MD,MOG(M”sia),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Kanser Ginekologi
Unit Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah
PENDAHULUAN
Isu marijuana ataupun Kanabis merupakan salah satu tajuk yang tidak pernah putus diperkatakan oleh masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Penggunaan marijuana untuk beberapa rawatan penyakit memang tidak dapat dinafikan tetapi persoalannya adakah kita boleh membiarkan marijuana ini digunakan oleh orang ramai tanpa ada kawalan undang-undang. Di dalam Perubatan, ektraks daripada marijuana digunakan untuk rawatan melegakan kesakitan, menangani loya dan muntah akibat rawatan kanser, mengurangkan sakit akibat penyakit multiple sclerosis dan glaucoma. Ianya juga digunakan untuk tujuan rekresional (keseronokan) dan meningkatkan tenaga. Disebabkan marijuana sering diperkatakan, pelbagai mitos telah wujud sehingga ianya dianggap satu bahan ajaib yang boleh menangani pelbagai penyakit. Terdapat banyak mitos yang disebarkan berkenaan dengan marijuana sehingga masyarakat menjadi keliru. Tidak kurang juga masalah wujudnya kumpulan taksub terhadap marijuana disebabkan oleh penyebaran mitos dan mudahnya disebarkan melalui media social.
MARIJUANA
Marijuana juga dikenali sebagai Ganja ataupun
Kanabis. Di negara lain marijuana dipanggil dengan pelbagai nama seperti pot,
grass, weed, hemp, hash, marihuana dan banyak lagi. Marijuana digunakan di
dalam pelbagai bentuk seperti rokok gulung, paip, curut, teh, dicampurkan di
dalam makanan seperti brownies, cookies dan candies. Bentuk yang tidak kurang
popular adalah di dalam bentuk resin berkepekatan tinggi termasuk minyak
(kelihatan seperti madu), waxy (lilin) dan keras/beku untuk tujuan mendapatkan
keseronokan dan juga kegunaan Perubatan. Pendek kata marijuana boleh dihasilkan
dalam seribu satu macam bentuk yang dapat menarik perhatian semua golongan dari
kecil hinggalah dewasa. Kesan marijuana lebih cepat dengan menghisap daripada
dalam bentuk makanan. Kesan marijuana yang diambil melalui makanan lebih
perlahan tetapi bukan bermaksud ianya lebih selamat kerana pengguna seringkali
mengambilnya dengan lebih banyak kerana menyangkakan yang ia tidak berkesan.
Sebenarnya di dalam daun Marijuana terdapat lebih
daripada 500 jenis bahan kimia dan salah satu kumpulan bahan kimia di dalamnya
dikenali sebagai Cannabinoids. Di bawah Cannabinoids
sahaja terdapat lebih 100 jenis kompoun. Dalam kalangan cannabinoids, dua
kompoun terpenting adalah Tetrahydrocannabinol
(THC) dan Cannabidiol (CBD). THC ditemui oleh Ahli Sains Israel
pada tahun 1964. Pokok ganja terdiri daripada banyak spesis dan setiap
spesis mengandungi kuantiti Cannabinoids yang berbeza2 terutamanya kandungan
THC. Kajian menunjukkan bahawa kandungan cannabinoid di dalam daun ganja telah
meningkat dari 1-4% pada masa dahulu kepada 7% pada hari ini. Terdapat
sekurang-kurangnya 5 perbezaan di antara THC dan CBD. THC dikatakan ingredient
yang psikoaktif iaitu ia boleh menyebabkan “high” manakala CBD tidak dan kedua-dua
komponen ini mempunyai baik dan buruknya. THC bertindak ke atas reseptor di
otak yang dikenali sebagai CB-1 dan CB-2 yang mengawal selera makan, mood, rasa
sakit dan ingatan. Jadi komponen THC inilah yang boleh membantu rawatan masalah
selera makan, sakit dan beberapa masalah psikologi seperti PTSD dan kemurungan.
