Monday, December 10, 2018

BAGAIMANA MENGENAL DOKTOR BOGUS DENGAN GELARAN PALSU : ORANG AWAM WAJIB TAHU

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Masalah doktor bogus yang menggunakan gelaran Dr palsu untuk tujuan merawat pesakit sudah lama berlaku dan boleh dikatakan satu jenis penyakit baru pula yang menyerang masyarakat kita. Individu yang "berpenyakit" ini sedang merawat pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit. Orang ramai perlu tahu bagaimana untuk mengenalpasti golongan ini.
Saya hanya akan menumpukan tulisan ini kepada gelaran Dr yang digunakan oleh individu untuk memberi khidmat kesihatan ataupun merawat penyakit. Gelaran palsu yang sama juga digunakan di dalam bidang yang lain tetapi kesan doktor bogus ke atas masyarakat kita boleh dianggap paling serius.
1. Semua doktor yang sudah tamat menjalani pengajian di dalam bidang perubatan dan pergigian akan menerima gelaran Dr. Tetapi gelaran sahaja belum cukup untuk memberi lesen kepada mereka untuk merawat pesakit. Mereka perlu menamatkan latihan siswazah selama 2 tahun sebelum boleh memohon untuk mendapatkan APC ("Annual Practicing Certificate") ataupun Sijil Latihan Tahunan daripada MMC ("Malaysian Medical Council"). APC adalah umpama lesen untuk merawat pesakit termasuk melakukan prosedur yang telah ditetapkan. Doktor ini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Akta Perubatan 1971.
2. Jika anda berjumpa dengan seorang individu yang mengaku doktor untuk merawat penyakit, anda boleh tahu beliau doktor tulin ataupun doktor bogus. Langkah pertama dapatkan nama sebenar beliau (ada yang guna nama samaran). Kemudian semak samada beliau sudah mendapat pendaftaran penuh dan memiliki APC dengan melayari laman web MMC dan masukkan nama beliau di ruang enjin pencarian (lihat imej pertama). Pautannya adalah berikut:

3. Jika nama beliau tidak tersenarai maka jelas beliau adalah DOKTOR BOGUS. Jika sekiranya nama beliau tersenarai, anda klik pada "details" untuk melihat tempat beliau bertugas dan samada APC beliau masih hidup ataupun sudah tamat tempoh dengan melihat tahun terakhir APC itu dikemaskinikan.
4. Jika beliau adalah Pengamal Perubatan Traditional dan Komplementari ataupun Perubatan Alternatif (Homeopati, Chiropraktik, Akupuntur dll), beliau juga perlu melalui proses pendaftaran yang sama tetapi dengan badan yang berbeza iaitu Traditional & Complementary Medicine Council (TCMC). Mereka perlu berdaftar dan mendapatkan sijil amalan tahunan yang sama seperti APC dan tertakluk kepada Akta 775 TCM.
5. Di dalam Akta 775 TCM, no 29 dengan jelas menyatakan bahawa Pengamal Perubatan Tradisional dan Complementari termasuk Perubatan Alternatif TIDAK BOLEH menggunakan gelaran Dr. kerana ini akan mengelirukan. Jika mereka menggunakan gelaran Dr, maka mereka telah melanggar akta 775 dan boleh diambil tindakan. Golongan ini juga termasuk di dalam kategori doktor bogus.
6. Bagi pemegang ijazah kehormat kedoktoran ataupun PhD, mereka memiliki gelaran Dr tetapi kebanyakan mereka tidak boleh melakukan amalan merawat dan melakukan prosedur ke atas pesakit kerana mereka bukan daripada aliran perubatan. Maksudnya mereka tidak memiliki APC dan berdaftar dengan MMC, jika mereka cuba merawat pesakit maka mereka juga adalah doktor bogus. Walau bagaimanapun terdapat sebilangan kecil pemegang PhD yang juga adalah doktor perubatan terutama yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti. Mereka ini layak untuk merawat pesakit seperti mana doktor2 perubatan yang lain. Jika anda menyemak nama mereka dengan MMC, nama mereka akan wujud dan memiliki APC.
7. Ramai yang boleh menipu gelaran Dr ataupun membeli sijil PhD yang palsu. Tidak kurang juga yang memperolehinya melalui scam. Jika mereka menggunakan gelaran ini untuk tujuan merawat pesakit, maka mereka tidak boleh lari daripada dikesan dengan kaedah menyemak nama mereka di laman web MMC. Jika nama mereka tidak tersenarai, jelas mereka adalah DOKTOR BOGUS.
Anda boleh membuat lapuran salahlaku doktor bogus dengan MMC ataupun TCMC, mengikut mana yang berkenaan untuk tindakan lanjut. Jauhkan diri daripada doktor bogus, sanggupkah anda memperjudikan kesihatan dan nyawa di bawah seorang individu yang menipu. Jika beliau sanggup menipu gelaran, maka beliau juga mungkin sanggup menipu perkara2 lain yang lebih besar. Jika semua orang menolak golongan ini, lambat laun mereka akan lenyap daripada masyarakat kita.
DDr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia
10hb Disember 2018






Monday, December 3, 2018

7 TANDA-TANDA ANDA SEDANG DIRAWAT OLEH PAKAR AUTA


7 TANDA-TANDA ANDA SEDANG DIRAWAT OLEH PAKAR AUTA

Selain daripada kaedah rawatan perubatan moden, terdapat banyak rawatan alternatif yang wujud di dalam negara kita. Tidak dapat dinafikan terdapat kaedah rawatan selain daripada perubatan moden yang boleh berperanan sebagai komplementari. Malangnya lebih banyak kaedah-kaedah rawatan alternatif ini diamalkan oleh pengamal yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan diri.

Perkataan Pakar Auta adalah merujuk kepada pengamal yang tidak mahir, tidak jujur, jahil dan mengamalkan kaedah rawatan alternatif yang palsu demi untuk meraih keuntungan diri sendiri. Kaedah rawatan alternatif palsu ini digunakan untuk merawat segala jenis penyakit termasuk penyakit kronik seperti kanser, diabetes dan lain-lain.

Sekurang-kurangnya terdapat 7 ciri-ciri dan kaedah-kaedah amalan yang dilakukan oleh Pakar Auta supaya orang ramai dapat mengenali mereka.

     1. Menggunakan gelaran palsu samada Professor, Dr dan lain-lain yang diperolehi melalui cara yang tidak betul ataupun menipu. Pengguna yang bijak dapat mengesan perkara ini melalui pencarian online. Kadangkala gelaran ini diberikan oleh pihak lain yang salah faham tetapi Pakar Auta ini tidak membetulkan maklumat dan membiarkan gelaran itu digunakan untuk dirinya. Penggunaan gelaran adalah salah satu kaedah meningkatkan keyakinan pelanggan. Jika mereka sanggup menipu gelaran, kewibawaan mereka sebenarnya sudah hancur.

   2. Mengesahkan penyakit yang tidak wujud. Pesakit yang bertemu mereka akan diyakinkan menghidap penyakit yang direka-reka bergantung kepada kaedah rawatan yang hendak diberikan. Ada yang mengguna istilah “kekurangan chi”, “sendi tidak betul”, “masuk angin”, “tenaga dalam tidak seimbang” dan lain-lain. Ada juga yang mudah menyalahkan jin dan saka. Ada juga yang menggunakan kaedah mengesan penyakit melalui pemeriksaan mata, kedudukan tulang belakang, memeriksa tapak tangan ataupun tapak kaki. Pendek kata menggunakan kaedah tidak langsung yang pelik untuk mengesan semua jenis penyakit.

  3. Semasa menjalani rawatan ataupun selepas rawatan, jika keadaan kesihatan anda bertambah parah, mereka akan memberi alasan bahawa keadaan ini adalah normal sebelum proses penyembuhan. Mereka mungkin memberi pelbagai alasan termasuk menggunakan istilah “krisis penyembuhan”(“healing crisis”). Mereka sukar untuk mengaku rawatan mereka  tidak berkesan. Supaya kaedah rawatan mereka dianggap tidak ada cacat celanya, jika pesakit tidak sembuh, mereka lebih suka menyalahkan pesakit dan bukan rawatan yang mereka berikan sebagai punca kegagalan.

  4. Bercakap besar membesarkan kaedah rawatan mereka dengan memberi peratus kejayaan yang tinggi jauh berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh doktor perubatan. Memberikan harapan palsu kepada anda. Mereka juga gemar memburuk-burukkan kaedah rawatan moden, mengaitkan kematian pesakit dengan rawatan dan menganggap rawatan moden ini hanya merawat gejala dan bukan merawat punca penyakit. Mereka menggunakan testimoni sebagai bukti keberkesanan rawatan mereka.

  5. Menggunakan perkataan DETOK ataupun menyahtoksin sebagai matlamat rawatan ke atas pesakit-pesakit yang tidak diketahui jenis penyakit mereka. Pakar Auta ini akan menyarankan pelbagai bentuk rawatan yang kononnya boleh membuang racun di dalam badan samada dalam darah ataupun di dalam usus. Mereka tidak pula akan memberikan maklumat yang lengkap apakah nama toksin yang sedang meracuni tubuh badan pesakit. Perkataan DETOK adalah umpan yang sering digunakan oleh Pakar Auta. Hakikatnya organ badan manusia sudah mempunyai kaedah mengeluarkan bahan buangan dan toksin yang berkesan melalui kulit, paru-paru, buah pinggang dan hati.

  6.  Menggunakan alasan bahawa kaedah rawatan mereka sudah wujud berkurun-kurun lamanya. Mana mungkin ianya tidak berkesan jika sudah diamalkan semenjak nenek moyang. Mereka seolah-olah lupa bahawa teknologi berkembang dari masa ke semasa termasuk kaedah pengesanan dan rawatan penyakit. Contohnya dahulu orang pergi mengerjakan haji dengan menaiki kapal layar tetapi hari ini umat Islam menggunakan kapalterbang. Kapal layar masih lagi ada hingga ke hari ini tetapi kaedah manakah yang lebih selamat, cepat dan cekap? Jika alasan masa digunakan tentulah orang masih menggunakan kapal layar untuk ke Mekah sehingga ke hari ini.

   7. Menggunakan kaedah rawatan yang ganjil dan tidak dapat diterangkan kaitan antara kaedah rawatan tersebut dengan penyakit yang hendak dipulihkan. Dengan kaedah rawatan yang ganjil itu, mereka mendakwa boleh merawat semua jenis penyakit. Di dalam masyarakat kita,anda tentu pernah mendengar individu-individu yang kononnya dapat merawat penyakit dengan hanya menoreh ataupun mengguris kulit pada bahagian anggota yang sakit, menggunakan buah kelapa, buluh, menggunakan pistol mainan, jari telunjuk dan lain-lain lagi. Untuk meyakinkan pelanggan beragama Islam, amalan mereka itu akan diselangselikan dengan bacaan ayat al-Quran. Kos rawatan mereka adalah mengikut kehendak pelanggan dan dengan strategi ini tentu pelanggan akan membayar dengan harga yang jauh lebih besar daripada iktiar yang dilakukan oleh pengamal ini.

Ini adalah 7 ciri-ciri dan kaedah-kaedah rawatan alternatif yang perlu diketahui oleh orang ramai supaya mereka tidak termasuk di dalam kalangan yang tertipu. Pelanggan ataupun pesakit yang bijak akan menolak individu-individu yang memiliki ciri-ciri yang disebutkan di atas.


Sunday, December 2, 2018

MODUS OPERANDI PENGAMAL RAWATAN ALTERNATIF MEMANCING PESAKIT KANSER



Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Kaedah rawatan kanser konvensional menggunakan kaedah pendekatan yang sistematik daripada peringkat pengesahan, menentukan peringkat kanser, rawatan dan pemantauan. Rawatan kanser konvensional terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, targeted therapy dan yang terbaru terapi imun. Matlamat yang hendak dicapai oleh rawatan konvensional adalah menyembuhkan kanser jika kanser itu berada di peringkat awal. Jika penyembuhan tidak dapat dicapai, maka matlamat utama adalah memperlahankan ketumbuhan dan memanjangkan hayat. Manakala satu lagi kumpulan adalah pesakit yang kanser mereka sudah merebak di banyak bahagian badan, matlamat yang akan disasarkan adalah mengurangkan gejala supaya hidup pesakit ini lebih selesa. Kadangkala matlamat yang berbeza ini dicapai dengan menggunakan kaedah rawatan yang sama. Apabila pakar kanser berpendapat rawatan akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan, maka kaedah-kaedah rawatan yang dinyatakan diatas tidak akan disyorkan. Dengan perkataan lain, pesakit ini tidak akan menerima sebarang rawatan yang boleh mematikan sel-sel kanser sebaliknya hanya ubat-ubatan yang dapat mengurangkan gejala seperti sakit, kembong perut, letih dan lain-lain. Semua pendekatan yang saya nyatakan di atas adalah berdasarkan kepada bukti kajian klinikal ataupun di dalam istilah perubatan dinamakan “evidence-based medicine”.

Satu lagi pilihan untuk merawat penyakit kanser adalah kaedah rawatan alternatif yang diberikan oleh pengamal rawatan alternatif. Terlalu banyak kaedah rawatan alternatif yang ada disediakan dan prinsip rawatan mereka adalah berbeza dengan kaedah rawatan konvensional. Walaupun ada di antara prinsip asas yang saya nyatakan diatas ada diamalkan oleh mereka, tetapi mereka tidak menggunakan prinsip yang paling penting iaitu amalan berasaskan kepada “evidence-based medicine”. Paling malang lagi, ada di antara mereka yang tidak menggunakan kaedah pengesahan kanser yang betul sehingga ramai pesakit bukan kanser dikatakan penghidap kanser. Ramai dalam kalangan pengamal ini bukan daripada aliran pengamal perubatan moden sebaliknya mereka adalah pengamal yang menggunakan prinsip naturopathy. Saya sudah menerangkan panjang lebar mengenai prinsip naturopathy di dalam tulisan saya yang lalu. Bagi pengamal perubatan moden, prinsip ini sebenarnya adalah benih-benih pseudosains kerana mereka meletakkan falsafah pada kedudukan paling tinggi yang tidak boleh diubah walaupun ianya sudah terbukti salah. Maka akibat daripada prinsip yang berbeza, mereka menolak beberapa kaedah-kaedah rawatan kanser konvensional.

