Tuesday, December 27, 2016

SUPLEMEN ANTIOKSIDAN DAN KANSER : FAKTA ATAUPUN AUTA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah

RADIKAL BEBAS, ANTIOKSIDAN DAN PROSES OKSIDASI

ANTIOKSIDAN adalah bahan yang berkemampuan untuk mencegah dan memperlahankan proses kerosakan sel serta tisu akibat PROSES OKSIDASI. Untuk memahami maksud OKSIDASI cuba anda lihat apa yang berlaku apabila sebiji buah apel dibiarkan untuk beberapa hari, anda akan dapati terdapat tompok keperangan bertukar menjadi kehitaman yang lama kelamaan ianya akan menjadi lembut dan rosak (busuk). Kesan kehitaman inilah akibat proses oksidasi. Proses oksidasi ini disebabkan oleh kesan bahan yang dikenali sebagai RADIKAL BEBAS yang tidak mampu dikawal oleh antioksidan. Untuk memahami maksud antioksidan, anda perlu mengenal apakah radikal bebas. Radikal bebas adalah atom atau molekul yang aktif serta mempunyai caj yang berlebihan samada disebabkan oleh kekurangan ataupun kelebihan electron di dalamnya. Apabila ini berlaku radikal bebas ini akan menjadi sangat tidak stabil dan berkeliaran mencari peluang supaya caj yang berlebihan itu dapat dinyahkan. Caj yang berlebihan ini dapat dinyahkan samada dengan mengambil ataupun memberi elektron. Jika mereka mempunyai kurang elektron, mereka akan mencari molekul yang dapat memberi elektron kepada mereka. Dalam proses mencari elektron ini, mereka boleh merosakkan DNA, menyerang enzim, protin dan selaput sel. Manifestasi dari kesan ini adalah kadar proses penuaan serta kadar kematian sel yang lebih cepat, penyakit degenerasi seperti sakit sendi, sakit salur darah, sakit jantung, angin ahmar (stroke), katarak, penyakit kronik yang lain termasuk penyakit kanser dan lain-lain. Radikal bebas juga dikaitkan dengan masalah psikologi termasuk tekanan perasaan (stress) dan kemurungan. Semua masalah kesihatan ini berlaku jika badan mengandungi kandungan radikal bebas yang berlebihan untuk jangkamasa panjang. Contoh-contoh radikal bebas adalah “superoxide anion”, hydroxyl radical, asid nitric dan ozone. Terdapat banyak jenis radikal bebas samada di dalam badan anda mahupun di dalam alam sekitar mungkin jumlahnya beribu-ribu. Di antara banyak radikal bebas, radikal bebas yang mengandungi atom oksigen adalah yang paling aktif dan paling berperanan di dalam badan. Ianya juga dikenali sebagai RADIKAL BEBAS OKSIGEN (reactive oxygen species). Di antara radikal bebas beroksigen yang lain adalah radical superoxide, radikal hidroksil, hidrogen peroksida, nitrik oksida dan lain-lain. Radikal bebas ini terdapat di dalam badan dan juga di persekitaran. Radikal bebas yang terdapat di dalam badan anda adalah dihasilkan oleh  proses respiratori aerobik di dalam mitokondria, proses metabolisma badan dan juga inflamasi (keradangan). Disebabkan ianya dihasilkan oleh badan maka radikal bebas ini sebenarnya mempunyai peranan terhadap fungsi tubuh badan anda jika kandungannya terkawal (1,2). Ia akan menjadi mudarat hanya jika kandungannya berlebihan. Radikal bebas yang terdapat di dalam persekitaran pula adalah terdapat di dalam pencemaran alam sekitar, cahaya matahari, radiasi, asap rokok, alkohol dan lain-lain. Jadi salah satu punca yang boleh menyebabkan peningkatan radikal bebas di dalam tubuh badan manusia adalah pendedahan kepada radiasi dan juga toksin daripada alam sekitar.

BAGAIMANA ANTIOKSIDAN BERTINDAK

Antioksidan menghalang proses oksidasi yang boleh dilakukan oleh radikal bebas dengan cara meneutralisasikannya. Apabila antioksidan meneutralisasikan radikal bebas, antioksidan ini sendiri akan mengalami pengoksidanan dan menjadi tidak aktif. Badan boleh terus menghasilkan antioksidan secara berterusan bergantung kepada keperluan. Terdapat dua cara bagaimana antioksidan bertindak :

a. Merencat pembiakan radikal bebas. Semasa radikal bebas mengambil atau memberi elektron kepada atom atau molekul yang diserang olehnya, atom atau molekul yang kedua ini akan menjadi radikal bebas yang baru dan ia akan melakukan perkara yang sama ke atas molekul2 lain dan begitulah seterusnya sehingga terbentuk banyak radikal bebas yang “membiak“ dan “berjangkit“. Antioksidan dapat memutuskan rantaian ini dan seterusnya memberhentikan proses yang tersebut di atas jadi kerosakan yang dilakukan oleh radikal bebas ini dapat diperlahankan ataupun dihentikan. Kerosakan yang telah berlaku mungkin tidak dapat dipulihkan tetapi sekurang2nya ianya dapat terhenti setakat itu.

b. Mencegah pembentukan radikal bebas daripada peringkat awal. Antioksidan juga dapat mencegah dari berlakunya proses penyahan caj oleh molekul yang berpotensi menjadi radikal bebas dari peringkat permulaan lagi. Dengan cara ini antioksidan dapat mengurangkan kesan radikal bebas dari peringkat awal. Contoh antioksidan yang dapat melakukan pencegahan ini adalah superoxide dismutase, catalase dan glutathione peroxidase. Antioksidan juga dapat merencat pembentukan radikal bebas melalui kesan mengurangkan kepekatan molekul oksigen.

JENIS-JENIS ANTIOKSIDAN

Antioksidan boleh ditemui di dalam dan di luar badan manusia. Antioksidan yang dihasilkan oleh badan anda dikenali sebagai Endogenous antioxidants, manakala yang diperolehi daripada luar badan anda dikenali sebagai Exogenous antioxidants. Jadi bekalan antioksidan boleh diperolehi daripada proses fisiologi badan anda sendiri ataupun boleh diambil daripada luar. Sumber daripada luar boleh merupakan makanan segar seperti buah-buahan dan sayuran ataupun daripada suplemen yang disediakan di dalam pelbagai bentuk seperti pil,kapsul, suntikan dan sebagainya. Persoalannya adakah anda perlu mengambil antioksidan dalam bentuk suplemen. Saya akan menjelaskan isu ini di bahagian akhir rencana ini. Berikut adalah 3 jenis antioksidan yang dikenali dapat bertindak ke atas radikal bebas (3):

A. Nutrin Antioksidan (Antioksidan Nutrin). Antioksidan Yang diperolehi daripada bahan nutrin penting untuk melawan radikal bebas. Setiap nutrin mempunyai ciri-ciri antioksidan yang tersendiri samada dari segi strukturnya mahupun fungsinya.

Berikut adalah beberapa contoh nutrin-nutrin yang juga merupakan antioksidan:
a. Vitamin E
b. Vitamin C
c. Beta-Karoten
d. Selenium
e. Manganese
f. Zink

B. Enzim yang merupakan antioksidan (Antioxidants Enzymes). Tiga jenis enzim yang bertindak sebagai antioksidan dan paling penting adalah:

a. Superoxide Dismutase
b. Catalase
c. Glutathione Peroxidase
d. Selenium methionine peroxidase

C. Lain-lain antioksidan. Selain daripada vitamin, mineral, enzim, terdapat banyak lagi kompoun yang merupakan antioksidan, diantaranya adalah:

a. Koenzim Q10 (CoQ10)
b. Asid Urik
c. Fucoidan
d. Phytochemical (bahan yang terdapat dalam tumbuhan), contoh phytochemical adalah karotenoid (tomato,karot,bayam), Curcumin (kunyit), Flavonoid (anggur, beri,apel), Glutathione (sayur hijau), Isoflavone (kacang pea,kacang soya), Lignan (kacang,biji bunga matahari), Phenol (anggur, beri, teh) dan lain-lain.

   



ADAKAH PENGAMBILAN ANTIOKSIDAN MEMULIHKAN KESIHATAN

Tidak dapat dinafikan bahawa radikal bebas yang dibiarkan bermaharajalela boleh memudaratkan kesihatan anda. Di samping itu memang tidak dapat dinafikan bahawa antioksidan berperanan mengurangkan kesan radikal bebas ke atas badan.

Terdapat beratus-ratus kajian pemerhatian (observational study) yang melihat kaitan antara tabiat pemakanan dan penyakit telah menunjukkan bahawa individu yang mengambil makanan yang tinggi kandungan antioksidan seperti buah2an dan sayuran mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit kanser, sakit jantung, angin ahmar, katarak, Penyakit Alzeimers dan sakit sendi. Jadi para Saintis tidak menafikan kepentingan mengambil makanan yang tinggi kandungan antioksidan terutamanya dari sumber makanan segar. Pertubuhan Jantung Amerika ( American Heart Association) di dalam kenyataan resminya antara lain mengesyorkan supaya orang ramai mengambil makanan yang seimbang dan mendapatkan sumber antioksidan dari sumber semulajadi ataupun makanan.

Berdasarkan kepada teori, ada yang berpendapat bahawa pengambilan antioksidan di dalam bentuk segar adalah lebih baik kerana di samping kandungan antioksidan di dalamnya terdapat banyak lagi nutrin, mineral dan juga serat yang boleh menyumbang kepada kesihatan badan. Banyak kajian observational (pemerhatian) menunjukkan bahawa penambahan buah2an dan sayuran di dalam makanan dapat mengurangkan kadar sakit saluran darah dan jantung (kardiovaskular). Dianggarkan bahawa jika semua orang mengambil buah-buahan dan sayuran sebanyak 600 gram sehari, beban penyakit jantung akan berkurang sebanyak 31%, manakala penyakit angin ahmar (yang disebabkan oleh kekurangan aliran darah) dapat dikurangkan sebanyak 19% di seluruh dunia. (4)

Ahli Sains sepakat mengenai kepentingan mengambil buah-buahan dan sayuran segar sebagai sumber antioksidan. Walau bagaimanapun pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen adalah sangat kontroversial. Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat apakah kesan pengambilan antioksidan dalam bentuk suplemen terutamanya Beta-karoten, vitamin E dan Vitamin C. Terdapat beberapa kajian yang besar dan banyak kajian-kajian yang kecil mengenai kegunaan antioksidan. Hasil keputusan daripada  kajian-kajian tersebut juga pelbagai tetapi majoriti daripada kajian-kajian besar ini menunjukkan bahawa TIDAK ADA KESAN MANFAAT yang nyata daripada amalan mengambil suplemen antioksidan. Kesan positif hanya diperolehi daripada kajian-kajian kecil dan testimoni semata-mata.  

Kajian observational adalah kajian yang lemah berbanding dengan “Randomized control trial” jadi kesimpulan yang lebih tepat hanya dapat diperolehi daripada jenis kajian yang kedua ini. Setakat ini terdapat sekurang-kurangnya 9 kajian “Randomized control trial” yang besar mengenai kaitan di antara pengambilan suplemen makanan tambahan dan pencegahan kanser serta beberapa jenis penyakit lain yang dijalankan di seluruh dunia. Di antara kajian-kajian tersebut ada disebutkan di dalam rencana ini. Sembilan kajian-kajian ini adalah seperti berikut:

1. Linxian General Population Nutrition Intervention Trial. Merupakan kajian terbesar pertama dijalankan untuk menyiasat kesan mengambil suplemen antioksidan yang mengandungi beta karoten (15 mg), alfa-tokoferol/Vitamin E (30 mg) dan selenium (50 mikrogram) selama 5 tahun. Selepas 15 tahun kajian ini dijalankan, ia menunjukkan bahawa pengambilan suplemen antioksidan ini tidak menurunkan risiko menghidap kanser terutamanya kanser perut dan kanser esofagus. (5,6)

2. ATBC (Alpha Tocopherol/Beta-Carotene Cancer Prevention Study. Kajian ini menyiasat manfaat pengambilan suplemen alfa-tokoferol dan/atau beta-karoten selama 5-8 tahun oleh lelaki yang merokok di Finland. Kajian ini menunjukkan bahawa pengambilan suplemen ini tidak menurunkan kadar kejadian kanser pundi kencing,buah pinggang, cancer esogagus, kanser mulut/tekak, kanser usus, kanser kolon dan lain-lain. Malahan pada peringkat awal kajian ini, perokok yang mengambil beta karotene sebanyak 20 mg sehari didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru. (7,8,9,10,11,12,13,14)

3. CARET (Carotene and Retinol Efficacy Trial).Kajian yang dijalankan di Amerika ini menyiasat kesan pengambilan suplemen beta-karoten dan retinol (vitamin A) ke atas kadar kejadian kanser paru-paru dan lain-lain kanser. Kajian ini mengambil masa 13 tahun dan hasil kajian ini menunjukkan bahawa pengambilan suplemen yang mengandungi 15 mg beta karoten dan 25,000 IU retinol meningkatkan risiko kanser paru-paru dan meningkatkan kadar kematian akibat lain-lain kanser. Kajian lanjut menunjukkan bahawa kesan ini berpanjangan sehingga selepas 6 tahun pengambilan suplemen ini diberhentikan. Suplemen ini juga didapati tidak menurunkan risiko menghidap kanser prostat (15,16).

4. PHS I (Physicians Health Study). Kajian ini melihat kesan pengambilan suplemen beta-karoten ke atas kadar kejadian kanser dan juga kadar kematian akibat kanser oleh Pakar Perubatan warganegara Amerika. Kajian ini juga menunjukkan bahawa pengambilan suplemen mengandungi beta karoten sebanyak 50 mg setiap hari selama 12 tahun tidak mendatangkan apa-apa manfaat yang berkaitan dengan kanser (17).

5. WHS (Womens Health Study).Kajian ini menyiasat kesan pengambilan suplemen beta-karoten (50 mg setiap hari), vitamin E (600 IU sehari) dan Aspirin (100 mg sehari) terhadap kadar kejadian kanser dan penyakit jantung wanita Amerika yang berusia 45 tahun ke atas. Kajian ini menujukkan bahawa pengambilan suplemen ini tidak membawa apa-apa manfaat ke atas kesihatan wanita yang dikaji. (18,19)

6. SU.VI.MAX (Supplementation en Vitamines et Mineraux). Kajian di Perancis ke atas lelaki dan wanita yang mengambil suplemen dan mineral khususnya kesan ke atas kadar kejadian kanser dan juga penyakit jantung. Responden mengambil vitamin C (120 mg), vitamin E (30 mg), beta carotene (6 mg),selenium (100 ug) dan zink (20 mg). Kajian menunjukkan bahawa selepas 7.5 tahun , keseluruhannya tidak ada manfaat yang diperolehi daripada pengambilan ini terhadap kanser dan penyakit jantung. Walaupun manfaat pencegahan kanser dikesan ke atas kaum lelaki, ianya hanya dalam tempoh 5 tahun. Selepas daripada itu tidak ada kesan positif, malahan insiden kanser kulit termasuk melanoma didapati lebih tinggi dalam kalangan kaum wanita yang mengambil suplemen (22,23 )

7. HOPE-TOO (Heart Outcomes Prevention Evaluation-The Ongoing Outcomes Study). Kajian ini menyiasat kesan pengambilan suplemen alfa-tokofenol (400 IU) ke atas kadar kejadian kanser, kematian kanser dan juga penyakit kardiovaskular (termasuk stroke) ke atas pesakit jantung ataupun diabetes. Kajian ini menunjukkan tidak ada sebarang manfaat pengambilan suplemen alfa-tokofenol selama 7 tahun (24).

8. SELECT (Selenium and Vitamin E Cancer Prevention Trial).Kajian di Amerika ini menyiasat kesan pengambilan suplemen selenium (200 ug), vitamin E (400 IU) ataupun kedua-duanya oleh lelaki berusia lebih 50 tahun ke atas kadar kejadian kanser prostat. Selepas purata 7 tahun kajian ini, tidak terdapat kesan manfaat pengambilan suplemen ini, malahan kumpulan yang mengambil vitamin E sahaja didapati mempunyai risiko menghidap kanser prostat sebanyak 17% lebih tinggi daripada mengambil placebo (25,26)

9. PHS II (Physicians Health Study II). Kajian ini dilakukan ke atas Pakar Perubatan Amerika (lelaki) yang mengambil suplemen vitamin E (400 IU), vitamin C (500 mg) ataupun kedua-duanya di dalam menurunkan kadar kejadian kanser. Selepas 7.6 tahun, amalan ini tidak membawa apa-apa manfaat di dalam mencegah sebarang kanser (kanser prostat, kanser paru2, kanser pancreas, kanser usus besar, leukemia, limfoma dan lain-lain).(27) 
Kesimpulan daripada 9 kajian berkualiti ini telah menunjukkan bahawa tidak ada bukti kukuh bahawa pengambilan suplemen antioksidan dapat mencegah kanser dan juga mengurangkan kadar kematian akibat kanser. Ianya juga tidak menunjukkan sebarang manfaat ke atas kadar kematian akibat penyakit jantung. Keputusan yang sama juga diperolehi melalui systemic review yang telah dijalankan oleh USPSTF ke atas peranan amalan mengambil suplemen vitamin dan mineral untuk mencegah kanser (28). Terdapat banyak lagi kajian “randomized controlled trials’ yang telah dijalankan tetapi melibatkan bilangan subjek yang lebih kecil daripada 9 kajian di atas, kajian-kajian yang lain ini akan dikumpulkan untuk tujuan metaanalisis, contohnya seperti yang dilakukan oleh Myung SK et al (31). Metanalisis (metaanalysis) ini akan dibincangkan kemudian.

ADAKAH RADIKAL BEBAS BERMANFAAT

Di bahagian awal rencana ini ada disebutkan tentang radikal bebas dan kesan negatif yang diakibatkan oleh bahan ini. Sebenarnya radikal bebas juga dihasilkan oleh badan anda dan apabila ianya dihasilkan oleh badan maka tentu ada manfaatnya. Anda akan mendapat mudarat jika badan anda mengeluarkan radikal bebas yang terlalu banyak ataupun anda terdedah kepada radikal bebas yang berlebihan daripada alam sekitar. Pada masa dahulu, ahli sains berpendapat bahawa semua radikal bebas ini tidak membawa apa-apa manfaat kepada tubuh badan manusia. Hari ini ramai ahli sains percaya bahawa badan memerlukan radikal bebas pada kuantiti yang tertentu untuk memastikan fisiologi badan berjalan secara normal dan seimbang. Ahli sains percaya bahawa di dalam kuantiti yang optima, radikal bebas berfungsi sebagai bahan yang memberi amaran awal kepada badan untuk bertindak ke atas ancaman kesihatan. Apabila badan terdedah kepada stress, system saraf autonomik akan diransang dan salah satu daripadanya adalah ransangan reseptor beta adrenergic yang kemudiannya akan menyebabkan otot jantung mengecut dengan lebih kuat dan meningkatkan bekalan darah. Kajian juga menunjukkan bahawa ransangan reseptor yang sama akan menyebabkan mitokondria di dalam sel menghasilkan radikal bebas yang lebih banyak dan ini menyumbang kepada kesan pengecutan otot jantung yang lebih baik. Apabila ahli sains mendedahkan sel kepada antioksidan, kesan ransangan reseptor di otot jantung ini didapati berkurangan dan ini adalah sesuatu yang tidak baik kepada badan(29).

Di antara radikal bebas yang dihasilkan oleh banyak sel badan anda adalah hidrogen peroksida yang dihasilkan oleh tindakbalas enzim superoxide dismutase dan ianya dikatakan boleh meransang sel darah putih. Setengah organisma yang ada di dalam tubuh badan anda yang dikenali sebagai normal flora menghasilkan peroksida ini untuk membunuh organisma lain yang mengancam kesihatan seperti bakteria dan kulat. Sel darah putih seperti sel NK (Natural Killer cells) juga boleh menghasilkan peroksida untuk boleh membunuh bakteria dan juga sel-sel kanser. Sel badan yang normal mengandungi antioksidan yang mencukupi untuk mencegah kerosakan akibat daripada radikal bebas (sel-sel normal lebih kebal), walau bagaimanapun sel-sel yang tidak sihat dan sel-sel kanser tidak mempunyai antioksidan yang mencukupi jadi sel-sel ini lebih mudah dimusnahkan oleh radikal bebas.

Dari penjelasan di atas adalah jelas bahawa radikal bebas dapat berperanan di dalam memusnahkan sel-sel yang tidak sihat dan sel-sel kanser di dalam badan anda. Jadi radikal bebas disamping boleh memudaratkan sel-sel normal, pada waktu yang sama ianya juga boleh memusnahkan sel-sel yang tidak normal, pendek kata ada mudarat dan ada manfaatnya. Ramai ahli-ahli sains tidak menafikan bahawa radikal bebas di dalam kuantiti tertentu mempunyai manfaat kepada badan manusia. Jika badan anda menghasilkan radikal bebas dan pada waktu yang sama badan anda juga mempunyai antioksidan yang dianggap sebagai penawar semulajadi, maka ini bermaksud sudah ada keseimbangan di antara kedua-dua bahan ini untuk memastikan fungsi fisiologi di dalam badan anda berjalan dengan betul. Malahan ada ahli sains percaya bahawa radikal bebas berperanan memberi amaran kepada sel (“cell signaling”) supaya sel dapat menghasilkan antioksidan semulajadi bagi menurunkan kandungan mereka dan badan dapat dicegah daripada kesan negatif radikal bebas (30). Persoalannya apakah yang berlaku jika keseimbangan kandungan radikal bebas ini diganggu contohnya oleh pengambilan antioksidan yang berlebihan terutamanya di dalam bentuk suplemen. Isu ini akan dibincang di dalam bab seterusnya.

ADAKAH MUDARAT MENGAMBIL ANTIOKSIDAN

Kajian metanalysis yang dijalankan oleh Myung SK et al ke atas lebih 3000 rencana dan memilih lebih kurang 20 kajian “randomized controlled trials” yang melibatkan lebih 160,000 subjek mendapati bahawa pengambilan suplemen antioksidan tidak mencegah kanser (pencegahan primer) ataupun memanjangkan hayat pesakit kanser (pencegahan sekunder). Malahan analisa beberapa kajian telah melapurkan bahawa kumpulan yang mengamalkan suplemen antioksidan mempunyai risiko menghidap kanser pundi kencing yang lebih tinggi daripada yang tidak mengamalkan suplemen antioksidan. (31)

Myung SK et al pula membuat systematic review dan meta-analysis ke atas “randomized controlled trial” (RCTs) berkaitan dengan amalan mengambil vitamin dan suplemen antioksidan ke atas pencegahan penyakit saluran darah dan  jantung (kardiovascular). Di dalam analisis ini, sebanyak 50 RCTs telah terpilih  melibatkan 294,478 orang. Analisis ini telah mendapati bahawa amalan mengambil vitamin dan suplemen antioksidan tidak menurunkan kadar penyakit saluran darah dan jantung. Malahan terdapat bukti bahawa pengambilan vitamin dan suplemen antioksidan ini meningkatkan risiko sakit dada yang dikenali sebagai “angina pectoris”. (32)

Hasil daripada kajian-kajian besar di atas sangat membimbangkan kerana disamping ahli sains mendapati TIDAK ADA MANFAAT mengambil antioksidan di dalam bentuk suplemen, terdapat pula bukti ianya mungkin boleh memudaratkan kesihatan. Adakah ini disebabkan oleh berlakunya ketidakseimbangan di antara kandungan radikal bebas dan antioksidan di dalam badan manusia akibat daripada mengambil antioksidan yang berlebihan?

Ahli Sains percaya bahawa di dalam badan manusia kedua-dua bahan antioksidan dan radikal bebas mempunyai peranan ke atas fisiologi badan. Antioksidan adalah salah satu bahan yang boleh melakukan reduksi (“reduction”) ke atas bahan lain termasuk radikal bebas tetapi pada waktu yang sama, radikal bebas pula boleh mengoksidasi bahan lain termasuk antioksidan itu sendiri kerana kedua-dua molekul ini berinteraksi di antara satu sama lain. Di dalam badan anda, berlaku keseimbangan di antara bahan yang bersifat “reductive” dan bahan yang bersifat “oxidative”. Kedua-dua bahan ini mempunyai manfaat dan berada di dalam keseimbangan jika badan anda normal dan sihat. Tetapi jika kandungan bahan “reductive” lebih tinggi daripada “oxidative”, maka keadaan ini dinamakan TEKANAN REDUKTIF (“reductive stress”) dan jika sebaliknya pula ianya dikenali sebagai TEKANAN OKSIDATIF (“oxidative stress”). Ahli sains percaya pengambilan antioksidan yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan reduktif dan mereka percaya ini mungkin salah satu punca berlakunya peningkatan risiko menghidap penyakit jantung, kanser dan kematian.(33, 34,35).

Ahli Sains juga percaya bahawa senaman boleh meransang penghasilan radikal bebas tetapi jika senaman dilakukan secara tetap dan berpanjangan ia membawa manfaat kepada kesihatan badan, disebabkan oleh mekanisma yang dikenali sebagai “upregulation”. Hasil daripada ransangan radikal bebas ini, sel-sel di dalam badan akan meningkatkan penghasilan antioksidan semulajadi masing-masing dan akhirnya akan mengembalikan keseimbangan dan kesihatan badan (36,37,38). Ransangan radikal bebas semasa senaman juga dipercayai boleh meningkatkan sensitivity insulin dan mengawal penyakit diabetes. Pengambilan suplemen antioksidan vitamin C dan E dikatakan boleh merencat kesan manfaat radikal bebas ini dan mungkin boleh menghalang kesan senaman ke atas pengurangan gula di dalam darah (39).

Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa suplemen antioksidan boleh meransang kanser kulit yang dikenali sebagai “malignant melanoma”. Pemberian salah satu antioksidan yang dikenali sebagai N-acetylcystein dan vitamin E kepada tikus yang menghidap malignant melanoma menyebabkan kanser itu menjadi lebih ganas dan merebak ke nodus limpa. Walaupun ini adalah kajian terhadap haiwan, keputusan ini tidak boleh diambil ringan dan tentu membimbangkan ahli sains serta pengamal perubatan. (40). Kajian lain ke atas haiwan dan lapisan sel kanser paru-paru manusia (human lung cancer cell-lines) juga menunjukkan potensi suplemen antioksidan (suplemen N-acetycystein dan/atau vitamin E) meransang sel kanser ke atas pengidap kanser paru-paru (41). Wang et al mengkaji kesan sejenis ubat untuk merawat diabetes yang mempunyai ciri-ciri antioksidan, di antaranya adalah saxagliptin dan sitagliptin. Mereka juga mengkaji satu lagi jenis suplemen antioksidan yang diambil untuk tujuan merawat kerosakan saraf akibat diabetes (diabetic neuropathy) iaitu Asid Alfa-Lipoik (Alpha-lipoic acid). Kajian makmal terhadap haiwan ini juga menunjukkan bahawa bahan-bahan ini dapat meningkatkan keganasan kanser yang sudah dihidapi. Walau bagaimanapun ubat-ubat ini dipercayai tidak meningkatkan kadar kejadian kanser dalam kalangan orang yang sihat. Ahli Sains menyarankan kepada pesakit diabetes yang menghidap kanser supaya berhati-hati apabila mengambil ubat dan suplemen ini (42). Terdapat lapuran pesakit yang menghidap diabetes dan kanser yang dikenali sebagai “Carcinoid Tumour” yang diberi ubat merawat diabetes iaitu saxaglipin. Penyakit kanser individu tersebut telah dapat dikawal sehingga apabila beliau mengambil saxaglipin. Apabila mengambil ubat ini, kandungan “tumour marker” telah meningkat dengan mendadak. Apabila ubat ini diberhentikan, didapati kandungan tumour marker tersebut menurun. Walaupun kes ini terpencil namun penemuan ini perlu diambil perhatian dan adalah wajar ahli sains memberi amaran kepada pengamal perubatan supaya cuba untuk tidak menggunakan ubat ini ke atas pesakit diabetes yang menghidap kanser. (43)

Bjelakovic et al telah juga melakukan “systematic review” ke atas 78 RTCs berkaitan dengan amalan pengambilan suplemen antioksidan termasuk selenium, beta-carotene, vitamin C, vitamin A dan vitamin E. Hasil penilaian ini mendapati tidak ada manfaat yang diperolehi oleh pengamal, sebaliknya kadar kematian pula meningkat (44,45).

