Monday, August 20, 2018

SAINS CACAMERBA


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi 
Ahli Medical Mythbusters Malaysia


Agama sangat menggalakkan perkembangan ilmu bagi tujuan manfaat kepada manusia. Pengetahuan sains moden adalah anugerah Allah yang memberi ilham kepada manusia. Perkembangan sains sebenarnya adalah salah satu petunjuk kebesaran Allah. Maka mendalami ilmu sains tidak bercanggah dengan agama. Malahan perkembangan sains moden yang ada pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh sarjana-sarjana terkemuka yang beragama Islam pada masa dahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusy dan lain-lain. Mereka dikagumi oleh semua sarjanawan termasuk sarjana-sarjana Barat. Perkembangan dan amalan sains Perubatan moden telah terbukti meningkatkan mutu kesihatan dan memanjangkan hayat manusia. Banyak jenis penyakit telah dapat dicegah dan dirawat berbanding dengan masa lampau. Purata jangkahayat manusia juga telah meningkat dari masa ke semasa, contohnya di Malaysia purata jangkahayat pada tahun 1957 adalah 56 tahun tetapi pada tahun 2015 purata jangkahayat sudah meningkat kepada 75 tahun.

Pada hari ini sukar untuk ditemui individu yang boleh menguasai kedua-dua bidang agama dan sains kerana untuk menguasai kedua-duanya memerlukan keupayaan IQ yang tinggi. Menguasai kedua-dua bidang pada zaman ini lebih sukar kerana luasnya ilmu agama dan terlalu pesatnya perkembangan ilmu sains. Maka di dalam keadaan ini, kita terpaksa akur bahawa tidak ada seorang individu yang layak menjadi pakar rujuk untuk kedua-dua bidang ini sekali gus. Ini bukan bermaksud mereka tidak boleh langsung bercakap tentang ilmu yang satu lagi, tetapi perlu berhati-hati dan menggunakan rujukan dan kaedah yang betul sesuai dengan kemampuan mereka.

PSEUDOSAINS ("pseudosciences") adalah satu istilah yang merujuk kepada pemahaman sains yang dipelopori oleh golongan tertentu tetapi TIDAK berdasarkan kepada kaedah dan disiplin yang diamalkan oleh pengamal sains moden. Ilmu pseudosains boleh menghasilkan PSEUDOPERUBATAN ("pseudomedicine') iaitu amalan perubatan yang berasaskan kepada pseudosains. Sains dan perubatan moden menggunakan kaedah amalan berdasarkan bukti kajian saintifik yang sangat menitikberat aspek ketepatan fakta, manakala pseudosains pula menggunakan falsafah untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu berlaku. Psedosains menggunakan konsep yang bersifat subjektif, berbeza dengan sains moden yang menggunakan bukti objektif untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu terjadi. Sesuatu yang bersifat subjektif sama tarafnya seperti dakwaan ataupun pendapat peribadi semata-mata yang lebih mudah terdedah kepada kesilapan dan kepalsuan. Seringkali pengamalnya hanya menggunakan testimoni sebagai bukti keberkesanan. Kesalahan terbesar pseudosains adalah membuat kesimpulan terlebih dahulu sebelum dibuktikan benar. Melalui kesimpulan yang telah ditetapkan, mereka akan mencari apa sahaja bukti ataupun alasan untuk membenarkan kesimpulan yang mereka lakukan. Jika benar dakwaan mereka, itu mungkin secara kebetulan ataupun hanya kesan placebo. Pengamal pseudosains tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan mereka melalui kajian yang diulang dan mereka tidak akan menerima sebarang kritikan. Dakwaan yang dibuat seringkali terlalu hebat untuk dipercayai dan menganggap penentangnya sebagai golongan yang sedang melakukan konspirasi. Dengan alasan konspirasi, mereka dapat menutup kelemahan hujah dan dapat menyakinkan pengikut mereka untuk terus menyokong. Dengan menggunakan teori konspirasi juga mereka harap dapat menutup mulut pengkritik untuk cuba mengkritik.

Jadi hari ini berlaku pertembungan di antara sains sebenar (saya namakan sains moden) dengan pseudosains. Di dalam kancah pertembungan sains moden dan pseudosains, muncul pula pengamal sains moden yang berpaling arah seolah-olah menyokong golongan pseudosains. Kebanyakan mereka yang berpaling tadah ini melakukanya demi untuk kepentingan peribadi seperti terlibat dengan penjualan produk dan suplemen. Walaupun pengamal Perubatan moden yang berpaling tadah ini nampak seperti menyokong pseudosains tetapi di dalam hati kecil mereka saya yakin masih berpegang dengan prinsip sains moden dan ini boleh dilihat daripada gaya mereka bercakap ataupun menulis mengenai sains dan perubatan.

