Sunday, August 5, 2018

KEMANA KITA? LUAHAN RASA RAKYAT BIASA

Perpecahan dalam kalangan umat Islam yang berlaku pada hari ini bukan lagi rahsia. Sebagai orang awam, maaf jika saya katakan bahawa salah satu punca perpecahan ini adalah disebabkan oleh percakaran sesama sendiri dalam isu-isu berkaitan dengan agama. Perpecahan disebabkan perbezaan politik juga ada sumbangannya tetapi di dalam rencana yang saya tulis ini, saya akan memfokuskan kepada isu agama yang tentu sekali berkait rapat dengan pejuang-pejuang agama yang kita cintai ini. Saya tidak bermaksud memperlekehkan peranan mereka di dalam menyebarkan dakwah dan meningkatkan kefahaman Islam tetapi ada kesan sampingan yang tidak boleh diketepikan. Ucapan dan tulisan agamawan mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada pengikut dan orang awam seperti kami, terutama di era kecanggihan teknologi maklumat dan penyebaran berita pada hari ini. Saya tahu bahawa kenyataan saya ini mungkin akan mengguris perasaan ramai agamawan, tetapi inilah cara saya untuk meluahkan perasaan dan memberi pandangan. Semoga ianya diterima dengan positif.

Saya ingin menekankan bahawa tulisan ini adalah luahan perasaan daripada seorang rakyat biasa yang beragama Islam. Saya bukan mewakili golongan elit ataupun mana-mana gerakan Islam, tetapi hanyalah rakyat bawahan yang suara serta kedudukannya tidak cukup kuat untuk melakukan perubahan. Sudah cukup lama saya memerhati perkembangan ini dan saya bimbang jika tidak ada langkah yang berkesan diambil untuk menyelesaikannya. Semoga tulisan ini ada sumbangannya walaupun sekecil mata pena.

Di dalam Negara kita terdapat banyak gerakan Islam yang bergerak di atas platform yang berbeza, ada di dalam bentuk NGO dan ada yang menggunakan pendekatan kuasa politik. Tidak kurang juga yang bergerak bersendirian dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan. Pada saya, kesemua prinsip yang digunakan oleh gerakan Islam ini adalah baik dan mempunyai matlamat yang sama. Masing-masing ada sumbangan mereka yang tidak boleh diperkecilkan oleh sesiapa.

Saya dapati agamawan yang menerajui semua gerakan Islam ataupun wadah-wadah perjuangan yang lain mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang setanding. Maka sepatutnya tidak ada pertikaian daripada aspek aqidah dan kefahaman Islam mereka, baik yang bergerak di atas platfom NGO mahupun parti politik, samada di dalam kerajaan mahupun pembangkang. Jadi yang membezakan mereka adalah pendekatan di dalam perjuangan. Saya percaya idea-idea yang mereka gunakan untuk memilih pendekatan-pendekatan ini juga adalah daripada rujukan yang berwibawa dan dengan hujah-hujah yang tersendiri. Pada pendapat saya kepelbagaian di dalam pendekatan ini adalah sesuatu yang positif dan sepatutnya dianggap sebagai satu rahmah. Saya boleh membuat analogi mudah membandingkan kepelbagaian ini dengan ubat kemoterapi untuk merawat penyakit kanser. Kami pakar kanser menggunakan lebih daripada satu jenis ubat kemoterapi yang bertindak dengan cara berbeza dan tindakan berbeza ini memberi kesan sinergistik (kuat-menguatkan) yang lebih berkesan untuk mematikan sel-sel kanser.

Malangnya ramai dalam kalangan umat Islam termasuk yang mendokongi perjuangan Islam sendiri tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan kelebihan yang ada pada perbezaan pendekatan ini. Saya tidak pasti punca sebenar ujudnya keadaan ini tetapi mungkin ianya disebabkan oleh ketaksuban kepada sesuatu pendapat dan kumpulan sehingga walaupun perbezaan itu bersifat khilafiah dan bukan perkara pokok, ia menjadi isu besar dan umat Islam bercakaran sesama sendiri akibat daripadanya. Walaupun ramai yang mempunyai akhlak yang terpuji dan berjuang dengan ikhlas, tetapi ada segelintir daripada mereka yang mempunyai masalah akhlak dan keegoan yang terlalu tinggi. Bak kata pepatah “sebab nila setitik, rosak susu sebelanga”. Golongan ini seringkali menangani perbezaan dengan cara yang penuh emosi dan tidak professional. Jika tidak berjaya memainkan sentimen agama, sentimen perkauman diselitkan bersama untuk mencapai matlamat mereka.

Perbezaan pendapat dihebahkan di dalam media sosial dengan pendekatan yang gelojoh dan kurang professional. Di antara contoh pendekatan yang saya maksudkan itu adalah mencari kesilapan perkataan ataupun ucapan agamawan lain dan mewar-warkan perbezaan pendapat di dalam media sosial dengan tujuan untuk mengatakan si-Pengucap ini salah dan jahil ataupun pendekatannya tidak betul. Sanggup menggunakan keratan video yang sangat singkat demi untuk meyakinkan pengikut dan orang awam, sedangkan baki ucapan yang jauh lebih panjang tidak dikongsi dan dianalisa. Ada juga yang menggunakan “screenshot” kenyataan akhbar untuk menulis hujah membantah dan kemudian disiarkan untuk tatapan orang awam, sedangkan kenyataan penuh tidak diteliti. Ini memberi kesan ke atas orang awam terutama pengikut-pengikut yang akan terikut-ikut dengan rentak guru mereka. Pengikut agamawan yang diserang pula tidak akan duduk diam. Maka berlakulah perang label melabel, tuduh menuduh dan memperlekehkan di antara satu sama lain. Asalnya isu yang kecil menjadi isu besar yang tersebar luas di seluruh negara, maka fitnah berleluasa di mana-mana, diviralkan oleh alat komunikasi moden era ini. Saya sangat sedih membaca komen-komen pengguna media sosial yang tidak beradab yang menyusuli status tulisan ramai yang bergelar agamawan. Alangkah malunya jika ini dibaca oleh rakan-rakan bukan Islam. Fenomena ini tidak menguntungkan sesiapa pun melainkan golongan yang ingin melihat orang Islam lebih berpecah.

Di dalam era pasca PRU14 ini, di mana berlakunya perubahan besar di dalam pemerintahan, ketegangan dalam kalangan agamawan dan gerakan Islam ini memberi peluang kepada pihak lain yang ingin mengambil kesempatan, iaitu pihak ketiga yang mempunyai agenda sendiri. Perjuangan golongan ini bukan untuk agama dan mereka menggunakan kesempatan ini untuk menjarakkan lagi kerenggangan hubungan dengan sengaja mengujudkan isu-isu tambahan yang boleh menyemarakkan lagi api pertelingkahan. Ini mungkin hanya telahan saya sahaja tetapi mungkin agenda golongan ketiga ini ada kena mengena dengan wang dan kuasa.

Persoalannya sekarang adakah apa-apa yang boleh dilakukan untuk menyatukan umat Islam supaya semua memfokuskan kepada agenda yang sama. Mungkin ada yang mengatakan perkara ini bukan baru, sudah lama berlaku dan memang susah untuk diselesaikan. Pada saya ini adalah kenyataan orang yang sudah berputus asa sedangkan semua tahu bahawa dengan kuasa Allah, tidak ada perkara yang mustahil dilakukan. Sekurang-kurangnya penyatuan ini dapat dimulakan dengan kesedaran bahawa setiap umat Islam samada agamawan ataupun orang awam mengiktiraf kalimah tauhid yang sama. Di samping itu, semua agamawan dan gerakan Islam perlu bekerjasama, berfikiran positif dan berbaik sangka di antara satu sama. Menggunakan perbezaan pendekatan untuk menghasilkan satu perjuangan yang sinergistik. Bersaing daripada segi idea siapa yang lebih baik dan bukan siapa yang lebih islamik. Apabila berjuang untuk tujuan menunjukkan diri lebih islamik daripada orang lain, maka inilah yang boleh menjadi bunga-bunga ketaksuban dan benih kepada extremisma. Meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan itu melalui meja perbincangan ataupun secara peribadi yakni melalui cara yang lebih berhemah dan professional. Saya berpendapat fokus memperbaiki akhlak tidak hanya tertumpu kepada orang awam seperti saya dan pengikut tetapi juga ke atas pendokong-pendokong dakwah Islam itu sendiri. Semua agamawan dan bakal pendakwah juga perlu didedahkan tentang adab berbeza pendapat di dalam hal-hal cabang dan ijtihadi. Orang awam seperti saya juga perlu diberi pendidikan tentang perkara yang sama dan belajar bagaimana memilih pakar rujuk yang betul serta menolak mereka-mereka yang tidak berakhlak untuk dijadikan sumber rujukan.

Apabila membaca tulisan ini, mungkin ramai yang berkata bahawa saya hanya pandai menulis, jadi “keyboard warrior”, cakap dan tulis memang senang, tapi mana jalan penyelesaiannya? Sejujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana matlamat yang saya nyatakan di atas dapat dicapai kerana saya bukan pakar di dalam bidang berkenaan. Tambahan pula seperti yang saya katakan, tulisan ini adalah tulisan seorang rakyat biasa yang menulis hanya untuk melontarkan pendapat. Walau bagaimanapun, saya percaya pasti ada jalannya, ia memerlukan masa dan komitmen daripada semua pihak. Kita sedang menanti satu kepemimpinan agama yang boleh menjadi juara di dalam menyatukan semua agamawan dan institusi agama di bawah satu payung pentadbiran yang paling dihormati. Mensasarkan kesempurnaan sebagai matlamat memang amat sukar dicapai, tetapi sekurang-kurangnya kita bergerak menggunakan landasan yang lebih baik.

Para agamawan yang ada pada hari ini tentu lebih arif tentang sejarah kejatuhan empayar dan negara Islam di masa lampau di mana perselisihan seumpama inilah yang menjadi salah satu puncanya. Tidakkah sejarah yang berlaku itu tidak cukup kuat untuk mendorong anda supaya melakukan sesuatu agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Anda memikul tanggungjawab yang sangat besar kepada umat Islam hari ini dan akan datang.

DDr Rushdan Noor
15hb Julai 2018
https://www.facebook.com/rushdan.noor

No comments:

Post a Comment