Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kaedah rawatan
kanser konvensional menggunakan kaedah pendekatan yang sistematik daripada
peringkat pengesahan, menentukan peringkat kanser, rawatan dan pemantauan.
Rawatan kanser konvensional terdiri daripada pembedahan, kemoterapi,
radioterapi, terapi hormon, targeted therapy dan yang terbaru terapi imun.
Matlamat yang hendak dicapai oleh rawatan konvensional adalah menyembuhkan
kanser jika kanser itu berada di peringkat awal. Jika penyembuhan tidak dapat
dicapai, maka matlamat utama adalah memperlahankan ketumbuhan dan memanjangkan
hayat. Manakala satu lagi kumpulan adalah pesakit yang kanser mereka sudah
merebak di banyak bahagian badan, matlamat yang akan disasarkan adalah
mengurangkan gejala supaya hidup pesakit ini lebih selesa. Kadangkala matlamat
yang berbeza ini dicapai dengan menggunakan kaedah rawatan yang sama. Apabila
pakar kanser berpendapat rawatan akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan,
maka kaedah-kaedah rawatan yang dinyatakan diatas tidak akan disyorkan. Dengan
perkataan lain, pesakit ini tidak akan menerima sebarang rawatan yang boleh
mematikan sel-sel kanser sebaliknya hanya ubat-ubatan yang dapat mengurangkan
gejala seperti sakit, kembong perut, letih dan lain-lain. Semua pendekatan yang
saya nyatakan di atas adalah berdasarkan kepada bukti kajian klinikal ataupun di dalam istilah perubatan dinamakan
“evidence-based medicine”.
Satu lagi
pilihan untuk merawat penyakit kanser adalah kaedah rawatan alternatif yang
diberikan oleh pengamal rawatan alternatif. Terlalu banyak kaedah rawatan alternatif
yang ada disediakan dan prinsip rawatan mereka adalah berbeza dengan kaedah
rawatan konvensional. Walaupun ada di antara prinsip asas yang saya nyatakan
diatas ada diamalkan oleh mereka, tetapi mereka tidak menggunakan prinsip yang
paling penting iaitu amalan berasaskan kepada “evidence-based medicine”. Paling
malang lagi, ada di antara mereka yang tidak menggunakan kaedah pengesahan
kanser yang betul sehingga ramai pesakit bukan kanser dikatakan penghidap kanser.
Ramai dalam kalangan pengamal ini bukan daripada aliran pengamal perubatan
moden sebaliknya mereka adalah pengamal yang menggunakan prinsip naturopathy.
Saya sudah menerangkan panjang lebar mengenai prinsip naturopathy di dalam
tulisan saya yang lalu. Bagi pengamal perubatan moden, prinsip ini sebenarnya adalah
benih-benih pseudosains kerana mereka meletakkan falsafah pada kedudukan paling
tinggi yang tidak boleh diubah walaupun ianya sudah terbukti salah. Maka akibat
daripada prinsip yang berbeza, mereka menolak beberapa kaedah-kaedah rawatan
kanser konvensional.
Di antara
golongan pengamal perubatan yang saya sebutkan di atas, terdapat golongan yang
mengambil kesempatan mencari habuan wang ringgit dengan menjadikan rawatan
kanser alternatif sebagai perniagaan utama. Ada dalam kalangan mereka ini tidak
mendokong sebarang prinsip amalan sebaliknya hanya mengamalkan apa yang mereka
faham berdasarkan kepada pendedahan yang mereka terima, selalunya melalui kursus
ataupun pengajian jangkamasa pendek. Perniagaan ini tentu menguntungkan kerana
bilangan penghidap kanser yang ramai dan tidak kurang juga pesakit kanser yang
sudah berada pada peringkat akhir di mana kaedah rawatan konvensional sudah
tidak berkesan. Di samping itu kaedah-kaedah rawatan alternatif pula sangat banyak
dan kebanyakannya tidak tertakluk kepada peraturan amalan ubat-ubatan yang
dikenakan oleh Penguasa ubat-ubatan. Banyak ubat-ubatan alternatif ini bukan
daripada kategori ubat terkawal sebaliknya di bawah kategori makanan dan
suplemen. Modal yang diperlukan untuk mendapatkan ubat-ubatan alternatif ini
pula pada harga yang lebih rendah dan dapat dijual dengan harga yang tinggi.
