Wednesday, October 4, 2017

MODUS OPERANDI SEORANG SCAMMER






Scam bermaksud penipuan yang berbentuk skim ataupun perniagaan ataupun perkhidmatan yang membawa keuntungan cepat. Ada juga yang menipu dengan menggunakan cinta, memancing mangsa dengan perasaan dan kemudian mengaut keuntungan sebelum cabut lari. Ada juga yang menunggang agama untuk menipu, menggunakan label2 yg pada kulit luarnya nampak islamik tetapi bukan pada isinya.. Modus operandinya banyak persamaan dan objektifnya sama. Orang yang melakukan scam dikenali sebagai scammer. Scammer adalah kerjaya yang lumayan tetapi mempunyai risiko tinggi. Mereka boleh jadi kaya sekelip mata tetapi boleh masuk lokap keesokkan harinya. Ramai yang memilih kerjaya sebagai scammer walaupun mungkin ada yang tidak perasan mereka itu salah seorang scammer. Scammer ada guru mereka dan untuk menjadi scammer tidak perlu ada kelulusan tinggi. Scammer yang cemerlang mampu menipu mangsa mereka tanpa mangsa sedari, pendek kata scammer pun ada yang kelas pertama, kedua dan ketiga.

Saya terbaca rencana mengenai psikologi scam iaitu bagaimana seorang scammer dilatih ataupun mempelajari selok beluk menjadi seorang scammer yang berjaya. Berikut adalah beberapa modus operandi yang klasik seorang scammer cemerlang, kelas pertama:

  1. TIMBAL BALIK ataupun RECIPROCATION. Scammer memberi sesuatu “pemberian percuma” di dalam apa sahaja bentuk supaya menarik perhatian anda dan apabila anda menerima pemberian percuma itu anda akan mula terikat ataupun terhutang budi.

  1. KOMITMEN DAN KONSISTENSI. Apabila anda sudah masuk ke dalam perangkap pertama, anda akan ditawarkan kepada satu bentuk perjanjian yang mengikat anda untuk terus bersama scammer. Kali ini anda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan. Pada ketika ini anda sukar untuk menolak.

  1. BUKTI SOSIAL DAN TESTIMONI. Apabila ramai yang terperangkap, walaupun di dalam peringkat pertama, berita akan tersebar luas dan apabila scammer dapat menunjukkan betapa ramainya orang yang menyertainya, masing2 akan mengganggap ini adalah perkara benar. Dakwaan2 yang baik sahaja akan disebarkan di dalam bentuk testimoni. Scammer akan juga menggunakan testimoni dirinya sendiri.

  1. DIKAGUMI DAN DISUKAI. Seorang scammer akan menonjolkan dirinya sebagai seorang yang ada kelulusan dan gelaran untuk meyakinkan orang lain. Ia akan berlakun sebagai seorang yang menarik, memahami orang lain, perhatin tentang orang susah dan sangat mudah didekati. Ini akan menarik lebih ramai orang mengikut kehendaknya. Scammer akan muncul di dalam banyak program2 dan aktiviti yang melibatkan orang ramai.

  1. MENDESAK. Scammer pandai mengwujudkan perasaan terdesak dengan tawaran2 yang kononnya jarang dan murah untuk jangkamasa yg singkat. Pada ketika ini mangsa seolah2 tidak ada pilihan melainkan bersetuju dan menyerahkan wang kepada scammer. Psikologi scammer ini juga seringkali menyebabkan mangsa yang tidak berwang sanggup membuat pinjaman dan berhutang kerana kuatnya desakan.

  1. EKPLOITASI MAKLUMAT PERIBADI. Apabila mangsa sudah terperangkap, scammer sudah mempunyai banyak maklumat peribadi mangsa termasuk alamat, email, usia, pekerjaan, keluarga dan lain-lain. Maklumat ini digunakan untuk tujuan mendapatkan keuntungan daripada orang lain yang terdekat dengan anda. Scammer mungkin akan mengetahui pergerakan anda dan pada ketika ini mereka boleh mempengaruhi keluarga anda ataupun sanak saudara anda untuk masuk ke dalam perangkap mereka ketika anda tidak bersama mereka. Contohnya scammer akan menghubungi email ahli keluarga mangsa yang ke luar negara meminta wang kononnya mangsa sedang sakit dan dirawat di hospital. 
Kesimpulannya terlalu banyak scam dan scammer yang berkeliaran di sekeliling kita di dalam seribu satu bentuk dan jika kita leka dan tidak berhati2, kita akan masuk ke dalam perangkap mereka. Ramai mangsa yang tertipu bukan disebabkan oleh kelemahan mangsa tetapi adalah disebabkan oleh kecekapan scammer. Jadi selagi ada manusia, selagi itulah ada scam dan scammer. Untuk mengelak daripada menjadi mangsa scammer, kenalpasti seorang scammer,   tahu modus operandi mereka, tahu ciri2 sebuah scam dan menjadi orang yang lebih bijak daripada mereka.  

Rushdan Noor

No comments:

Post a Comment