sebagai antikanser, contohnya di dalam laman web Cancer Research UK ada diletakkan kenyataan bahawa ”  Many sites on the internet advertise and promote graviola capsules as a cancer cure, but none of them are supported by any reputable scientific cancer organisations”. Manakala di dalam laman web CancerNetwork pula dinyatakan : ” Despite the absence of supportive data, graviola, like many herbal products, is heavily promoted to cancer patients on the Internet, often with false claims of cure. Patients should be cautioned against herbal supplement use when on treatment”.

Dakwaan yang mengatakan buah durian belanda mempunyai kekuatan 10,000 kali lebih kuat melawan kanser daripada rawatan kemoterapi pula adalah sangat mengelirukan. Dakwaan ini dibuat berdasarkan kepada kajian yang dilakukan pada tahun 1996 yang menggunakan ekstrak daripada biji buah durian belanda. Kajian makmal itu dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser usus besar. Proses mengekstrak bahan kimia pula adalah menggunakan teknologi makmal dan daripada 5 kompoun baru yang ditemui, kompoun yang dinamakan cis-annonacin didapati memberi kesan positif merencat sel yang membiak. Ubat kemoterapi yang dibandingkan pula adalah Adriamycin yang pada hari ini sudah jarang digunakan oleh pakar kanser. Sudahlah ianya kajian makmal, kanser yang dikaji pula hanya kanser usus dan hanya melibatkan satu jenis ubat kemoterapi. Daripada hasil kajian seumpama ini, adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan jika ianya digunakan untuk tujuan mempromosi “kehebatan” buah durian belanda di dalam merawat kanser. Masih terlalu awal dakwaan tersebut boleh dilakukan kerana kajian praklinikal pun belum lengkap, apatah lagi kajian klinikal fasa 1 dan seterusnya. Hari ini peniaga menjual jus dan kapsul buah durian belanda yang tidak diketahui apakah sebenarnya isi kandungannya. Mungkin yang ada di dalamnya adalah pewarna, perasa dan pengawet. Jika pun ada pati durian belanda, mungkin daripada isinya dan bukan daripada bijinya. Walau bagaimanapun mengambil buah durian belanda termasuk meminum jus segar tulin durian belanda secara sederhana adalah baik sebagai sumber air, vitamin, mineral dan serat. Ia hanya dapat memberi bekalan untuk sumber-sumber tersebut tetapi bukan untuk tujuan merawat apa-apa jenis penyakit.

KESAN SAMPINGAN PENGAMBILAN PRODUK DURIAN BELANDA

Hari ini amalan mengambil produk durian belanda ini di dapati meluas lebih-lebih lagi ketika musim kempen makan buah durian belanda dan promosi mengaitkan  durian belanda dengan rawatan kanser. Seperti biasa, kempen-kempen seumpama ini akan berakhir dan kemudiannya akan diganti pula dengan kempen produk "antikanser" yang lain pula. Seorang Penyelidik daripada AIBMR Life Sciences telah menulis kebimbangan beliau terhadap kesan sampingan pengambilan produk durian belanda terutamanya daripada salah satu kompoun yang bernama annonacin yang berpotensi menyebabkan kerosakan saraf (neurotoxicity). Satu lagi kompoun adalah isoquinolin yang juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf pusat, kedua-dua kompoun ini boleh menembusi lapisan otak dan ditemui terutamanya di bahagian daun dan isi buah  durian belanda. Kajian epidemiologi telah menunjukkan bahawa terdapat kaitan di antara pengambilan buah durian belanda dengan kadar kejadian penyakit Parkinson’s yang luar biasa ("atypical Parkinson's disease"), contohnya  di pulau Guam , kepulauan utara Mariana, Western New Guinea dan Semenanjung Kli di Jepun. Perubahan diet penduduk di pulau Guam khususnya pengurangan pengambilan produk yang berasaskan durian belanda telah mengurangkan kadar kejadian penyakit Parkinson tersebut. Dakwaan ini disokong oleh beberapa kajian makmal yang dilakukan seperti yang tersenarai di dalam rujukan di bawah.

KESIMPULAN

Durian belanda telah menjadi salah satu daripada banyak jenis tumbuhan dan buah-buahan yang didakwa boleh mencegah dan merawat kanser. Ia sebenarnya adalah sejenis pokok buah seperti mana buah-buahan yang lain, mengandungi antioksidan dan jika dikaji dengan mendalam memang akan mengandungi pelbagai bahan kimia. Kajian terhadap khasiat durian belanda memang ada dijalankan tetapi sangat terhad lebih-lebih lagi kajian sebagai agen antikanser. Kesemua kajian tersebut adalah kajian praklinikal yang dijalankan di dalam makmal terhadap lapisan sel. Malahan ahli sains tidak menggunakan durian belanda yang mentah, jus ataupun kapsul, sebaliknya ahli sains perlu mengeluarkan (mengekstrak) bahan kimia khusus yang aktif daripada biji durian belanda untuk menjalankan kajian tersebut.  Kanser yang terlibat di dalam kajian tersebut pula hanya terhad kepada kanser usus dan kanser payudara. Walaupun ada kesan positif tetapi proses mengesahkan keberkesanan masih terlalu jauh dan disebabkan oleh potensi kesan sampingan yang boleh disebabkan oleh produk durian belanda ini, saya sangat ragu bahawa kajian peringkat klinikal ke atas manusia akan dilakukan.  Pendek kata, setakat ini tidak ada bukti bahawa durian belanda boleh digunakan untuk merawat kanser dengan berkesan. Ramai pakar perubatan dan pertubuhan kanser dunia bimbang terhadap penyebaran maklumat palsu mengenai khasiat durian belanda kerana menyedari kepalsuan fakta tersebut di samping potensi ianya boleh menyebabkan kesan sampingan iaitu kerosakan sistem saraf ("atypical Parkinson's disease") kepada pengamal durian belanda secara berlebihan. 

RUJUKAN



Rieser MJ, Gu ZM, Fang XP, et al. Five novel mono-tetrahydrofuran ring acetogenins from seeds of Annona muricata. J. Nat Prod, 1996; 59(2):100-8

Champy P, Hoglinger GU, Feger J, et al. Annonacin, a lipophilic inhibitor of mitochondrial complex I, induces nigral and striatal neurodegeneration in rats: possible relevance for atypical parkinsonism in Guadeloupe. J Neurochem, 2004; 88(1):63-9

Champy P, Guerineau V, Laprevote O. MALDI-TOF MS profiling of annonaceous acetogenins in Annona muricata products for human consumption. Molecules, 2009; 14(12):5235-46

Melot A, Guerineau Eng V, Champy P, et al. Qualification of acetogenins in Annona muricata linked to atypical parkinsonism in Guadeloupe. Moy Disord, 2005;20(12):1929-33

Caparros Lefebvre D, Elbaz A. Possible relation of atypical parkinsonism in the French West Indies with consumption of tropical plants: a case-control study. Caribbean Parkinsonism Study Group. Lancet, 1999; 354(9175):281-6

1 comment:

  1. kajian saintifik dan pengalaman seseorang ada perbezaan yg.jauh...oleh itu...kita bergantung kepada dua -dua hasilan..dan terpulang kpd.individu utk percaya.

    ReplyDelete