Malahan ada di antaranya adalah hasil ciptaan sendiri dan tidak kurang juga
yang hanya menggunakan suplemen dan
vitamin.
Permintaan kaedah rawatan alternatif di luar negara sememangnya tinggi sehingga mereka mampu menubuhkan klinik ataupun hospital. Kepada orang awam yang tidak arif, klinik dan hospital-hospital ini kelihatannya sama seperti klinik dan hospital yang menyediakan perkhidmatan perubatan konvensional. Pengamal-pengamalnya juga kelihatan sama dengan memperlihatkan gaya dan pendekatan yang tidak banyak berbeza dengan pengamal perubatan konvensional. Malahan ada juga yang menggunakan khidmat pengamal perubatan konvensional (yang berpaling tadah) bekerja dengan mereka. Mereka akan mengesyorkan banyak jenis rawatan alternatif yang diberikan samada melalui makan, suntikan dan rawatan fizikal. Banyak daripada ubat-ubatan dan kaedah rawatan ini belum terbukti berkesan merawat kanser ke atas manusia. Kos rawatan yang dikenakan adalah tinggi sehingga ada yang mencapai puluhan hingga ratusan ribu ringgit. Untuk memajukan perniagaan, mereka mempunyai model perniagaan yang tertentu bagi menarik ramai pesakit kanser sehingga berjaya menarik pesakit daripada luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka. Jika mereka bergerak secara bersendirian, mereka seringkali menggunakan gelaran palsu samada Professor ataupun Doktor bertujuan untuk menambah keyakinan pesakit.
Permintaan kaedah rawatan alternatif di luar negara sememangnya tinggi sehingga mereka mampu menubuhkan klinik ataupun hospital. Kepada orang awam yang tidak arif, klinik dan hospital-hospital ini kelihatannya sama seperti klinik dan hospital yang menyediakan perkhidmatan perubatan konvensional. Pengamal-pengamalnya juga kelihatan sama dengan memperlihatkan gaya dan pendekatan yang tidak banyak berbeza dengan pengamal perubatan konvensional. Malahan ada juga yang menggunakan khidmat pengamal perubatan konvensional (yang berpaling tadah) bekerja dengan mereka. Mereka akan mengesyorkan banyak jenis rawatan alternatif yang diberikan samada melalui makan, suntikan dan rawatan fizikal. Banyak daripada ubat-ubatan dan kaedah rawatan ini belum terbukti berkesan merawat kanser ke atas manusia. Kos rawatan yang dikenakan adalah tinggi sehingga ada yang mencapai puluhan hingga ratusan ribu ringgit. Untuk memajukan perniagaan, mereka mempunyai model perniagaan yang tertentu bagi menarik ramai pesakit kanser sehingga berjaya menarik pesakit daripada luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka. Jika mereka bergerak secara bersendirian, mereka seringkali menggunakan gelaran palsu samada Professor ataupun Doktor bertujuan untuk menambah keyakinan pesakit.
