Thursday, March 3, 2016

PROSES RAWATAN AIR DAN BEKALAN AIR KE RUMAH



Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Kira-kira 97% daripada air di bumi adalah air masin, manakala hanya 3% sahaja merupakan air tawar. Air tawar digunakan oleh manusia untuk pelbagai kegunaan. Terdapat empat sumber air untuk kegunaan manusia iaitu air hujan, air larian di permukaan (sungai, parit, laut), air dalam tanah dan air dari proses perwapan. Di Semenanjung Malaysia, 50% dari sumber air datangnya dari air hujan daripada sejumlah 640 billion meter padu air yang dihasilkan di dalam satu tahun.
Daripada 3% air tawar yang terdapat di bumi, dua pertiga daripadanya adalah di dalam bentuk ais, manakala bakinya adalah air dalam tanah dan hanya sebahagian kecil sahaja air permukaan.Terdapat banyak kegunaan air dan di antaranya adalah untuk penggunaan di rumah, pertanian, perindustrian dan ada juga air digunakan untuk tujuan rekreasi. Hanya 1% sahaja air yang terdapat di bumi ini boleh diminum.

Terdapat dua jenis air yang boleh digunakan untuk minum iaitu air mentah dan air yang dirawat. Air mentah adalah air tawar yang terdapat secara semulajadi seperti air hujan, air sungai, air tasik dan air di dalam tanah. Manakala air yang dirawat adalah air yang diperolehi dari sumber air mentah tetapi menjalani rawatan tertentu untuk menjadikannya selamat digunakan oleh manusia samada untuk kegunaan di bilik air, ditandas, untuk tujuan memasak makanan ataupun untuk tujuan diminum.

AIR MENTAH

Air mentah merupakan sumber air yang paling besar digunakan oleh manusia untuk tujuan memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di negara-negara mundur dan membangun. Untuk tujuan minum, air mentah ini akan dididihkan bagi membunuh organisme yang terdapat di dalamnya. Air mentah juga digunakan di dalam industry pembinaan, penternakan dan juga untuk tujuan pembersihan. Komposisi air mentah berbeza-beza bergantung kepada sumber daripada mana ianya diperolehi. Di antara bahan-bahan yang terdapat di dalam air mentah adalah :
1.   Asid humik, iaitu asid komplek yang dihasilkan dari penguraian tumbuh-tumbuhan, asid ini menyebabkan air menjadi berwarna.
2.   Bahan mineral seperti karbonat, kalsium dan magnesium. Air yang mengandungi tinggi bahan-bahan mineral ini dikenali sebagai air keras (hard water), air keras boleh diminum tetapi kurang sesuai digunakan di dalam alat industry disebabkan oleh pemendapan kapur yang dihasilkan oleh mineral kalsium dan karbonat. Air mentah yang mengandungi kurang mineral pula dikenali sebagai “soft water”.
3.   Bahan dari tanah liat dan pasir
4.   Mikroorganisme seperti bakteria, virus dan protozoa
5.   Molekul oksigen yang terlarut
6.   Garam di dalam air mentah boleh diperolehi apabila berlaku pertemuan di antara air laut dan air sungai. Kandungan garamnya tidak sebanyak air laut.

AIR YANG DIRAWAT

Air yang dirawat adalah air yang telah menjalani proses pembersihan dari bahan-bahan pencemar untuk tujuan digunakan oleh manusia termasuk minum. Sumber air yang dirawat ini mungkin dari air mentah ataupun air yang telah digunakan oleh manusia. Air yang telah digunakan oleh manusia dikenali sebagai air sisa atau kumbahan. Di setengah negara seperti Singapura, air kumbahan dirawat dan dikitar semula supaya boleh digunakan untuk minum, melalui program yang dikenali sebagai NEWater. Di Malaysia, disebabkan oleh sumber air yang mencukupi, mungkin belum sampai ke tahap seperti di Singapura. Bahan-bahan yang dikeluarkan semasa proses rawatan ini adalah seperti bahan pepejal, bakteria, algae, virus, kulat, bahan-bahan mineral tertentu seperti besi dan manganese. Proses merawat air boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan ianya terbahagi kepada kaedah mekanikal, kaedah fizikal, kaedah biological dan juga kaedah kimia.

PROSES RAWATAN AIR

Untuk tujuan penggunaan air di rumah, proses rawatan air ini dilakukan di loji rawatan air. Proses rawatan air ini terdiri dari beberapa peringkat:
1.   Penyaringan
Serpihan kayu, daun, tumbuhan akuatik dan bendasing yang terapung akan diasingkan melalui proses penyaringan. Selepas melalui proses penyaringan ini, bahan terampai yang lebih padat akan dibuang dengan membenarkan air mengalir melalui kebuk yang akan memendapkan bahan ini di dasar.
2.   Proses Pengudaraan
Air mentah yang dipam akan dicampurkan dengan udara di ruang pengudaraan. Proses ini menghasilkan oksigen dari atmosfera untuk melakukan pengoksidan ke atas besi dan manganese. Besi dan manganese yang asalnya larut di dalam air akan menjadi tidak larut akibat dari pengoksidan ini dan ianya akan dapat disingkirkan. Proses pengudaraan ini juga dapat membuang rasa dan bau air yang tidak menyenangkan.

3.   Proses koagulasi dan flokulasi
Koagulasi bermaksud pengetulan, manakala flokulasi pula bermaksud pengumpalan. Proses ini seringkali menggunakan tawas. Hasilnya adalah pembentukan kentalan (ekstrak) yang boleh mendap.

4.   Sedimentasi
Sedimentasi bermaksud pemendapan. Kentalan yang mendap tadi akan dibenarkan mengalir melalui tangki sedimentasi untuk  tempoh yang panjang supaya pemendapan berlaku dengan sempurna. Air yang jernih akan berkumpul di bahagian atas. Terdapat juga kentalan yang ringan dan tidak mendap sebaliknya terapung. Kentalan ini akan melalui proses yang berbeza iaitu menggunakan gelembung udara untuk mengapungkannya dan air di bahagian bawah menjadi jernih.

5.   Proses Penapisan
Proses ini akan memisahkan mendapan dari air bersih. Air yang bersih kemudiannya akan memasuki tangka air jernih. Penapis akan dicuci menggunakan kaedah backwash dengan kerap melalui kombinasi adunan udara dan air bagi memastikan kelancaran proses.

6.   Proses Disinfeksi dan Pelarasan pH
Air di dalam tangka jernih akan disinfeksi bagi menghapuskan mikroorganisma yang masih tertinggal di dalam air selepas proses penapisan. Klorin bergas ataupun kompoun klorin lazimnya digunakan untuk tujuan pembasmian kuman. Paras pH diselaraskan menggunakan kapur ataupun bikarbonat.

7.   Proses fluoridasi
Proses ini adalah mencampurkan air bersih dengan bahan kimia sodium fluoride untuk tujuan membekalkan air dengan kandungan fluorida. Fluorida adalah untuk membantu menjaga kebersihan gigi dan mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak. Walaubagaimanapun, kandungan fluorida di dalam air perlu dipantau agar tidak melebihi paras yang telah ditetapkan oleh Drinking Water Quality Standard for Malaysia bagi mengelakkan risiko fluorosis dikalangan kanak-kanak. Paras kandungan fluorida yang dibenarkan di dalam air minum adalah 0.4 – 0.6 mg/l

8.   Tangki Air Jernih
Proses Disinfeksi dan penyelarasan pH merupakan proses terakhir hingga menghasilkan air yang dirawat. Air ini kemudiannya akan disimpan di dalam tangka air jernih bagi tujuan pengagihan.

9.   Pengagihan Air
Pengagihan air akan bermula dari tangka air jernih di loji rawatan air. Air dari tangki air jernih ini akan dipam melalui sistem saluran yang panjang bagi mengimbangi takungan dengan ketinggian yang mencukupi untuk tujuan pengagihan menggunakan tekanan gravity. Melalui kaedah ini, air akan disalurkan kepada tangka-tangki air pengguna. 