Pada waktu yang sama THC juga boleh memudaratkan, THC boleh menyebabkan
keresahan dan paranoid (1). CBD mempunyai kesan antipsikotik tetapi tidak cukup
kuat untuk mengurangkan kesan samping THC ke atas minda seseorang. THC
mempunyai kesan membantu tidur seseorang manakala CBD pula disebaliknya
menyebabkan seseorang itu sukar untuk tidur. Kesan lali, mengantuk, mimpi dan
jaga yang diperolehi daripada mengambil marijuana adalah hasil daripada
tindakbalas THC dan CBD mengikut komponen mana yang lebih berpengaruh. Secara
umumnya CBD dapat mengurangkan kesan yang dibawa oleh THC. CBD juga didapati
dapat mengurangkan kesan keradangan (inflammatory), mencegah sakit dan boleh
merawat penyakit sawan. Jika THC dan CBD diekstrak keluar daripada marijuana,
setiap komponen ini mempunyai kesan yang berbeza dan juga membawa implikasi undang-undang
serta peraturan yang berbeza. Umumnya THC perlu mengikut peraturan ketat di
dalam penggunaanya manakala CBD pula di Amerika Syarikat diklasifikasikan
sebagai dadah Schedule 1 dibawah undang-undang federal. Bentuk farmakologi CBD
yang dikenali sebagai Epidiolex untuk rawatan penyakit sawan telah diluluskan
oleh FDA.
Terdapat 3 golongan masyarakat yang mempunyai
pendirian yang bertentangan tentang Marijuana. Ada yang berpendapat bahawa ianya patut
dibenarkan atau tidak dikenakan sekatan untuk kegunaan orang ramai manakala satu
golongan lagi tidak mahu ianya digunakan sewenang-wenangnya sebagaimana rokok
dan alkohol. Golongan ke-3 adalah golongan atas pagar yang tidak pasti dan
tidak mempunyai pendirian. Persoalan yang penting perlu dijawab adalah adakah
penggunaan Marijuana ini patut dikawal ketat ataupun dibenarkan penggunaannya
oleh orang ramai seperti menghisap rokok dan meminum alcohol. Untuk kesempatan
ini saya akan menjawab beberapa Mitos mengenai Marijuana yang menjadi alasan
yang digunakan oleh golongan yang memperjuangkan marijuana. Saya hanya akan
menggunakan bukti kajian saintifik yang telah disiarkan di jurnal-jurnal dan
bukan berdasarkan pandangan peribadi seseorang hatta daripada pakar Perubatan
sekalipun kerana di dalam disiplin Perubatan moden, sebarang dakwaan yang
dikeluarkan hendaklah berasaskan kepada bukti kajian saintifik..
MITOS 1 :
MARIJUANA TIDAK MENYEBABKAN KETAGIHAN
Hasil kajian menunjukkan bahawa dakwaan ini tidak
benar. Kajian telah menunjukkan bahawa THC yang terdapat di dalam marijuana
boleh menyebabkan ketagihan psikologikal dan juga fizikal pada kadar 7-10%. Ada
kajian menunjukkan kemungkinan seseorang untuk ketagih marijuana jika mengambil
marijuana lebih daripada 21 kali di dalam satu tahun adalah 17.8% untuk lelaki
dan 11.4% untuk wanita dengan purata kadar ketagihan sebanyak 13.9% (2).
Pengguna marijuana yang berat mengalami gejala “withdrawal” yang serius apabila
berhenti mengambil marijuana sama seperti yang dialami oleh ketagihan alcohol
dan merokok. Di antara gejala-gejala tersebut adalah gelisah, gian (“craving”),
kesukaran untuk tidur, mudah marah, tekanan perasaan , kurang selera makan,
meningkat selera makan, menjadi ganas, sukar untuk memfokus, mimpi ngeri, sakit
kepala, badan mengeletar, loya, sakit perut dan berpeluh. (3). Gejala ini
memuncak selepas 2-4 hari dan berkurang selepas 7-10 hari. Gejala seperti mudah
marah, gangguan tidur, kurang selera makan, rasa hendak marah, loya dan sakit
perut dikesan lebih kerap berlaku keatas penagih marijuana berbanding dengan
perokok. Ada
kajian menunjukkan bahawa seseorang itu lebih mudah untuk berhenti ketagihan
alcohol dan merokok berbanding dengan ketagihan marijuana. Walaupun ianya
kurang kesan ketagihan berbanding dengan heroin dan kokain, ketagihan marijuana
sebenarnya lebih serius daripada ketagihan merokok dan minum alcohol. Pengguna
marijuana akan mengalami apa yang dinamakan “marijuana use disorders” iaitu
peringkat awal sebelum ketagihan sebenar. Data terkini menunjukkan bahawa 30%
daripada pengamal marijuana akan mengalami beberapa cirri “marijuana use
disorders” dan individu yang mula mengambil marijuana pada usia kurang daripada
18 tahun mempunyai risiko 4-7 kali leih tinggi untuk mengalami marijuana use
disorder. Pada tahun 2014, 4.1 juta rakyat Amerika menyalahguna dan ketagih
marijuana, di mana 138,000 orang secara sukarela meminta supaya dirawat masalah
tersebut. Kajian juga mendapati bahawa penggunaan marijuana adalah tapak
permulaan untuk ketagihan bahan lain termasuk alcohol dan nikotin. Jadi
inidividu yang ketagihan marijuana mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk
ketagihan bahan-bahan lain.
