Tuesday, March 15, 2016

PERUBATAN ISLAM DARI PANDANGAN PENGAMAL PERUBATAN MODEN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Saya tertarik dengan penjelasan Dato' Dr.Mohd Asri Zainal Abidin (Dr.Maza) (klik di sini untuk membaca), Mufti Perlis, mengenai makna PERUBATAN ISLAM dari pandangan beliau yang di antaranya mengiktiraf perubatan moden ini sebagai sesuatu yang tidak bertentangan dgn ajaran Islam, malah sepatutnya menjadi keutamaan jika ianya terbukti kaedah paling berkesan utk merawat penyakit. Secara peribadi inilah penjelasan terbaik yang pernah saya baca dan menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa Islam itu adalah agama yang progresif dan sesuai di sepanjang masa. Perkembangan perubatan moden tidak salah jika diumpamakan seperti dahulunya manusia berjalan kaki atau menunggang haiwan utk mengembara, tapi hari ini manusia menaiki kenderaan bermotor utk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Teknologi ini akan terus berkembang, bertambah mudah, canggih dan selesa kepada manusia. Manusia tidak pernah mempersoalkan kepentingan sistem pengangkutan moden ini yang terbukti lebih cepat, lebih menjimatkan masa dan lebih selamat. Banyak lagi contoh2 sumbangan teknologi moden kpd kemudahan dan keselesaan manusia. Manusia tidak melepaskan peluang untuk menggunakan teknologi-teknologi moden ini tanpa banyak soalan dan kontroversi.

Begitu juga dengan perubatan dan kesihatan, orang zaman dahulu merawat penyakit dengan pelbagai kaedah yang pada mereka itulah kaedah terbaik pada masa itu, mungkin dengan menggunakan akar kayu, kulit2 pokok, daun2, buah2an dan lain-lain. Hatta ada juga yang menggunakan kaedah menghalau makhluk halus dan jin. Pada masa itu pengetahuan perubatan masih terhad dan manusia belum mengetahui banyak perkara mengenai penyakit, apakah punca penyakit itu dan bagaimanakah untuk merawatnya. Lama kelamaan, pengetahuan mengenai penyakit bertambah baik, punca penyakit dapat dikesan dan kaedah rawatan yang terbaik dapat dihasilkan. Begitu juga kaedah-kaedah mengesan penyakit, ujian dan rawatan-rawatan penyakit menjalani perkembangan yang pesat. Semuanya di atas kehendak Allah swt yang memberi akal dan khudrat kepada manusia. Ilmu perubatan moden juga memberikan kefahaman kepada manusia bagaimana menilai keberkesanan sesuatu kaedah rawatan dan menolak kaedah rawatan yang tidak berkesan (sila baca di sini untuk mengetahui bagaiamana menilai keberkesanan produk kesihatan menurut perubatan moden). Untuk menjadi pakar di dalam bidang perubatan moden, bukan sedikit masa, tenaga dan pengorbanan yang perlu dicurahkan. Jangan sia2kan ilmu dan kepakaran mereka, merekalah yang sepatutnya dijadikan tempat rujukan, bukan "doktor google", doktor palsu, pakar auta yang mengaku pakar hanya dgn hujung jari.Tidak kurang juga yang mengekploitasi agama untuk kepentingan perniagaan dan menarik pelanggan sedangkan produk tersebut belum dibuktikan berkesan.

Mengenai dakwaan merawat mengikut sunnah nabi, saya lebih tertarik dengan pandangan kedua ulamak2 yg disenaraikan di dalam tulisan Dr.Maza iaitu al-Qadi ‘Iyadh, Ibn Khaldun dan Muhammad Abu Zahrah yang berpendapat meskipun ada hadith2 sahih (bukan wahyu) yang menyebut dakwaan kemujaratan habbatus sauda’ (jintan hitam), berbekam, air kencing unta, susu unta, oud hindi dan seumpamanya, ianya adalah pengalaman peribadi Rasulullah dan persekitaran pada ketika itu. Jika pada hari ini terbukti ianya tidak berkesan, maka bukanlah bermaksud Rasulullah itu berbohong tetapi ini menunjukkan bahawa di dalam kemaksuman Baginda sebagai Rasulullah yang membawa risalah Islam, Baginda adalah juga manusia biasa yang boleh tersilap di dalam isu2 keduniaan lain yg bukan menjadi sebab Baginda diutuskan (rujuk dalil yang dikemukakan oleh Dr.Maza di sini), sebagaimana Baginda boleh mengalami kesedihan, kesakitan, kecederaan dan wafat sama seperti manusia2 lain. Hanya madu sahaja yang disebut di dalam al-Quran dan wajib orang Islam mempercayainya. Selainnya adalah amalan Rasulullah mengikut kefahaman dan persekitaran masyarakat pada ketika itu. Apa yang menyedihkan adalah terdapat ramai pengamal perubatan alternatif termasuk yang mengaku sebagai pengamal perubatan islam sendiri menggunakan hadis-hadis palsu untuk tujuan meyakinkan masyarakat dan melariskan jualan. 

