Tuesday, October 2, 2018

BENARKAH TUMBUH2AN, BUAH2AN DAN AKAR KAYU BOLEH DIANGGAP UBAT ??


Pada asasnya, tumbuhan, buah2an dan akar kayu dalam bentuk MENTAH, TIDAK MAMPU mengubati penyakit, jika maksud PENYAKIT dan MERAWAT** itu berdasarkan prinsip ilmu perubatan moden. Prinsip ini telah saya terangkan di dalam tulisan saya yang lalu termasuk bagaimana ahli sains membuktikan keberkesanan ubat melalui kajian klinikal. Maka adalah tidak tepat kalau dikatakan penyakit A boleh diubati dengan memakan daun B, buah C ataupun akar kayu D. Ikuti penjelasan saya.

Setiap saat, manusia terdedah kepada agen penyebab penyakit.Tubuh badan manusia yang normal mempunyai keupayaan untuk memperbaiki kerosakan dan memulihkan diri daripada serangan agen luar dan dalam. Kemampuan ini boleh menurun apabila serangan agen itu terlalu kuat ataupun badan menjadi lemah. Akibatnya berlakulah penyakit. Penyakit yang ringan mungkin boleh disembuhkan tanpa ubat tetapi penyakit yang berat memerlukan bantuan tambahan. Tanpa bantuan tambahan, kerosakan yang berlaku akan bertambah serius sehingga akhirnya badan tewas dan mati. Analoginya sama seperti PEPERANGAN, penyakit adalah umpama pasukan tentera yang sedang berundur dan hampir tewas dalam peperangan. Pada saat itu, keupayaan tenaga dan semangat sahaja sudah tidak mencukupi.Untuk meningkatkan kekuatan pasukan dan bangkit melawan, mereka memerlukan senjata tambahan yang lebih kuat dan berkesan.Senjata inilah ubat. Sembuh daripada penyakit adalah umpama menang di dalam peperangan.

Ubat yang dihasilkan oleh ahli sains adalah seperti senjata yang lebih canggih dan berkesan untuk menang di dalam peperangan. Ubat2 ini dihasilkan melalui teknologi makmal yang moden mengektrak (mengeluarkan) sebatian kimia yang khusus untuk dijadikan senjata yang berkesan. Banyak sumber2 ubat moden diperolehi daripada tumbuhan dan akar kayu. Apabila menemui sebatian kimia yang boleh dijadikan ubat, ahli sains akan mengeluarkannya. Ahli sains kemudian akan menentukan dos dan kaedah pemberian. Kemudian mereka akan mengesahkan keselamatan dan keberkesanan melalui ujian praklinikal dan ujian klinikal sehinggalah lulus untuk kegunaan. Hanya senjata yang disahkan berkesan sahaja diluluskan.

Mengapa saya katakan tumbuhan, buah2an dan akar kayu mentah tidak mampu menjadi ubat. Tumbuhan dan akar kayu mentah mengandungi ratusan jenis sebatian kimia yang setiap satunya mempunyai kuantiti yang terlalu kecil untuk setiap unit berat. Sedangkan daripada ratusan jenis sebatian kimia itu, mungkin hanya satu jenis sahaja boleh digunakan sebagai ubat untuk merawat sesatu jenis penyakit. Maka untuk menjadikan bahan mentah ini ubat yang berkesan, seseorang pesakit perlu mengambilnya dalam kuantiti yang tinggi, mungkin berkilo2 sehari. Itupun belum tentu mencukupi. Di samping itu di dalam tumbuhan dan akar kayu ini juga terdapat banyak sebatian2 kimia lain yang mungkin mempunyai kesan bertentangan, mungkin ada juga yang beracun. Maka memberi pesakit makan tumbuhan, buah2an dan akar kayu dalam bentuk mentah samalah dengan membekalkan senjata tumpul yang ketinggalan zaman kepada pejuang2 yang hampir kalah dalam peperangan.

Saya setuju bahawa yang menyembuhkan itu adalah Tuhan tetapi Allah memberi manusia kemampuan untuk berIKHTIAR. Apabila ikhtiar itu betul, maka Allah akan izinkan ikhtiar itu memberi kesan. Allah beri manusia otak dan kebijaksanaan untuk mencari ikhtiar yang betul. Ambil pisau yang tajam dan potong sebiji timun, tentu dengan satu hirisan, timun terputus dengan mudah. Pisau yang tajam dan tenaga adalah ikhtiar manusia, yang memutuskan timun itu adalah ketentuan Tuhan. Inilah perumpamaan ubat dan senjata berkesan di dalam melawan penyakit dan peperangan. Jangan memperjudikan nyawa dengan senjata tumpul jika penyakit itu bukan yang ringan, akibatnya boleh menderita dan akhirnya hilang nyawa dari badan.

MERAWAT ** : Maksud merawat di dalam perubatan moden adalah memulihkan pesakit, mencegah kerosakan organ, memperbaiki kualiti hidup dan memanjangkan hayat, bukan sekadar menurunkan gula darah, kolesterol ataupun tekanan darah.

Dato' Dr Mohd Rushdan Md Noor
2hb Okt 2018

No comments:

Post a Comment