MITOS 2 :
MENGHISAP MARIJUANA LEBIH SELAMAT DARIPADA MEROKOK
Merokok memang merupakan penyebab pelbagai jenis
penyakit termasuk kanser paru-paru, sakit jantung dan sebagainya. Walau bagaimanapun
untuk membuat perbandingan di antara kesan merokok dan menghisap marijuana,
kajian perbandingan hendaklah adil. Kajian merokok mudah dilakukan kerana
penagih rokok senang diperolehi sedangkan penagih marijuana lebih sukar
disebabkan oleh undang-undang yang ada jadi jika ada andaian yang mengatakan
merokok itu lebih merbahaya sebenarnya adalah disebabkan oleh tidak ada kajian
yang besar dilakukan ke atas penagih marijuana. Kita mempunyai lebih banyak
data mengenai kesan samping merokok berbanding dengan marijuana. Lebih banyak
data tidak bermaksud merokok itu lebih merbahaya. Terdapat kajian yang
membandingkan kesan mengambil marijuana dengan merokok oleh individu dewasa ke
atas risiko kanser paru-paru, selepas mengeluarkan factor-faktor “confounders”
(maksudnya jika kajian ke atas pengguna marijuana, kesan merokok akan
dikeluarkan supaya hanya kesan marijuana sahaja yang dikaji), pengambilan
marijuana meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 7% setahun, berbanding
dengan 6%,setiap pek setahun daripada merokok. Kajian itu juga menunjukkan
bahawa risiko menghidap kanser paru-paru adalah 5.7 kali lebih tinggi daripada
orang biasa ( relative risk of 5.7)(4). Pengkaji mendapati terdapat dua kali
ganda kepekatan bahan karsinogenik (penyebab kanser) di dalam marijuana yang
dikenali sebagai polycyclic aromatic
hydrocarbon ataupun PAHs, mereka tidak menggunakan penapis apabila mengambil
marijuana. Penghisap marijuana juga didapati menghisap masuk 5 kali ganda
kandungan karbon monoksida ke dalam paru-paru untuk setiap hisapan berbanding
dengan merokok (5). Menghisap marijuana juga meningkatkan risiko radang bronkus
(“bronchitis”), kecederaan saluran pernafasan dan mengganggu system imun di
dalam paru-paru. Kesan ini lebih besar daripada yang dapat dilakukan dengan
merokok. Menghisap marijuana juga meningkatkan risiko asma dan boleh
meningkatkan gejala serangan asma. Kandungan tar, ammonia, hydrogen sianida dan
nitous oksida juga lebih tinggi di dalam asap marijuana berbanding dengan asap
rokok (6). Kesan psikologi pengambilan marijuana tidak boleh dijangka, ada yang
merasa tenang, seronok dan bertenaga, tetapi ada juga yang akan mengalami
kerisauan, takut, paranoid (buruk sangka) dan panic. Jika diambil dalam
kuantiti yang banyak boleh menimbulkan gejala psikosis seperti halusinasi
(nampak atau dengar sesuatu yang orang lain tidak nampak atau dengar), delusi
(tanggapan yang tidak masuk akal) dan hilang pertimbangan diri. Pendek kata, marijuana
mempunyai kesan negative bukan sahaja ke atas fizikal, tetapi juga mental dan
psikologi.