KESIMPULAN

Tubuh badan manusia berupaya untuk menghasilkan antioksidan dan pada waktu yang sama melalui proses metabolism badan serta keradangan, sel badan juga menghasilkan radikal bebas. Antioksidan berfungsi meneutralisasi kesan radikal bebas yang berlebihan di dalam badan. Radikal bebas boleh juga diperolehi daripada alam sekitar termasuk radiasi. Radikal bebas yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuk mempercepatkan proses penuaan. Walaubagaimana pun kebelakangan ini Ahli Sains telah mendapati bahawa radikal bebas mempunyai peranan di dalam proses fisiologi badan di mana ianya boleh menghapuskan sel-sel yang rosak serta mematikan organisma-organisma yang masuk ke dalam badan manusia. Di samping itu, radikal bebas ini juga didapati boleh menjadi amaran awal kepada badan bagi menghasilkan lebih antioksidan secara semulajadi. Badan perlu mempunyai keseimbangan di antara bahan reduksi dan bahan oksidasi dan kedua-dua antioksidan serta radikal bebas mewakili kedua-dua bahan ini. Jika salah satu daripadanya berlebihan, ia akan memudaratkan kesihatan badan dan boleh mendedahkan badan kepada pelbagai jenis penyakit. Antioksidan boleh diambil daripada sumber makanan segar seperti buah-buahan dan sayuran, ia juga boleh didapati di dalam bentuk suplemen. Majoriti ahli Sains dan Pakar Perubatan bersetuju bahawa pengambilan antioksidan di dalam bentuk makanan segar mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan badan kerana di samping mengandungi antioksidan, makanan segar ini juga mengandungi lain-lain nutrin, mineral dan serat. Sehingga ke hari ini belum ada bukti kukuh bahawa pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen dapat mencegah penyakit kronik (penyakit kardiovaskular dan kanser) dan mengurangkan kadar kematian akibat penyakit tersebut. Malahan Ahli Sains mula mempercayai bahawa perlu ada keseimbangan di antara bahan reduktif dan oksidatif di dalam badan dan jika salah satu daripadanya berlebihan maka akibatnya adalah gangguan kesihatan kepada tubuh badan. Pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen boleh menyebabkan gangguan keseimbangan ini di mana kandungan bahan reduktif di dalam badan melebihi bahan oksidatif dan menyebabkan apa yang dinamakan “reductive stress”. Ini dibuktikan oleh hasil kajian yang dilakukan oleh ahli sains di mana pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat kepada badan sebaliknya boleh menyebabkan timbulnya masalah kesihatan termasuk menyebabkan kanser yang dihidapi menjadi lebih agresif dan risiko penyakit kardiovaskular. Kesimpulannya antioksidan tidak semestinya baik untuk tubuh badan dan radikal bebas tidak semestinya buruk untuk kesihatan, apa yang diperlukan adalah keseimbangan kedua-duanya jika fungsi fisiologi badan hendak dikekalkan pada tahap yang normal. Setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa pengambilan suplemen antioksidan memberi manfaat kepada manusia samada mencegah penyakit ataupun merawat penyakit. Untuk mendapatkan kesihatan optima, amalkan makanan seimbang, ambil banyak sayuran serta buahan, lakukan senaman secara tetap, dapatkan berat badan yang ideal, lakukan ujian saringan dan elakkan gayahidup tidak sihat seperti merokok, meminum alcohol dan stress.

RUJUKAN

1.   Diplock AT, Charleux JL, Crozier-Willi G, et al. Functional food science and defence against reactive oxygen species. British Journal of Nutrition 1998;  80(Suppl 1):S77-S112
2.   Valko M, Leibfritz D, Moncol J, et al. Free radicals and antioxidants in normal physiological functions and human disease. International Journal of Biochemistry & Cell Biology 2007; 39(1):44-84.
3.   Huang D, Ou B, Prior RL. The chemistry behind antioxidant Capaicty Assay. J Agric Food Chem, 2005;53:1841-1856
4.   Lock K, Pomerleau J, Causer L, et al. The global burden of disease attributable to low consumption of fruit and vegetables: implications for the global strategy on diet. Bull World Health Organ, 2005;83:100-8
5.   Blot WJ, Li JY, Taylor PR, et al. Nutrition intervention trials in Linxian, China: supplementation with specific vitamin/mineral combinations, cancer incidence, and disease-specific mortality in the general population. Journal of the National Cancer Institute 1993;85:1483–91
6.   Qiao YL, Dawsey SM, Kamangar F, et al. Total and cancer mortality after supplementation with vitamins and minerals: follow-up of the Linxian General Population Nutrition Intervention Trial. Journal of the National Cancer Institute 2009;101(7):507-518
7.   The Alpha-Tocopherol, Beta Carotene Cancer Prevention Study Group. The effects of vitamin E and beta carotene on the incidence of lung cancer and other cancers in male smokers. New ngland Journal of Medicine 1994;330:1029–35
8.   Bouayed J, Bohn T. Exogenous antioxidants—double-edged swords in cellular redoc state: health beneficial effects at physiologic doses versus deleterious effects at high doses. Oxidative Medicine and Cellular Longevity 2010; 3(4): 228-237
9.   Davis CD, Tsuji PA, Milner JA. Selenoproteins and Cancer Prevention. Annual Review of Nutrition 2012; 32:73-95
10.       Patterson RE, White E, Kristal AR, et al. Vitamin supplements and cancer risk: the epidemiologic evidence. Cancer Causes and Control 1997; 8(5):786-802
11.       Rautalahti MT, Virtamo JR, Taylor PR, et al. The effects of supplementation with alpha-tocopherol and beta-carotene on the incidence and mortality of carcinoma of the pancreas in a randomized, controlled trial. Cancer 1999; 86(1):37-42
12.       Virtamo J, Edwards BK, Virtanen M, et al. Effects of supplemental alpha-tocopherol and beta-carotene on urinary tract cancer: incidence and mortality in a controlled trial (Finland). Cancer Causes and Control 2000;11(10):933-939
13.       Albanes D, Malila N, Taylor PR, et al. Effects of supplemental alpha-tocopherol and beta-carotene on colorectal cancer. Cancer Causes and Control 2000; 11(3):197-205
14.       Wright ME, Virtamo J, Hartman AM, et al. Effects of alpha-tocopherol and beta-carotene supplementation on upper aerodigestive tract cancers in a large, randomized controlled trial. Cancer 2007; 109(5):891-898
15.       Omenn GS, Goodman GE, Thornquist MD, et al. Effects of a combination of beta carotene and vitamin A on lung cancer and cardiovascular disease. New England Journal of Medicine 1996;334(18):1150-1155
16.       Goodman GE, Thornquist MD, Balmes J, et al. The Beta-Carotene and Retinol Efficacy Trial: incidence of lung cancer and cardiovascular disease mortality during 6-year follow-up after stopping beta-carotene and retinol supplements. Journal of the National Cancer Institute 2004;96(23):1743-1750
17.       Hennekens CH, Buring JE, Manson JE, Stampfer M, Rosner B, Cook NR, et al. Lack of effect of long-term supplementation with beta carotene on the incidence of malignant neoplasms and cardiovascular disease. New England Journal of Medicine 1996;334:1145–9
18.       Lee IM, Cook NR, Manson JE. Beta-carotene supplementation and incidence of cancer and cardiovascular disease: Women’s Health Study. Journal of the National Cancer Institute 1999;91:2102–6
19.       Lee IM, Cook NR, Gaziano JM, et al. Vitamin E in the primary prevention of cardiovascular disease and cancer: the Women's Health Study: a randomized controlled trial. JAMA 2005;294(1):56-65
20.       Hercberg S, Galan P, Preziosi P, et al. The SU.VI.MAX Study: a randomized, placebo-controlled trial of the health effects of antioxidant vitamins and minerals. Archives of Internal Medicine 2004;164(21):2335-2342
21.       Hercberg S, Ezzedine K, Guinot C, et al. Antioxidant supplementation increases the risk of skin cancers in women but not in men. Journal of Nutrition 2007;137(9):2098-2105.
22.       Hercberg S, Kesse-Guyot E, Druesne-Pecollo N, et al. Incidence of cancers, ischemic cardiovascular diseases and mortality during 5-year follow-up after stopping antioxidant vitamins and minerals supplements: a postintervention follow-up in the SU.VI.MAX Study. International Journal of Cancer 2010;127(8):1875-1881
23.       Ezzedine K, Latreille J, Kesse-Guyot E, et al. Incidence of skin cancers during 5-year follow-up after stopping antioxidant vitamins and mineral supplementation. European Journal of Cancer 2010;46(18):3316-3322
24.       Lonn E, Bosch J, Yusuf S, et al. Effects of long-term vitamin E supplementation on cardiovascular events and cancer: a randomized controlled trial. JAMA 2005;293(11):1338-1347
25.       Lippman SM, Klein EA, Goodman PJ, et al. Effect of selenium and vitamin E on risk of prostate cancer and other cancers: the Selenium and Vitamin E Cancer Prevention Trial (SELECT). JAMA 2009;301(1):39-51
26.       Klein EA, Thompson IM, Tangen CM, et al. Vitamin E and the risk of prostate cancer: the Selenium and Vitamin E Cancer Prevention Trial (SELECT). JAMA 2011;306(14):1549-1556
27.       Gaziano JM, Glynn RJ, Christen WG, et al. Vitamins E and C in the prevention of prostate and total cancer in men: the Physicians' Health Study II randomized controlled trial. JAMA 2009;301(1):52-62
28.       Fortmann SP, Burda BU, Senger CA, et al. Vitamin and mineral supplements in the primary prevention of cardiovascular disease and cancer: an updated systematic evidence review for the U.S. Preventive Services Task Force. Annals of Internal Medicine 2013
29.       Andersson DC, Fauconnier J, Yamada T et al. Mitochondrial production of reactive oxygen species contributes to the beta-adrenergic stimulation of mouse cardiomycytes. The Journal of Physiology, 28 February 2011 DOI: 10.1113/jphysiol.2010.202838
30.       Gutteridge, J. (1985). Superoxide dismutase inhibits the superoxide-driven Fenton reaction at two different levels: Implications for a wider protective role. FEBS letters, 185(1), 19-23, http://www.molecularhydrogenfoundation.org/core-information/free-radicals-the-positive-negative-effects-on-health/
31.       Myung SK, Kim Y, Choi HJ, Bae WK. Effects of antioxidant supplements on cancer prevention: meta-analysis of randomized controlled trials. Annal Oncol, 2010; 21(1):166-179).
32.       Myung SK, Ju W, Cho B, et al. Efficacy of vitamin and antioxidant supplements in preventions of cardiovascular disease: systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials.  BMJ, 2013;346:f10doi:10.1136/bmj.f10
33.       Lonn, E., Bosch, J., Yusuf, S., Sheridan, P., Pogue, J., Arnold, J. M., ... & Dagenais, G. R. Effects of long-term vitamin E supplementation on cardiovascular events and cancer: a randomized controlled trial. JAMA: the journal of the American Medical Association,2005; 293(11), 1338
34.       Klein, E. A., Thompson Jr, I. M., Tangen, C. M., Crowley, J. J., Lucia, M. S., Goodman, P. J., ... & Baker, L. H. (2011). Vitamin E and the risk of prostate cancer. JAMA: the journal of the American Medical Association, 306(14), 1549-1556.
35.       Miller 3rd, E. R., Pastor-Barriuso, R., Dalal, D., Riemersma, R. A., Appel, L. J., & Guallar, E. Meta-analysis: high-dosage vitamin E supplementation may increase all-cause mortality. Annals of internal medicine, 2005;142(1), 37
36.       Alessio, H. M., Hagerman, A. E., Fulkerson, B. K., Ambrose, J. E. S. S. I. C. A., Rice, R. E., & Wiley, R. L. Generation of reactive oxygen species after exhaustive aerobic and isometric exercise. Medicine and science in sports and exercise,2000; 32(9), 1576.
37.       Elward, K., & Larson, E. B. (1992). Benefits of exercise for older adults. A review of existing evidence and current recommendations for the general population. Clinics in geriatric medicine, 8(1), 35
38.       Powers, S. K., Ji, L. L., & Leeuwenburgh, C. H. R. I. S. T. I. A. A. N. (1999). Exercise training-induced alterations in skeletal muscle antioxidant capacity: a brief review. Medicine and science in sports and exercise, 31(7), 987.
39.       Ristow, M., Zarse, K., Oberbach, A., Klöting, N., Birringer, M., Kiehntopf, M.,& Blüher, M. (2009). Antioxidants prevent health-promoting effects of physical exercise in humans. Proceedings of the National Academy of Sciences, 106(21), 8665-8670
40.       Gal KL, Ibrahim MX, Wiel C, et al. Antioxidants can increase melanoma metastasis in mice. Science Translational Medicine, 2015;308 (7):308
41.       Sayin VI, Ibrahim MZ, Larsson E, et al. Antioxidants accelerate lung cancer progression in mice. Sci Transl Med, 2014;6(221):221ra15. Doi: 10.1126/scitranslmed.3007653
42.       Wang H, Liu X, Long M, et al. NRF2 activation by antioxidant antidiabetic agents accelerates tumor metastasis. Science Translational Medicine  13 Apr 2016:Vol. 8, Issue 334, pp. 334ra51
DOI: 10.1126/scitranslmed.aad6095)
43.       Pech V, Abusaada K, Alemany C. Dipeptidyl Peptidase-4 Inhibition May Stimulate Progression of Carcinoid Tumor. Case Rep Endocrinol, 2015: :952019. doi: 10.1155/2015/952019.
44.       Bjelakovic G, Gluud C. Surviving antioxidant supplements. J Natl Cancer Inst, 2007;99(10):742-3
45.       Bjelakovic G, Nikolova D, Gluud LL, Simonetti RG, Gluud C. Antioxidant supplement for prevention of mortality in healty participants and patients with various diseases. Cochrane Database Syst Rev, 2012, Mach 14;3:CD007176
46.       Neuhouser ML, Barnett MJ, Kristal AR, et al. Dietary supplement use and prostate cancer risk in the Carotene and Retinol Efficacy Trial. Cancer Epidemiology, Biomarkers & Prevention 2009;18(8):2202-2206
47.       Seifirad S, Ghaffari A, Amoli MM. The antioxidants dilemma: are they potentially immunosuppressants and carcinogen? Front Physiol, 2014;5:245.