Di antara golongan pengamal perubatan yang saya sebutkan di atas, terdapat golongan yang mengambil kesempatan mencari habuan wang ringgit dengan menjadikan rawatan kanser alternatif sebagai perniagaan utama. Ada dalam kalangan mereka ini tidak mendokong sebarang prinsip amalan sebaliknya hanya mengamalkan apa yang mereka faham berdasarkan kepada pendedahan yang mereka terima, selalunya melalui kursus ataupun pengajian jangkamasa pendek. Perniagaan ini tentu menguntungkan kerana bilangan penghidap kanser yang ramai dan tidak kurang juga pesakit kanser yang sudah berada pada peringkat akhir di mana kaedah rawatan konvensional sudah tidak berkesan. Di samping itu kaedah-kaedah rawatan alternatif pula sangat banyak dan kebanyakannya tidak tertakluk kepada peraturan amalan ubat-ubatan yang dikenakan oleh Penguasa ubat-ubatan. Banyak ubat-ubatan alternatif ini bukan daripada kategori ubat terkawal sebaliknya di bawah kategori makanan dan suplemen. Modal yang diperlukan untuk mendapatkan ubat-ubatan alternatif ini pula pada harga yang lebih rendah dan dapat dijual dengan harga yang tinggi. Malahan ada di antaranya adalah hasil ciptaan sendiri dan tidak kurang juga yang  hanya menggunakan suplemen dan vitamin. 

Permintaan kaedah rawatan alternatif di luar negara sememangnya tinggi sehingga mereka mampu menubuhkan klinik ataupun hospital. Kepada orang awam yang tidak arif, klinik dan hospital-hospital ini kelihatannya sama seperti klinik dan hospital yang menyediakan perkhidmatan perubatan konvensional. Pengamal-pengamalnya juga kelihatan sama dengan memperlihatkan gaya dan pendekatan yang tidak banyak berbeza dengan pengamal perubatan konvensional. Malahan ada juga yang menggunakan khidmat pengamal perubatan konvensional (yang berpaling tadah) bekerja dengan mereka. Mereka akan mengesyorkan banyak jenis rawatan alternatif yang diberikan samada melalui makan, suntikan dan rawatan fizikal. Banyak daripada ubat-ubatan dan kaedah rawatan ini belum terbukti berkesan merawat kanser ke atas manusia. Kos rawatan yang dikenakan adalah tinggi sehingga ada yang mencapai puluhan hingga ratusan ribu ringgit. Untuk memajukan perniagaan, mereka mempunyai model perniagaan yang tertentu bagi menarik ramai pesakit kanser sehingga berjaya menarik pesakit daripada luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka. Jika mereka bergerak secara bersendirian, mereka seringkali menggunakan gelaran palsu samada Professor ataupun Doktor bertujuan untuk menambah keyakinan pesakit.

Salah satu sasaran pelanggan mereka adalah pesakit kanser yang berada pada peringkat lewat di mana peluang untuk sembuh adalah tipis. Kebanyakan pesakit ini sudah dirawat dengan kaedah rawatan konvensional. Pesakit-pesakit ini tentu akan mencari maklumat di dalam media sosial ataupun internet untuk mendapatkan kaedah rawatan alternatif. Pusat rawatan kanser alternatif ini akan memaparkan testimoni (ada pesakit yang memberi testimoni ini yang sudah meninggal dunia tetapi testimoni mereka masih hidup), gambar-gambar kejayaan mereka dan juga memberi data kejayaan yang kelihatan luarbiasa. Apabila bertemu dengan pengamal perubatan alternatif ini, pesakit akan melalui sesi kaunseling dan di dalam sesi kaunseling inilah mereka akan dipancing. Salah satu kaedah kaunseling yang digunakan adalah memberi data kejayaan yang tidak munasabah sehingga pesakit yakin tentang keberkesanannya. Mereka juga akan diyakinkan bahawa rawatan ini bukan sahaja berkesan tetapi bersifat semulajadi ataupun lebih selamat. Mereka juga akan mendakwa kaedah rawatan mereka adalah lebih holistik dan akan memakan masa yang panjang supaya pesakit akan terus terikat dengan mereka. Berbeza dengan kaedah kaunseling rawatan kanser konvensional di mana pesakit akan diberikan maklumat yang terperinci tentang kaedah rawatan, kesan sampingan dan apakah peluang untuk sembuh, pengamal perubatan alternatif seringkali tidak memberi maklumat terperinci tentang apakah ubat-ubatan yang digunakan serta kesan sampingan. Jika adapun data mengenai peluang untuk sembuh, mereka memberi angka yang jauh lebih baik daripada angka sebenar. Pada waktu yang sama pesakit akan diberikan maklumat palsu mengenai keburukan kaedah rawatan konvensional termasuk rawatan ini bukan merawat kanser sebaliknya membunuh pesakit kanser. Pendek kata hasil daripada kaunseling ini adalah keterujaan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan jikapun mereka gagal, mereka tidak akan menyalahkan kaedah rawatan yang mereka terima, sebaliknya menyalahkan diri sendiri kerana mendapatkan rawatan kanser konvensional terlebih dahulu. Semasa rawatan diberikan, pesakit seperti dipaksa untuk tidak berputus asa walaupun pada hakikatnya peluang untuk sembuh sudah tersangat tipis. Jika pesakit bertambah serius semasa rawatan, mereka akan mendakwa bahawa ini adalah kesan yang normal sebelum proses penyembuhan, sedangkan hakikatnya kanser semakin merebak.Pesakit tidak diberikan maklumat yang tepat mengenai peluang untuk sembuh sehingga mempunyai harapan palsu. Jika pesakit mengadu mengalami kurang gejala seperti sakit, letih dan sebagainya, mereka akan diyakinkan bahawa itu adalah petanda kanser sudah berkurangan sedangkan pada hakikatnya tidak. Melalui kaedah ini, pesakit akan meneruskan rawatan dan mengeluarkan belanja yang besar sedangkan kanser sudah tidak boleh disembuhkan. Malahan jika pesakit mendapatkan rawatan daripada pakar kanser, kualiti hidup mereka dapat diperbaiki dan mereka akan diberikan maklumat yang lebih tepat mengenai peluang untuk sembuh, di samping kos rawatan yang jauh lebih rendah.