MITOS 3 :
GIAN (“HIGH”) SEMASA MENGAMBIL MARIJUANA TIDAK MERBAHAYA SEMASA MEMANDU
Jika anda menggunakan marijuana dalam masa 24 jam
dan memandu, anda berisiko untuk mengalami kemalangan jalanraya sebanyak 2.4
kali lebih tinggi. Walaupun kemalangan jalanraya lebih banyak ditemui dalam
kalangan orang yang meminum alcohol ianya adalah disebabkan oleh bilangan orang
yang mengambil alcohol itu lebih ramai berbanding dengan penagih marijuana.
Marijuana menyebabkan kesan mental yang sama seperti alcohol bila dikaitkan
dengan risiko kemalangan jalanraya seperti gangguan kemahiran memandu dan ianya
bergantung dengan dos (“dos dependent”). Kesan risiko kemalangan jalanraya
meningkat apabila pengguna mengambil kedua-duanya sekali (7). Kajian menunjukkan
bahawa risiko terlibat dengan kemalangan bergantung kepada kuantiti THC di
dalam darah, kandungan THC yang tinggi di dalam darah meningkatkan risiko
kemalangan sebanyak 3-7 kali ganda lebih tinggi daripada seseorang yang tidak
menggambil sebarang benda yang memabukkan (8). Apa yang merisaukan tentang
marijuana adalah dadah yang diambil itu tinggal lebih lama di dalam darah anda
berbanding dengan alcohol. Kesan gangguan kepada kemahiran memandu mula dialami
selepas 20-40 minit menghisap marijuana dan ini berlanjutan selama 2.5 jam.
MITOS 4 :
ANDA TIDAK BOLEH KERACUNAN (“OVERDOSE”) DENGAN MARIJUANA
Ahli Farmakologi menggunakan istilah LD50 ataupun
Lethal dose 50 untuk menguji kesan sampingan ataupun keracunan sesuatu bahan.
LD50 adalah kuantiti bahan yang diambil yang boleh menyebabkan kematian ke atas
50% daripada sampel yang diuji. Ujian ini dilakukan ke atas haiwan. Jika
dibandingkan dengan arsenic, LD50 untuk marijuana (THC) dalam bentuk sedutan
adalah 42 mg/kg berat badan berbanding dengan 14 mg/kg arsenic. Nikotin
mempunyai LD50 sebanyak 50 mg/kg, kafein 192 mg/kg dan alcohol lebih kurang
7060 mg/kg. Lagi rendah nilai LD50 bermaksud lebih toksik ataupun lebih beracun
bahan tersebut. Anda juga boleh mengalami narcosis THC yang akut ataupun intoksikasi
jika mengalami keracunan (overdose), ia mungkin tidak menyebabkan kematian
tetapi anda akan lumpuh, tidak sedar dan kesesakan bernafas. Anda perlu cepat
ke hospital untuk mengelakkan diri daripada mengalami komplikasi lain yang
boleh membawa kematian (9). Penghidap asma yang mengambil marijuana boleh
menjadi penyebab serangan serius asma dan kematian. Di Amerika Syarikat,
terdapat negeri2 yang membenarkan penggunaan marijuana sehingga kadar
pengambilan marijuana oleh remaja meningkat dan membimbangkan sehingga ada yang
mencecah 39% dalam kalangan remaja. Masalah Perubatan kecemasan akibat daripada
marijuana juga meningkat di mana dalam tahun 2011 pemantau penyalah gunaan
dadah Amerika yang dikenali sebagai DAWN ( The Drug Abuse Warning Network)
telah menganggarkan hampir 456,000 kes kecemasan yang berkaitan dengan dadah
telah melapurkan nama Marijuana di dalam rekod Perubatan dan angka ini adalah
21% lebih tinggi jika dibandingkan daripada tahun 2009.
MITOS 5 :
MARIJUANA ADALAH PADA ASASNYA SEJENIS TUMBUHAN HERBA DAN MENYIHATKAN JIKA IANYA
TIDAK DIHISAP.
Marijuana adalah sejenis tumbuhan yang mengandungi
bahan kimia di dalamnya dan salah satu daripadanya adalah THC yang diketahui
boleh merosakkan otak jika diambil berlebihan. Apabila mengambil marijuana di
dalam bentuk asal samada mentah ataupun dikeringkan, anda tidak tahu berapa
banyakkah kandungan THC di dalamnya dan kesan sampingan yang berlaku bergantung
kepada dos THC yang diambil. Kesan paling serius yang dilakukan oleh THC adalah
kesan ke atas otak anda. Reseptor cannabinoid walaupun paling banyak terdapat
di dalam otak, ianya didapati di hampir kesemua oragan badan anda termasuk
jantung dan hati. Terdapat banyak kesan negative THC ke atas otak anda, di
antaranya adalah kesan negative ke atas bahagian otak yang mengawal pergerakan
badan, keseimbangan badan, koordinasi, pembelajaran, pusat selera makan, emosi,
ingatan, pertimbangan dan juga kenikmatan. THC juga memberi kesan negative
kepada perkembangan otak, menyebabkan pesakit psikotik seperti schizophrenia
dan kemurungan bertambah teruk. Marijuana juga diketahui mempunyai karsinogen
ataupun agen penyebab kanser. Kajian juga menunjukkan bahawa ibu hamil yang
mengambil marijuana mempunyai 36% lebih tinggi untuk melahirkan anak yang
cacat. (10). Terdapat juga kajian yang menunjukkan ibu hamil yang menggambil
marijuana melahirkan anak yang mempunyai saiz kepala yang lebih kecil dan juga
mempunyai risiko yang lebih tinggi melahirkan anak pramatang. Americaal College
of O&G mengesyorkan supaya wanita yang
ingin hamil berhenti mengambil marijuana dalam apa sahaja bentuk sebelum hamil.
Ketika hamil juga mereka tidak digalakkan untuk mengambil produk marijuana
untuk tujuan pengubatan (11).
Terdapat kajian yang mengaitkan pengambilan
marijuana dengan menghidap penyakit jiwa ataupun psikosis seperti “bipolar
disorders” , kemurungan dan Schizophrenia. Pengamal marijuana kronik mempunyai
isipadu hippocampal dan amygdale yang lebih rendah dan ini dikaitkan dengan
gejala psikosis. (12). Risiko kerosakan otak ini lebih tinggi jika marijuana
diambil pada usia yang lebih muda. Pengambilan marijuana pada usia muda
dikaitkan dengan meningkatnya risiko sehingga 6 kali ganda menghidap
Schizophrenia dan tahap risiko ini bergantung kepada dos dan kekerapan
mengambilnya. Kadar kejadian membunuh diri juga didapati lebih tinggi dalam
kalangan penagih marijuana sebanyak 1.3-2.1 kali lebih tinggi. (13).
Kajian juga menunjukkan jika suntikan THC diberikan kepada pesakit
Schizophrenia yang sudah stabil, ia boleh meningkatkan gejala psikosis pesakit
ini termasuk halusinasi, gangguan persepsi, ketegangan badan dan dyskinesia. (14).
MITOS 6: MARIJUANA HANYA
MEMBERI KESAN KE ATAS OTAK DAN PARU-PARU SAHAJA
Penggunaan marijuana telah dikaitkan dengan insiden kanser seperti
kanser buah zakar, hilang ingatan (amnesia), serangan pitam semasa berdiri
(postural syncope), boleh meransang serangan jantung (myocardial infaction)
dari kesan vasospastik (mengecutkan saluran darah), THC mengurangkan kandungan
asid lemak di otak dan penggambilan jangkapanjang mengurangkan isipadu otak,
marijuana yang dihisap juga menyebabkan kerosakan gigi, penyakit gusi dan
meningkatkan risiko mendapat prakanser mulut. (15,16). Salah satu lagi gejala
yang baru dikaitkan dengan pengambilan marijuana adalah dikenali sebagai
Cannabinoid hyperemesis syndrome iaitu gejala loya, muntah dan sakit perut yang
berlaku secara periodic. Ini adalah kesan yang bertentangan dengan salah satu
manfaat marijuana iaitu mengurangkan muntah. Pesakit mengalami loya dan muntah
yang teruk dan menunjukkan tabiat sering mandi air panas (hot bathing) kerana
didapati kaedah ini boleh mengurangkan gejala penyakit ini. Punca syndrome ini
belum dapat dipastikan. Kesan pengambilan marijuana semenja usia remaja boleh
memberi kesan yang serius terhadap kemampuan untuk belajar dan gangguan ingatan
jangkapanjang.