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN SESIAPA SAHAJA MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS. 

Thursday, October 20, 2016

10 PERKARA PERLU FAHAM MENGENAI SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA


OLEH: DATO'DR.ASYRAF WADJI DUSUKI
1. Hanya JAKIM, MAIN yang boleh mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)
Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 jelas memperuntukkan hanya JAKIM, MAIN sebagai pihak berkuasa atau autoriti yang berwibawa untuk pengeluaran SPHM atau untuk memperaku bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan ataupun barang-barang itu adalah HALAL mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif HALAL) 2011.
2. Pensijilan Halal Malaysia bersifat sukarela – bukan wajib atau paksaan
Tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada JAKIM atau mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)/Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Ini juga bermakna JAKIM mahupun MAIN tidak sewenangnya mengharamkan atau membuat pengisytiharan TIDAK HALAL kepada mana-mana syarikat atau produk yang keluarkan.
3. Pemegang Sijil Halal Terikat dengan beberapa Standards Halal dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia
Walaupun tidak wajib, mana-mana syarikat yang memilih untuk mendapatkan SPHM, maka mereka hendaklah memohon melalui prosedur yang telah ditetapkan sekaligus dengan sendirinya terikat dengan segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Analogi mudahnya ialah apabila hendak memasuki rumah orang, maka bukan sahaja perlu minta izin tetapi dengan sendirinya kena patuh dan terikat dengan peraturan tuan rumah tersebut.
4. Pensijilan Halal Malaysia bersifat komprehensif
Piawaian Pensijilan Halal Malaysia bukan sahaja mengambil kira aspek HALAL dari perspektif hukum syarak tetapi mesti TAYYIB. Aspek halal jelas, manakala TAYYIB mempunyai makna yang luas termasuk aspek kebersihan, baik dari aspek penyediaan, aspek bahan juga aspek nama. Dengan kata lain pematuhan HALAL dan TAYYIB mengambil kira semua faktor dan meliputi seluruh aspek rantaian pengeluaran (supply chain) sesuatu produk.
5. Nama produk atau makanan yang baik juga adalah termasuk dalam kategori Tayyib
JAKIM, MAIN turut memberi penekanan terhadap pemilihan nama produk atau makanan yang baik-baik dalam Standards halal berkaitan dan Manual Prosedur Pensijilan Halal yang dipersetujui oleh semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jawatankuasa Penasihat Pensijilan Halal Malaysia. Ini adalah bertujuan bagi menjaga kemaslahatan agama yang boleh menimbulkan kekeliruan dan membawa konotasi menjijikkan dikalangan masyarakat Islam. Ini mengambil kira rungutan ramai pihak termasuk persatuan-persatuan pengguna kerana terdapat banyak produk makanan yang telah mengelirukan umat Islam seperti “Non Alcoholic Beer”, “NO PORK” dll. Atas prinsip fekah ‘Sadd Dzarai’, iaitu menutup segala pintu-pintu ke arah kemudaratan, maka penambahbaikan garis panduan halal dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak JAKIM dan MAIN dalam menambahbaik garis panduan SPHM yang merangkumi aspek Halal dan Tayyiba.
6. Sijil Halal Malaysia dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa
Dunia hakikatnya menyanjung tinggi sijil halal Malaysia sehinggakan negara-negara maju yang terkenal dengan dasar yang amat ketat dalam hal pengimportan barang-barang makanan ke negara mereka seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, New Zealand, Australia dan banyak negara maju yang lain. Sehingga hari ini 33 buah negara telah memohon agar JAKIM mengiktiraf sijil-sijil halal yang dikeluarkan, 56 Badan Pensijilan Antarabangsa yang telahpun diiktiraf JAKIM.
7. 56 Badan Pensijilan HALAL dari 33 buah Negara Ikut Piawai HALAL JAKIM
Bagi negara-negara yang telah mendapat pengiktirafan Halal JAKIM, mereka dikehendaki mengikut sepenuhnya piawai, garis panduan dan peraturan Halal yang telah ditetapkan oleh JAKIM.
8. Pensijilan Halal JAKIM tidak rigid atau konservatif
JAKIM sentiasa bersedia melakukan perubahan, penambahbaikan dan mengambil kira aspek kelaziman masyarakat asalkan tidak menimbulkan fitnah atau kekeliruan. Contohnya jenama Hot Dog bagi sosej yang telah diguna pakai sekian lama, mahupun kuih-muih tradisi yang terkenal seperti Tahi Itik, Badak Berendam dll tidak sewenangnya diharamkan. JAKIM juga terbuka dalam berbicang dengan pengusaha yang memohon secara sukarela Sijil Halal Malaysia untuk melakukan pengubahsuaian terhadap nama-nama yang boleh menimbulkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam.
9. AUDIT secara berterusan
Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak hanya terhenti di peringkat penyerahan dan pengeluaran Sijil Halal tetapi meliputi aspek pengauditan secara berterusan. Audit pemantauan akan dilaksanakan sekurang-kurangnya setahun sekali terhadap syarikat yang memegang SPHM.
10. SIJIL HALAL boleh ditarik bila-bila masa
JAKIM mahupun MAIN tidak bertanggungjawab menentukan mana-mana syarikat ataupun makanan sebagai HARAM/TIDAK HALAL kecuali bagi syarikat-syarikat yang telah memperolehi SPHM. JAKIM bertanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat-syarikat yang telah mendapat SPHM. Jika didapati mereka melanggar mana-mana peraturan termasuk tidak lagi HALAL dan TAYYIB, maka sijil mereka boleh digantung dan seterusnya ditarik pada bila-bila masa.
Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Sumber: https://www.facebook.com/drasyrafwajdidusuki/posts/1458365367526839:0


Monday, October 10, 2016

MARIJUANA/GANJA: MITOS DAN REALITI

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(M”sia),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Kanser Ginekologi
Unit Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah


PENDAHULUAN


Isu marijuana ataupun Kanabis merupakan salah satu tajuk yang tidak pernah putus diperkatakan oleh masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Penggunaan marijuana untuk beberapa rawatan penyakit memang tidak dapat dinafikan tetapi persoalannya adakah kita boleh membiarkan marijuana ini digunakan oleh orang ramai tanpa ada kawalan undang-undang. Di dalam Perubatan, ektraks daripada marijuana digunakan untuk rawatan melegakan kesakitan, menangani loya dan muntah akibat rawatan kanser, mengurangkan sakit akibat penyakit multiple sclerosis dan glaucoma. Ianya juga digunakan untuk tujuan rekresional (keseronokan) dan meningkatkan tenaga. Disebabkan marijuana sering diperkatakan, pelbagai mitos telah wujud sehingga ianya dianggap satu bahan ajaib yang boleh menangani pelbagai penyakit. Terdapat banyak mitos yang disebarkan berkenaan dengan marijuana sehingga masyarakat menjadi keliru. Tidak kurang juga masalah wujudnya kumpulan taksub terhadap marijuana disebabkan oleh penyebaran mitos dan mudahnya disebarkan melalui media social.

