Thursday, October 12, 2017

KANSER DAN PEMBEDAHAN




Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

Salah satu kaedah rawatan kanser adalah pembedahan. Tidak semua kanser dapat dirawat dengan kaedah pembedahan. Terdapat pelbagai jenis pembedahan kanser dan ada di antaranya sangat kompleks dan memerlukan kemahiran tinggi. Kemahiran melakukan pembedahan kanser memerlukan latihan yang khusus dan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan oleh pakar biasa kerana pembedahan yang tidak sempurna boleh menyebabkan pesakit menderita. Membedah keluar kanser tidak sama dengan pembedahan ketulan yang bukan kanser kerana jika terdapat kanser yang tertinggal, ia akan berulang. Sebenarnya terdapat banyak sebab mengapa pembedahan dilakukan ke atas pesakit kanser. Disebabkan tajuk pembedahan ini sangat panjang, maka saya hanya akan menulis secara ringkas mengapa pembedahan dilakukan ke atas pesakit kanser.
 
1.PEMBEDAHAN UNTUK MENGESAHKAN KANSER (“SURGERY FOR DIAGNOSIS”). Salah satu matlamat melakukan pembedahan ke atas kanser adalah untuk tujuan pengesahan di mana kanser yang dikeluarkan itu akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan patologi. Jika pembedahan itu hanya mengeluarkan cebisan ataupu sebahagian sahaja tisu kanser, ianya dinamakan biopsi. Ada juga pembedahan yang mengeluarkan keseluruhan kanser di mana pesakit ini mendapat manfaat pengesahan dan rawatan sekali gus tetapi tidak semua jenis kanser boleh ditangani seperti ini
    
    2.MENENTUKAN PERINGKAT KANSER. (“STAGING SURGERY”) Pembedahan juga penting untuk tujuan menentukan peringkat kanser. Di samping organ utama yang terlibat, pakar bedah akan mengeluarkan beberapa bahagian tisu badan yang lain seperti biji kelenjar, omentum, selaput peritoneum dan lain-lain yang perlu untuk tujuan menentukan sejauh mana kanser itu telah merebak. Melalui maklumat ini, pakar kanser akan dapat menentukan kaedah rawatan lanjut yang perlu diberikan.
    
    3.MENYEMBUHKAN KANSER (“CURATIVE SURGERY”). Ada kanser yang boleh disembuhkan dengan hanya menjalani pembedahan. Contohnya kanser pangkal Rahim yang masih berada di peringkat 1 boleh dirawat dengan hanya melakukan pembedahan. Ramai pesakit yang sembuh sepenuhnya melalui rawatan pembedahan.
    
    4.MENGECILKAN ATAUPUN MENGURANGKAN KANSER (“DEBULKING SURGERY”). Kadangkala pembedahan yang dilakukan bukan bertujuan untuk mengeluarkan kesemua kanser yang terdapat di dalam badan seseorang tetapi untuk mengecilkan saiz ataupun mengurangkan isipadu kanser. Pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan seumpama ini adalah pesakit yang menghidap kanser yang agak lewat dan adalah mustahil untuk mengeluarkan kesemua kanser mereka. Apabila kanser telah dikurangkan, pesakit ini akan dirawat dengan rawatan kemoterapi ataupun radioterapi. Dengan kaedah ini, rawatan kedua ini akan lebih berkesan.
    
    5.PEMBEDAHAN PALIATIF (“PALLIATIVE SURGERY”). Pembedahan paliatif adalah bertujuan mengeluarkan kanser bagi tujuan melegakan gejala semata-mata. Pesakit yang menjalani pembedahan seumpama ini sudah berada pada peringkat akhir dan tidak ada kaedah rawatan yang dapat menyembuhkan kanser yang dihidapi olehnya. Contohnya kanser ovari yang berada pada peringkat 4 dan pada waktu yang sama pesakit mengalami penyumbatan usus, pakar bedah akan membedah usus dan memulihkan penyumbatan bagi  mengurangkan gejala seperti kembung dan sakit perut.
 
6.PEMBEDAHAN SOKONGAN (“SUPPORTIVE SURGERY”). Terdapat pembedahan yang dilakukan bagi tujuan menyokong pesakit menerima rawatan contohnya pembedahan memasukkan kemopot di bawah kulit bagi tujuan untuk dimasukkan ubat kemoterapi ataupun pemindahan darah. Ada juga yang memasukkan saluran tiub terus ke dalam perut untuk tujuan memberi makan dan minuman.
    
    7.PEMBEDAHAN REKONSTRUKTIF (“RECONSTRUCTIVE SURGERY”). Pembedahan rekonstruktif adalah pembedahan memulihkan imej pesakit akibat kanser. Contohnya pesakit kanser payudara yang telah menjalani pembedahan mastektomi ataupun membuang payudara. Pakar bedah boleh melakukan pembedahan rekonstruksi bagi mengwujudkan payudara baru.
    
    8.PEMBEDAHAN MENCEGAH KANSER (“PROPHYLACTIC SURGERY”). Pakar kanser membedah keluar organ yang normal untuk tujuan mencegah kanser terjadi ke atas organ tersebut. Contohnya pembedahan mengeluarkan kedua-dua kilang ovary ke atas pesakit kanser Rahim. Walaupun kanser belum merebak ke kelenjar ovary, kedua2 organ ini dikeluarkan kerana risiko untuk mendapat kanser ovary kemudian hari adalah tinggi.

Tujuan pembedahan yang dilakukan ke atas pesakit kanser berbeza di antara satu sama lain, terdapat juga pesakit kanser yang tujuannya lebih daripada satu dan adakalanya tujuan-tujuan tersebut dapat dipenuhi melalui satu pembedahan. Di samping itu tidak semua penyakit kanser dapat dirawat dengan kaedah pembedahan, pada umumnya jika tujuan pembedahan adalah untuk menyembuhkan kanser, kanser yang hendak dibedah itu hendaklah berada pada peringkat awal. Pakar kanser akan menentukan apakah kaedah rawatan yang terbaik ke atas pesakit kanser. Kepada pesakit kanser dan ahli keluarga dapatkan maklumat lengkap mengenai pembedahan dan mengapa ianya perlu dilakukan. Ramai pesakit yang kurang faham dan kadangkala meletakkan harapan yang tinggi jika pembedahan itu tergolong di dalam pembedahan paliatif. Dapatkan juga maklumat mengenai apakah risiko pembedahan dan kaedah penjagaan diri sebelum dan selepas menjalani pembedahan. 

No comments:

Post a Comment