Thursday, October 26, 2017

TUMOUR MARKERS DAN KANSER

Pesakit kanser yang bijak adalah pesakit yang mengambil tahu perkembangan diri mereka dan mengambil initiatif utk mengetahui dgn lebih mendalam tentang penyakit kanser yang mereka hidapi. Saya seringkali bertemu dgn pesakit yg tidak tahu byk perkara tentang penyakit dan rawatan yg telah mereka lalui.

1. Salah satu ciri-ciri kanser adalah kemampuannya untuk membiak dengan cepat. Jika ada bahan-bahan yang dihasilkan oleh sel badan, bahan-bahan ini akan dihasilkan dengan banyak jika sel tersebut bertukar menjadi kanser.

2. Perkataan “tumour” merujuk kepada ketumbuhan dan “marker” bermaksud petunjuk. Tumour markers adalah bahan yang dihasilkan oleh sel-sel kanser pada kuantiti yang lebih banyak daripada sel-sel yang normal. Bahan-bahan ini kebanyakannya adalah protin. Kebelakangan ini ahli sains mendapati bukan sahaja protin yang boleh berperanan sebagai tumour markers tetapi juga reseptor hormon, corak ekpresi gene dan kelainan molekul DNA yang terdapat di dalam sel kanser. Sehingga hari ini terdapat lebih daripada 30 jenis tumour markers.

3. Disebabkan pengetahuan yang masih terhad tentang sifat byk jenis kanser, tidak semua kanser mempunyai tumour markers. Berkemungkinan ianya belum lagi ditemui. Di samping itu belum ada lagi satu tumour markers yang spesifik untuk satu jenis kanser sebaliknya satu tumour markers boleh dihasilkan oleh lebih daripada satu jenis kanser.Terdapat juga pesakit yang mempunyai kanser yang sama tetapi jenis tumour markers yang berbeza. Jenis tumour markers ditentukan apabila ujian dilakukan sebelum rawatan kanser diberikan.

4. Tumour marker boleh diukur di dalam sampel darah, air kencing, cecair badan dan juga tisu kanser yang diambil. Kuantiti tumour marker akan menentukan berapa banyak ataupun besarnya kanser yang wujud di dalam badan seseorang pesakit. Jadi tumour markers boleh digunakan untuk membantu mengesan kanser, memantau rawatan yang diberikan dan mengesan kanser yang berulang. Tumour marker juga kadangkala boleh menjadi petunjuk kpd keganasan dan juga tahap risiko sesuatu kanser.Tumour markers selalunya diukur sebelum rawatan dan semasa rawatan susulan sehinggalah pesakit sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun tumour markers TIDAK boleh mengesahkan penyakit kanser. Penyakit kanser disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh Pakar Patologi.

5. Walaupun tumour marker adalah salah satu ujian yang penting untuk dijalankan, ianya belum mencukupi untuk memantau pesakit secara bersendirian. Pesakit perlu diperiksa dan menjalani ujian-ujian lain termasuk ujian pengimejan seperti Ultrasound, CT scan, MRI ataupun PET scan.

6. Setiap pesakit perlu mengetahui adakah kanser mereka mempunyai tumour markers dan jika terdapat tumour markers maka mereka perlu mengetahui nilai kandungannya semasa rawatan susulan. Perlu diingat bahawa tumour markers ini juga dihasilkan oleh sel-sel yang normal dan penyakit-penyakit lain yang bukan kanser jadi jangan panik apabila kandungannya tinggi. Ikut nasihat pakar kanser jika pesakit memerlukan ujian-ujian lanjut.

7. Tumour markers lebih bermakna jika ianya dinilai dgn melihat trend yakni bacaan yg diperolehi daripada beberapa kali ujian yg dijalankan. Satu bacaan sahaja kurang membantu.

8. Berikut adalah sebahagian daripada tumour markers dan juga kanser-kanser yang menghasilkannya:
CA125 (Kanser ovari)
CA19-9 (Kanser pancreas, kanser pundi hempedu, kanser perut, sebahagian kanser ovari)
CEA (Kanser usus besar)
AFP (Kanser Hati, Kanser ovari jenis germ cell, kanser kelenjar testis)
Beta HCG (Koriokarsinoma dan kanser sel germa)
Thyroglobulin (Kanser Thyroid)
HE4 (Kanser ovari)
Lactate dehydrogenase ( limfoma, leukemia, melanoma dll)
Prostate-specific antigen (PCA) (Kanser Prostat)
BRCA 1 dan 2 gene mutation (Kanser payudara, kanser ovari)
Neuron-specific enolase (Kanser paru-paru, neuroblastoma)
CA15-3/CA27.29 (Kanser Payudara)
Beta-2-microglobulin (Multiple myeloma, chronic lymphocytic leukemia, limfoma)
Chromosomes 3,7,17, 9p21 (Kanser pundi kencing)
Oetrogen/Progesterone receptor (Kanser Payudara)
HER2/neu gene amplification (kanser payudara, kanser perut)

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Thursday, October 19, 2017

KANSER DAN RAWATAN RADIOTERAPI

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi




Kaedah merawat kanser di bahagikan kepada dua jenis utama iaitu rawatan sistemik dan rawatan setempat. Rawatan sistemik bermaksud memberi ubat antikanser yang merawat seluruh badan contohnya rawatan kemoterapi, terapi hormon dan terapi target. Rawatan setempat pula adalah rawatan yang tertumpu kepada tempat tertentu contohnya rawatan pembedahan membuang organ yang terlibat dan rawatan radioterapi. Rencana ini adalah maklumat ringkas mengenai radioterapi secara umum.

  1. Rawatan radioterapi adalah kaedah rawatan kanser yang kerap diberikan oleh Pakar Kanser. Radio merujuk kepada radiasi dan terapi pula adalah rawatan.
  2. Pakar yang merawat kanser dengan rawatan radioterapi dikenali sebagai Radiation Oncologist.
  3. Hampir 40% daripada kanser yang dihidapi oleh manusia perlu dirawat dengan radioterapi.Kanser yang berkesan dirawat dengan radioterapi dikatakan “radiosensitive”, manakala kanser yang kebal radioterapi dikatakan “radioresistant”.
  4. Mesin radioterapi mengeluarkan radiasi yang terkawal dan mensasarkan lokasi kanser. Radiasi ini akan merosakkan DNA sel kanser sehingga sel-sel kanser ini mati. Sel-sel normal yang berdekatan boleh menerima radiasi ini tetapi mampu untuk pulih dengan sendiri.
  5. Terdapat dua jenis utama radioterapi iaitu (a) Radioterapi dari luar (”external radiotherapy”/EBRT) dan (b) Radioterapi dari dalam (”Internal radioterapy”/BRT).Radioterapi dari luar menggunakan mesin besar yang dikenali sebagai ”linear accelerator” seperti mesin CT scan. Mesin linear accelerator mengeluarkan sinar-X berkuasa tinggi yang keluar daripada mesin menuju kepada sasaran kanser. Sinar-X ini sama dengan apa yang digunakan semasa melakukan ujian X-Ray tetapi di dalam rawatan radioterapi, kuasanya lebih tinggi. Manakala radioterapi daripada dalam pula menggunakan radioisotope yang mengeluarkan sinar gamma melalui alat yang dimasukkan ke dalam rongga tubuh pesakit.
  6. Kadangkala rawatan radioterapi diberikan bersama dengan kemoterapi dan ini dikenali sebagai ”chemoradiation”. Kemoterapi yang diberikan dapat meningkatkan keberkesanan radioterapi (”radiopotentiator”).
  7. Terdapat 3 fungsi utama radioterapi iaitu (a) Untuk menyembuhkan penyakit kanser, (b) Meningkatkan keberkesanan rawatan utama kanser dan (c) Untuk mengurangkan gejala akibat kanser yang merebak ke bahagian lain tubuh badan.
  8. Untuk tujuan menyembuhkan kanser menggunakan radioterapi, kanser itu hendaklah terletak di satu tempat dan belum merebak ke tempat-tempat lain yang jauh. Contohnya kanser pangkal rahim peringkat 2B-4A. Untuk tujuan meningkatkan keberkesanan rawatan utama, radioterapi diberikan selepas pembedahan dan kaedah ini dinamakan radioterapi adjuvan. Ada juga radioterapi diberikan sebelum rawatan utama bertujuan untuk mengecilkan kanser, kaedah ini dikenali sebagai radioterapi neoadjuvan.
  9. Apabila kanser sudah tidak dapat disembuhkan lagi, kadangkala radioterapi digunakan untuk merawat gejala akibat kanser yang merebak. Contohnya kanser pangkal rahim peringkat 4B yang sudah merebak ke tulang belakang dan pesakit itu mengalami sakit belakang. Salah satu kaedah untuk mengurangkan sakit adalah dengan memberi rawatan radioterapi kepada kanser di tulang belakang, kaedah seumpama ini dikenali sebagai radioterapi paliatif. Di dalam situasi begini, kanser sudah tidak dapat dipulihkan tetapi kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki.
  10. Pesakit yang akan dirawat dengan radioterapi perlu terlebih dahulu menjalani pemeriksaan dan perancangan bagi tujuan menentukan sasaran yang hendak dirawat dan juga dos radioterapi yang hendak diberikan. Setiap kali rawatan radioterapi dari luar (EBRT) dikenali sebagai satu fraksi (”fraction”). Setiap fraksi mengambil masa di antara 15-20 minit. Setiap kali rawatan radioterapi daripada dalam (BRT) dikenali sebagai insersi (”insertion”). Selalunya EBRT diberikan dahulu sebelum BRT. Contohnya rawatan radioterapi untuk kanser pangkal rahim diberikan 25 fraksi EBRT (setiap hari kecuali hari sabtu dan ahad) dan kemudian diikuti dengan 2-3 kali insersi (1-2 kali seminggu) BRT. Tidak seperti rawatan kemoterapi, pesakit yang dirawat dengan radioterapi tidak perlu masuk ke dalam wad, mereka boleh datang dan balik pada hari yang sama untuk setiap fraksi rawatan.
  11. Setiap pesakit kanser bertindakbalas kepada radioterapi secara berbeza-beza, ramai yang dapat melaluinya tanpa masalah yang besar. Disebabkan rawatan radioterapi adalah rawatan setempat, maka hampir semua kesan sampingannya juga bersifat setempat. Contohnya jika radioterapi diberikan pada bahagian ari-ari dan kemaluan, ia boleh memberi kesan kemerahan pada kulit di ari-ari, dinding pundi kencing, dinding rektum dan juga usus yang berdekatan. Kesan sampingan ke atas organ2 ini kebanyakannya bersifat sementara dan ringan kerana sel-sel normal dapat sembuh dengan sendiri dan pakar kanser akan memastikan agar radiasi yang terkena organ2 ini dapat diminimakan. Rawatan radioterapi tidak menyebabkan keguguran rambut di kepala melainkan jika rawatan diberikan kepada bahagian tersebut. Kadangkala pesakit juga ada mengalami keletihan dan kurang selera makan. Dengan kepakaran dan perancangan yang teliti oleh Pakar Kanser, kesan sampingan akan dapat diminimakan dan rawatan ke atas kanser dapat dimaksimakan.
  12. Teknologi rawatan radioterapi berkembang dengan pesat dan pelbagai kaedah baru telah diperkenalkan untuk tujuan memaksimakan keberkesanan dan meminimakan kesan sampingan. Di antara kaedah2 lain radioterapi adalah IMRT, intraoperative radiotherapy, insterstitial radiotherapy, radioisotope therapy dan lain-lain.

Kita akan mempelajari mengenai kesan-kesan sampingan dan kaedah-kaedah menanganinya di dalam siri-siri yang akan datang.








TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL SEBAHAGIAN ATAUPUN KESELURUHAN RENCANA INI UNTUK APA SAHAJA TUJUAN TANPA KEBENARAN PENULIS

Thursday, October 12, 2017

KANSER DAN PEMBEDAHAN




Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

Salah satu kaedah rawatan kanser adalah pembedahan. Tidak semua kanser dapat dirawat dengan kaedah pembedahan. Terdapat pelbagai jenis pembedahan kanser dan ada di antaranya sangat kompleks dan memerlukan kemahiran tinggi. Kemahiran melakukan pembedahan kanser memerlukan latihan yang khusus dan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan oleh pakar biasa kerana pembedahan yang tidak sempurna boleh menyebabkan pesakit menderita. Membedah keluar kanser tidak sama dengan pembedahan ketulan yang bukan kanser kerana jika terdapat kanser yang tertinggal, ia akan berulang. Sebenarnya terdapat banyak sebab mengapa pembedahan dilakukan ke atas pesakit kanser. Disebabkan tajuk pembedahan ini sangat panjang, maka saya hanya akan menulis secara ringkas mengapa pembedahan dilakukan ke atas pesakit kanser.
 
1.PEMBEDAHAN UNTUK MENGESAHKAN KANSER (“SURGERY FOR DIAGNOSIS”). Salah satu matlamat melakukan pembedahan ke atas kanser adalah untuk tujuan pengesahan di mana kanser yang dikeluarkan itu akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan patologi. Jika pembedahan itu hanya mengeluarkan cebisan ataupu sebahagian sahaja tisu kanser, ianya dinamakan biopsi. Ada juga pembedahan yang mengeluarkan keseluruhan kanser di mana pesakit ini mendapat manfaat pengesahan dan rawatan sekali gus tetapi tidak semua jenis kanser boleh ditangani seperti ini
    
    2.MENENTUKAN PERINGKAT KANSER. (“STAGING SURGERY”) Pembedahan juga penting untuk tujuan menentukan peringkat kanser. Di samping organ utama yang terlibat, pakar bedah akan mengeluarkan beberapa bahagian tisu badan yang lain seperti biji kelenjar, omentum, selaput peritoneum dan lain-lain yang perlu untuk tujuan menentukan sejauh mana kanser itu telah merebak. Melalui maklumat ini, pakar kanser akan dapat menentukan kaedah rawatan lanjut yang perlu diberikan.
    
    3.MENYEMBUHKAN KANSER (“CURATIVE SURGERY”). Ada kanser yang boleh disembuhkan dengan hanya menjalani pembedahan. Contohnya kanser pangkal Rahim yang masih berada di peringkat 1 boleh dirawat dengan hanya melakukan pembedahan. Ramai pesakit yang sembuh sepenuhnya melalui rawatan pembedahan.
    
    4.MENGECILKAN ATAUPUN MENGURANGKAN KANSER (“DEBULKING SURGERY”). Kadangkala pembedahan yang dilakukan bukan bertujuan untuk mengeluarkan kesemua kanser yang terdapat di dalam badan seseorang tetapi untuk mengecilkan saiz ataupun mengurangkan isipadu kanser. Pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan seumpama ini adalah pesakit yang menghidap kanser yang agak lewat dan adalah mustahil untuk mengeluarkan kesemua kanser mereka. Apabila kanser telah dikurangkan, pesakit ini akan dirawat dengan rawatan kemoterapi ataupun radioterapi. Dengan kaedah ini, rawatan kedua ini akan lebih berkesan.
    
    5.PEMBEDAHAN PALIATIF (“PALLIATIVE SURGERY”). Pembedahan paliatif adalah bertujuan mengeluarkan kanser bagi tujuan melegakan gejala semata-mata. Pesakit yang menjalani pembedahan seumpama ini sudah berada pada peringkat akhir dan tidak ada kaedah rawatan yang dapat menyembuhkan kanser yang dihidapi olehnya. Contohnya kanser ovari yang berada pada peringkat 4 dan pada waktu yang sama pesakit mengalami penyumbatan usus, pakar bedah akan membedah usus dan memulihkan penyumbatan bagi  mengurangkan gejala seperti kembung dan sakit perut.
 
6.PEMBEDAHAN SOKONGAN (“SUPPORTIVE SURGERY”). Terdapat pembedahan yang dilakukan bagi tujuan menyokong pesakit menerima rawatan contohnya pembedahan memasukkan kemopot di bawah kulit bagi tujuan untuk dimasukkan ubat kemoterapi ataupun pemindahan darah. Ada juga yang memasukkan saluran tiub terus ke dalam perut untuk tujuan memberi makan dan minuman.
    
    7.PEMBEDAHAN REKONSTRUKTIF (“RECONSTRUCTIVE SURGERY”). Pembedahan rekonstruktif adalah pembedahan memulihkan imej pesakit akibat kanser. Contohnya pesakit kanser payudara yang telah menjalani pembedahan mastektomi ataupun membuang payudara. Pakar bedah boleh melakukan pembedahan rekonstruksi bagi mengwujudkan payudara baru.
    
    8.PEMBEDAHAN MENCEGAH KANSER (“PROPHYLACTIC SURGERY”). Pakar kanser membedah keluar organ yang normal untuk tujuan mencegah kanser terjadi ke atas organ tersebut. Contohnya pembedahan mengeluarkan kedua-dua kilang ovary ke atas pesakit kanser Rahim. Walaupun kanser belum merebak ke kelenjar ovary, kedua2 organ ini dikeluarkan kerana risiko untuk mendapat kanser ovary kemudian hari adalah tinggi.

Tujuan pembedahan yang dilakukan ke atas pesakit kanser berbeza di antara satu sama lain, terdapat juga pesakit kanser yang tujuannya lebih daripada satu dan adakalanya tujuan-tujuan tersebut dapat dipenuhi melalui satu pembedahan. Di samping itu tidak semua penyakit kanser dapat dirawat dengan kaedah pembedahan, pada umumnya jika tujuan pembedahan adalah untuk menyembuhkan kanser, kanser yang hendak dibedah itu hendaklah berada pada peringkat awal. Pakar kanser akan menentukan apakah kaedah rawatan yang terbaik ke atas pesakit kanser. Kepada pesakit kanser dan ahli keluarga dapatkan maklumat lengkap mengenai pembedahan dan mengapa ianya perlu dilakukan. Ramai pesakit yang kurang faham dan kadangkala meletakkan harapan yang tinggi jika pembedahan itu tergolong di dalam pembedahan paliatif. Dapatkan juga maklumat mengenai apakah risiko pembedahan dan kaedah penjagaan diri sebelum dan selepas menjalani pembedahan.