Monday, October 15, 2018

WABAK PENYAKIT MELABEL ("MELABELISM DISEASE")**

Sudah sekian lama negara kita dilanda satu fenomena yang saya namakan Penyakit Melabel. Melabel ini adalah tindakan menuduh seseorang menganuti sesuatu jenis fahaman atau ideologi yang majoritinya berkaitan dengan agama. Mereka yang dilabelkan ini akan digelar dengan nama ideologi itu. Ada yang melabel seseorang dengan gelaran yang baik, tetapi saya ingin memfokuskan tulisan saya kepada fenomena melabel seseorang dengan label yang negatif.
Sebenarnya banyak jenis label yang wujud di negara kita dan saya dapati ada beberapa jenis label yang paling kerap digunakan kebelakangan ini, di antaranya adalah Syiah dan Liberalisme. Kedua-dua label ini mempunyai kaitan dengan agama dan menyentuh isu aqidah.

Saya menulis status ini sebagai salah seorang rakyat biasa yang bukan pakar di dalam bidang agama tetapi seringkali mengesan fenomena melabel ini di dalam tulisan ataupun ceramah. Saya tidak mahu mengulas tentang maksud label-label tersebut kerana tidak layak walaupun saya membaca dan mengikuti ceramah mengenainya. Saya cuma ingin menyatakan bahawa apabila saya membaca makna label-label tersebut, saya dapati ianya ditafsirkan di dalam banyak versi, hatta wujud perbezaan pendapat dalam kalangan agamawan itu sendiri. Mungkin kekeliruan tersebut berlaku disebabkan oleh latarbelakang saya sebagai rakyat biasa, tidak mempunyai asas ilmu agama yang mendalam sama seperti kebanyakan orang awam yang lain. Tafsiran serta makna label-label ini mungkin lebih jelas kepada agamawan, tetapi bagaimanakah kefahaman yang sama ini dapat diturunkan kepada orang awam seperti saya. Bagaimana jika orang awam tersalah faham dan apa pula akibatnya jika pakar itu sendiri melakukan kesilapan?

Saya melihat bahawa media sosial sedang digunakan sebagai satu alat oleh sebahagian agamawan untuk memberi pendapat mengenai ancaman ideologi-ideologi ini. Menulis tentang maksud ideologi itu tidak salah jika yang menulisnya layak, TETAPI MENULIS DENGAN NIAT MENEMPELKAN LABEL TERSEBUT KEPADA PIHAK-PIHAK TERTENTU ADALAH SESUATU YANG SERIUS. Apabila melabel seseorang individu ataupun kelompok, ianya sama seperti menuduh, tuduhan itu boleh jadi benar dan boleh jadi tidak benar. JIKA LABEL ITU TIDAK BENAR, MAKA JATUHLAH HUKUM MEMFITNAH.

Apabila label-label itu mempunyai penafsiran yang berbeza dalam kalangan ilmuan agama, risiko untuk tersilap melabel adalah tinggi. Melabel juga dilakukan berasaskan kepada tingkahlaku luaran seseorang yang juga terdedah kepada kesilapan dan buruk sangka. Pendek kata, suka melabel ini membawa risiko fitnah yang tinggi. Jika guru boleh tersilap melabel, apatah lagi pengikut-pengikutnya. Dengan kuasa memviral yang luar biasa pada media sosial, fitnah sangat mudah disebarkan sekelip mata.

Ada juga yang melabel sesebuah kumpulan ataupun institusi secara pukal sehingga sesiapa sahaja di dalamnya akan dianggap mempunyai ideologi yang sama. Keadaan menjadi bertambah sulit apabila diwujudkan pula label PRO kepada label yang sudah ada contohnya PRO-LIBERALISME, PRO-SYIAH dan lain-lain. Dengan adanya tambahan kepada label-label ini maka bertambahlah kekeliruan dan kesilapan melabel.

Inilah agaknya alasan mengapa ramai agamawan yang lebih matang mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak membincangkan isu-isu ini secara terbuka. Sikap suka melabel lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Apabila guru melabel, pengikut-pengikutnya pun melakukan perkara yang sama. Pada pandangan saya, sikap suka melabel ini adalah jarum suntikan penyakit fitnah yang akan menjadi wabak di dalam masyarakat dan negara kita. Ia tidak menguntungkan sesiapa selain daripada pihak musuh.

Saya bersetuju bahawa kita tidak boleh mengambil ringan tentang ancaman ideologi-ideologi ini, tetapi di dalam menanganinya perlu ada pendekatan yang bijak dan tidak menjadi seperti TIKUS MEMBAIKI LABU. Isu ini perlu dibincangkan dalam kalangan agamawan terpilih dengan diterajui oleh pihak berkuasa agama yang tertinggi di negara kita. Biarlah mereka yang berada pada kedudukan ini sahaja diberikan kelayakan untuk mengeluarkan kenyataan, fatwa dan menguatkuasa peraturan yang berkaitan. Ia juga memerlukan komitmen yang tinggi daripada pemimpin politik. Semua jemaah Islam dan pendakwah-pendakwah perlu bersatu dan berkomunikasi dengan baik di antara satu sama lain. PERPECAHAN ANDA ADALAH BAJA YANG MENYUBURKAN MEREKA. Di samping itu perlu ada mekanisma untuk melakukan pemulihan aqidah yang berkesan. Sikap mencela, menghina, merendah-rendahkan apatah lagi mudah mengkafirkan orang lain bukanlah kaedah dakwah yang berkesan sebaliknya akan menjauhkan lagi golongan sasaran daripada kebenaran.

** "Melabelism disease" tidak ada di dalam kamus perubatan, ini hanya ciptaan penulis.

DDr Rushdan Noor
2hb Julai 2018

No comments:

Post a Comment