Sunday, October 21, 2018

MENANGANI GOLONGAN ANTIVAKSIN: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi

Vaksin bukan sahaja penting untuk mencegah jangkitan terhadap individu, tetapi ia juga penting untuk melindungi masyarakat. Bebas daripada penyakit berjangkit boleh dianggap sebagai satu hak yang perlu dipelihara. Hak ini ditentukan oleh berapa peratus ahli masyarakat menerima vaksin (liputan). Jika peratusan ini tidak mencapai had "threshold herb immunity", maka wabak penyakit akan berlaku. Ini ditentukan oleh sikap setiap ahli masyarakat. Enggan menerima vaksin adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal menafikan hak masyarakat untuk bebas daripada penyakit berjangkit. Mudarat yang bakal diterima bukan sahaja kepada pelaku, tetapi juga masyarakat sekitar. Vaksin bukan sahaja mencegah penyakit tetapi juga mengurangkan gejala, menjadikan penyakit lebih ringan dan mengurangkan risiko kecacatan apabila dijangkiti. Kesan ini kebanyakannya tidak akan dirasai dan disaksikan oleh masyarakat.

Berhujah dengan golongan anti-vaksin tidak akan ada kesudahannya. Mereka berhujah dengan bahasa yang berbeza. Golongan antivaksin menggunakan hujah pseudosains ciptaan mereka sendiri ataupun diceduk daripada "pakar pseudosains" mereka, kebanyakannya diperolehi daripada injin pencarian Google. Mereka hanya nampak beberapa titik kecil hitam di atas kertas putih yang luas terbentang.Mereka akan terus kekal dengan pendirian menegak benang yang basah dan akan terus mencari titik-titik hitam itu. 

PENDIRIAN ORANG AWAM

Jadi apakah pendirian yang sepatutnya diambil oleh orang awam tentang vaksin dan golongan antivaksin? Jawapannya adalah anda perlu kembali kepada prinsip asas menimba ilmu iaitu berguru dengan pakar di dalam bidangnya. Sebagaimana anda memilih ulamak untuk belajar ilmu agama, begitulah juga isu vaksin. Lebih-lebih lagi sejarah penciptaan vaksin ini sebenarnya sangat dekat dengan Islam kerana diinspirasikan oleh sarjana Islam terdahulu (Abu Bakr Muhammad Bin Zakariya Ar-Razi, 910 masihi) dan diiktiraf oleh ulamak hari ini. Tidak masuk akal mengaitkan vaksin dengan agenda Yahudi jika sarjana Islam sendiri yang mengilhamkannya. Tambahan pula negara Israel yang majoriti penduduknya berbangsa Yahudi adalah di antara negara yang mempunyai liputan vaksin tertinggi di dunia, maksudnya lebih tinggi peratusan kanak-kanak Yahudi menerima vaksin berbanding dengan kanak-kanak beragama Islam di mana-mana negara di dunia.

Banyak mitos-mitos tentang vaksin telah dijelaskan oleh ahli sains seperti konsep ketepuan imuniti, umuniti semulajadi, kaitannya dengan autisma, thimerosol di dalam vaksin, adjuvan di dalam vaksin, agenda "big pharma" dan banyak lagi. Ahli sains sudah menerangkan salahfaham ini berkali-kali dengan sokongan fakta dan bukti saintifik, tetapi golongan anti-vaksin yang taksub masih tidak berganjak. Ini tidak menghairankan kerana fahaman antivaksin ini adalah sebahagian daripada ideologi yang lebih besar dibawa oleh pelupur naturopati. Sebab itu ianya sukar ditangani kerana ideologi ini umpama aqidah sesuatu kepercayaan. Tidak kurang juga ada yang hanya menjadi pengikut tanpa usul periksa, samada terperangkap di dalam kelompok sesuatu fahaman ataupun diwarisi turun menurun. Ideologi ini juga mempunyai kaitan dengan kepentingan dan perniagaan kerana di penghujung hujah mereka, pasti ada produk yang bakal dipromosikan. Masyarakat perlu mengenali mereka dan menjauhkan diri daripada terpengaruh mereka sama seperti berdepan dengan golongan ajaran sesat di dalam agama.

KESELAMATAN VAKSIN

Keselamatan vaksin (“vaccine safety”) adalah satu isu yang menjadi senjata propaganda paling berkesan golongan antivaksin untuk menarik ahli baru bersama mereka. Sedangkan pada hakikatnya, sebelum vaksin dipasarkan lagi, keselamatan adalah salah satu aspek yang paling utama dan menjadi kriteria wajib untuk diluluskan oleh penguasa ubatan antarabangsa seperti FDA, CDC dan lain-lain. Selepas diluluskan, vaksin dipantau dengan teliti melalui banyak sistem pemantauan seperti VAERS, VSD, PRISM dan lain-lain. Vaksin yang diberikan bukan sahaja dipantau oleh pihak berkuasa tempatan tetapi lapurannya perlu dihantar ke Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Proses penyimpanan, penghantaran dan pemberian vaksin wajib mematuhi piawaian yang sangat ketat. Sebarang kesan sampingan akan dilapurkan dan disiasat dengan terperinci.

