Wednesday, October 11, 2017

MENGAPA KANSER SUKAR DIRAWAT



Penyakit kanser adalah penyakit kronik yang terus menghantui umat manusia di seluruh dunia. Selepas berbilion-bilion ringgit dihabiskan untuk penyelidikan kanser kita masih belum menemui penyelesaian yang muktamat terhadap penyakit yang menyerang lebih daripada 14 juta orang manusia seluruh dunia setiap tahun.

Kanser terjadi apabila sel yang normal mengalami mutasi yang berlaku secara bertalu-talu akibat daripada pendedahan kepada karsinogen (bahan penyebab kanser). Di dalam keadaan normal, sel-sel dapat mengesan mutasi ataupun kerosakan DNA, kemudian sel-sel ini dapat memperbaiki kerosakan ataupun sel-sel ini mati. Walau bagaimanapun terdapat mutasi ataupun kerosakan DNA yang terlepas daripada di kesan sehingga sel bertukar menjadi sel kanser dan merebak ke lain-lain organ badan. Kanser yang sudah merebak ke organ-organ badan yang lain hampir tidak boleh disembuhkan.

Kanser adalah penyakit yang sangat kompleks dan bukan hanya ada satu jenis kanser. Terdapat lebih daripada 100 jenis kanser yang dihidapi oleh manusia dan tidak ada satu ubat ajaib yang dapat menyembuhkan semua kanser sekali gus. Rawatan kanser konvensional melibatkan satu ataupun gabungan daripada rawatan pembedahan, kemoterapi, radioterapi,  terapi hormone, targeted therapy dan terapi imun. Rawatan-rawatan ini berkesan ke atas kebanyakan pesakit kanser sehingga pesakit kanser bebas daripada kanser. Tetapi terdapat ramai juga pesakit yang tidak dapat dipulihkan sepenuhnya. 

Bagaimana kita dapat mencari kaedah rawatan yang paling berkesan untuk merawat semua jenis kanser. Kita mulakan dengan memahami beberapa masalah sukar yang perlu diatasi oleh Ahli sains. Pertamanya kita memerlukan kaedah yang lebih baik untuk mengkaji kanser. Kebanyakan rawatan kanser wujud melalui ujian makmal yang menggunakan lapisan sel-sel kanser yang dibiak di luar badan manusia. Lapisan sel-sel kanser ini memberi banyak maklumat mengenai genetik dan juga ciri-ciri biologinya. Walau bagaimanapun lapisan sel-sel kanser di dalam makmal ini tidak sekompleks sel-sel kanser di dalam tubuh badan manusia. Dengan sebab tersebut, banyak ubat-ubat antikanser yang didapati berkesan di dalam ujian ke atas lapisan sel di dalam makmal ini didapati tidak berkesan apabila diberikan ke dalam tubuh badan manusia. Maksudnya walaupun ujian antikanser tersebut berjaya di peringkat praklinikal, tetapi ianya gagal apabila diuji di peringkat klinikal ke atas tubuh badan pesakit sebenar. Salah satu sifat yang kompleks sel-sel kanser adalah ia boleh wujud dalam banyak jenis populasi yang berbeza walaupun daripada jenis kanser yang sama. Lama kelamaan perbezaan ini semakin ketara di sebabkan berlakunya mutasi genetic yang berulang-ulang sehingga mengwujudkan apa yang dikenali sebagai subklon sel kanser. Contohnya kanser otak yang ganas dikenali sebagai Glioblastoma, seorang pesakit yang menghidap kanser ini boleh mempunyai 6 subklon sel kanser yang berbeza. Fenomena ini dikenali sebagai “clonal heterogeneity” dan ini menyebabkan rawatan menjadi sangat sukar kerana ubat antikanser yang berkesan merawat satu subklon mungkin tidak dapat merawat subklon yang lain.


 Lapisan sel-sel kanser ("cancer cell line") yang dibiak di dalam makmal dan menjalani ujian. 

Cabaran kedua yang dihadapi oleh Ahli Sains adalah hakikat bahawa kanser mempunyai ekosistem yang dinamik dan berkait-rapat di antara satu sama lain di mana sel-sel kanser ini dapat berkomunikasi dengan sel-sel kanser yang lain termasuk juga dengan sel-sel normal yang berdekatan. Sel kanser berupaya untuk meransang sel normal untuk membentuk saluran darah baru yang memberi nutrisi kepada sel-sel kanser serta mengeluarkan bahan kumuh. Ia juga mampu untuk berinteraksi dengan system imun dan merencat fungsinya kepada tubuh badan pesakit. Sistem imun yang direncat ini tidak dapat mengenal sel-sel kanser sebagai bahan asing untuk dihapuskan. Jika kita dapat memutuskan komunikasi ini, kita mungkin dapat menghapuskan sel-sel kanser sepenuhnya. Tambahan pula, terdapat bukti yang kukuh bahawa kita perlu untuk mencari jalan bagaimana dapat menghapuskan sel-sel stem kanser. Sel-sel stem kanser adalah sel-sel asal yang merupakan generasi pertama sel sebelum ianya menjalani proses differensiasi (pembezaan). Sel-sel stem kanser ini memiliki ciri-ciri yang menyebabkan mereka kebal kepada kemoterapi dan radioterapi. Dari segi teori, walaupun kanser sudah dapat dihapuskan sehingga tidak dapat dikesan sakibakinya, jika tinggal satu sahaja sel-sel stem yang terlepas, sel-sel stem kanser ini akan mula membiak kembali untuk menjadi kanser yang baru. Mencari jalan bagaimana memusnahkan sel-sel stem kanser ini dengan berkesan tentu dapat mencegah kanser daripada kembali menyerang pesakit.

Jikapun kita dapat mengatasi masalah-masalah yang dinyatakan di atas, kita masih menghadapi satu lagi cabaran iaitu sel-sel kanser sangat cekap beradaptasi ataupun menyesuaikan diri dengan keadaan yang berbeza. Sel-sel kanser mampu untuk melakukan ubahsuaian sifat-sifat samada di peringkat molekul ataupun sel untuk terus hidup walaupun di dalam keadaan tertekan. Apabila ianya diserang oleh rawatan kemoterapi dan radioterapi, sebahagian daripada sel-sel kanser ini dapat melindungi dirinya daripada serangan seperti askar yang menggunakan perisai. Ini dilakukan dengan mengubah ekspresi gene sehingga ia menjadi kebal. 

Sel-sel kanser adalah sangat kompleks, dapat berubah dan beradaptasi secara berterusan. Untuk mengatasinya dengan kaedah yang lebih berkesan, kita perlu mencari system yang dapat menandingi kompleksiti sel-sel kanser. Kemudian pemantaun serta rawatan dapat diubahsuai supaya ianya berkesan melawan  sel-sel kanser yang sudah menjalani perubahan dan adaptasi baru.
Berbanding dengan masa lampau, hari ini Ahli-ahli sains melakukan banyak penemuan dan perkembangan yang memberansangkan. Walaupun banyak jenis kanser yang kita tidak tahu dengan mendalam sifat-sifatnya, kadar kematian akibat kanser pada hari ini telah dapat dikurangkan berbanding dengan tahun 1970 an. Kadar kematian akibat kanser ini didapati terus berkurangan kerana kita memperolehi maklumat baru setiap hari. Setiap maklumat baru yang diperolehi akan menambah bilangan rawatan yang lebih berkesan. 

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

No comments:

Post a Comment