MITOS 7 : MARIJUANA TERBUKTI BERKESAN MERAWAT KANSER
Sesuatu ubat melawan penyakit
kanser hanya dikatakan berkesan setelah ianya disahkan berkesan selepas melalui
kajian klinikal pada fasa 3 iaitu kajian besar ke atas pesakit-pesakit kanser.
Tajuk kajian saintifik ini telah dibincangkan panjang lebar di dalam tulisan
saya yang lalu (rujuk di sini). Kajian makmal dan kajian fasa satu tidak cukup
untuk digunakan sebagai bukti keberkesanan. Ubat antikanser lebih kompleks
daripada ubat-ubat moden yang lain kerana untuk menentukan keberkesanan ubat
antikanser, bukan sahaja dinilai dari segi berapa cepat ianya dapat membunuh
sel-sel kanser tetapi yang lebih penting adalah berapa lama ianya dapat memanjangkan
hayat dan memperbaiki mutu kehidupan seseorang pesakit. Kajian yang mengambil
masa yang panjang perlu dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang tersebut.
Ramai ahli masyarakat yang menerima bulat-bulat dakwaan keberkesaan ubat
antikanser hanya berdasarkan kepada kajian makmal dan testimoni. Kajian makmal
dan testimoni sebenarnya hanya baru dikira peringkat kajian pra-klinikal dan
tidak sekali-kali dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan. Setakat rencana
ini ditulis tidak ada mana-mana Pertubuhan Kanser, Institut Kanser dan
lain-lain badan2 antarabangsa termasuk FDA yang mengiktiraf cannabinoid
sebagai agent anti-kanser. Salah sebuah pertubuhan kanser adalah American
Cancer Society (ACS), sila klik pada paparan ini untuk membaca pendirian
ACS mengenai Marijuana dan Kanser (17). Memoral Sloan Kettering Cancer Centre
juga di dalam kenyataannya mengatakan bahawa tidak ada asas kajian saintifik
yang kukuh untuk mendakwa marijuana di dalam apa sahaja bentu termasuk di dalam
bentuk minyak yang dapat merawat penyakit kanser. Ianya sama seperti dakwaan
palsu antikanser yang diberikan kepada Laetrile (Vitamin B17) dan juga
minuman/makanan beralkali (18). TIDAK ada mana-mana Pakar Kanser (Oncologist)
di dunia yang mengiktiraf dan menggunakan cannabinoid untuk merawat kanser di
dalam amalan klinikal mereka (selain dari untuk tujuan kajian). Bukti
cannabinoid sebagai agen anti-kanser hanya ditemui oleh kajian ke atas tikus
dan setakat ini belum ada kajian besar ke atas manusia. Kajian ke atas manusia
baru di peringkat fasa 1, itupun melibatkan beberapa orang pesakit sahaja.Is
hanya dikategorikan sebagai "substance with POTENTIAL anti-cancer
activity" (hanya berpotensi, itupun jika cannabinoid di ekstrak dan
ditentukan kuantitinya, BUKAN dengan makan/minum/hisap rokok/daun ganja. Di
sebaliknya pula terdapat lapuran hasil kajian yang menunjukkan bahawa individu
yang mengambil marijuana terutama di dalam bentuk sedutan meningkatkan risiko
kanser paru-paru dan kanser oropharyngeal (tekak). (19) Setakat ini hanya 2 jenis
cannabinoid yang diekstrak ataupun yang dihasilkan secara sintetik DILULUSKAN
untuk kegunaan sebagai ubat iaitu Dronabinol dan Nabilone tetapi
hanya untuk kegunaan mengurangkan kesan samping ubat kemoterapi iaitu loya dan
muntah. Dronabinol mengandungi THC juga diluluskan oleh FDA untuk tujuan
menangani masalah kurang selera makan dan kehilangan berat badan yang dihadapi
oleh pesakit AIDs. Sejenis lagi kanabinoid yang sedang dikaji adalah Nabiximols yang diambil melalui
semburan ke dalam mulut mengandungi kedua-dua THC dan CBD (nisbah 1:1). Ianya
boleh diperolehi di Kanada dan beberapa negara Eropah untuk merawat kesakitan
akibat kanser, kejang otot dan sakit disebabkan oleh multiple sclerosis.Kesimpulannya
belum ada bukti kukuh bahawa marijuana dapat merawat kanser yang dihidapi oleh
manusia.
