Sunday, August 26, 2018

BENARKAH KOPI MENYEBABKAN KANSER



Kopi adalah minuman yang paling digemari oleh manusia, dikatakan setiap hari sejumlah 2.25 bilion cawan kopi diminum oleh manusia di seluruh dunia. Sekarang ini sedang hangat diperkatakan tentang kopi dan risiko lebih tinggi menghidap kanser. Apakah dakwaan ini benar? Berikut adalah beberapa fakta mengenai kopi dan penyakit kanser.

1. Setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa meminum kopi meningkatkan risiko menghidap kanser. Malahan terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kopi boleh mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser seperti kanser rahim, kanser hati , kanser mulut dan kanser prostat. Beberapa kajian meta-analisis telah mendapati bahawa meminum kopi pada kadar 1-2 cawan sehari tidak meningkatkan risiko penyakit kanser keseluruhannya. Jika pun ada data yang menunjukkan ujudnya kaitan dengan risiko menghidap kanser, ianya lebih tertumpu kepada peminum yang mempunyai tabiat lain seperti merokok (orang yang ketagih rokok selalunya juga ketagih kopi), kegemukan dan lain-lain, mungkin faktor inilah yang bertanggungjawab meningkatkan risiko menghidap kanser. Lain-lain jenis kanser tidak mempunyai kaitan yang konsisten dengan pengambilan kopi(1). Terdapat meta-analisis yang menilai 59 kajian kohot mendapati risiko keseluruhan menghidap kanser lebih rendah dalam kalangan peminum kopi, di mana risiko kanser menurun sebanyak 3% untuk setiap cawan kopi yang diminum setiap hari (2).

2. Titik tolak bermulanya berita heboh mengaitkan minum kopi dengan risiko kanser adalah kes yang dibicarakan di mahkamah di California di mana Hakim menyebelahi Council of Education and Research on Toxics (CERT) menyaman beberapa syarikat penjual kopi terkemuka dunia kerana tidak meletakkan tanda amaran risiko kanser pada produk mereka termasuk kopi yang dikaitkan dengan keujudan sejenis sebatian kimia yang dikenali sebagai Acrylamide (3). Maka punca asal mengaitkan kopi dengan kanser adalah satu sebatian kimia yang bernama Acrylamide yang terhasil semasa proses penyediaan kopi. Sebenarnya isu ini bukan hanya tertumpu kepada kopi tetapi juga minuman dan makanan lain yang berkaitan.

3. Kopi dan Acrylamide bukanlah benda yang sama kerana sebatian kimia ini boleh ditemui di dalam banyak lagi jenis makanan. Tambahan pula bahan ini hanya terhasil apabila manusia memproses bahan makanan dengan teknik2 tertentu. Sebenarnya makanan dan asap rokok adalah 2 sumber paling utama Acrylamide. Makanan yang menjadi sumber utama Acrylamide kepada manusia adalah makanan berkanji (bersumberkan kentang) yang diproses termasuk kentang goreng dan kerepek kentang. Malahan Acrylamide juga terdapat di dalam roti bakar, cookies, bijirin, biskut, jus prun dan lain-lain makanan segera. Kandungan Acrylamide di dalam makanan bergantung kepada tempoh pemanasan dan proses memasak. Ia terbentuk apabila makanan berkanji dipanaskan pada suhu melebihi 120 darjah celcius, dipercayai akibat tindakbalas gula dan sejenis asid amino dikenali sebagai Asparagine. Kajian menunjukkan bahawa mengurangkan masa memasak, tidak menjadikan makanan terlalu garing dan tidak menyimpan kentang di dalam peti sejuk mengurangkan kandungan Acrylamide (4). Asap rokok adalah punca pendedahan Acrylamide yang paling utama kepada manusia berbanding dengan makanan dan kopi. Kandungan Acrylamide di dalam kopi terhasil akibat pemanasan keterlaluan dalam jangkamasa panjang ("roasted coffee bean"). Di samping itu, penghasilan bahan ini tidak terhad kepada kopi sahaja, tetapi juga minuman alternatif kopi (“coffee substitute”) yang lain.

4. Kaitan antara Acrylamide dan kanser sebenarnya hanya ditemui di dalam KAJIAN KE ATAS TIKUS di dalam makmal. Itupun dengan menggunakan Acrylamide tulin yang diekstrak daripada sumber aslinya. Apabila Acrylamide masuk ke dalam badan tikus ianya akan ditukarkan kepada sejenis kompoun yang dinamakan glycidamide yang dikatakan boleh menyebabkan mutasi kepada DNA. Walau bagaimanapun banyak kajian epidemiologi yang besar ke atas manusia belum lagi menemui kaitan antara pengambilan makanan dan kopi yang mengandungi Acrylamide dengan mana-mana jenis kanser. Ini mungkin disebabkan tindakbalas badan manusia terhadap Acrylamide berbeza dengan tikus(5). Di samping itu manusia mengambil sumber asal yang mengandungi banyak lagi bahan-bahan yang ada diantaranya bermanfaat kepada kesihatan, bukan hanya Acrylamide. IARC* mengklasifikasikan Acrylamide sebagai “probable human carcinogen” BERDASARKAN KAJIAN KE ATAS HAIWAN.
Sukar untuk mengurangkan kandungan Acrylamide di dalam makanan kerana kebanyakannya adalah makanan ruji dan diamalkan oleh ramai penduduk dunia. FDA ada menyarankan beberapa langkah berkaitan dengan diet untuk mengurangkan kesan Acrylamide seperti mengambil lebih sayuran,susu, ikan, telur, kacang dan makanan yang rendah lemak tepu, kurang lemak trans dan kurang gula. Kaedah memasak yang betul juga dapat mengurangkan Acrylamide. Memasak kentang dengan kaedah memanggang menghasilkan kurang Acrylamide berbanding dengan menggoreng. Merebus dan menggunakan ketuhar gelombang mikro dengan tidak membuang kulit kentang boleh mencegah penghasilan Acrylamide. Roti yang dibakar di dalam toaster dalam jangkamasa panjang sehingga menjadi warna perang gelap mengandungi lebih Acrylamide berbanding dengan warna yang lebih cerah. Kopi yang tidak digoreng kering (“roasted”) terlalu lama mengandungi kurang Acrylamide. Semakin lama kopi digoreng (roasted), warnanya menjadi semakin hitam. Bertentangan dengan tanggapan orang ramai, sebenarnya kandungan kafein di dalam kopi berkurangan apabila digoreng dalam masa yang lebih panjang. Biji kopi yang tidak dipanaskan terlalu lama mempunyai warna yang lebih cerah. Jadi kopi putih tulin sebenarnya mengandungi lebih kandungan kafein dan kurang Acrylamide berbanding dengan kopi hitam. Kopi putih yang tulin bukan kopi hitam yang diputihkan dengan memasukkan bahan lain seperti susu, krimer dan lain-lain. Kopi putih tulin dihasilkan dengan pemanasan yang kurang dan warnanya keperangan berbanding dengan kopi hitam. Kopi putih mengandungi lebih tinggi kafein, kurang pahit dan kurang berasid. Rasa pahit disebabkan pemanasan yang keterlaluan dan menghasilkan bahan yang dikenali sebagai chlorogenic acid lactones dan phenylindanes. Jadi lagi hitam kopi, lagi pahit rasanya. Keasidan kopi dapat dikurangkan dengan mencampurkannya dengan susu ataupun krim.
5. Tidak ada mana-mana pertubuhan kanser antarabangsa yang mengesahkan adanya kaitan rapat antara kopi dan risiko menghidap kanser. Kopi mengandungi banyak manfaat-manfaat lain yang memberi kesan net yang positif kepada kesihatan badan keseluruhannya. Kopi yang diambil secara sederhana mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan seperti mengurangkan risiko angina ahmar, boleh mengawal gula darah dengan lebih baik ke atas penghidap diabetes, kesan positif ke atas kognitif, mengurangkan gejala kemurungan, mengurangkan kerosakan hati dan terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan kopi menurunkan kadar kematian akibat semua jenis penyakit. Pendek kata lebih banyak manfaat daripada mudarat jika kopi diambil pada kadar yang disyorkan (1-2 cawan sehari) (6).

6. KESIMPULANNYA, teruskan kegemaran anda meminum kopi yang tulin pada kadar yang disyorkan kerana kopi mempunyai banyak manfaat kesihatan. Tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan kopi dengan risiko lebih tinggi menghidap kanser. Malahan terdapat bukti yang menunjukkan meminum kopi mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser. Walau bagaimanapun, kopi yang diambil dalam kuantiti yang tinggi, dengan campuran gula yang banyak dan kopi pracampuran yang mengandungi pelbagai ramuan akan memudaratkan kesihatan anda disebabkan oleh ramuan tambahan tersebut. Sebenarnya gaya hidup yang lebih penting untuk kesihatan adalah jangan merokok, jangan minum alkohol, ambil makanan yang seimbang, kurang pengambilan gula dan lemak trans, banyakkan buah2an serta sayuran dan lakukan senaman yang tetap.
*IARC : International Agency Research In Cancer

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbuster Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor

RUJUKAN
1. Alicandro G, Tavani A, La Vecchia C. Coffee and cancer risk: a summary overview. Eur J Cancer Prev. 2017, 26(5):424-432)
2. Yu X, Bao Z, Zou J, Dong J. Coffee consumption and risk of cancers: a meta-analysis of cohort studies. BMC Cancer, 2011;11:96 doi: 10.1186/1471-2407-11-96
3. https://oag.ca.gov/
…/files/…/settlements/2010-00692S3278.pdf
4. https://www.cancer.gov/
…/c…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet…
5. https://www.cancer.gov/
…/c…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet…
6. https://www.cancer.org/
…/coffee-and-cancer-what-the-researc…

Monday, August 20, 2018

SAINS CACAMERBA


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi 
Ahli Medical Mythbusters Malaysia


Agama sangat menggalakkan perkembangan ilmu bagi tujuan manfaat kepada manusia. Pengetahuan sains moden adalah anugerah Allah yang memberi ilham kepada manusia. Perkembangan sains sebenarnya adalah salah satu petunjuk kebesaran Allah. Maka mendalami ilmu sains tidak bercanggah dengan agama. Malahan perkembangan sains moden yang ada pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh sarjana-sarjana terkemuka yang beragama Islam pada masa dahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusy dan lain-lain. Mereka dikagumi oleh semua sarjanawan termasuk sarjana-sarjana Barat. Perkembangan dan amalan sains Perubatan moden telah terbukti meningkatkan mutu kesihatan dan memanjangkan hayat manusia. Banyak jenis penyakit telah dapat dicegah dan dirawat berbanding dengan masa lampau. Purata jangkahayat manusia juga telah meningkat dari masa ke semasa, contohnya di Malaysia purata jangkahayat pada tahun 1957 adalah 56 tahun tetapi pada tahun 2015 purata jangkahayat sudah meningkat kepada 75 tahun.

Pada hari ini sukar untuk ditemui individu yang boleh menguasai kedua-dua bidang agama dan sains kerana untuk menguasai kedua-duanya memerlukan keupayaan IQ yang tinggi. Menguasai kedua-dua bidang pada zaman ini lebih sukar kerana luasnya ilmu agama dan terlalu pesatnya perkembangan ilmu sains. Maka di dalam keadaan ini, kita terpaksa akur bahawa tidak ada seorang individu yang layak menjadi pakar rujuk untuk kedua-dua bidang ini sekali gus. Ini bukan bermaksud mereka tidak boleh langsung bercakap tentang ilmu yang satu lagi, tetapi perlu berhati-hati dan menggunakan rujukan dan kaedah yang betul sesuai dengan kemampuan mereka.

PSEUDOSAINS ("pseudosciences") adalah satu istilah yang merujuk kepada pemahaman sains yang dipelopori oleh golongan tertentu tetapi TIDAK berdasarkan kepada kaedah dan disiplin yang diamalkan oleh pengamal sains moden. Ilmu pseudosains boleh menghasilkan PSEUDOPERUBATAN ("pseudomedicine') iaitu amalan perubatan yang berasaskan kepada pseudosains. Sains dan perubatan moden menggunakan kaedah amalan berdasarkan bukti kajian saintifik yang sangat menitikberat aspek ketepatan fakta, manakala pseudosains pula menggunakan falsafah untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu berlaku. Psedosains menggunakan konsep yang bersifat subjektif, berbeza dengan sains moden yang menggunakan bukti objektif untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu terjadi. Sesuatu yang bersifat subjektif sama tarafnya seperti dakwaan ataupun pendapat peribadi semata-mata yang lebih mudah terdedah kepada kesilapan dan kepalsuan. Seringkali pengamalnya hanya menggunakan testimoni sebagai bukti keberkesanan. Kesalahan terbesar pseudosains adalah membuat kesimpulan terlebih dahulu sebelum dibuktikan benar. Melalui kesimpulan yang telah ditetapkan, mereka akan mencari apa sahaja bukti ataupun alasan untuk membenarkan kesimpulan yang mereka lakukan. Jika benar dakwaan mereka, itu mungkin secara kebetulan ataupun hanya kesan placebo. Pengamal pseudosains tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan mereka melalui kajian yang diulang dan mereka tidak akan menerima sebarang kritikan. Dakwaan yang dibuat seringkali terlalu hebat untuk dipercayai dan menganggap penentangnya sebagai golongan yang sedang melakukan konspirasi. Dengan alasan konspirasi, mereka dapat menutup kelemahan hujah dan dapat menyakinkan pengikut mereka untuk terus menyokong. Dengan menggunakan teori konspirasi juga mereka harap dapat menutup mulut pengkritik untuk cuba mengkritik.

Jadi hari ini berlaku pertembungan di antara sains sebenar (saya namakan sains moden) dengan pseudosains. Di dalam kancah pertembungan sains moden dan pseudosains, muncul pula pengamal sains moden yang berpaling arah seolah-olah menyokong golongan pseudosains. Kebanyakan mereka yang berpaling tadah ini melakukanya demi untuk kepentingan peribadi seperti terlibat dengan penjualan produk dan suplemen. Walaupun pengamal Perubatan moden yang berpaling tadah ini nampak seperti menyokong pseudosains tetapi di dalam hati kecil mereka saya yakin masih berpegang dengan prinsip sains moden dan ini boleh dilihat daripada gaya mereka bercakap ataupun menulis mengenai sains dan perubatan.

Pada waktu yang sama, dalam kalangan ahli agama yang mempunyai asas ilmu agama, ada pula yang berminat untuk mempelopori ilmu sains dan bercakap mengenai sains. Disebabkan mereka faham tentang agama, maka apabila mereka bercakap tentang sains, mereka akan menggunakan alasan agama untuk membenarkan dakwaan mereka. Disebabkan tidak ada perincian di dalam Quran dan Hadith, di dalam banyak keadaan mereka mencipta sendiri fakta sains mengikut tahap kefahaman mereka yang mereka rasa selari dengan maksud ayat ataupun hadith yang ditemui. Disebabkan mereka bukan daripada aliran sains, maka mereka nampak sangat janggal apabila bercakap tentang sains. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kefasihan bertutur dalam bahasa arab dan kepetahan membaca ayat alquran, serta menggunakan agama untuk menjelaskan sains ciptaan mereka, mereka sangat berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai. Terdapat juga golongan agama yang terlalu mudah menyalahkan jin dan saka sebagai jalan singkat untuk mencari punca penyakit fizikal, kemudian menggunakan kaedah agama untuk "menghalau" punca penyakit tersebut. Kaedah ini akan dilabelkan sebagai kaedah rawatan Islam (pada pandangan mereka). Konsep berikhtiar dengan kaedah terbaik tidak ujud dalam prinsip amalan mereka. Di samping golongan agama yang sebegini, saya dapati ujud juga golongan agamawan yang hanya dipergunakan sebagai jurucakap produk-produk kesihatan yang berasaskan kepada pseudosains demi untuk melariskan jualan.

Masyarakat hari ini sedang menyaksikan pertembungan di antara pengamal perubatan moden yang kekal dengan prinsip mereka,  golongan-golongan  Pengamal Perubatan moden yang berpaling tadah, pengamal pseudosains dan ahli agama yang bercakap tentang sains mengikut kefahaman mereka. Akibat daripada pertembungan ini, masyarakat sedang berdepan dengan apa yang saya namakan sebagai SAINS CACAMERBA.

Sains cacamerba adalah cabaran yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ianya memberi kesan ke atas tahap kesedaran masyarakat tentang kaedah pencegahan dan rawatan penyakit yang betul. Keujudan pseudosains ini menyebabkan masyarakat keliru dan seringkali tersalah pilih sehingga lambat mendapatkan rawatan yang lebih berkesan. Saya tidak pasti apakah jalan penyelesaian yang terbaik tetapi sesuatu yang lebih proaktif perlu dilakukan sebelum terlambat. Sains cacamerba ini boleh menguasai dan mengelirukan masyarakat sehingga mereka memilih jalan yang salah dan kita akan ketinggalan untuk mencapai negara maju. Salah satu kaedahnya adalah dengan mengujudkan kumpulan yang berperanan mendidik masyarakat dan menyanggah mitos mengenai sains dan Perubatan. Salah satu kumpulan ini dinamakan Medical Mythbusters Malaysia yang menggunakan media sosial untuk menjalankan aktiviti mereka. 

Salah satu punca keujudan pseudosains adalah kurangnya minat masyarakat terhadap ilmu sains semenjak di peringkat sekolah sehingga peratusan pelajar yang mengambil bidang ini semakin mengecil. Apabila asas ilmu sains sebenar tidak kuat, maka ujudlah pemahaman yang hanya berprinsipkan falsafah semata-mata dan menggunakan kaedah berfikir yang mudah. Masyarakat kita malas berfikir dan sukar untuk memahami konsep ilmu yang kompleks, pseudosains menggunakan lojik akal yang mudah untuk mempengaruhi masyarakat yang sebegini. Kaedah pembelajaran sains perlu diperbaiki bagi meningkatkan minat masyarakat kepada ilmu sains moden. Di samping itu setiap masyarakat perlu memainkan peranan dengan memilih pakar rujuk yang betul dan menjauhi pengamal pseudosains. Keadaan ini sama seperti memilih alim ulamak yang berwibawa sebagai sumber maklumat agama, bukan memilih pengamal ajaran sesat. 


RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN.

Monday, August 13, 2018

RISIKO KESIHATAN PEROKOK PASIF




Perokok pasif ataupun tak sengaja (involuntary) adalah individu yang terdedah kepada asap yang dilepaskan daripada penghisap rokok, curut, paip dan lain-lain. Asap yang keluar ini juga dikenali sebagai “second-hand tobacco smoke” ataupun “environmental tobacco smoke”. Perokok pasif akan menyedut masuk bahan-bahan yang terkandung di dalam asap rokok tersebut. Kesan masalah kesihatan dan risiko menghidap penyakit ke atas perokok aktif memang telah diketahui melalui beribu-ribu kajian. Kajian ke atas kesan perokok pasif juga dijalankan tetapi tidak sebanyak perokok aktif.

Untuk tujuan mengetahui kesan sampingan perokok pasif, satu Systematic Reviews ke atas 16 meta-analisis yang merangkumi 130 kajian kohot, 159 kajian “case- control” dan 161 kajian “cross sectional” melibatkan 25 jenis penyakit dan masalah kesihatan telah dijalankan. Kajian-kajian ini disiarkan di dalam jurnal daripada tahun 1998 hingga 2014. Analisis ini termasuk juga kesan kesihatan keatas kanak-kanak.

Penganalisis mendapati bahawa perokok pasif mempunyai risiko kesihatan dan menghidap pelbagai jenis penyakit. Mereka mendapati perokok pasif mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami sekurang-kurangnya 11 masalah kesihatan iaitu:

1.   Menyakit jangkitan otak meningococcal ke atas kanak (OR 2.18)
2.   Meningkat risiko menjadi pembawa jangkitan bakteria (S.Pneumonia) pada tekak (pharyngeal) kanak-kanak (OR 1.66)
3.   Pembawa jangkitan bakteria tekak N. Meningitides kanak-kanak (OR 1.68)
4.   Alahan makanan (“food allergy”) (OR 1.43)
5.   Jangkitan bahagian bawah paru-paru (“Lower respiratory infections”) bayi berusia sehingga 1 tahun (OR 1.42)
6.   Serangan asthma kanak-kanak (“childhood asthma”) (OR 1.32)
7.   Kanser paru-paru (OR 1.27)
8.   Kanser serviks (OR 1.73)
9.   Resdong (“allergic rhinitis”)
10.                Alahan kulit (“allergic dermatitis”)
11.                Angin Ahmar (OR 1.25)

Perokok pasif juga didapati mempunyai risiko yang sedikit lebih tinggi untuk menghidap penyakit Crohn’s, kanser pancreas, penyakit invasive pneumococcal dan penyakit jangkitan Hemofilus influenze jenis B.

Lebih 45% kaum lelaki di Malaysia merokok, bayangkan apakah kesan tabiat ini ke atas kesihatan diri mereka sendiri dan juga ke atas orang lain di sekeliling mereka. Inilah sebabnya kerajaan sangat mengambil berat akan tabiat merokok kerana mudarat yang dibawa olehnya adalah terlalu banyak.

Rujukan:

Cao S, Yang C, Gan Y, Lu Z. The Health Effects of Passive Smoking: An Overview of systematic reviews based on Observational Epidemiological Evidence. PLos One, 2015; 10(10):e0139907.

http://www.who.int/tobacco/research/secondhand_smoke/en/






Friday, August 10, 2018

MENCARI TITIK PERTEMUAN: LGBT 2.0

Pada awalnya saya takut untuk menulis isu ini, tetapi seperti biasa saya tidak dapat mengawal tangan saya yang gatal untuk menulis isu semasa. Saya tahu tulisan ini tidak akan disekat oleh fb sebab status saya jarang diviralkan, selalunya hanya berlegar dalam kalangan sahabat-sahabat fb dan juga pengikut fb saya. Anggaplah ini satu pendapat peribadi saya dan anda boleh setuju dan boleh tidak bersetuju.
Dalil daripada Al-Quran dan Hadith memang jelas terhadap hukum mengamalkan seks songsang dan juga transgender yang juga dikenali sebagai kelainan orientasi seks. Terdapat 85 ayat dalam 12 surah di dalam Quran yang menyebut tentang kisah Nabi Luth dan laknat terhadap kaumnya. Manakala terdapat 7 hadith sahih yang mengesahkan hukum haram dan berdosa besar melakukan seks luar tabii dan juga perlakuan transgender (lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki) (1,2). Jadi bagi umat Islam yang menggunakan Al-Quran dan hadith sebagai sumber hukum, maka inilah hukum yang menjadi pegangan kita. Golongan yang menafikan perkara ini adalah mereka-mereka yang tidak meletakkan Quran dan Hadith sebagai sumber hukum, samada tidak yakin dengan keduanya ataupun hanya berpandukan Quran dan mengenepikan hadith.

Di dalam polimik yang sedang kita alami sekarang ini , sedang berlaku pertembungan antara 2 kumpulan yang berbalas pendapat dalam bentuk tulisan di media sosial khususnya facebook. Ada juga yang diulang-siar dalam akhbar. Saya percaya ada juga kumpulan ketiga yang hanya memerhati dan seringkali bertukar arah apabila membaca hujah ataupun tulisan daripada kedua-dua belah pihak. Saya membaca hampir kesemua tulisan-tulisan wakil di kedua-dua belah pihak khususnya yang menjadi viral di dalam media sosial dan ada di antaranya telah disekat oleh facebook. Ini sangat mendukacitakan kerana tindakan ini tidak sepatutnya berlaku di dalam alaf baru yang sepatutnya memberi peluang semua pihak untuk bersuara dan memberikan pendapat. Saya juga menonton video dan rencana tulisan wartawan mengenai kenyataan oleh Datin Paduka Marina untuk mengetahui apakah maksud yang hendak disampaikan kerana saya percaya bahawa polimik ini bertitik-tolak daripada temubual beliau.

Apabila membaca semua pendapat-pendapat dan menonton video tersebut, saya cuba mencari persamaan dan perbezaan. Saya ingin tegaskan bahawa perbandingan ini hanya tertumpu kepada tulisan penulis-penulis yang beragama Islam yang menjadi viral, termasuk dalam kalangan doktor dan professor. Ia tidak dibuat berdasarkan perbuatan, tulisan atau ucapan yang dilakukan pada masa lampau.

Saya dapati terdapat banyak persamaan pendapat di antara kedua-duanya. Persamaan-persamaan berikut adalah:
1. Golongan yang mengalami kelainan orientasi seksual ini ataupun singkatannya LGBT memang ujud. 


2. Golongan ini adalah manusia yang mengalami masalah, maksudnya mereka adalah golongan yang perlu dibantu untuk dipulihkan.

3. Mereka patut dilayan sebagaimana warganegara Malaysia yang lain, mereka menikmati hak-hak sebagai warga negara termasuk hak untuk belajar, bekerja, menerima rawatan dan lain-lain. Mereka tidak boleh dizalimi dan dianiayai.

4. Apabila mereka menjadi pesakit, mereka akan dirawat sepertimana pesakit-pesakit yang lain dengan adil tanpa ada diskriminasi tidak kira apa latar belakang mereka, tanpa mengambilkira orientasi seksual mereka. 

5. Amalan seksual yang berlaku akibat daripada kelainan orientasi seks ini adalah menyalahi hukum Islam.

6. Kedua-dua belah pihak tidak menafikan bahawa aktiviti seksual di luar tabii ini menyumbang kepada kes jangkitan HIV.

7. Langkah pencegahan dan program memulihkan mereka perlu dilakukan. Pendekatan yang diambil hendaklah dengan cara yang berhemah, lembut dan profesional. Kaedah yang keras, menghina dan kasar adalah bertentangan dengan apa yang diajar oleh agama dan juga budaya kita.

Saya cuba mencari perbezaan di antara kedua-dua kumpulan ini tetapi jika berdasarkan kepada tulisan dan pengucapan mereka yang telah disiarkan, saya tidak menemui perbezaan yang besar. Kesimpulan yang saya buat ini bukan andaian tetapi berdasarkan kepada maksud tulisan dan pengucapan kedua-dua belah pihak. Saya percaya, perbezaan itu ujud (cth: tafsiran perkataan "mengiktiraf" dan "mempromosi" LGBT) tetapi tidak dizahirkan pada masa ini, jadi saya tidak mahu komen, takut tersilap dan memfitnah. Tidak ada mana-mana pihak yang menuntut supaya golongan LGBT dilayan seperti mana negara Barat termasuk membenarkan perkahwingan sejenis dan seumpamanya. Begitu juga tidak ada pihak yang menuntut supaya semua golongan LBGT ini dicari, ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang hanya berdasarkan kepada naluri seks mereka yang songsang itu. Apa yang berlaku sebenarnya mungkin salah faham ketika menafsirkan maksud pengucapan dan tulisan masing-masing sedangkan pada hakikatnya kedua-dua belah pihak ingin menyampaikan pendapat yang sama. Berkemungkinan berlakunya salah faham ini adalah disebabkan oleh menerima maklumat daripada orang tengah ataupun gaya bahasa yang digunakan di dalam ayat yang ditulis.

Saya berharap episod LGBT 2.0 ini akan berakhir dengan baik seperti juga dengan LGBT 1.0 yang lalu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr. Mujahid telah menjelaskan pendirian beliau. Pada kali ini beliau masih lagi kekal dengan pendirian yang sama selari dengan nilai-nilai budaya masyarakat kita dan hakikat bahawa Islam adalah agama resmi negara Malaysia. Islam tidak mengiktiraf golongan yang mempromosi perlakuan dosa besar secara terang terangan (3,4). Saya percaya kerajaan melalui Jakim tidak akan duduk diam di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan saya difahamkan Jakim (semenjak kerajaan terdahulu) mempunyai pelan tindakan ke atas golongan yang mengalami masalah kelainan orientasi seks ini melalui aktiviti temuseru (outreach) untuk menarik golongan ini mengikuti program ‘llaj Wa Syifa’(rawatan dan pemulihan), di bawah Pelan Strategik Jakim 2015-2019 (5). Semoga lebih banyak program-program pencegahan dan pemulihan akan dijalankan di masa hadapan. Maaf dipinta jika ada isi kandungan tulisan ini menyinggung perasaan mana-mana pihak.

RUJUKAN



2. https://muslim.or.id/27432-kaum-gay-inilah-wahyu-allah-taal…


3.https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/446350/

 mujahid-nafi-iktiraf-golongan-lgbt
4.https://www.youtube.com/watch?v=L-_tBME6-JQ



5. http://www.islam.gov.my/…/Hadis-hadis_Sahih_Berkaitan_Perla…


6. https://muslim.or.id/27432-kaum-gay-inilah-wahyu-allah-taal…



https://youtu.be/EdtS8VkOaUA

UNDANG-UNDANG LGBT DI MALAYSIA


The non-Muslim transsexual individuals can be charged with indecent behaviour which includes cross-dressing, under Section 21 of the Minor Offences Act 1955.20 Under this section, they can be fined RM 25 to RM 50. As the term “indecent behaviour’ has not been defined in the Act, it is up to the discretion of the police to determine what constitutes “indecent” behaviour. If the transsexual people caught by the police are Muslims, they can be sent to the Islamic Religious Affairs Department to be charged under Section 28, Syariah Criminal Offences Act 1997, for immoral behaviour, and are liable to a fine not exceeding RM 1000 or to imprisonment not exceeding one year, or both, at the Shariah Court for offences against the Islamic law. The Islamic religious authority, like the police, can also carry out raids among the Muslim community to identify wrongdoings against Islam.