Monday, September 24, 2018

STEROID: "RAJA UBAT"DAN "RAJA PENYAKIT"

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Terdapat banyak jenis steroid. Dexamethasone adalah sejenis steroid yang kerap ditemui di dalam produk-produk kesihatan yang dijual di pasaran samada di dalam bentuk pil,kapsul dan juga jus. Penemuan ini berlaku apabila ada aduan daripada pengguna yang mengalami kesan sampingan. Apabila menerima aduan, pihak penguasa ubatan akan melakukan siasatan dan ujian makmal ke atas produk2 ini untuk mengesan kehadiran racun/ubat terkawal. Penemuan ini juga berlaku apabila pihak penguasa ubatan menjalankan pemantauan secara rambang ke atas produk-produk yang telah diluluskan oleh KKM. Ada juga aduan yang datangnya daripada pengamal perubatan sendiri.
Dexamethasone adalah sejenis steroid yang sangat poten, maksudnya dengan dose yang rendah ia memberi kesan yang besar berbanding dengan jenis-jenis steroid yang lain. Dexamethasone adalah 5 kali lebih poten daripada Prednisolone. Dexamethasone boleh dikatakan di antara ubat steroid yang paling poten. Dexamethasone tergolong di dalam kategori katabolik steroid berbeza dengan anabolik steroid yang digunakan untuk tujuan meningkatkan saiz dan kekuatan otot. Katabolik steroid mempunyai ciri-ciri antikeradangan.
Dexamethasone dan lain-lain steroid hanya boleh diberikan oleh doktor untuk merawat gejala penyakit tertentu disebabkan oleh keradangan dan alahan. Ia juga boleh digunakan sebagai ubat mencegah alahan dan loya/muntah. Ubat ini tidak boleh diberikan di dalam jangkamasa yang panjang (kecuali penyakit-penyakit tertentu) dan dos yang diberikan juga perlu betul. Kaedah untuk memberhentikan ubat steroid juga ada caranya kerana ia tidak boleh dihentikan secara mendadak (jika diambil lebih daripada 1 minggu). Seseorang boleh mengalami gejala "steroid withdrawal" jika berhenti secara mendadak seperti lemah badan, sakit badan, loya, hilang selera, sakit kepala, cirit dll sehingga boleh mengancam nyawa. Kesimpulannya steroid adalah sejenis ubat terkawal ataupun racun berjadual yang memerlukan kepakaran doktor untuk menentukan siapakah yang sesuai diberikan,dos,tujuan dan berapa lama perlu diambil.
Mengapa ubat steroid sering ditemui di dalam produk-produk kesihatan yang dijual? Steroid bolehlah dianggap sebagai"RAJA UBAT" yakni ia boleh mengurangkan gejala banyak jenis penyakit seperti keradangan (sakit sendi,sakit otot, sakit badan,bengkak dll), dan mencegah/mengurangkan alahan seperti resdong,ekzema dan asma, pendek kata gejala2 yang seringkali dialami oleh orang ramai. Maka produk yang mengandungi steroid akan dianggap produk ajaib untuk melegakan seribu satu gejala penyakit, WALAUPUN PENYAKIT YANG HENDAK DIRAWAT ITU SEBENARNYA TIDAK SEMBUH, HANYA GEJALA YG KURANG. Ia juga memberi kesan ke atas sistem saraf pusat (otak) dan peredaran hormon badan. Memandangkan ia boleh memberi banyak kesan ke atas sistem badan manusia, maka di samping gelaran "raja ubat", steroid juga adalah "RAJA PENYAKIT" sebab jika disalahgunakan, ia boleh menyebabkan seribu satu jenis penyakit. Maka orang yang menyalahgunakannya memang betul2 cari penyakit.
Jika saya senaraikan kesan sampingan pengambilan steroid yang diambil tanpa nasihat doktor, maka rencana ini akan menjadi terlalu panjang. Jadi pembaca2 boleh melihat imej yang saya sertakan di bawah untuk mengetahuinya. Salah satu kesan sampingan yang serius adalah sejenis penyakit yang dikenali sebagai "Cushing's syndrome". Hampir semua kesan sampingan steroid boleh dilihat daripada penghidap "Cushing's syndrome". Pengamal steroid juga boleh mengalami satu, dua ataupun lebih kesan-kesan sampingan yang ditunjukkan.



NOTA: Jika berlaku kesan sampingan ubat/produk kesihatan, anda boleh membuat aduan melalui online:


Dato'Dr Mohd Rushdan Md Noor
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
24 hb Sep 2018

Saturday, September 8, 2018

HUKUM SEBATAN KE ATAS SALAH LAKU SEKS SEJENIS (HOMOSEKSUAL): APA YANG RAKYAT BIASA PERLU TAHU

Polemik hukum sebat ke atas pelaku seks sejenis sepasang lesbian di Terengganu menjadi topik yang hangat diperbincangkan, sebagai rakyat biasa, saya melihat ini sebagai satu kesempatan untuk menambah kefahaman mengenai hukum jenayah syariah. Saya dapati ramai orang awam seperti saya yang keliru tentang isu pokok yang sepatutnya diperjelaskan oleh alim ulamak kita bila menangani polemik ini. Daripada sudut yang positif, polemik ini sepatutnya dijadikan sebagai batu loncatan untuk menambah ilmu pengetahuan, bukan medan bertelagah dan melempiaskan amarah penuh emosi samada untuk mempertahan ataupun menentang.

Apabila hukuman sebat dilaksanakan ke atas pasangan lesbian di Terengganu, wujud 2 golongan iaitu golongan yang menyokong dan golongan yang tidak bersetuju dengan bentuk hukuman tersebut. Pada pandangan saya, titik tolak berlakunya polemik ini adalah apabila pihak yang tidak bersetuju mengkritik hukuman tersebut dan menganggap bahawa ada kaedah lain yang lebih baik dilaksanakan. Maka berlakulah tuduh menuduh bahawa satu pihak tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah tinggi syariah Terengganu. Dalam kalangan alim ulamak juga terdapat perbezaan pendapat tetapi dengan kefahaman yang mendalam, perbezaan pendapat ini dapat dikawal. Apa yang menjadi masalah adalah perbalahan dalam kalangan RAKYAT BIASA seperti saya yang kurang pengetahuan tentang hukum hakam agama khususnya berkenaan dengan hukum jenayah syariah. Akibatnya berlakulah tuduh menuduh termasuklah label melabel dalam kalangan sesama Islam.

Saya berpandangan bahawa polemik ini akan reda jika ada pihak yang berautoriti memberi penjelasan yang mudah difahami oleh orang awam tentang APAKAH HUKUMAN YANG SEPATUTNYA DIKENAKAN KE ATAS PESALAH HUBUNGAN SEKS SEJENIS MENGIKUT AJARAN ISLAM. Jadi di dalam tulisan ini, kita akan mencari jawapan ke atas persoalan ini. Untuk tujuan tersebut saya berkesempatan merujuk beberapa tulisan ahli akademik dan juga ulamak. Saya juga berbincang dengan seorang Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang yang juga Timbalan Pengarah (Ijazah Dasar) Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya iaitu A.Prof Dr. Ruzman Md Noor. Berikut adalah beberapa fakta mengenai Undang-Undang Jenayah Islam di Malaysia dan jawapan kepada persoalan utama yang saya nyatakan di atas:

1.Negara kita mempunyai dua jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah

2.Mahkamah Syariah ialah institusi kehakiman yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman ke atas orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah agama mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya

3.Bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berasingan dengan Mahkamah Sivil

4.Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah sivil dan dianggap setaraf. Kuasa kedua-dua mahkamah ini tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia.

5.Undang-undang yang lulus di Dewan Undangan Negeri dinamakan ENAKMEN, manakala undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dinamakan AKTA.

6.Jenis hukuman ke atas pesalah yang dibicara di dalam mahkamah syariah ditentukan oleh undang-undang negeri (enakmen) masing-masing. Ianya boleh berbeza tetapi had maksima hukuman adalah sama untuk semua negeri kerana ianya tertakluk kepada Akta.

7.Had kuasa dan hukuman maksima Mahkamah Syariah tertakluk kepada akta yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia.

8.Parlimen telah meluluskan satu AKTA yang bertujuan MENGHADKAN KUASA mahkamah syariah. Akta yang menghadkan kuasa mahkamah syariah ke atas Jenayah Syariah adalah Akta 355 ( pindaan 1984). Akta 355 ini menghadkan hukuman kepada denda tidak melebihi RM5000 atau 3 tahun penjara atau hukuman rotan tidak melebihi 6 sebatan atau gabungan ketiga-tiganya. Jadi Anakmen yang ditentukan di peringkat negeri tidak boleh melampaui had ini.

