Thursday, October 26, 2017

TUMOUR MARKERS DAN KANSER

Pesakit kanser yang bijak adalah pesakit yang mengambil tahu perkembangan diri mereka dan mengambil initiatif utk mengetahui dgn lebih mendalam tentang penyakit kanser yang mereka hidapi. Saya seringkali bertemu dgn pesakit yg tidak tahu byk perkara tentang penyakit dan rawatan yg telah mereka lalui.

1. Salah satu ciri-ciri kanser adalah kemampuannya untuk membiak dengan cepat. Jika ada bahan-bahan yang dihasilkan oleh sel badan, bahan-bahan ini akan dihasilkan dengan banyak jika sel tersebut bertukar menjadi kanser.

2. Perkataan “tumour” merujuk kepada ketumbuhan dan “marker” bermaksud petunjuk. Tumour markers adalah bahan yang dihasilkan oleh sel-sel kanser pada kuantiti yang lebih banyak daripada sel-sel yang normal. Bahan-bahan ini kebanyakannya adalah protin. Kebelakangan ini ahli sains mendapati bukan sahaja protin yang boleh berperanan sebagai tumour markers tetapi juga reseptor hormon, corak ekpresi gene dan kelainan molekul DNA yang terdapat di dalam sel kanser. Sehingga hari ini terdapat lebih daripada 30 jenis tumour markers.

3. Disebabkan pengetahuan yang masih terhad tentang sifat byk jenis kanser, tidak semua kanser mempunyai tumour markers. Berkemungkinan ianya belum lagi ditemui. Di samping itu belum ada lagi satu tumour markers yang spesifik untuk satu jenis kanser sebaliknya satu tumour markers boleh dihasilkan oleh lebih daripada satu jenis kanser.Terdapat juga pesakit yang mempunyai kanser yang sama tetapi jenis tumour markers yang berbeza. Jenis tumour markers ditentukan apabila ujian dilakukan sebelum rawatan kanser diberikan.

4. Tumour marker boleh diukur di dalam sampel darah, air kencing, cecair badan dan juga tisu kanser yang diambil. Kuantiti tumour marker akan menentukan berapa banyak ataupun besarnya kanser yang wujud di dalam badan seseorang pesakit. Jadi tumour markers boleh digunakan untuk membantu mengesan kanser, memantau rawatan yang diberikan dan mengesan kanser yang berulang. Tumour marker juga kadangkala boleh menjadi petunjuk kpd keganasan dan juga tahap risiko sesuatu kanser.Tumour markers selalunya diukur sebelum rawatan dan semasa rawatan susulan sehinggalah pesakit sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun tumour markers TIDAK boleh mengesahkan penyakit kanser. Penyakit kanser disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh Pakar Patologi.

5. Walaupun tumour marker adalah salah satu ujian yang penting untuk dijalankan, ianya belum mencukupi untuk memantau pesakit secara bersendirian. Pesakit perlu diperiksa dan menjalani ujian-ujian lain termasuk ujian pengimejan seperti Ultrasound, CT scan, MRI ataupun PET scan.

6. Setiap pesakit perlu mengetahui adakah kanser mereka mempunyai tumour markers dan jika terdapat tumour markers maka mereka perlu mengetahui nilai kandungannya semasa rawatan susulan. Perlu diingat bahawa tumour markers ini juga dihasilkan oleh sel-sel yang normal dan penyakit-penyakit lain yang bukan kanser jadi jangan panik apabila kandungannya tinggi. Ikut nasihat pakar kanser jika pesakit memerlukan ujian-ujian lanjut.

7. Tumour markers lebih bermakna jika ianya dinilai dgn melihat trend yakni bacaan yg diperolehi daripada beberapa kali ujian yg dijalankan. Satu bacaan sahaja kurang membantu.

8. Berikut adalah sebahagian daripada tumour markers dan juga kanser-kanser yang menghasilkannya:
CA125 (Kanser ovari)
CA19-9 (Kanser pancreas, kanser pundi hempedu, kanser perut, sebahagian kanser ovari)
CEA (Kanser usus besar)
AFP (Kanser Hati, Kanser ovari jenis germ cell, kanser kelenjar testis)
Beta HCG (Koriokarsinoma dan kanser sel germa)
Thyroglobulin (Kanser Thyroid)
HE4 (Kanser ovari)
Lactate dehydrogenase ( limfoma, leukemia, melanoma dll)
Prostate-specific antigen (PCA) (Kanser Prostat)
BRCA 1 dan 2 gene mutation (Kanser payudara, kanser ovari)
Neuron-specific enolase (Kanser paru-paru, neuroblastoma)
CA15-3/CA27.29 (Kanser Payudara)
Beta-2-microglobulin (Multiple myeloma, chronic lymphocytic leukemia, limfoma)
Chromosomes 3,7,17, 9p21 (Kanser pundi kencing)
Oetrogen/Progesterone receptor (Kanser Payudara)
HER2/neu gene amplification (kanser payudara, kanser perut)

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


2 comments: