Tuesday, July 4, 2017

FANATIK, MELAMPAU DAN SESAT

FANATIK, MELAMPAU DAN SESAT

Prof. Madya Mohamad Kamil Abd. Majid,
Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya  

Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw dan tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.

Al-Wasat atau al-I’tidal adalah satu paksi yang membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri sederhana - Wasat itu maka umat Islam terdedah kepada tokok tambah atau pengurangan dalam urusan agama. Penambahan atau pengurangan ini menjadi salah satu punca perpecahan. Soalnya, bagaimana satu umat itu boleh maju apa lagi boleh memimpin jika mereka berpecah-belah? Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik, hilang kesederhanaan kerana fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.

Keadaan bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama tarekat atau sebagainya.

Fanatik bermaksud sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian dan biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan taksub. Lawan “fanatik” dan “taksub” ialah toleransi, lapang dada, keluasan fikiran dan kesabaran. Sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah s.w.t. terhadap umat terdahulu khasnya ahl al-kitab. Allah berfirman maksudnya:
"Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus". (Surah al-Maidah (5): 77).

Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti dituntut oleh Islam. Allah berfirman maksudnya:
"Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu". (Surah al-Baqarah (2): 143).

Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahupun guru atau kumpulan adalah salah satu daripada gejala melampau. Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat daripadanya sebagai jahil, bodoh, fasik dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan.

Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bidaah, kufur dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah, mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama".

Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar.... (Riwayat Bukhari dan Nasaai)

Sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah terhadap umat yang dahulu khasnya ahli Kitab. Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz’i. Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu’. Allah memerintahkan hamba-Nya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud firman Allah:
"Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang. Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh".

Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri mahupun guru dan kumpulan masing-masing adalah salah satu daripada gejala melampau-lampau. Ia menggambarkan kebekuan fahaman seseorang yang tidak boleh melihat maslahah umum. Sikap begini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain salah. Pihak yang tidak menurut pemikirannya dianggap bodoh, fasik dan derhaka. Keadaan ini, seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai rasul yang maksum dan kata-katanya sebagai sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa semua pendapat boleh diambil dan ditinggalkan kecuali sabda Rasulullah.

Taksub dan fanatik yang dikutuk begini adalah sikap orang-orang yang cuba mengikat pihak lain kepada dirinya dan menafikan peranan orang lain. Ia akan menjadi lebih berbahaya apabila sikap ini dimanifestasikan dalam bentuk tindakan keras dan memaksa, walaupun terdapat keadaan yang memberi kelonggaran atau kelapangan. Contohnya, percubaan mewajibkan sesuatu yang Allah tidak wajibkan, lalu memaksa orang lain mengerjakan amalan-amalan sunat sama seperti menunaikan yang fardu, atau mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.

Dalam medan dakwah, pendekatan keras dan kasar juga tidak wajar digunakan. Malah Rasulullah menyatakan, Allah menyukai sikap lemah lembut dalam segala urusan. Salah satu manifestasi ketaksuban adalah apabila terdapat sesuatu pihak yang mengkafirkan pihak yang lain, kecuali yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka. Gejala ini membawa kepada perbuatan menghalalkan darah dan harta pihak lain kerana pada pandangan mereka, golongan tersebut dianggap murtad dan kufur. Penyakit ini disifatkan oleh Yusuf al- Qaradawi seperti penyakit yang menimpa golongan Khawarij pada zaman awal Islam.

Satu lagi manifestasi ketaksuban adalah sikap memilih pendekatan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang dianggap batil, atau cuba mengubah kemungkaran dengan menggunakan kekuatan senjata. Ia selalunya ditujukan kepada para penguasa yang tidak melaksanakan hukum yang diturunkan Allah, menangguhkan pelaksanaan syariat Islam atau menggantikannya dengan hukum atau undang-undang ciptaan manusia. 
Ertinya, golongan ini akan melancarkan jihad.

Golongan ini sebenarnya keliru dalam membezakan tugas pemerintah dan tugas individu. Tindakan Abu Bakar memerangi kaum murtad atau mereka yang enggan membayar zakat, merupakan tanggungjawabnya sebagai pemerintah. Sedangkan sebagai individu Muslim, apa yang perlu dilakukan hanyalah melakukan al-amr bi al- ma’ruf wa al-nahy anil munkar, menasihati dalam agama – jika mampu – dengan kaedah-kaedah yang dibolehkan. Taghyir al- munkar bi al-yad atau menggunakan kuasa atau kekuatan untuk mengubah kemungkaran, bukanlah diwajibkan ke atas semua orang. Sebaliknya, ia hanyalah diwajibkan ke atas pihak yang mempunyai kuasa terhadap orang yang di bawahnya, contohnya, kuasa bapa ke atas anak, majikan ke atas pekerja atau pemerintah ke atas rakyatnya.

