DEMAM TIFOID ATAU KEPIALU
Kematian 2 orang selepas memakan laksa di Kedah telah disahkan puncanya iaitu pencemaran sejenis bakteria yang dikenali sebagai Salmonella. Pencemaran boleh berlaku kepada sebarang minuman dan makanan, bukan hanya terhad kepada laksa. Jangkitan bakteria Salmonella akan menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai demam tifoid ataupun demam kepialu. Bakteria ini boleh mencemar air dan makanan, apabila diambil oleh manusia, bakteria ini akan masuk ke dalam badan mereka. Air yang digunakan untuk membasuh makanan boleh tercemar dengan bakteria salmonella dan bakteria ini juga boleh dibawa oleh lalat yang menghinggap najis yang kemudian pergi ke makanan ataupun minuman. Haiwan juga boleh dijangkiti dengan salmonella dan melepaskan bakteria ini di dalam najis mereka. Apabila seseorang dijangkiti bakteria ini, ada yang akan mengalami gejala dan ada yang tidak mengalami gejala. Individu yang tidak mengalami gejala tetapi membawa bakteria ini dikenali sebagai PEMBAWA. Lebih kurang 3-5% individu yang dijangkiti akan menjadi pembawa. Jangkitan salmonella boleh juga disebabkan oleh Pembawa semasa mengendalikan makanan dan minuman.
Seseorang pengendali makanan seperti penjual yang juga pembawa bakteria salmonella boleh menyebarkan bakteria ini semasa menyediakan makanan untuk pelanggan. Pengendali makanan juga boleh menyebabkan jangkitan salmonella jika makanan dan minuman yang dijual tercemar akibat sumber air dan makanan tersebut tidak bersih. Apabila pelanggan mengambil makanan yang tercemar, bakteria salmonela akan masuk ke dalam usus dan kemudian terus ke aliran darah. Melalui aliran darah salmonela akan pergi ke hati, limpa dan sum-sum tulang. Salmonela juga boleh menyerang paru-paru. Di dalam keadaan ini, bakteria salmonella boleh dikesan di dalam najis, darah dan air kencing. Orang yang dijangkiti ini akan mengalami demam. Pada waktu yang sama bakteria ini akan membiak dengan banyaknya di dalam pundi hempedu dan kelenjar di bahagian usus sebelum ia masuk kembali ke dalam usus dan keluar dengan banyaknya melalui najis seseorang. Mangsa yang dijangkiti ini pula boleh menyebarkan bakteria ini kepada orang lain kerana najis dan air kencing mereka mengandungi banyak bakteria salmonella.
Gejala-gejala yang dialami oleh pesakit demam tifoid adalah hilang selera makan, sakit kepala, sakit perut, sakit badan serta sendi, demam yang kuat, lemah badan dan cirit-birit. Demam tifoid sangat berkesan dirawat dengan antibiotik. Pada zaman dahulu sebelum adanya antibiotik, 20% pesakit demam tifoid akan mati tetapi selepas adanya rawatan antibiotik yang berkesan, kadar kematian sudah menurun kepada 1-2%. Penyebab kematian akibat demam tifoid adalah serangan bakteria yang menyeluruh (“septicaemia”), radang paru-paru, pendarahan usus dan usus yang pecah. Pesakit yang sembuh boleh mendapat kembali serangan demam tifoid di masa hadapan dan ada yang menjadi pembawa.
Daripada seorang pesakit, bakteria salmonella boleh menjangkiti ramai orang. Jangkitan salmonella boleh merebak dalam kalangan keluarga pesakit dan juga kepada orang lain apabila mangsa bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Dalam masa yang singkat sahaja penyakit demam tifoid ini akan menjadi wabak penyakit.
Kebersihan adalah kaedah pencegahan jangkitan salmonella yang paling berkesan. Di samping itu individu yang menjadi pembawa perlu dikesan dan dirawat. Pembawa bakteria salmonella tidak boleh dibenarkan menjadi tukang masak ataupun pengendali makanan sehingga mereka bebas daripada bakteria ini. Orang yang berhajat untuk mengembara ke negara-negara yang tinggi kadar jangkitan salmonella (Amerika latin, Afrika dan lain-lain) boleh mengambil vaksin samada di dalam bentuk makan ataupun suntikan. Vaksin tifoid berkesan mencegah jangkitan sebanyak 70-90%, berkesan selepas seminggu diberikan. Ia hanya berkesan untuk jangkamasa 1-3 tahun, vaksin di dalam bentuk suntikan boleh bertahan lebih lama berbanding dengan pil. Di Malaysia semua pengendali makanan dimestikan mendapatkan vaksin pencegah demam tifoid sebelum diberikan lesen berniaga.
Memandangkan keracunan makanan seringkali berlaku di luar rumah dan dikendalikan oleh pengendali makanan di luar seperti kedai makan, restoran dan kenduri, maka adalah amat penting golongan yang mengendalikan makanan ini mengetahui langkah-langkah kawalan. Berikut adalah beberapa langkah kawalan deman tifoid yang mesti diamalkan oleh Pengendali makanan:
1. Mengendalikan makanan mengikut tatacara pengendalian makanan selamat dengan memastikan premis makanan bersih, telah mengendalikan kursus pengendalian makanan, telah mendapat suntikan vaksin, sentiasa memakai apron yang bersih dan penutup kepala semasa mengendalikan makanan, menggunakan bahan mentah segar, proses nyahbeku daging yang sempurna, mencuci makanan dengan air yang terawat, masak air yang terawat, masak makanan dengan sempurna sehingga suhu didih, asingkan makanan yang masak dengan yang mentah, simpan makanan di tempat tertutup, menggunakan penyepit ataupun sudu untuk mengambil makanan dan simpan makanan pada suhu 0-4 darjah selsius. Bateria salmonella boleh dimatikan dengan suhu pemanasan lebih daripada 70 darjah selsius.
2. Menjaga kebersihan diri termasuk membasuh tangan sebelum menyediakan makanan dan selepas ke tandas.
3. Menggunakan tandas yang bersih
4. Sentiasa memastikan air minuman menggunakan air yang telah dididihkan ataupun guna air di dalam botol.
DDr Rushdan Noor
21hb Okt 2018
https://kpkesihatan.com/2018/10/21/kenyataan-akhbar-kpk-21-oktober-2018-status-terkini-kejadian-keracunan-makanan-di-kedah-perak-dan-selangor-pada-21-oktober-2018/
No comments:
Post a Comment