Terdapat juga pengamal rawatan kanser alternatif ini mengambil pesakit kanser peringkat awal yang sudah dirawat dengan kaedah pembedahan oleh pakar kanser. Tetapi walaupun mereka ini sudah menjalani pembedahan, pakar kanser berpendapat adalah lebih baik pesakit ini mengambil rawatan tambahan di dalam bentuk kemoterapi ataupun radioterapi untuk meningkatkan kadar penyembuhan ataupun menurunkan kadar kejadian semula kanser. Malangnya masyarakat kita telah diberikan maklumat palsu mengenai kemoterapi sehingga ramai yang percaya kemoterapi adalah punca kematian pesakit kanser. Maka akibat daripada ketakutan ini, mereka mendapatkan khidmat pengamal perubatan alternatif yang tentu sekali akan menyokong pendirian mereka dan mengesyorkan kaedah rawatan alternatif. Maka pesakit inipun terpengaruh dan menerima rawatan alternatif sedangkan tanpa sebarang rawatan lanjutpun mereka mungkin akan sembuh ataupun bebas daripada kanser untuk jangkamasa tertentu kerana sudah menerima rawatan awal oleh pakar kanser. Pesakit-pesakit ini akan mengeluarkan belanja yang besar untuk sesuatu yang mereka tidak perlukan tetapi berkemungkinan untuk menghadapi kesan jangkamasa panjang kerana enggan menjalani rawatan kemoterapi. Fenomena ini berlaku di mana-mana termasuk di dalam negara kita.

Akhirnya ramai pesakit akan kehilangan wang yang banyak dan terpaksa berhutang ataupun memohon bantuan orang ramai untuk membiayai rawatan kanser alternatif ini. Saya ada terbaca pesakit kanser luar negara yang menghabiskan wang sehingga lebih 1 juta dolar Amerika untuk rawatan alternatif sedangkan mereka dapat menjimatkan banyak wang jika mereka dirawat oleh pakar kanser dengan kaedah rawatan konvensional. Sudahlah kanser yang dirawat tidak sembuh, gejala yang dialami tidak berkurangan, pesakit-pesakit ini akan mengalami tekanan hidup kerana kesempitan wang dan kesan ini akan dirasai oleh ahli keluarga mereka sekali. Kesan negatif rawatan kanser alternatif ini bukan setakat kehilangan wang ringgit dan kesan psikologi tetapi lebih daripada itu. Banyak kesan tidak langsung kepada masyarakat, beban kepada negara khususnya kementerian kesihatan dan ada berlaku di negara-negara lain jenayah penyeludupan ubat-ubat haram dari luar. Akibat rawatan ini juga pesakit boleh mengalami kesan sampingan dan lambat untuk mendapatkan rawatan kanser yang lebih berkesan. Pusat-pusat rawatan kanser palsu ini akan terus mengaut keuntungan dan menggunakan modus operandi yang sama ke atas pesakit-pesakit lain.

Hakikatnya, semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 3 daripada kajian-kajian tersebut. Pertamanya hasil kajian yang disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit-pesakit ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis-jenis kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar. (1). Kajian kedua adalah oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat (progressive disease)(2). Manakala kajian ketiga adalah oleh Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.(3). Banyak lagi kajian-kajian yang sama dilakukan dan disiarkan di dalam jurnal-jurnal yang memberi kesimpulan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser menyebabkan kadar kematian akibat kanser meningkat berbanding dengan rawatan konvensional.

Apa yang saya paparkan ini adalah cerita sebenar dan perkembangan yang berlaku di luar negara di mana terdapat banyak pusat-pusat rawatan kanser alternative. Bukan calang-calang orang yang terpengaruh dengan mereka termasuk artis, orang kenamaan dan lain-lain lagi. Di antara negara-negara yang mempunyai pusat rawatan kanser alternatif seumpama ini adalah China, German, Mexico dan lain-lain. Negara kita bakal menuju ke arah yang sama jika tidak ada langkah-langkah proaktif dilakukan oleh pihak yang berkuasa dan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat. Kepada pesakit kanser, ketahuilah latar belakang orang yang merawat anda dan jangan cepat terpengaruh dengan dakwaan palsu yang diberikan oleh individu-individu yang bukan pakar di dalam merawat pesakit kanser.

Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

RUJUKAN
1. Johnson SB, et al. Use of Alternatif Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145.Published August 2017.
2. Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternatif therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.
3. Han E, et al. Alternatif therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12
4. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/harmquack.html?fbclid=IwAR1ETaid3wrIZ-ePAAU8QXKr0m7HTQSXKFA_JAafB8LT7Pq1foE8uLwfQlU

5. https://www.bangkokpost.com/news/special-reports/570851/cancer-patients-find-hope-and-hazard-in-china?fbclid=IwAR1sDoRmbKlX3eWilgUCvFfiEemqrskPkpxi9dt_lU37yiGotqKkm3ud_7k

6. https://sciencebasedmedicine.org/the-deadly-false-hope-of-german-cancer-clinics/?fbclid=IwAR1pYS29Iv-7D_KVt2_gW7oIJhb7gSZyZgReqoYglXGiROv0e2DC2L-5MHc

7. https://health.spectator.co.uk/quacks-are-everywhere-here-is-how-to-spot-them/

Thursday, November 29, 2018

ARTIFICIAL INTELIGENCE DAN NATURAL INTELIGENCE

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor


Otak manusia memiliki "natural inteligence" (NI) ataupun kebijaksanaan semulajadi. Otak manusia mampu menganalisa maklumat yg diterima (melalui deria penglihatan, pendengaran dll), memproses dan kemudian menyelesaikan masalah ataupun menghasilkan output. Contohnya seorang guru matematik bertanya apakah jawapan 3 dicampurkan dengan 8, otak anak murid perlu memahami soalan dan kemudian mencari jawapan iaitu 11, kemudian ia mampu pula untuk mengekpresikan jawapan itu dengan menulis ataupun mengeluarkan suara menyebut perkataan sebelas. Kesemua proses ini adalah hasil keupayaan NI. Ini adalah contoh yang mudah dan di dalam kehidupan manusia terlalu banyak perkara yang melibatkan penyelesaian masalah daripada sekecil2 perkara hinggalah kepada yang sangat kompleks. Kesemuanya untuk mencari solusi memenuhi keperluan hidup. Walau bagaimanapun kemampuan otak manusia dan NI yang dimiliki adalah terhad.

Dengan bantuan komputer, manusia hari ini sudah berupaya mencipta "otak" yang lebih cekap dan lebih bijak untuk menyelesaikan masalah2 yang kompleks dan sukar yang tidak mampu dilakukan oleh NI. Otak buatan yang lebih cekap ini memiliki AI. AI mengambil aleh NI untuk menyelesaikan masalah2 yang sukar dan ini akan membantu menyelesaikan masalah dengan lebih tepat dalam jangkamasa yang lebih singkat. Jadi manusia menggunakan NI untuk menghasilkan AI yang lebih pintar daripada mereka. AI yang merupakan software komputer ini digabungkan dengan mesin untuk meniru apa yang dilakukan oleh manusia di dalam menyelesaikan masalah. AI berupaya memahami arahan, menyelesaikan masalah, menterjemah bahasa dan lain-lain lagi. Pendek kata aplikasi AI boleh digunakan dalam apa sahaja bidang. Robot yang boleh faham arahan dan boleh melaksanakan arahan itu adalah satu daripada banyak contoh2 aplikasi AI di dalam kehidupan manusia.