9.Maka untuk meningkatkan had hukuman bagi Jenayah Syariah di peringkat negeri, perlu pindaan akta 355 di peringkat parlimen. Jadi RUU355 adalah rang undang-undang yang dicadangkan untuk meningkatkan had hukuman ke atas Jenayah Syariah.

10.Salah satu bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah membicara dan menghukum kes-kes JENAYAH SYARIAH.

11.Terdapat 3 kategori Jenayah Syariah iaitu :
a.QISAS (Jenayah terhadap nyawa dan tubuh badan, bunuh dibalas bunuh, cedera di balas cedera dengan syarat-syarat yang ditentukan, hukum Qisas dinyatakan dalam Quran dan Hadith)
b.HUDUD (Jenis kesalahan dan hukuman dinyatakan dalam Quran dan Hadith iaitu Zina,Qazaf (tuduh zina tanpa cukup saksi),Minum Arak, Mencuri,Memberontak dan Murtad)
c.TAKZIR (Kesalahan dan dosa/maksiat yang hukumannya TIDAK dinyatakan dengan khusus di dalam Quran dan Hadith, hukuman mengikut kebijaksanaan Hakim)

12.Jenis kesalahan dan bentuk hukuman di bawah kategori hudud adalah jelas kerana ianya dinyatakan di dalam Quran dan Hadith. Jadi Hudud hanya sebahagian kecil daripada jenayah syariah yang dibicarakan oleh mahkamah syariah. Proses perbicaraan dan perlaksanaan hukuman adalah mengikut syarat-syarat yang ketat mengikut Quran, Hadith dan Ijmak Ulamak.

13.Adakah HUBUNGAN SEJENIS (homoseksual) termasuk di dalam makna ZINA? Jika hubungan sejenis adalah kesalahan zina, maka ia termasuk di dalam kategori HUDUD dan hukum hudud untuk penzina adalah rejam (sudah berkahwin) dan sebat 100 rotan (belum berkahwin) dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

14.Terdapat PERBEZAAN PENDAPAT mengenai status kesalahan hubungan sejenis di dalam jenayah Syariah. Percanggahan ini berlaku semenjak zaman sahabat lagi, mengikut penulis buku Undang-Undang Jenayah Islam, Dr. Paizah Haji Ismail, mantan Pensyarah Akademi Islam, UM. Kebanyakan ulamak termasuk Imam besar Abu Hanifah (mazhab Hanafi) berpendapat bahawa amalan homoseksual (termasuk liwat dan lesbian/sahhak) TIDAK dikategorikan sebagai zina dan dihukum TAKZIR. Walau bagaimanapun tidak kurang juga ulamak dan mazhab yang memberi pendapat berbeza. Hukuman terhadap jenayah hubungan sejenis ini TIDAK dinyatakan dengan jelas di dalam Quran dan Hadith. Pendek kata kedua-dua pendapat mempunyai kekuatan hujah masing-masing. Tidak ada percanggahan pendapat tentang besarnya dosa kedua-dua perbuatan ini.

15.Bentuk hukuman di bawah TAKZIR adalah mengikut KEBIJAKSANAAN hakim. Hukuman boleh merangkumi penjara, sebat, buang daerah, denda, nasihat dan lain-lain. Kebijaksanaan hakim ini merangkumi bentuk hukuman dan juga samada perlu ataupun tidak dipamerkan kepada orang ramai.

KESIMPULAN

Daripada penulisan di atas boleh disimpulkan bahawa hukuman sebatan sebanyak 6 kali dan denda RM3,300 yang dikenakan ke atas pesalah lesbian di Terengganu adalah di bawah kategori TAKZIR dan bukan hudud. Apabila ianya jatuh di bawah hukuman takzir, maka bentuk hukumannya boleh berbeza pendapat mengikut kebijaksanaan hakim dan pemerintah. Di bawah hukuman takzir juga, hakim boleh membuat keputusan samada hukuman itu perlu ataupun tidak dilakukan di hadapan khalayak ramai. Setiap negeri dan mahkamah syariah yang ada di dalamnya berhak untuk menentukan jenis hukuman yang dikenakan mengikut enakmen dan kebijaksanaan masing-masing bagi mencapai Maqasid Syariah selagi ianya di dalam bidang kuasa yang telah ditentukan. Persoalan samada boleh ataupun tidak pihak lain mengkritik keputusan mahkamah syariah di dalam kes ini, itu saya serahkan kepada pembaca semua untuk membuat penilaian dan pertimbangan. Apa yang penting adalah raikan perbezaan pendapat selagi ianya diberi ruang oleh agama kita dan janganlah pula ada yang menuduh pihak yang berbeza ini sebagai sesat. Kita sesama Islam hendaklah cuba mencari titik pertemuan, tidak berpecah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan individu ataupun golongan tertentu.