Sikap taksub kadangkala berlaku sebagai reaksi kepada masyarakat Islam yang membenarkan kemungkaran berleluasa. Dalam erti kata lain, Islam yang ada bercampur dengan kesyirikan akidah, bidaah dalam ibadah. Kejumudan fikiran, mendatar dalam fahaman, mencari yang payah dalam fatwa dan keras dalam pergaulan, juga boleh menyuburkan sikap fanatik. Fenomena lain yang menyuburkan sikap taksub dan fanatik ialah bersikap jumud dalam berfikir, mendatar dalam memahami sesuatu, mencari yang payah dalam berfatwa dan memilih pendekatan dakwah yang mengakibatkan orang awam menjadi liar dan keras dalam pergaulan. Fenomena begini menyebabkan ternafinya tajdid dan ijtihad dalam menetapkan sesuatu hukum. Para ulama hanya tahu mengatakan haram dan bidaah tetapi tidak mampu untuk berijtihad dan meneliti sesuatu ketetapan hukum secara mendalam.

Fenomena ini bolehlah dinamakan sebagai aliran zahiriah baru. Mereka hanya sibuk dengan soal janggut dan serban, mencari pandangan yang berat dalam fatwa, mengharamkan wanita bekerja atau turut serta dalam pengundian pilihan raya dan sebagainya. Semua ini berlaku kerana pemimpin dan guru mereka mempunyai kefahaman yang cetek terhadap persoalan agama yang menyebabkan mereka terdorong untuk menerima pendapat tersebut berasaskan kekurangan ilmu dan kefahaman. Benarlah maksud hadis Rasulullah tentang bahayanya ilmu yang separuh masak.

Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap prasangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum daripada memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil.

Perlu ditekankan di sini, mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya kepada semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya. Wallahualam.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Saturday, July 1, 2017

MENGAPA MANUSIA SUKA BERGOSIP: ADAKAH ANDA SEORANG QUIDNUNC





Semua orang pernah bergosip termasuk diri saya sendiri. Semoga Allah mengampunkan kita. Gosip berlaku di mana2 termasuk di dalam media sosial. Mengikut kamus bahasa, Gossip ataupun di dalam ejaan BM “gosip” bermaksud “cakap-cakap/tulisan yang mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yang tidak terbukti benar, buruk atau umpatan tentang orang lain”. Gosip boleh juga mengenai sesuatu perkara yang baik tetapi belum terbukti benar. Kebanyakan gosip adalah mengenai perkara buruk tentang orang lain. Jadi mengumpat adalah subset kepada gosip.

Semua orang pernah bergosip tetapi terdapat golongan manusia yang menjadikan gosip seperti tabiat semulajadinya. Seseorang yang suka bergosip ataupun yang suka mendengar gosip dikenali sebagai QUIDNUNC (bunyi “ˈkwidˌnəNGk).

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan Quidnunc mengalami masalah kejiwaan terutamanya “anxiety disorders”.

SEBAB BERGOSIP

1. Untuk kelihatan lebih hebat : Seseorang yang rendah keyakinan diri dan self esteem akan merasa lebih hebat daripada orang lain apabila bergosip. 

2. Mengisi kebosanan dan kehabisan modal untuk berbual: Apabila seseorang mula merasa bosan dan tidak ada buah fikiran (idea) utk meneruskan perbincangan yang berdasarkan fakta, dia akan mula bergosip untuk menarik minat org lain mendengar.

3. Perasaan irihati : Bagi melempiaskan perasaan irihati terhadap orang lain, seseorang sanggup bergosip supaya dapat menjatuhkan reputasi orang lain.

4. Ingin dianggap sebahagian daripada ahli kumpulan tertentu: Seseorang yang sudah termasuk di dalam sekumpulan manusia yang bergosip terpaksa ikut mendengar gosip dan bergosip kerana ingin menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan itu.

5. Untuk menarik perhatian orang lain : Apabila bergosip, pengosip menjadi tarikan dan tumpuan orang walaupun untuk sementara waktu. Dia merasa dirinya diberi perhatian dan nampak istimewa.

6. Melepaskan kemarahan : Ramai yang bergosip untuk tujuan melepaskan kemarahan dan ketidakpuasan terhadap orang lain.

7. Gosip utk cari publisiti murahan dan hiburan.

BAGAIMANA MENGHADAPI PENYEBAR GOSIP

1. Keluar daripada kumpulan yang bergosip
2. Tukar tajuk perbincangan
3. Jangan menambah minyak ke atas api dengan menambah isi bahan gossip
4. Bertanya kepada pengosip, “betul ke apa yang awak katakan itu? Apa buktinya?”, jika jawapannya “ saya dengar”, “saya terbaca”, “saya ternampak”, “si Anu itu yang kata”, maka itulah gosip namanya.


BEBERAPA PANDUAN MENJAWAB PENGOSIP:

“Aku perasan, hang asyik bercakap pasal Jamil saja, apasal minat sangat dengan dia ?”

“Aku lebih suka nak tahu tentang perkembangan diri hang”. 


“Aku rasa tak berapa selesa dengar perkara negatif tentang orang lain kecuali kalau kita cari jalan macam mana boleh membantu dia”


“Mari kita bincang berkenaan dengan sesuatu yang positif ataupun kita rancang nak ke mana petang ini”


Pendek kata gosip adalah salah satu manifestasi penyakit hati, lebih banyak keburukan dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Ingatan kepada diri sendiri.

Rushdan Noor