Tindakan sewajarnya akan diambil jika kesan sampingan serius didapati mempunyai kaitan terus dengan vaksin. Tidak mungkin vaksin akan disyorkan jika kemudaratannya lebih daripada manfaat. Memang ada kesan sampingan serius yang dilapurkan tetapi pada kadar yang sangat rendah dan kebanyakanya tidak mempunyai kaitan terus dengan vaksin. Kebanyakan kesan sampingan adalah ringan dan tidak mencacatkan apatah lagi menyebabkan kematian. Pihak berkuasa yang memantau keselamatan vaksin tidak akan berdiam diri jika berlaku kesan sampingan yang luar biasa dan memudaratkan orang ramai.

KAEDAH MENANGANI FAHAMAN ANTIVAKSIN

Fahaman antivaksin adalah ancaman kepada semua peringkat masyarakat, persoalannya bagaimanakah untuk menangani pengaruh golongan yang membawa fahaman ini? Sekurang-kurangnya ada TIGA kaedah yang berkesan untuk menangani pengaruh mereka.

Langkah PERTAMA adalah meningkatkan program kesedaran masyarakat tentang pentingnya program pelalian dengan liputan yang lebih luas. Sasaran utama hendaklah kepada pemimpin masyarakat, pemimpin agama, ahli akademik, pelajar dan anggota masyarakat. Kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan juga perlu dipertingkatkan kerana mereka adalah contoh kepada masyarakat. Ada dalam kalangan mereka sendiri yang mempromosikan ideologi antivaksin dan naturopati. Masyarakat pula perlu rajin membaca dan berfikiran lebih progresif.

Langkah KEDUA adalah dengan penguatkuasaan undang-undang supaya golongan anti-vaksin ini dinafikan keistimewaan tertentu seperti polisi "No jab, No pay" yang dilaksanakan oleh kerajaan Australia. Keistimewaan ini boleh merangkumi pelbagai bentuk sesuai dengan konteks negara kita. Meskipun langkah kedua ini kelihatan seperti memangsakan anak-anak yang tidak menerima vaksin, tetapi ia adalah umpama kemudaratan kecil untuk tujuan mencegah mudarat yang jauh lebih besar.

Langkah KETIGA adalah mengujudkan peruntukan undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mendakwa penyebar berita palsu mengenai vaksin contohnya suntikan vaksin HPV menyebabkan keinginan seks yang luar biasa. Dakwaan palsu ini boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada vaksin dan boleh memberi kesan ke atas liputan imunisasi. Kerajaan menghabiskan wang yang besar untuk melaksanakan program imunisasi ini.

Walaupun langkah pertama sedang dilaksanakan, tanpa langkah kedua dan ketiga, usaha untuk menangani mereka adalah lebih sukar kerana hari ini maklumat termasuk ideologi antivaksin sangat mudah disebarkan melalui media sosial. Mereka berperang dengan senjata yang sama dibantu oleh ahli-ahli yang tidak sedikit.

Walaupun kesan negatif keengganan mengambil vaksin belum mencapai skala yang besar di negara kita tetapi ianya boleh berlaku jika tindakan proaktif tidak dimulakan dari sekarang. Kita bimbang akan kembali kepada zaman kegelapan masa lampau apabila wabak penyakit berjangkit meragut nyawa dan mencacatkan beratus ribu umat manusia.

KESIMPULAN

Pengambilan vaksin adalah selamat dan bermanfaat untuk anak-anak anda serta masyarakat di sekeliling. Suntikan vaksin ke atas anak anda bukan sahaja satu kebaikan untuk mereka tetapi adalah juga sumbangan kepada masyarakat dan negara. Golongan antivaksin perlu sedar bahawa anak-anak mereka masih sihat kerana sikap positif ibubapa lain terhadap vaksin sehingga komuniti itu mencapai “herb immunity”. Jika mereka mempengaruhi orang lain dan menyebarkan ideologi mereka, akan tiba masanya status “herb immunity” ini tidak dapat dipertahankan, akibatnya wabak penyakit akan berlaku dan keseluruhan masyarakat menerima musibahnya. Tidak syak lagi fahaman antivaksin adalah satu ancaman kepada masyarakat dan negara.

DDr Rushdan Noor
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Mythbusters Malaysia
22hb Okt 2018

Rujukan
http://www.who.int/topics/vaccines/en/
http://magazine.scientificmalaysian.com/article/vaccines-immunological-revolution/
https://www.vaccines.gov/basics/index.html
https://www.vaccines.gov/basics/safety/index.html

No comments:

Post a Comment