Kedua2 NI dan AI perlu bekerjasama untuk lengkap melengkapi bagi membantu manusia memenuhi keperluan hidup mereka. Mungkinkah satu hari nanti AI tidak memerlukan NI apabila mereka boleh menghasilkan diri mereka sendiri? Inilah masa depan teknologi yang sedang dikembangkan dan bakal menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia di masa hadapan. Tidak dapat di bayangkan bagamanakah agaknya keadaan hidup manusia 100 dan 1000 tahun akan datang, jika dunia belum kiamat. Tidak hairanlah mengapa manusia adalah salah satu ciptaan yang sangat hebat refleksi kepada kehebatan Penciptanya.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
26hb Nov 2018



AED ( AUTOMATED EXTERNAL DEFRIBRILLATOR)


Kita seringkali terdengar berita orang yang mati mengejut semasa melakukan sesuatu aktiviti seperti bersukan. Terdapat juga yang mati ketika makan dan melakukan aktiviti lain termasuk sedang melakukan ibadah. Berkemungkinan besar kes-kes ini adalah akibat serangan sakit jantung. Kebanyakan ahli masyarakat kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana tidak terlatih untuk melakukan CPR ataupun cardiopulmonary resuscitation. Kajian mendapati, setiap minit tidak melakukan apa2 ke atas mangsa peluang untuk selamat berkurang sebanyak 10%. Maksudnya jika 5 minit lambat, peluang mangsa untuk hidup turun sebanyak 50%. Jantung yang berhenti berdenyut dinamakan "cardiac arrest". Kajian di Amerika mendapati setiap tahun terdapat 280,000 kes "cardiac arrest" berlaku di luar hospital.

Apabila diserang sakit jantung, denyutan nadi mangsa akan terhenti ataupun menjadi tidak tetap (arithmia). Keadaan ini dapat dipulihkan dengan mengenakan aliran elektrik ke atas dada pesakit ataupun dikenali sebagai defibrillation. Alat yang digunakan untuk tujuan ini dinamakan Defibrillator. Alat Defibrillator yang ada di hospital adalah canggih dan besar. Ianya juga perlu dikendalikan oleh perawat yang terlatih.

AED ataupun Automated External Debribrillator adalah defibrillator mudah-aleh yang ringan (1-2kg) dan mudah dibawa ke mana-mana menggunakan bateri yang boleh bertahan selama 4 tahun.Ia digunakan untuk mengenakan aliran elektrik pada bahagian dada mangsa bagi mengembalikan denyutan jantung yang normal. Apa yang menariknya AED ini boleh dikendalikan oleh orang awam yang telah menjalani latihan kerana ianya mudah digunakan (lihat video).
AED ini disambungkan dengan alat electrode yang boleh dilekapkan pada dada mangsa untuk membaca denyut nadi mangsa. Di dalam AED in terdapat computer yang mampu mengesan jenis denyutan jantung mangsa dan akan menentukan samada mangsa memerlukan defibrillation. AED akan mengeluarkan arahan bersuara bagaimana menggunakannya termasuk jika mangsa memerlukan defibrillation.

Individu yang bukan petugas perubatan seperti polis, ahli bomba dan orang ramai yang sudah terlatih boleh menggunakan AED. Memandangkan ianya alat yang mudah-aleh, senang dan selamat digunakan, ia dapat digunakan oleh orang awam semasa kecemasan bagi membantu ramai mangsa serangan jantung, bila-bila masa dan di mana2.

Di negara kita, AED adalah sebahagian daripada alat yang terdapat di dalam ambulan. AED juga terdapat di beberapa tempat orang awam tetapi belum menyeluruh seperti di negara2 maju. Di antara tempat-tempat lain yang sesuai diletakkan AED ini adalah lapangan terbang (seperti dalam gambar di KLIA), sekolah, stadium, pusat membeli belah, pusat konvensyen, hotel, sekolah, tempat pengangkutan awam, rumah ibadat dan lain-lain yang menjadi tumpuan orang ramai. Tinjauan saya di dalam internet mendapati harga satu unit AED adalah di antara di antara USD1500-2000 dolar. Mungkin kesedaran dan kemahiran melakukan CPR dan menggunakan AED perlu digiatkan lagi dalam kalangan orang awam. Manalah tahu, satu hari nanti mungkin saudara mara ataupun diri kita sendiri yang memerlukannya.

Dato'Dr Mohd Rushdan Md Noor
29hb Nov 2018


Thursday, November 15, 2018

MATI AKAL ("MIND BLANK") SEMASA PEPERIKSAAN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor


MATI AKAL ("MIND BLANK") SEMASA PEPERIKSAAN
Ketika musim peperiksaan ini tentu bermacam2 jenis tekanan dihadapi oleh anak-anak ketika berada di dewan peperiksaan. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang pernah mengalami mati akal yakni keadaan di mana semasa berdepan dengan kertas soalan tiba-tiba otak macam tidak berfungsi, tidak tahu bagaimana nak mula menulis dan apa yang hendak ditulis di atas kertas jawapan. Ada juga yang memanggilnya "thought block" atau "head block". Walaupun persediaan sudah dibuat secukupnya tetapi masih mengalami mati akal. Ia mungkin salah satu sebab mengapa pelajar2 yang asalnya cemerlang tiba-tiba mendapat keputusan di luar jangkaan.
Proses mendapatkan maklumat, menyimpan dan mengekalkannya di dalam otak melibatkan 3 bahagian iaitu hipotalamus, hipocampus dan prefrontal cortex . Tiga bahagian ini bertinteraksi sehingga seseorang mampu untuk memahami, mengambil, menyimpan dan memproses maklumat. Hipotalamus adalah bahagian otak yang menjadi jambatan di antara emosi dan sensasi fizikal melalui ransangan sistem endokrin (hormon). Apabila seseorang mengalami stres yang keterlaluan, hipotalamus akan meransang rembesan hormon stres yang bernama Noradrenalin dan Kortisol. Kedua-dua hormon ini jika berlebihan akan menganggu fungsi hipocampus dan prefrontal cortex sehingga anda tidak dapat mengeluarkan maklumat yang disimpan dan sukar untuk melakukan sebarang aktiviti kognitif yang logikal. Keadaan inilah yang menyebabkan anda mengalami mati akal.
Kebanyakan mati akal yang dialami oleh pelajar-pelajar adalah tekanan biasa dan bukan petanda masalah mental yang serius. Tetapi ada juga mati akal yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang lebih serius seperti penyakit otak dan psikosis. Punca utama mengapa pelajar mengalami mati akal semasa peperiksaan adalah stres akibat suasana peperiksaan dan terlalu takut untuk gagal. Mengelabah dan fikiran yang terlalu jauh seperti menganggap peperiksaan ini akan menentukan kerjaya dan kejayaan masa depan juga boleh menyebabkan mati akal.
BAGAIMANA MENANGANI MATI AKAL
Daripada penjelasan di atas, jelas menunjukkan bahawa mati akal adalah berpunca daripada tekanan ataupun stress yang keterlaluan dialami semasa menduduki peperiksaan. Maka terdapat beberapa panduan bagaimana anda dapat mencegah dan menangani masalah mati akal. Di antaranya adalah seperti berikut:
1. Apabila anda membuat persediaan semasa mengulangkaji pelajaran, sebagai satu latihan cuba sekali sekala lakukannya di dalam keadaan tertekan seperti mana anda sedang menduduki peperiksaan. Salah satu kaedah yang sering dilakukan adalah dengan menjalani ujian percubaan samada di rumah ataupun di sekolah. Ujian percubaan mempunyai peranan penting bagi membiasakan diri anda untuk mengalami suasana seperti peperiksaan sebenar.
2. Persediaan yang rapi adalah kunci untuk menjadikan anda lebih yakin. Amalkan kaedah belajar yang betul seperti tidak terlalu bergantung kepada menghafal sebaliknya memahami konsep tentang subjek yang dipelajari. Amalkan kaedah menulis nota ringkas untuk memudahkan ulangkaji. Kaedah mengingat dengan menggunakan mneumonik boleh membantu meningkatkan keupayaan menyimpan maklumat.
3. Persediaan mental sebelum peperiksaan adalah penting. Bagi penuntut beragama Islam, melakukan ibadat dan berdoa adalah kaedah yang berkesan supaya dapat menghayati konsep usaha, tawakal, qada dan qadar. Dapatkan restu ibubapa dan guru sebelum peperiksaan.
4. Kurangkan stress ketika peperiksaan dengan tidur yang mencukupi sebelum hari peperiksaan, elakkan belajar di saat akhir (“last minute”) dan jangan "stay up" malam sebelum peperiksaan.Jangan terlalu berharap dengan soalan ramalan dan berbincang mengenainya di pagi peperiksaan. Jauhi rakan-rakan yang negatif yang cuba melemahkan semangat anda.
5. Jika berlaku mati akal, berhenti sekejap, tarik nafas panjang melalui hidung dan lepaskan perlahan-lahan keluar melalui mulut yang dimuncungkan. Sambil lakukan senaman pernafasan ini fikirkan yang peperiksaan ini sebenarnya tidak susah dan anda boleh lakukannya. Ada yang mencadangkan supaya anda tidak memandang ke bawah pada kertas soalan sebaliknya cuba dongak ke atas untuk seketika.Ingat mati akal tidak akan berlarutan, jika anda bertenang dan lebih relak, ianya akan hilang dan anda akan dapat meneruskan peperiksaan.
DDr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia
17hb Nov 2018

Sunday, November 4, 2018

STATISTIK MALAYSIA 2018

STATISTIK MALAYSIA
Jabatan Perangkaan Malaysia
Tahun 2017


1. Jumlah penduduk : 31.62 juta
2. Kadar kesuburan (fertiliti): 1.9 babies/woman age
15-49/year.
3. Jumlah kelahiran hidup setahun : 508,685
Bayi lelaki : 262,575 (51.6%)
Bayi perempuan : 246,110 (48.4%)
4. Kadar kasar kelahiran : 15.9 per 1000 populasi
5. Kadar kasar kelahiran paling tinggi: Daerah Kuala
Terengganu 26.4 per 1000 populasi
6. Kadar kasar kelahiran paling rendah : Kinabatangan,
Sabah 4.5 per 1000 populasi
7. Jumlah kematian yang direkodkan dalam
setahun :168,168 (96,522 lelaki, 71,646 wanita)
8. Kadar kematian perinatal : 8.7 per 1000 kelahiran
9. Kadar kematian ibu : 25 per 100,000 kelahiran hidup
10. Lima punca kematian paling utama rakyat
Malaysia:
a. Penyakit jantung koronari (13.9%)
b. Jangkitan paru2 (pneumonia) (12.7%)
c. Penyakit salurdarah otak (termasuk angin
ahmar) (7.1%)
d. Kemalangan jalanraya (4.5%)
e. Kanser paru2 (2.3%)
11. Purata jangkahayat lelaki : 72.7 tahun
12. Purata jangkahayat wanita: 77.4 tahun


Rushdan Noor
2 hb Nov 2018
www.dosm.gov.my

ROKOK DAN PUNCA KEMATIAN RAKYAT MALAYSIA

Merujuk kepada statistik 2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara.
 
LIMA punca kematian paling utama rakyat Malaysia dalam tahun 2017:
1. Penyakit jantung koronari (13.9%)
2. Jangkitan paru2 (pneumonia) (12.7%)
3. Penyakit salurdarah otak (termasuk angin ahmar) (7.1%)
4. Kemalangan jalanraya (4.5%)
5. Kanser paru2 (2.3%)

Merokok dikaitkan dengan sebab kematian no (1), (3) dan (5). Kajian menunjukkan bahawa merokok menyumbang 33% kematian akibat penyakit jantung, 7% kematian akibat angin ahmar dan 85% kematian akibat kanser paru-paru. Jumlah kematian tahun 2017 adalah 508,685. Berdasarkan kepada kaitan antara rokok dan 3 punca kematian yang tersenarai di atas, dianggarkan 36,116 orang mati akibat merokok pada tahun 2017. Ini bersamaan dengan hampir 100 kematian setiap hari ataupun 4 orang setiap jam.

Angka ini belum lagi mengambil kira sumbangan daripada perokok pasif. Kajian di Amerika menunjukkan bahawa perokok pasif menyumbang 8.5% daripada jumlah kematian akibat merokok. Kajian juga menunjukkan bahawa 50% daripada perokok akan mati disebabkan oleh penyakit yg dikaitkan dengan merokok. Jadi kalau kita ambil 10 orang perokok dan kita ikuti perjalanan hidup mereka sehingga mereka mati, 5 daripada mereka mati akibat penyakit yg disebabkan oleh tabiat mereka itu.

Rushdan Noor
3hb Nov 2018

Friday, October 26, 2018

JANGAN AMBIL RINGAN PENYAKIT BEGUK




Penyakit begok (mump) disebabkan oleh jangkitan virus (paramyxovirus). Penyakit begok ataupun mump tidak boleh diambil ringan kerana dua sebab iaitu (1) Ia sangat mudah berjangkit dan (2) walaupun jarang, ia boleh menyebabkan komplikasi lain yang serius. Di samping berlaku keradangan kelenjar air liur parotid (pada dagu), jangkitan virus mump ini juga boleh menyebabkan:

a. Keradangan testis (biji zakar) lelaki, jika serius boleh menyebabkan KEMANDULAN.

b. Keradangan ovari wanita menyebabkan kemandulan dan MENOPAUS pramatang.

c. Keradangan dan kerosakan saraf pendengaran menyebabkan PEKAK

d Ibu hamil yang dijangkiti virus mump juga boleh menjangkiti anak di dalam kandungan menyebabkan KEGUGURAN.

e. Keradangan otak dan selaput otak, boleh menyebabkan KEMATIAN.

f. Keradangan pankreas ("pancreatitis")

Tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus mump, maksudnya tidak ada ubat antiviral yang berkesan membunuh virus ini. Jadi pencegahan adalah kaedah terbaik untuk dilakukan.

Vaksin mencegah jangkitan virus mump terkandung di dalam vaksin MMR yang diberikan kepada anak2 berusia 9 dan 12 bulan. Orang yang menerima vaksin masih boleh dijangkiti virus mump tetapi jangkitan tidak menyebabkan komplikasi serius berbanding dengan individu yang tidak menerima vaksin. Seseorang juga boleh menjadi kebal jika pernah dijangkiti oleh virus ini dahulu. Tetapi golongan kedua ini mungkin sudah mengalami salah satu komplikasi yang disebutkan di atas. Jadi langkah terbaik yang patut dilakukan adalah mengambil vaksin MMR untuk mencegah jangkitan virus mump dan penyakit beguk.