MITOS 8 : MARIJUANA
TIDAK MEMPUNYAI KESAN KE ATAS PERSEKOLAHAN, KERJA DAN KEHIDUPAN SOSIAL
Daripada maklumat-maklumat yang dinyatakan di dalam
rencana ini, jelas menunjukkan bahawa jika sekiranya penggunaan Marijuana ini
tidak dikawal maka ianya akan mendatangkan banyak mudarat kepada masyarakat.
Tidak seperti rokok dan alkohol, marijuana boleh diambil di dalam pelbagai
bentuk sehingga boleh mengabui sesiapa sahaja. Ianya boleh dimasukkan ke dalam
makanan, kek dan lain-lain, boleh dijadikan seperti coklat dengan pelbagai
warna yang tentu menarik perhatian kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa
kesan negatif marijuana ke atas tumpuan, ingatan dan proses belajar boleh
berpanjangan selama beberapa hari hingga beberapa minggu selepas berhenti. Jadi
sesorang yang mengambil marijuana setiap hari boleh menjadi seseorang yang
fungsi intelektual sentiasa rendah sepanjang masa. Pelajar yang menghisap
marijuana didapati mempunyai pencapaian akademik yang lebih rendah. Kajian
menunjukkan bahawa pelajar yang mengambil marijuana berkemungkinan lebih tinggi
untuk tidak dapat melengkapkan pengajian, kurang kemungkinan untuk mendapat
ijazah, lebih tinggi kemungkinan untuk ketagihan dadah jenis lain, lebih tinggi
kemungkinan untuk berpendapatan rendah, menganggur, terlibat dengan jenayah dan
kadar kepuasan hidup yang lebih rendah. (20,21,22). Kajian soal selidik ke atas
pengamal marijuana juga mendapati bahawa mereka mendakwa tabiat mereka itu mempunyai kesan negatif ke
atas kebolehan kognitif, pencapaian kerjaya, kehidupan sosial dan kesihatan
fizikal serta mental.(23). Terdapat kajian yang mendapati bahawa terdapat
hubungan di antara pengambilan marijuana dengan kemalangan tempat kerja di mana
pekerja yang didapati positif kepada marijuana ketika ujian kencing dilakukan
mempunyai 55% lebih tinggi risiko untuk mengalami kemalangan industri, 85%
lebih tinggi risiko kecederaan dan 75% lebih tinggi tidak datang kerja
berbanding dengan pekerja yang didapati negatif kepada marijuana.(24)
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(M”sia),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Kanser Ginekologi
Unit Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah
RUJUKAN
- Morgan CJA, Schafer G, Freeman TP, Curran. Impact of cannabidiol on the acute memory and psychotomimetic effects of smoked cannabis: naturalistic study. The British Journal of Psychiatry, 2010;197(4); 285-290
- Ehlers CL, Gizer IR, Vieten C, et al. Cannabis dependence in the San Francisco Family Study: age of onset of ue, DSM-IV symptoms, withdrawal and heritability.Addict Behav, 2010 Feb;35(2):102-110, doi 10.1016/j.addbeh.2009.09.009
- Vandrey RG, Budney AJ, Hughes JR, Liguori A. A within-subject comparison of withdrawal symptoms during abstinence from cannabis, tobacco and both substances. Drug Alcohol Deen, 2008; 92(1-3),48-54
- Aldington S, Harwood M, Cox B, et al. Cannabis use and risk of lung cancer: a case-control study. Eur Respir. J, 2008; 31(2):280-6, doi: 10.1183/09031936.00065707
- Aldington S, William M, Nowitz M, et al. Effects of cannabis on pulmonary structure, function and symptom. Thorax, 2007; 62:1058-1063
- Moir D, Rickert WS, Levasseur G, et al. A comparison of mainstream and sidestream marijuana and tobacco cigarette smoke produce under two machine smoking conditions. Chem Res Toxicol, 2008;21(2):494-502
- Sewell RA, Poling J, Sofuoglu M. The effect of cannabis compared with alcohol on driving. Am J Addict. 2009; 18(3):185-193
