Monday, November 13, 2017

PERUBATAN MODEN VERSUS NATUROPATHY : SATU PERBANDINGAN



Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah


Dunia tanpa sempadan dan teknologi maklumat yang pesat berkembang pada hari ini sedang memperlihatkan pertembungan di antara dua aliran pemikiran tentang perubatan. Satu aliran adalah PERUBATAN MODEN moden ataupun konvensional dan satu lagi adalah aliran RAWATAN ALTERNATIF. Masyarakat sedang meraba-raba untuk berpaut pada dahan yang mana satu, takut silap dahan, jatuh tersembam. Masyarakat  sukar untuk membezakan kedua-duanya, masing-masing menganggap bidang mereka lebih baik dan memberi hujah berasaskan sains. Kedua2nya ada institusi dan menyediakan pengiktirafan dalam bentuk sijil, ijazah sarjana dan juga doktor falsafah. Jadi masyarakat akan bertemu dengan pengamal kedua-dua aliran yang berbeza tetapi membawa gelaran Professor dan Dr. Ini menyebabkan ramai orang awam terus keliru dan tidak kurang yang silap berpaut di dahan, jatuh tersembam ke tanah. Ramai yang terhantuk baru tengadah, malangnya kalau terhantuk di dalam isu kesihatan, sangat buruh padahnya.

Di antara kedua-dua aliran, yang mana satukah pilihan anda. Saya sebagai salah seorang pengamal perubatan moden sudah tentu akan mempertahankan aliran pemikiran perubatan moden. Seperti yang saya tulis di dalam rencana-rencana yang lepas, perubatan moden adalah berasaskan kepada ilmu sains dan mempraktiskan ilmu ini dengan “evidence-based medicine”. Kami sangat teliti dan obses di dalam mencari kebenaran. Kami diajar supaya tidak menerima dengan mudah sebarang dakwaan tanpa ada bukti yang kukuh. Kami mempunyai disiplin dan kaedah yang sistematik di dalam menentukan kesahihan fakta perubatan dan menggunakan "level of evidences" sebagai kayu pengukurnya.

Pengamal Perubatan alternatif seperti Naturopathist, Herbalist, Homeopathist, Chiropractist, Osteopathist dan lain-lain mendakwa mereka juga menggunakan sains tetapi sebenarnya mereka lebih banyak menggunakan falsafah, jika adapun sains, mereka akan hanya memilih sains yang boleh menyokong falsafah mereka. Perbezaan yang paling ketara di antara mereka dengan pengamal perubatan moden adalah amalan mereka tidak berasaskan “evidence based medicine” seperti yang diamalkan oleh pengamal perubatan moden. Falsafah aliran pemikiran pengamal perubatan alternatif ini bertitik tolak daripada konsep naturopathy ataupun perubatan naturopathic (“Naturopathic Medicine”). Falsafah ataupun “aqidah” yang mereka pegang dikenali sebagai Vitalisma (“Vitalism”) dan perubatan traditional (“folk medicine”), bahawa kesihatan dan penyakit yang dihidapi oleh manusia ataupun benda hidup adalah terhasil daripada pertembungan tenaga dalaman yang tidak dapat dilihat. Untuk tujuan memulihkan diri, mereka kononnya menggunakan pendekatan meningkatkan kekuatan dalaman supaya penyakit itu sembuh dengan sendiri tanpa intervensi (“self-healing”). Golongan antivaksin adalah salah satu produk aliran pemikiran naturopathy. Falsafah ini sebenarnya sudah ujud berkurun-kurun dahulu di mana pada ketika itu pengetahuan tentang sains dan penyakit masih terhad dan teknologi masih mundur. Pada ketika itu manusia banyak mengaitkan penyakit dengan tenaga dalam dan kerohanian serta makhluk halus.  Malangnya sehingga hari ini falsafah ini masih terus dipegang secara "rigid" tanpa mengambil kira pengetahuan manusia yang lebih baik dan perkembangan teknologi yang semakin canggih. Rawatan berbentuk suntikan, pembedahan dan ubat-ubatan adalah bertentangan dengan falsafah mereka. Mereka mencipta dan mengeluarkan produk-produk yang didakwa hasil daripada alam semulajadi bertujuan untuk meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit. Sayangnya jika tidak semua, majoriti amalan dan produk-produk yang mereka hasilkan ini TIDAK pernah terbukti berkesan merawat penyakit jika dinilai daripada perspektif pengamal perubatan moden. Banyak produk-produk mereka didapati hanya memberi kesan placebo semata-mata (rujuktulisan saya dalam blog mengenai placebo) ataupun hanya untuk merawat gejala sahaja terutamanya kesakitan.  Disebabkan oleh taksub terhadap falsafah vitalisma ini, mereka akan hanya memilih ilmu sains yang menyokong falsafah mereka dan menolak sebarang fakta sains yang bertentangan, sehingga mereka mencipta sains mereka sendiri yang menjadi cacamerba. Akhirnya untuk menegakkan benang yang basah, seringkali mereka terpaksa menggunakan pseudosains untuk meyakinkan masyarakat supaya terpengaruh dengan mereka. Mereka telah banyak menyebabkan kekeliruan masyarakat sehingga ada negara-negara yang mengharamkan aktiviti mereka dan ramai dalam kalangan pengamal perubatan alternatif ini yang didakwa di mahkamah kerana memudaratkan pesakit. Masyarakat tentu akan terpengaruh dengan gelaran yang mereka miliki dan bagaimana lidah mereka menyebut perkataan-perkataan sains dan penyakit yang bunyinya sama dengan pengamal perubatan moden.