DDr Rushdan Noor
26hb Okt 2018


Thursday, October 25, 2018

VAKSIN UNTUK GOLONGAN DEWASA/WARGA EMAS


Program imunisasi kebangsaan yang dijalankan oleh kerajaan sekarang ini mensasarkan bayi dan kanak-kanak. Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti dan apabila dijangkiti penyakit, ketahanan badan mereka tidak sekuat orang dewasa. Maka program imunisasi bayi dan kanak-kanak ini mengurangakan kadar jangkitan, kecacatan dan kematian pada usia muda. Ia juga memberi manfaat jangka panjang. Negara kita mempunyai jadual program imunisasi kanak-kanak yang lengkap dan sistematik. Walau bagaimanapun amalan mengambil vaksin dalam kalangan orang dewasa/warga emas masih terhad.

Di samping program imunisasi kebangsaan di atas, vaksin juga bermanfaant ke atas orang dewasa. Di negara-negara maju, semakin ramai orang dewasa mengambil vaksin untuk mencegah jangkitan penyakit dan terdapat bukti yang vaksin dapat memanjangkan hayat mereka, terutama golongan tua/warga emas. Seperti juga kanak-kanak, orang tua juga mempunyai ketahanan badan yang lebih rendah dan mereka lebih mudah dijangkiti dan jika dijangkiti, lebih sukar untuk sembuh berbanding dengan orang yang lebih muda. Orang yang lebih tua juga seringkali menghidap penyakit kronik seperti diabetes yang meningkatkan risiko jangkitan penyakit. Orang yang lebih tua seringkali mengalami masalah kesihatan lain seperti penyakit paru-paru, sakit jantung dan lain-lain organ badan, jika mereka dijangkiti penyakit, kadar kerosakan organ dan kematian adalah lebih tinggi. Maka salah satu langkah meningkatkan ketahanan badan adalah melalui pengambilan vaksin.

Di antara golongan-golongan dewasa yang disyorkan mengambil vaksin adalah:

1. Ibu-ibu yang hamil
2. Individu-individu yang hendak mengembara ataupun melawat negara-negara yang mempunyai masalah endemik jangkitan penyakit.
3. Pekerja-pekerja yang melakukan kerja berisiko untuk dijangkiti oleh penyakit berjangkit.
4. Orang tua/warga emas
5. Pencegahan kepada penyakit-penyakit berjangkit bermusim
6. Pendatang asing
7. Pengendali makanan

Vaksin yang diambil oleh golongan dewasa dapat mengurangkan risiko jangkitan ke atas diri sendiri dan orang lain. Mereka yang menerima vaksin juga boleh menjadi lebih produktif dan mengurangkan perbelanjaan untuk tujuan merawat penyakit. Mereka juga lebih selamat apabila mengembara dan tidak membawa pulang penyakit berjangkit daripada negara luar (contohnya vaksin meningococcal, pneumococcal dan influenza untuk jemaah haji). Ibu-ibu hamil yang sudah menerima vaksin juga mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menjangkitkan bayi di dalam kandungan, manakala vaksin tetanus yang diberikan kepada ibu dapat mencegah penyakit kancing gigi selepas melahirkan anak. Orang dewasa yang tidak mengambil vaksin semasa kanak-kanak masih berpeluang untuk mencegah jangkitan penyakit tersebut.

Pengendali makanan juga diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan dan mengambil vaksin tifoid sebelum mereka dibenarkan mengendalikan makanan. Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit kepada orang ramai.

Ada juga vaksin-vaksin orang dewasa yang merupakan kesinambungan daripada vaksin yang diberikan ke atas bayi dan kanak-kanak, contohnya vaksin tetanus/difteria/pertussis yang perlu diulang setiap 10 tahun. Lain-lain jenis vaksin untuk orang dewasa adalah vaksin influenza, vaksin varicella, vaksin HPV, vaksin Zoster (kayap), vaksin pneumococcal, vaksin meningococcal, vaksin hepatitis A, Vaksin hepatitis B, vaksin Haemophilus influenza, vaksin tifoid, vaksin anjing gila (rabies) dan lain-lain. Jadual imunisasi orang dewasa yang dikepilkan di bawah adalah dikeluarkan oleh CDC Amerika Syarikat. Jadual vaksin sesebuah negara perlu sesuai dengan jenis penyakit berjangkit yang berlaku di negara tersebut.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
26hb Okt 2018
 

 

Sunday, October 21, 2018

MENANGANI GOLONGAN ANTIVAKSIN: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi

Vaksin bukan sahaja penting untuk mencegah jangkitan terhadap individu, tetapi ia juga penting untuk melindungi masyarakat. Bebas daripada penyakit berjangkit boleh dianggap sebagai satu hak yang perlu dipelihara. Hak ini ditentukan oleh berapa peratus ahli masyarakat menerima vaksin (liputan). Jika peratusan ini tidak mencapai had "threshold herb immunity", maka wabak penyakit akan berlaku. Ini ditentukan oleh sikap setiap ahli masyarakat. Enggan menerima vaksin adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal menafikan hak masyarakat untuk bebas daripada penyakit berjangkit. Mudarat yang bakal diterima bukan sahaja kepada pelaku, tetapi juga masyarakat sekitar. Vaksin bukan sahaja mencegah penyakit tetapi juga mengurangkan gejala, menjadikan penyakit lebih ringan dan mengurangkan risiko kecacatan apabila dijangkiti. Kesan ini kebanyakannya tidak akan dirasai dan disaksikan oleh masyarakat.

Berhujah dengan golongan anti-vaksin tidak akan ada kesudahannya. Mereka berhujah dengan bahasa yang berbeza. Golongan antivaksin menggunakan hujah pseudosains ciptaan mereka sendiri ataupun diceduk daripada "pakar pseudosains" mereka, kebanyakannya diperolehi daripada injin pencarian Google. Mereka hanya nampak beberapa titik kecil hitam di atas kertas putih yang luas terbentang.Mereka akan terus kekal dengan pendirian menegak benang yang basah dan akan terus mencari titik-titik hitam itu. 

PENDIRIAN ORANG AWAM

Jadi apakah pendirian yang sepatutnya diambil oleh orang awam tentang vaksin dan golongan antivaksin? Jawapannya adalah anda perlu kembali kepada prinsip asas menimba ilmu iaitu berguru dengan pakar di dalam bidangnya. Sebagaimana anda memilih ulamak untuk belajar ilmu agama, begitulah juga isu vaksin. Lebih-lebih lagi sejarah penciptaan vaksin ini sebenarnya sangat dekat dengan Islam kerana diinspirasikan oleh sarjana Islam terdahulu (Abu Bakr Muhammad Bin Zakariya Ar-Razi, 910 masihi) dan diiktiraf oleh ulamak hari ini. Tidak masuk akal mengaitkan vaksin dengan agenda Yahudi jika sarjana Islam sendiri yang mengilhamkannya. Tambahan pula negara Israel yang majoriti penduduknya berbangsa Yahudi adalah di antara negara yang mempunyai liputan vaksin tertinggi di dunia, maksudnya lebih tinggi peratusan kanak-kanak Yahudi menerima vaksin berbanding dengan kanak-kanak beragama Islam di mana-mana negara di dunia.

Banyak mitos-mitos tentang vaksin telah dijelaskan oleh ahli sains seperti konsep ketepuan imuniti, umuniti semulajadi, kaitannya dengan autisma, thimerosol di dalam vaksin, adjuvan di dalam vaksin, agenda "big pharma" dan banyak lagi. Ahli sains sudah menerangkan salahfaham ini berkali-kali dengan sokongan fakta dan bukti saintifik, tetapi golongan anti-vaksin yang taksub masih tidak berganjak. Ini tidak menghairankan kerana fahaman antivaksin ini adalah sebahagian daripada ideologi yang lebih besar dibawa oleh pelupur naturopati. Sebab itu ianya sukar ditangani kerana ideologi ini umpama aqidah sesuatu kepercayaan. Tidak kurang juga ada yang hanya menjadi pengikut tanpa usul periksa, samada terperangkap di dalam kelompok sesuatu fahaman ataupun diwarisi turun menurun. Ideologi ini juga mempunyai kaitan dengan kepentingan dan perniagaan kerana di penghujung hujah mereka, pasti ada produk yang bakal dipromosikan. Masyarakat perlu mengenali mereka dan menjauhkan diri daripada terpengaruh mereka sama seperti berdepan dengan golongan ajaran sesat di dalam agama.

KESELAMATAN VAKSIN

Keselamatan vaksin (“vaccine safety”) adalah satu isu yang menjadi senjata propaganda paling berkesan golongan antivaksin untuk menarik ahli baru bersama mereka. Sedangkan pada hakikatnya, sebelum vaksin dipasarkan lagi, keselamatan adalah salah satu aspek yang paling utama dan menjadi kriteria wajib untuk diluluskan oleh penguasa ubatan antarabangsa seperti FDA, CDC dan lain-lain. Selepas diluluskan, vaksin dipantau dengan teliti melalui banyak sistem pemantauan seperti VAERS, VSD, PRISM dan lain-lain. Vaksin yang diberikan bukan sahaja dipantau oleh pihak berkuasa tempatan tetapi lapurannya perlu dihantar ke Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Proses penyimpanan, penghantaran dan pemberian vaksin wajib mematuhi piawaian yang sangat ketat. Sebarang kesan sampingan akan dilapurkan dan disiasat dengan terperinci.

Tindakan sewajarnya akan diambil jika kesan sampingan serius didapati mempunyai kaitan terus dengan vaksin. Tidak mungkin vaksin akan disyorkan jika kemudaratannya lebih daripada manfaat. Memang ada kesan sampingan serius yang dilapurkan tetapi pada kadar yang sangat rendah dan kebanyakanya tidak mempunyai kaitan terus dengan vaksin. Kebanyakan kesan sampingan adalah ringan dan tidak mencacatkan apatah lagi menyebabkan kematian. Pihak berkuasa yang memantau keselamatan vaksin tidak akan berdiam diri jika berlaku kesan sampingan yang luar biasa dan memudaratkan orang ramai.

KAEDAH MENANGANI FAHAMAN ANTIVAKSIN

Fahaman antivaksin adalah ancaman kepada semua peringkat masyarakat, persoalannya bagaimanakah untuk menangani pengaruh golongan yang membawa fahaman ini? Sekurang-kurangnya ada TIGA kaedah yang berkesan untuk menangani pengaruh mereka.

Langkah PERTAMA adalah meningkatkan program kesedaran masyarakat tentang pentingnya program pelalian dengan liputan yang lebih luas. Sasaran utama hendaklah kepada pemimpin masyarakat, pemimpin agama, ahli akademik, pelajar dan anggota masyarakat. Kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan juga perlu dipertingkatkan kerana mereka adalah contoh kepada masyarakat. Ada dalam kalangan mereka sendiri yang mempromosikan ideologi antivaksin dan naturopati. Masyarakat pula perlu rajin membaca dan berfikiran lebih progresif.

Langkah KEDUA adalah dengan penguatkuasaan undang-undang supaya golongan anti-vaksin ini dinafikan keistimewaan tertentu seperti polisi "No jab, No pay" yang dilaksanakan oleh kerajaan Australia. Keistimewaan ini boleh merangkumi pelbagai bentuk sesuai dengan konteks negara kita. Meskipun langkah kedua ini kelihatan seperti memangsakan anak-anak yang tidak menerima vaksin, tetapi ia adalah umpama kemudaratan kecil untuk tujuan mencegah mudarat yang jauh lebih besar.

Langkah KETIGA adalah mengujudkan peruntukan undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mendakwa penyebar berita palsu mengenai vaksin contohnya suntikan vaksin HPV menyebabkan keinginan seks yang luar biasa. Dakwaan palsu ini boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada vaksin dan boleh memberi kesan ke atas liputan imunisasi. Kerajaan menghabiskan wang yang besar untuk melaksanakan program imunisasi ini.

Walaupun langkah pertama sedang dilaksanakan, tanpa langkah kedua dan ketiga, usaha untuk menangani mereka adalah lebih sukar kerana hari ini maklumat termasuk ideologi antivaksin sangat mudah disebarkan melalui media sosial. Mereka berperang dengan senjata yang sama dibantu oleh ahli-ahli yang tidak sedikit.

Walaupun kesan negatif keengganan mengambil vaksin belum mencapai skala yang besar di negara kita tetapi ianya boleh berlaku jika tindakan proaktif tidak dimulakan dari sekarang. Kita bimbang akan kembali kepada zaman kegelapan masa lampau apabila wabak penyakit berjangkit meragut nyawa dan mencacatkan beratus ribu umat manusia.

KESIMPULAN

Pengambilan vaksin adalah selamat dan bermanfaat untuk anak-anak anda serta masyarakat di sekeliling. Suntikan vaksin ke atas anak anda bukan sahaja satu kebaikan untuk mereka tetapi adalah juga sumbangan kepada masyarakat dan negara. Golongan antivaksin perlu sedar bahawa anak-anak mereka masih sihat kerana sikap positif ibubapa lain terhadap vaksin sehingga komuniti itu mencapai “herb immunity”. Jika mereka mempengaruhi orang lain dan menyebarkan ideologi mereka, akan tiba masanya status “herb immunity” ini tidak dapat dipertahankan, akibatnya wabak penyakit akan berlaku dan keseluruhan masyarakat menerima musibahnya. Tidak syak lagi fahaman antivaksin adalah satu ancaman kepada masyarakat dan negara.

DDr Rushdan Noor
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Mythbusters Malaysia
22hb Okt 2018

Rujukan
http://www.who.int/topics/vaccines/en/
http://magazine.scientificmalaysian.com/article/vaccines-immunological-revolution/
https://www.vaccines.gov/basics/index.html
https://www.vaccines.gov/basics/safety/index.html