Saturday, April 29, 2017

SIKAP CEPAT MENGHUKUM DAN CARA MENANGANINYA



Terlalu cepat menghukum ataupun “prejudging” adalah penyakit hati yang sedang melanda masyarakat kita. Sikap prejudis dan buruk sangka (su’udzon) menyerang semua peringkat masyarakat tidak kira kedudukan dan pangkat, hatta dalam kalangan agamawan dan pendakwah sekalipun. Hanya dengan melihat gerak badan, pakaian, pertuturan malahan mimik muka sahaja pun, kita sudah menghukum dan melabel seseorang. Dengan hanya mendengar sedutan pendek ucapan dan membaca tajuk berita sahaja kita sudah membuat kesimpulan. Jikapun sikap ini tidak ditonjolkan secara fizikal, di dalam hati sudah siap terpahat prasangka buruk. Banyak hukuman dan label yang diberikan antaranya “bodoh”, “sombong”, “jahat”, “kurang iman”, “singkat otak”, “tidak matang” dan yang lebih parah lagi “kafir”, “murtad”, “sesat” dan “ahli neraka”.

Ahli Sains percaya bahawa sikap prasangka sebenarnya boleh terjadi secara semulajadi, sikap yang tertanam di dalam diri seseorang terhadap orang lain yang berbeza contohnya daripada segi kepercayaan, rupa fizikal, warna kulit, bangsa dan juga gaya hidup. Kajian terhadap kanak-kanak berusia 3 tahun menunjukkan bahawa apabila mereka dibiasakan dengan memakan bijirin, kanak2 ini akan lebih cenderung kepada invididu yang mempunyai citarasa yang sama, sebaliknya akan menjauhkan diri daripada individu yang gemar mengambil makanan yang berbeza. Sikap prejudis ini rupa-rupanya boleh pula diturunkan kepada  generasi seterusnya melalui proses sosialisasi jika ianya tidak dikawal. Kesan sikap prejudis ini semakin mudah dilihat apabila berlaku persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad samada dalam aspek politik, ekonomi, social dan sebagainya. Walau bagaimanapun sikap cepat menghukum dan prasangka ini sebenarnya boleh dihapuskan jika kita mempunyai prinsip hidup yang betul.

Mari sama-sama kita cuba amalkan 6 tip ataupun panduan untuk MENCEGAH  diri daripada menjadi seorang yang cepat menghukum dan buruk sangka kepada orang lain.

1. Cuba dekati orang berkenaan dan mengenalinya dengan lebih dekat. Letakkan diri kita di kedudukan beliau. Apabila kita mengenali seseorang dengan lebih dekat, kita akan faham mengenai tabiat dan sikap sebenar yang ada pada dirinya.

2. Melihat seseorang daripada sudut POSITIF dan bukan negatif. Pendek kata, kita berbaik sangka dgn orang berkenaan. Setiap orang mempunyai latarbelakang dan perjalanan hidup yang berbeza daripada kita. Kita tidak boleh menghukum orang lain berdasarkan kepada latarbelakang, kepercayaan dan perjalanan hidup kita. Contohnya kita sedang melihat seorang wanita yang berhijab dan pada waktu yang sama melakukan perkara haram. Di dalam fikiran kita, kita hanya nampak sikap negatifnya dan memperlekehkannya dengan berkata “apalah dia berhijab tapi melakukan perkara haram”. Sedangkan mungkin pada saat tersebut dia baru sahaja memulakan langkah berhijrah dgn berhijab tetapi masih cuba berusaha membuang tabiat buruk yang lain. Kita hanya bertemu dengannya pada satu titik masa dan kita tidak tahu perjalanan serta ranjau hidup yang telah beliau lalui.

3. Nilai diri sendiri dahulu sebelum cuba menilai dan menghukum orang lain. Orang yang nampak tidak baik pada hari ini tidak semestinya akan berterusan begitu. Mereka boleh menjadi lebih baik daripada kita di masa hadapan. Jika kita merasakan diri ini hebat ataupun mulia pada hari ini, tidak siapapun yang mampu (kecuali Allah) menjangka apakah kesudahan hidup kita, apatah lagi kedudukan kita di akhirat kelak, neraka ataupun syurga. Sibukkan diri dengan aktiviti yang boleh memperbaiki diri sendiri daripada sibuk menilai dan menghukum orang lain. 

4. Tanamkan sikap obses mencari kebenaran dan tidak mudah terpengaruh dengan satu dua petikan ucapan, tajuk rencana dan tulisan pendek. Obses dalam mencari fakta yang tepat. Dengar keseluruhan ucapan dan nilai kredibiliti penulis serta rujukan. 

5. Menghukum seseorang berdasarkan kumpulan yang didokongnya adalah tidak adil dan terburu-buru. Lihatlah  seseorang itu pada asas individunya dan bukan kumpulannya, lebih-lebih lagi jika kumpulan itu adalah daripada bangsa dan agama yang sama. Ada juga yang menghukum seseorang hanya dengan menilai keluarganya ataupun orang yang dekat dengannya. Jangan sekali-kali menghukum ataupun menilai seseorang berdasarkan inferen yang salah. Pada waktu yang sama, menghukum kumpulan berdasarkan kepada sikap ahlinya juga adalah salah.

6. Bersihkan diri dengan ibadat dan kerja amal. Kepada orang Islam, banyak hadith yang menjelaskan bahaya buruk sangka (su’udzon) dan panduan oleh nabi junjungan kita. Dari Abu Hurairah , Nabi  bersabda: “Jauhilah oleh kalian berprasangka (kecurigaan), karena sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dustanya pembicaraan.” (HR. Bukhari dan Muslim). Malahan Allah menyamakan sikap buruk sangka seperti memakan daging saudaranya sendiri (Al-Hujurat:12).

Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah DA

No comments:

Post a Comment