Salah satu
sasaran pelanggan mereka adalah pesakit kanser yang berada pada peringkat lewat
di mana peluang untuk sembuh adalah tipis. Kebanyakan pesakit ini sudah dirawat
dengan kaedah rawatan konvensional. Pesakit-pesakit ini tentu akan mencari
maklumat di dalam media sosial ataupun internet untuk mendapatkan kaedah
rawatan alternatif. Pusat rawatan kanser alternatif ini akan memaparkan testimoni
(ada pesakit yang memberi testimoni ini yang sudah meninggal dunia tetapi
testimoni mereka masih hidup), gambar-gambar kejayaan mereka dan juga memberi
data kejayaan yang kelihatan luarbiasa. Apabila bertemu dengan pengamal
perubatan alternatif ini, pesakit akan melalui sesi kaunseling dan di dalam
sesi kaunseling inilah mereka akan dipancing. Salah satu kaedah kaunseling
yang digunakan adalah memberi data kejayaan yang tidak munasabah sehingga
pesakit yakin tentang keberkesanannya. Mereka juga akan diyakinkan bahawa
rawatan ini bukan sahaja berkesan tetapi bersifat semulajadi ataupun lebih
selamat. Mereka juga akan mendakwa kaedah rawatan mereka adalah lebih holistik dan akan memakan masa yang panjang supaya pesakit akan terus terikat dengan mereka. Berbeza dengan kaedah kaunseling rawatan kanser konvensional di mana
pesakit akan diberikan maklumat yang terperinci tentang kaedah rawatan, kesan
sampingan dan apakah peluang untuk sembuh, pengamal perubatan alternatif
seringkali tidak memberi maklumat terperinci tentang apakah ubat-ubatan yang
digunakan serta kesan sampingan. Jika adapun data mengenai peluang untuk
sembuh, mereka memberi angka yang jauh lebih baik daripada angka sebenar. Pada
waktu yang sama pesakit akan diberikan maklumat palsu mengenai keburukan kaedah
rawatan konvensional termasuk rawatan ini bukan merawat kanser sebaliknya
membunuh pesakit kanser. Pendek kata hasil daripada kaunseling ini adalah
keterujaan pesakit untuk mendapatkan rawatan dan jikapun mereka gagal, mereka
tidak akan menyalahkan kaedah rawatan yang mereka terima, sebaliknya
menyalahkan diri sendiri kerana mendapatkan rawatan kanser konvensional
terlebih dahulu. Semasa rawatan diberikan, pesakit seperti dipaksa untuk tidak
berputus asa walaupun pada hakikatnya peluang untuk sembuh sudah tersangat
tipis. Jika pesakit bertambah serius semasa rawatan, mereka akan mendakwa bahawa ini adalah kesan yang normal sebelum proses penyembuhan, sedangkan hakikatnya kanser semakin merebak.Pesakit tidak diberikan maklumat yang tepat mengenai peluang untuk
sembuh sehingga mempunyai harapan palsu. Jika pesakit mengadu mengalami kurang
gejala seperti sakit, letih dan sebagainya, mereka akan diyakinkan bahawa itu
adalah petanda kanser sudah berkurangan sedangkan pada hakikatnya tidak. Melalui
kaedah ini, pesakit akan meneruskan rawatan dan mengeluarkan belanja yang besar
sedangkan kanser sudah tidak boleh disembuhkan. Malahan jika pesakit
mendapatkan rawatan daripada pakar kanser, kualiti hidup mereka dapat
diperbaiki dan mereka akan diberikan maklumat yang lebih tepat mengenai peluang
untuk sembuh, di samping kos rawatan yang jauh lebih rendah.
Terdapat juga
pengamal rawatan kanser alternatif ini mengambil pesakit kanser peringkat awal
yang sudah dirawat dengan kaedah pembedahan oleh pakar kanser. Tetapi walaupun
mereka ini sudah menjalani pembedahan, pakar kanser berpendapat adalah lebih
baik pesakit ini mengambil rawatan tambahan di dalam bentuk kemoterapi ataupun radioterapi untuk
meningkatkan kadar penyembuhan ataupun menurunkan kadar kejadian semula kanser.
Malangnya masyarakat kita telah diberikan maklumat palsu mengenai kemoterapi
sehingga ramai yang percaya kemoterapi adalah punca kematian pesakit kanser.
Maka akibat daripada ketakutan ini, mereka mendapatkan khidmat pengamal
perubatan alternatif yang tentu sekali akan menyokong pendirian mereka dan
mengesyorkan kaedah rawatan alternatif. Maka pesakit inipun terpengaruh dan
menerima rawatan alternatif sedangkan tanpa sebarang rawatan lanjutpun mereka
mungkin akan sembuh ataupun bebas daripada kanser untuk jangkamasa tertentu
kerana sudah menerima rawatan awal oleh pakar kanser. Pesakit-pesakit ini akan
mengeluarkan belanja yang besar untuk sesuatu yang mereka tidak perlukan tetapi
berkemungkinan untuk menghadapi kesan jangkamasa panjang kerana enggan
menjalani rawatan kemoterapi. Fenomena ini berlaku di mana-mana termasuk di
dalam negara kita.
Akhirnya ramai
pesakit akan kehilangan wang yang banyak dan terpaksa berhutang ataupun memohon
bantuan orang ramai untuk membiayai rawatan kanser alternatif ini. Saya ada terbaca
pesakit kanser luar negara yang menghabiskan wang sehingga lebih 1 juta dolar
Amerika untuk rawatan alternatif sedangkan mereka dapat menjimatkan banyak wang
jika mereka dirawat oleh pakar kanser dengan kaedah rawatan konvensional.
Sudahlah kanser yang dirawat tidak sembuh, gejala yang dialami tidak
berkurangan, pesakit-pesakit ini akan mengalami tekanan hidup kerana kesempitan
wang dan kesan ini akan dirasai oleh ahli keluarga mereka sekali. Kesan negatif rawatan kanser alternatif ini bukan setakat kehilangan wang ringgit dan kesan psikologi tetapi lebih daripada itu. Banyak kesan tidak langsung kepada masyarakat, beban kepada negara khususnya kementerian kesihatan dan ada berlaku di negara-negara lain jenayah penyeludupan ubat-ubat haram dari luar. Akibat rawatan ini juga pesakit boleh mengalami kesan sampingan dan lambat untuk mendapatkan rawatan kanser yang lebih berkesan. Pusat-pusat
rawatan kanser palsu ini akan terus mengaut keuntungan dan menggunakan modus
operandi yang sama ke atas pesakit-pesakit lain.
Hakikatnya,
semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif
sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional
akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser
dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 3 daripada kajian-kajian tersebut.
Pertamanya hasil kajian yang disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran
bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat,
paru-paru dan usus besar. Pesakit-pesakit ini enggan menerima rawatan kanser
moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Keseluruhannya kadar kematian
meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang
memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis-jenis kanser, kadar
kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit
kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus
besar. (1). Kajian kedua adalah oleh Chang EY, et al mendapati rawatan
alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan
meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati
sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara
mengalami kanser yang merebak dengan cepat (progressive disease)(2). Manakala
kajian ketiga adalah oleh Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua
kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan
pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani
rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser
yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala
kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan
36.4% mati akibat kanser.(3). Banyak lagi kajian-kajian yang sama dilakukan dan disiarkan di dalam jurnal-jurnal yang memberi kesimpulan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser menyebabkan kadar kematian akibat kanser meningkat berbanding dengan rawatan konvensional.
Apa yang saya
paparkan ini adalah cerita sebenar dan perkembangan yang berlaku di luar negara
di mana terdapat banyak pusat-pusat rawatan kanser alternative. Bukan
calang-calang orang yang terpengaruh dengan mereka termasuk artis, orang
kenamaan dan lain-lain lagi. Di antara negara-negara yang mempunyai pusat
rawatan kanser alternatif seumpama ini adalah China, German, Mexico dan
lain-lain. Negara kita bakal menuju ke arah yang sama jika tidak ada
langkah-langkah proaktif dilakukan oleh pihak yang berkuasa dan kurang
kesedaran dalam kalangan masyarakat. Kepada pesakit kanser, ketahuilah latar
belakang orang yang merawat anda dan jangan cepat terpengaruh dengan dakwaan
palsu yang diberikan oleh individu-individu yang bukan pakar di dalam merawat
pesakit kanser.
Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar
Perunding Ginekologi Onkologi
RUJUKAN
1. Johnson SB, et al. Use of Alternatif
Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute,
Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145.Published
August 2017.
2. Chang EY, et al. Outcomes of
breast cancer in patients who use alternatif therapies as primary treatment. Am
J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.
3. Han E, et al. Alternatif therapy
used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann
Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan
12
4. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/harmquack.html?fbclid=IwAR1ETaid3wrIZ-ePAAU8QXKr0m7HTQSXKFA_JAafB8LT7Pq1foE8uLwfQlU5. https://www.bangkokpost.com/news/special-reports/570851/cancer-patients-find-hope-and-hazard-in-china?fbclid=IwAR1sDoRmbKlX3eWilgUCvFfiEemqrskPkpxi9dt_lU37yiGotqKkm3ud_7k
6. https://sciencebasedmedicine.org/the-deadly-false-hope-of-german-cancer-clinics/?fbclid=IwAR1pYS29Iv-7D_KVt2_gW7oIJhb7gSZyZgReqoYglXGiROv0e2DC2L-5MHc
7. https://health.spectator.co.uk/quacks-are-everywhere-here-is-how-to-spot-them/
ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
ReplyDeletedapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q