PEMANTAUAN AIR YANG DIRAWAT

Proses pemantauan air yang dirawat dilakukan di bawah Program Pemantauan Kualiti Air minum. Garispanduan pemantauan ini dikeluarkan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minum Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Garispanduan ini berdasarkan kepada piawaian yang dikeluarkan oleh WHO dan merupakan standard kualiti air yang selamat diminum, dirumus melalui perbincangan ahli panel dari Jabatan kerjaraya, Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar. Standard kualiti air (Drinking Water Quality Standard for Malaysia) untuk tujuan diminum telah ditetapkan dan ianya meliputi ujian pH, suhu, warna, kandungan bahan organik, organisma, logam, bahan kimia, racun serangga dan lain-lain. Untuk melihat jadual Piawaian ini sila ke laman web http://kmam.moh.gov.my/public-user/drinking-water-quality-standard.html. Manakala kaedah dan kekerapan pemantauan boleh diketahui di laman web ini http://kmam.moh.gov.my/faq.html. Secara amnya ada 4 kumpulan pemantauan iaitu kumpulan 1 hingga 4. Contohnya kumpulan 1 adalah pemantauan parameter fizikal dan mikrobiologi yang dijalankan sekali setiap minggu di Basic Station dan setiap bulan di sistem agihan. Pemantauan untuk kumpulan 1 ini dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kumpulan 2 adalah parameter kimia inorganic, Kumpulan 3 : Parameter logam berat dan kimia organic dan Kumpulan 4 parameter pestisid. Kumpulan 2-4 dipantau oleh Jabatan Kimia. Sampel air untuk mengukur bahan radioaktif juga dilakukan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

KUALITI BEKALAN AIR PAIP

Air yang telah menjalani proses rawatan akan sampai ke dalam rumah pengguna melalui saluran paip. Ramai yang bertanya adakah air dari bekalan paip awam ini selamat untuk diminum tanpa perlu melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan alat penapis air. Berikut adalah petikan jawapan yang diberikan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM:
Bekalan air awam telah melalui suatu proses rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa rawatan yang ditetapkan hingga dapat mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa proses rawatan yang asas adalah bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan Kogulasi, Pemendapan, Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan Pengklorinan. Proses rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur yang tidak dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala pemantauan secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan air sebelum diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan daripada bekalan paip air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui apa-apa proses selanjutnya”.

KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT
 
Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti yang tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih tidak disahkan. Malah banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan kesihatan seperti yang diwar-warkan oleh syarikat pengedar penapis. IARC (International Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahasa tidak ada cukup bukti yang boleh mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser samada kepada manusia ataupun haiwan (rujuk di sini). Banyak ujian yang dijalankan adalah menggunakan model haiwan. WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.

Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida. Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L.  Ada yang menetapkan tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L (rujuk di sini). Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus. Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK,  IARC, US Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain kanser.


BAGAIMANA MENGUJI KEBERSIHAN AIR

Mengambil air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat digunakan termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda mengetahui bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa ragu-ragu. Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah anda (baca di sini mengenai jenis pencemaran air):

1. Rupa fizikal air. Air yang jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang keruh ataupun berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing ataupun organisma. Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air itu pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang mendap ataupun kekeruhan.

2.  Bau dan rasa air. Air yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin disebabkan oleh pencemaran terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh penguraian organisma ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan oleh kandungan sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu kuat.  Air yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan seperti rasa sabun, terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin disebabkan oleh air terlalu beralkali dan terlalu payau mungkin disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.

3.   Kaedah objektif mengukur kebersihan air adalah dengan kaedah ujian makmal. Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab merawat air yang sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh jenis bahan pencemaran yang mungkin ada di dalam air termasuk kandungan organisma, racun serangga, bahan mineral, logam dan lain-lain.Walau bagaimanapun bagi orang awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh digunakan dirumah. Alat pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin, nitrat, mineral dan logam seperti besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat menguji kekerasan air (hardness of water). Air yang keras (hard water) mengandungi kandungan mineral dan logam yang tinggi. Contoh kit ujian yang boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah Watersafe kit yang boleh menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga (pesticide), Nirat dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini, boleh layari video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0)

4.   Menghubungi pembekal air setempat dan dapatkan maklumat kebersihan air di rumah anda. Mereka tentu menyimpan bacaan ataupun keputusan proses pemantauan air yang mereka lakukan secara berkala. Ini adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan pencemaran air adalah terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional.  Kaedah ini memerlukan perbelanjaan sendiri dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada makmal berkenaan untuk analisa.

Rujukan
http://www.saj.com.my/V2/ContentBM.php?menu_parent_id=2&content_id=87
http://www.kimia.gov.my/%20index.php?option=com_content&view=article&id=137

1 comment: