Polemik hukum sebat ke atas pelaku seks sejenis sepasang lesbian di 
Terengganu menjadi topik yang hangat diperbincangkan, sebagai rakyat 
biasa, saya melihat ini sebagai satu kesempatan untuk menambah kefahaman
 mengenai hukum jenayah syariah. Saya dapati ramai orang awam seperti 
saya yang keliru tentang isu pokok yang sepatutnya diperjelaskan oleh 
alim ulamak kita bila menangani polemik ini. Daripada sudut yang 
positif, polemik ini sepatutnya dijadikan sebagai batu loncatan untuk 
menambah ilmu pengetahuan, bukan medan bertelagah dan melempiaskan 
amarah penuh emosi samada untuk mempertahan ataupun menentang.
 
Apabila hukuman sebat dilaksanakan ke atas pasangan lesbian di 
Terengganu, wujud 2 golongan iaitu golongan yang menyokong dan golongan 
yang tidak bersetuju dengan bentuk hukuman tersebut. Pada pandangan 
saya, titik tolak berlakunya polemik ini adalah apabila pihak yang tidak
 bersetuju mengkritik hukuman tersebut dan menganggap bahawa ada kaedah 
lain yang lebih baik dilaksanakan. Maka berlakulah tuduh menuduh bahawa 
satu pihak tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah tinggi 
syariah Terengganu. Dalam kalangan alim ulamak juga terdapat perbezaan 
pendapat tetapi dengan kefahaman yang mendalam, perbezaan pendapat ini 
dapat dikawal. Apa yang menjadi masalah adalah perbalahan dalam kalangan
 RAKYAT BIASA seperti saya yang kurang pengetahuan tentang hukum hakam 
agama khususnya berkenaan dengan hukum jenayah syariah. Akibatnya 
berlakulah tuduh menuduh termasuklah label melabel dalam kalangan sesama
 Islam.
 Saya berpandangan bahawa polemik ini akan reda jika ada 
pihak yang berautoriti memberi penjelasan yang mudah difahami oleh orang
 awam tentang APAKAH HUKUMAN YANG SEPATUTNYA DIKENAKAN KE ATAS PESALAH 
HUBUNGAN SEKS SEJENIS MENGIKUT AJARAN ISLAM. Jadi di dalam tulisan ini, 
kita akan mencari jawapan ke atas persoalan ini. Untuk tujuan tersebut 
saya berkesempatan merujuk beberapa tulisan ahli akademik dan juga 
ulamak. Saya juga berbincang dengan seorang Pensyarah Jabatan Syariah 
dan Undang-Undang yang juga Timbalan Pengarah (Ijazah Dasar) Akademi 
Pengajian Islam, Universiti Malaya iaitu A.Prof Dr. Ruzman Md Noor.
 Berikut adalah beberapa fakta mengenai Undang-Undang Jenayah Islam di 
Malaysia dan jawapan kepada persoalan utama yang saya nyatakan di atas:
 1.Negara kita mempunyai dua jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah
 2.Mahkamah Syariah ialah institusi kehakiman yang membicarakan serta 
menjatuhkan hukuman ke atas orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah
 agama mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya
 3.Bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berasingan dengan Mahkamah Sivil
 4.Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah sivil dan 
dianggap setaraf. Kuasa kedua-dua mahkamah ini tertakluk kepada 
Perlembagaan Malaysia.
 5.Undang-undang yang lulus di Dewan 
Undangan Negeri dinamakan ENAKMEN, manakala undang-undang yang 
diluluskan oleh Parlimen dinamakan AKTA.
 6.Jenis hukuman ke atas 
pesalah yang dibicara di dalam mahkamah syariah ditentukan oleh 
undang-undang negeri (enakmen) masing-masing. Ianya boleh berbeza tetapi
 had maksima hukuman adalah sama untuk semua negeri kerana ianya 
tertakluk kepada Akta.
 7.Had kuasa dan hukuman maksima Mahkamah Syariah tertakluk kepada akta yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia.
 8.Parlimen telah meluluskan satu AKTA yang bertujuan MENGHADKAN KUASA 
mahkamah syariah. Akta yang menghadkan kuasa mahkamah syariah ke atas 
Jenayah Syariah adalah Akta 355 ( pindaan 1984). Akta 355 ini menghadkan
 hukuman kepada denda tidak melebihi RM5000 atau 3 tahun penjara atau 
hukuman rotan tidak melebihi 6 sebatan atau gabungan ketiga-tiganya. 
Jadi Anakmen yang ditentukan di peringkat negeri tidak boleh melampaui 
had ini.
 9.Maka untuk meningkatkan had hukuman bagi Jenayah 
Syariah di peringkat negeri, perlu pindaan akta 355 di peringkat 
parlimen. Jadi RUU355 adalah rang undang-undang yang dicadangkan untuk 
meningkatkan had hukuman ke atas Jenayah Syariah.
 10.Salah satu bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah membicara dan menghukum kes-kes JENAYAH SYARIAH.
 11.Terdapat 3 kategori Jenayah Syariah iaitu :
a.QISAS (Jenayah terhadap nyawa dan tubuh badan, bunuh dibalas bunuh, cedera di balas cedera dengan syarat-syarat yang ditentukan, hukum Qisas dinyatakan dalam Quran dan Hadith)
b.HUDUD (Jenis kesalahan dan hukuman dinyatakan dalam Quran dan Hadith iaitu Zina,Qazaf (tuduh zina tanpa cukup saksi),Minum Arak, Mencuri,Memberontak dan Murtad)
c.TAKZIR (Kesalahan dan dosa/maksiat yang hukumannya TIDAK dinyatakan dengan khusus di dalam Quran dan Hadith, hukuman mengikut kebijaksanaan Hakim)
a.QISAS (Jenayah terhadap nyawa dan tubuh badan, bunuh dibalas bunuh, cedera di balas cedera dengan syarat-syarat yang ditentukan, hukum Qisas dinyatakan dalam Quran dan Hadith)
b.HUDUD (Jenis kesalahan dan hukuman dinyatakan dalam Quran dan Hadith iaitu Zina,Qazaf (tuduh zina tanpa cukup saksi),Minum Arak, Mencuri,Memberontak dan Murtad)
c.TAKZIR (Kesalahan dan dosa/maksiat yang hukumannya TIDAK dinyatakan dengan khusus di dalam Quran dan Hadith, hukuman mengikut kebijaksanaan Hakim)
 12.Jenis kesalahan dan bentuk hukuman di bawah kategori 
hudud adalah jelas kerana ianya dinyatakan di dalam Quran dan Hadith. 
Jadi Hudud hanya sebahagian kecil daripada jenayah syariah yang 
dibicarakan oleh mahkamah syariah. Proses perbicaraan dan perlaksanaan 
hukuman adalah mengikut syarat-syarat yang ketat mengikut Quran, Hadith 
dan Ijmak Ulamak.
 13.Adakah HUBUNGAN SEJENIS (homoseksual) 
termasuk di dalam makna ZINA? Jika hubungan sejenis adalah kesalahan 
zina, maka ia termasuk di dalam kategori HUDUD dan hukum hudud untuk 
penzina adalah rejam (sudah berkahwin) dan sebat 100 rotan (belum 
berkahwin) dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
 
14.Terdapat PERBEZAAN PENDAPAT mengenai status kesalahan hubungan 
sejenis di dalam jenayah Syariah. Percanggahan ini berlaku semenjak 
zaman sahabat lagi, mengikut penulis buku Undang-Undang Jenayah Islam, 
Dr. Paizah Haji Ismail, mantan Pensyarah Akademi Islam, UM. Kebanyakan 
ulamak termasuk Imam besar Abu Hanifah (mazhab Hanafi) berpendapat 
bahawa amalan homoseksual (termasuk liwat dan lesbian/sahhak) TIDAK 
dikategorikan sebagai zina dan dihukum TAKZIR. Walau bagaimanapun tidak 
kurang juga ulamak dan mazhab yang memberi pendapat berbeza. Hukuman 
terhadap jenayah hubungan sejenis ini TIDAK dinyatakan dengan jelas di 
dalam Quran dan Hadith. Pendek kata kedua-dua pendapat mempunyai 
kekuatan hujah masing-masing. Tidak ada percanggahan pendapat tentang 
besarnya dosa kedua-dua perbuatan ini.