MARIJUANA

Marijuana juga dikenali sebagai Ganja ataupun Kanabis. Di negara lain marijuana dipanggil dengan pelbagai nama seperti pot, grass, weed, hemp, hash, marihuana dan banyak lagi. Marijuana digunakan di dalam pelbagai bentuk seperti rokok gulung, paip, curut, teh, dicampurkan di dalam makanan seperti brownies, cookies dan candies. Bentuk yang tidak kurang popular adalah di dalam bentuk resin berkepekatan tinggi termasuk minyak (kelihatan seperti madu), waxy (lilin) dan  keras/beku untuk tujuan mendapatkan keseronokan dan juga kegunaan Perubatan. Pendek kata marijuana boleh dihasilkan dalam seribu satu macam bentuk yang dapat menarik perhatian semua golongan dari kecil hinggalah dewasa. Kesan marijuana lebih cepat dengan menghisap daripada dalam bentuk makanan. Kesan marijuana yang diambil melalui makanan lebih perlahan tetapi bukan bermaksud ianya lebih selamat kerana pengguna seringkali mengambilnya dengan lebih banyak kerana menyangkakan yang ia tidak berkesan.


Sebenarnya di dalam daun Marijuana terdapat lebih daripada 500 jenis bahan kimia dan salah satu kumpulan bahan kimia di dalamnya dikenali sebagai Cannabinoids. Di bawah Cannabinoids sahaja terdapat lebih 100 jenis kompoun. Dalam kalangan cannabinoids, dua kompoun terpenting  adalah Tetrahydrocannabinol (THC) dan Cannabidiol (CBD).  THC ditemui oleh Ahli Sains Israel pada tahun 1964. Pokok ganja terdiri daripada banyak spesis dan setiap spesis mengandungi kuantiti Cannabinoids yang berbeza2 terutamanya kandungan THC. Kajian menunjukkan bahawa kandungan cannabinoid di dalam daun ganja telah meningkat dari 1-4% pada masa dahulu kepada 7% pada hari ini. Terdapat sekurang-kurangnya 5 perbezaan di antara THC dan CBD. THC dikatakan ingredient yang psikoaktif iaitu ia boleh menyebabkan “high” manakala CBD tidak dan kedua-dua komponen ini mempunyai baik dan buruknya. THC bertindak ke atas reseptor di otak yang dikenali sebagai CB-1 dan CB-2 yang mengawal selera makan, mood, rasa sakit dan ingatan. Jadi komponen THC inilah yang boleh membantu rawatan masalah selera makan, sakit dan beberapa masalah psikologi seperti PTSD dan kemurungan. Pada waktu yang sama THC juga boleh memudaratkan, THC boleh menyebabkan keresahan dan paranoid (1). CBD mempunyai kesan antipsikotik tetapi tidak cukup kuat untuk mengurangkan kesan samping THC ke atas minda seseorang. THC mempunyai kesan membantu tidur seseorang manakala CBD pula disebaliknya menyebabkan seseorang itu sukar untuk tidur. Kesan lali, mengantuk, mimpi dan jaga yang diperolehi daripada mengambil marijuana adalah hasil daripada tindakbalas THC dan CBD mengikut komponen mana yang lebih berpengaruh. Secara umumnya CBD dapat mengurangkan kesan yang dibawa oleh THC. CBD juga didapati dapat mengurangkan kesan keradangan (inflammatory), mencegah sakit dan boleh merawat penyakit sawan. Jika THC dan CBD diekstrak keluar daripada marijuana, setiap komponen ini mempunyai kesan yang berbeza dan juga membawa implikasi undang-undang serta peraturan yang berbeza. Umumnya THC perlu mengikut peraturan ketat di dalam penggunaanya manakala CBD pula di Amerika Syarikat diklasifikasikan sebagai dadah Schedule 1 dibawah undang-undang federal. Bentuk farmakologi CBD yang dikenali sebagai Epidiolex untuk rawatan penyakit sawan telah diluluskan oleh FDA.

Terdapat 3 golongan masyarakat yang mempunyai pendirian yang bertentangan tentang Marijuana. Ada yang berpendapat bahawa ianya patut dibenarkan atau tidak dikenakan sekatan untuk kegunaan orang ramai manakala satu golongan lagi tidak mahu ianya digunakan sewenang-wenangnya sebagaimana rokok dan alkohol. Golongan ke-3 adalah golongan atas pagar yang tidak pasti dan tidak mempunyai pendirian. Persoalan yang penting perlu dijawab adalah adakah penggunaan Marijuana ini patut dikawal ketat ataupun dibenarkan penggunaannya oleh orang ramai seperti menghisap rokok dan meminum alcohol. Untuk kesempatan ini saya akan menjawab beberapa Mitos mengenai Marijuana yang menjadi alasan yang digunakan oleh golongan yang memperjuangkan marijuana. Saya hanya akan menggunakan bukti kajian saintifik yang telah disiarkan di jurnal-jurnal dan bukan berdasarkan pandangan peribadi seseorang hatta daripada pakar Perubatan sekalipun kerana di dalam disiplin Perubatan moden, sebarang dakwaan yang dikeluarkan hendaklah berasaskan kepada bukti kajian saintifik..

MITOS 1 : MARIJUANA TIDAK MENYEBABKAN KETAGIHAN

Hasil kajian menunjukkan bahawa dakwaan ini tidak benar. Kajian telah menunjukkan bahawa THC yang terdapat di dalam marijuana boleh menyebabkan ketagihan psikologikal dan juga fizikal pada kadar 7-10%. Ada kajian menunjukkan kemungkinan seseorang untuk ketagih marijuana jika mengambil marijuana lebih daripada 21 kali di dalam satu tahun adalah 17.8% untuk lelaki dan 11.4% untuk wanita dengan purata kadar ketagihan sebanyak 13.9% (2). Pengguna marijuana yang berat mengalami gejala “withdrawal” yang serius apabila berhenti mengambil marijuana sama seperti yang dialami oleh ketagihan alcohol dan merokok. Di antara gejala-gejala tersebut adalah gelisah, gian (“craving”), kesukaran untuk tidur, mudah marah, tekanan perasaan , kurang selera makan, meningkat selera makan, menjadi ganas, sukar untuk memfokus, mimpi ngeri, sakit kepala, badan mengeletar, loya, sakit perut dan berpeluh. (3). Gejala ini memuncak selepas 2-4 hari dan berkurang selepas 7-10 hari. Gejala seperti mudah marah, gangguan tidur, kurang selera makan, rasa hendak marah, loya dan sakit perut dikesan lebih kerap berlaku keatas penagih marijuana berbanding dengan perokok. Ada kajian menunjukkan bahawa seseorang itu lebih mudah untuk berhenti ketagihan alcohol dan merokok berbanding dengan ketagihan marijuana. Walaupun ianya kurang kesan ketagihan berbanding dengan heroin dan kokain, ketagihan marijuana sebenarnya lebih serius daripada ketagihan merokok dan minum alcohol. Pengguna marijuana akan mengalami apa yang dinamakan “marijuana use disorders” iaitu peringkat awal sebelum ketagihan sebenar. Data terkini menunjukkan bahawa 30% daripada pengamal marijuana akan mengalami beberapa cirri “marijuana use disorders” dan individu yang mula mengambil marijuana pada usia kurang daripada 18 tahun mempunyai risiko 4-7 kali leih tinggi untuk mengalami marijuana use disorder. Pada tahun 2014, 4.1 juta rakyat Amerika menyalahguna dan ketagih marijuana, di mana 138,000 orang secara sukarela meminta supaya dirawat masalah tersebut. Kajian juga mendapati bahawa penggunaan marijuana adalah tapak permulaan untuk ketagihan bahan lain termasuk alcohol dan nikotin. Jadi inidividu yang ketagihan marijuana mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk ketagihan bahan-bahan lain.

MITOS 2 : MENGHISAP MARIJUANA LEBIH SELAMAT DARIPADA MEROKOK

Merokok memang merupakan penyebab pelbagai jenis penyakit termasuk kanser paru-paru, sakit jantung dan sebagainya. Walau bagaimanapun untuk membuat perbandingan di antara kesan merokok dan menghisap marijuana, kajian perbandingan hendaklah adil. Kajian merokok mudah dilakukan kerana penagih rokok senang diperolehi sedangkan penagih marijuana lebih sukar disebabkan oleh undang-undang yang ada jadi jika ada andaian yang mengatakan merokok itu lebih merbahaya sebenarnya adalah disebabkan oleh tidak ada kajian yang besar dilakukan ke atas penagih marijuana. Kita mempunyai lebih banyak data mengenai kesan samping merokok berbanding dengan marijuana. Lebih banyak data tidak bermaksud merokok itu lebih merbahaya. Terdapat kajian yang membandingkan kesan mengambil marijuana dengan merokok oleh individu dewasa ke atas risiko kanser paru-paru, selepas mengeluarkan factor-faktor “confounders” (maksudnya jika kajian ke atas pengguna marijuana, kesan merokok akan dikeluarkan supaya hanya kesan marijuana sahaja yang dikaji), pengambilan marijuana meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 7% setahun, berbanding dengan 6%,setiap pek setahun daripada merokok. Kajian itu juga menunjukkan bahawa risiko menghidap kanser paru-paru adalah 5.7 kali lebih tinggi daripada orang biasa ( relative risk of 5.7)(4). Pengkaji mendapati terdapat dua kali ganda kepekatan bahan karsinogenik (penyebab kanser) di dalam marijuana yang dikenali sebagai  polycyclic aromatic hydrocarbon ataupun PAHs, mereka tidak menggunakan penapis apabila mengambil marijuana. Penghisap marijuana juga didapati menghisap masuk 5 kali ganda kandungan karbon monoksida ke dalam paru-paru untuk setiap hisapan berbanding dengan merokok (5). Menghisap marijuana juga meningkatkan risiko radang bronkus (“bronchitis”), kecederaan saluran pernafasan dan mengganggu system imun di dalam paru-paru. Kesan ini lebih besar daripada yang dapat dilakukan dengan merokok. Menghisap marijuana juga meningkatkan risiko asma dan boleh meningkatkan gejala serangan asma. Kandungan tar, ammonia, hydrogen sianida dan nitous oksida juga lebih tinggi di dalam asap marijuana berbanding dengan asap rokok (6). Kesan psikologi pengambilan marijuana tidak boleh dijangka, ada yang merasa tenang, seronok dan bertenaga, tetapi ada juga yang akan mengalami kerisauan, takut, paranoid (buruk sangka) dan panic. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak boleh menimbulkan gejala psikosis seperti halusinasi (nampak atau dengar sesuatu yang orang lain tidak nampak atau dengar), delusi (tanggapan yang tidak masuk akal) dan hilang pertimbangan diri. Pendek kata, marijuana mempunyai kesan negative bukan sahaja ke atas fizikal, tetapi juga mental dan psikologi.

