Sunday, August 5, 2018

MENCARI SEMPADAN ANTARA BULI DAN BIMBING

MENCARI SEMPADAN ANTARA BULI DAN BIMBING

Sesiapa pun tidak menafikan kesan negatif akibat daripada budaya membuli dan betapa pentingnya ianya dibenteras. Fenomena membuli ini berlaku di mana-mana dan di semua peringkat masyarakat. Ianya berlaku di dalam mana-mana komuniti pelajar dan pekerja, di bandar dan di desa. Contohnya hasil kajian ke atas pelajar sekolah rendah luar bandar (FELDA) di negeri Perlis/Kedah, menunjukkan berlakunya kejadian buli dalam kalangan 37.3% murid-murid sekolah(1). Apa yang membezakan adalah kadar ianya berlaku. Untuk mengukur kadar berlakunya buli, perlu kajian yang betul dan telus, bukan dengan membuat soal selidik yang mudah dan berat sebelah. Definisi buli itu perlu jelas dan memenuhi kriteria yang betul.

Mengesahkan berlakunya kejadian buli juga perlu mengambil-kira konteks di mana dan siapa yang terlibat. Maklumat perlu diperolehi daripada kedua-dua pihak. Jika anda membaca maksud MEMBULI dan menggunakannya secara literal, saya percaya hampir semua orang pernah dibuli dan pernah menjadi Pembuli di dalam hidupnya. Umumnya kita tidak mengatakan seorang ibu/bapa dan guru membuli anak/anak murid mereka semasa mendidik dan menghukum, walaupun ada tindakan mereka itu boleh tergolong di dalam makna membuli. Begitu juga Jurulatih sukan, semasa melatih pemain2nya, ada unsur-unsur tekanan fizikal dan mental yang berat dikenakan, tetapi tidak dikatakan membuli. Mungkin contoh paling baik adalah latihan ketenteraan, pelatih tentera dilatih untuk mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang sangat tinggi. Kita tidak menuduh Komandan mereka membuli walaupun tekanan perasaan dan fizikal yang dialami oleh pelatih2 ini sudah memenuhi kriteria dibuli, jeritan dan herdikan Komandan adalah makanan harian mereka.

Menjadi seorang doktor memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Perlu bersedia bila-bila masa untuk menyelamatkan pesakit. Perlu sentiasa peka dan tidak boleh lalai walau seminit semasa menjalankan tugas, lebih-lebih lagi ketika bertugas di dalam panggilan. Kesilapan dan kelalaian akan membawa padah kepada pesakit sehingga boleh menjadi punca kematian. Tidak hairan mengapa ada Institusi Pengajian Tinggi yang memasukkan latihan ala ketenteraan kepada pelajar2 perubatan. Walaupun mereka tidak menjalani latihan berat seperti seorang tentera tetapi salah satu matlamatnya adalah untuk ketahanan, kepantasan berfikir dan emosi yang stabil. Kita tidak menuduh institusi ini mendera pelajar2nya. Begitu juga dengan doktor2 pelatih yang menjalani latihan di hospital2 di mana mereka didedahkan dengan keadaan sebenar kehidupan seorang doktor. Tempoh latihan ini perlu mereka lalui dengan cabaran2 yang sebenar supaya apabila mereka tamat tempoh latihan, mereka akan menjadi seorang doktor yang cekap, mampu membuat keputusan yang tepat dan mempunyai ketahanan emosi yang tinggi. Semasa mengharungi kehidupan sebenar sebagai doktor yang berdaftar, mereka perlu berhadapan dengan berbagai tugasan yang lebih mencabar, di samping perlu menangani pelbagai kerenah dan tekanan daripada pesakit serta ahli keluarga mereka.

Saya tidak menafikan tentang ujudnya kejadian buli yang sebenar dalam kalangan doktor2 pelatih. Saya cuma bimbang jika perkataan buli ini terlalu mudah digunakan ke atas sesiapa sahaja tanpa melihat konteks ianya berlaku, bimbang akan ramai dalam kalangan doktor yang melatih terpalit dengan tuduhan Pembuli. Tindakan mendisiplin dianggap membuli. Ini boleh mengakibatkan tekanan kepada satu pihak dan persepsi negatif oleh masyarakat sehingga boleh menjejaskan program latihan. Kita perlu mengekalkan hubungan yang baik dan berfikiran positif di antara doktor pelatih dan doktor yang melatih. Saya percaya majoriti doktor2 pelatih adalah baik, malahan ada di antara mereka sangat cemerlang di dalam menjalankan tugas. Pada waktu yang sama majoriti doktor-doktor senior/pakar juga mempunyai kelayakan dan kemahiran yang tinggi, mereka ikhlas untuk membimbing dan yang paling penting adalah semuanya demi untuk keselamatan pesakit. Mereka banyak menyumbang kepada latihan doktor-doktor pelatih walaupun secara sukarela dan dilakukan dalam kesibukan menjalankan tugas hakiki.

Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud kejadian buli boleh diabaikan, sebarang kejadian buli sebenar terutama yang melampau tidak kira daripada mana-mana kategori tidak boleh dipandang ringan dan mangsa mesti melapurkan, tambahan pula Menteri Kesihatan kita sendiri telah memberi jaminan dan bersedia untuk menerima aduan secara terus. Saya berharap agar pihak kementerian juga sudi mendengar suara daripada semua pihak agar masalah buli ini dapat dilihat dengan kacamata yang lebih luas sehingga kita dapat mencari punca kejadian dan jalan penyelesaiannya.

DDr Rushdan Noor
1hb Ogos 2018


Pautan rujukan
1. http://journalarticle.ukm.my/10087/1/180-779-1-PB.pdf)
2. http://eprints.utm.my/id/eprint/5853/1/78069.pdf

No comments:

Post a Comment