 15.Bentuk hukuman di bawah
 TAKZIR adalah mengikut KEBIJAKSANAAN hakim. Hukuman boleh merangkumi 
penjara, sebat, buang daerah, denda, nasihat dan lain-lain. 
Kebijaksanaan hakim ini merangkumi bentuk hukuman dan juga samada perlu 
ataupun tidak dipamerkan kepada orang ramai.
KESIMPULAN
 
Daripada penulisan di atas boleh disimpulkan bahawa hukuman sebatan 
sebanyak 6 kali dan denda RM3,300 yang dikenakan ke atas pesalah lesbian
 di Terengganu adalah di bawah kategori TAKZIR dan bukan hudud. Apabila 
ianya jatuh di bawah hukuman takzir, maka bentuk hukumannya boleh 
berbeza pendapat mengikut kebijaksanaan hakim dan pemerintah. Di bawah 
hukuman takzir juga, hakim boleh membuat keputusan samada hukuman itu 
perlu ataupun tidak dilakukan di hadapan khalayak ramai. Setiap negeri 
dan mahkamah syariah yang ada di dalamnya berhak untuk menentukan jenis 
hukuman yang dikenakan mengikut enakmen dan kebijaksanaan masing-masing 
bagi mencapai Maqasid Syariah selagi ianya di dalam bidang kuasa yang 
telah ditentukan. Persoalan samada boleh ataupun tidak pihak lain 
mengkritik keputusan mahkamah syariah di dalam kes ini, itu saya 
serahkan kepada pembaca semua untuk membuat penilaian dan pertimbangan. 
Apa yang penting adalah raikan perbezaan pendapat selagi ianya diberi 
ruang oleh agama kita dan janganlah pula ada yang menuduh pihak yang 
berbeza ini sebagai sesat. Kita sesama Islam hendaklah cuba mencari 
titik pertemuan, tidak berpecah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana 
pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan individu ataupun 
golongan tertentu.
Penulis: DDr Rushdan Noor
Penyemak: Prof Madya Dr.Ruzman Md Noor, Timbalan Pengarah (Ijazah Dasar), Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademik Islam , Universiti Malaya
9 hb September 2018
Penyemak: Prof Madya Dr.Ruzman Md Noor, Timbalan Pengarah (Ijazah Dasar), Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademik Islam , Universiti Malaya
9 hb September 2018
RUJUKAN
 1. https://www.bharian.com.my/…/461036/pasangan-lesbian-didend…
2. Undang-Undang Jenayah Islam, oleh Paizah Haji Ismail
3. https://www.hidayatullah.com/…/homoseksual-dan-lesbian-dala…
4. https://islamqa.info/en/21058
5. http://muftiwp.gov.my/…/2154-realiti-perundangan-dalam-pela…
6. http://agama-mahkamahsyariah.blogspot.com/…/definisi-mahkam…
7. Paizah Haji Ismail, Undang-Undang Jenayah Islam, Dewan Pustaka Islam, 1991
2. Undang-Undang Jenayah Islam, oleh Paizah Haji Ismail
3. https://www.hidayatullah.com/…/homoseksual-dan-lesbian-dala…
4. https://islamqa.info/en/21058
5. http://muftiwp.gov.my/…/2154-realiti-perundangan-dalam-pela…
6. http://agama-mahkamahsyariah.blogspot.com/…/definisi-mahkam…
7. Paizah Haji Ismail, Undang-Undang Jenayah Islam, Dewan Pustaka Islam, 1991
 
No comments:
Post a Comment