Pada waktu yang sama, dalam kalangan ahli agama yang mempunyai asas ilmu agama, ada pula yang berminat untuk mempelopori ilmu sains dan bercakap mengenai sains. Disebabkan mereka faham tentang agama, maka apabila mereka bercakap tentang sains, mereka akan menggunakan alasan agama untuk membenarkan dakwaan mereka. Disebabkan tidak ada perincian di dalam Quran dan Hadith, di dalam banyak keadaan mereka mencipta sendiri fakta sains mengikut tahap kefahaman mereka yang mereka rasa selari dengan maksud ayat ataupun hadith yang ditemui. Disebabkan mereka bukan daripada aliran sains, maka mereka nampak sangat janggal apabila bercakap tentang sains. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kefasihan bertutur dalam bahasa arab dan kepetahan membaca ayat alquran, serta menggunakan agama untuk menjelaskan sains ciptaan mereka, mereka sangat berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai. Terdapat juga golongan agama yang terlalu mudah menyalahkan jin dan saka sebagai jalan singkat untuk mencari punca penyakit fizikal, kemudian menggunakan kaedah agama untuk "menghalau" punca penyakit tersebut. Kaedah ini akan dilabelkan sebagai kaedah rawatan Islam (pada pandangan mereka). Konsep berikhtiar dengan kaedah terbaik tidak ujud dalam prinsip amalan mereka. Di samping golongan agama yang sebegini, saya dapati ujud juga golongan agamawan yang hanya dipergunakan sebagai jurucakap produk-produk kesihatan yang berasaskan kepada pseudosains demi untuk melariskan jualan.

Masyarakat hari ini sedang menyaksikan pertembungan di antara pengamal perubatan moden yang kekal dengan prinsip mereka,  golongan-golongan  Pengamal Perubatan moden yang berpaling tadah, pengamal pseudosains dan ahli agama yang bercakap tentang sains mengikut kefahaman mereka. Akibat daripada pertembungan ini, masyarakat sedang berdepan dengan apa yang saya namakan sebagai SAINS CACAMERBA.

Sains cacamerba adalah cabaran yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ianya memberi kesan ke atas tahap kesedaran masyarakat tentang kaedah pencegahan dan rawatan penyakit yang betul. Keujudan pseudosains ini menyebabkan masyarakat keliru dan seringkali tersalah pilih sehingga lambat mendapatkan rawatan yang lebih berkesan. Saya tidak pasti apakah jalan penyelesaian yang terbaik tetapi sesuatu yang lebih proaktif perlu dilakukan sebelum terlambat. Sains cacamerba ini boleh menguasai dan mengelirukan masyarakat sehingga mereka memilih jalan yang salah dan kita akan ketinggalan untuk mencapai negara maju. Salah satu kaedahnya adalah dengan mengujudkan kumpulan yang berperanan mendidik masyarakat dan menyanggah mitos mengenai sains dan Perubatan. Salah satu kumpulan ini dinamakan Medical Mythbusters Malaysia yang menggunakan media sosial untuk menjalankan aktiviti mereka. 

Salah satu punca keujudan pseudosains adalah kurangnya minat masyarakat terhadap ilmu sains semenjak di peringkat sekolah sehingga peratusan pelajar yang mengambil bidang ini semakin mengecil. Apabila asas ilmu sains sebenar tidak kuat, maka ujudlah pemahaman yang hanya berprinsipkan falsafah semata-mata dan menggunakan kaedah berfikir yang mudah. Masyarakat kita malas berfikir dan sukar untuk memahami konsep ilmu yang kompleks, pseudosains menggunakan lojik akal yang mudah untuk mempengaruhi masyarakat yang sebegini. Kaedah pembelajaran sains perlu diperbaiki bagi meningkatkan minat masyarakat kepada ilmu sains moden. Di samping itu setiap masyarakat perlu memainkan peranan dengan memilih pakar rujuk yang betul dan menjauhi pengamal pseudosains. Keadaan ini sama seperti memilih alim ulamak yang berwibawa sebagai sumber maklumat agama, bukan memilih pengamal ajaran sesat. 


RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN.

No comments:

Post a Comment