MITOS 3 : GIAN (“HIGH”) SEMASA MENGAMBIL MARIJUANA TIDAK MERBAHAYA SEMASA MEMANDU

Jika anda menggunakan marijuana dalam masa 24 jam dan memandu, anda berisiko untuk mengalami kemalangan jalanraya sebanyak 2.4 kali lebih tinggi. Walaupun kemalangan jalanraya lebih banyak ditemui dalam kalangan orang yang meminum alcohol ianya adalah disebabkan oleh bilangan orang yang mengambil alcohol itu lebih ramai berbanding dengan penagih marijuana. Marijuana menyebabkan kesan mental yang sama seperti alcohol bila dikaitkan dengan risiko kemalangan jalanraya seperti gangguan kemahiran memandu dan ianya bergantung dengan dos (“dos dependent”). Kesan risiko kemalangan jalanraya meningkat apabila pengguna mengambil kedua-duanya sekali (7). Kajian menunjukkan bahawa risiko terlibat dengan kemalangan bergantung kepada kuantiti THC di dalam darah, kandungan THC yang tinggi di dalam darah meningkatkan risiko kemalangan sebanyak 3-7 kali ganda lebih tinggi daripada seseorang yang tidak menggambil sebarang benda yang memabukkan (8). Apa yang merisaukan tentang marijuana adalah dadah yang diambil itu tinggal lebih lama di dalam darah anda berbanding dengan alcohol. Kesan gangguan kepada kemahiran memandu mula dialami selepas 20-40 minit menghisap marijuana dan ini berlanjutan selama 2.5 jam.

MITOS 4 : ANDA TIDAK BOLEH KERACUNAN (“OVERDOSE”) DENGAN MARIJUANA

Ahli Farmakologi menggunakan istilah LD50 ataupun Lethal dose 50 untuk menguji kesan sampingan ataupun keracunan sesuatu bahan. LD50 adalah kuantiti bahan yang diambil yang boleh menyebabkan kematian ke atas 50% daripada sampel yang diuji. Ujian ini dilakukan ke atas haiwan. Jika dibandingkan dengan arsenic, LD50 untuk marijuana (THC) dalam bentuk sedutan adalah 42 mg/kg berat badan berbanding dengan 14 mg/kg arsenic. Nikotin mempunyai LD50 sebanyak 50 mg/kg, kafein 192 mg/kg dan alcohol lebih kurang 7060 mg/kg. Lagi rendah nilai LD50 bermaksud lebih toksik ataupun lebih beracun bahan tersebut. Anda juga boleh mengalami narcosis THC yang akut ataupun intoksikasi jika mengalami keracunan (overdose), ia mungkin tidak menyebabkan kematian tetapi anda akan lumpuh, tidak sedar dan kesesakan bernafas. Anda perlu cepat ke hospital untuk mengelakkan diri daripada mengalami komplikasi lain yang boleh membawa kematian (9). Penghidap asma yang mengambil marijuana boleh menjadi penyebab serangan serius asma dan kematian. Di Amerika Syarikat, terdapat negeri2 yang membenarkan penggunaan marijuana sehingga kadar pengambilan marijuana oleh remaja meningkat dan membimbangkan sehingga ada yang mencecah 39% dalam kalangan remaja. Masalah Perubatan kecemasan akibat daripada marijuana juga meningkat di mana dalam tahun 2011 pemantau penyalah gunaan dadah Amerika yang dikenali sebagai DAWN ( The Drug Abuse Warning Network) telah menganggarkan hampir 456,000 kes kecemasan yang berkaitan dengan dadah telah melapurkan nama Marijuana di dalam rekod Perubatan dan angka ini adalah 21% lebih tinggi jika dibandingkan daripada tahun 2009.


MITOS 5 : MARIJUANA ADALAH PADA ASASNYA SEJENIS TUMBUHAN HERBA DAN MENYIHATKAN JIKA IANYA TIDAK DIHISAP.

Marijuana adalah sejenis tumbuhan yang mengandungi bahan kimia di dalamnya dan salah satu daripadanya adalah THC yang diketahui boleh merosakkan otak jika diambil berlebihan. Apabila mengambil marijuana di dalam bentuk asal samada mentah ataupun dikeringkan, anda tidak tahu berapa banyakkah kandungan THC di dalamnya dan kesan sampingan yang berlaku bergantung kepada dos THC yang diambil. Kesan paling serius yang dilakukan oleh THC adalah kesan ke atas otak anda. Reseptor cannabinoid walaupun paling banyak terdapat di dalam otak, ianya didapati di hampir kesemua oragan badan anda termasuk jantung dan hati. Terdapat banyak kesan negative THC ke atas otak anda, di antaranya adalah kesan negative ke atas bahagian otak yang mengawal pergerakan badan, keseimbangan badan, koordinasi, pembelajaran, pusat selera makan, emosi, ingatan, pertimbangan dan juga kenikmatan. THC juga memberi kesan negative kepada perkembangan otak, menyebabkan pesakit psikotik seperti schizophrenia dan kemurungan bertambah teruk. Marijuana juga diketahui mempunyai karsinogen ataupun agen penyebab kanser. Kajian juga menunjukkan bahawa ibu hamil yang mengambil marijuana mempunyai 36% lebih tinggi untuk melahirkan anak yang cacat. (10). Terdapat juga kajian yang menunjukkan ibu hamil yang menggambil marijuana melahirkan anak yang mempunyai saiz kepala yang lebih kecil dan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi melahirkan anak pramatang. Americaal College of O&G  mengesyorkan supaya wanita yang ingin hamil berhenti mengambil marijuana dalam apa sahaja bentuk sebelum hamil. Ketika hamil juga mereka tidak digalakkan untuk mengambil produk marijuana untuk tujuan pengubatan (11).


Terdapat kajian yang mengaitkan pengambilan marijuana dengan menghidap penyakit jiwa ataupun psikosis seperti “bipolar disorders” , kemurungan dan Schizophrenia. Pengamal marijuana kronik mempunyai isipadu hippocampal dan amygdale yang lebih rendah dan ini dikaitkan dengan gejala psikosis. (12). Risiko kerosakan otak ini lebih tinggi jika marijuana diambil pada usia yang lebih muda. Pengambilan marijuana pada usia muda dikaitkan dengan meningkatnya risiko sehingga 6 kali ganda menghidap Schizophrenia dan tahap risiko ini bergantung kepada dos dan kekerapan mengambilnya. Kadar kejadian membunuh diri juga didapati lebih tinggi dalam kalangan penagih marijuana sebanyak 1.3-2.1 kali lebih tinggi. (13). Kajian juga menunjukkan jika suntikan THC diberikan kepada pesakit Schizophrenia yang sudah stabil, ia boleh meningkatkan gejala psikosis pesakit ini termasuk halusinasi, gangguan persepsi, ketegangan badan dan dyskinesia. (14).

MITOS 6: MARIJUANA HANYA MEMBERI KESAN KE ATAS OTAK DAN PARU-PARU SAHAJA

Penggunaan marijuana telah dikaitkan dengan insiden kanser seperti kanser buah zakar, hilang ingatan (amnesia), serangan pitam semasa berdiri (postural syncope), boleh meransang serangan jantung (myocardial infaction) dari kesan vasospastik (mengecutkan saluran darah), THC mengurangkan kandungan asid lemak di otak dan penggambilan jangkapanjang mengurangkan isipadu otak, marijuana yang dihisap juga menyebabkan kerosakan gigi, penyakit gusi dan meningkatkan risiko mendapat prakanser mulut. (15,16). Salah satu lagi gejala yang baru dikaitkan dengan pengambilan marijuana adalah dikenali sebagai Cannabinoid hyperemesis syndrome iaitu gejala loya, muntah dan sakit perut yang berlaku secara periodic. Ini adalah kesan yang bertentangan dengan salah satu manfaat marijuana iaitu mengurangkan muntah. Pesakit mengalami loya dan muntah yang teruk dan menunjukkan tabiat sering mandi air panas (hot bathing) kerana didapati kaedah ini boleh mengurangkan gejala penyakit ini. Punca syndrome ini belum dapat dipastikan. Kesan pengambilan marijuana semenja usia remaja boleh memberi kesan yang serius terhadap kemampuan untuk belajar dan gangguan ingatan jangkapanjang.

MITOS 7 : MARIJUANA TERBUKTI BERKESAN MERAWAT KANSER

Sesuatu ubat melawan penyakit kanser hanya dikatakan berkesan setelah ianya disahkan berkesan selepas melalui kajian klinikal pada fasa 3 iaitu kajian besar ke atas pesakit-pesakit kanser. Tajuk kajian saintifik ini telah dibincangkan panjang lebar di dalam tulisan saya yang lalu (rujuk di sini). Kajian makmal dan kajian fasa satu tidak cukup untuk digunakan sebagai bukti keberkesanan. Ubat antikanser lebih kompleks daripada ubat-ubat moden yang lain kerana untuk menentukan keberkesanan ubat antikanser, bukan sahaja dinilai dari segi berapa cepat ianya dapat membunuh sel-sel kanser tetapi yang lebih penting adalah berapa lama ianya dapat memanjangkan hayat dan memperbaiki mutu kehidupan seseorang pesakit. Kajian yang mengambil masa yang panjang perlu dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang tersebut. Ramai ahli masyarakat yang menerima bulat-bulat dakwaan keberkesaan ubat antikanser hanya berdasarkan kepada kajian makmal dan testimoni. Kajian makmal dan testimoni sebenarnya hanya baru dikira peringkat kajian pra-klinikal dan tidak sekali-kali dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan. Setakat rencana ini ditulis tidak ada mana-mana Pertubuhan Kanser, Institut Kanser dan lain-lain badan2 antarabangsa termasuk FDA yang mengiktiraf cannabinoid sebagai agent anti-kanser. Salah sebuah pertubuhan kanser adalah American Cancer Society (ACS), sila klik pada paparan ini untuk membaca pendirian ACS mengenai Marijuana dan Kanser (17). Memoral Sloan Kettering Cancer Centre juga di dalam kenyataannya mengatakan bahawa tidak ada asas kajian saintifik yang kukuh untuk mendakwa marijuana di dalam apa sahaja bentu termasuk di dalam bentuk minyak yang dapat merawat penyakit kanser. Ianya sama seperti dakwaan palsu antikanser yang diberikan kepada Laetrile (Vitamin B17) dan juga minuman/makanan beralkali (18). TIDAK ada mana-mana Pakar Kanser (Oncologist) di dunia yang mengiktiraf dan menggunakan cannabinoid untuk merawat kanser di dalam amalan klinikal mereka (selain dari untuk tujuan kajian). Bukti cannabinoid sebagai agen anti-kanser hanya ditemui oleh kajian ke atas tikus dan setakat ini belum ada kajian besar ke atas manusia. Kajian ke atas manusia baru di peringkat fasa 1, itupun melibatkan beberapa orang pesakit sahaja.Is hanya dikategorikan sebagai "substance with POTENTIAL anti-cancer activity" (hanya berpotensi, itupun jika cannabinoid di ekstrak dan ditentukan kuantitinya, BUKAN dengan makan/minum/hisap rokok/daun ganja. Di sebaliknya pula terdapat lapuran hasil kajian yang menunjukkan bahawa individu yang mengambil marijuana terutama di dalam bentuk sedutan meningkatkan risiko kanser paru-paru dan kanser oropharyngeal (tekak). (19) Setakat ini hanya 2 jenis cannabinoid yang diekstrak ataupun yang dihasilkan secara sintetik DILULUSKAN untuk kegunaan sebagai ubat iaitu Dronabinol dan Nabilone tetapi hanya untuk kegunaan mengurangkan kesan samping ubat kemoterapi iaitu loya dan muntah. Dronabinol mengandungi THC juga diluluskan oleh FDA untuk tujuan menangani masalah kurang selera makan dan kehilangan berat badan yang dihadapi oleh pesakit AIDs. Sejenis lagi kanabinoid yang sedang dikaji adalah Nabiximols yang diambil melalui semburan ke dalam mulut mengandungi kedua-dua THC dan CBD (nisbah 1:1). Ianya boleh diperolehi di Kanada dan beberapa negara Eropah untuk merawat kesakitan akibat kanser, kejang otot dan sakit disebabkan oleh multiple sclerosis.Kesimpulannya belum ada bukti kukuh bahawa marijuana dapat merawat kanser yang dihidapi oleh manusia.

MITOS 8 : MARIJUANA TIDAK MEMPUNYAI KESAN KE ATAS PERSEKOLAHAN, KERJA DAN KEHIDUPAN SOSIAL

Daripada maklumat-maklumat yang dinyatakan di dalam rencana ini, jelas menunjukkan bahawa jika sekiranya penggunaan Marijuana ini tidak dikawal maka ianya akan mendatangkan banyak mudarat kepada masyarakat. Tidak seperti rokok dan alkohol, marijuana boleh diambil di dalam pelbagai bentuk sehingga boleh mengabui sesiapa sahaja. Ianya boleh dimasukkan ke dalam makanan, kek dan lain-lain, boleh dijadikan seperti coklat dengan pelbagai warna yang tentu menarik perhatian kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa kesan negatif marijuana ke atas tumpuan, ingatan dan proses belajar boleh berpanjangan selama beberapa hari hingga beberapa minggu selepas berhenti. Jadi sesorang yang mengambil marijuana setiap hari boleh menjadi seseorang yang fungsi intelektual sentiasa rendah sepanjang masa. Pelajar yang menghisap marijuana didapati mempunyai pencapaian akademik yang lebih rendah. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang mengambil marijuana berkemungkinan lebih tinggi untuk tidak dapat melengkapkan pengajian, kurang kemungkinan untuk mendapat ijazah, lebih tinggi kemungkinan untuk ketagihan dadah jenis lain, lebih tinggi kemungkinan untuk berpendapatan rendah, menganggur, terlibat dengan jenayah dan kadar kepuasan hidup yang lebih rendah. (20,21,22). Kajian soal selidik ke atas pengamal marijuana juga mendapati bahawa mereka mendakwa  tabiat mereka itu mempunyai kesan negatif ke atas kebolehan kognitif, pencapaian kerjaya, kehidupan sosial dan kesihatan fizikal serta mental.(23). Terdapat kajian yang mendapati bahawa terdapat hubungan di antara pengambilan marijuana dengan kemalangan tempat kerja di mana pekerja yang didapati positif kepada marijuana ketika ujian kencing dilakukan mempunyai 55% lebih tinggi risiko untuk mengalami kemalangan industri, 85% lebih tinggi risiko kecederaan dan 75% lebih tinggi tidak datang kerja berbanding dengan pekerja yang didapati negatif kepada marijuana.(24)

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(M”sia),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Kanser Ginekologi
Unit Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

RUJUKAN
  1. Morgan CJA, Schafer G, Freeman TP, Curran. Impact of cannabidiol on the acute memory and psychotomimetic effects of smoked cannabis: naturalistic study. The British Journal of Psychiatry, 2010;197(4); 285-290
  2. Ehlers CL, Gizer IR, Vieten C, et al. Cannabis dependence in the San Francisco Family Study: age of onset of ue, DSM-IV symptoms, withdrawal and heritability.Addict Behav, 2010 Feb;35(2):102-110, doi 10.1016/j.addbeh.2009.09.009
  3. Vandrey RG, Budney AJ, Hughes JR, Liguori A. A within-subject comparison of withdrawal symptoms during abstinence from cannabis, tobacco and both substances. Drug Alcohol Deen, 2008; 92(1-3),48-54
  4. Aldington S, Harwood M, Cox B, et al. Cannabis use and risk of lung cancer: a case-control study. Eur Respir. J, 2008; 31(2):280-6, doi: 10.1183/09031936.00065707
  5. Aldington S, William M, Nowitz M, et al. Effects of cannabis on pulmonary structure, function and symptom. Thorax, 2007; 62:1058-1063
  6. Moir D, Rickert WS, Levasseur G, et al. A comparison of mainstream and sidestream marijuana and tobacco cigarette smoke produce under two machine smoking conditions. Chem Res Toxicol, 2008;21(2):494-502
  7. Sewell RA, Poling J, Sofuoglu M. The effect of cannabis compared with alcohol on driving. Am J Addict. 2009; 18(3):185-193
  8. Ramaekers JG, Berghaus G, Van Laar M, Drummer OH. Dose related risk of motor vehicle crashes after cannabis use. Drug and Alcohol Dependence, 2004; 73(2):109-119
  9. PharmD EJ, Leymarie F, Tubery M, Mestre ML. Cannabis-related hospitalizations: unexpected serious events identified through hospital databases. British J of Clinical Pharmacology. 2010. DOI:10.1111/j.1365-2125.2010.03897.x
  10. Linn S, Schoenbaum SC , Monson RR, et al. The Association of Marijuana Use with Outcome of pregnancy. Am J Public Health, 1983;73:1161-1164
  11. http://www.acog.org/Resources-And-Publications/Committee-Opinions/Committee-on-Obstetric-Practice/Marijuana-Use-During-Pregnancy-and-Lactation
  12. Yucel M, Solowi N, Resondek C, et al. Regional brain abnormalities associated with long-term heavy cannabis use. Arch Gen Psychiatry. 2008;65(6):694-701
  13. Zammit S, Allebeck P, Andreasson S, et al. Self reported cannabis use as a risk factor for schizophrenia in Swedish conscripts of 1969: historical cohort study. BMJ 2002;325:1199
  14. D’sauza DC, Abi Saab WM, Madonick S, et al. Delta-9-tetrahydrocannabinol effects in schizophrenia: Implications for cognition, psychosis and addiction. Biology Psychiatry, 2005;57(6):594-608
  15. Daling JR, Doody DR, Sun X, et al. Association of marijuana use and the incidence of testicular germ cell tumours. Cancer, 2009;115(6):1215-1223
  16. Mukamal KJ, Maclure M, Muller JE, Mittleman MA. An Exploratory Prospective study of marijuana use and mortality following acute myocardial infaction. Am Heart J, 2008;155(3):465-470
  17. .http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/ physicalsideeffects/chemotherapyeffects/marijuana-and-cancer
  18. https://www.mskcc.org/blog/truth-behind-three-natural-cures
  19.  Mark MA, Chaturvedi AK, Kelsey K, et al. Association of marijuana smoking with oropharyngeal and oral tongue cancers: pooled analysis from the INHANCE consortium. Cancer Epidemiol Biomarkers Prev, 2014; 23(1):160-71.
  20. Macleod J, Oakes R, Copello A, et al. Psychological and social sequelae of cannabis and other illicit drug use by young people: a systematic review of longitudinal, general population studies. Lancet Lond Engl. 2004;363(9421):1579-1588. doi:10.1016/S0140-6736(04)16200-4
  21. Fergusson DM, Boden JM. Cannabis use and later life outcomes. Addict Abingdon Engl. 2008;103(6):969-976; discussion 977-978. doi:10.1111/j.1360-0443.2008.02221.x.
  22. Brook JS, Lee JY, Finch SJ, Seltzer N, Brook DW. Adult work commitment, financial stability, and social environment as related to trajectories of marijuana use beginning in adolescence. Subst Abuse. 2013;34(3):298-305. doi:10.1080/08897077.2013.775092
  23. Gruber AJ, Pope HG, Hudson JI, Yurgelun-Todd D. Attributes of long-term heavy cannabis users: a case-control study. Psychol Med. 2003;33(8):1415-1422.
  24.  Zwerling C, Ryan J, Orav EJ. The efficacy of preemployment drug screening for marijuana and cocaine in predicting employment outcome. JAMA. 1990;264(20):2639-2643.
Link risk of marijuana

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN DAN INSTITUSI. SEMUA ISI KANDUNGAN RENCANA INI ADALAH HAK PENULIS DAN TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBILNYA UNTUK DITUKARKAN DALAM APA SAHAJA BENTUK TANPA KEBENARAN PENULIS.