Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),Fellow GO(S'pore), AM
MD,MOG(UKM),Fellow GO(S'pore), AM
Mengambil
air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga
kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat
digunakan termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda
mengetahui bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa
ragu-ragu. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah anda
(baca di sini mengenai jenis pencemaran air):
1. Rupa
fizikal air. Air yang
jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang keruh ataupun
berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing ataupun organisma.
Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi
sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air
itu pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang
mendap ataupun kekeruhan.
2. Bau
dan rasa air. Air
yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin disebabkan oleh pencemaran
terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh penguraian organisma
ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan oleh kandungan
sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin adalah
perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu kuat. Air yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan seperti rasa sabun, terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin disebabkan oleh air terlalu beralkali dan terlalu payau mungkin disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.
3. Kaedah
objektif mengukur kebersihan air
adalah dengan kaedah ujian makmal. Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang
bertanggungjawab merawat air yang sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal
sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh jenis bahan pencemaran yang mungkin ada
di dalam air termasuk kandungan organisma, racun serangga, bahan mineral, logam
dan lain-lain. Sila baca di sini untuk mengetahui bagaimana air dirawat. Walau
bagaimanapun bagi orang awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh
digunakan dirumah. Alat pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin,
nitrat, mineral dan logam seperti besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat
menguji kekerasan air (hardness of water). Air yang keras (hard water)
mengandungi kandungan mineral dan logam yang tinggi. Contoh kit ujian yang
boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah Watersafe kit yang boleh
menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga (pesticide), Nirat
dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini, boleh layari
video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0). Di Malaysia agak sukar untuk mencari alat pengukur kebersihan air ataupun Water Quality Test Kit, mungkin ianya perlu diimport ataupun perlu diperolehi dari wakil pembekal Malaysia, contoh-contoh pembekal adalah seperti di link bawah:
a. Complete home water quality test kit
b. Digital LCD water tester
c. Pocket tester
Saya tidak mempromosikan produk2 di atas sebab tidak arif mengenai ketepatan alat-alat pengukur ini. Anda boleh membuat analisa sendiri dan dapatkan maklumat tentang apakah ujian yang dijalankan. Kebanyakan alat-alat kecil ini menguji pH air, kandungan klorin, florin,suhu dan beberapa jenis bahan mineral. Ia tentu sekali tidak sama dengan peralatan makmal yang canggih ataupun ujian kebersihan yang dilakukan oleh Jabatan Kimia yang lebih komprehensif.
a. Complete home water quality test kit
b. Digital LCD water tester
c. Pocket tester
Saya tidak mempromosikan produk2 di atas sebab tidak arif mengenai ketepatan alat-alat pengukur ini. Anda boleh membuat analisa sendiri dan dapatkan maklumat tentang apakah ujian yang dijalankan. Kebanyakan alat-alat kecil ini menguji pH air, kandungan klorin, florin,suhu dan beberapa jenis bahan mineral. Ia tentu sekali tidak sama dengan peralatan makmal yang canggih ataupun ujian kebersihan yang dilakukan oleh Jabatan Kimia yang lebih komprehensif.
4. Menghubungi pembekal air setempat dan
dapatkan maklumat kebersihan air di rumah anda. Mereka tentu menyimpan bacaan
ataupun keputusan proses pemantauan air yang mereka lakukan secara berkala. Ini
adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan pencemaran air adalah
terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi.
5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional. Kaedah ini memerlukan perbelanjaan sendiri
dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di
Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan
digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada
makmal berkenaan untuk analisa.
KLORIN DAN FLORIDA DI
DALAM AIR YANG DIRAWAT : ADAKAH IANYA SELAMAT ?
Klorin
adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma.
Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang
dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan
membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang
akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh
mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti
yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk
menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu
trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas
badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing
dan usus) masih tidak disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum
air berklorin tidak memudaratkan kesihatan menyanggah dakwaan yang diwar-warkan oleh
syarikat pengedar alat penapis air. IARC ( International Agency for Research of Cancer)
sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di
dalam air dan mereka merumuskan bahawa tidak ada cukup bukti yang boleh
mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada
manusia ataupun haiwan (rujuk di sini). WHO menetapkan
had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter.
Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan
dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.
Florida
pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida
dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi
dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi
florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara
semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak
tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan
yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat
kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum
di Amerika adalah 4.0 mg/L. Ada yang
menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan
had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6
mg/L (rujuk di sini).
Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan
masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah).
Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil
kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas
tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara
florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti
kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat
jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan
florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang
sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin
bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National
Research Council, National Health Service UK,
IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on
Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak
ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang,
kanser tiroid dan lain-lain kanser. Kesimpulannya, klorin dan florida yang terkandung di dalam air yang dirawat adalah selamat untuk diminum jika kandungannya dipantau dan di dalam julat piawaian yang ditetapkan.
http://www.wikihow.com/Test-Water-Purity
air dirumah saya menggunakan air boring..walaupun sudah di tapis tapi masih berbau..apa puncanya?..bagaimanakah cara merawatnya
ReplyDeletecontact saya 01127378959
Delete