Saturday, August 4, 2018

BAGAIMANA MENAPIS FAKTA PERUBATAN DI DALAM MEDIA SOSIAL DAN MENJADI PENGGUNA YANG BIJAK



Terlalu banyak maklumat produk kesihatan dan amalan perubatan di dalam media social sehingga ramai pengguna keliru. Salah satu kesilapan yang sering dilakukan oleh orang awam adalah mudah percaya dengan maklumat perubatan yang disiarkan di dalam media sosial. Jadi salah satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh anda adalah keupayaan untuk menapis maklumat supaya tidak tersilap mempercayai fakta yang tidak benar ataupun pseudosains/pseudoperubatan. Saya akan berkongsi dengan anda tip-tip bagaimana anda boleh membezakan di antara maklumat yang boleh dipercayai dan maklumat yang meragukan:

1. Apabila anda ternampak satu tajuk rencana yang menarik, lihat laman web rencana itu disiarkan (tulisan kecil di bawah tajuk). Jika nama laman web itu meragukan, maka anda perlu berhati-hati. Contohnya laman web itu menggunakan nama yang berkaitan dengan tanaman tetapi rencananya mengenai sakit jantung, nama laman web/blog yang tidak ada kena mengena dengan isu kandungan rencana. Banyak laman-laman web dan blog ini hanya ujud untuk tujuan perniagaan dan menarik orang untuk mengunjunginya. Jika anda tidak pasti, anda boleh pergi ke laman web tersebut dan baca rencana sepenuhnya. JANGAN BACA TAJUK SAHAJA. Kadangkala anda ditarik ke laman web itu hanya oleh tajuk sensasi yang tidak ada kaitan dengan isi rencana.

2. Semasa membaca rencana itu dapatkan IDENTITI PENULIS yang menulis. Nama mereka selalunya diletakkan di bahagian atas ataupun bawah rencana. Selalunya saya akan mencari biodata penulis tersebut, ada penulis yang mempunyai latarbelakang akademik yang baik, tetapi lebih ramai yang tidak mempunyai kelayakan untuk menulis tentang perubatan. Ada juga penulis blog ataupun admin laman web yang mempunyai perniagaannya sendiri seperti menjual suplemen, produk kesihatan, makanan dan lain-lain. Jika rencana itu ada kaitan dengan produk yang hendak mereka pasarkan maka terdapat ”conflict of interest”. Anda perlu berhati-hati dengan rencana ini. Saya cadangkan supaya anda menolak rencana dan dapatkan penulis yang tidak berkepentingan.

3. Jika penulis blog ataupun admin laman web mengambil rencana daripada sumber yang lain, maka anda dapatkan identiti siapakah PENULIS ASAL serta RUJUKAN rencana tersebut. Jika anda tidak tahu siapa penulisnya samada beliau menggunakan nama samaran ataupun anda gagal untuk mengesan identitinya, maka rencana itu perlu diragui. Anda boleh baca, tetapi jangan percaya bulat-bulat.

4. Jika di dalam rencana itu disertakan nama penulis asal yang mempunyai gelaran Dr ataupun Professor, maka anda perlu sahkan dahulu identiti dan gelarannya. Hari ini banyak gelaran boleh dibeli. Anda boleh menyelidik identiti penulis (taip nama penulis di atas google search dan anda akan ketemui jawapannya), samada beliau termasuk di dalam golongan pengamal perubatan konvensional (moden) ataupun pengamal perubatan alternatif/naturopathy. Jika penulis tergolong di dalam golongan kedua, maka saya menasihati anda supaya berhati-hati lebih-lebih lagi jika mereka menulis mengenai kaedah mencegah dan merawat penyakit. Kepada orang ramai yang tidak mempunyai asas pengetahuan mengenai perubatan, jalan yang lebih selamat adalah menolak rencana itu. Pengamal Perubatan alternatif akan menulis di dalam biodata mereka sebagai Pakar Naturopathy (Naturopathist), Herbalist, Homeopathist, Chiropractist, Acupuncturist dan lain-lain. Mereka ini TIDAK termasuk di dalam golongan pengamal perubatan konvensional. Jadi mereka mempunyai kefahaman tentang penyakit dan amalan yang berbeza dengan pegamal perubatan moden.

5. Berhati-hati mengambil maklumat daripada sesiapa sahaja termasuk seorang doktor yang berdaftar jika beliau terlibat di dalam perniagaan menjual produk kesihatan alternatif, suplemen dan juga kaedah-kaedah rawatan yang bukan tergolong di dalam kaedah rawatan konvensional. Tidak dapat dinafikan terdapat doktor yang mencari pendapatan tambahan melalui kaedah yang tidak beretika dan melanggar peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya percaya tidak ramai doktor yang tergolong di dalam kategori ini.

6. Jika anda berpuashati dengan penulis rencana dan isi rencana, anda yakin dengan laman web ataupun blog yang menyiarkannya, maka anda boleh menganggap rencana itu berwibawa. Kemudian barulah anda boleh ”like” ataupun”share” rencana tersebut utk berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat yang lain.

Jika anda mengamalkan 6 langkah yang disebutkan di atas, saya yakin sedikit sebanyak anda sudah menjadi seorang yang teliti dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu.

Kaedah ini nampaknya seperti sukar dipraktikkan, tetapi percayalah apabila amalan ini menjadi tabiat rutin anda, anda akan dapati ianya mudah dilakukan. Pada waktu yang sama, tidak semua pengamal perubatan alternatif /naturopathy menulis fakta yang salah, ada yang benar tetapi apabila dicampuradukkan fakta benar dan tidak benar, maka orang awam seperti anda tentu tidak berkemampuan untuk menapis. Pilihlah pakar rujuk yang berlatarbelakangkan perubatan konvensional/moden dan tidak ada kepentingan ke atas perniagaan produk-produk kesihatan ataupun rawatan alternatif. Rawatan alternatif ada peranan tetapi peranan itu ditentukan oleh pengamal perubatan moden.

Apabila anda sudah dapat menguasai ilmu menapis fakta perubatan ini, anda sudah tergolong di dalam golongan PENGGUNA YANG BIJAK. Anda akan dapat menjimatkan wang kerana tidak membeli produk-produk ataupun amalan perubatan yang belum terbukti berkesan dan tidak selari dengan disiplin ilmu sains perubatan moden.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbasters Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor
www.faktasains.com

No comments:

Post a Comment