Tuesday, October 10, 2017

AKIBAT MEMILIH RAWATAN ALTERNATIF SEBAGAI RAWATAN UTAMA KANSER


Sambungan daripada rencana saya yang lalu, semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 5 daripada kajian2 tersebut.

1. Hasil kajian ini telah disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit2 ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis2 kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar. (1)

2. Kajian oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat (progressive disease)(2)

3. Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif, kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.(3)

4. Joseph K, et al menjalankan analisis yang sama mendapati pesakit kanser payudara yang enggan dirawat dengan kaedah rawatan kanser konvensional. Kadar hidup selama 5 tahun (5 years survival) menurun daripada 81.9% (menerima rawatan konvensional) kepada 43.2% (rawatan alternatif).(4)

5. Semakan sistematik terhadap bukti2 kajian saintifik ke atas kaedah rawatan alternatif menunjukkan belum ada bukti yang meyakinkan bahawa mana2 kaedah rawatan alternatif dapat menggantikan kaedah rawatan konvensional sebagai rawatan utama kanser payudara. (5)

Walaupun terdapat bukti bahawa memilih rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser memudaratkan pesakit, namun disebabkan salah faham, budaya dan juga pengaruh yang kuat oleh kepercayaan bahawa rawatan alternatif ini adalah semulajadi, selamat dan tidak mengandungi bahan kimia, ramai pesakit yang menolak rawatan konvensional.

Pengamal2 rawatan alternatif juga berjaya mempengaruhi pesakit dengan pelbagai strategi termasuk perang psikologikal sehingga sukar bagi pesakit kanser untuk menolaknya. Apabila dikatakan tidak ada kajian saintifik yang membuktikan keberkesanannya, mereka seringkali memberi alasan bahawa syarikat2 farmaseutikal sengaja tidak mahu menjalankan kajian disebabkan oleh keuntungan yang kecil. Ataupun menuduh bahawa syarikat2 farmaseutikal sengaja menyorok hasil kajian yang sebenar. Jika anda memahami bagaimana proses kajian saintifik dijalankan, maka anda akan faham bahawa dakwaan2 seumpama ini adalah tidak benar.
KITARAN HIDUP TERAPI ALTERNATIF (ALTERNATIVE THERAPY LIFECYCLE)
Pakar perubatan moden percaya bahawa kepercayaan terhadap kaedah rawatan alternatif ini mempunyai kitaran hidup yang typical seperti berikut: 
A. Terdapat bukti anekdotal ataupun testimoni keberkesanan sesuatu produk ataupun terapi.

B. Setelah terdapat tanda2 kemungkinan ianya berkesan, berita ini diviralkan seolah2 sudah sah keberkesanannya. Disebabkan oleh desakan dan kepercayaan bahawa maklumat ini mungkin benar, maka ahli sains pun mengambil initiatif untuk melakukan ujian makmal dan klinikal.
C. Apabila kajian menunjukkan bahawa produk ataupun terapi2 alternatif ini TIDAK berkesan merawat kanser, golongan pro rawatan alternatif akan menolak, syarikat farmaseutikal akan dipersalahkan dan mereka akan menuduh ini adalah satu konspirasi. Mereka tidak sedar bahawa setiap kajian klinikal yang dijalankan akan melalui proses yang sangat teliti dan telus, di mana akan ada pihak yang tidak berkepentingan untuk menjadi penilai sebelum sesuatu kajian itu disahkan berwibawa.

D. Disebabkan oleh dakwaan konspirasi ini dan juga peluang untuk mengaut keuntungan oleh golongan2 tertentu, terapi2 alternatif yang dibuktikan TIDAK berkesan ini akan masih diamalkan dan war2kan kepada masyarakat. Maka wujudlah golongan2 bogus Prof dan doktor yang akan mengeksploitasi gelaran yang ada pada mereka untuk mempengaruhi masyarakat dan pesakit kanser. Kebanyakan yang bergelaran Prof dan Dr ini tidak diketahui kredibiliti mereka. Hari ini amat mudah untuk mendapatkan/membeli gelaran tersebut daripada institusi2 palsu yang banyak di serata dunia. Ada juga di antara mereka yang memperolehi gelaran doktor tetapi bukan daripada bidang perubatan klinikal, sebaliknya daripada bidang lain, pendek kata mereka bukan doktor klinikal. Orang ramai sukar untuk membezakan kedua2nya.

E. Kitaran yang sama akan berulang2 untuk terapi2 alternatif yang lain.
Rencana ini bukan bermaksud untuk mengagung2kan kaedah rawatan kanser konvensional sebaliknya adalah untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai perbandingan kedua2 kaedah rawatan berdasarkan kepada disiplin ilmu perubatan moden. Sama seperti anda memilih dua bilah pisau untuk memotong, satu yang tajam dan satu lagi yang tumpul. Walaupun tajam, ada juga bahan2 yang tidak mampu untuk dipotong, begitu jugalah rawatan kanser moden yang ada pada hari ini. Kajian masih diteruskan dan masih banyak ilmu Allah yang perlu digali.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

                         Geraf ini dikenali sebagai "survival graph" yang digunakan oleh pengkaji untuk menentukan jangkahayat pesakit kanser. Ianya juga boleh digunakan untuk membandingkan keberkesanan rawatan kanser. Seperti yang ditunjukkan di atas, garisan yang tidak bertitik adalah mewakili pesakit kanser yang dirawat dengan rawatan alternatif dan garisan terus pula adalah rawatan standard.(2)
RUJUKAN

1. Johnson SB, et al. Use of Alternative Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145. Published August 2017.

2. Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternative therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.

3. Han E, et al. Alternative therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12

4. Joseph K, et al. Outcome analysis of breast cancer patients who declined evidence-based treatment. World J Surg Oncol. 2012; 10: 118.

5. Gerber B, et al. Complementary and alternative therapeutic approaches in patients with early breast cancer: a systematic review.Breast Cancer Research and Treatment,February 2006, Volume 95, Issue 3, pp 199–209.

No comments:

Post a Comment