Kalau anda mengikuti rencana-rencana yang saya tulis sebelum ini, anda akan faham bahawa saya bukanlah seorang pengamal perubatan moden yang taksub dan beranggapan bahawa inilah saja kaedah rawatan yang unggul tanpa ada kelemahan. Saya dan rakan-rakan sealiran berpendapat bahawa kaedah rawatan alternatif ada peranannya di dalam merawat pesakit, walaupun bukan sebagai rawatan utama tetapi sebagai rawatan komplimentari. Kami juga percaya bahawa penyakit fizikal yang dihidapi oleh manusia mempunyai kaitan dengan faktor psikologikal. Kami tidak menolak konsep meningkatkan tenaga dalam dan kekuatan diri untuk sembuh,malahan suntikan, pembedahan dan ubat-ubatan yang dilakukan ke atas pesakit adalah mempunyai matlamat yang sama. Analogi mudah yang boleh saya berikan adalah umpama askar yang berjuang di medan perang, untuk mengalahkan musuh mereka memerlukan senjata yang cukup dan berkesan, mereka tidak boleh menang hanya dengan berbekalkan tenaga dan tangan kosong semata-mata. Menggunakan senjata bukan bermaksud melawan fitrah. Suntikan vaksin umpamanya adalah salah satu ikhtiar untuk meningkatkan keupayaan diri melawan penyakit. Perbezaannya adalah kaedah-kaedah rawatan yang kami berikan tersebut sudah terbukti berkesan melalui hasil kajian saintifik yang telah dijalankan, ia tidak dilakukan semberono. Teknologi yang digunakan adalah yang terkini dan termaju yang ada pada hari ini. Pada waktu yang sama, sebagai seorang yang beragama Islam, kuasa penyembuh hanyalah ada pada Allah swt dan manusia hanya perantara dan berikhtiar. Manusia hanya mencari ikhtiar yang betul dengan penyakit yang dihidapi melalui ilmu dan kepakaran yang juga anugerah daripadaNya.

Tidak dapat dinafikan bahawa kaedah rawatan moden ada kelemahan kerana masih banyak ilmu yang belum diterokai dan masih banyak penyakit yang belum ditemui penawarnya. Tetapi kelemahan yang sama ujud di dalam semua bidang termasuk kejuruteraan, pertanian, perindustrian dan lain-lain. Apa yang lebih penting adalah kesediaan kita untuk menerima hakikat bahawa inilah yang terbaik untuk kita pada hari ini. Saya selalu membuat perbandingan di antara sistem pengangkutan hari ini berbanding dengan masa lampau, mengapa memilih kereta yang digerakkan oleh kuasa wap pada zaman dahulu berkelajuan hanya 5 km/jam jika hari ini kita sudah ada system pengangkutan yang sangat cekap dan pantas. Mengapa memilih alat telegraph yang sukar digunakan kalau kita sudah ada talipon yang lebih cekap, pantas dan berkesan sebagai alat komunikasi. Saya seringkali membuat analogi memilih amalan perubatan moden berbanding rawatan alternatif dengan menggunakan jambatan untuk menyeberang sungai yang deras dan bukan mengambil risiko untuk berenang. Sebagai masyarakat yang bijak dan rational, perubatan moden sudah semestinya menjadi pilihan utama anda jika anda ingin memilih kaedah yang lebih berkesan.  Semoga tulisan ini dapat membuka minda anda dan selepas ini anda akan tahu untuk memilih di antara kaca dan permata. Saya percaya anda sudah boleh membezakan kualiti dua orang Professor ataupun doktor daripada dua aliran yang berbeza, nampak serupa tetapi tidak sama.

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. 

No comments:

Post a Comment