Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Semakin ramai kaum wanita mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia yang lebih lanjut berbanding pada masa lampau. Kesuburan seseorang wanita mempunyai kaitan yang rapat dengan usia mereka. Wanita adalah paling subur pada usia 20 an tetapi apabila mencapai usia pertengahan 30 an, kadar kesuburan mereka menurun mendadak. Ini dikaitkan dengan bilangan dan kualiti telur yang semakin kurang. Kajian di daerah Muar, Johor pada tahun 2016 ke atas ibu-ibu yang melahirkan anak mendapati bahawa hampir 15% ibu-ibu yang melahirkan anak berusia 35 tahun dan ke atas. Peratusan ini lebih tinggi di negara-negara maju.
Walaupun kesuburan mereka berkurangan, ramai dalam kalangan mereka boleh hamil dan melahirkan anak seperti mana wanita-wanita lain yang lebih muda. Persoalannya apakah masalah yang dihadapi oleh seorang wanita yang berusia lanjut apabila mereka hamil.
Di dalam Bahasa Inggeris, usia lanjut dikenali sebagai “advancing age”. Persoalannya, di dalam konteks risiko kehamilan, apakah sempadan usia seseorang wanita sebelum mereka dianggap lanjut usia? Terdapat pendapat yang berbeza, ada yang menggunakan usia 35 tahun dan ada yang menggunakan usia 40 tahun bergantung kepada kajian yang dilakukan.
Walaupun kebanyakan wanita-wanita yang berusia lanjut ini akan hamil dan melahirkan anak dengan selamat tetapi jika dilakukan perbandingan dengan wanita yang lebih muda, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi samada ke atas diri mereka sendiri ataupun anak yang dikandung.
Samada seorang wanita itu muda ataupun lanjut usianya, jenis-jenis komplikasi kehamilan yang mereka boleh alami adalah sama walaupun kadarnya lebih tinggi dalam kalangan yang berusia lanjut. Pada asasnya, komplikasi kehamilan boleh dibahagikan kepada komplikasi ke atas ibu dan komplikasi ke atas anak. Komplikasi juga boleh berlaku dalam jangkamasa dekat dan panjang.
Berikut adalah beberapa komplikasi kehamilan yang boleh dialami oleh ibu-ibu yang berusia lanjut pada kadar yang lebih tinggi daripada ibu-ibu yang lebih muda:
1. Kadar keguguran awal (kurang daripada 10 minggu) lebih tinggi dalam kalangan ibu yang berusia lebih lanjut ( 9.9%, jika usia ibu kurang daripada 33 tahun, 11.4% jika usia 33-34 tahun, 13.7% pada usia 35-37 tahun, 19.8% jika usia 38-40 tahun dan 36.6% jika usia lebih daripada 42 tahun). Kajian ini dilakukan ke atas ibu-ibu yang hamil daripada rawatan bantuan reproduktif (ART). Kadar keguguran yang lebih tinggi ini dikaitkan dengan kualiti telur yang lebih rendah, masalah rahim dan juga hormon seseorang wanita.
2. Kadar keguguran selepas 10 minggu kehamilan adalah lebih tinggi iaitu 0.8% oleh ibu-ibu yang berusia kurang daripada 35 tahun, 1.5% untuk ibu berusia 35-39 tahun dan 2.2% untuk ibu yang berusia lebih daripada 40 tahun (FASTER trial).
3. Kadar kehamilan luar rahim lebih tinggi di mana ibu yang berusia 35 tahun ke atas mempunyai risiko sebanyak 4-8 kali lebih tinggi berbanding dengan ibu yang berusia lebih muda.
4. Kelainan kromosom (struktur yang membawa baka) ke atas anak menunjukkan kadar yang meningkat dengan usia seseorang wanita. Kelainan kromosom yang paling kerap adalah “autosomal trisomy” dan dalam kalangan kalainan ini, trisomyi 21 ataupun “Down’s syndrome” adalah paling utama. Kadar mendapat anak “Down’s syndrome”pada usia 35 tahun adalah 1 di dalam 204 kehamilan (0.5%), pada usia 40 tahun 1 di dalam 106 kehamilan (0.9%) dan pada usia 45 tahun 1 di dalam 30 kehamilan (3.3%).
5. Kadar kecacatan bayi selain daripada kelainan kromosom juga didapati lebih tinggi dalam kalangan ibu-ibu yang hamil pada usia lebih daripada 40 tahun. Di antara kecacatan tersebut adalah kecacatan jantung, aesophageal atresia (penyempitan saluran esophagus), hypospadias dan kelainan tengkorak kepala (craniosynostosis).
6. Kadar komplikasi kehamilan apabila seseorang ibu memasuki fasa akhir kehamilan juga lebih tinggi dalam kalangan ibu-ibu yang berusia lanjut. Kadar menghidap masalah perubatan seperti darah tinggi, diabetes, sakit jantung, buah pinggang, penyakit autoimun dan kegemukan lebih tinggi. Akibat daripada factor ini, ibu-ibu hamil yang berusia 35 tahun ke atas mempunyai 2-3 kali lebih tinggi risiko untuk dimasukkan ke dalam wad, menjalani pembedahan caesarean dan juga komplikasi lain yang berkaitan dengan kehamilan, berbanding dengan ibu-ibu yang berusia lebih muda. Selain daripada risiko masalah perubatan di atas, ibu-ibu yang berusia lebih lanjut ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami uri di bawah (placenta praevia) dan lekang uri (“abruptio placentae”). Risiko ini nampak lebih ketara apabila mereka berusia 40 tahun ke atas.
7. Wanita hamil yang berusia lebih lanjut juga mempunyai risiko lebih tinggi melahirkan anak tidak cukup bulan dan berat badan yang rendah berbanding dengan ibu-ibu yang lebih muda.
8. Masalah semasa melahirkan anak juga didapati lebih kerap dialami oleh wanita yang berusia lebih lanjut. Kajian menunjukkan bahawa wanita yang berusia 35 tahun keatas lebih mudah mengalami masalah kesukaran untuk melahirkan anak dan juga pembedahan caesarean. Kadar pembedahan caesarean meningkat dengan umur, pada usia 35-39 tahun kadar caesarean adalah 26% berbanding dengan 31% jika wanita itu berusia 40-45 tahun. Mereka ini juga mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk gagal melahirkan anak secara normal jika mempunyai sejarah pembedahan caesarean berbanding dengan ibu yang lebih muda.
9. Kadar kematian perinatal iaitu kematian anak pada usia 22 minggu kehamilan sehingga usia bayi 4 minggu juga lebih tinggi dalam kalangan ibu yang berusia 35 tahun ke atas berbanding dengan ibu yang lebih muda.
10. Kadar kematian ibu lebih tinggi jika ibu berusia lebih lanjut. Kadar kematian meningkat 2 kali ganda ke atas ibu yang berusia 35-39 tahun berbanding dengan ibu yang berusia 25-29 tahun.
11. Terdapat beberapa akibat buruk dalam jangkamasa panjang yang dialami oleh anak yang dilahirkan oleh ibu yang lebih berusia lanjut. Di antara akibat buruk tersebut adalah kemungkinan menurunkan kelainan kromosom kepada cucu wanita berkenaan melalui anak yang dilahirkan. Ada juga yang percaya bahawa anak lelaki yang dilahirkan oleh ibu yang lebih lanjut usia (lebih daripada 40 tahun) ini lebih kerap mengalami masalah kesuburan disebabkan oleh masalah sperma yang dikenali sebagai asthenozoospermia. Walau bagaimanapun kekuatan bukti ke atas akibat buruk di atas masih lemah dan kita memerlukan kajian lanjut.
Saya ingin mengingatkan pembaca bahawa majoriti ibu yang berusia lanjut ini akan hamil dan melahirkan anak secara normal jika mereka tidak menghidap penyakit-penyakit yang serius. Masalah-masalah kehamilan dan kelahiran anak yang dinyatakan di atas adalah perbandingan dengan ibu-ibu yang lebih muda, jadi ianya bersifat relatif. Maka ini bukan bermaksud ibu-ibu yang berusia lanjut ini ditegah daripada hamil sama sekali tetapi mereka perlu menyedari bahawa mereka lebih berisiko untuk mengalami masalah tersebut jika dibandingkan dengan ibu yang lebih muda. Mereka perlu mempertimbangkan manfaat dan mudarat untuk hamil lagi terutama yang sudah mencapai usia 40 tahun. Sebaik-baiknya mereka perlu mendapatkan nasihat daripada Pakar O&G kerana setiap wanita yang berusia lanjut ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza, contohnya wanita yang berusia 35 tahun tetapi menghidap diabetes mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada wanita yang sama usia tetapi tidak menghidap diabetes.
Jika wanita-wanita ini masih ingin hamil, terdapat beberapa cadangan untuk mengurangkan risiko kehamilan dan kelahiran anak seperti menghadiri klinik prakehamilan, mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengambil asid folik, tidak minum alkohol, tidak merokok, tidak mengalami kegemukan, tidak mengalami masalah perubatan yang serius dan memastikan masalah perubatan dikawal dengan baik sebelum hamil. Apabila mereka hamil, mereka harus mendapatkan pemeriksaan antenatal yang sempurna serta menjalani ujian saringan dan pemeriksaan khusus yang disyorkan oleh pakar O&G.
DDr Rushdan Noor
Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
14 hb Okt 2018
No comments:
Post a Comment