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang Islam yang progresif, kita tidak boleh menafikan keberkesanan perubatan moden, malah jika ianya mempunyai cukup bukti keberkesanan, maka kaedah inilah sepatutnya menjadi pilihan utama sebelum mencuba pilihan-pilihan lain.  Kaedah-kaedah rawatan alternatif lain boleh diamalkan dengan syarat ianya selamat, bersih, halal dan tidak mengganggu rawatan moden.

Sebenarnya masih banyak ilmu perubatan yang  belum diterokai dan masih ada penyakit yang belum ditemui punca dan kaedah merawatnya. Bukan disebabkan penyakit itu tidak ada punca dan ubatnya, tetapi ilmu dan kepakaran manusia hari ini belum mampu untuk mencarinya. Mungkin satu hari nanti, punca dan ubat penyakit tersebut akan ditemui. Banyak contoh penyakit2 yang dahulunya tidak diketahui, tetapi hari ini sudahpun ditemui punca dan cara merawatnya. Ramai ahli masyarakat dan pengamal-pengamal perubatan alternatif mudah menyalahkan jin, saka ataupun buatan orang, apabila punca penyakit tidak diketahui. Sebenarnya pesakit-pesakit ini mungkin belum menemui pakar di dalam bidang tersebut ataupun pemeriksaan dan ujian belum dijalankan dengan lengkap. Jika selepas bertemu pakar dan menjalani ujian dengan lengkap, masih juga tidak ditemui puncanya, mereka mungkin mengalami apa yang dinamakan Psiko-somatik iaitu penyakit jiwa yang dimanifestasikan oleh gejala fizikal. Orang yang stres, kemurungan dan risau seringkali mengalami sakit kepala, sakit2 badan, sakit perut, sesak nafas dan lain-lain gejala fizikal. Hatta, mengikut pendapat Pakar Psikiatri, kejadian histeria yang sering menyerang murid-murid di asrama itu juga adalah manifestasi masalah tekanan jiwa dan kerisauan.  Apabila stres, kemurungan dan risau dapat diubati, gejala fizikal itu pun hilang, inilah yang dikatakan Psiko-somatik (rujuk di sini untuk keterangan lanjut). Masalah Psiko-somatik ini sepatutnya tanggungjawab Pakar Psikiatri ataupun Pakar Psikologi, tetapi jangan hairan jika ada orang-orang awam dan pengamal perubatan alternatif sendiri mampu menanganinya, jika mereka mampu meredakan masalah psikologi pesakit-pesakit ini. Ramai pesakit Psiko-somatik sembuh apabila bertemu dengan "doktor panadol", dukun, bomoh, tok guru dan ustaz. Sentuhan dan tutur-kata dari mereka ini membuat pesakit Psiko-somatik merasa yakin, tenang dan kemudian gejala fizikal mereka pun hilang. Kadangkala keadaan ini juga dikenali sebagai kesan plasebo. Jadi pada saya tidak ada halangan kepada sesiapapun untuk bertemu dengan mana2 individu ini dengan syarat  pesakit telah melalui langkah-langkah yg saya sebutkan di atas dan rawatan alternatif yang digunakan itu tidak melibatkan penggunaan ilmu hitam, pemujaan dan syirik. Setelah berusaha bersungguh-sungguh mencari punca dan merawat penyakit, maka untuk memohon disembuhkan, di sinilah letaknya peranan DOA dan TAWAKAL. Manusia hanya mampu berusaha, tetapi Allah jua yang menyembuhkan. Hanya pandangan peribadi saya.

Ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak mewakili mana-mana institusi dan pertubuhan.

No comments:

Post a Comment