Penulis: DDr Rushdan Noor
Penyemak: Prof Madya Dr.Ruzman Md Noor, Timbalan Pengarah (Ijazah Dasar), Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademik Islam , Universiti Malaya
9 hb September 2018

RUJUKAN
1. https://www.bharian.com.my/…/461036/pasangan-lesbian-didend…
2. Undang-Undang Jenayah Islam, oleh Paizah Haji Ismail
3. https://www.hidayatullah.com/…/homoseksual-dan-lesbian-dala…
4. https://islamqa.info/en/21058
5. http://muftiwp.gov.my/…/2154-realiti-perundangan-dalam-pela…
6. http://agama-mahkamahsyariah.blogspot.com/…/definisi-mahkam…
7. Paizah Haji Ismail, Undang-Undang Jenayah Islam, Dewan Pustaka Islam, 1991

Wednesday, September 5, 2018

PRODUK SAYA KKM DAH LULUS, MESTILAH TERBAIK DAN TERJAMIN SELAMAT: MITOS PENJUAL PRODUK HERBA & TRADISIONAL

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Ramai penjual produk kesihatan termasuk herba, jamu dan lain-lain menggunakan alasan bahawa produk mereka sudah diluluskan oleh KKM jadi tentulah SELAMAT dan BERKESAN.
Sebenarnya tanggapan ini adalah tidak tepat kerana apa yang KKM (Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) lakukan ke atas produk-produk tradisional adalah menguji kehadiran bahan asing ataupun pencemaran oleh bahan-bahan tertentu. Ujian yang dilakukan hanyalah terhadap KUALITI dan KESELAMATAN (“safety”). Ujian yang KKM lakukan BUKAN untuk mengesahkan KEBERKESANAN.
Di dalam produk-produk tersebut terdapat 3 komponen utama iaitu nutrien, sebatian kimia semulajadi yang wujud di dalamnya dan satu lagi bahan-bahan yang mencemarkannya. Bahan pencemar ini adalah bahan asing yang masuk secara tidak sengaja ataupun sengaja. Inilah yang diuji oleh KKM. KKM TIDAK menguji dan mengesan sebatian-sebatian kimia asal yang terdapat di dalam produk tersebut melainkan jika bahan pencemar itu kebetulan ujud secara semulajadi.
KKM akan menguji sifat fizikal, steriliti dan kehadiran beberapa bahan pencemar di dalam produk yang hendak dipasarkan. Jika bahan-bahan ini tidak dikesan ataupun dikesan pada kuantiti rendah di bawah paras bahaya, maka KKM akan memberi kelulusan kepada pengeluar untuk menjualnya. Bahan-bahan tersebut adalah:
1. Jumlah keseluruhan bakteria
2. Jumlah keseluruhan kulat
3. Pencemaran bakteria iaitu :
E.coli, Staph aureus, Salmonella dan Pseudomonas
4. Pencemaran logam berat iaitu:
Lead, Cadmium, Arsenic dan Mercury

KKM juga akan menguji kandungan steroid ataupun bahan-bahan campur-palsu. Ujian khas juga akan dilakukan bergantung kepada tuntutan dan indikasi.
Terdapat 3 ujian besar yang dilakukan oleh KKM terhadap sampel ubat tradisional iaitu :
1. Physical Performance Tests ( Ujian fizikal, pH, berat, ujian disintegrasi, ujian dissolution dan lain2)
2. Quality Test (ketulinan, keseragaman kandungan, biological assay of antibiotics dan lain-lain)
3. Safety Test yang meliputi Pyrogen Test, Bacterial endotoxin test, Sterility test, Microbial contamination test, mycrocystin  test, ujian terhadap logam berat)
Terdapat produk yang mengandungi pencemaran tetapi pada kadar yang rendah dan dianggap selamat. Jadi produk tersebut sebenarnya TIDAK BEBAS daripada bahan pencemaran cumanya kuantitinya rendah, di bawah paras bahaya. Produk seperti ini masih mendapat kelulusan KKM dan dianggap selamat.
Sebenarnya terdapat banyak sebatian kimia yang wujud di dalam herba dan produk kesihatan (bersumberkan tumbuhan dan herba) yang mungkin mencecah beratus-ratus jenis. KKM tidak menguji kehadiran sebatian-sebatian kimia ini sebab dianggap bahan kimia semulajadi. Di samping itu adalah mustahil untuk menguji setiap sebatian kimia tersebut yang jumlahnya terlalu banyak. Persoalannya adakah sebatian kimia semulajadi ini semestinya selamat?
Sebatian-sebatian kimia semulajadi yang TIDAK diuji oleh makmal KKM ini tidak semestinya selamat lebih-lebih lagi jika diambil dalam jangkamasa yang panjang. Ini tidak mungkin dapat dikesan oleh pihak KKM terutama kesan sampingan yang berlaku secara tersembunyi dalam masa yang panjang. Salah satu sebatian kimia semulajadi yang ujud di dalam produk yang bersumberkan tumbuhan dan herba adalah FITONUTRIEN iaitu nutrient yang wujud di dalam tumbuhan. Salah satu fitonutrien adalah FITOESTROGEN iaitu sebatian kimia yang mempunyai sifat-sifat seperti hormone ESTROGEN (hormon wanita) tetapi hadir di dalam tumbuh-tumbuhan. Fitonutrien (termasuk fitoestrogen) mungkin selamat diambil dalam kuantiti yang kecil, terkawal dan dalam jangkamasa pendek. Walau bagaimanapun jika kuantitinya tinggi ataupun diambil dalam jangkamasa panjang, ia boleh memberi kesan ransangan berlebihan kepada organ peranakan seseorang. Ini adalah salah satu kemungkinan mengapa terdapat wanita yang mengamalkan jamu dan herba didapati mengalami masalah kesihatan yang melibatkan organ peranakan termasuk masalah haid, ketumbuhan dan penyakit kanser. KKM tidak menguji kandungan fitoestrogen. Ini cuma satu jenis sebatian kimia, bagaimana pula sebatian2 kimia yang lain?
Kaedah yang terbaik untuk menguji keberkesanan dan keselamatan sesuatu jenis produk adalah melalui kajian saintifik di mana ianya dimulakan dengan kajian praklinikal (termasuk ke atas haiwan) sehinggalah fasa 3 kajian klinikal yang dilakukan ke atas ramai manusia dan pesakit. Di dalam proses kajian ini, pengkaji dapat menilai KESELAMATAN DAN KEBERKESANAN ubat tersebut dengan lebih tepat, bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga kepada bayi di dalam kandungan. Pengkaji juga dapat menentukan kaedah pemberian, dos selamat dan jangkamasa yang perlu diambil. Inilah yang dilalui oleh semua ubat-ubat moden di bawah kategori UBAT TERKAWAL seperti ubat darah tinggi, diabetes dan lain-lain.
Produk herba, jamu dan lain-lan produk tradisional TIDAK menjalani kajian saintifik, ianya dihasilkan sendiri oleh pengeluar yang sepatutnya bukan bertujuan untuk merawat penyakit tetapi lebih kepada makanan sampingan ataupun untuk mengurangkan gejala. Apabila produk ini tidak menjalani kajian saintifik, maka apa yang sebenarnya berlaku adalah produk ini DIUJI ke atas manusia yakni pengguna, tanpa mengetahui samada ianya benar-benar selamat ataupun tidak. Sepatutnya ujian dilakukan ke atas haiwan dahulu, supaya jika ada kemudaratan ianya dapat dikesan awal sebelum diberikan kepada manusia. Maka ini seolah-olah menjadikan pengguna sebagai bahan ujikaji. Bayangkan jika pengeluar produk ini mencampur-adukkan pelbagai herba dan ramuan-ramuan lain di dalamnya, kita tidak tahu berapakah jumlah keseluruhan sebatian kimia di dalamnya dan berapakah tahap kandungan setiap satunya (kuantiti). Apabila seorang pengeluar produk “ajaib” ini mewar-warkan betapa banyaknya ramuan dan manfaat yang terkandung di dalam produk mereka, sebenarnya pengguna tidak sedar bahawa semakin banyak ramuan, maka semakin tinggilah juga potensi kemudaratan kepada kesihatan mereka.
Kesimpulannya, lulus KKM bukan bukti produk itu berkesan dan terjamin selamat. Ianya cuma lulus tapisan KKM dan mendapat lesen untuk menjual produk. Semuanya akan kembali kepada kebijaksanaan pengguna. JADILAH PENGGUNA YANG BIJAK.
Dato'Dr Mohd Rushdan Md Noor 
Kementerian Kesihatan Malaysia 
Ahli Medical Mythbusters Malaysia 
6hb Sep 2018