- Ramaekers JG, Berghaus G, Van Laar M, Drummer OH. Dose related risk of motor vehicle crashes after cannabis use. Drug and Alcohol Dependence, 2004; 73(2):109-119
- PharmD EJ, Leymarie F, Tubery M, Mestre ML. Cannabis-related hospitalizations: unexpected serious events identified through hospital databases. British J of Clinical Pharmacology. 2010. DOI:10.1111/j.1365-2125.2010.03897.x
- Linn S, Schoenbaum SC , Monson RR, et al. The Association of Marijuana Use with Outcome of pregnancy. Am J Public Health, 1983;73:1161-1164
- http://www.acog.org/Resources-And-Publications/Committee-Opinions/Committee-on-Obstetric-Practice/Marijuana-Use-During-Pregnancy-and-Lactation
- Yucel M, Solowi N, Resondek C, et al. Regional brain abnormalities associated with long-term heavy cannabis use. Arch Gen Psychiatry. 2008;65(6):694-701
- Zammit S, Allebeck P, Andreasson S, et al. Self reported cannabis use as a risk factor for schizophrenia in Swedish conscripts of 1969: historical cohort study. BMJ 2002;325:1199
- D’sauza DC, Abi Saab WM, Madonick S, et al. Delta-9-tetrahydrocannabinol effects in schizophrenia: Implications for cognition, psychosis and addiction. Biology Psychiatry, 2005;57(6):594-608
- Daling JR, Doody DR, Sun X, et al. Association of marijuana use and the incidence of testicular germ cell tumours. Cancer, 2009;115(6):1215-1223
- Mukamal KJ, Maclure M, Muller JE, Mittleman MA. An Exploratory Prospective study of marijuana use and mortality following acute myocardial infaction. Am Heart J, 2008;155(3):465-470
- .http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/ physicalsideeffects/chemotherapyeffects/marijuana-and-cancer
- https://www.mskcc.org/blog/truth-behind-three-natural-cures
- Mark MA, Chaturvedi AK, Kelsey K, et al. Association of marijuana smoking with oropharyngeal and oral tongue cancers: pooled analysis from the INHANCE consortium. Cancer Epidemiol Biomarkers Prev, 2014; 23(1):160-71.
- Macleod J, Oakes R, Copello A, et al. Psychological and social sequelae of cannabis and other illicit drug use by young people: a systematic review of longitudinal, general population studies. Lancet Lond Engl. 2004;363(9421):1579-1588. doi:10.1016/S0140-6736(04)16200-4
- Fergusson DM, Boden JM. Cannabis use and later life outcomes. Addict Abingdon Engl. 2008;103(6):969-976; discussion 977-978. doi:10.1111/j.1360-0443.2008.02221.x.
- Brook JS, Lee JY, Finch SJ, Seltzer N, Brook DW. Adult work commitment, financial stability, and social environment as related to trajectories of marijuana use beginning in adolescence. Subst Abuse. 2013;34(3):298-305. doi:10.1080/08897077.2013.775092
- Gruber AJ, Pope HG, Hudson JI, Yurgelun-Todd D. Attributes of long-term heavy cannabis users: a case-control study. Psychol Med. 2003;33(8):1415-1422.
- Zwerling C, Ryan J, Orav EJ. The efficacy of preemployment drug screening for marijuana and cocaine in predicting employment outcome. JAMA. 1990;264(20):2639-2643.
Link American Cancer Society on Marijuana and
Cancer http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/physicalsideeffects/chemotherapyeffects/marijuana-and-cancer
Link risk of marijuana
RENCANA
INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN
DAN INSTITUSI. SEMUA ISI KANDUNGAN RENCANA INI ADALAH HAK PENULIS DAN TIDAK
DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBILNYA UNTUK DITUKARKAN DALAM APA SAHAJA BENTUK TANPA
KEBENARAN PENULIS.
Tq dr..sy tcari bahan adakah ekstrak minyak produk hemp oil blh memulihkan knser...
ReplyDelete